Ustaz Ahmad Husam didakwa guna gelaran tidak diiktiraf
Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
USTAZ Ahmad Husam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan menggunakan gelaran dan penghormatan yang tidak diiktiraf. FOTO Luqman Hakim Zubir
Kangar: Pendakwah selebriti, Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.
Tertuduh yang berusia 34 tahun itu dan berasal dari Kodiang, Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka pada 4 Mei tahun lalu sekitar jam 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Jalan Kangar-Alor Setar di Kangar.
Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Kesalahan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 4A(6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaam) 2016 (Enakmen A21).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.
Muhamad Asyraf dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh.
Manakala, Nur Iman mewakili anak guamnya membantah perkara itu dan memohon jaminan minimum berikutan tertuduh hanya pengetua Maahad Tahfiz di Kedah, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta menderita sakit gout dan asma.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes pula ditetapkan pada 28 Oktober hadapan dan tertuduh dikehendaki melapor diri pada balai polis yang terdekat.
Tertuduh kemudian membayar jaminan yang dikenakan.
Terdahulu, Ahmad Husam tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.45 pagi diiringi hampir 10 orang ahli keluarga dan penyokong.
Dalam masa yang sama, tertuduh juga dilihat cuba mengelakkan diri daripada media yang menanti di perkarangan mahkamah sejak awal pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan