"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dan ahli bersekutunya

Mohsin Abdullah

PAS meminda perlembagaan parti supaya orang bukan Islam boleh menjadi ahli bersekutu.

PAS tahu ia mesti ada sokongan masyarakat bukan Melayu bukan Islam untuk memerintah negara ini. Cuma ia tidak tahu bagaimana nak mendapat sokongan itu. Maka timbullah langkah terbaharu PAS memujuk dan memikat golongan itu untuk menyokong mereka.

Langkah terbaharu itu ialah meminda perlembagaan parti supaya orang bukan Islam boleh menjadi ahli bersekutu PAS. Rasanya ramai pada kalangan rakyat Malaysia tidaklah naif sehingga tidak tahu langkah itu adalah untuk PAS dapat sokongan orang bukan Islam di peti undi.

Walaupun seorang penyokong parti melihat langkah membuka pintu kepada orang bukan Islam ialah ‘bukti PAS tidak rasis dan ia parti untuk semua.’

Penyokong yang berpendapat sedemikian bernama Alex Chan Foo Yew. Beliau ialah timbalan pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS atau DHPP. Setuju atau tidak akan penjelasan beliau terpulang.

Sebenarnya langkah terbaharu itu bukanlah betul-betul baharu. Yang baharu ialah perlembagaan dipinda. Aspek lain yang berkaitan bukan baharu.

Soal keahlian orang bukan Islam dalam PAS dikatakan pernah dibincangkan pada 1956. Pada 1961 ada cadangan PAS menerima orang bukan Islam tetapi sebagai sebagai ahli bersekutu. Namun cadangan tinggal cadangan. Mungkin keadaan waktu itu tidak mengizinkan cadangan itu diteruskan.

Bagaimanapun 24 tahun kemudian PAS menubuhkan apa yang dipanggil Chinese Consultative Council singkatannya CCC dikatakan ‘wasilah’ atau pertalian PAS dengan masyarakat Cina.

Hakikatnya penubuhan CCC bertujuan membantu PAS menghadapi pilihan raya umum 1986. Ertinya mendapatkan undi Cina untuk PAS. Strategi tidak berjaya. CCC tidak lama hayatnya – berakhir selepas PRU 1986.

Pada 2004 ditubuhkan pula Kelab Penyokong PAS atau KPP dianggotai orang bulan Islam. Disusuli PAS mengangkat ‘PAS for all’ sebagai slogannya. Namun slogan itu digugurkan tidak lama kemudian.
KPP dinaikkan status untuk menjadi sebuah ‘Dewan’ dalam struktur organisasi PAS yang ada Dewan Pemuda, Dewan Muslimah dan sebagainya. Maka wujud Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 2010 dan kemudian istilah ‘penyokong’ ditukar kepada ‘pendukung’. Lantas sekarang ia dikenali sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS – DHPP. Walaupun digelar dewan ia tidak sama taraf dengan dewan lain dalam PAS.

Pun begitu berdasar bertukarnya istilah tentulah ada beza antara ‘penyokong’ dengan ‘pendukung’. Hanya orang PAS khususnya pemimpin tertinggi yang tahu apa beza maknanya dan mengapa ‘pendukung’ menjadi pilihan mereka bukan ‘penyokong’.

Sebelum PAS meminda perlembangaannya pada muktamarnya di Temerloh tempoh hari DHPP seperti KPP sebelumnya disifatkan parti sebagai ‘Friends of PAS’. Meskipun menjadi kawan PAS, ahli DHPP tidak ada hak terlibat dalam proses pemilihan parti. Ertinya mereka tidak boleh memilih barisan kepimpinan PAS pada semua peringkat. Mereka tidak ada hak mengundi.
Dengan pindaan perlembagaan, ahli DHPP seperti disebut tadi ialah ahli bersekutu. Mereka kini diberi hak mengundi. Tetapi mengundi untuk memilih pemimpin sendiri. Maknanya DHPP undi pemimpin DHPP. Mungkin boleh dilihat sebagai a big deal kerana sebelum ini barisan pemimpin DHPP dilantik pimpinan PAS.

Realiti yang menyedihkan ialah DHPP tetap tidak boleh memilih barisan kepimpinan PAS, mereka tidak layak mengundi pemilihan PAS. Apa lagi nak bertanding. Mereka tidak boleh pegang jawatan dalam PAS ‘induk.

Saya setuju dengan pendapat penulis politik Mohd Sayuti Omar yang disiar FMT 19 Sept lalu. Kata Sayuti pindaan perlembagaan PAS yang membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu adalah ‘tidak praktikal kerana mengehadkan peranannya’.

Beliau menyifatkannya ‘separuh masak’ dan tidak ikhlas. PAS kata beliau ‘memperalatkan’ DHPP untuk menangkap sokongan kaum lain”.

Bagi saya DHPP sama seperti KPP dulu sememangnya menghadapi tugas berat untuk mendapatkan sokongan masyarakat bukan islam untuk PAS.

Kerana PAS sendiri yang membuat orang bukan Islam menjauhi mereka dengan tingkah laku serta peraturan di negeri PAS perintah yang kata orang bukan Islam mengongkong kebebasan mereka.

Disamping itu pemimpin PAS sehingga kini gemar mengeluarkan kata-kata yang menghiris perasaan orang bukan Islam dan menakutkan mereka.

Saya akhiri penulisan kali ini dengan kata-kata Setiausaha PAS Labis Mahat Jamin yang dilaporkan FMT baru baru ini.

Mahat dipetik berkata beliau menyambut baik pindaan perlembagaan PAS tetapi berharap PAS meneliti syarat yang ‘agak ketat’. Kata beliau orang Islam pun ada golongan munafik apatah lagi orang bukan Islam. Kena ada satu mekanisme dan peraturan”.

Jujur saya tidak faham maksud beliau, tidak tahu apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Sekadar bertanya kepada diri sendiri – adakah kata-kata itu boleh tidak menyenangkan ahli DHPP?

Tiada ulasan: