Malaysiakini
Pada 28 September ini genap empat bulan sejak Ong Ing Keong, seorang pemandu e-hailing yang cacat pendengaran, dipukul di mukanya ketika sedang duduk dalam keretanya sambil menunggu penumpang di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Namun, pelaku yang merupakan anggota polis, masih belum didakwa walaupun terdapat rakaman papan pemuka (dashcam) yang menunjukkan serangan tersebut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa sesetengah kes mengambil masa yang lama, namun peguam Ong dan bekas timbalan menteri hal ehwal undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin, tidak bersetuju dengan pendapat itu.
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, yang sependapat dengan mereka, mempersoalkan sama ada terdapat tekanan untuk tidak memulakan pendakwaan.
“Kelewatan ini, ditambah dengan dakwaan cubaan terdahulu untuk memaksa Ong menarik balik aduannya, membawa kepada kesimpulan bahawa pihak berkuasa yang berkaitan seolah-olah tidak mahu meneruskan pendakwaan.
“Siapa yang memberikan tekanan kepada mereka? Apa yang mereka takutkan?
“Jawapan kepada soalan-soalan ini akan menentukan sama ada kita benar-benar sebuah negara yang menghormati kedaulatan undang-undang atau hanya sekadar memperkatakan konsep itu,” katanya kepada Malaysiakini.
Penyerang Ong ialah anggota pasukan pengiring polis untuk Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang hanya mengetahui tentang kejadian tersebut pada hari berikutnya dan kemudian mengeluarkan kenyataan media pada 31 Oktober bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
Dalam satu sidang media, Ong mendakwa bahawa seorang “wakil istana” hadir di balai polis dan menawarkan pampasan sebanyak RM800 untuk menyelesaikan kes tersebut, dan jika dia tidak menerimanya, telefon bimbitnya akan dirampas.
Oleh kerana dia memerlukan telefon tersebut untuk bekerja dan berkomunikasi dengan keluarganya, Ong berkata dia terpaksa menerima tawaran pampasan di bawah tekanan.
Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) mendakwa Ong telah menandatangani sebanyak empat laporan polis mengenai kejadian itu, tiga daripadanya disediakan oleh pihak polis.
Ambiga menegaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua individu adalah sama di sisi undang-undang dan mesti diberikan perlindungan yang sama.
“Dengan kata lain, tiada sesiapa yang boleh berada di atas undang-undang dan undang-undang mesti diaplikasikan sama rata kepada semua.
“Namun, sehingga kini, seorang pemandu e-hailing yang tidak bersalah dan cacat pendengaran, telah diserang pada bulan Mei dan masih belum mendapat keadilan.
“Rakaman video dashcam menunjukkan serangan tersebut dan identiti penyerang telah diketahui oleh polis seperti yang diakui oleh ketua polis negara sendiri. Siasatan lanjut apa yang diperlukan?” soalnya.
Mengulangi pandangan Hanipa, yang pakar dalam undang-undang jenayah, dia menegaskan bahawa kes seperti ini harus “diselesaikan dengan cepat dan tegas”.
“Jika tidak, kita kelihatan seolah-olah membenarkan keganasan seperti ini atau ada yang kebal dari undang-undang,” tambahnya.
Sebelum ini, polis mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, pertama kali pada 5 Jun dan kali kedua pada 27 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan