Malaysiakini
Empat remaja bawah umur termasuk seorang perempuan ditahan kerana disyaki menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas di KM 286.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Simpang Pulai, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Mohd Fadzil Ismail berkata sepasukan anggota yang menjalankan tugas rondaan menerima maklumat daripada pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada jam 4.20 petang semalam.
Ia melibatkan tugas membantu anggota Balai Polis Ringlet mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Cherry dinaiki beberapa individu warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes melarikan orang.
Menurut Mohd Fadzil, susulan maklumat tersebut, anggota polis telah bergerak ke kawasan Batu 3 Jalan Pahang di Tapah bagi menjalankan pemantauan sebelum berjaya mengesan kenderaan terbabit kira-kira jam 5.30 petang,
"Anggota polis telah mengarahkan pemandu kenderaan tersebut berhenti untuk pemeriksaan, namun pemandu kenderaan gagal mematuhi arahan sebaliknya memecut laju sehingga hampir melanggar anggota polis yang bertugas.
"Mereka kemudian mengejar kenderaan tersebut sehingga ke kawasan Plaza Tol Tapah.
“Dalam usaha memintas kenderaan suspek, kenderaan polis telah dilanggar pada bahagian bumper oleh kenderaan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fadzil berkata usaha mengejar diteruskan dengan bantuan sebuah lagi kenderaan polis dari IPD Ipoh sebelum kenderaan suspek berjaya ditahan di Simpang Pulai.
Tambahnya keempat-empat suspek ditahan dan kenderaan yang digunakan mereka turut dirampas bagi siasatan lanjut
“Siasatan awal mendapati semua yang ditahan merupakan remaja dan hasil ujian saringan air kencing mereka negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau.
"Tiga remaja lelaki yang ditahan direman empat hari bermula hari ini, manakala remaja perempuan diberi jaminan polis memandangkan terlibat dengan kes yang sedang disiasat di Jitra, Kedah," katanya.
Menurut Mohd Fadzil kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 dan Seksyen 353 kanun yang sama.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan