FMT Reporters
PETALING JAYA: Khairuddin Othman digugurkan daripada jawatan ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) hanya selepas enam bulan dilantik kerana dakwaan berlakunya pelbagai salah laku, termasuk pembaziran dana.
Sumber enggan namanya disiarkan memberitahu FMT, di bawah pengawasan Khairuddin, J-Kom menjalankan program dan perolehan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Khairuddin juga memecat pegawai dilantik secara kontrak tanpa merujuk kepada Kementerian Komunikasi, kata sumber itu.
Khairuddin juga didakwa melaksanakan pelbagai program untuk jabatan itu, termasuk perjalanan ke luar negara, yang tidak membawa impak tinggi, menurut sumber itu.
Ini menyebabkan dana terbazir, tambahnya.
Khairuddin semalam mengesahkan penamatan perkhidmatannya, tetapi enggan mengulas lanjut. Sebaliknya, beliau meminta pihak media bertanya sendiri kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengenai perkara itu.
Fahmi pada sidang media hari ini enggan mendedahkan punca penamatan kontrak Khairuddin yang berkuat kuasa semalam, namun menyifatkannya sebagai ‘biasa’.
Khabar angin tersebar mendawak penamatan perkhidmatan Khairuddin mempunyai kaitan dengan politik dalaman PKR, dengan segelintir ahli mendakwa penyingkiran setiausaha PKR Selangor itu berkait perselisihan antara puak dalam bahagian negeri parti itu.
Puak yang menentang Khairuddin mendakwa beliau gagal melaksanakan tugasnya, lapor The Star.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagaimanapun menyangkal khabar angin itu dengan berkata, parti tidak campur tangan dalam pelantikan kerajaan.
Khairuddin, bekas Adun Paya Jaras dua penggal, dilantik menjadi ketua pengarah J-Kom pada 1 Mac, menggantikan Muhammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November susulan kontroversi perbualan lucah dengan seorang lelaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan