"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sindiket edar ‘jus dadah’ tumpas

Bernama

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran jus dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan pelbagai jenis dadah lain susulan penahanan seorang lelaki tempatan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pulau Pinang di Jelutong kira-kira 4.25 petang.

Pemeriksaan ke atas suspek menemukan 11 peket plastik pelbagai warna disyaki dadah jenis serbuk jus (MDMA) anggaran berat 259 gram bernilai RM3,300; dan sepeket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 12 gram bernilai RM2,400.

“Susulan tangkapan itu pada hari sama, polis kemudian menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan jus minuman MDMA di kawasan Jelutong.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis merampas 1,134 peket plastik pelbagai warna dan 10 balang plastik lutsinar berpenutup dengan setiap satu berisi serbuk dadah jenis MDMA dengan anggaran seberat 37.695 kilogram (kg) bernilai RM560,040, katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas tiga peket plastik lutsinar dengan setiap satu mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat 76.8 gram bernilai RM15,360; dan 128 biji pil ekstasi seberat 47.45 gram bernilai RM6,400.

Turut dirampas 10 biji pil erimin 5 (11 gram) bernilai RM800; dan enam bekas plastik berisi cecair disyaki cecair dadah anggaran berat 47.7 gram bernilai RM1,800.

Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM590,100.

Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton X50 bernilai RM90,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM680,100.

Menurut risikan, sindiket dipercayai baru bergiat aktif awal Mac lepas, kata Hamzah.

Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzo/ ketamin selain mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Sept depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Tiada ulasan: