Harapandaily
Bekas Ketua Bahagian Bersatu Teluk Intan, Firdaus Rizal Abdul Manan, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas Mahkamah Sesyen Teluk Intan mensabitkannya dengan sembilan pertuduhan pecah amanah.
Hakim Norhamizah Shaiffuddin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, dua sebatan serta denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Jika gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan. Hukuman setiap pertuduhan dijalankan secara berturut-turut.
Firdaus yang juga bekas peguam pada mulanya mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada 22 Disember 2025 bagi semua pertuduhan.
Tertuduh kemudian merayu hukuman diringankan dengan alasan faktor usia, tanggungjawab terhadap lima anak yang masih bersekolah, ketiadaan pendapatan tetap, masalah kesihatan serta status sebagai pencari nafkah tunggal.
Namun, pihak pendakwaan berhujah hukuman berat wajar dikenakan memandangkan kesalahan dilakukan serius, membabitkan banyak pertuduhan dengan mangsa berbeza, selain tidak berlaku dalam satu transaksi.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 26 Januari, Norhamizah menyatakan kesalahan dilakukan dalam tempoh panjang sejak 2012 hingga 2019.
Kesalahan dilakukan bekas Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan itu juga membabitkan kerugian besar berjuta-juta ringgit yang tidak pernah dipulangkan kepada mangsa.
“Tempoh panjang antara tarikh kesalahan menunjukkan tertuduh mempunyai peluang untuk menghentikan pecah amanah sejak awal, namun ia berterusan hingga 2019,” katanya.
Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa tertuduh hanya pemegang akaun nominal.
“Rayuan bahawa tertuduh tidak terbabit secara aktif dan hanya disabitkan kerana pemilik akaun amanah tidak diterima mahkamah,” jelasnya, dipetik BH.
Norhamizah menambah mangsa bukan sahaja mengalami kerugian kewangan, malah turut menanggung kehilangan masa, tenaga dan reputasi. Malah, ada mangsa yang meninggal dunia sebelum melihat keadilan ditegakkan.
Mahkamah memutuskan semua sembilan pertuduhan tidak boleh dianggap sebagai satu transaksi kerana dilakukan pada masa berbeza, membabitkan pihak berbeza dan tidak berkaitan antara satu sama lain.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan