"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis lepaskan tembakan selepas dirempuh kenderaan SUV dinaiki suspek kes pecah rumah

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Motosikal anggota polis yang dilanggar suspek kes pecah rumah yang melarikan diri ketika cuba ditahan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Jumaat lalu. - Foto PDRM
Motosikal anggota polis yang dilanggar suspek kes pecah rumah yang melarikan diri ketika cuba ditahan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Jumaat lalu. - Foto PDRM
SHAH ALAM: Tiga lelaki suspek kes pecah rumah bertindak agresif melanggar motosikal polis sebelum melarikan diri ketika cuba ditahan dalam kejadian di kawasan perumahan Telok Panglima Garang, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, susulan tindakan melulu suspek dipercayai warga tempatan itu, anggota di lokasi melepaskan satu das tembakan pada tayar kereta Proton X50 yang dinaiki suspek.

Katanya, pihaknya menerima laporan pada jam 2.40 petang berhubung sebuah rumah di kawasan Telok Panglima Garang dipecah masuk sekumpulan lelaki dan anggota balai dan kereta peronda polis (MPV) diarah ke lokasi kejadian.

"Apabila anggota yang menunggang motosikal tiba di lokasi, suspek bertindak melanggarnya sebelum anggota terbabit melepaskan satu das tembakan pada tayar kereta bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri.

"Kereta dengan nombor pendaftaran palsu itu dipercayai dinaiki tiga suspek lelaki warga tempatan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan tiga lelaki berkenaan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sabit kesalahan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Fadzi Mohamad Saidi di talian 013-9311208 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang memaparkan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah dan jenayah tersebut disedari jiran mangsa.

Terdapat juga rakaman menunjukkan sebuah kereta Proton X50 berwarna biru dipercayai digunakan suspek dalam kejadian pecah rumah berkenaan.

Tiada ulasan: