"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota tentera jalani latihan maut ditembak pemburu haram Mohd Roji Kawi

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching: Anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram pagi hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata ketika ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang berpangkat koperal berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang melepaskan tembakan itu.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada 5.57 pagi hari ini.

"Pengadu memaklumkan bahawa seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh orang awam yang memburu di kawasan itu.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kapit namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sumber berkata, ketika kejadian mangsa dari Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi Siri 2/2024.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di pinggang dan paha kiri akibat tembakan yang berlaku pada 2.45 pagi.

Katanya, bantuan tiba di tempat kejadian pada 3.20 pagi dan mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song sebelum dipindahkan ke Hospital Kapit pada 5.05 pagi.

"Sebaik tiba di Hospital Kapit pada 5.45 pagi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada 7.43 pagi," katanya.

Tiada ulasan: