"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

PAS tidak gentar ribuan orang agama sertai Umno

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Jun:
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Hisham arah polis rahsiakan maklumat keganasan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan sebarang maklumat yang berkaitan keganasan seperti kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tidak diketahui umum bagi mengelakkan ia dieksploitasi dan faktor keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri, berbaju putih), berkata pasukan khas berkaitan isu keganasan dalam proses memberikan taklimat tertutup kepada naib canselor dan pensyarah universiti dan beliau telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya berhati-hati bagi memastikan maklumat itu tidak bocor.

Katanya jika maklumat itu bocor ada pihak akan membuat tuduhan yang tidak berasas selain ia turut membahayakan nyawa anggota polis yang terlibat dalam tindakan itu.

"Kita tidak mahu hanya kerana kita mahu telus berlaku perkara yang tidak diingini. Selepas itu ada pula pihak yang mengeksploitasi keadaan sehingga menjejaskan keselamatan.

"Sebagai contoh, ada pihak yang kata polis kaitkan Wahabi dengan pengganas, ini tuduhan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Baru-baru ini, Musa mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini PDRM telah menahan 10 anggota JI yang cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan.

Musa berkata semua mereka yang ditahan adalah kumpulan yang berasingan, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal tahun ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Hishammuddin berkata tugas polis hanyalah untuk membendung keganasan dan mereka tidak campur adukkan pengganas dengan ideologi sama ada agama atau politik.

"Isunya adalah keganasan...kita tak kira agama, politik, latar belakang dan warna kulit. Kita bukan hanya buru JI yang ada kaitan dengan orang beragama Islam tetapi turut buru militan yang melibatkan agama-agama lain," katanya.

-Bernama-

Hisham arah KDN bertindak ke atas Suara Keadilan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta Ketua Setiausaha KDN supaya meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana sering mengeluarkan berita yang tiada asas dan memfitnah.

Katanya, KDN dan agensi berkaitan mesti peka dan mengambil tindakan bagi mengelakkan ia berterusan dan bagi menunjukkan bahawa hak bersuara dan membuat liputan tidak bermakna sesuatu media itu boleh berbuat apa saja.

"Hak bersuara mesti diimbangi. KDN mesti ambil tindakan. Kita dah bincangkan dengan Peguam Negara. Mereka kena tengok syarat-syarat KDN dan tanggungjawab mereka kepada pembaca dan orang ramai. Saya difahamkan kementerian dah panggil akhbar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Akhbar itu pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk ''Felda Bankrap'' dan empat lagi artikel berhubung isu itu dalam keluaran sama.

Berikutan laporan itu, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap organisasi itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar yang sama menyiarkan berita bertajuk ''Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk ke Amerika Syarikat'' yang mendakwa Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditahan pihak Imigresen di Amerika Syarikat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Zambry kemudian memfailkan saman fitnah RM100 juta kepada akhbar itu dan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhbar itu bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada Zambry.

-Bernama-

Azmin nafi ada konspirasi tumbangkan MB S'gor

Beberapa pemimpin PKR menafikan wujudnya pakatan untuk menumbangkan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam permukiman parti itu di Shah Alam hari ini.

Bercakap di luar sesi permukiman parti itu di Shah Alam, seorang naib presiden parti itu Azmin Ali berkata soal menumbangkan Khalid tidak timbul sama sekali.

Katanya, kritikan ke atas menteri besar itu telah disalahtafsirkan sebagai usaha menjatuhkan Khalid.

"Tidak sama sekali. Saya menyokong sepenuhnya kepemimpinan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar," katanya yang juga ahli parlimen Gombak.

Bagaimanapun, kritikan daripada pemimpin parti ke atas Khalid menunjukkan kerajaan negeri perlu membuat perubahan bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong Pakatan Rakyat.

Khalid jalankan tugas dengan baik

"Tidak ada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah. Dari segi ini, Khalid telah menjalankan tugas dengan baik.

"Maknanya pentadbiran beliau bersih... Tapi masalah birokrasi masih ada. Yang ini harus diperkemaskan," katanya lagi.

Tambahnya, perkara utama yang dibincangkan dalam permukiman hari ini ialah persiapan untuk menghadapi pemilihan parti yang melibatkan jawatan di 218 cabang dan di majlis pimpinan tertinggi.

Katan

ya, taklimat hari ini juga menyentuh mengenai latihan yang akan diberikan kepada petugas-petugas dalam pemilihan yang ditetapkan berlangsung selama lapan hari itu.

"Kita sambut baik persiapan oleh sekretariat dan ada pegawai pilihan raya yang akan dilantik di setiap cabang" katanya lagi

Sementara itu, ketua sekretariat wakil rakyat PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas (
kanan) pula menafikan pembabitannya mengetuai seramai 15 orang wakil rakyat bagi menjatuhkan Khalid sebagai menteri besar.

"Saya dalam parti mengetuai sekretariat MP dan ADUN, itu betul. Tapi soal yang dibangkitkan media itu tidak ada dibincang secara khusus.

"Tidak ada petisyen, tidak ada memorandum seperti yang dilaporkan. Kalau ada saya akan tahu," katanya kepada media ketika ditemui di permukiman parti itu.

Buat spekulasi

K

etika ditanya lanjut, beliau turut menafikan kewujudan 15 orang wakil rakyat berkenaan sebagai spekulasi yang ditimbulkan oleh media.

"Siapa kata 15 (orang)? Yang kata 15 itu wartawan. Wartawan yang buat spekulasi. Kenapa 15 (orang) bukan 20, (sedangkan) ada 20 MP dalam PKR.

"Jadi ini adalah nombor yang direka-reka oleh seseorag. Saya tidak bertanggungjawab tentang itu," katanya lagi.

Sementara itu presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail (
atas, kanan), ketika ditemui wartawan turut menafikan isu itu ditimbulkan dalam permukiman kali ini.

"Tidak, kita telah keluarkan notis bahawa kita akan buat penilaian sebab kita ada pemilihan parti yang akan datang, dan kita bertemu (di permukiman). Apa yang isunya? Tidak ada isu.”

Turut ditemui, ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof yang berkata beliau langsung tidak mengetahui mengenai wujudnya "komplot" untuk menggulingkan Khalid.

"(Bagi) saya, apa yang dikatakan komplot, saya tidak tahu. Apa yang saya tahu perjumpaan hari ini adalah untuk memantapkan parti," katanya.

Sejak kebelakangan ini, media menimbulkan desas-desus 15 ahli parlimen PKR akan cuba menggulingkan menteri bear Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerna didakwa tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya.

-malaysiakini-

MB: Perbezaan Pendapat Lumrah Dalam Politik

Tan Sri Abdul Khalid hari ini menyifatkan perbezaan pendapat antara pimpinan dalam sesebuah pertubuhan politik adalah lumrah, sebaliknya beliau menegaskan, perkara tersebut membantu memantapkan sesebuah parti.

"Ini perkara biasa dalam persatuan atau politik, Ini yang disebut sebagai perbezaan antara kepimpinan. Ini satu-satunya persatuan yang matang dan mengalami keadaan ini dan secepat mungkin perkara ini akan diselesai.

"Apa-apa pun mesti ada penyelesaian dua pihak. Kita dalam parti, biasanya mengadakan mesyuarat untuk isu penting. Tapi, saya rasa isu selangor ini tidak sepenting dalam isu memantapkan parti dan mengemas kini jentera parti," katanya.

Sungguhpun media mendakwa wujud tekanan terhadap Khalid, 17 daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor pula mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat tergempar ini dibuat berikutan spekulasi media kononnya 15 ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid semasa permukiman parti itu di Shah Alam.

Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan media yang mungkin ada agenda tertentu.

"Spekulasi yang diulang-ulang dalam media, jadi jangan kita ambil sebagai satu kebenaran. Tidak wujud, sebab saya ahli parlimen dan saya kenal kawan-kawan saya.

"Inilah isu yang kadang-kadang akan ada perbezaan sedikit. Ini akan diselesaikan dalam saluran yang ada dalam parti seperti retreat dan mesyuarat dalam parti," katanya.

Saman Felda Hanya Dedah Kepincangan Sebenar

Tindakan saman terhadap pemimpin Pakatan Rakyat berikutan pendedahan akhbar Suara Keadilan terhadap masalah kewangan Felda, hanya akan mendedahkan kepincangan sebenar kedudukan kewangan Felda.

Demikian kata Ahli Majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang yakin mahkamah bakal menjadi medan pendedahan bagi merungkai permasalahan warga Felda.

Mengikut laporan media, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mempertikai laporan bertajuk `FELDA BANGKRAP’ dalam keluaran Bil 237 bertarikh 21 hingga 29 Jun 2010.

Beliau bercadang memfail saman terhadap Zaid; Pengerusi Biro Felda PKR Pahang, Suhaimi Said dan Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut dan Suara Keadilan.

"Ini merupakan penyakit baru di Malaysia, saman 200 juta, 300 juta. Kita boleh tulis apa yang kita nak. Mahkamah hanya suruh bayar ganti rugi berdasarkan bukti kita.

"Apa sebenarnya yang kita rugi dengan pendedahan itu. Ini hanya taktik politik nak menakutkan kita lah. Tapi kita tak bimbang soal 100 juta, 200 juta yang mustahaknya rakyat tahu apa yang berlaku.

"Seperti saya kata hari tu, kalau kes ini dibawa ke mahkamah kita ada peluang untuk membicarakan nasib Felda sebenarnya," kata Zaid.

Sambutan kemenangan ganti demo anti judi

Perhimpunan besar-besaran pada 3 Julai depan bagi membantah pemberian lesen judi sukan akan tetap diadakan tetapi dijadikan sambutan meraikan kemenangan.

Bagaimanapu
n menurut Gerakan Rakyat Bantah Judi (GMJ), mereka akan membatalkan hasrat untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jurucakap GMJ, Suhaizan Kayat (
kanan) berkata meskipun pihaknya mencatatkan kejayaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan malam semalam bahawa lesen judi berkenaan akan ditarik balik, namun momentum untuk berhimpun masih belum pudar.

“Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dari seluruh negara, yang masih mahu behimpun. Jadi, kami mungkin mengantikan perhimpunan itu sebagai sambutan meraikan kejayaan,” katanya ketika dihubungi.

Suhaizan juga berkata dia masih tidak yakin dengan pengumuman kerajaan itu dan akan mendapatkan penjelasan berhubung kesahihan keputusan penarikan balik kelulusan lesen judi seperti dilapor media semalam.

Katanya, penjelasan itu perlu berikutan keputusan pembatalan hanya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan ataupun jemaah menteri.

“Keputusan seharusnya dibuat oleh kerajaan dan kabinet, dan bukannya hanya Umno,” kata Suhaizan.

“Siapa tahu, mungkin Umno tidak bersetuju tetapi kabinet masih boleh meneruskan supaya lesen (judi sukan) diberikan.

“Kami mahu keputusan yang sahih daripada kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Suhaizan, GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak kerajaan berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan itu hanyalah dibuat oleh mesyuarat Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan.

"Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad, 27 Jun, jam 11 pagi di Kuala Lumpur untuk membincangkan tindakan selanjutnya," katanya.

Dr Asri tak cadang sertai parti politik... sekarang

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan hari ini yang beliau sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

“Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta, tanpa mengira batasan parti, kaum atau agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan menerusi sms ringkas kepadaMalaysiakini hari ini.

Asri berkata pada masa yang sama, beliau menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah dalam mana-mana parti.

“Saya tidak mahu membuat kenyataan banyak dalam hal ini, demi menjaga perasaan sahabat-sahabat dan pihak-pihak yang lain. Apa yang penting, saya tidak menyertai mana-mana parti, dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu setakat ini,” katanya.

Desas-desus kemasukkan Asri ke Umno bertiup kencang sejak awal bulan ini tetapi ia tidak menjadi kenyataan apabila pada malam semalam antara 40 ulama muda yang menyertai parti itu, kelibatnya tidak kelihatan.

Pada sidang media yang diadakan selepas penyerahan borang keahlian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno, ahli MT, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Asri akan berbuat demikian "bila sampai masanya".

"(Kemasukan dalam Umno) ini berperingkat-peringkat. Dalam Umno ini ada ahli Umno, dan ada penyokong Umno... Melihat dari aspek tersebut, saya rasa (Asri) tak ada masalah. Ini peringkat pertama.

"Beliau (Asri) akan masuk dalam kumpulan yang kedua," katanya.

DAP pertikai exco Perak kerap mesyuarat di KL

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zamry Kadir diminta memberikan rasionalnya mengapa mesyuarat exco kerajaan negeri kerap kali diadakan di hotel bertaraf lima binatang di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang juga setiausaha DAP Perak berkata kali terakhir mesyuarat kerajaan negeri diadakan di Kuala Lumpur ialah pada Rabu lalu.

Katanya, ketika rakyat Perak menghadapi kekangan kewangan dan defisit kerajaan negeri mencecah RM70 juta pada tahun ini, kerajaan negeri pula boros berbelanja.

“Sedangkan bangunan Perak di Ipoh telah siap dengan segala kemudahan. Tindakan Zamry adalah satu pemborosan wang rakyat dengan puluhan ribu elaun, sewa hotel dan kos penginapan serta kos pengangkutan yang terpaksa dibiayai rakyat kerana mesyuarat exco di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Taiping, semalam.

Nga berkata, adalah tidak masuk akal untuk sering-kali mengadakan mesyuarat exco Perak diadakan di Kuala Lumpur, mahupun di tempat-tempat peranginan lain sedangkan hutang negara yang mencecah jumlah RM377 billion semakin membimbangkan.

Perak negeri ke-3 termiskin

“Tambahan lagi, negara kita sedang menghadapi risiko menjadi muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala,” katanya.

Merujuk perangkaan Jabatan Perdana Menteri, Nga berkata 40 peratus daripada keluarga rakyat di negara ini, iaitu 2.4 juta keluarga di seluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan.

“Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5 peratus dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. Di bawah pemerintahan BN, Perak juga merosot menjadi negeri ke-3 termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Terengganu,” katanya.

Nga juga membidas kerajaan yang menasihatkan rakyat berjimat-cermat dan membayangkan kemungkinan subsidi barangan asas ditarik balik atau dikurangkan tetapi pada masa yang sama boros berbelanja.

“Contohnya, kerajaan belanja RM6,700 juta untuk membeli kapal peronda TLDM walaupun Malaysia adalah anggota treati antarabangsa anti perang dan berada di luar zon perang,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kewangan yang lemah dan tindakan boros kian serius dan menyeru rakyat berubah untuk menyelamatkan negara daripada menjadi muflis menjelang tahun 2019.

Helikopter terhempas, juruterbang terbunuh

Sebuah helikopter jenis Sikorsky milik sebuah syarikat pembalakan yang berpangkalan di Miri terhempas di tengah hutan dekat Long Pelutan, Baram petang semalam, mengorbankan juruterbangnya warga Amerika.

Seorang lagi warga Amerika, dipercayai pembantu juruterbang helikopter itu mengalami kecederaan dalam nahas yang dilaporkan berlaku pada kira-kira 5.30 petang dekat kem pembalakan yang didirikan di penempatan di situ, kira-kira 50 batu nautika tenggara dari Miri.

Ketua Polis Daerah Marudi DSP Abu Bakar Mokthar semasa dihubungi berkata krew yang cedera itu dihantar ke sebuah hospital swasta di Miri dan tahap kecederaan yang dialaminya masih tidak diketahui.

Mayat juruterbang itu masih tersepit dalam bangkai helikopter itu, katanya.

Menurut beliau, satu pasukan polis telah dihantar ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat juruterbang itu dan menjalankan penyiasatan.

Untuk ke Long Pelutan, perlu menggunakan helikopter yang disewa, yang mengambil masa sejam penerbangan dari Miri atau melalui jalan balak yang mengambil masa kira-kira 10 jam.

-Bernama-

Judi Dan Arak Tetap Haram Walaupun Sejuta Ulama Menyertai UMNO

ibnuirfadzil
Sepertimana yang pernah saya persoalkan sebelum ini, adakah benar mereka ini ulama sepertimana yang digariskan oleh Islam? Atau sekadar dilabelkan sebagai ulama? Atau buat-buat ulama? Terpulang untuk memilih mana satukah jawapannya.

Apa nak hairan, di bumi Mesir ini pun "ramai ulama-ulama UMNO". Di Jordan pun ramai jugak kan? Apa nak dihairankan? Saya rasa pelik, kenapa mereka yang memperjuangkan UMNO di Mesir dan Jordan ini tidak kedengaran ke"ulama"kan mereka apabila di Malaysia?

Setiap tahun, pasti ada mereka yang mengikuti pengajian Islam di Timur Tengah, akan pulang ke Malaysia, dan membawa ideologi UMNO. Tetapi ke manakah mereka di dalam UMNO? Terpulanglah, itu ideologi masing-masing..

Tapi, suka untuk saya memberi nasihat di sini, “jangan salahgunakan istilah ulama”. Kalau istilah ulama disalahgunakan, tak hairanlah kalau sejuta “ulama” akan buat maksiat. Dulu, ada yang mengatakan Ustaz Pirdaus dan Ustazah Masyitah itu sebagai ulama.

Tetapi taring mereka sudah tidak kelihatan hari ini untuk membela UMNO, lebih-lebih lagi isu judi. Saya juga tidak hairan kalau terdapat lebih daripada sejuta “ulama” akan masuk UMNO sekiranya istilah “ulama” itu disalahgunakan.

Saya agak terkilan dengan UMNO apabila isu judi ini semakin membarah. Selain itu banyak lagi isu-isu yang jelas bertentangan dengan Islam. Maka, saya sebagai mahasiswa Islam tidak akan berdiam diri dengan perkara ini.

Saya juga terfikir, kalaulah UMNO itu perjuangkan Islam, alangkah bagusnya.. Tetapi itu sekadar harapan. Sebelum ini mereka menyingkirkan ulama, hari ini mereka berdalilkan “ulama” untuk meraih sokongan. Saya tidak sabar menanti hujah 40 orang ulama ini untuk mengulas isu judi, arak, hudud dan sebagainya.

Satu perkara lagi ingin disebutkan, UMNO berpegang dengan menolak hudud dan menghalalkan judi, kalau sejuta orang ulama menyertai UMNO sekalipun, perjuangan UMNO ini tetap salah dan bercanggah dengan Islam.

Judi tetap haram walaupun sejuta ulama menyertai UMNO.

Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Pemimpin PKR S'gor ikrar sokong Khalid

Pemimpin PKR Selangor, malam semalam berikrar akan berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar besar yang dipercayai akan menghadai pemberontakan oleh sesetengan ahli parlimen parti itu.

Tujuh belas daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor hadir pada mesyuarat tergempar bagi menyatakan sokongan mereka ke atas Khalid.

Khalid menga
mbil keputusan untuk tidak bersama pada mesyuarat dua jam yang diadakan di kediaman menteri besar itu.

Hanya lima pemimpin bahagian, termasuk Azmin Ali yang mengetuai bahagian Gombak tidak hadir.

Dua daripada ketua bahagian itu memberitahu mereka tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan juga mempunyai tugasan lain tetapi berikrar menyokong Khalid.

Hanya dua yang tidak memberikan sebarang alasan dan mereka itu dipercayai penyokong Azmin.

Mesyuarat tergempar ini diadakan oleh ketua bahagian PKR Selangor berikutan desas desus bahawa 15 ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid semasa permukiman parti itu di Shah Alam yang bermula hari ini.

Khamis lalu, Azmin yang juga naib presiden PKR mengesahkan perletakkan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi menafikan tindakannya ada kaitan dengan pergeseran antaranya dengan Khalid.

"Dalam surat itu, saya tidak menyatakan apakah sebab saya meletak jawatan dan ia juga tidak berkaitan dengan pemilihan PKR pada hujung tahun ini,” katanya.

Pada sidang media itu Azmin yang diasak oleh wartawan berhubung khabar angin pergeserannya dengan Khalid mengakui sesetengah pihak di parti itu mempunyai beberapa isu dengan menteri besar berkenaan.

Namun katanya, beliau bukan seorang daripada mereka.

"Ini bukan isu saya. Ia luahan ahli dalam parti. Anda lihat pada kongres lalu...kebanyakan perwakilan melahirkan kebimbangan mereka dengan kerajaan negeri, khususnya Selangor yang mesti bergandingan tangan dengan ahli parti dan pemimpin lain kerana mereka mesti melaksankan polisi yang dilulus dan ditauliahkan oleh PKR,” katanya.

Azmin juga menafikan bahawa beliau dalang yang cuba mengulingkan Khalid daripada kerusi menteri besar dan berkata jika beliau berhasrat berbuat demikian ia akan dilakukannya sejak tahun 2008 dan bukan ketika penggal sekarang hampir berakhir.

MJ Dibunuh Kerana Wang - Latoya Jackson

ADIK kepada penyanyi Michael Jackson iaitu Latoya Jackson (gambar) mendakwa abangnya telah dibunuh kerana wang memandangkan Raja Pop itu "jauh lebih bernilai selepas kematiannya berbanding ketika masih hidup".

Dalam satu kenyataan kepada laman web mirror.co.uk baru-baru ini, Jackson menegaskan, keluarga dan peminat abangnya berhak untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sebalik kematian penyanyi itu genap setahun yang lalu.

"Saya memang tidak ragu-ragu dia (Michael) telah dibunuh. Apabila mendapat tahu tentang berita kematiannya dan apabila ibu kami menjerit di telefon memberitahu 'dia sudah mati', hanya satu persoalan yang terlintas di fikiran saya iaitu 'siapa yang melakukannya?'"

"Michael dibunuh kerana katalog lagu-lagunya yang sangat bernilai. Pihak yang terlibat dalam konspirasi kematian Michael menyedari betapa tingginya nilai Michael selepas dia mati berbanding ketika masih hidup.

"Anak-anaknya, ahli keluarga dan peminat berhak untuk mengetahui cerita sebenar di sebalik kematian Michael. Sejujurnya, ia (konspirasi) adalah satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Michael, malah kepada ahli keluarganya juga. Ia sangat tidak adil, satu kesalahan besar dan bukannya kemalangan seperti yang dihebahkan," katanya.

Bercerita tentang keadaan ibunya selepas kematian Michael, Jackson berkata: "Saya dapat merasai penderitaan dan kesedihan di mata ibunya. Namun, dia sangat kuat menghadapi keadaan itu dan memilih untuk tidak menangis atau menunjukkan kesedihannya. Saya tahu dia berbuat demikian demi anak-anak Michael."

Sementara itu Raja Pop itu turut menerima 600 batang bunga matahari yang dihantar ke pusaranya di kawasan perkuburan Glendale, California bersempena dengan ulang tahun kematiannya yang pertama hari ini.

Sunflowerguy.com menghantar bunga-bunga tersebut dengan setiap satu mengandungi mesej tersendiri bersama 100 lagi jambangan bunga matahari oleh orang persendirian dan juga 4,000 kuntum bunga ros.

Bunga matahari yang merupakan bunga kegemaran Michael Jackson diletakkan kira-kira 100 kaki dari tanah perkuburan tersebut, ekoran kerja-kerja pembinaan yang dilakukan, lapor tmz.com.

Wakil Sunflowerguy.com, Jason Levin berkata, MJ layak untuk menerima lebih daripada semua barangan termasuk bunga, lilin dan hadiah yang diletakkan di pusaranya.

-mstar-

Kenyataan Media GMJ : Kerajaan Batal Lesen Judi Sukan

Kenyataan Media

Sabtu 26- Jun - 2010

KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK MEMBENARKAN LESEN JUDI SUKAN

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) telah mendapat maklumat daripada media bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada hari jumaat 25hb Jun 2010 telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meluluskan lesen judi sukan.

Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan agama dan kesan kepada politik. Sehubungan itu pihak GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak Kerajaan Malaysia berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan ini hanyalah dibuat oleh mesyuarat UMNO bukannya mesyuarat Kerajaan Persekutuan.

Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad 27hb Jun 2010 jam 11 tengahari di Kuala Lumpur untuk membincangkan tidakan selanjutnya. Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua NGOs dan pertubuhan politik yang telah bernaung di bawah GMJ.

Suhaizan Bin Kaiat

Setiausaha

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

WOW! Hadis-hadis berkaitan UMNO

dewa
SETIAP kali penulis membaca hadis berikut, penulis bertambah yakin bahawa UMNO sememangnya termasuk golongan yang disebut-sebut dalam hadis tersebut. Hadis yang mana satu ni??

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu.
Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

PERASAAN BENCI yang membuak-buak oleh pemerintah UMNO ke atas rakyat jelata khususnya kita semua yang menyokong Pakatan cukup jelas. Saban hari penyokong dan kepimpinan Pakatan dizalimi dan dicemuh. Pembaca setia akhbar pengampu Utusan pasti sedar betapa setiap benih-benih kebencian disemai dan rasa benci UMNO pada Tok Guru dan rakyat jelata yang menentang mereka sentiasa disiarkan.

KITA semua pun cukup benci dan meluat pada kepimpinan 'win-win situation' UMNO yang menyerahkan 2 telaga minyak kepada negara asing, menyerahkan Batu Putih dan menganiaya rakyat dengan pelbagai cara termasuk pemotongan biasiswa kepada 1500 pelajar cemerlang tajaan JPA dengan menidakkan hak mereka untuk menyambung pelajaran di luar negara (atas alasan negara tak berduit).

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sekiranya kerajaan Kelantan membuat kempen mari bersolat, maka wajiblah ke atas penduduk Kelantan termasuklah yang berfahaman UMNO untuk menyahut seruan dan kempen tersebut.

TETAPI, apabila kerajaan pusat UMNO melalui 'bakal' Menteri Besar Kelantan, Awang Adek menggesa kita semua agar bersama-sama membenarkan lesen judi bola dan menguatkan lagi industri judi negara demi 'mengawal' judi haram, wajiblah kita menolak seruan jahat UMNO tersebut.

SAMALAH dengan seruan NGO wanita yang diketuai oleh anak-anak bos UMNO yang menggesa agar lesen pelacuran/'pekerja sosial' dibenarkan untuk 'mengawal' AIDS dari merebak melalui 'pelacuran haram'. Teringat pulak fatwa sesat bahawa ibu tunggal boleh melacur bila darurat. KESEMUA ini tidak lebih dari syaitan-syaitan yang berbicara.

PENULIS masih ingat pesanan Mat Sabu: "JANGANLAH menyokong PAS secara dulu, kini, selamanya. Sekiranya PAS menyeleweng, wajib ke atas kita semua menegur dan melawan PAS". Inilah semangat yang betul!!

Bak kata Tok Guru: PERGI JAHANAM DENGAN UMNO!!

Sambungan kisah Mat Indera penyerang balai polis Bukit Kepong

wasiatpejuang
Mat Indera amat disayangi oleh massa revolusioner yang cintakan kemerdekaan ibu pertiwi tetapi amat dibenci oleh kaum penjajah British. Oleh itu kaum penjajah telah menawarkan hadiah 25,000 ringgit jika dapat menangkap hidup-hidup Mat Indera dan 10,000 ringgit jika dapat dibunuh.


Mat Indera bersama rakan guru agama kerajaan Johor

Tahun 1951, ketika Mat Indera dan sejumlah kawan Melayu bergerak di Batu 6 Jalan Air Hitam, seorang hantu penjajah yang diseludupkan di kalangan orang ramai menjalankan tipu daya memberikan makanan beracun kepada Mat Indera. Mat Indera pengsan kerana keracunan. Mengambil peluang inilah penjajah telah menangkap Mat Indera dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.

Mengetahui Mat Indera tertangkap, massa rakyat mengutuk keras kebiadaban penjajah British. Ratusan massa datang ke penjara menyampaikan rasa hormat mereka kepada Mat Indera serta menghadiahkan makanan sebagai menyatakan simpati dan hiburan yang mendalam.

Di penjara, penjajah British menggunakan berbagai siasat baik keras mahupun lembut, baik penyeksaan mahupun pujuk rayu dan tipu muslihat. Akan tetapi, semua tipu muslihat penjajah itu tidak dapat melunturkan tekad teguh Mat Indera.

Kerana habis segala cara, penjajah British cuba membawa Mat Indera ke mahkamah terbuka. Akan tetapi beratus-ratus massa rakyat dari berbagai tempat dan lapisan datang beramai-ramai untuk menyatakan sokongan tegas mereka kepada Mat Indera serta mengutuk kezaliman penjajah. Mereka menyerahkan surat bantahan menuntut beliau segera dibebaskan tanpa syarat.

Kerana takutkan pengaruh Mat Indera dan kebangkitan massa rakyat, penjajah British membatal- kan mahkamah terbuka tersebut. Mat Indera kemudiannya digantung sampai mati di penjara Kemunting, Perak. Ketika terkorban beliau baru berusia 33 tahun.

Mat Indera seorang pahlawan kemegahan bangsa Melayu yang telah menyumbangkan seluruh jiwa raganya untuk kemerdekaan nusa, bangsa dan agama.

------
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. bahagian pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, SIRD 2005

Ulama, Umno dan bagi makan anak bini dengan duit rasuah

Penarik Beca

Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk "40 ulama serah borang keahlian Umno" (lihat juga berita Malaysian Insider "40 ulama muda sertai Umno tanpa Asri"). Apa yang depa nak? Nak jadi orang besar dalam Umno?

Kalau depa rasa depa boleh jadi orang besar dalam Umno, harap mereka kenang apa terjadi kepada kupang-kupang tembaga (maknanya syiling satu sen yang hampir tidak digunakan) seperti Datuk Dr Abdullah Md Zin, Brig Jen (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi yang saya tak perlu sebut. Jangankan pemimpin utama di peringkat nasional, nak jadi pemimpin utama di peringkat bahagian pun tak merasa.

Atau, adakah depa fikir depa nak beri wajah dan ruh Islam kepada Umno? Kalau itu yang depa nak buat, elok depa kenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika dia masuk Umno pada Mac 1982, dengan penuh kurang ajar Anwar bangangkan orang ramai dengan dakwaan kononnya dia masuk Umno untuk Islamkan parti pengkhianat Islam dan Melayu itu. Akhirnya, Umno tak sedikit pun Islam, Anwar yang tenggelam. Tenggelam dalam budaya kafir Umno - siap luluskan judi di Sabah dan Sarawak.

Ada juga bekas imam yang menyertai Umno. Beliau dijadikan bidak di papan catur Umno untuk melawan seorang pemimpin pembangkang. Akhirnya bila dah tak dak kerja nak bagi anak bini dia makan, dia jadi pegawai khas kepada ketuanya di dalam Umno yang juga seorang menteri. Menteri itu khabarnya ada berpuluh pegawai khas. Orang di kementerian berkenaan memberitahu, tidak ada peruntukan untuk membayar gaji kesemua mereka. "Gaji dia orang pihak swasta bayar," kata pegawai itu.

Persoalannya, kenapa swasta bayar? Adakah pihak swasta nak bayar free-free? Tentulah ada habuan yang dijanjikan. Kalau tak, apa kerja dia nak bayar gaji depa termasuk bekas imam tu. Adakah amalam itu tak termasuk rasuah?

Cerita bekas imam yang mendapat gaji penuh misteri dari pihak swasta sedangkan beliau pegawai khas menteri boleh menerangkan nilai sebenar orang-orang agama yang masuk Umno. Bagaimana kalau gaji yang diterimanya itu dikategorikan sebagai rasuah kepada menteri berkenaan? Adakah bekas imam itu memberi makan anak bininya dengan duit rasuah yang diterimanya setiap bulan?

Tidak Wajar Agama Diwacana Diruang Siber?

Mohd Sayuti Omar

HARI ini apa saja perkara kita hebahkan kepada umum dengan menghantarkannya ke dalam ruang media massa. Sama ada kita mencari media atau media mendekati kita, tetapi itulah yang berlaku. Blog, facebook, twinter dan atau portal berita siber adalah ruang dan medan baru yang makin menarik dan diminati ramai.

Dari perkara sekecil-kecilnya sampailah perkara sebesar-besarnya. Dari perkara dalam bilik air di rumah kita hinggalah kepada permasalahan di pejabat perdana menteri. Apakah semua perkara wajar dikhabar dan dimasukkan ke dalam media massa?

Pada saya tidak semua kemudahan ini (media siber) perlu dipergunakan. Harus ada batas dan taranya. Misalnya soal-soal peribadi tidak wajar dimasukkan kerana menerusi ruang ini ia akan dibaca oleh semua orang.

Atau kalau ingin masukkan juga kerana ia sebagai
instrument terbaik untuk menegur dan mengkritik harus ada etikanya. Berpada-padalah menggunakannya dan jangan sepanjang masa. Atau kalau boleh dielakkan jangan guna langsung.

Begitu juga dengan permasalahan agama berhubung fahaman, anutan, amalan ritual dan aliran mazhab tidak wajar disumbat ke dalam media massa atau blog. Ia lebih lunak kalau dibahaskan secara beradat dan bertempat yang diperhatikan pula oleh pakar dan ahlinya. Kalau terjadi perbahasan (pertikaian) biarlah atas nawaitu kebaikan bersama dan bukan menyerang peribadi.

Sekarang ini saya lihat ada kecenderongan wacana mengenai agama menggunakan orang perantaran sebaga jurubicaranya. Perantaraan inilah menjadi mediator yang mendedah, mengulas kemudian minta pandangan balik. Ada kalanya jurubicara itu menjadi mediator yang menimbulkan polemik atas tujuan dia saja yang tahu.

Ini tidak bagus. Misalnya perbahasan melibatkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainual Abidin dengan Penolong Pengarah Pusat Al Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Md Zain semacam ianya ditaja oleh media massa. Media massa telah memberi ruang untuk mereka berwacana sesungguh hati tanpa melihat bahaya-bahaya atau keburukan sampingan lain.

Dalam hal ini saya nampak media semacam menjadi penyambung tangan kedua mereka untuk tambah melontarkan batu antara satu sama lain.

Kerana acohan itu mereka saling menjawab dan membalas tembak menerusi ruang yang dikendalikan oleh mediator ini. Ada kalanya wartawan atau pemberitalah yang menjadi orang tengah. Sejauh manakah kita boleh menyakini pemberita itu adil dan beretika dalam tugas mereka? Apakah mereka tidak ada agenda tertentu di sebalik menjadikan laproan itu sensasi untuk menarik pembaca. Seharusnya perkara ini diamati kerana ia melibatkan soal agama, soal yang amat sensitif dan bersifat personal.

Bila timbul sebarang kemusykilan ataupun pertelingkahan pandangan dan anutan, kedua pihak perlu bersemuka untuk membincang dan mencari penyelesaian apa-apa yang kusut dan bercanggah atau mengelirukan itu. Saya percaya kedua mereka atau kita semua tidak mahu kepada kesesatan dan kejahatan. Tidak..!

Misalnya kalau Zamihan ada perkara tidak puas hati menurut pandangan dan ilmunya berhubung pegangan atau anutan Asri, beliau boleh berjumpa dan meminta Asri menjelaskannya. Dengan memaparkan sijil kelulusan seseorang untuk menafikan ilmu dan pengetahuannya bukan cara terbaik. Sebaliknya cara itu boleh menyakitkan hati dan melebarkan lagi jurang perselisihan.

Zamihan patut ikhlas menemui Asri dan bermuzakarah mengenai apa-apa yang beliau tidak faham ataupun yang beliau tidak temui tetapi terjumpa oleh Asri. Begitu juga dengan Asri, kalau beliau musykil dengan cara Zamihan menegurnya dari belakang, datanglah berjumpa secara fizikal dan bukan tembak dalam ruang siber. Ini tidak baik saya katakan kerana ruang berkenaan ditatap umum sedangkan adakalanya permasalahan yang timbul disebabkan unsur peribadi dan maksudnya berlapis-lapis.

Saya perhatikan bertengkar dan berbalah dalam media tidak ada kesudahan dan memberi keuntungan kepada kedua pihak. Bahkan ia akan mendalamkan lagi lurah jurang permusuhan. Ada kalanya kerana campur tangan media yang tidak bertanggungjawa keadaan yang baik jadi sebaliknya. Ini sudah lama saya perhatikan bagaimana sikap orang politik yang menjadikan media sebagai tempat lempar melemparkan tahi busuk di antara mereka. Apakah natijah dari itu, nahin!

Kawalan ke atas perkara ini bukan boleh dilakukan sesiapa melainkan individu berkenaan. Umumnya umah Islam sendiri. Mereka yang sayang kepada agama, rindukan pertautan seagama dan sebangsa boleh membatasi diri mereka dan mengelakkan dari menjadi alat oleh media massa.

Jangan salah tafsirkan kebebasan beragama dan kebebasan membahas agama secara sambrono. Ada pepatah mengatakan perbalahan itu akan membawa hikmah, tetapi ia harus dilihat perbalahan yang macam mana. Bukan semua pertelingkahan otak apa lagi atas kepentingan nafsu akan membuahkan kebaikan. Jika ia tidak diurus dan dikawal dengan baik ia akan memberi kesan buruk.

Fahamilah, mereka yang membaca blog, yang mengikut media massa bukan semua ada maklumat dan pengetahuan atau acuan ilmu tertentu. Dalam konteks ini kena sedar bahawa mereka mengambil bahan menguyah sendiri tanpa ada petua dan mengetahui mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Adakalanya dalam perincangan itu mencecah hakikat dan marifat tetapi malang si penikmatnya hanya ada ilmu kalam semata-mata.

Jadi, usahlah kita teruja denghan kemudahan dan ruang maya terbentang luas untuk kita mengenengahkan pandangan dan buah fikiran kita, jangan. Kita kadang tidak sedar dalam seoronok itu kita telah dijadikan alat oleh sesutau golongan untuk kepentingan mereka. Selalunya musuh akan menjerat kita dalam kita asyik dan masyok dengan kehebatan diri yang semuanya milik Allah.

Friends of Pakatan ditubuh di London

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Jun:
Friends of Pakatan, sebuah persatuan penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat telah ditubuhkan di kota raya London, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Beliau yang baru sahaja pulang dari London berkata, persatuan tersebut adalah gabungan profesional rakyat Malaysia yang menginap dan bekerja di United Kingdom yang mewakili semua kaum Melayu , Cina dan India.

Menurutnya, satu pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut telah diadakan di kotaraya London baru-baru ini sempena dengan lawatan beliau ke United Kingdom (UK).

Katanya, majlis pelancaran Friends of Pakatan akan dilakukan pada awal Julai depan dengan dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Friends of Pakatan adalah satu lagi perkembangan positif tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.

“Ini adalah kerana persatuan ini menggabungkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa di luar negara,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, dalam pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut, mereka telah memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk bersama Pakatan bagi menyumbangkan kepakaran mereka membangunkan negara bersama dengan Pakatan.

“Selepas dari UK, mereka bercadang untuk melebarkan lagi Friends of Pakatan ke negara-negara lain seperti di Eropah dan juga di Amerika Syarikat,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, pengerusi jawatankusa penaja persatuan tersebut, seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan di UK memaklumkan bahawa setakat ini mereka telah berjaya menghimpunkan seramai tiga ratus penyokong dan yakin lebih ramai akan menyertainya selepas majlis pelancaran nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok baru kembali dari lawatan selama seminggu ke UK bagi menghadiri beberapa siri jemputan organisasi Islam di sana.

Beliau telah dijemput berucap pada seminar The Future of The Muslim Ummah; Hopes and Challenges anjuran Islamic Unity Forum di London.

Nasharudin juga dijemput sebagai tetamu di Muslim Council of Britain di London.

Timbalan Presiden PAS itu kemudiannya ke bandar Nottingham sebagai tetamu kepada sebuah badan kebajikan Islam yang dikenali sebagai Muslim Hands International.

Di Nottingham, beliau turut diminta berucap di Masjid University of Nottingham.

Ustaz Nasharudin juga turut ditemubual selama satu jam oleh TV Al-Hiwar, sebuah rancangan TV berbahasa Arab yang berpusat di London.

JI, militan: Penutup tempayan budu kerajaan

Hasanhusaini
Awal millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat (SAR) menjadi mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.

Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh ibu bapa yang melatah dengan isu tersebut. Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias itu. Saya yang masih berada di pondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari 'pondok militan' ke sekolah kementerian.

Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyakan mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.

Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas parti pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi empuk memanda Perdana Menteri.

Kisah hari ini

Awal 2009, seorang MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, kapal selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpin kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.

Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca: menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi, zionis, Israel serta Amerika.

Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!

Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.

Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Serangan dan penangkapan itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10 jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan, kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!

Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke atas Jemaah Islam dan militan di Malaysia. Beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia sama ada kerana mendapat nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetengah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin jet, kapal selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defisit negara, kezaliman polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan isu JI dan militan.

Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:

- Bersedia untuk berjuang.

- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.

- Aktif dalam perjuangan.

Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?

Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah agama, pelajar agama, persatuan agama, guru agama dan institusi agama dan institusi ulama.

Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau militan di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus juga perlu berhati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi, Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda semua mungkin sasaran Israel!!

Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.

Hasanhusaini,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.