MOHD. FAHMI ISMAIL

Ahmad Sukarno (dua dari kanan) menunjukkan botol plastik dipercayai mengandungi cecair MDMA digunakan pasangan suami isteri untuk memproses dadah pada sidang media di IPD Sentul, hari ini. Foto oleh MOHD. FAHMI ISMAIL / KOSMO!
KUALA LUMPUR – Aktiviti gelap sindiket dadah yang beroperasi di sebuah kondominium mewah akhirnya terbongkar apabila polis menemui makmal pemprosesan dadah lengkap dengan pelbagai bahan terlarang bernilai hampir RM165,000 dalam serbuan di Desa ParkCity, Kepong.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan pada 22 Januari 2026 kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul.
Menurut beliau, operasi dilakukan di sebuah unit kondominium sebelum polis menahan pasangan suami isteri warga China masing-masing berusia 46 tahun dan 39 tahun.
“Hasil pemeriksaan awal di atas meja ruang tamu telah menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 34.90 gram,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebuah makmal pemprosesan dadah lengkap dengan bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses, membungkus dan menyimpan pelbagai jenis dadah bagi tujuan pengedaran.
“Antara dadah yang dirampas ialah ketamin seberat 1,878.90 gram bernilai RM95,000, methamphetamine seberat 380 gram bernilai RM12,500, kokain seberat 62 gram bernilai RM12,400 serta serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 7,151 gram dengan nilai dianggarkan RM7,151 yang disimpan di dalam almari pakaian di bilik sama.
“Sebanyak 10 botol plastik mengandungi cecair disyaki MDMA, lima botol plastik bertulisan Sodium Chloride, lima botol plastik bersaiz besar, empat botol plastik bertulisan Bendosen, tiga tong plastik, dua botol kaca coklat, satu botol kaca lutsinar, satu botol plastik bertulisan air suling serta satu tong plastik besar turut dirampas,” katanya.
Menurut Ahmad Sukarno, anggaran berat keseluruhan cecair disyaki MDMA adalah 37,445 gram dengan nilai kira-kira RM37,445, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM164,496.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki negatif dadah, manakala suspek wanita didapati positif amphetamine, ketamine dan methamphetamine.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dan berstatus penganggur kini direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dan dipercayai menyewa unit kondominium tersebut dengan kadar antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bagi dijadikan pusat pemprosesan dadah,” katanya.
Ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan