Amir Mamat
am@hmetro.com.my
Melaka: Empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah dikenakan tindakan tatatertib susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu, minggu lalu.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata tindakan termasuk memecat serta menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.
Sehubungan itu, beliau berkata, JAIM memberi jaminan kesilapan seumpama itu tidak akan berulang, malah menganggap isu berkenaan sudah selesai.
"JAIM secara tuntas sudah menjalankan siasatan dan didapati kejadian (paparan gambar seorang pemimpin pembangkang) memang benar berlaku dan mereka yang terbabit sudah mengaku meletakkan gambar pemimpin berkenaan.
"Justeru, JAIM memohon maaf atas kesilapan beberapa pegawai yang menyiapkan paparan serta info grafik berkenaan dan tindakan tatatertib sudah diambil ke atas mereka termasuk memberhentikan dan menukar perjawatan mereka ke jabatan serta daerah lain.
"Ia satu kesilapan besar dan tindakan ke atas mereka adalah wajar. Saya harap tidak berlaku lagi selepas ini," katanya selepas menghadiri perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al- Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas, di sini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Khutbah Jumaat minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila paparan dan info grafik khutbah dikendalikan JAIM yang disiarkan di papan layar di semua masjid itu memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan