"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GISBH: Pengikut tinggalkan nota 'peringatan' kepada pihak berkuasa

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Hanya nota berbaur kekecewaan dan pesanan ditemui di dalam sebuah banglo mewah dipercayai disewa Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini.

Nota yang tertera dengan tulisan tangan; 'musuh-musuh kena tunggu di akhirat kerana yang kami hadapi di dunia, di sana lagi dahsyat berlipat kali ganda' ditemui di banglo ketika serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz mengesahkan penemuan nota itu ketika melakukan serbuan ke banglo mewah dipercayai disewa oleh pengikut GISBH itu.

Katanya, nota berbaur peringatan kepada pihak berkuasa ditinggalkan pengikut GISBH yang menghilangkan diri sebelum serbuan dilakukan.

"Banglo mewah di tepi pantai itu dipercayai disewa pengikut GISBH dan menjadikan kawasan di hadapan premis itu sebagai pusat latihan berkuda sejak akhir Disember lalu.

"Hasil risikan dan aduan penduduk setempat, kawasan lapang di hadapan banglo mewah itu digunakan GISBH untuk melatih golongan remaja menunggang kuda," katanya ketika ditemui selepas memantau kawasan itu hari ini.

Bagaimanapun Aizi Saidi operasi dilakukan polis tidak membabitkan pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAT disebabkan semua premis, termasuk pusat latihan berkuda itu tiada penghuni.

"Kita akan terus melakukan pemantauan di banglo mewah yang dijadikan pusat latihan berkuda oleh pengikut GISBH.


"Hasil pemantauan berterusan dilakukan mendapati tiada rumah amal dilaksanakan oleh GISBH di negeri ini," katanya.

Ketika mengulas mengenai pusat latihan berkuda itu, Aizi Saidi berkata, hasil risikan selepas menerima aduan penduduk setempat mendapati sebanyak 13 kuda disediakan untuk melatih remaja termasuk wanita.

"Kita juga menerima aduan berlaku pergaulan bebas antara remaja wanita dan lelaki dalam banglo yang disewa daripada penduduk tempatan pada harga RM8,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, tinjauan bersama Aizi Saidi dan seorang penduduk di kampung berkenaan mendapati pagar sudah dikunci oleh pemilik banglo mewah berkenaan.

Tinjauan juga mendapati kuda yang digunakan untuk melatih remaja tiada di lokasi.

Tiada ulasan: