"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di mana ayah kami? Kereta ditemukan terbakar, wang dipindahkan ke akaun lain'

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Amir Hakimi dan kakaknya, Suraiya Izzaty menunjukkan gambar bapa mereka, Sabari yang hilang sejak 3 September lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Amir Hakimi dan kakaknya, Suraiya Izzaty menunjukkan gambar bapa mereka, Sabari yang hilang sejak 3 September lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Baling: Anak kepada pesara pegawai kewangan Felcra mengesyaki bapanya dilarikan individu yang tidak dikenali berikutan berlaku beberapa pemindahan wang ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, berkata, dia yakin bapanya, Sabari Baharom, 62, yang hilang sejak 3 September lalu masih hidup biarpun kereta yang dipandu ditemui penduduk terbakar di Belantik, Sik dan mereka dimaklumkan mengenainya Jumaat lalu.

Katanya, selepas meneliti beberapa akaun milik bapanya melalui aplikasi dalam talian, terdapat pemindahan wang dari akaun Tabung Haji bapanya ke akaun Bank Islam seterusnya ke akaun Maybank milik seorang individu milik seorang wanita.

"Selepas penelitian pihak polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) didapati pada 4 dan 5 September lalu, kelihatan seorang wanita tempatan yang melakukan transaksi wang daripada akaun ayah.

"Kami tidak tahu apa niat mereka sebenarnya mengambil wang ayah, walau apapun jika ayah masih dalam genggaman mereka, harap pulangkan semula ayah kami dengan selamat, kami amat merinduinya, sudah 15 hari kami tiada khabar berita mengenainya," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, hari ini.

Amir Hakimi berkata, bapa mereka sangat baik dan penyayang dan mereka tiada sebarang masalah dengannya.

Malah katanya, bapa mereka sering berulang-alik ke rumah dia dan kakak sulungnya, Suraiya Izzaty Sabari, 29, di Sungai Petani untuk melihat dua cucunya (anak sulung Muhammad Amir Hakimi dan anak sulung Suraiya Izzaty) yang baru lahir.

Muhammad Amir Hakimi berkata, sebelum kehilangannya, Sabari menghubunginya untuk menghantar ubat-ubatan dan ramuan herba tradisional bagi mengubati bayinya yang terkena demam kuning.

"Biasanya jika ayah menelefon memberitahu dia hendak datang ke rumah, pastinya sama ada hari itu atau keesokannya dia akan datang, tetapi sehingga ke hari ini jangankan wajahnya malah kelibatnya terus hilang, inilah yang merisaukan kami," katanya .

Kakak sulungnya, Suraiya Izzaty berkata, mereka tidak pernah duduk diam malah sentiasa mencari khabar berita melalui beberapa petunjuk seperti penelitian dan pergerakan melalui akaun simpanan bapanya dan berjumpa keluarga dan rakan-rakan bapa mereka.

"Sebelum ini kami agak buntu dan memikirkan ke mana ayah pergi dan menghilangkan dirinya, tetapi selepas penemuan Proton Waja berwarna emas milik ayah yang dibakar di suatu kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, pada Jumaat lalu, kehilangan ayah dikategorikan sebagai kes jenayah.

"Syukur Alhamdulillah ayah tiada dalam kereta yang terbakar itu, namun kami masih merasa risau keadaannya sekiranya dia dilarikan oleh penjenayah.

"Kami membantu pihak polis mendapatkan maklumat mengenai ayah yang mana ia sedikit sebanyak boleh membantu dan memberi petunjuk untuk siasatan, jadi saya amat mengharapkan agar segala kemusykilan dan misteri kehilangan ayah dapat dirungkai dengan segera," katanya yang bertugas sebagai doktor.

Menurutnya, bapanya seorang yang amat teliti berhubung pengeluaran wang dan sangat mengikuti perkembangan semasa termasuk mengenai penipuan dalam talian atau scammer.

"Rutin ayah selepas pencen lazimnya solat berjemaah di masjid, sarapan bersama jemaah di kedai dan ke kebun. Dia tidak suka bermewah, hidup biasa-biasa saja.

"Kami sering berhubung namun bila ayah hilang tiba-tiba, kami tiga beradik gusar, tidak tahu apa yang terjadi dan di mana ayah berada, kami cuma harap ayah pulang dalam keadaan selamat," katanya.

Suraiya Izzaty merayu agar sesiapa yang melarikan bapanya itu agar pulangkan dengan keadaan selamat.

"Tinggallah ayah di tempat yang mudah dijumpai dan kami akan pergi mengambilnya," katanya.

Tiada ulasan: