LIM HONG SIANG
Hakikatnya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya umum melonjak ke paras melebihi 80% hanya pada PRU13 (5 Mei 2013) dan PRU14 (9 Mei 2018). Kesemua PRU sebelumnya mencatatkan peratusan keluar mengundi di bawah paras 80%, sejak merdeka.
Jikalau dicari persamaannya, kedua-dua PRU tersebut diselubungi suasana di mana kebarangkalian kerajaan persekutuan bertukar berada pada tahap kemuncaknya.
Sebagai kesudahannya, PRU13 menyaksikan pembangkang meraih undi popular melebihi 50%, sungguhpun gagal menawan Putrajaya; dan PRU14 berakhir dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah.
Dengan kata lain, peratusan keluar mengundi pada paras 84.8% (2013) dan 82.3% (2018) dipacu dengan harapan untuk menukar kerajaan. Pengundi teruja untuk melakar sejarah baru. Malah, tidak keterlaluan andainya kita menyifatkan paras peratusan melebihi 80% ini sebagai “tidak normal”.
Ia menuntut satu suasana masyarakat di mana pengundi terpanggil untuk pulang mengundi, menyedari betapa penting nilai sekeping kertas undinya untuk mengubah masa depan, dan berbaloi meskipun terpaksa membayar harga yang tinggi, sama ada kos pengangkutan, mahupun risikonya.
Jadi, ada asasnya untuk menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah antara punca kekalahan Pakatan Harapan dalam PRN Melaka yang melabuh tirai pada 20 November 2021.
Malah, berdasarkan pengalaman lalu, tidak salah untuk mengandaikan bahawa mereka yang tidak keluar mengundi, berpotensi untuk mengundi pembangkang. Ringkasnya, PH berdepan dengan cabaran untuk melonjakkan peratusan keluar mengundi.
Norma baru pilihan raya
Bertitik tolak dari situ, tidak sukar untuk kita memahami mengapa sesetengah pemimpin PH menuding jari terhadap penetapan SOP yang ketat sebagai salah satu faktor kekalahan PH, kerana ia mengekang potensi pembangkang untuk menghangatkan suasana pilihan raya.
Antaranya, tiada kempen bersemuka. Maka dengan itu, tiada lagi ceramah mega, bukan sahaja menyekat penyebaran maklumat, malah gagal menghangatkan suasana.
Cuma, mungkin PH perlu bersedia untuk berdepan dengan norma baru pilihan raya ini. Sungguhpun tidak menolak unsur bahawa kerajaan Ismail Sabri menggunakan kesempatan ini untuk menyulitkan kempen gerak kerja pembangkang, tetapi alasan ini akan mendapat restu sesetengah pengundi.
Dengan situasi penularan wabak Covid-19 yang masih tidak menentu, rakyat akan cenderung untuk lebih berwaspada daripada mengambil mudah.
Lebih-lebih lagi, apabila senario politik semasa dibaca sebagai ‘perebutan kuasa politikus yang rakus’, tiada alasan rakyat menggadaikan kesihatannya, juga rezekinya (bimbang akan sekatan pergerakan yang menjejaskan ekonomi) untuk kepentingan politikus semata-mata.
Justeru itu, PH perlu membuat persediaan seandainya kempen PRU15 juga dikenakan SOP yang ketat sepanjang tempoh kempennya. Ini bermakna PH perlu menerokai saluran penyebaran maklumat baru, selain strategi tradisi seperti ceramah mega, rapat umum dan lain-lain.
Persoalan selanjutnya, apakah maklumat yang ingin disampaikan? Apakah tema manifesto PH, untuk menggarap imaginasi pengundi dalam PRU15?
Tema manifesto PH
Sekali diimbas, tema manifesto Pakatan Rakyat ketika PRU13 lebih mengutamakan reformasi institusi, misalnya menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Momentum itu bergolek sejak himpunan BERSIH 2 pada 9 Julai 2011, BERSIH 3 pada 28 April 2012 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013.
Pengalaman dibedil gas pemedih mata dan meriam air dalam dua perhimpunan BERSIH tersebut menjadi ingatan kolektif satu generasi yang menuntut reformasi dan demokrasi.
Tidak lupa juga beberapa isu periuk nasi rakyat yang dijuarai PH, misalnya janji populis Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak sebaik menawan Putrajaya.
Apapun, ia menyentuh masalah dan keperluan segolongan masyarakat yang terdesak dengan kos sara hidup pada ketika itu, disemarakkan apabila kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) dibingkaikan dengan ‘lembu dalam kondo’.
Pakatan Harapan dihadiahkan skandal 1MDB pada PRU14. Angkanya mencecah billion, jauh lebih tinggi berbanding skandal PKFZ yang didedahkan dalam PRU12 (2008). Pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pula dikaitkan dengan hutang 1MDB. Kesemua isu ini bergolek sehingga meranapkan regim BN dalam PRU14.
Persoalannya, apakah tema PH untuk PRU15, yang mampu memacu keterujaan penyokongnya untuk pulang mengundi?
Dengan senario terkini, kita mungkin terpaksa lupakan himpunan mega sebelum PRU15, memandangkan wabak Covid-19 masih memperlihatkan pola penularan yang tidak menentu di seluruh dunia.
Skandal 1MDB mungkin sukar didendangkan kembali, lebih-lebih lagi Najib Razak sudah kelihatan bangkit semula dengan gaya yang megah.
Reformasi institusi? Ia sentiasa relevan, dan barangkali bab yang paling menonjolkan perbezaan antara PH dengan kerajaan BN, atau PN.
Namun, harus diingatkan bahawa PH perlu menampilkan keikhlasan ketika menjuarai isu ini, misalnya anda tidak boleh menerima katak tatkala menuduh katak yang melompat dari kem anda sebagai pengkhianat.
Saya kurang pasti apakah sikap “double standard” ini melunturkan kemarahan pengundi terhadap Langkah Sheraton.
Ia boleh dibaca sebagai PRN Melaka bukan medan untuk membalas dendam ini, tetapi ia juga boleh dibaca sebagai kekecewaan pengundi terhadap keputusan PH untuk menerima katak berprinsip. Malah, ia mungkin bukan keutamaan dalam pertimbangan pengundi ketika memangkah pada kertas undi.
Apapun, PRN Melaka ini memberi isyarat agar PH tampil dengan naratif yang lebih segar dan relevan. Sentimen ketidakpuasan terhadap layanan antara dua darjat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nampaknya tidak menular, sama ada tidak dikerah sebaik-baiknya, mahupun ia semakin luntur dari hati pengundi.
Saya tidak suka menuduh pengundi sebagai mudah lupa, tetapi saya mampu merasai keterdesakan kebanyakan orang terhadap pemulihan ekonomi dan kestabilan politik, yang tiada berpisah antara kedua-duanya. Psikologi sebegini memberi kelebihan kepada kerajaan sedia ada.
Segerakan perubahan
Akhir kata, ada kalanya kita terlalu memperbesarkan sesuatu faktor sehingga ia dilihat sebagai satu-satunya penentu, sedangkan dalam politik, kesudahannya adalah hasil adunan pelbagai unsur.
Kekal atau undurnya Anwar Ibrahim, tidak menyelesaikan kesemua masalah, sungguhpun saya mencadangkan agar beliau berundur untuk sekurang-kurangnya sementara waktu dalam artikel lalu. Pemimpin PKR, DAP dan AMANAH yang lain, juga memainkan peranan masing-masing untuk menentukan jatuh naiknya PH.
Ketidakpekaan sesetengah DAP boleh menambah kebencian pengundi Melayu terhadap PH, begitu juga keasyikan sesetengah pemimpin Amanah untuk bersaing dengan Pas, sehingga berakhir dengan ruang kebebasan yang lebih sempit, juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan non-muslim.
Dalam isu judi dan arak misalnya, pemimpin dan penyokong Amanah mungkin berniat mendedahkan kemunafikan pesaingnya, Pas, tetapi langkah politik ini dibaca oleh non-muslim sebagai AMANAH dan Pas, berbeza tiada.
Dan jangan lupa, politik tidak terpisah dari unsur tempatan. Andainya SOP kempen tetap ketat dalam PRU15, ia memberi kelebihan kepada calon yang telah lama berkhidmat di kawasan parlimen atau DUN-nya, yang dikenali pengundi tempatan.
Dengan kata lain, rundingan kerusi dan pelantikan calon wajar disegerakan, agar mereka yang bakal bertanding, mula membina jalinan tempatan dan bekerja sekarang. Ia juga mengelakkan sabotaj cawangan tempatan apabila diturunkan calon dari helikopter pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon.
Jikalau iktibar boleh diambil dari PRN Melaka, maka PH hanya kalah satu pertempuran sebelum memenangi satu peperangan. Tetapi andainya tiada perubahan dilakukan selepas menyalahkan ini dan itu, kemungkinan kekalahan yang lebih besar bakal menimpa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan