Bernama
Rahaman K A Mohamed Jaafar (kanan) membuat sumpah penafian beliau tidak pernah menceraikan Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak dengan talak tiga seperti didakwa sebelum ini. (Gambar Bernama)
TANAH MERAH: Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan seorang peniaga bersama isterinya yang didakwa mempunyai dua suami, masih kekal sebagai suami isteri sah.
Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad membuat keputusan itu selepas Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, membuat sumpah penafian beliau tidak pernah menceraikan Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32, dengan talak tiga seperti didakwa sebelum ini.
“Dengan lafaz sumpah ini, mahkamah memutuskan defendan dan plaintif masih suami isteri sah, kecuali plaintif hadir semula ke mahkamah dengan bukti baharu,” kata hakim itu.
Pada prosiding pengesahan lafaz cerai itu, Rahaman diwakili peguam Marzuqi Muhamad, manakala Wan Nor Shakirin tidak diwakili peguam.
Namun, Wan Nor Shakirin tidak hadir prosiding hari ini.
Wanita itu sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Rahaman pernah melafazkan cerai talak tiga kepadanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Okt ini untuk satu lagi kes membabitkan permohonan cerai difailkan Wan Nor Shakirin terhadap Rahaman.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Jan 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah terbabit pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Bagaimanapun, Rahaman mendapat maklumat Pejabat Agama Shah Alam, Putrajaya bahawa Wan Nor Shakirin berkahwin lagi dengan lelaki lain, Mohd Kamarulazhar Ayob, 42, menyebabkan Rahaman memfailkan perintah faraq nikah terhadap perkahwinan pasangan itu.
Pada 7 Ogos lepas, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara ke atas Wan Nor Shakirin dan Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Wan Nor Shakirin serta Rahaman selesai, sebelum meneruskan kes tuntutan faraq nikah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan