Diaz pacu Liverpool ke puncak EPL
Pemain Liverpool, Luis Diaz (kanan) merembat masuk gol kedua mereka ketika mengalahkan Bournemouth 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS
LIVERPOOL, England: Liverpool melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan menakjubkan 3-0 ke atas Bournemouth lewat malam tadi ketika Manchester United hanya mampu seri 0-0 dengan Crystal Palace awal pagi tadi.
Nicolas Jackson meledak dua gol membantu Chelsea menang selesa 3-0 di West Ham, manakala Aston Villa menyamakan mata di puncak selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Wolves 3-1.
Liverpool mengalami kekalahan pertama di bawah kendalian Arne Slot apabila Nottingham Forest mengejutkan mereka di Anfield tujuh hari lalu.
Namun The Reds bangkit dengan bergaya untuk menamatkan cabaran Bournemouth sebelum rehat.
Luis Diaz direhatkan ketika menang bergaya 3-1 di AC Milan ketika Liverpool memulakan kempen Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tengah) meraikan jaringannya bersama Luis Diaz ketika menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Kembali dalam kesebelasan utama, pemain dari Colombia itu meledak dua kali dalam tempoh dua minit pada minit ke-26 dan 28.
Diaz menghukum kesilapan Kepa Arrizabalaga untuk menyambut hantaran jauh daripada Ibrahima Konate dan mengatasi penjaga gol Sepanyol itu sebelum merembat ke pintu gol yang ternganga.
Trent Alexander-Arnold kemudian mengumpan kepada Diaz untuk menyumbat gol kelimanya musim ini.
Darwin Nunez tampil dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini dan menamatkan kemarau gol 14 perlawanan di peringkat kelab apabila melencongkan bola cantik ke penjuru gol pada minit ke-37.
Kemenangan dengan jurang tiga gol meletakkan Liverpool di depan Manchester City dan Aston Villa, yang turut mengumpul 12 mata.
Penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson (kanan) berjaya menghalang Alejandro Garnacho (tengah) daripada menjaringkan gol buat Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
United kembali ke Selhurst Park buat kali pertama sejak dimalukan 4-0 pada penghujung musim lalu.
Ketika mereka mengelak satu lagi kekalahan memalukan, ia bukannya persembahan yang boleh diingati daripada pasukan kendalian Erik ten Hag yang bergelut menentang Palace.
United, yang menang hanya dua daripada lima perlawanan pertama liga mereka, terhutang budi kepada Andre Onana kerana berjaya menyelamatkan dia percubaan bahaya daripada Eddie Nketiah dan Ismaila Sarr.
"Apabila kami tidak menang, saya tidak berpuas hati. Tindakan Onana benar-benar cemerlang tetapi kami sepatutnya menang. Babak pertama, kami makan mereka hidup-hidup," kata Ten Hag.
"Satu-satunya perkara adalah di dalam kotak penalti. Kami patut lebih klinikal di sana."
Tottenham mengendurkan tekanan buat pengendali Ange Postecoglou apabila mengalahkan Brentford 3-1 di utara London. – AFP
Penyerang Aston Villa, Jhon Duran (kiri) meledak gol ketiga ketika menewaskan Wolves 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham lewat malam tadi. – Foto AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan