"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu ke garisan penamat?: Hamzah tak dijemput ke mesyuarat 'pramajlis' di rumah Muhyiddin

Alyaa Alhadjri & Qistina Nadia Dzulqarnain

Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin tidak dijemput untuk menghadiri pertemuan yang akan berlangsung di rumah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin malam ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Hamzah (gambar atas) yang juga Ahli Parlimen Larut ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

"(Sepatutnya tanya) adakah Datuk Seri dijemput untuk hadir, tanya macam tulah.

"Jemput pun tidak, nak hadir macam mana," kata Hamzah ketika sidang media berkenaan di Parlimen.

Mesyuarat "pramajlis" dikatakan akan diadakan di kediaman Presiden Bersatu itu malam ini bagi menggantikan mesyuarat agung luar biasa yang telah dibatalkan.

Pada 27 Jan, Malaysiakini melaporkan Majlis tertinggi PN telah membatalkan mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini, yang sepatutnya membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi, serta kemungkinan melantik penggantinya.

Perkara itu dimaklumkan berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber parti komponen PN.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut.

“Ia telah ditukar kepada mesyuarat pramajlis (PN) di rumah Muhyiddin,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan

Dalam sidang media sama di Parlimen, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mendakwa mesyuarat "pramajlis" itu sebagai tidak berpelembagaan.

Takiyuddin berkata walaupun perlembagaan PN mempunyai peruntukan untuk penubuhan majlis presiden, badan tersebut tidak pernah dibentuk.

“Presiden Bersatu (Muhyiddin) telah menulis surat kepada semua presiden parti komponen, memanggil ketiga-tiga presiden ini untuk menghadiri mesyuarat (di rumahnya), yang dirujuk sebagai mesyuarat ‘pramajlis’. Saya cari dalam perlembagaan…tak ada apa-apa asas, tak pernah ditubuhkan.

"Memang ada fasal 7A majlis presiden, tapi tak pernah ditubuhkan. Mungkin (mesyuarat pramajlis) panggil minum kopi," katanya.

Semalam, tular surat-menyurat antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendedahkan pandangan berbeza mereka mengenai dakwaan "konsensus" yang dicapai dalam mesyuarat pada 16 Januari di rumah Ahli Parlimen Pagoh itu, bertujuan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada peletakan jawatannya.

Antara lain, Muhyiddin mendakwa bahawa persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan majlis presiden yang diketuai oleh Bersatu dan majlis eksekutif yang diketuai oleh PAS, serta memansuhkan jawatan pengerusi PN yang kini dilihat dikehendaki PAS.

Dalam surat itu, Muhyiddin turut mendedahkan bahawa berdasarkan konsensus yang didakwa itu, dia telah meminta pembatalan mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN yang dipanggil oleh Takiyuddin—yang mana dia tidak dimaklumkan mahupun dijemput—dengan agenda yang merangkumi pelantikan pengerusi PN yang baru.

Sementara itu, Hadi dalam surat balasannya kepada Muhyiddin mendakwa bahawa cadangan penyelesaian yang dirujuk oleh Muhyiddin tersebut tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui.

Tiada ulasan: