"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ringgit terus melonjak, mampu cecah 3.90 berbanding dolar AS akhir tahun

Afrina Romzi

PETALING JAYA: Ringgit terus memperkukuh kedudukannya, menjadi antara prestasi mata wang terbaik di Asia apabila ditutup pada paras tertinggi sejak Jun 2021, hari ini.

Penganalisis yakin minat terhadap ringgit akan memuncak dan melonjakkan mata wang negara sehingga 3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang akhir tahun ini.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.127 berbanding dolar AS, berbanding penutupan semalam pada 4.155.

Bagi penganalisis, faktor utama adalah penurunan kadar faedah di AS, dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan meneruskan pemotongan dalam mesyuarat akan datang.

“Penurunan kadar faedah AS baru bermula. Kami mengunjurkan Fed akan lagi dua pemotongan kadar faedah untuk tahun ini dan empat kali potongan pada tahun hadapan.” kata Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan kepada BuletinTV3 hari ini.

Selain itu, pelan rangsangan ekonomi China termasuk penurunan kadar feadah dan langkah sokongan pasaran hartanah, dijangka menarik minat lebih tinggi terhadap ringgit dalam jangka masa panjang.

Faktor domestik turut menerajui sokongan terhadap nilai ringgit menerusi reformasi dasar ekonomi oleh kerajaan serta strategi monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus untuk satu tempoh yang lama kerana BNM dilihat masih meletakkan risiko kenaikan kadar inflasi sebagai keutamaan.

“Disebabkan itu, pihak BNM dilihat berhemah dalam pelaksanaan dasar monetari dan ini menunjukkan satu sentimen positif kepada ekonomi negara,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada BuletinTV3.

Tambah beliau, ringgit masih berada dalam keadaan terkurang nilai. Justeru, terdapat ruang untuk ringgit terus mengukuh akan datang bergantung kepada risiko ketidaktentuan global.

“Kalau kita lihat purata nilai ringgit berbanding dolar AS sejak negara memansuhkan dasar tambatan ringgit pada 21 Julai 2005 sehingga sekarang, nilai purata adalah sekitar 3.78.

“Justeru, kita boleh katakan ia sebagai satu penanda aras ke manakah hala tuju ringgit selepas ini,” jelas beliau.

Tiada ulasan: