"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beranak pulang beli nasi lemak dihanyut arus deras

NORLIDA AKMAR IDROS
Tangkap layar video menunjukkan dua beranak meredah banjir sebelum hilang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang hari ini.
KUALA NERANG – Dua beranak dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika ibu tunggal dikenali sebagai Salma Md. Zain, 48, dan anaknya, Ahmad Rosman Rohadi, 19, meredah air untuk pulang ke rumah mereka.

Ahmad Rosman merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam.

Difahamkan, dua beranak itu sebelum itu menaiki motosikal mengikut jalan jauh sejauh lebih tiga kilometer (km) untuk membeli nasi lemak kerana jalan utama ke rumah terputus kerana dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air di laluan mini tar yang ditenggelami air sehingga paras dada orang dewasa untuk pulang ke rumah.

Laluan mini tar tersebut lebih dekat iaitu kira-kira satu km ke rumah mereka.

Penduduk, Mohd. Amir Mohd Sougelail, 28, berkata, dia menyaksikan sendiri kejadian dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir.

“Orang kampung sudah panggil dua beranak itu supaya jangan redah banjir sebab arus deras tetapi mereka teruskan perjalanan.

“Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, orang kampung bertindak memanggil mereka dan wanita itu ada menyahut beberapa kali sebelum senyap.

“Air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: