Bernama
Pengarah imigresen Johor berkata, empat lelaki dalam lingkungan 36 hingga 67 tahun dipercayai mengemis di pasar malam serta premis sekitar Johor Bahru.
Pengarah Imigresen Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata sikap pemurah rakyat tempatan menyebabkan pengemis OKU warga China lebih agresif mendekati pengunjung pasar malam atau premis. (Gambar Jabatan Imigresen Johor)
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pengemis orang kurang upaya (OKU) dengan penahanan empat warga China menerusi Op Serkap di sini kelmarin dan semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata semua lelaki dalam lingkungan 36 hingga 67 tahun itu ditahan berasingan dan dipercayai mengemis di pasar malam serta premis sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata, penahanan itu hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu.
“Kegiatan ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan mereka sering berpindah-randah, disyaki diatur oleh sindiket. Ketika operasi dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas.
Mereka didapati mampu meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan dengan hanya bermodalkan kekurangan fizikal dan cacat anggota, katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sikap pemurah rakyat tempatan menyebabkan mereka lebih agresif mendekati orang ramai yang mengunjungi pasar malam atau premis.
Kita turut merampas wang tunai RM9,000 dalam operasi berkenaan, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) serta 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kenyataan berasingan, Rusdi berkata, 45 pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Mahir, Op Dandan, Op Belanja dan Op Selera di Taman Daya di sini pada 1 tengah hari semalam.
Mereka terdiri daripada 22 lelaki Bangladesh, 15 lelaki dan lima wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki India, wanita Vietnam dan wanita Indonesia berusia dalam lingkungan 19 hingga 44 tahun.
“Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(b) dan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6 (1)(c) dan 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Seorang lelaki Myanmar yang merupakan penjaga sebuah restoran tidak berlesen pula ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan