"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas buruh dihukum mati, bunuh tiga beradik pada 1 Ramadan

NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas buruh kerana membunuh tiga beradik masing-masing berusia dua, tiga dan lima tahun dalam kejadian yang berlaku pada hari pertama umat Islam berpuasa pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Shahrul Pitri Jusoh, 41, selepas menolak rayuan akhirnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang mensabit dan menghukumnya pada 6 Ogos 2020 dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya pada 14 September lalu.

Ketika menyampaikan keputusannnya, Hakim Abdul Rahman berkata, rayuan itu tiada merit dan tidak terdapat sebarang kekhilafan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Shahrul Pitri.

Berkaitan hukuman panel itu berpendapat, prinsip am menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan perlu berhati-hati ketika mencampuri hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah melainkan ia menyalahi undang-undang, tidak mencukupi atau berlebih-lebihan.

Ujar beliau, keseimbangan harus dicapai di antara simpati kepada pesalah dan penderitaan yang dihadapi mangsa serta kerosakan yang dilakukan penjenayah kepada masyarakat.

Shahrul Pitri disabitkan atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.

Perbuatan itu dilakukan di rumah projek bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 dan 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa pada tahun tersebut.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah agar sabitan dan hukuman gantung terhadap perayu dikekalkan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: