FMT Reporters
B Sathiskumar, 40, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapi.
B Sathiskumar dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu pempengaruh TikTok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemukan maut dipercayai dibuli, empat bulan lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas B Sathiskumar, 40, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan dalam sebutan kes hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh tangkapan 10 Julai lalu, menurut Harian Metro.
Sebelum dijatuhkan hukuman, bapa tiga anak itu sempat memohon maaf dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Saya bersalah, saya tidak akan buat lagi, minta ampun puan (hakim), lain kali saya tidak buat lagi, katanya dalam kandang tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Tiktok menggunakan nama profil Tiktok ‘@dulal_brothers_360’ pada 30 Jun lalu, 10.12 malam.
Hantaran itu dibaca pada 10.15 malam di Jalan Ipoh, 30 Jun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah subseksyen 233(3) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi TikTok dengan menggunakan nama profil TikTok sama pada tarikh, masa dan tempat sama.
Dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon hukuman pemenjaraan mengambil kira kesalahan tertuduh dan kepentingan awam serta hak mangsa.
Namun, peguam Muhamad Izwan Ishak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan , mengambil kira pendapatan anak guam RM1,200 sebulan dan menyara isteri berstatus orang kurang upaya (OKU) serta tiga anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh tangkapan 10 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan