"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Usah layan ‘2, 3 ahli Biro Politik’ PKR, kata Rafizi Ramli

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata tidak perlu dilayan berita politik berpunca daripada "dua, tiga ahli Biro Politik PKR", yang tidak membantu mengalahkan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2017.

USAH layan berita politik, yang berpunca daripada "dua, tiga ahli Biro Politik PKR", yang tidak membantu mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya tumpu perhatian kepada persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi membuat seruan itu kepada seluruh pimpinan parti “dari yang tertinggi di Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat” sampailah kepada pimpinan di akar umbi PKR.

“Kini, kita sudah terlalu dekat dengan pilihan raya dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya berita dalaman sebegini),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi membuat kenyataan itu rentetan laporan Sinchew Daily kononnya ahli Parlimen Pandan itu diberi amaran keras oleh Biro Politik PKR kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat daripada parti jika terus bersuara.

Laporan itu ditulis dengan memetik sumber Biro Politik PKR yang tidak dinamakan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka,” kata Rafizi.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tiada tindakan seperti itu diambil terhadap Rafizi.

Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya minggu lalu menuduh ada pemimpin kanan PKR yang bersekongkol dengan Umno dan sudah dibeli oleh Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri.

Rafizi tidak mengiyakan tuduhan itu tetapi mengaku beliaulah orangnya yang disindir oleh Latheefa dalam kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.

“Saya tahu ada kempen senyap-senyap terhadap saya dalam PKR oleh segelintir orang yang menuduh saya sudah dibeli oleh Zahid Hmidi untuk mencetuskan kacau bilau dalam parti, sebagai ganti kebebasan dan tidak masuk penjara,” katanya seperti dipetik oleh The Star.

Rafizi berkata beliau sudah memaafkan Latheefa atas tuduhan itu.

Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Rafizi selepas sabit kesalahan mendedahkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad. Hukuman itu ditangguhkan sementara kes rayuannya diselesaikan.

Rafizi juga ada satu kes di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan berhubung pendedahannya mengenai ladang lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Rafizi berkata beliau tidak terkejut dengan laporan salah media itu kerana ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini “setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara dalam kepimpinan.”

“Ada beberapa pimpinan (PKR) yang gemar memberikan gambaran salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama ‘sumber dalaman parti’ untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya.

Beliau menyebut dua insiden besar ketika berita palsu banyak tersebar iaitu semasa pelantikan Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pembahagian kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak.

“Selagi dua tiga orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan ahli parti, keadaan akan terus bercelaru,” katanya tanpa menamakan “dua tiga orang” yang dimaksudkannya itu.

Rafizi berkata sejak selepas pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, beliau mengambil keputusan untuk menumpu perhatian pada kempen di kerusi marginal, berbanding membetulkan maklumat salah yang disebarkan oleh “dua tiga orang ahli Biro Politik” itu. – 2 September, 2017.
-malaysianinsider

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke majlis ibadah korban (Gambar)

BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat ke majlis ibadah korban jamaie (Perdana) 2017 di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu hari ini.

Turut berangkat ke program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ialah Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan kerabat baginda.

Hadir sama antaranya Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Anuar Tan Abdullah, Mufti Negeri Kelantan Datuk Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Seri Paduka berkenan menyembelih tiga daripada 62 ekor lembu yang disediakan untuk majlis korban berkenaan.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi, pada majlis itu, Seri Paduka dan Pemangku Raja Kelantan serta kerabat diraja menyerahkan 27 ekor lembu korban.

Beliau berkata baki daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh individu yang menyertai ibadah berkenaan.
Katanya daging korban itu kemudiannya diagih-agihkan kepada 1,500 hingga 2,000 penerima yang layak termasuk fakir miskin.

Selain di kompleks berkenaan, pengagihan daging korban diadakan di Masjid Muhammadi di sini, dan dijangka selesai sebelum maghrib hari ini.

Misi mustahil AMANAH tawan Kelantan, Terengganu?

Pakatan Harapan meletakkan misi yang dianggap cukup sukar jika tidak mustahil bagi AMANAH - untuk merampas Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya akan datang - daripada bekas parti induknya, PAS.

Kelantan adalah kubu kuat PAS sejak ditawan daripada Umno pada tahun 1990.

Sementara, di Terengganu, PAS hampir memenangi negeri itu tanpa bantuan mana-mana sekutunya pada tahun 2013, jika ia berjaya merampas tiga lagi kerusi dari Umno.

PAS juga merupakan antara parti pembangkang utma di negara ini, sementara AMANAH ditubuhkan oleh pemimpinnya yang disingkirkan dari parti Islam itu pada tahun 2015. Parti serpihan itu kini bergelut untuk mendapatkan momentum.

"Kemungkinan tidak menyebelahi kami (AMANAH), tetapi kami parti terbaik untuk mencabar PAS," kata Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad kepada Malaysiakini.

Pemilihan AMANAH untuk menerajui kempen HARAPAN di Kelantan dan Terengganu, adalah sentimen yang dikongsi oleh rakan gabungan parti pembangkang itu.

Walau bagaimanapun, AMANAH benar-benar berdepan jalan yang sukar.

Ketika PAS dan AMANAH bertembung dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN, tahun lalu semasa pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, keputusannya menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada BN.

Keadaan sama nampaknya akan berulang pada pilihan raya umum ke-14, dengan PAS nekad mahu menjadi kuasa ketiga, tindakan yang menurut pemerhati politik akan memecahkan undi pembangkang, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Menurut Dzulkefly, keputusan seumpama itu adalah alasan mengapa AMANAH dipilih untuk bertarung dengan PAS.

"Ini adalah untuk mengelisahkan mereka supaya kembali ke realiti.

"Ini adalah untuk menunjukkan bahawa dalam pertandingan tiga penjuru, AMANAH mungkin tidak akan menang, tetapi begitu juga dengan PAS, dan prospek kemenangan Umno adalah benar," katanya.

PRU-14, katanya, akan mencatatakan keputusan yang sangat berbeza jika PAS bersama pembangkang.

"Pilihan raya ini, akan dengan mudah dimenangi pembangkang jika PAS mencapai persetujuan menjadi sahabat semula," katanya.

Dzulkefly mendakwa terdapat insentif bagi PAS untuk bekerjasama, kerana kemungkinan mereka akan kehilangan Kelantan kepada Umno.

"Bagi saya, analisis terakhir kami, mereka mungkin kehilangan Kelantan tetapi mampu menawan Terengganu.

"Kami (HARAPAN) berharap dapat membawa mereka kembali ke meja rundingan.

"Tetapi PAS mahu membuktikan bahawa mereka adalah bijak, tetapi mereka tidak menyedari bahawa mereka telah kehilangan plot," kata Dzulkefly.

Beliau berkata jika PAS benar-benar bijar, mereka boleh mengikat perjanjian supaya AMANAH tidak bertanding di pantai timur.

Malah, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mereka yang rapat dengannya telah berulang-kali cuba berunding dengan PAS, tetapi ini juga ditolak berulang kali.

Baru-baru ini, Majlis Presiden HARAPAN juga memutuskan bahawa tidak akan ada kerjasama pilihan raya dengan PAS.

Walau bagaimanapun Dzulkefly masih menaruh harapan tetapi berkata, kerjasama tidak boleh dilakukan pada minit-minit terakhir.

Dalam pada itu, AMANAH bertekad untuk merampas pantai timur untuk HARAPAN dan percaya parti itu mempunyai pemimpin yang bersesuaian untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Di Kelantan, kempen HARAPAN akan diketuai oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa.

Husam adalah seorang anak didik bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang cukup dihormati oleh pelbagai pihak.

Sementara itu di Terengganu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad adalah kerabat diraja - yang diserahkan tanggungjawab tersebut.

Selain Kelantan dan Terengganu, HARAPAN juga meletakkan AMANAH untuk mengetuai jenteranya di Melaka.

Malaysiakini difahamkan bahawa Melaka, Negeri Sembilan dan Perak adalah negeri terakhir yang mana pengerusi HARAPAN diputuskan.

Menurut sumber, atas semangat membahagikan negeri-negeri secara sama rata, mereka memutuskan bahawa BERSATU akan mengetuai di Perak, PKR di Negeri Sembilan dan AMANAH di Melaka.

Dzulkefly berkata Pengerusi HARAPAN Melaka, Adli Zahari sudah mempunyai pasukannya dan bersedia untuk berkempen.

Beliau walau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh AMANAH di negeri itu, tetapi sekadar berkata jumlah yang besar.

"Melaka telah lama diabaikan, jadi terdapat banyak potensi untuk merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang," katanya
-malaysiakini

Bersatu, Amanah beri harapan cerah pada pembangkang di Perak, kata bekas MB

Zulkifli Sulong, Sharon Tan
Bersatu, Amanah beri harapan cerah pada pembangkang di Perak, kata bekas MB
Bekas menteri besar Perak Mohamad Nizar Jamaludin berkata kerjasama Bersatu dan Amanah dalam Pakatan Harapan akan memberikan manfaat besar kepada mereka pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.

BEKAS menteri besar Perak, Mohamad Nizar Jamaludin optimis gabungan kerjasama antara Bersatu dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) akan memberikan manfaat besar kepada mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia boleh mengukuhkan sokongan Melayu kepada PH yang sudah mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Cina.

Menurut beliau, gabungan baik dan kerja kuat antara kedua-dua parti Melayu ini memberi PH peluang cerah untuk merampas semula negeri Perak berbanding PRU 2013 lalu.

"Gabungan di kalangan parti PH ini telah bekerjasama erat sejak 2008 (apabila Pakatan Rakyat menang dan membentuk kerajaan negeri)," kata Nizar dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insight.

Nizar yang pernah menjadi menteri besar selama 11 bulan sebelum dijatuhkan akibat rampasan kuasa di Perak ditemubual selepas Konvensyen Amanah Perak di Ipoh baru-baru ini.

Beliau yang meninggalkan PAS bersama rakan-rakannya kini adalah timbalan pengerusi Amanah Perak dan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Amanah di negeri itu.

Jurutera berusia 60 tahun dan terlatih di Britain itu juga mendedahkan rancangan PH untuk meningkatkan hasil negeri jika berjaya mentadbir semula Perak termasuk memanfaatkan hak tanah yang diambil oleh agensi pusat.

Beliau juga menceritakan bagaimana kerajaan 11 bulannya berjaya memberikan geran kepada tanah Orang Asli yang selama ini gagal dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menjelaskan kenapa beliau sentiasa bertukar kerusi sejak 2008, 2013 dan akan bertukar lagi pada PRU14 nanti.

"Jika saya kekal di situ, saya akan mati sebab saya menjadi sasaran," kata Nizar.

Berikut adalah sebahagian wawancara itu:

TMI: Pakatan Rakyat (PR) menang dalam 2008 tetapi hilang negeri pada 2009. Pada pilihan raya 2013, harapan besar diberikan kepada PR untuk menang tetapi gagal. Apa akan berlaku dalam pilihan raya akan datang?

Nizar: Pada PRU 2008, apabila PAS bergabung dengan PKR dan DAP, kita tidak jangka akan menang. Jadi kita tidak bersedia dan Umno mengambil kesempatan daripadanya. Kami hanya bertahan sehingga 11 bulan saja kerana tidak bersedia. Banyak kelemahan ketika itu.

Pada PRU 2013, kita tidak dapat lebih daripada 30 kerusi yang diperlukan (menang hanya 28 daripada 56 kerusi), walaupun kami dapat 55% undi di Perak. Kami menang undi popular tetapi kalah dari segi bilangan kerusi kerana sistem pilihan raya kita.

Sekarang dengan adanya Bersatu dan selepas berlakunya tragedi dalam PAS dan lahirnya Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH.

Mohamad Nizar Jamaluddin berkata dengan adanya Bersatu dan Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.
Mohamad Nizar Jamaluddin berkata dengan adanya Bersatu dan Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.
Faktor besar adalah penyatuan kita yang tidak pernah berhenti, mesyuarat bersama pada setiap bulan dengan pengerusinya kita gilirkan setiap empat bulan. Sejak PRU13, sebanyak 65 kali kita sudah bermesyuarat.

Apabila kita wujudkan PH, tradisi mesyuarat sebulan sekali itu diteruskan. Jadi, bagi PRU14 kita lebih bersedia berbanding PRU 2008 yang menangkan kita.

TMI: Apakah isu utama di Perak?

Nizar: Isu utama adalah tanah di bawah kerajaan negeri yang diberikan di bawah MB Inc (MBI), anak syarikat kerajaan negeri. Ia sebabkan kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa hasil khasnya premiun dan cukai. Saya sudah banyak kali ungkitkan hal ini dalam Dewan.

Projek pelancongan juga diserahkan kepada MBI dan mengawak banyak produk negeri tetapi tidak beri hasil kepada negeri.

Banyak industri juga ditutup di Perak. Di Kampar satu kilang ditutup dan 500 pekerja diberhentikan. Persoalannya kenapa?

Semasa 11 bulan kami memerintah, kita banyak menarik FDI masuk iaitu sebanyak RM3 bilion di samping pelaburan tempatan. Puncanya kami kurang birokrasi, kurang red tape dan memudahkan mereka masuk.

Kami yakin jika PH dapat kembali mentadbir Perak, kami boleh menarik lebih ramai pelabur kerana banyaknya 'pull factor' (faktor menarik) yang kami boleh berikan.

Perak banyak sumber. Kami ada sungai yang banyak dan besar bagi sumber air yang mencukupi termasuk boleh menjualnya kepada negeri jiran Selangor dan Pulau Pinang. Saya pernah berbincang hal ini dengan kedua-dua negeri.

Sungai juga boleh menjadi produk pelancongan yang baik dan boleh menarik ramai pelancong tetapi tidak diberikan perhatian.

Perak juga mempunyai banyak balak. Tetapi hasilnya tidak menjadi sumber utama. Begitu juga bijih timah. Ia masih banyak di Batu Gajah, Gopeng, Tapah dan Tanjung Tualang tetapi kerajaan tidak berminat untuk melombongnya kerana ia terletak di bawah bandar. Sedangkan dengan teknologi baru ia boleh dilakukan dengan selamat di samping mesra alam sekitar.

Kita juga boleh membantu 2.4 juta rakyat Perak dengan mengkaji semula premium tanah kerajaan negeri yang diambil alih oleh agensi di bawah kerajaan pusat. Misalnya, Felcra diberikan 30,000 hektar tanah sedangkan kerajaan negeri tidak mendapat sebarang hasil.

Begitu juga Felda. Jadi kita boleh mengkaji perjanjiannya untuk memberikan manfaat kepada semua rakyat. Lebuh raya juga banyak mengambil tanah kerajaan negeri dan pengguna dikenakan tol.

Saya rasa wajar perjanjian dikaji semula. Begitu juga TNB yang banyak menggunakan tanah kerajaan untuk memasang kabel dan stesen mereka. Petronas juga misalnya diberikan tanah untuk universiti yang sebelum ini diberikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM).

Petronas membuat hasil melalui UTP. Kita boleh mengkaji semula perjanjian dengan mereka. Kami jangkakan RM200 juta setahun boleh dimasukkan ke dalam akaun negeri melalui semua ini dan kita boleh gunakannya untuk membantu rakyat Perak yang memerlukan.

TMI: Semasa menjadi menteri besar dahulu, mengapa semua sumber ini tidak dimanfaatkan?

Nizar: Pada masa itu kita baru hendak mengenalpasti semua sumber ini. Kita perlu melakukan perancangan, perbincangan, bajet dan sebagainya sebelum ia dilaksanakan. Jadi dengan 11 bulan itu, kita belum sempat buat.

TMI: Orang Asli masih ingat kerajaan PR dulu memberikan geran tanah kepada mereka dalam tempoh 11 bulan memerintah. Boleh ceritakan apa yang berlaku?

Di Pejabat Menteri Besar ketika itu, kami tubuhkan satu jabatan khas yang dinamakan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang tidak ada sebelum itu. Seorang ahli exco diamanahkan untuk menjaganya.

Kami memberikan geran tanah kepada kerana itu hak mereka tetapi kami kawal saiz dan juga syaratnya. Mereka tidak boleh menjual tanah itu melainkan dengan kelulusan kerajaan negeri. Kita tidak kenakan sebarang premium kepada mereka.

Kami juga mengadakan satu konvensyen Orang Asli Perak untuk membolehkan mereka menyuarakan perasaan mereka.

Justeru, mereka rasa Perak adalah kampung halaman sendiri sedangkan selama ini mereka berpindah-randah. Polisi memberi tanah bukan hanya kepada Orang Asli sahaja tetapi juga kepada sekolah Cina dan sekolah agama rakyat.

Bekas menteri besar Perak berkata gabungan baik Amanah dan Bersatu dalam PH peluang cerah untuk merampas semula Perak berbanding PRU 2013 lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 September, 2017.
Bekas menteri besar Perak berkata gabungan baik Amanah dan Bersatu dalam PH peluang cerah untuk merampas semula Perak berbanding PRU 2013 lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 September, 2017.
Apabila saya memberi tanah kepada sekolah Cina swasta, saya dituduh sebagai barua DAP. Mereka tubuhkan syarikat di bawah Sekolah SUWA. Saya luluskan 1,000 hektar dan mereka tanam kelapa sawit dan mendapat hasil sehingga kini. Ini cara saya membantu mereka.

Saya juga memberi 1,000 hektar kepada sekolah agama rakyat. Ada 26 sekolah agama swasta di Perak. Mereka buat koperasi dan tanah itu ditanam dengan kelapa sawit dan hasilnya dibahagikan kepada sekolah-sekolah agama ini hingga sekarang.

Kami juga cuba memberi kepada sekolah Tamil tetapi tidak sempat. Lagipun semua sekolah Tamil mendapat bantuan kerajaan.

TMI: Kembali kepada 2008, anda kata mereka mendakwa kerajaan negeri dikawal oleh DAP atau barua DAP, sehingga kini nampaknya ia belum selesai. Apa komen anda?

Nizar: Umno memang menjadikan isu ini untuk memburukkan nama saya, kononnya saya barua DAP. Dari segi jumlah kerusi, PAS bertanding 22 tetapi menang lima sahaja. DAP bertanding 18 dan menang kesemuanya. Jadi kita tidak boleh berbuat apa, walaupun bertanding banyak tetapi menang lima sahaja. Kita tidak boleh menyekat persepsi itu. Mereka 18, saya lima saja.

Saya membawa isu ini ke dalam Dewan Undangan Negeri dan mencabar Umno adakah mereka dapat menunjukkan satu isu yang membuktikan saya tunduk kepada kehendak DAP.

Di bawah BN, sekurang-kurangnya banyak juga nama jalan yang diberikan nama bersempena nama pemimpin MCA. Boleh mereka namakan satu jalan yang saya namakan sempena nama pemimpin DAP. Mereka tidak dapat nak tunjukkan satu pun.

Jika saya habiskan masa membuang persepsi itu, saya tidak akan berjaya berbuat apa-apa yang lain. Saya tidak boleh membuangnya kerana apabila saya bertemu dengan media, itulah angkanya.
Saya hanya boleh melawannya dengan hujjah dengan harapan ia boleh mengurangkannya sedikit demi sedikit persepsi itu.

TMI: Adakah anda fikir isu nama Allah dan kuliah yang diberikan mufti Perak dan penceramah Kazim Alias antara punca kegagalan PR dalam PRU13?

Untuk mendakwa mufti dan Kazim membantu Umno, bagi saya ia hanya minima sahaja. Apa yang memenangkan Umno adalah semasa 11 bulan Nizar menjadi menteri besar, kerajaan Perak sebenarnya kerajaan DAP. Ia isu yang dibawa ke kampung-kampung.

Walaupun Nizar ini Melayu tetapi kerajaannya adalah Cina. Penduduk kampung mahu kerajaan Melayu tanpa mengira ia korup atau tidak.

Perdana Menteri Najib Razak juga memainkan isu yang sama di peringkat pusat. Semasa PRU 2013, isu Melayu dan Cina tetap menjadi isu utama. Semasa itu tidak ada 1MDB atau GST.

Saya yakin jika Umno terus memainkan isu perkauman ini, orang Melayu tidak akan terpengaruh lagi kerana yang membuat mereka menderita adalah Melayu.

Polisi Najib yang menyusahkan mereka dan Najib adalah Melayu. Sekarang Umno bekerjasama dengan PAS memainkan isu ini.

TMI: Anda didapati selalu bertukar kerusi sejak 2008, kemudian 2013 dan dikatakan akan bertukar kerusi lagi kali ini. Kenapa?

Mereka menggunakan beberapa cara untuk membunuh karier politik saya. Saya mula menang di Pasir Panjang yang menjadi kerusi tradisional MIC.

Beberapa kawasan PAS membolehkan saya menang dengan 800 lebih undi. Menjelang PRU13, 800 pengundi PAS telah dipindahkan ke Sitiawan, kawasan sebelah Pasir Panjang.

Ngeh Koo Ham adalah Adun Setiawan. Beliau menang 11,000 majoriti termasuk 800 undi PAS tadi dalam PRU13. Jadi ia memberikan kemenangan Ngeh dengan lebih besar dalam usaha untuk membunuh karier politik saya.

Seramai 3,000 pengundi Kampung Gajah yang kuat Umno pula dipindahkan ke kawasan Pasir Panjang. Jadi, jika saya kekal di Pasir Panjang, tentu saya kalah.

Mereka gunakan taktik yang sama sekarang di Changkat Jering, tempat saya menang 2013 lalu. Mereka bina 500 buah rumah dan beri sewa murah kepada pengundi BN. Jika satu rumah ada lima pengundi, mereka sudah ada 2,500 pengundi.

Mereka juga keluarkan 9,000 pengundi Cina ke kerusi kuat DAP, Aulong. Sebelum ini DAP menang 7,000 majoriti di situ. Tujuannya untuk bunuh Nizar dengan berikan DAP kemenangan lebih besar.

Jadi, atas dasar itu saya perlu mencari kawasan yang lebih hijau dan tidak disangka. Kebetulan saya tinggal di Sungai Rapat yang mempunyai 35% Cina dan tidak senang dengan PAS dan Umno.

Saya yakin mereka sokong Amanah. 60% Melayu yang ada pula akan berpecah kepada tiga. Jadi saya mempunyai peluang untuk menang lebih besar di situ. – 1 September, 2017.

Mengharap undi dari pentaksub Pas macam mengharap kucing berhenti makan ikan goreng

ARIF ATAN
zolkharnain Abidin PAS
Berusaha untuk memikat Pas dengan hasrat untuk mendapat undi pentaksub parti itu menjadikan Pakatan Harapan kehilangan undi kritikal yang lebih besar, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurut bekas pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama di Perlis itu, undi pentaksub Pas perlu diyakini sebagai sangat kecil tetapi jika dapat meraihnya pada pilihan raya umum akan datang dianggap sebagai baik.

"Tapi nampaknya sehingga kini, harapan itu seperti mengharap kucing berhenti makan ikan goreng. Undi pentaksub Pas sangat kecil berbanding undi pengundi kritikal.

"Jika berlaku pertandingan dua penjuru BN - PH (Pakatan Harapan), saya percaya pentaksub Pas tak akan beri undi kepada PH.

"Sama ada mereka undi BN, buat undi rosak atau tak keluar mengundi," jelasnya dipetik daripada status yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Terdapat kelompok dalam PKR secara terbuka menyokong untuk terus berunding dengan Pas ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

Selain Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seramai 17 lagi pimpinan parit itu terdiri daripada Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, ahli-ahli Biro Politik dan ahli-ahli MPP termasuk dalam kumpulan tersebut seperti didedah Naib Presdien PKR, Rafizi Ramli pada 27 Ogos lalu.

Zolkharnain yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis itu berkata, terdapat pentaksub Pas enggan mengundi calon daripada komponen parti di bawah Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

"Tentulah semua parti mahukan undi semua orang, termasuk undi pentaksub Pas. Namun soalannya, bagaimana nak dapatkan undi pentaksub Pas, sebab pentaksub Pas hanya undi Pas sahaja.

"Dalam PR (Pakatan Rakyat) dulu pun, ada pentaksub Pas tidak beri undi kepada PKR atau DAP, walaupun kedua-dua parti itu rakan Pas, bahkan Pas masuk bertanding di kerusi Kota Damansara dan Sungai Acheh atas kemahuan pentaksubnya," jelas beliau.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bukan semua anggota Pas adalah pentaksub dan jika mahu juga menagih undi pentaksub Pas maka perlu menolak AMANAH dan DAP.

"Kini, nak dapatkan undi pentaksub Pas, antara syaratnya, jangan berkawan dgn DAP dan Amanah. Namun, harus diingat, dapat undi pentaksub Pas, tidak bermakna dapat undi ahli Pas sebab bukan semua ahli Pas pentaksub Pas.

"Tidak bersama PH akan dapat undi pentaksub Pas, tapi kehilangan undi pengundi kritikal yang tidak selesa dengan Pas," tegas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan pada Pilihan Raya Umum 1999 berkenaan.

Sehubungan itu, Zolkharnain menasihatkan Pakatan Harapan membiarkan Pas sendirian dengan undi pentaksub parti yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

"PH mesti melangkah terus meraih undi pengundi kritikal yang bersedia bersama kita. Syaratnya, kita jangan flip flop," tambahnya lagi.

Azmin diberi tempoh 14 hari usir Pas dari kerajaan negeri Selangor

ARIF ATAN
Kumpulan aktivis Gerakan Aktivis Harapan (GAH) menuntut Datuk Seri Azmin Ali mengusir Pas daripada kerajaan negeri Selangor dalam tempoh 14 hari jika benar Menteri Besar itu komited untuk memacu kekuatan Pakatan Harapan.

Zanirun BabaZanirun BabaJurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, Timbalan Presiden PKR itu juga dicabar untuk menyegerakan pembentukan Sekretariat Pakatan Harapan di Selangor dan menolak dominasi parti di mana-mana posisi dalam sekretariat tersebut.

Menurutnya, Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan mesti mengutamakan kesamarataan antara kesemua komponen parti dalam sekretariat itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bahawa Azmin akur dengan keputusan Pakatan Harapan untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan janjinya akan mengukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi tiga penjuru.

Sehubungan itu, GAH, ujarnya, turut mendesak Azmin memaklumkan kepada kelompok kartelnya untuk menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan serta menerima secara inklusif penyokong Pakatan Harapan dalam keputusan dasar siasahnya.

"Tanpa sebarang tindakan daripada Azmin, kenyataannya hanyalah auta dan sandiwara sahaja yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti.

"Maka adalah berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti," tegas Zanirun bersama lima jurucakap GAH lain.

Mereka berpendapat kenyataan terbaharu Azmin yang sebelum ini umum dikenali mahu terus berunding dengan Pas sekadar melepas batuk ditangga serta memperlihatkan keikhlasan yang amat lemah daripada pemimpin yang mulai menceburi politik pada 1987 atas peluang yang diberi Tun Mahathir itu.

"Oleh itu, GAH masih berpendirian bahawa kelompok Azmin atau Kartel adalah parasit yang membawa barah kepada PH jika tidak berhati-hati. Kelicikan tindak tanduknya harus dihadam secara tersirat," tambah kumpulan aktivis Pakatan Harapan itu lagi.

Turut bersama dalam kenyataan itu Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.

Konsul Malaysia dibunuh kerana serpihan MH370

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemburu bangkai MH370 mendakwa konsul kehormat Malaysia ke Republik Madagascar yang bertanggungjawab menyerahkan serpihan pesawat Malaysia Airlines itu kepada pihak berkuasa Malaysia, maut akibat dibunuh.

Akhbar Australia, Perth Now memetik Blaine Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat sebagai berkata, serpihan baru yang ditemui itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly Zahid Raza, sebelum dihantar melalui kourier swasta ke Malaysia.

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu, sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.

“Demi melindungi mereka yang terbabit, kami memutuskan tidak mendedahkan laporan ini sehingga serpihan itu dihantar ke Malaysia dengan selamatnya,” katanya.

Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa lalu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Houssenaly yang dilantik sebagai konsul kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 selama 3 tahun.

“Berdasarkan prestasi cemerlang beliau dalam menjaga dan mempromosikan kepentingan Malaysia di negara berkenaan, kerajaan Malaysia memperbaharui kontraknya untuk jawatan sama untuk tempoh 3 tahun lagi sehingga Disember 2019,” kata kementerian itu.

Perth Now melaporkan seorang wakil Independent Group – sebuah pasukan pakar penerbangan dan matematik yang mengikuti perkembangan kehilangan MH370 berkata, masa kematian Houssenaly “mencurigakan” kerana belaiu dijangka pergi ke Kementerian Pengangkutan Madagascar untuk mendapatkan dan menghantar serpihan itu ke Malaysia.

Wakil itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagaimanapun mendiamkan diri berhubung pembunuhan Houssenaly.

Gibson berkata, serpihan itu masih dalam tangan pihak berkuasa Madagascar, tetapi perancangan baru perlu dibuat untuk menghantar serpihan berkenaan ke Malaysia.

Rafizi dan puak yang menentang rundingan PKR dan PAS bakal disingkir?

Biro Politik PKR beri amaran kepada Rafizi
FMT Reporters
PETALING JAYA: Biro Politik PKR dilaporkan mengambil tindakan disiplin dengan memberi amaran kepada naib presidennya, Rafizi Ramli yang mendedahkan perbalahan dalaman parti itu.

Sin Chew Daily memetik sumber sebagai berkata, Biro Politik PKR memutuskan untuk memberi amaran keras secara lisan kepada Rafizi kerana tindakan serta kenyataannya merosakkan nama baik parti itu.

“Berdasarkan nasihat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, parti hanya memberi amaran lisan kepada Rafizi ketika ini. Jika beliau terus berdegil, tiada orang boleh menjamin beliau tidak akan dipecat kelak,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengakui berunding dengan PAS, tetapi mendakwa ia dibuat berdasarkan keputusan parti, bukan atas kapasiti peribadi.

Azmin berkata, rundingan itu bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti pembangkang lain.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution bagaimanapun menafikan parti itu pernah membuat keputusan yang dikatakan Azmin itu, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen Pakatan Harapan.

Susulan itu, Rafizi yang membantah rundingan dengan PAS itu, mendedahkan wujud kemelut serius di kalangan ahli Biro Politik PKR, Selasa lalu.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pemimpin atasan yang menganggotai Biro Politik PKR berkuasa menentukan hala tuju parti sering tidak sealiran, malah keputusan yang dicapai juga tidak dihormati.

Katanya, keadaan itu berlaku sejak Anwar dipenjarakan pada Februari 2015.

Sumber yang dipetik Sin Chew Daily berkata, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lalu memutuskan tiada kerjasama dengan PAS, tetapi tidak membantah PKR berunding dengan parti Islam itu secara diam-diam.

Menurut sumber dalaman PKR, parti itu berpendirian tegas kerana ketua umumnya, Anwar mengarahkan rundingan dengan PAS diteruskan bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“PKR berdepan cabaran bukan sahaja daripada PAS, tetapi juga parti politik lain di Timur Malaysia. Oleh itu, kami akan terus berunding formula satu lawan satu dengan PAS, Parti Sosialis Malaysia dan parti lain di Timur Malaysia.

“PKR hanya membincangkan formula satu lawan satu dengan PAS. Ini bukan kerjasama politik kerana kami tidak membuat dasar atau manifesto bersama.”

Sehubungan itu, sumber berkenaan berkata, Anwar melantik Azmin mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS dan pelantikan itu turut mendapatkan persetujuan sebahagian besar ahli Biro Politik PKR.

Beliau mendakwa pemimpin yang membantah rundingan itu seperti Rafizi dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong bukan puak Azmin, oleh itu mereka sering menentang tindakan menteri besar Selangor itu, termasuk membantah rundingan berkenaan.

“Selaku naib presiden dan ahli Biro Politik, sudah setahun Rafizi tidak menghadiri mesyuarat biro itu.”

Difahamkan, ketika Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, lebih 3 minggu lalu, mereka sudah menyuarakan hasrat PKR mahu terus berunding dengan parti Islam itu.

Rafizi sebelum ini menamakan Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil antara pemimpin yang menyokong rundingan dengan PAS.

Manakala Leong, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad, Datin Paduka Tan Yew Kew, Syed Ibrahim Syed Noh, Datuk Johari Abdul, Sim Tze Tzin dan Fariz Musa menentang rundingan itu.

Leong mengumumkan peletakan jawatan dalam Biro Politik, pada Rabu minggu lalu kerana tidak bersetuju dengan rundingan itu.

Rafizi turut mencadangkan kongres khas diadakan untuk menghentikan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi.

Kenali Sariah Ali, konstabel polis wanita pertama negara (Gambar)

BERNAMA
Sariah Ali
Kesusahan hidup semasa zaman pemerintahan Jepun serta semangat mahu berkhidmat untuk negara tercinta mendorong Sariah Ali menyertai perkhidmatan pasukan polis wanita 61 tahun lalu.

Berasal dari Parit Kadzi, Muar, Johor, beliau yang berusia 22 tahun ketika itu adalah seorang daripada 54 orang yang lulus untuk pengambilan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang dibuat setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Sebenarnya mak cik hanya mencuba nasib mengikuti seorang kawan sekampung yang dapat surat tawaran menghadiri temu duga mata-mata (polis) di Mantin (Negeri Sembilan).

"Masa temuduga itu, ada lima orang termasuk mak cik tetapi di akhir temuduga itu empat lagi termasuk kawan sekampung mak cik tidak berjaya.

"Mak cik berjaya kerana kesihatan baik, mata tak juling dan ada kemahiran bercakap," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Cecily di sini baru-baru ini.

Meskipun sudah mencapai umur 85 tahun, warga emas ini masih berada dalam keadaan sihat dengan penglihatan yang masih jelas tanpa perlu memakai cermin mata.

Menurut Sariah, anak bongsu daripada enam beradik ini, ibunya, Kalsom Jusoh, seorang peniaga kopi turut menemaninya ke Mantin dengan menaiki kereta api.

Ayah Sariah yang dikenali dengan nama 'Ali Gagah' meninggal dunia sewaktu beliau berumur lapan bulan.

"Bila nak balik saya beritahu emak saya lulus. Tercengang emak kerana saya tak ada surat temu duga dan hanya tumpang kawan tapi akhirnya saya yang dapat kerja mata-mata tu," katanya yang bersekolah hingga tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Parit Kadzi, Muar, Johor.

LEMBARAN BARU

Selang seminggu selepas sesi temuduga, Sariah menerima surat tawaran rasmi untuk jawatan konstabel polis.

Tanggal 1 Ogos 1956 membuka lembaran baru dalam kehidupan anak kelahiran Johor ini apabila meninggalkan kampung halaman untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Wanita di High Street (kini Jalan Tun H S Lee) Kuala Lumpur.

Berdasarkan sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita, usaha mengambil polis wanita bermula pada zaman darurat 1948. Pada tahun 1955, ada pengambilan tujuh orang polis wanita untuk pangkat inspektor dan kemudian pada 1956, pengambilan pertama seramai 54 orang anggota polis wanita berpangkat konstabel dibuat.

"Untuk 54 orang perintis Pasukan Polis Konstabel Wanita, rata-rata usia pelatih kami dalam lingkungan antara 18 hingga 23 tahun.

"Kami dipecahkan kepada tiga lokasi latihan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak. Setiap lokasi ditempatkan 18 orang," tambah Sariah.

Menurut beliau, majlis pentauliahan anggota konstabel wanita itu disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada sekitar Mac 1957.

BANYAK KENANGAN

Selama enam bulan tempoh latihan, pelbagai pengalaman yang dilalui. Sariah masih ingat nama seorang pegawai polis wanita berbangsa Inggeris, Miss B.D.B. Wentworth yang dipinjamkan kepada pasukan polis untuk membantu melatih golongan perintis konstabel polis wanita.

Pengambilan Mata-Mata Khas Wanita atau WPC mendapat sambutan yang begitu baik kemudiannya, terutama di kalangan mereka yang tinggal di luar bandar.

Sebelum penubuhan polis wanita, tugas ini sebelumnya digalas isteri polis serta oang awam yang dilantik sebagai pegawai pemeriksa wanita.

Sariah turut berkongsi kenangan memulakan tugas di bahagian cawangan trafik dengan gaji bulanan RM99.90 ketika itu selain tugas menjaga lalu lintas.

Beliau berkata keadaan jalan raya pada waktu itu sangat menyenangkan kerana tidak banyak kenderaan berbanding zaman sekarang.

Warga emas itu turut bertemu jodoh di tempat kerjanya dengan suaminya, Kamaruddin Mohd Nordin, juga seorang anggota polis trafik yang bersara pada usia 54 tahun dengan pangkat akhir Sarjan Gelap (kini bahagian jabatan siasatan jenayah).

Suami Sariah meninggal dunia di Makkah pada tahun 1983 pada usia 55 tahun.

Sariah yang turut bersama suaminya untuk menunaikan ibadah haji itu berkata arwah suaminya yang bersara pada umur 54 tahun pernah berseloroh akan meninggal dunia di Makkah.

UNION JACK DITURUNKAN

Banyak kenangan manis Sariah sewaktu berkhidmat selama kira-kira 25 tahun sebagai anggota polis.

Dalam tempoh perkhidmatan itu, selain bertugas sebagai polis trafik dan di balai polis, beliau turut bertindak sebagai menjaga pesalah dan pengiring polis.

Bagaimana ada satu pengalaman yang masih segar dalam ingatan beliau iaitu bertugas pada malam ambang kemerdekaan di Padang Kelab Selangor (kini dikenali Dataran Merdeka).

Menurut Sariah, malam bersejarah itu tidak mungkin dapat dilupakan kerana dapat menyaksikan sendiri upacara menurunkan bendera Union Jack, menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat.

Pada malam itu beliau ditugaskan mengawal trafik di Padang Kelab Selangor.

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 tepat pukul 12 tengah malam di Padang Kelab Selangor diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack dan digantikan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

"Mak cik berasa seronok sangat. Orang sana sini laung 'merdeka, merdeka, merdeka'. Mak cik turut berpeluang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman," tambah Sariah yang mempunyai lapan orang anak.

Setelah mencurahkan bakti bertugas di Kuala Lumpur selama sembilan tahun, Sariah kemudiannya ditukarkan ke Melaka dan meneruskan perkhidmatan selama lapan tahun.

Dari Melaka beliau berpindah ke Teluk Intan sehingga bersara awal pada 1982.

Sariah yang kini menetap di Taman Cecily, Teluk Intan dan mempunyai 23 cucu dan 8 cicit berkata beliau teringin untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan perintis polis wanita seandainya masih mempunyai kesihatan yang baik.

"Sudah ramai rakan mak cik yang telah menghadapi illahi tapi masih ada dua tiga lagi yang dikhabarkan masih hidup yang saya tahu iaitu Mariam Mustafa dan Che Amah Mahmod," katanya.

Akar umbi kurang yakin komitmen Azmin kukuhkan Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE
Komitmen timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohamed Ali untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) diragui kumpulan akar umbi gabungan parti pembangkang tersebut melainkan beliau melaksanakan empat perkara.

Dalam satu kenyataan media, Gerakan Aktivis Harapan (GAH) mendesak naib presiden PH itu untuk membentuk sekretariat PH Selangor, mengusir Pas daripada kerajaan Selangor, mengarahkan PKR Kelantan menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri dan menerima secara inklusif penyokong PH dalam keputusan dasar politiknya.

Dalam satu kenyataan yang dipetik portal Selangorkini.com, Azmin mengakui menerima keputusan PH untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan berjanji akan memperkukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

Bagaimanapun GAH mengakui 'tidak teruja' dengan pengakuan Azmin dan menyifatkan kenyataan itu sebagai 'melepaskan batuk di tangga'.

Sehubungan itu, GAH turut menyokong hasrat ahli akar umbi PKR yang mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau kongres khas bagi membincangkan hal kerjasama dengan Pas dan mahu Azmin menjawab segala persoalan berhubung sikap tidak konsisten biro politik PKR yang dipengerusikan olehnya dalam melaksanakan keputusan parti khususnya merujuk hubungan PKR dan Pas.

"Sebagaimana yang difahamkan oleh (Naib Presiden PKR) Saudara Rafizi Ramli, Azmin adalah individu yang memporak-perandakan keputusan-keputusan partinya sendiri dengan mengubah keputusan biro politik yang asal. Termasuklah peranannya dalam siri pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," ujar kenyataan ditandatangani enam jurucakap GAH itu.

GAH juga masih berpendirian bahawa kelompok Azmin atau 'kartel' adalah parasit yang membawa barah kepada PH jika tidak berhati-hati.

Menurut GAH, tanpa sebarang tindakan konkrit daripada Azmin, kenyataannya hanyalah 'auta dan sandiwara' yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti.

"Maka adalah berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU nanti," ujar kenyataan yang ditandatangani Zanirun Baba, Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.