"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Intai pelakon wanita, Pekin belasah kru produksi

Bharianonline
Pekin hilang sabar dan bertindak membelasah kru produksi kerana terlalu geram dengan sikap kurang ajar mengintai pelakon wanita. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pekin hilang sabar dan bertindak membelasah kru produksi kerana terlalu geram dengan sikap kurang ajar mengintai pelakon wanita. - NSTP/Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: Lebih sedekad bergelar pelakon, Pekin Ibrahim mendakwa kali pertama berdepan pengalaman kru produksi melakukan perkara tidak senonoh apabila mengintai pelakon wanita.

Hilang sabar sikap kru berkenaan, Pekin bertindak membelasah pelaku kerana terlalu geram dengan sikap kurang ajar.

Kejadian tidak bermaruah itu berlaku lima tahun lalu di lokasi penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah arahan Haizul Anafer Ali pada 2018.

Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim menyedari perkara itu selepas dimaklumkan mangsa iaitu Sara Daewoo kepada rakannya.

"Ketika itu, saya dan rakan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Kuala Kangsar, Perak, manakala Sara pula berada di inap desa wanita.

"Jarak antara lokasi ke inap desa lebih kurang 40 minit, kami pula sudah berada separuh perjalanan apabila rakan saya menerima panggilan Sara memaklumkan ada kru mengintainya.

"Kami berpatah balik dan setibanya di inap desa, kru ini baru nak solat dan ajak saya solat bersama.

"Saya tunggu kru ini selesai solat dan selepas itu, saya minta serahkan telefon bimbit, tapi dia melengah-lengahkan mungkin sedang padam bukti.

"Saya hilang sabar dan terus belasah kru ini, sebelum menghubungi pengarah untuk memaklumkan perkara yang berlaku," katanya kepada BH Online.
Pekin bersama pengarah, Haizul Anafer dan barisan pelakon di Malam Gala & Tayangan Perdana Filem Cerana Biduk Bu Merah di TGV Aeon AU3, Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pekin bersama pengarah, Haizul Anafer dan barisan pelakon di Malam Gala & Tayangan Perdana Filem Cerana Biduk Bu Merah di TGV Aeon AU3, Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pekin berkata, kru berkenaan dibawa ke balai polis dan ditahan untuk siasatan, malah namanya turut digugurkan penggambaran filem.

Katanya, walaupun filem Cerana Biduk Bu Merah adalah filem bergenre seram, namun kes yang berlaku lebih seram daripada filem itu.

"Saya tak sangka akan berhadapan dengan perkara seumpama ini. Sepanjang terbabit dalam bidang lakonan sejak 2002, ini pengalaman kali pertama berdepan kes gangguan seksual di lokasi.

"Saya kesal kerana kru ini melakukan perkara tidak sepatutnya. Sudahlah melakukan perkara tidak bermoral, jadi penunggang agama dan berpura-pura mengajak solat," katanya yang ditemui pada Malam Gala & Tayangan Perdana filem Cerana Biduk Bu Merah di TGV Aeon AU3, Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Filem terbitan Goldhill Pictures itu bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober ini.

Selain Pekin dan Sara, filem ini turut dibintangi Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, adrul Muhayat, Pyan Kepoh dan ramai lagi.

Tiada ulasan: