"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih banyak bukti mengejutkan dalam perbicaraan kes Najib minggu ini

Bernama
Lebih banyak keterangan mengejutkan daripada saksi penting dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dalam SRC International Sdn Bhd minggu ini yang mendedahkan ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC Nik Faisal Ariff Kamil mendapat sokongan individu berpengaruh iaitu berdasarkan peribahasa Cina ‘ada gunung di belakangnya’ dan digambarkan sebagai CEO yang amat berkuasa dalam syarikat berkenaan.

Berikut adalah keterangan bekas pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin semasa perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali minggu ini.

HARI KE-30 (1 Julai) :

Suboh memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menandatangani tiga surat arahan pemindahan wang berjumlah RM50 juta membabitkan syarikat itu dan dua subsidiarinya atas perintah Nik Faisal.

Beliau berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff merujuk beliau kepada tiga surat arahan pemindahan wang melibatkan tiga transaksi perbankan iaitu RM40 juta, RM5 juta dan RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2015.

Suboh berkata beliau menandatangani surat arahan pemindahan wang itu selepas diminta oleh Nik Faisal untuk tandatangan.

Saksi ke-42 pendakwaan itu, berkata beliau tidak pernah menyoal Nik Faisal berhubung perkara tersebut (surat arahan pemindahan wang) kerana Nik Faisal, selaku CEO SRC, bertanggungjawab terhadap hal-hal kewangan dan pentadbiran.

Beliau juga berkata Nik Faisal mungkin telah memalsu (meniru) tandatangannya pada dokumen bank berkaitan pemindahan dana oleh SRC. Pemindahan dana dikata melibatkan berjuta-juta ringgit dari SRC kepada dua subsidiarinya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pendedahan ini dibuat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Najib, ketika menyoal balas Suboh yang pihak pembela menggunakan mesin projektor bagi membandingkan tandatangan Suboh pada beberapa salinan kertas dan pada dokumen yang diimbas.

Peguam itu menimbulkan isu bagaimana semua tandatangan Suboh pada 11 dokumen bank di salinan yang diimbas adalah serupa dengan saiz dan struktur yang sama dan mempunyai padanaan tepat dan bagaimana tandatangan Suboh pada salinan kertas pula berbeza dari salinan imbasan.

HARI KE-31 (2 Julai) :

Suboh juga berkata tandatangan pada dokumen SRC yang dikatakan ditandatanganinya adalah berbeza daripada tandatangannya sendiri dan bersetuju bahawa sampel tandatangan itu tidak serupa dengan tandatangan pada dokumen yang termasuk arahan kepada AmIslamic Bank untuk pemindahan wang dari SRC International kepada Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Suboh juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Nik Faisal mendapat sokongan individu berpengaruh dan sebagai CEO, beliau amat berkuasa dalam syarikat berkenaan dan beliau memberi dua sebab berkata demikian.

“Tahukah anda, dia diperkasa oleh kedudukannya, kenapa? Pertamanya, dia adalah CEO syarikat berkenaan, dia seorang yang amat berkuasa.

“Keduanya, dia diperkasakan kerana dia ada seseorang di belakangnya seperti kata peribahasa Cina ada ‘gunung di belakangnya’. Inilah beliau, jadi dia tolak kita ke tepi, mengurangkan kita sebagai lembaga pengarah kepada sehingga tiada apa-apa.

“Saya mahu saja menjelaskan hari itu, tetapi anda semua (peguam) membantah. Jadi saya tidak menjelaskannya,” katanya apabila disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib.

HARI KE-32 (3 Julai) :

Suboh memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu tentang kewujudan akaun ‘rahsia’ di AmBank yang menerima pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk syarikat itu pada 2011.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam Najib bahawa tidak seorangpun pengarah dalam SRC atau Nik Faisal memberitahunya terdapat satu lagi akaun bagi SRC dengan nombor akaun berakhir dengan 736.

Saksi itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah melihat penyata akaun ‘rahsia’ SRC. Malah beliau berkata transaksi dari Januari 2011 hingga 31 Ogos 2015 adalah di luar pengetahuannya.

Mahkamah Tinggi juga diberitahu tentang fakta mengejutkan bahawa satu daripada akaun bank SRC International Sdn Bhd tinggal baki hanya RM264, bertentangan dengan dakwaan Nik Faisal bahawa akaun itu masih ada baki RM16 juta.

Suboh bersetuju dengan hal itu selepas beliau ditunjukkan dokumen bagi satu akaun dengan nombor berakhir 650 oleh Harvinderjit dan berkata hanya mempunyai RM264 pada baki setakat 28 Feb 2012 dan Suboh adalah orang yang menandatangani akaun itu.

Bagaimanapun, satu lagi entri pada 29 Feb 2012 untuk satu akaun ‘misteri’ dengan nombor berakhir 736 menyatakan terdapat baki RM17,808.60.

Suboh juga tetap dengan pendiriannya bahawa kenyataan yang diberikan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah ‘daripada mulutnya sendiri’ dan menolak cadangan peguam Harvinderjit yang mewakili Najib, bahawa beliau ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai SPRM, atau Timbalan Pendakwa Raya atau berbincang dengan mereka, semasa menyediakan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

Perkara itu timbul semasa Harvinderjit bertanya sekiranya Suboh tahu bahawa beberapa bahagian daripada kenyataan saksi berhubung peranan Najib dalam syarikat itu menyamai dengan kenyataan saksi Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi lembaga SRC International).

Peguam turut merujuk kepada perenggan yang turut menyatakan bahawa anggota lembaga SRC akan bertindak selaras dengan nasihat penasihat emeritus SRC, yakni Najib.

Menjawab satu lagi soalan berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Suboh berkata beliau tidak tahu bagaimana dan ke mana wang itu dipindahkan.

SRC memperoleh pinjaman RM2 bilion pada 28 Ogos 2011, manakala pada 28 Mac 2012, syarikat itu diberikan pinjaman kedua RM2 bilion daripada KWAP.

Beliau juga berkata tidak mengetahui mengenai pinjaman kedua RM2 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun SRC pada 28 Mac 2018 dan dua hari kemudian ia dipindahkan ke akaun lain.

Suboh juga berkata beliau tidak tahu RM4 bilion digunakan untuk apa.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung Isnin.

Anwar selar pemimpin PAS

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim mengkritik PAS membantah langkah mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka, selepas presiden parti Islam itu berkata pengisytiharan harta ialah konsep komunis dipromosikan DAP.

Presiden PKR itu berkata, pemimpin PAS tidak patut bimbang dengan langkah itu jika mereka tiada apa-apa untuk disembunyikan.

Beliau pelik dengan sikap pemimpin PAS yang memperjuangkan ketelusan “kini kelihatan takut”.

“Mereka memberi alasan ia sebahagian komunisme,” katanya dalam satu acara di Negeri Sembilan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pengisytiharan aset ialah konsep komunis dan sosialis.

“Sosialis ini dia kononnya hendak mengehadkan kekayaan, ternyata negara-negara sosialis yang bertukar liberal, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali,” katanya di Marang, hari ini.

Anwar mengingatkan Hadi yang pengisytiharan aset ialah satu kewajipan bagi ahli politik di Indonesia.

Katanya, dengan mengisytiharkan kekayaan, ahli politik yang menyalahgunakan kedudukan mereka dapat dikesan, termasuk jika ada pemimpin PAS yang mengumpul tanah dan projek di Perak, Kelantan serta Terengganu.

“Kami akan tahu jika ada penyalahgunaan. Itu objektifnya.”

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing.

Ahli Parlimen PAS dan Umno membantah usul itu dengan berkata, kerajaan sepatutnya meminda undang-undang rasuah untuk menjadikannya wajib bagi ahli politik mengisytiharkan kekayaan mereka.

Mat Sabu sedih PAS kongsi markas dengan Umno

Markas PAS terus hidup, Mat Sabu reda tapi sedih

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau berasa sedih kerana banyak markas PAS di sekitar Kedah kini digunakan bersama Umno yang dulu dilawan mereka.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata beliau ingat lagi bagaimana beliau dan kepimpinan parti itu dahulu berceramah bagi memungut derma bagi membinanya bagi menjadi pusat tarbiah rakyat.

“Alhamdulillah, walaupun kami tidak lagi bersama dengan parti tersebut, kami reda markas-markas ini terus dihidupkan.

“Tetapi sebulan dua ini agak sedih bila ia digunakan bersama Umno yang kami lawan dahulu, termasuklah membawa ‘Bossku’ yang terpalit dengan kes rasuah terbesar di abad ini ke markas yang dibina dengan wang rakyat tersebut,” katanya.

Najib Razak atau lebih dikenali sebagai Bossku dalam ceramah PAS di Alor Star pada April lalu
Katanya, menulusuri jalan-jalan daripada Pendang, Sungai Tiang, Jeneri, Sik, Parit Panjang dan Baling, masih tersergam markas-markas PAS yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

“Ketika itu untuk membina markas, PAS hanya mengharapkan sumbangan orang ramai,” katanya.

Kenangan lama

Mohamad yang juga menteri demikian mengimbas kenangan lama itu setelah mengadakan lawatan kerja ke Kedah.

Beliau dibawa menziarahi Madrasah Misbahul Falah atau dikenali Pondok Lanai, Baling, yang menurutnya lokasi perhimpunan ulama yang memutuskan almarhum Ibrahim Libya yang mati ditembak di Kampung Memali sebagai syahid.

Peristiwa Memali pada November 1985
Madrasah itu terletak tidak jauh dari perkuburan 13 orang mangsa insiden berdarah itu yang menyaksikan pertembungan berdarah pihak berkuasa dengan sekumpulan penyokong PAS.

“Hampir 40 tahun di dalam parti lama, daerah Baling dan kawasan sekitarnya adalah kawasan yang sering saya hadiri dalam siri siri kempen parti politik atau ziarah.

“Lawatan kelmarin cukup berbekas di hati khususnya mengenangkan rakan-rakan lama yang sudah pergi mengadap Ilahi, peristiwa Memali dan pelbagai peristiwa lain yang kami lalui di daerah ini,” katanya.

Mohamad juga mengenang insiden kepungan polis terhadap ceramah Bersih yang diadakan di Markas PAS Kupang, Baling, semasa beliau masih menjadi pemimpin pembangkang.

“Saya yang menjadi penceramah pada malam tersebut dikepung dan diiring ke balai polis bersama rakan-rakan pimpinan yang lain selepas tamat program,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, lawatan kali ini terdapat isyarat bahawa perubahan sedang berlaku.


  1. “Semoga dengan rasminya terbentuk gabungan PAS dan Umno minggu lalu, menyedarkan ramai pihak yang tidak mempercayainya sebelum ini, sekali gus melahirkan gelombang baru perjuangan rakyat di daerah istimewa ini,” katanya.

Hotel di Sabah mengaku tahu klip CCTV terbaru berkait skandal seks Haziq

Vinodh Pillai
PETALING JAYA: Hotel di tengah-tengah skandal video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengakui ia maklum tentang klip video terbaru, yang dikatakan rakaman CCTV, yang diambil pada hari kejadian.

“Kami maklum tentang rakaman video berkaitan kes yang didakwa melibatkan Haziq Aziz dan Azmin Ali dinaikkan ke Youtube,” jurucakap hotel Four Points di Sandakan, Sabah memberitahu FMT ketika ditanya tentang kesahihan rakaman itu.

“Keselamatan dan kesejahteraan tetamu kekal merupakan tanggungjawab pertama kami. Justeru, pihak hotel sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan tidak dapat memberikan maklumat lanjut.”

Video terbabit kelihatan terdiri daripada rakaman dari beberapa sudut, yang menunjukkan lobi lif serta koridor sebuah hotel.

Ia disertakan dengan kapsyen yang mempersendakan 3 watak utama yang dikatakan berada di tempat kejadian, iaitu Azmin; setiausaha politik beliau, Hilman Idham dan Haziq.

FMT sehingga kini tidak dapat mengesahkan sama ada lelaki yang dilihat dalam klip video terbabit merupakan mereka bertiga.

Haziq, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, menggemparkan negara bulan lepas selepas membuat satu rakaman video mengaku bahawa beliau dan Azmin merupakan 2 lelaki yang dilihat mengadakan hubungan seks sejenis dalam beberapa klip video yang tular di media sosial sebelum itu.

Azmin menafikan dakwaan itu dan berkata, ia merupakan sebahagian konspirasi yang bertujuan membunuh kerjaya politiknya.

Dalam pada itu, Haziq dipecat daripada PKR malam tadi berkuatkuasa serta merta.

Selepas video lucah, CCTV hotel muncul (Gambar)

FMT Reporters

Lelaki menyerupai Haziq Aziz keluar daripada lif, dalam tangkap layar rakaman CCTV yang dikatakan daripada Hotel Four Points di Sandakan.
PETALING JAYA: Sebuah rakaman video yang didakwa rakaman CCTV daripada sebuah hotel di mana Mohamed Azmin Ali dikatakan berada ketika kempen pilihan raya kecil Sandakan tersebar di media sosial hari ini, merancakkan lagi kontroversi yang didakwa melibatkan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Video itu, yang turut dimuatnaik di YouTube, nampaknya diambil daripada beberapa sudut, memaparkan lif lobi dan apa yang kelihatan seperti koridor sebuah hotel.

Rakaman itu terselit kapsyen mengejek ketiga-tiga watak utama yang dikatakan antara mereka yang dilihat di kawasan sekitar: Azmin, setiausaha politik Hilman Idham, dan Haziq Aziz.

FMT belum dapat mengesahkan adakah beberapa individu yang disebutkan dalam video itu adalah mereka bertiga.

Haziq, yang juga ketua Pemuda PKR Santubong, menggemparkan negara bulan lepas dengan video pengakuan di mana dia mendakwa dia dan Azmin adalah 2 lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks sejenis dalam beberapa video yang tular di media sosial.

Haziq mendakwa dia bersama Azmin di Hotel Four Points di Sandakan pada 11 Mei.

Azmin sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu, mengatakan ia sebahagian daripada konspirasi untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Berdasarkan cap masa dalam video itu, rakaman tersebut selama 12 jam, dari tengah malam hingga tengah hari pada 11 Mei.

Nik Zawawi mahu apa sebenarnya, tanya Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof meluahkan rasa peliknya dengan reaksi Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh yang menurut beliau berdolak-dalih dalam isu dialog mengenai kewajiban menjatuhkan kerajaan PH.

Kata Mujahid, dengan sikap "flip flop" ditunjukkan Nik Zawawi, beliau tidak pasti apa sebenarnya yang dimahukan oleh anggota parlimen Pasir Puteh berkenaan.

"Dia kata dia bersedia (berdialog). Ada orang respons, antaranya Ustaz Wan Ji (Wan Hussin), tapi dia kata pula (Wan Ji) budak jalanan.

"Kemudian, Ustaz Zulkharnain Abidin menawarkan diri dan kami di peringkat pentadbiran, juga melalui TV Alhijrah, tidak ada halangan membuka ruang supaya perdebatan itu berlaku secara sihat.

"Kemudian, beliau katakan tidak setaraf.

"Jadi... kalau dia flip-flop macam ni, saya pun tak tahu apa yang dia mahu sebenarnya," katanya di Kuala Lumpur seperti dipetik Sinar Harian.

Buat pusingan U

Mujahid mengulas tentang kenyataan Nik Zawawi pada Sabtu lepas yang sedia berdialog dengan mana-mana pihak daripada PH berhubung 'fatwa' beliau mengenai wajib menjatuhkan kerajaan PH dibuatnya pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, baru-baru ini.

Beliau hanya meletakkan syarat agar dialog berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Susulan daripada itu, beberapa pihak telah menyatakan kesediaan untuk menyahut pelawaannya, antaranya Wan Ji, namun sambutan itu ditolak oleh Nik Zawawi dengan memberikan alasan beliau tidak mengkenali pendakwah bebas berkenaan.

Sebaliknya, katanya, demi mencari keredaan Allah, dia mahu berdialog dengan tokoh yang sama taraf, bukannya dengan budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia.

Antara tokoh lain yang sanggup berdialog dengan Nik Zawawi ialah Pengarah Syariah Amanah Nasional, Zolkharnain Abidin, serta Pengerusi Biro Agama Pemuda Bersatu, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Terbaru, Nik Zawawi akhirnya mempelawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof yang disifatkannya sebagai “sahabat karib” untuk duduk sepentas dengan beliau bagi menjayakan sesi dialog terbabit.

Mengulas lanjut, Mujahid menyifatkan pemimpin PAS suka membuat pusingan U dengan mengambil contoh pendirian Nik Zawawi dalam isu dialog tersebut selain beberapa isu lain.

“Mulanya dia kata tak kira siapa, tapi, apabila bagi (calon) dia kata budak jalanan.

"Dulu dia kata kena isytihar (harta) tapi hari ini pula kata tak payah isytihar harta sebab Islam tak bagi.

“Dulu (PAS) kata Umno wajib kita tumbangkan, hari ini dia berkawan pula dengan Umno.

"Jadi saya tak terkejutlah kenyataan ketua ulamak dia tu flip-flop sebab selama ni PAS (pun) flip flop," katanya lagi

Ternganga pemimpin parti lebai apabila hujahnya di patah oleh Mufti Perlis

Benarkah Islam tak benarkan isytihar harta?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Beberapa wartawan, rakyat Malaysia; Muslim dan bukan Muslim bertanya saya apakah benar dakwaan yang menyatakan Nabi SAW tidak membenarkan orang politik mengistiharkan harta? Bagi yang bukan Muslim mereka nampak semacam begitu kecewa jika demikian ajaran Islam.

Saya rasa saya perlu berikan penjelasan tentang hal ini agar agama Islam tidak disalah faham sehingga memberikan imej yang salah terhadap Islam. Di sini saya ingin jelaskan hal ini pada nota-nota:

Nabi SAW sendiri dalam pentadbiran kerajaan baginda memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna kedudukan. Baginda menegur harta yang dimiliki oleh para petugas yang diperolehi dengan cara yang tidak betul. Ertinya, baginda memeriksa dakwaan harta yang mereka miliki. Sabda Nabi SAW (bermaksud):

“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak? Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, Muslim diwajibkan membayar zakat. Zakat yang wajib dibayar oleh Muslim membabitkan pelbagai harta; tanaman, ternakan, emas (wang) dan selainnya. Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan kadar harta yang dimiliki. Bagi ternakan ada kiraannya, bagi emas ada kiraannya, bagi tanaman ada kiraannya, bagi galian ada kiraannya dan seterusnya. Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib dibayar. Ulul amri (emerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab mereka. Jika agama melarang Muslim mengistiharkan harta, pastilah Muslim tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui. Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.

Antara pendekatan memastikan integriti urus tadbir pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ialah memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya. Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui jawatan yang dipegang. Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab dalam pentadbirannya. Dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Imam Ibn Sa’d (meninggal 230H) dan juga dipetik oleh al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) dalam Tarikh al-Khulafa (bermaksud):

“Sesungguhnya ‘Umar apabila melantik pegawai, beliau mencacatkan hartanya.” (Tabaqat Ibn Sa’d 3/307 Beirut: Dar Sadir)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menyebut dalam karyanya tentang polisi ‘Umar tersebut dengan berkata:

“‘Umar memeriksa harta para pegawainya. Dia mengambil separuh harta mereka jika itu mereka perolehi melalui jawatan mereka yang bercampur dengan kedudukan istimewa mereka. Umar membahagikan harta itu kepada dua bahagian, separuh untuk mereka, separuh untuk kaum Muslimin (rakyat).” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, m.s 17)

‘Umar hitung harta pegawai

Justeru itu al-Syeikh Dr ‘Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam karyanya ‘Umar bin al-Khattab:

“Umar itu menghitung (jumlah) harta para pegawai dan gabenor sebelum pelantikan. Ini bertujuan untuk mengira harta mereka yang bertambah selepas pelantikan yang tidak termasuk dalam penambahan yang munasabah” (‘Ali Muhammad al-Sallabi, ‘Umar bin al-Khattab, ms 356)

Kemudian, kita hendaklah faham bahawa dalam soal pentadbiran, Islam itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa kemaslahatan kepada rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir yang selaras dengan syarak. Ini termasuklah soal pengistiharan harta. Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik. Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam hal ini:

“Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu ‘Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak’ iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga bererti menyalahkan para sahabah… apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu perkara (sahaja) kemudian menafikan (kewujudan keadilan) yang lebih nyata daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih jelas tandanya dan (mustahil) Allah tidak menerima dan mengambil kira kewujudannya serta menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan dia mensyariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) ialah untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia (hamba-hamba-Nya) menegakkan keadilan. Apa sahaja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu daripada (ajaran) agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Maka tidak boleh untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang diungkapkan oleh syarak. Sebaliknya ia (siyasah yang adil) itu menepati syarak. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siyasah (politik) mengikut istilah mereka, padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti.” (Ibn Qaiyim al-Jauziyah, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah, 19-20. Beirut: Dar Ihya al-‘Ulum (tt).

Jika tidak berhati-hati...

Adapun hadis yang digunakan oleh pihak berkaitan (bermaksud):

“Bantulah menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikan (hajat-hajat tersebut) kerana setiap yang mempunyai nikmat itu didengki.”

Dari kedudukan hadis, secara paling ringkas hadis ini diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal, ‘Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Abi Burdah dan Abu Hurairah. Hampir keseluruhan jalur periwayatan mempunyai ‘illah (penyakit yang mencacatkan kekuatan riwayat). Al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 567H) menghukumnya sebagai palsu. Demikian al-Imam Ahmad (meninggal 241H) dan Yahya bin Ma’in (meninggal 233H). Al-Hafiz al-‘Iraqi (meninggal 806H) ketika mentakhrij hadis-hadis Ihya ‘Ulum al-Din mendaifkan sanad hadis ini.

Namun al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah telah menilai sahih sanad yang datang melalui Sahl bin ‘Abd al-Rahman al-Jurjani daripada Muhammad bin Mutarrif daripada Muhammad bin Munkadir daripada ‘Urwah bin al-Zubair daripada Abu Hurairah. (lihat: al-Silsilah al-Sahihah hadis 1453)

Dari segi maksud, hadis tersebut bukan seperti yang difahami oleh pihak berkaitan. Hadis ini menggalakkan menyembunyi perkara-perkara yang membawa kepada hasad dengki. Namun, jika ada keperluan maka hajat serta nikmat boleh bahkan mungkin wajib didedahkan. Ini terutama kepada pihak yang mempunyai kepentingan. Jika tidak, maka pasti orang ramai akan mengelakkan membayar zakat harta atas alasan hadis ini. Demikian juga, akan ada yang menyembunyikan perkahwinan kerana bimbang orang lain dengki. Sedangkan Nabi SAW suruh mengiklankan nikah. Demikian juga mungkin ada yang tidak mahu membayar cukai pendapatan, cukai jalan raya dan lain-lain kepada pemerintah atas alasan bimbang pihak lain tahu harta mereka. Ini semua tafsiran yang salah.

Diharapkan semua pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Nabi SAW dalam mencapai hasrat mereka. Islam akan disalah faham jika tidak berhati-hati menyandarkan hal-hal yang tidak tepat kepada Nabi SAW.

MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

'Dulu Tuan Ibrahim suruh Najib, Rosmah isytihar harta'

Haspaizi Zain
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengingatkan Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan cabaran timbalan presiden PAS itu agar Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan harta beberapa tahun lalu.

"Pada tahun 2015 Tuan Ibrahim cabar Najib dan Rosmah isytihar harta, kalau 2015 Tuhan tak suruh, kenapa anda (Tuan Ibrahim) suruh (Najib dan Rosmah) isytihar harta.

"Tuan Ibrahim kata Tuhan tak suruh isytihar harta, saya ada 'khilaf' (beza pendapat) bab ini, saya tolak (pendapat Tuan Ibrahim), Islam pentingkan integriti," katanya ketika ditemui pemberita di program di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim semalam bahawa langkah mengisytiharkan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu yang berbuat demikian, serta menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.

Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata hadis ada menyebut: "Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai".

Pada 2015, Tuan Ibrahim mengemukakan cabaran itu pada Najib dan Rosmah susulan laporan Wall Street Journal berkenaan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Ketika itu Tuan Ibrahim berkata langkah itu merupakan respons paling berkesan terhadap dakwaan tersebut serta menangani persepsi negatif terhadap Najib.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pembangkang sepatutnya melihat falsafah di sebalik usul pengisytiharan harta.

"Antara komitmen kerajaan baru ialah untuk menjadi lebih intergriti dan menghapuskan rasuah di semua peringkat.

"(Langkah) Mengumumkan harta supaya rakyat boleh tahu di kalangan pemimpin politik yang diundi, ada atau tak usaha hendak memerangi rasuah," katanya lagi.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim hari ini berkata semua anggota parlimen PAS akan mengisytiharkan harta selepas usul tersebut diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

“Kita PAS tidak bantah pun isytihar harta tapi yang kita tidak setuju ialah cara usul itu dibentangkan.

“Jika serius mengapa tidak dijadikan undang-undang atau sebahagian daripada Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kementeriannya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan hasilnya akan dibawa ke peringkat kabinet untuk mendapat maklum balas daripada kementerian lain.

"Kita dalam fasa akhir rangka memo jemaah menteri iaitu tentang subsidi bersasar Ron95...Jika diberi lampu hijau kita berhasrat untuk mula melaksankannya tahun ini," katanya.

Umno bakal tertimbus terus jika kalah sekali lagi - bekas ketua hakim negara

'Umno kalah sekali terbenam, sekali lagi mungkin tertimbus'

Usahlah bertempik di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra jika pemimpin atasan Umno enggan mendesak Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur daripada jawatannya sebagai presiden, kata bekas ketua hakim negara.

Dalam catatan terbarunya hari ini Abdul Hamid Mohamad berkata mengutamakan kepentingan Umno dan bangsa Melayu adalah keutamaan pemimpin parti terbabit.

Justeru, kata Abdul Hami, beliau sekali lagi menegaskan keyakinannya bahawa bekas timbalan perdana menteri itu tidak wajar kembali memimpin Umno jika mahu melihat parti itu dan masa depan orang Melayu dipulihkan.

Malah kata beliau Ahmad Zahid wajar mencontohi apa yang dilakukan Najib Razak.

"Jika beliau enggan berundur dengan sukarela, maka anggota Majlis Tertinggi (Umno) perlulah mengambil pendirian, diikuti oleh pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, malah bahagian-bahagian dan ahli-ahli Umno.

"Mereka hendaklah mengetepikan kepentingan diri dan memikirkan kepentingan parti dan bangsa Melayu," katanya.

Menurut beliau langkah itu menjadi ujian terbesar buat pemimpin dan ahli Umno.

Mungkin suara sumbang

Katanya daripada sikap yang ditunjukkan itu nanti barulah orang ramai boleh melihat untuk apakah pemimpin Umno berpolitik.

Abdul Hamid juga mengakui khabar bahawa Ahmad Zahid menamatkan percutiannya dan kembali memimpin Umno adalah berita yang "mengecawakan" beliau.

"Berita bahawa Ahmad Zahid menamatkan percutiannya dan kembali semula memimpin Umno sebagai presidennya sangat mengecewakan saya," katanya.

Ahmad Zahid mengumumkan percutiannya daripada tugas sebagai presiden pada 18 Dis tahun lalu selepas mendapat tekanan dari dalam dan luar parti ekoran kesnya di mahkamah.

Ekoran percutian itu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menjalankan tugas presiden parti.

Ahmad Zahid kemudian mengumumkan keputusannya menamatkan percutian itu semalam dan kembali mengepalai Umno. Perkembangan itu berlaku ketika kerjasama parti itu dengan PAS semakin akrab.

Keputusan itu dibuat ketika genap setahun beliau memenangi pemilihan Umno dengan mengetepikan pencabarnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdul Hamid berkata, beliau sedar gesaan agar Ahmad Zahid berundur adalah suara "sumbang" kerana lebih ramai yang menyambut baik kemunculan semula Ahmad Zahid.

"Mungkin saya suara sumbang dalam hal ini," katanya.

Baca Zahid hadapi 33 tuduhan terima rasuah RM42.7j dari Ultra Kirana

Beliau juga tidak kisah sama ada pandangannya itu akhirnya dibuktikan benar atau salah, sebaliknya menyerahkan kepada masa untuk menentukannya.

"Bagi saya, sama ada saya betul atau tidak dalam hal ini, tiada apa bezanya. Saya terlentang juga," katanya yang memang uzur sejak kebelakangan ini.

Namun dalam keadaan begitu Abdul Hamid tetap sekali lagi mengingatkan: "Kalah sekali sudah terbenam. Sekali lagi (kalah) mungkin tertimbus."

Prestasi cemerlang PH akan menyukarkan gabungan Pas-Umno

MOHD ALI HASHIM
Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria (gambar atas).

Katanya lagi, jika dilihat secara retro sebelum PRU ke-14 lagi, PH dianggap agak rapuh kerana dua parti gabungannya ketika itu, AMANAH dan Bersatu amat baharu dan kekuatan jentera pilihan rayanya pada pandangan umum ‘sangat lemah’.

Tegasnya, terdapat di peringkat Parlimen, AMANAH maupun Bersatu hanya mempunyai kekuatan yang terhad, tetapi tetap mampu meraih sokongan rakyat dalam PRU yang lalu.

“Secara langsung ini memperlihatkan rakyat menilai parti politik dari pelbagai aspek, bukan hanya kepada kekuatan parti semata-mata.

“Sekiranya rakyat menilai dari sudut kekuatan parti, maka adalah mustahil parti-parti PH boleh menang.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Permatang Pauh merupakan satu kawasan yang tidak begitu besar, tetapi mempunyai hampir 100 cawangan Umno, tetapi mereka tetap gagal merampas kerusi parlimen tersebut,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penilaian rakyat tatkala itu banyak dibantu oleh media sosial yang begitu terbuka, seolah-olah tiada sempadan.

Walau bagaimanapun ujarnya, apa jua alasan kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-14 yang lalu, semuanya adalah berpusat kepada hilangnya keyakinan rakyat kepada kerajaan ketika itu, iaitu Umno-BN yang menerajui pentadbiran khususnya melibatkan ketirisan wang negara yang berskala besar.

Manakala kehidupan majoriti rakyat marhaen ketika itu pula katanya, masih susah dan berkesempitan yang teramat sangat.

“Kerajaan PH kemudiannya telah berjaya menjayakan konsep negara berkebajikan, dari rakyat untuk rakyat serta merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat.

“Ia juga telah berjaya meringankan beban dan kos sara hidup, pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat dan menyukarkan gabungan Umno-Pas untuk menggugat kekuatan sedia ada.

“Bagaimana PH mengisi kemenangan PRU ke-14 menjadi faktor utama menentukan kedudukan PH menjelang PRU ke-15 yang akan datang walaupun adanya gabungan Umno-Pas yang telah dimeterai,” kata beliau.

Dr Zaidi juga berkata, melihat kepada gabungan Umno-Pas, rakyat belum yakin dengan gabungan ini sama ada ia benar-benar kukuh memandangkan falsafah, fikrah, kefahaman budaya dan ideologi politik kedua-duanya amat berbeza.

“Realitinya pertembungan perbezaan ini begitu besar yang bukan terlalu mudah boleh diselesaikan atas alasan ‘Kita Melayu-Islam’.

“Umno terutamanya belum lagi mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya setelah pemimpin tertingginya diheret seorang demi seorang ke muka pengadilan.

“Di peringkat akar umbi pula, Umno dan Pas tidak begitu mudah untuk ahli-ahli mereka menerima ‘musuh tradisi’ yang berabad-abad lamanya,” tambah beliau.

Namun begitu tegasnya, Umno dan Pas masih mempunyai antara empat hingga lima tahun bagi meyakinkan ahli-ahli parti mereka dan rakyat bahawa mereka mampu untuk duduk bersama.

Secara jujurnya kata beliau, PH tidak boleh mengambil mudah dan memandang enteng ancaman gabungan Umno-Pas tersebut.

Tuan Ibrahim guna hadis palsu tolak isytihar harta?

Wan Ji Wan Hussin
Pada asasnya Islam amat menekankan isu integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam berpolitik. Apatah lagi, salah satu sifat utama Nabi Muhammad SAW ialah al-amin.

Zaman kini, ia disebut integriti.

Tidak bersedia mengisytihar harta adalah lambang bercanggah dengan sifat integriti yang sepatutnya. Apabila bercanggah dengan integriti, sudah pasti ia tidak selaras dengan sifat al-amin bagi nabi.

Dengan sebab itu, tidak wajar bagi mana-mana anggota parlimen yang beragama Islam menolak amalan mengisytiharkan harta.

Lebih-lebih lagi, amalan isytihar harta itu dapat mengelak daripada sebarang amalan rasuah membabitkan pihak yang berurusan dengan politik secara langsung.

Ia sudah pasti selaras dengan kaedah fikah yang berbunyi: "Tidak sempurna perkara wajib kecuali dengan melakukan perkara itu, maka melakukan perkara itu adalah wajib".

Dalam kata lain, jika tidak sempurna proses melawan rasuah kecuali dengan melakukan amalan isytihar harta, maka isytihar harta juga boleh dianggap sebagai wajib juga.

Ada perawi ditolak

Dalam pada itu, tidak dinafikan terdapat orang yang diragui sumber kekayaannya yang menolak cadangan dan amalan mengisytihar harta.

Hal itu kerana, dengan pengisytiharan harta ia akan membantu lagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang diragui akan hartannya.

Amalan sebegitu sebenarnya sudah berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, iaitu ketika beliau melantik Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain.

Dengan sebab itu, dakwaan bahawa Islam melarang isytihar harta itu adalah satu fitnah jahat dilakukan terhadap agama Islam yang mementingkan integriti.

Baca PAS: Isytihar harta boleh timbulkan rasa dengki

Pun begitu, dalam laporan berita dinyatakan bahawa Timbalan Presiden PAS ada berkata: "Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyuruh supaya harta yang ada tidak dihebahkan, kerana ramai pendengki."

Sebenarnya, hadis yang dinukilkan oleh Tuan Ibrahim itu adalah hadis palsu berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam Ibn al-Jawzi.

Ia dianggap daif oleh al-Imam al-Iraqi dan al-Imam al-Sayuti, manakala Imam Ibn Abi Hatim menganggapnya sebagai mungkar.

Ia kerana dalam sanad hadis itu ada seorang perawi - Sa'id bin Salam al-Attar - yang ditolak. Dia juga ditolak oleh ramai ilmuan hadis, malah Imam Ahmad bin Hanbal menganggap dia sebagai pendusta.

Dari sudut sanad juga dicatatkan bahawa, perawi hadis daripada Muaz bin Jabal yang beliau diambil daripada Khalid bin Ma'dan.

Ibn Abi Hatim menyatakan bahawa Khalid tidak pernah mendengar hadis itu daripada Muaz. Apabila tidak mendengar, lebih mengukuhkan lagi dakwaan bahawa hadis berkenaan adalah palsu.

Dari sudut matan pula, dikatakan bahawa tidak boleh diberitahu kepada orang berkenaan nikmat yang kita dapat. Ini sudah pasti bercanggah dengan ayat al-Quran yang menyatakan: "Adapun dengan nikmat Tuhan kamu, hendaklah kamu ceritakan" (Surah al-Dhuha 93:11).

Dengan ini jelas bahawa 'fatwa' timbalan presiden PAS itu tidak berasaskan hujah yang benar. Apatah lagi dengan menyandarkan ia kepada Islam, ia boleh melahirkan persepsi buruk dari mata masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam.

Ia akan menyebabkan Islam seakan-akan agama yang tidak cenderung kepada integriti.

Islam adalah agama yang pentingkan integriti. Dalam hal ini, sikap PAS sama sekali tidak mewakili ajaran Islam.

Sekian, wallahu 'alam.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

PH letak Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz untuk dailog dengan ulama parti lebai

JPM sedia ruang dialog berhubung isu ‘fatwa’ untuk Nik Zawawi, secara langsung
MALAYSIA DATELINE

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) membuka ruang kepada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk berdialog berhubung isu ‘fatwa’ di dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Abang Ahmad Kerdee Abang Magasus berkata, beliau tertarik dengan kesudian Nik Muhammad Zawawi selaku Ketua Dewan Ulama Pas yang baharu untuk berdialog dengan sesiapa sahaja tentang isu kenyataan beliau “Wajib menjatuhkan Pakatan Harapan dalam PRU 15”.

Namun beliau meletakkan syarat agar siaran secara langsung diadakan, katanya.

Sehubungan itu ujar Abang Kerdee, rentetan daripada itu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dengan ini membuka ruang kepada beliau untuk berdialog di dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.

“Saya mengambil maklum bahawa Ustaz Wan Ji Wan Husin (PKR) dan Ustaz Abu Hafiz Salahudin (Bersatu) telah menyatakan kesediaan untuk berdialog secara bersemuka dengan beliau.

“Saya juga dimaklumkan bahawa YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi telah menyatakan persetujuan namun meletakkan ‘syarat tambahan’ agar ‘regu dialognya’ nanti adalah setaraf keilmuan agamanya.

“Mungkin ini memandangkan pandangan “wajib” yang beliau telah keluarkan sebelum ini atas kapasiti beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan wakil dari Pakatan Harapan (PH) yang boleh membuahkan hasil untuk rakyat dan dasar negara.

“Oleh yang demikian, suka saya maklumkan di sini bahawa bagi mewakili PH, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz selaku Pengarah Syariah Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) yang jawatannya setara jika dibandingkan dari sudut hierarki parti dengan Ketua Dewan Ulama akan menjadi regu kepada YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi di dalam dialog itu nanti,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Ustaz Zolkharnain juga di dalam agensi di bawah Pejabat Menteri Agama adalah Timbalan Yang Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang mempunyai akses dalam kerajaan pada hari ini.

Maka dengan itu, kesemua syarat dan ‘syarat tambahan’ yang dipanjangkan telahpun dipenuhi, tambahnya.

“Gelanggang telah kami buka, suburkan budaya berhujah menerusi ruang dialog demi kepentingan ummah,” katanya lagi.

Kenyataan Nik Muhammad Zawawi mencetuskan kontroversi apabila beliau dalam Mukatamar Pas di Kuantan baru-baru ini berkata adalah wajib menjatuhkan kerajaaan Pakatan Harapan dalam PRU15 nanti.

Sehubungan itu banyak pihak mempertikaikan ‘fatwa’ beliau tersebut.

Angkuh dan sombong lebai ni

'Debat mesti sama level, bukan dengan budak-budak jalanan’
N Faizal Ghazali


Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Zawawi Salleh menjelaskan kesediaan beliau untuk berdialog terbuka dengan pihak yang setaraf sebaliknya bukan dengan “budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia”.

Kenyataan itu sekali gus bermaksud penolakan beliau untuk berdebat dengan ustaz PKR Wan Ji Wan Hussin berkaitan hukum menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya tidak kenal siapa yang bernama Wan Jii dan tidak pernah tahu apa jawatan dalam parti yang dipegang.

“Saya menyatakan syarat yang sangat popular di mana-mana termasuk di peringkat antarabangsa iaitu sebarang dialog profesional mesti antara tokoh yang sama level bukan dengan budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia sahaja.

"Sekali lagi saya tegaskan saya bersedia berdialog dengan rakan-rakan sejawatan demi untuk kebaikan negara dan agama. Saya bukan nak mencari populariti murahan tetapi ingin mencari keredaan Allah. Kebenaran mengatasi segala-galanya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu anggota Parlimen Pasir Puteh itu menyatakan kesediaan untuk berdialong dengan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan (PH) berhubung "fatwa" wajib menjatuhkan kerajaan PH.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat agar dialog berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Susulan itu Wan Ji menyahut cabaran itu dengan tidak meletakkan sebarang syarat untuk berdebat dengan Nik Zawawi

Dalam pada itu Nik Zawawi berkata jika benar Wan Ji tidak meletakkan sebarang syarat terdapat ribuan penyokong biasa PAS sanggup berdialog dengannya (Wan Ji).

Penghinaan, kata Wan Ji

Sementara itu, Wan Ji dalam respons balasnya menyifatkan penolakan itu sebagai satu “penghinaan”.

Katanya pejabat menteri agama mencadangkan Pengarah Syariah Nasional Amanah, Zolkharnain Abidin sebagai panel wacana (debat) dan menyediakan pentas televisyen secara langsung.

Namun katanya, beliau amat menghargai sekiranya ketua Dewan Ulama PAS itu berubah fikiran untuk berdebat dengannya.

"Apatah lagi, dalam kenyataan Dr Nik Zawawi baru-baru ini, beliau mahu kemukakan hujah dari Nas Islam; al-Quran dan hadis.

"Saya pula, akan kemukakan Turuq Istidlal dan kaedah usul fiqh dalam menilai balik hujah Dr Nik Zawawi tersebut. Saya bukan nak bergaduh atau bertengkar, tetapi saya mahu berhujah secara sihat sepertimana wacana saya dengan rakan-rakan sebelum ini," jelasnya

Dalam perkembangan sama Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam kenyataan media hari ini menyatakan pihaknya membuka ruang untuk dialog tersebut dibuat melalui rancangan Analisis TV al-Hijrah secara langsung.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Nik Muhammad Zawawi menyatakan persetujuan namun meletakkan ‘syarat tambahan’ agar ‘regu dialognya’ nanti adalah setaraf (keilmuan agamanya, mungkin – ini memandangkan pandangan ‘wajib’ yang beliau telah keluarkan sebelum ini atas kapasiti beliau juga memegang jawatan sebagai ketua Dewan Ulama PAS dan wakil PH yang boleh membuahkan hasil untuk rakyat dan dasar negara.

"Oleh yang demikian, suka saya maklumkan di sini bahawa bagi mewakili PH, Zolkharnain Abidin Al-Hafiz yang jawatannya setara jika dibandingkan dari sudut hierarki parti dengan ketua Dewan Ulama PASakan menjadi regu kepada Nik Zawawi di dalam dialog itu nanti.

"Gelanggang telah kami buka, suburkan budaya berhujah menerusi ruang dialog demi kepentingan ummah," katanya.

Wan Ji sedia debat Nik Zawawi tanpa syarat

Anne Muhammad

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin tidak meletakkan sebarang syarat untuk berdebat dengan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh yang mewajibkan hukum menjatuhkan kerajaan PH.

Jelas Wan Ji dia bersedia berdebat di mana-mana platform asalkan perbincangan tersebut dapat disampaikan kepada umum.

“Nik Zawawi ingin berdebat dengan syarat tapi saya punya pandangan, saya pula sedia debat tanpa syarat.

“Mana-mana platform pun saya okey, tanpa syarat, kalau dia dengan syarat tapi saya tanpa syarat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Ji berkata demikian ketika diminta mengulas syarat yang ditetapkan oleh Nik Zawawi yang hanya mahu berdebat sekiranya sesi berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Pada ucapan penutup Muktamar Tahunan PAS pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi berkata menjatuhkan kerajaan PH adalah wajib dan menegaskan tiada sebarang khilaf mengenai perkara itu.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," kata anggota Parlimen Pasir Puteh itu.

Susulan itu, Wan Ji secara tidak langsung mencabar Nik Zawawi untuk membicarakan kewajarannya mewajibkan penyokong PAS menjatuhkan kerajaan PH.

Wan Ji berkata beliau difahamkan Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkhairnain Abidin turut menawarkan diri menjadi penganjur kepada debat berkenaan.

Selain itu, menurutnya, Zolkhairnain telah menghantar mesej kepada Nik Zawawi berkaitan kesediaannya untuk menganjur dan menjemput Wan Ji sebagai panelis.

“Saya pun tengah tunggu maklum balas Zawawi. Lagi cepat (debat) lagi bagus,” katanya.

Kata Wan Ji lagi, beliau turut menawarkan sesi debat itu kepada stesen televisyen Al-Hijrah melalui slot Analisis bersama pengacara Finaz namun belum mendapat maklum balas.

“Saya cadangkan TV Al-Hijrah cuma kalau boleh masuk RTM, TV3 lagi baik

“Sudah cadangkan tapi belum dapat respons. Terpulang pada mereka kerana mereka yang ada ruang tu. Saya cuma tawar diri jadi panel,” katanya.

Budi rakyat pilih PH akan dibalas oleh kerajaan

BERNAMA
Kerajaan akan membalas budi rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan (PH), sebagai gabungan parti untuk memimpin negara pada pilihan raya umum lepas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun ada pihak yang berkata tiada pencapaian yang dibuat setelah PH menjadi kerajaan, namun sebenarnya sudah banyak yang dihasilkan oleh pemerintahan PH.

“Kita sudah selesaikan banyak masalah yang ditinggalkan parti lama (yang memerintah sebelum ini) dan kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Kita dah janji untuk berkongsi kekayaan negara dan kita perkenalkan dasar baharu iaitu kemakmuran bersama… Kita akan tentukan tiada sesiapa akan tertinggal,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Peringkat Nasional malam tadi.

Dr Mahathir berkata dasar baharu kerajaan akan dapat direalisasikan selagi rakyat menyokong segala rancangan yang disusun kerajaan.

Beliau berkata bagi sektor pertanian, yang banyak melibatkan golongan miskin misalnya, bidang itu akan diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan baharu, supaya rakyat di luar bandar dapat menikmati kemakmuran sama seperti di bandar.

Sementara itu katanya setelah PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap, tapi lebih cekap daripada (kerajaan) dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih sempurna,” katanya.

Hampir 20,000 rakyat hadir pada majlis Aidilfitri yang diadakan di Dewan Konvensyen MBI Desaku di sini yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Minggu ini fatwa jatuhkan PH, minggu depan fatwa lain, itu parti fatwa”

AKMAL MANAF
“Minggu ni fatwa wajib jatuhkan Pakatan Harapan (PH), minggu depan fatwa lain. Tahun depan fatwa lain pula. Itu parti fatwa,” demikian kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, pihaknya mengambil kira segala kritikan yang dilemparkan dan jika kritikan itu berasas, ia akan diperbaiki.

Namun, Menteri Pertahanan itu menegaskan, pihaknya akan melawan parti yang selalu menurunkan fatwa seperti itu.

“Kalau ada fatwa-fatwa mengarut itu, kita hindarkan. Kita lawan parti yang selalu menurunkan fatwa itu kerana boleh merosakkan keharmonian yang ada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Rumah Terbuka AMANAH, di Jalan Semarak, hari ini.

Ahad lalu, ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa ‘wajib’ menjatuhkan kerajaan PH.

Susulan kenyataan kontroversi Nik Zawawi itu, Mohamad sekali lagi mengulangi pendirian bahawa akan melawan fatwa-fatwa mengarut itu.

“Nak kritik, silakan kritik. Nak kritik apa pun kepada saya, kepada AMANAH dan PH, silakan.

“Tetapi fatwa mengarut yang kita hadapi, kita akan lawan. InsyaAllah kerajaan PH akan terus teguh,” katanya lagi.