"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa mesej keputusan PRN Nismilan yang sebenarnya?

Mohsin Abdullah

Keputusan PRN Negeri Sembilan tunjuk politik identiti Melayu-Islam lebih pengaruhi pengundi berbanding rekod tadbir urus PH.

Ada kenalan tanya mengapa sering petik Ilham Centre khususnya ketua penyelidiknya Yusri Ibrahim untuk banyak artikel yang saya tulis. Jawapan saya mudah.

Yusri dan Ilham Centre saya dapati menjalankan kaji selidik politik dengan baik, rapi, gigih dan disiplin. Mereka tidak dibiayai mana-mana pihak. Lalu pada hemat saya, dapatan mereka adil, tidak bias, tidak memihak. Lantas boleh dipercayai. At least that’s how I look at it.

Lalu untuk penulisan ini, sekali lagi saya petik pendapat dan observation Yusri. Ini catatan yang dimuat naik ke laman Facebooknya 19 Julai lalu, yakni satu hari setelah hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan diadakan.

Kata Yusri, prestasi menteri besar (sekarang dah jadi bekas MB) Negeri Sembilan Aminuddin Harun secara umumnya ‘cemerlang khususnya dalam aspek tadbir urus, rangsangan ekonomi serta hasil negeri’.

Saya juga ada diberitahu, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Tokmin’ berjaya menarik pelaburan RM19 bilion ke Negeri Sembilan. Pemimpin macam ini dengan kerajaan pimpinannya pasti boleh menang pilihan raya hands down any time. Betul tak? Salah.

Menurut Yusri, selepas beliau menjelajah hampir separuh negeri, didapati populariti Aminuddin dalam kalangan pengundi tidak sepadan dengan prestasi baik yang dipamerkan. Pengundi tidak memujinya secara organik, kata Yusri, dan tidak menyebut pencapaian baik Aminuddin selaku menteri besar .

Mengapa ye? Tanya saya kepada diri sendiri. Mungkinkah pengundi anggap kerja baik yang dilakukan Aminuddin dan kerajaannya ‘dah memang kojo dio?’. Ertinya pengundi take all the good work for granted. Begitu?

Kata Yusri: “Dengan kata lain, prestasi cemerlang Tokmin dan kerajaan negeri kurang merangsang momentum sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) sekurang-kurangnya pada fasa awal kempen ini.”

Diingatkan catatan Yusri dibuat dua minggu sebelum pilihan raya. Dan sekarang kita tahu ‘kurang merangsang’ yang disebut Yusri sebenarnya bertukar jadi ‘tidak merangsang langsung’.

Trend ‘fasa awal kempen’ yang disebut tadi berterusan sehingga pilihan raya. Maknanya momentum sokongan terhadap PH tidak memberangsangkan sampailah PRN dilaksanakan 1 Ogos lalu.

Dan kita tahu bukan sahaja Aminuddin tewas, kerajaannya juga tumbang. Jadi apa ‘momentum’ yang merangsang pengundi?

Kata pengarah pilihan raya PH Amirudin Shari, pengundi didorong dan dirangsang politik identiti tahap ekstrem. Saya setuju walaupun tidak berada di Negeri Sembilan sepanjang kempen untuk tahu keadaan sebenar.

Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tidak terima ‘penjelasan’ itu kerana menyifatkan Amirudin selaku orang PH ‘hanya cari alasan’ kerana kalah. Maka perhatikan rumusan tinjauan Ilham Centre sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.

Laporan dikeluarkan 31 Julai, iaitu sehari sebelum pilihan raya. Tajuknya ‘Gelombang Melayu-Islam meranapkan PH di Negeri Sembilan”. Jika anda not a big PH fan, pasti anda akan suka dengan tajuk itu.

Ilham Centre memulakan laporanya dengan menyatakan ‘PRN Negeri Sembilan kali ini memperlihatkan politik identiti kembali menjadi faktor paling dominan dalam membentuk tingkah lalu pengundi khususnya dalam kalangan pengundi Melayu’.

Kempen tidak lagi tertumpu pada pertandingan rekod pentadbiran, pembangunan atau prestasi kerajaan negeri semata mata, sebaliknya bergerak kepada persoalan yang lebih bersifat identiti seperti agama, kedudukan orang Melayu dan kuasa politik.

Naratif itu dibina secara konsisten sepanjang tempoh berkempen sehingga berjaya, kata Ilham Centre, mengubah kerangka pertimbangan pengundi.

Ketepikan soal ekonomi dan segala macam gamaknya. Sebaliknya, menurut Ilham Centre, pengundi membuat pilihan berdasarkan persepsi siapa yang lebih berupaya mempertahankan kepentingan agama dan bangsa .

Saya lihat itu sebagai pengundi pilih siapa yang mereka percaya terpaling Islam, terpaling Melayu. Kata seorang kawan, ini bermakna kerja bagus tidak diendahkan seolah tidak penting.

Betul katanya. Malah laporan RCI Tabung Haji juga tidak berkesan meskipun semua orang Melayu kata mereka marah dan malu tentang apa yang telah dilakukan seperti yang didedahkan laporan berkenaan.

Sebenarnya, politik identiti sudah dimainkan lama sebelum PRN Negeri Sembilan. Seruan Dr Mahathir Mohamad sebelum PRN Johor adalah Melayu mesti undi Melayu tanpa kira parti.

Presiden PAS Hadi Awang juga menyarankan orang Melayu mesti undi calon Melayu kerana Islam mesti memimpin. Penyokong PAS undi BN katanya demi perpaduan Melayu.

Pemimpin lain PAS dan Umno berhari-hari cakap mengenai perpaduan Melayu juga atas alasan Melayu dan Islam tidak diancam.

Melayu sokong Melayu merujuk calon PAS, juga komponen Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Calon bukan Melayu bukan Islam dalam BN-PN disifatkan ‘boleh kaw tim’?. Maka Melayu perlu juga sokong demi perpaduan Melayu.

Orang Melayu suka melihat terjalin kerjasama (perdamaian?) BN-PN (baca Umno-PAS).

Adakah calon Melayu yang bukan dalam gandingan itu tidak cukup Melayu? Tidak cukup Islam? Tuduhan lazimnya adalah mereka dikuasai DAP.

Kata Khoo Ying Hooi, ahli akademik Universiti Malaya yang menulis mengenai kekalahan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook di PRN Negeri Sembilan, tuduhan atau dakwaan ke atas Loke tersebar luas.

Beliau dituduh mahu jadi menteri besar, kuasa politik Melayu akan lemah jika Loke menang dan beliau mencampuri urusan intitusi raja dan adat.

Tiada bukti diberi. Tetapi adakah Melayu termakan dengan tuduhan itu? Ya. Adakah Melayu terima saranan Mahathir, Hadi dan lain pemimpin Umno-PAS? Ya.

Namun perlu diakui, PH juga ada kelemahan sendiri. PKR terutamanya ada pelbagai masalah. Ada pemerhati politik berpendapat PH salah strategi. Ilham Centre mendapati kempen PH bagai hilang punca.

Tetapi bagi saya berlatarkan politik identiti, it was a tall order right from the start for PH. Walau apa pun strategi yang diatur dan masalah dalaman diatasi, kekalahan memang dijangka.

Orang Melayu majoriti. Dapat sokongan majoriti bererti menang pilihan raya. Isu kaum dan agama jalan mudah dapat sokongan. Sudah terbukti.

Sekarang formula sama dijangka digunakan BN-PN di Melaka apabila PRN dijalankan. BN-PN yakin taktik mereka akan berjaya sekali lagi.

Ada penganalisis politik berkata, gelombang perpaduan Melayu BN-PN akan meletakkan PH dalam bahaya. Ada orang menggelarnya gelombang biru BN dan PN walaupun different shades of blue.

Benar, ia membawa bahaya kepada PH. Tetapi itu terpulanglah kepada mereka untuk mengatasinya. Pandai-pandailah.

Saya melihat keadaannya bukan soal BN-PN menang, PH kalah. Bagi saya, apa yang berlaku, yang melanda ialah gelombang politik identiti. Saya tidak pernah suka politik identiti. ‘Tidak suka’ sekadar istilah lembut.

Saya berpendapat politik identiti tidak bagus untuk negara. Any country for that matter. Itu ringkasnya.

Tetapi jika pengundi khususnya pengundi Melayu yang merupakan majoriti tidak ambil kisah soal ekonomi, pembangunan kemajuan, juga soal good governance and integrity dan sayang politik identiti, saya hanya mampu pinjam tajuk lagu popular The Blues Gang dulu – Apo nak dikato.

Oo seperkara lagi, krisis Negeri Sembilan yang memaksa PRN diadakan bolehlah dianggap selesai. Sebab Umno dapat apa yang dihajati. Betul tak?

Tiada ulasan: