MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis mengiringi suspek (tengah) selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
KOTA BHARU – Seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh dicekup selepas dipercayai mencabul seorang wanita yang datang mendapatkan khidmat rawatannya di sebuah rumah di Melor dekat sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan pertengahan 50-an ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah yang dijadikan pusat rawatan tradisional di Melor kira-kira pukul 8 malam pada Ahad lalu.
“Mangsa berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an yang menghidap fibroid atau ketumbuhan bertemu dengan suspek untuk menerima rawatan secara batin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, suspek dipercayai beberapa kali mencabul wanita itu.
Menurutnya, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu bertindak menahan lelaki itu kira-kira pukul 4 petang semalam.
Tambahnya, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan