"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki acu parang bertengkar dengan pengguna jalan raya ditahan

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Polis menahan lelaki berusia 24 tahun yang bertindak luar kawalan dengan mengacukan senjata tajam dalam kejadian di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
Polis menahan lelaki berusia 24 tahun yang bertindak luar kawalan dengan mengacukan senjata tajam dalam kejadian di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
KUALA LANGAT: Berang kerana ditegur muntah dan buang sampah keluar dari tingkap hingga terkena kereta menyebabkan seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan mengacukan senjata tajam dalam kejadian di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.

Tular di laman sosial video berdurasi 52 saat memaparkan seorang lelaki dalam keadaan marah memegang parang ke arah pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 10.50 malam.

Beliau berkata, polis tiba kira-kira 10 minit kemudian dan menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang sedang memegang parang.

"Semakan mendapati senjata tajam itu ada bersama suspek semasa kejadian. Pada masa sama, seorang lagi lelaki berusia 23 tahun serta dua wanita masing-masing berumur 22 dan 24 tahun turut ditahan di lokasi.

"Hubungan semua individu terbabit adalah rakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, dua lelaki dan dua wanita itu direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

"Polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: