"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 remaja cuba elak diberkas polis ditemukan mati di Sungai Bekasi

Bharianonline
Pihak berkuasa mengeluarkan mayat tujuh remaja yang lemas ketika melarikan diri daripada polis di Bekasi, Indonesia. - Foto ihsan Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta
Pihak berkuasa mengeluarkan mayat tujuh remaja yang lemas ketika melarikan diri daripada polis di Bekasi, Indonesia. - Foto ihsan Pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta
BEKASI: Polis Indonesia menemui tujuh mayat terapung di belakang sebuah masjid, di kompleks perumahan berhampiran Sungai Bekasi, di luar Jakarta pada Ahad lalu.

Menurut polis, ketujuh-tujuh mayat itu dipercayai sekumpulan remaja yang lemas ketika cuba mengelakkan diri daripada diberkas pihak berkuasa kerana terbabit dalam pergaduhan sekumpulan 22 remaja di sebuah kedai runcit berdekatan.

Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Bandar Bekasi, Priadi Santoso, mengesahkan mengenai laporan pertama berhubung penemuan mayat-mayat itu, yang dibuat penduduk kira-kira jam 7 pagi.

Mangsa ditemui terapung di perairan berlumpur dengan muka sudah mengembung, namun tiada kecederaan serius.

Menurut laporan media, TV One, seorang penduduk tempatan sedang mencari kucing peliharaannya berhampiran tebing sungai itu sekitar 5.30 pagi apabila membuat penemuan itu.

"Tiada luka signifikan ditemui pada mangsa, hanya tanda lebam di kepala akibat muka yang membengkak, katanya seorang individu yang dikenali sebagai Fajar kepada Kompas TV.

Operasi menyelamat bersama membabitkan polis, Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) dan BPBD kemudian membawa keluar mayat-mayat terbabit.

Dua mayat lagi turut ditemui di sungai sama dengan satunya ditemukan terapung di hilir sungai, manakala seorang lagi tersangkut di tebing sungai dengan jarak sejauh kira-kira 20 meter.

Menurut pihak berkuasa, tujuh mangsa itu dilihat berpakaian sama dengan mengenakan jaket hitam. Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada jaket itu melambangkan sebarang lencana atau pertubuhan tertentu.

Ketua Perkhidmatan Perubatan hospital polis itu, Herry Wijatmoko, menyatakan mayat itu mungkin berada di dalam air selama sekurang-kurangnya 24 jam, namun disebabkan suhu air sejuk, ia melambatkan proses pereputan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kedalaman Sungai Bekasi berbeza-beza, dengan kedalaman mencecah dua meter. Bagaimanapun, lokasi mayat ditemukan sangat cetek iaitu sedalam buku lali atau kira-kira 10 sentimeter.

Pihak polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Kesemua tujuh mayat itu dibawa ke Hospital Polis Keramat Jati di Jakarta Timur untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Siasatan awal polis mendapati tujuh remaja itu lemas selepas terjun ke dalam sungai apabila disyaki cuba mengelak daripada diberkas polis. Pihak berkuasa percaya mereka tidak pandai berenang dan dihanyutkan arus. - AGENSI

Tiada ulasan: