"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan 2 lelaki disyaki pemburu haram dalam kes askar maut ditembak

FMT Reporters

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata berkata turut dirampas selaras senapang patah dan peluru penabur dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

PETALING JAYA: Polis menahan dua suspek disyaki pemburu haram yang dipercayai melepaskan tembakan hingga mengorbankan seorang anggota tentera di kawasan hutan Jalan Multipass Link di Song, Kapit, awal pagi Isnin lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata berkata, kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Song pada 6 petang semalam dan turut dirampas selaras senapang patah dan peluru penabur, lapor Harian Metro.

Permohonan reman akan dibuat terhadap kedua-dua suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

Mancha berkata, siasatan awal mendapati senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu milik bapa salah seorang suspek dan mempunyai lesen yang sah tetapi dua lelaki itu tidak memiliki lesen membawa senjata api.

Katanya, hasil soal siasat, suspek didapati memburu secara haram dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka haiwan liar.

“Selepas melepaskan tembakan itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal melarikan diri apabila terdengar jeritan.

Tembakan mengenai anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun menyebabkan peluru terkena bahagian pinggang kiri sehingga menembusi buah pinggang dan hati, katanya.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa Petrus Linggi Liman, 29, ditembak ketika sedang berada di atas buaian (hammock) sewaktu menyertai latihan taktikal pasak bumi di kawasan hutan berkenaan.

Anggota Batalion Ke-3, Rejimen Renjer Diraja yang berpangkalan di Kem Oya, Sibu, itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song sebelum dirujuk ke Hospital Kapit, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 7.43 pagi.

Tiada ulasan: