"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persoalannya kemana saja penguatkuasa selama ini

Kebun sayur haram 14.86 hektar di dua hutan simpan Cameron Highlands dimusnahkan

Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my
Anggota serbuan memusnahkan struktur para tanaman kekacang di kawasan kebun sayur haram yang diusahakan dalam Hutan Simpan Bertam hasil operasi bersepadu di Cameron Highlands. - NSTP/ MOHD RAFI MAMAT
Anggota serbuan memusnahkan struktur para tanaman kekacang di kawasan kebun sayur haram yang diusahakan dalam Hutan Simpan Bertam hasil operasi bersepadu di Cameron Highlands. - NSTP/ MOHD RAFI MAMAT
CAMERON HIGHLANDS: Kawasan kebun sayur seluas 14.86 hektar yang diusahakan secara haram di Hutan Simpan Mentigi dan Hutan Simpan Bertam, di sini, dimusnahkan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu, semalam.

Operasi bersepadu membabitkan 148 anggota daripada pelbagai agensi hasil maklumat risikan dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), sebelum tinjauan dilakukan mengesan kewujudan kebun sayur dalam dua kawasan hutan simpan terbabit.

Operasi kali ini dijalankan selama lima hari bermula semalam, dengan serbuan turut akan dilakukan di Hutan Simpan Batu Gangan dan Hutan Simpan Sungai Ichat.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Akeng, berkata anggota risikan yang memasuki kawasan itu menemui kebun dengan tanaman kacang buncis, lobak, kubis dan bawang dipercayai diusahakan beberapa penduduk tempatan yang menggunakan pekerja warga asing.

Ketika serbuan, katanya pekerja warga asing yang mengusahakan kebun sempat melarikan diri selepas dipercayai terlebih dahulu menghidu pergerakan operasi.

"Semua tanaman sayur bersama binaan seperti stor baja dan pondok tempat tinggal pekerja yang ditemukan di kawasan diusahakan secara haram itu dimusnahkan bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus berulang.

"Tindakan pemusnahan tanaman sayuran perlu diambil kerana ia menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

"Selepas pemusnahan, tindakan pemulihan dilakukan dengan menanam tanaman sesuai di tanah tinggi seperti pokok jenis gerok, meranti bukit, damar minyak dan ru bukit," katanya.

Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meluahkan kebimbangan mengenai tanah di Pahang yang 'dijajah' pendatang asing secara terang-terangan berpunca kurangnya nilai integriti.

Baginda memberi contoh tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha, tetapi kini disewakan kepada warga asing.

Mengulas lanjut, Grippin berkata pihaknya tidak pasti bila kawasan pertanian terbabit mula diteroka, namun kawasan diceroboh itu ditemui selepas semakan data perisikan dilakukan Jun lalu, selain tinjauan secara berkala kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands setiap bulan.

Beliau percaya, permintaan tinggi terhadap sayuran tanah tinggi Cameron Highlands menjadi faktor utama kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini terus berlaku walaupun tindakan penguatkuasaan dilakukan berterusan.

Malah, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat dalang penduduk tempatan yang menggunakan warga asing sebagai buruh pertanian sepenuh masa, manakala hasil pertanian dipasarkan oleh individu terbabit.

"Jabatan akan terus meningkatkan pemantauan di beberapa kawasan hutan simpan di daerah ini seperti Hutan Simpan Ulu Bertam, Hutan Simpan Batu Gangan, Hutan Simpan Sungai Wi dan Hutan Simpan Terisu bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Tiada ulasan: