"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

UBN Najib Altantuya: Tangkap Abdullah Badawi?

MUSLI OLI (Sabahkini)
ADA dua peristiwa yg mengilhamkan saya menulis artikel ini. Malam tadi selepas Majlis berbuka puasa di Prince Hotel bersama Pengerusi SPNB Dato Azian Othman saya terus ke majlis sama di rumah Datuk Seri Lajim Okin, di Jalan Conlay. Rumahnya tidak jauh dari Prince Hotel.

Jam 11 malam saya balik ke Seri Pacific Hotel. Terjumpa dengan Zaharin Yasin atau Sang Kelembai yang sedang asyik bersembang dengan dua pegawai kanan polis di coffee house. Seperti biasa Sang Kelembai mengeluarkan idea politik yang orang lain tidak pernah terfikir. Yang kadang-kadang tidak masuk akal.

Malam ini dia bercakap soal apa BN boleh tawarkan atau ‘offer’ kepada rakyat. Jika kerajaan tawarkan kerajaan bersih, apa buktinya?. Kenapa kita tidak mengambil ikhtibar dari Korea. Tangkap bekas pemimpin. Tuduh dan jel bekas Perdana Menteri. Ini yang rakyat mahu lihat.

“So kita tangkap Tun Abdullah Badawi?” tiba-tiba pegawai kanan polis yang berpangkat Datuk itu bertanya.

“Ya. SPRM tangkap Dollah kerana dia banyak melakukan kesalahan. Dia buat damaged dan total lost yang syarikat insuran pun pening nak kira,” tegas sekali jawapan Zaharin.

Tangkap Abdullah Badawi? Terkejut beruk saya dengar ayat Sang Kelembai. Kalau tangkap Abdullah Badawi, Tun Mahathir pun boleh tangkap dan di SPRM.

Serius ni. Zaharin bercakap dengan dua pegawai kanan Polis bukan dengan pemimpin cawangan atau bahagian UMNO. Bolehkah rakyat Malaysia terima seperti rakyat Korea Selatan atau Jepun? Saya rasa tidak. Maka itu saya tidak ambil berat sangat pandangan Zaharin.

Pagi ini saya keluar dari Seri Pacific kira-kira jam 8.30 pagi. Bercadang ke Kompleks Kraftangan membeli batik untuk isteri dan anak-anak.

“Orang Cina sekarang undi PAS dan Anwar for the future,” Pemandu teksi berbangsa Cina itu mulakan perbualan.

“Anwar for future?” biar betul pemandu teksi ini.

“Kenapa Anwar for future?,” tanya saya minta penjelasan.

“U sokong siapa?,” dia tanya saya semula.

“Saya sokong Anwar. Saya orang PKR,” kata saya jawab ringkas untuk memancing cerita seterusnya.

“Kalau Anwar jadi PM bagus. Rakyat mahu tengok semua pemimpin rasuah, makan duit, hisap tulang rakyat masuk jel. Tangkap Mahathir, Ling Liong Sik, Chan Kong Choy, Ong Tee Keat, Tun Daim, Sammy Vellu, pasal itu tol tiap-tiap tahun naik. Itu rakyat mahu tengok,” kata pemandu teksi dengan dengan penuh semangat.

“Sekarang BN tangkap orang. Pergi court. Tapi lepas tu bebas juga. Siapa percaya? Sekarang SPRM tangkap orang Cina, orang Cina mati. Tangkap orang India, kena pukul. Tapi tidak tangkap pemimpin UMNO, MCA dan MIC? Kenapa Khir Toyo tidak tangkap. Ong Tee Keat? Kalau tangkap, kena lepas. Apa ini? ”

Saya terdiam dengan ayat pemandu teksi itu. “Tapi sekarang kalau BN tangkap orang dan betul-betul masuk jel, BN masih boleh menang. Orang Cina mesti undi punya” sambung pemandu teksi itu.

Dengan ayat pemandu teksi tersebut, saya teringat kata-kata Sang Kelembai. “SPRM tangkap Tun Abdullah Badawi”.

Selepas membayar RM12.00, walaupun meter teksi RM7 masih terngiang-ngiang ayat pemandu teksi itu “Tangkap dan masuk jel, baru BN boleh menang”.

Siapa yang nak ditangkap? Janganlah Tun Abdullah Badawi. Barangkali Khir Toyo, KJ, atau……? Fikir-fikirkanlah……..

-detikdaily.net-

Jerit, bantah sekuatnya undi pos di Bagan Pinang /UBN Najib Altantuya

Ahmad Lutfi Othman

SEPERTI tahun lepas, sudah ada agenda ziarah pada penghujung Ramadan kali ini, iaitu mengagihkan sumbangan buat keluarga tahanan ISA. Ketika orang Sandakan, Sabah yang menetap sekitar Kuala Lumpur mulai pulang ke kampung halaman untuk beraya, kami turut sama berkunjung ke sana menyampaikan amanah pembaca Harakah yang cukup prihatin.

Di Semenanjung, kami cuba mengesan keluarga yang perlu ditolong, terutama yang tinggal di luar Lembah Klang. Rupanya ramai yang menanggung derita sendiri. Saya membayangkan, kalau operasi tangkapan borong yang baru dilancarkan pemerintah, nasib keluarga yang ditinggalkan terutama dari segi moral, kewangan dan kebajikan, tidaklah begitu buruk. Sekurang-kurangnya ada bantuan asas yang boleh segera dikeluarkan.

Mungkin motivasi luar biasa akhir Ramadan mendorong begitu ramai dermawan ringan tangan menghulur bantuan. Semoga Allah membalas segala ingatan ikhlas kalian dan memberkati rezeki yang diperolehi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lega sedikit bebanan keluarga yang dipisahkan secara paksa itu.

Meskipun sudah agak ramai yang dibebaskan dari Kamunting, namun tidak semudah itu untuk bekas tahanan memulakan hidup baru. Justeru, mereka tetap memerlukan sokongan.

Kami faham, ramai bekas tahanan tidak mahu dilihat sebagai menagih ehsan, apatah lagi merintih untuk dikasihani. Namun, di pihak Harakah, menurut rekod, sebahagian besar sumbangan yang kami terima adalah pada masa mereka belum dibebaskan, dan masih dikurung di kem tahanan.

11.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan memberi makna besar dan implikasi penting kepada landskap politik tanahair dan boleh mempengaruhi trend pengundian dalam pilihan raya umum ke-13. Pola pengundian dalam tempoh dua tahun akan datang banyak ditentukan oleh perkembangan politik hari ini.

Rakyat memerhati dengan penuh minat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Bila tiba masanya, mereka akan membuat penghakiman di atas penilaian mereka terhadap prestasi kedua-dua gabungan parti berkenaan.

Era BN akan menang biarpun meletakkan 'tunggul kayu' sudah berakhir. Begitu juga dengan kawasan tradisi kubu kuat pembangkang; ia boleh berubah jika calon dan parti bersikap sambil lewa, mengambil mudah terhadap sokongan selama ini.

Umum maklum bahawa Umno-BN sememangnya akan menggunakan apa jua taktik dan sumbernya yang tidak terbatas itu untuk menang di Bagan Pinang. Momentum kemenangan 7-0 mesti disekat.

Membiarkan Bagan Pinang tumbang bermakna membentangkan karpet merah untuk kemenangan seluruhnya Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan. Jatuhnya Bagan Pinang dapat melorongkan kekalahan Melaka (yang kini Umno di sana berbangga kerana tiada Adun Melayu dalam sidang Dunnya).

Johor yang dulunya pekat dengan Umno, kini sudah cair. Pengundinya makin rapat dengan PAS dan bersikap lebih terbuka. PAS pun sudah ada dua wakilnya di negeri berkenaan.

Sekiranya Pakatan dapat melebar-luaskan pengaruhnya di negeri-negeri di selatan Semenanjung, khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu, dominasi Umno-BN di peringkat pusat automatik akan berakhir.

Apa pun, secara peribadi, saya melihat laluan di Bagan Pinang cukup sukar. Majoriti kemenangan BN sebanyak 2,333 untuk pengundi seramai kira-kira 14,000 orang boleh dianggap besar apatah lagi ia mempunyai lebih kurang 5,000 pengundi pos.

Usah tersilau dengan lakaran bersejarah pada tujuh pilihan raya kecil yang lain. Lain padang lain belalang.

Ketua Umno Telok Kemang, Isa Samad turut mengingatkan, sekali gus memberi amaran, bahawa mereka sudah biasa dengan laut di Port Dickson dan tidak takut dengan ombak. Beliau merujuk kenyataan Anwar Ibrahim yang meramalkan tsunami politik mungkin melanda Bagan Pinang.

Benar, benteng BN Negeri Sembilan hampir dirobohkan dalam pilihan raya lalu, tetapi senario kali ini mungkin jauh berbeza terutama dengan manipulasi undi pos.

Dalam pilihan raya kecil yang menjadi tumpuan ramai, dan dilihat sebagai kayu ukur 'penentu hidup mati Umno-BN', maka dibimbangi pengundi pos yang dahulunya menyokong PAS pun sudah tidak selesa untuk berbuat demikian.

Bukankah di Permatang Pasir baru-baru ini juga timbul 'salah guna' pasukan tentera dalam kempen BN di sana? Harus maklum bahawa Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden Umno, begitu rapat dengan Najib Razak dan sudah pasti cuba sedaya mungkin memperalatkan pihak tentera untuk kepentingan politik dirinya, selain melangsungkan survival partinya.

Saya kira kebimbangan yang disuarakan terhadap undi pos harus diterjemahkan dalam bentuk penentangan yang lebih agresif. Biar rakyat jelas dengan operasi atau mekanisme bagaimana undi pos itu boleh dimanipulasi oleh BN - dan mendapat restu dan kawalan sepenuhnya oleh SPR - hingga menimbulkan simpati kepada Pakatan bahawa 'padang permainan sememangnya tidak sama rata'.

Asakan kepada SPR mesti dilipatgandakan. Borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi pengundi pos termasuk nama, Mykad dan nombor siri kertas undi mesti dimansuhkan, manakala proses bilang undi harus dijalankan sebaik saja pengundian selesai.

Seperti saya tekankan sebelum ini, "pihak Pakatan Rakyat mesti menjerit dan memekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos di Malaysia".

UBN Najib Altantuya: BN mungkin akan ditolak seperti LDP - Dr M

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali," kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

Para pengundi muda, katanya, dikatakan kecewa dengan "parti yang mendapatkan kemerdekaan" kerana perkara itu telah menjadi sejarah dan tidak begitu bermakna kepada mereka.

Menurut beliau, di beberapa negara lain, parti-parti yang "berjuang dan mencapai kemerdekaan" telah hilang lenyap seolah-olah rakyat tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli "pejuangan dan pengorbanan" parti-parti tersebut dan para pemimpinnya.

"Adakah mereka tidak tahu berterima kasih? Ada kebenarannya tetapi jika kita mahu mengkaji, kita akan dapati sikap para pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang mengggantikan para pejuang tersebut telah berubah hampir sepenuhnya," kata beliau dalam blognya.

Mereka, kata Dr Mahathir, menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.

Walaupun menyatakan bahawa para pengundi Melayu begitu setia kepada BN, tetapi Dr Mahathir mengingatkan wujudnya bukti di dalam pilihan raya umum tahun lalu bahawa para pengundi setia itu telah memberikan undi kepada pembangkang.

Menyentuh keadaan Umno kini, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.

"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.

"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.

Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.

Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".

Beliau berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

"Tetapi, jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, pera pengundi yang kecewa mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad," kata Dr Mahathir.

Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.

PKFZ: PAS mahu suruhanjaya di raja, tolak petugas khas

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS menyifatkan pasukan petugas yang ditubuhkan kebinet bagi menyediakan laporan berkaitan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan, kata Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad.

PAS, katanya, menuntut supaya ditubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

"PAS berpandangan bahawa pasukan ini tidak mempunyai kredibiliti yang kuat, malah tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan.

"Di akhir tugas mereka pasukan ini hanya melapor pada kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk memutuskannya," katanya.

Idris menyifatkan pasukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu tidak bebas kerana mereka terikat sebagai penjawat awam biasa yang bertugas dibawah arahan menteri.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, hasil siasatan ke atas skandal tersebut sebelum ini mengaitkan tokoh-tokoh politik dari Barisan Nasional (BN).

Antara yang dikaitkan ialah bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy; Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing; bekas Bendahari Umno yang juga pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd iaitu anak syarikat KDSB, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; bekas Exco kerajaan negeri Selangor dari Umno yang menjadi Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan Ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) ketika transaksi dibuat, Datuk Abdul Rahman Palil dan Bendahari Umno Selangor yang juga Timbalan CEO KDSB, Datuk Faizal Abdullah.

Mengambilkira hakikat itu, Idris tidak menolak akan berlaku penyalahgunaan kuasa atau campurtangan anggota kabinet terhadap tugas penyiasatan yang dibuat oleh pasukan tersebut nanti bagi melindungi orang-orang tertentu.

"Oleh itu, PAS bertegas menuntut satu suruhanjaya di raja yang bebas dengan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen bukan dari komponen parti yang terlibat, wakil badan kehakiman, wakil dari peguam negara, wakil dari Majlis Peguam, wakil Bank Negara, wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan wakil NGO yang berkaitan.

"Sewajarnya kes ini disiasat secara terbuka kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah hangus dalam projek PKFZ ini," katanya.

Rakyat, katanya lagi, pasti ingin tahu ke manakah duit mereka pergi dalam projek tersebut dan siapakah dalang utama hingga menyebabkan negara terpaksa mengalami kerugian yang besar.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Ahmad Said Ada Ilmu Pak Dogol

MACAM juga hal di Perak politik Terengganu juga tidak sudah-sudah dan tidak habis-habis. Keadaan macam hujan di musim tenkujuh saja. Kalau di Perak bekas MB dan barisan Exconya hendak kembali berkuasa, di Terengganu krisis berlaku antara sesama Umno sendiri. Kumpulan bekas MB, Idris Jusoh (Dris) dengan MB, Ahmad Said (Mat Said) (foto).

Kelainan berbanding politik Terengganu dengan Perak ialah, di Perak masih berlaku perbuatan dan tindakan yang anih dan ganjil seperti bersidang di bawah pokok atau di hotel. Di Terengganu tidak pula berlaku begitu. Apakah kalau Idris Jusoh dan kumpulannya cukup korum akan berlaku persidangan atas gerai atau pun atas wakaf?

Manakala Pas di Terengganu sendiri hanya menjadi pemerhati sahaja. Cuma sesekali jadi tukang cuit atau tukang laga utuk melihat sejauh mana gelepar dan gelenyahnya orang-orang Umno. Pas sendiri dalam diam kita percaya sedang mencari peluang untuk menangguk, tetapi sehingga ini air di Terengganu belum keruh sangat lagi.

Puak Dris tidak habis-habis nak menyusahkan Mat Said. Rasanya sudah berpuluh perundingan, janji, ikrar, pertemuan (cuma mubahalah) saja tidak dilakukan untuk berdamai. Semua kaedah dan formula lain dicari dan dibuat. Tetapi semuanya tak jadi, semuanya bertaraf ‘cap ayam’ belaka.

Puak Dris bila berdepan dengan pemimpin tertinggi; baik Najib Razak, Muhyiddin Yassin atau Hishamuddin Hussein semuanya angguk, macam pak ka (chameleon) yes yes berjanji untuk selesaikan masalah. Tetapi bila pemimpin itu hilang, suasana asal kembali semula. Mat Said terus diusik dan dipermainkan. Formula atau nasihat Najib, Muhyiddin dan Hishamuddin tidak diendahkan langsung.

Apakah kegagalan menyelesaikan masalah Umno Terengganu ini menunjukkan kelemahan dan kurangnya wibawa dan sengat pengerusi perhubungannya?

Tampaknya politik Umno Terengganu tidak mudah untuk sendek. Ia akan tetap bergulung dan bergelombang macam laut Cina Selatan. Kalaupun kumpulan Dris Jusoh jadi MB, tentu ada juga pihak lain yang menyerang dan menyanyi lagu-lagu sinis seperti 'itik gemol-gemol' dan seagainya.

Kalau Mat Said turun pun Dris Jusoh sudah pasti tidak akan dapat jadi MB lagi. Belum ada sejarah orang politik yang dimurkai sultan atau tidak diperkenankan sultan dapat kembali ke tempat asalnya. Bukankah Dris menghadapi masalah dengan Sultan Mizan? Makanya kalau Mat Said berjaya dihancurkan Dris tetap tidak akan jadi MB. Jadi apakah sebenarnya tujuan Dris menyerang dan tidak mahu ikhtiraf Mat Said?

Jadi tentu ada orang lain yang akan jadi MB kalau serangan kumpulan 10 itu berjaya. Selain Tengku Tera, nama disebut ialah Rosol Wahid. Orang lain nampaknya tukang ikut ataupun tukang betul tali sauh sahaja. Mana tahu kalau ada rezeki dapat pegang jawatan Exco, setakat itu sajalah. Perangai pak turut ini tak lebih macam budak-budak yang sudah masuk dalam geng samseng... ikut saja tanpa ketahui apakah matlamat dan hasilnya. Saja nak berhora hore.

Kalau Rosol jadi MB beliau juga tidak akan senang. Dia juga akan diserang dan dipersendakan oleh orang yang kini menyokong Mat Said. Apakah di Terengganu tidak ada seorang pun menyokong Mat Said?

Jangan perkecil dan permudahkan Mat Said. Walaupun dia diam, atau pun ambil sikap tidak kesah, buat muka selamba tetapi dia mendapat perkenan sultan. Maknanya selagi sultan mahukan dia, Mat Said akan jadi MB kecualilah Umno sudah hilang majoriiti di DUN Terengganu.

Begitu juga takdirnya kumpulan Dris sudah tidak mempercayai kepada Mat Said lagi sehingga menyebabkan kerajaan Mat Said akan tumbang, ia juga tidak automatik memberi peluang kepada Dris atau wakilnya jadi MB. Bila jadi keadaan itu tentu Mat Said atas kapasitinya akan istyharkan DUN Terengganu dibubarkan. Jalan penyelesaian terbaik ialah dengan membubarkan DUN.

Persoalannya kini kenapa isu di Terengganu susah untuk beres? Jawabnya kerana ada campur tangan pihak luar. Khabarnya ada juga kalangan beberapa kerat pihak yang mengakui orang istana memberi inspirasi kepada kumpulan Dris ini. Kononnya kumpulan inilah yang menjadi jambatan cuba membaikpulihan hubungan Dris dengan sultan? Kumpulan inilah yang mempengaruhi Hishamuddin supaya menukar MB Terengganu!

Campur tangan luar ini juga jelas bila mana media massa arus perdana yang berjiwa Umno sendiri juga turu sama mempersenda dan mempermainkan Mat Said. Jika tidak ada restui pemimpin Umno sudah pasti akhbar berkenaan tidak sedia menjadi curang kepada perjuangannya. Yang jelasnya gangguna politik Terengganu atau
remotenya berada di Kuala Lumpur bukan di Jertih ataupun di Dungun.

Segala idea dan perancangan dibuat di luar Terengganu. Tenguk tentang ugutan bunuh ke atas wakil rakyat menerusi SMS satu masa dulu sehinggakan wakil rakyat berkenaan tidak berani masuk dewan, ia bermula di mana? Bukankah ia bermula di Bangi, Selangor? Lucu mengenangkan peristiwa itu, nak jadi pejuangan macam mana kawan sendiri ugut pun dah kecut perut!

Begitu juga cerita dengan ‘pak pandir’ 10 Adun hendak menyertai PKR, juga digagaskan di Kuala Lumpur. Idea itu tidak kurang dan tidak lebih sengaja nak ugut Mat Said sahaja. Untuk menganggui tidur Mat Said. Walhasil apa jadi kemudiannya, orang-orang berkenaan juga membuat penafian. Inilah politik wayang kulit daun rambai di Terengganu. Tahu wayang kulit daun ramai? Wayang kulit yang dimainkan oleh budak-budak dibangsal pondok-pondoklah...

Sebagai pemerhati yang sesekali menjenguk dan tersilau politik Terengganu saya merasakan Mat Said bukan mudah untuk ditumbangkan. Mat Said ada ilmu dan pendinding atau kekuatan dirinya sendiri. Jangan main dengan Mat Said? Kalau dalam wang kulit, Said ialah anak saudara kepada Pak Dogol. Pak Dogol pula ialah orang yang sakti bermulut masin, tahu firasat dan penyabar.

Mungkin ilmu Pak Dogol dimiliki Mat Said maka itulah beliau dapat bertahan. Tetapi walaupun sabar, akhirnya kelmarin Mat Said bersuara juga untuk saman akhbar kerana membuat fitnah kepadanya. Beliau memberi masa seminggu untuk akhbar itu minta maaf kalau tidak akan disaman. Pada saya Mat Said tak payah saman, biarkan sahaja akhbar itu bermain dengan anginya sendiri. Rakyat Terengganu tidak pun mempedulikannya.

Yang penting Mat Said kenyangkan rakyat, buat pembangunan untuk rakyat. Jangan layan insan politik yang frustasi. Khabarnya menjelang raya ini seramai 160,000 kelurga miskin di Terengganu akan menerima habuan. Tentulah pemberian itu diterimakasih oleh rakyat. Saya percaya doa rakyat akan merestui kepimpinan Mat Said. Sebab rakyat tidak pernah tahu apa itu agenda politik yang penting perut mereka kemas dan keselamatan mereka terjamin, beres. Maka pemimpin sebegitulah yang mereka akan sokong.

Kitab inikah UMNO tak jumpa ? /UBN Najib Altantuya

Nasrudin Hassan at Tantawi

1.Malam ni agak sepi. Saya sendiri mula rasa sunyi apabila jauh dari program - program jamaah. Bukan tak nak hadhir, tetapi belum ada keupayaan untuk bertindak. Demam masih belum kebah sepenuhnya dan akibat batuk yang serius, kini saya alami radang dikerongkong dan membuatkan saya kehilangan suara untuk bercakap jauh sekali untuk berpidato.

2.Kesempatan ini saya nak minta maaf banyak-banyak dari sahabat seperjuangan kerana sepanjang Ramadhan ini, urutan keuzuran yang dialami, tidak banyak program yang boleh saya hadhir. Begitulah juga kepada penganjur-penganjur program yang terpaksa mencari ganti di saat akhir atau membatalkannya kerana kegagalan saya untuk hadhir. Insyaallah, sebaik sahaja saya sihat, saya akan ganti semua program yang tergendala dan terbengkalai. Semoga Allah swt memberikan keafiatan dan kesejahteraan buat diri ini untuk terus mewaqafkannya kepada perjuangan Islam yang suci ini.

3.Kesepian dan kesunyian memang amat menyulitkan jiwa ini yang telah terbiasa dengan keriuhan aktiviti dan gerakkerja jamaah. Namun saya bersyukur kerana peluang ini dapat dimanafaatkan untuk menelaah nota-nota lama dan juga kitab-kitab kuliah yang didhobit semasa menuntut di Tanta dulu.

4.Sebentar tadi, sedang membelek nota lama, saya terbaca satu ayat yang saya jadikan muqaddimah teks ucapan saya sekitar tahun 1993 ketika saya menjawab hujjah pihak PPMM [Persatuan Pelajar Malaysia Mesir] yang ditubuhkan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Mesir bagi menyaingi PMRAM [Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.]

5.Masa tu, PPMM yang rata-rata ahlinya adalah UMNO juga mengajak lebih 6000 pelajar Malaysia di Mesir bernaung dan bersatu di bawah persatuan mereka dan sesekali pemimpin mereka seperti mengajak pemimpin PMRAM untuk berunding dengan mereka bagi menyelesaikan masaalah pelajar kononnya sedang PPMM adalah sebuah pertubuhan haram yang ditubuh untuk memecah belahkan pelajar yang sebelumnya tenang dan damai bernaung di bawah PMRAM sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Kerajaan Mesir bahkan kewujudannya sebelum wujudnya kedutaan Malaysia di Mesir.

6.Ayat yang saya maksudkan tadi ialah ayat :

واعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذالك يبين الله لكمءاياته لعلكم تهتدون

Surah aali Imran : 103

Berpegang teguhlah olehmu kesemuanya dengan tali Allah swt dan jangan sekali-kali kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah swt ke atas kamu , ingat lah ketika mana kamu saling bermusuhan maka Allah satukan hati - hati kamu sehingga dengan nikmatNya ini kamu bersaudara dan ingat lah jua detik kamu berada di jurang api neraka lalu Allah swt menyelamatkan kamu dari disambar olehnya. Demikianlah keterangan ayat-ayat Allah swt kepada kamu, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.

7.Saya jadikan ayat ini sebagai muqaddimah ucapan saya pada waktu itu [1993 kerana ayat yang sama digunakan oleh PPMM untuk kempen mereka mencari ahli baru. Samalah situasinya dengan UMNO dan BN hari ini yang kembali mendendangkan slogan rundingan dan mengajak PAS menyertainya .

8.Saya berpendirian bahawa seruan atau ajakan untuk bersatu, berunding, berbincang atau apa sahaja yang membawa maksud yang sama adalah suatu yang positif dan sangat bertepatan dengan saranan agama Islam yang suci. Tinggal lagi asas untuk bersatu, asas rundingan, asas perbincangan dan sebagainya mestilah بحبل الله [tali Allah / kitab atau agama Allah]

9.Bersatu untuk toghut adalah terlarang. Berunding untuk menyuburkan kemungkaran jua haram dan berbincang untuk lawan Islam adalah jenayah.

10.Justeru itu, kalau UMNO mahu mengajak orang bersatu dengannya, berbincang dan berunding dengan mereka, asasnya mestilah berpegang teguh dengan kitab Allah swt jangan sekali-kali memisahkannya. Apatah lagi yang diajak oleh UMNO ialah PAS sebagai sebuah Gerakan Islam maka terlebih layak UMNO dan BN menjadikan Islam dan Kitab sucinya sebagai tempat kembali jua sumber rujukan.

11.Dasar kebangsaan dan asas perkauman seperti yang diperjuangkan oleh UMNO dan BN tidak akan bawa ke mana. Kalau nak bincang juga, bukan PAS tak nak tetapi memang tidak boleh !

12.Mana boleh bincang bagaimana nak perkukuhkan semangat perkauman! mana boleh runding macam mana nak lakukan rasuah! Tidak boleh kita bersatu atas dasar kebangsaan dan perkauman.

13.Justeru itu, saya dengan segala kerendahan diri menyeru agar UMNO dan BN mengubah dasar perjuangannya dari Kebangsaan kepada Islam. Waktu dan peluang masih terbuka untuk UMNO dan seluruh anggotanya kembali ke pangkal jalan dan menerima Islam sepenuhnya lalu jadikan ia sebagai dasar hidup dan perjuangan.

14.Persengketaan PAS dengan UMNO bukanlah sukar untuk dilerai dan dirungkai, hanya menanti UMNO kembali kepada Islam dan mengambilnya sebagai asas perjuangan maka PAS bersedia menerima UMNO malah dikala itu, tiada lagi sebab kenapa mesti PAS dan UMNO bersengketa lagi. Waktu itu, hasrat UMNO mahu bersatu dengan PAS akan menjadikan kenyataan.

15.Islam adalah agama langit yang diturunkan oleh Allah swt bukan ciptaan manusia sebagaimana ideologi yang dianut oleh UMNO hari ini. Kenapa masih ragu terhadap Islam? di manalah tidak benarnya Islam? terima lah Islam nescaya UMNO akan selamat.

16.Tanpa Islam menjadikan UMNO terus angkuh dan hanyut dalam kemungkaran. Hidup dan perjuangan mereka bergelumang dengan dosa lantaran tiada konsep syurga neraka dan dosa pahala dalam perjuangan mereka.

17.Islam itu indah dan Islam menjadikan kita tenang dan bahagia di dunia bahkan di akhirat. UMNO tiada pilihan lain kecuali menerima Islam agama yang diwahyukan oleh Tuan empunya bumi ini. Terima Islam tidaklah menjadikan UMNO hilang apa-apa! sebalik keadaan menjadi jauh lebih baik.

18.Sejurus UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan maka kita bersaudara dan bersatu malah tiadalah lagi sebarang persengketaan dan permusuhan kecuali hanya ke atas orang-orang yang zalim.

19.Jika UMNO masih berkeras dan enggan menerima Islam sebaliknya terus bangga dengan dasar kebangsaannya, nescaya ia akan membawa kebinasaan kepada UMNO sendiri . Biarpun UMNO boleh mendabik dada kerana berkuasa lebih 50 tahun tetapi telah ada contoh bagaimana parti yang berkuasa selama 54 tahun seperti parti LDP di Jepun akhirnya tersungkur rebah dijatuhkan rakyat.

20.Akhirnya saya seru sekali lagi agar UMNO kembali kepada Islam. Pemuda PAS sedia menjadi pembimbing untuk kita mencari keredhaan Allah swt. Seruan yang sama saya hulurkan bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada Sister In Islam, JAG dan mana-mana pertubuhan atau orang perorangan yang belum menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan hidup mereka. Bahkan saya turut menawarkan Islam sebagai cara hidup kepada rakan-rakan dalam PAKATAN seperti PKR dan DAP.

Paling tidak .... jangan musuhi Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Tarawih ibadah atau budaya?

RAMLI ABDUL HALIM

SETIAP malam Ramadan, tidak kira masjid, surau atau pun madrasah penuh dengan jemaah. Masjid, surau dan madrasah yang imamnya dari kalangan hafiz yang ada ilmu taranum akan menjadi tumpuan ramai berjemaah.

Lazimnya akan didengar selepas selesai terawih komen-komen tentang imam, kononnya imam di masjid, surau dan madrasah 'B' misalnya lebih sedap bacaannya dari imam di masjid, surau dan madrasah 'A', gaya bacannya sebiji macam juara qari tilawatil-Quran peringkat antarabangsa.

Kesanggupan bertarawih lapan atau 20 rakaat juga bergantung kepada sedap atau tidaknya bacaan imam.

Malah ada jemaah yang sanggup tukar masjid untuk bertarawih apabila imam di masjid yang dia lazim bertarawih ada musakah dan tidak dapat menjadi imam dalam tempoh semalam dua.

Persoalannya apakah sedap tidak sedap cara imam mengalunkan suaranya yang kena dijadikan faktor untuk bertarawih atau kerana mahu beramal ibadah kerana Allah.

Kalau kerana imam, maka sembahyang tarawih yang dikerjakan cuba ditahap dan distatuskan sebagai budaya, bukannya ibadah.

Kalau terlalu sedap sangat bacaan imam pun boleh menyebabkan makmum terbuai dan leka oleh bacaan imam.

Yang penting bagi yang jadi iman adalah lebih betul bacaannya, terutama al-Fatihah berbanding dengan makmum di samping syarat-syarat sah sembahyang yang lain.

Kalau semuanya sama betul bacaan belaka, kena pilih yang sempurna anggotanya dan kalau semuanya sempurna anggota, kena pilih yang paling tua tetapi bukan nyanyuk.

Manakala makmum pula kena pastikan kualiti sembahyang kena ditingkatkan. Cara kiam, takbiratul-ihram, bacaan al-fatihah kena betul, cara rukuk, iktidal. sujud dan duduk antara dua sujud serta segala rukun kena betul.

Syarat-syarat sah sembahyang kena dipelihara. Tak guna sembahyang sampai 20 rakaat kalau setiap rakaat dalam keadaan batal atau kalau sekadar sembahyang takut dikata kurang lebai kalau sekadar bertarawih lapan rakaat misalnya.

Tidak boleh mendahului iman, tidak boleh dengan sengaja berdehem, tidak boleh gerakan badan tiga kali berturut-turut. Nampaknya dalam keghairahan bertarawih, hal-hal sedemikian tidak diambil berat.

Bila gatal tidak boleh digaru dengan kuat, cukup sekadar menggunakan sebatang jari, digaru tiga kali dan berhenti, kemudian garu lagi, juga sekadar tiga kali kalau gatal masih belum hilang.

Amal ibadah, termasuk sembahyang tidak boleh dibuat dalam keadaan jahil. Masih ramai jemaah yang bangun lebih awal dari iman bagi memulakan rakaat sembahyang, juga masih ramai yang pakai kopiah atau songkok, malah serban juga menutup separuh dari dahi.

Tidak kurang pula yang berdehem, yang mengeluh mungkin kerana tidak tahan terlalu berdiri kerana imam baca surah yang panjang dan ada yang menggaru sampai bergerak seluruh badan melebihi tiga kali.

Masih ada yang cara rukuk, sujud dan bersimpuhnya tidak betul dan tidak menepati apa yang dihukumkan sebagai syarat sah sembahyang sebagaimana yang terkandung dalam kitab-kitab fikah.

Sembahyang bererti kita sedang berdepan dengan Allah dan ketika membaca al-fatihah bermakna kita sedang berkomunikasi dengan Allah kerana setiap ayat al-fatihah yang kita baca, Allah akan memberi respons.

Sebab itulah al-fatihah lebih afdal dibaca ayat demi ayat, bukannya dibaca dalam keadaan bersambungan.

Kalau adalah imam yang baca al-fatihah dalam hanya senafas semata-mata kerana nafasnya panjang atau kerana mahu cepat selesai, imam sedemikian walaupun seorang hafiz ia termasuk dalam bilangan hafiz yang jahil.

Mudah-mudahan kita bertarawih pada bulan Ramadhan kali ini dalam keadaan lebih berilmu supaya kualiti amal ibadah, iman dan takwa kita kian meningkat berbanding dengan Ramadan-Ramadan yang telah lepas.

*RAMLI ABDUL HALIM ialah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan dan menjadi pengamal media sejak tahun 1973.

-detikdaily.net-

Di Bagan Pinang UBN Memang Bermasalah /UBN Najib Altantuya

Mohd Sayuti Omar

NAMPAKNYA UBN tidak dapat merasa selesa dengan kelebihan undi di kalangan tentera. Khabarnya jumlah undi tentera dan undi pos di DUN Bagan Pinang ini tinggi mencecah kira-kira 5,000. Kehadiran undi tentera ini dari kem tentera yang bermukim di situ. Biasanya undi tentera secara automatik berpihak kepada UBN. Walaupun tentera ada yang tidak setuju dengan UBN, namun selalunya undi mereka dikhianti.

Proses pengundian dalam kem, memangkah hanya dilakukan oleh seorang atau dua orang ketua sahaja. Banyak tempat yang berkeadaan seperti ini di mana calon-calon UBN di selamatkan oleh undi tentera. Misalnya di parlimen Setiawangsa, di Lumut Perak dan juga Kok Lanas Kelantan. Nescaya kalau tiada ‘kemudahan’ undi tentera atau undi pos berpeluh calon UBN untuk menanginya.

Sekiranya undi-undi ini dilaksanakan seperti biasa diberikan kebebasan dan tangan tentera sendiri mengundinya mungkin suasannya berubah.

Kenapa dikatakan undi tentera yang menjadi undi bonus itu tidak menjadikan UBN Bagan Pinang selesa? Sebabnya UBN menghadapi masalah besar dalam proses meletakkan calon di situ. Belum apa-apa UBN sudah pun bertelagah sesama sendiri dalam soal mencari calon.

Pada masa ini wujud beberapa kumpulan yang ingin menjadikan pilihan raya itu sebagai gelanggang menunjukkan kuasa kekuatan mereka. Pertelagahan paling jelas ialah antara bekas MB, Mohd Isa Samad, dengan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin. Kenyataan Muhyiddin semalam menjelaskan beliau tidak senang kalau Mohd Isa jadi pilih jadi calon.

Umno bahagian Teluk Kemang telah menamakan Mohd Isa sebagai calon tunggal. Tetapi ianya tidak dipersetujui oleh Muyiddin. Dalam kenyataan semalam beliau mahu Umno NS menghantar banyak nama dan bukannya satu nama saja. Apakah makna dan erti kata-kata Muhyiddin itu. Sekiranya beliau tidak ada masalah tentu nama itu diterima dengan baik.

Umno Telok Kemang katanya hanya menghantar satu nama saja iaitu nama Mohd Isa.
Bagi Muhyiddin ada sebab kenapa beliau tidak mahu kepada Mat Isa. Mungkin mengenangkan diri Mohd Isa tidak berapa bersih. Mohd Isa pernah digantung sebagai Naib Presiden kerana rasuah. Tetapi itu bukan alasan sebenar bagi Muhyiddin.

Apa yang dapat dilihat di sini keengganan Muhyddin itu kerana Mohd Isa akan menjadi ancaman kepada politiknya.

Dalam politik serba serbi boleh berlaku. Mungkin pada perkiraan Muhyiddin kalau Mohd Isa dipilih jadi calon dan menang menyebabkan akan ada pula cadangan supaya Mohd Isa memimpin semula Umno Negeri Sembilan. Kemungkinan ini ada memandangkan keupayaan pengerusi Umno Negeri Sembilan kini Mohamad Hassan sering dipertikaikan. Mohamad dikatakan gagal menyatupadukan Umno Negeri Sembilan yang kini terbahagi kepada ‘sembilan’ puak?

Mohd Isa tidak begitu menonjol kepimpinannya di luar. Tetapi ia sangat dikagumi di Negeri Sembilan. Sekiranya beliau diberi peluang semula menerusi pilihan raya kecil ini memberi kesempatan untuk beliau
come back. Inilah yang paling ditakuti oleh Muhyiddin. Makanya bagi Muhyiddin beliau ada sebab yang tersirat dan tersurat kalau beliau mahukan beberapa nama lain lagi untuk menjadi calon Bagan Pinang dan bukan nama Mohd Isa sebagai calon tunggal.

Bermasaman muka antara kedua mereka ini – Muhyiddin dan Mohd Isa sudah lama berlaku. Ia bermula semasa pemilihan pucuk pimpinan Umno tahun 2004. Mohd Isa diketahui bahawa antara pengerusi perhubungan Umno negeri yang tidak menyokong Muhyiddin semasa pertandingan Umno tahun 2004 dulu. Apabila Mohd Isa tiba-tiba dikenakan hukuman jantung ia pula dilihat ada kena mengena dengan Muhyiddin.

Permasaman muka ini tidak dapat lari membawa kepada dendam politik. Dan dendam ini pula akan terus hidup antara mereka berdua.

Pertelingkahan antara kedua tokoh inilah yang boleh menyebabkan UBN tidak selesa dalam pilihan raya kecil ini. Sudah tentu kalau Mohd Isa tidak akan dipilih menjadi calon akan berlaku protes dari kalangan Umno Telok Kemang. Penolakan Isa sebagai calon bermakna Umno tidak menghormati suara akar umbi Umno Telok Kemang.

Undi protes inilah bakal menguntungkan Pas. Sekiranya undi protes ini banyak sampai separuh undi tentera itu sudah pasti ia memberi sinar kepada Pas untuk menang pilihan raya berkenaan. Protes itu bukan diharap pengundi Umno akan mengundi Pas tetapi cukup kalau mereka tidak keluar mengundi.

Kalau ini berlaku bererti pilihan raya kecil Bagan Pinang bakal mencatat kemenangan ke lapan buah Pakatan dan sekaligus membuktikan Pakatan benar-benar kuat. Kemenangan di Bagan Pinang ini juga akan meruntuhkan zon selatan yang dianggap sebagai kubu kuat UBN yang berpengkalan di Johor.

Bagaimana pun bagi Pas dan Pakatan tidak hanya boleh mengharap kepada berlakunya protes demikian, sebaliknya mereka kena melipat gandakan usaha bagaimana untuk memenangi pilihan raya itu. Satu kebimbangan kepada Pas mungkin jentera pilihan raya di negeri itu tidak seberapa mantak seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Justeru sokongan padu dari Pas seluruh negara harus ditumpukan ke Bagan Pinang.

Sejauh mana ini berjaya ia bergantung atas kebijaksanaan pengarah pilihan raya kecil itu, Sallahudin Ayub. Mungkin hubungan baik beliau dengan beberapa pemimpin Pas yang mempunyai sumber kewangan banyak di Kelantan boleh dimanfaatkan. Wang Kelantan tidak mudah mengalir ke kawasan lain jika tidak kena caranya. Pas perlu meletakkan usaha ini kepada Sallahudin Ayub.

http://msomelayu.blogspot.com/

Amalan Terpuji Di Bulan Ramadhan Tapi Mungkin Boleh Jadi Terkeji

Wan Simujan

Sekarang sambutan Ramadhan sudah melepasi separuh tempohnya. Ini bererti semakin hampir kita akan menghampiri bulan Syawal iaitu bulan kemenangan umat Islam setelah sebulan menunaikan puasa. Kemenangan ini di hadiahkan oleh Allah dengan perayaan Hari Raya Aidil Fitri.

Suasana sambutan bulan ramadhan dan perayaan hari raya di negara kita sememangnya cukup unik dan meriah. Bukan setakat diwujudkan Bazaar Ramadhan tetapi juga akan sentiasa pelbagai aktiviti untuk meraikan sambutan bulan Ramadhan dan Syawal ini.

Semakin hari suasana semakin ceria dan penuh dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan pelbagai pihak bagi memeriahkan suasana bulan puasa dan sambutan hari raya.

Dan apabila melihat paparan di media arus perdana mengenai majlis berbuka puasa yang dijalankan oleh segenap pemimpin BN/UMNO terasa begitu bertuahnya golongan rakyat Malaysia ni. Sungguh prihatin golongan pemimpin-pemimpin ini. Hampir setiap pemimpin Islam cuba untuk menganjurkan majlis yang cukup baik ini. Sesungguhnya amalan memberi makan orang-orang yang berpuasa pada bulan ini akan mendapat balasan yang cukup banyak dari Allah. Mungkin inilah yang diimpikan oleh segenap pemimpin sekarang ini. Bukan hanya setakat majlis berbuka puasa tetapi diakhiri juga dengan sumbangan wang raya untuk mereka yang hadir.

Namun mungkin perkara ini benar-benar mendapat rahmat dan diberkati oleh Allah SWT jika manusia bernama Mohd Nazree Mohd Yunus, Pengerusi GERAK dapat membuat laporan kepada SPRM mengenai sambutan atau majlis pemimpin-pemimpin BN/UMNO yang nampaknya terlalu mewah itu. Sepertimana dia sanggup melaporkan kes penyembelihan lembu oleh MB Selangor pada perayaan Hari Raya Aidil Adha yang lalu, kini tentunya dengan melihat kepada majlis sebegitu mewah pastinya mungkin perkara ini mnjadi tidak biasa.

Doa dan harapan semoga juga saudara Mohd Nazree Mohd Yunus, Pengerusi GERAK itu akan menggandakan usahanya untuk mendapatkan keberkatan amalan di bulan mulia ini dengan tindakan ikhlas membanteras amalan rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin negara. Sesungguhnya niat yang ikhlas jika dilakukan pada bulan yang penuh barakah ini pastinya akan menghasilkan sesuatu yang cukup bermakna untuk rakyat. Tolonglah , wahai Mohd Nazree Mohd Yunus, buatlah laporan kepada SPRM mengenai majlis berbuka puasa golongan pemimpin yang rasanya terlalu mewah ini demi wang rakyat yang telah diserahkan kepada kerajaan itu. Relakah Mohd Nazree Mohd Yunus melihat jika wang rakyat ini diguna pada jalan yang tidak betul lebih-lebih lagi di bulan mulia ini. Ayuh ! Mohd Nazree Mohd Yunus buktikan kewibawaan kamu sebagai pejuang Rasuah yang tidak memandang rasuah sebagai balasan perjuangan kamu.

Semoga amalan berbuka puasa di kalangan pemimpin ini akan terus dilaksanakan tanpa menyalahgunaan wang rakyat. Jika itu yang dilakukan oleh pemimpin BN/UMNO semoga pemimpin tersebut diberkati dan dimurahkan rezeki. Dan hanya melalui laporan SPRM yang akan dikemukan oleh Mohd Nazree Mohd Yunus yang mampu membuktikan ketelusan majlis-majlis mewah tersebut.

-detikdaily.net-

Kemunculan KDSB dan kebangkitan Tiong.../UBN Najib Altantuya

Seandainya skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak terbongkar, maka Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai "orang kuat" Barisan Nasional, Tiong King Sing akan terus berselindung di dalam ribuan syarikat pembinaan, memeras kekayaan negara tanpa disedari ramai

KDSB kini menjadi isu hangat dalam media. Polis telah membekukan akaun KDSB menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, setelah meneliti hasil siasatan isu PKFZ daripada Kementerian Pengangkutan.

Apakah wajah sebenar KDSB? Jelas, KDSB hanyalah salah satu catur dalam permainan politik Barisan Nasional untuk memunggah kekayaan ekonomi negara. Skandal ini memperlihatkan bagaimana Tiong berkongsi kek PKFZ bersama UMNO, dan MCA sebagai catur yang penting, turut merasai sebahagian kek ini melalui Kementerian Pengangkutan yang dikuasainya.

Dari zaman Mahathir...

KDSB ialah anak syarikat milik sepenuh Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd (WBHSB), sementara Tiong adalah pemegang saham terbesar WBHSB dengan 70% saham dalam genggamannya. KDSB ditubuhkan pada 22 April 1994, dengan tujuan utamanya--PKFZ.

Di samping itu, Wijaya Baru Sdn Bhd (WBSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, ditubuhkan pada 9 Oktober 1990, berkecimpung dalam bidang pembalakan, pembinaan, pembangunan infrastruktur (seperti lebuh raya), jalan raya dan perparitan, pembinaan, turkey contract, financing project developement, perumahan serta hartanah komersial dan sebagainya. Selain Tiong King Sing, antara pemegang saham terbesarnya ialah Omar bin Abdul Latip dan Idris bin Jani. WBSB ialah anak syarikat kepada WIJAYA, 4022 Main Board Industrial Product.

Mengapa Tiong yang bangkit dengan bidang pembalakan, melibatkan diri pula dalam bidang pembinaan? Sekali imbas, Malaysia berada dalam zaman peralihan ke ekonomi perindustrian ketika itu, di bawah pimpinan PM ke-4, Mahathir Mohamed. Ditambah pula Asia didodoi dengan pujian "Alaf ke-20 milikan Asia" ketika itu, Malaysia berada di puncak kegemilangan ekonomi dalam sejarah.

Pasaran saham dan hartanah mula berbuih dalam kepesatan ekonomi. Malah, kerajaan giat memperkembangkan bidang pembinaan, dengan meluluskan "projek gajah putih" yang "mega".

Pada ketika itu, projek pembinaan dan hartanah adalah kerjaya "cepat kaya", selain pasaran saham. Kocek mereka yang berhubung rapat dengan kerajaan BN (khususnya UMNO), disarat penuh dengan kepentingan. Lantaran itu, syarikat pembinaan berkongsi antara bumiputera dengan Cina tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dan WBSB adalah salah satu daripadanya.

Perniagaan tanpa modal

Projek PKFZ bermula sejak tahun 1993. Kerajaan berniat menukarkan pelabuhan Klang kepada national load hub, malah sebagai pusattransshipment di rantau ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-7, beberapa strategi diterapkan, melakar lengkuk projek PKFZ.

Mereka yang memiliki "otak berniaga" semestinya faham, apabila projek PKFZ terjana, maka projek mega pembinaan akan bertapak, sementara nilai tanah kawasan di sekitar pelabuhan Klang akan melonjak.

Tapak tanah yang mengundang kontroversi dalam PKFZ ini, telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad, yang mempunyai hubungan rapat dengan UMNO. Maka, UMNO-BN dipercayai berniat untuk membangunkan PKFZ sejak tahun 1992 lagi.

Tiong (gambar kanan) melalui KDSB, anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh WBSB, membeli tapak tanah tersebut dengan harga RM 95,000,000 atau RM3/kaki persegi daripada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad. Untuk pemimpin kanan UMNO dalam Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad, ini perniagaan tanpa modal kerana tanah ini diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Koperasi. Dengan kata lain, RM 95,000,000 telah dimasukkan ke kocek dengan mudah, hanya melalui pertukaran hak milik tapak tanah.

Onn Ismail, Pengerusi Tetap Umno merangkap Ketua UMNO Bahagian Klang ketika itu adalah Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad. Malah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Faizal Abdullah bukan sahaja Bendahari BN Selangor dan Timbalan Ketua UMNO Umno Kapar, tetapi yang lebih penting, beliau ialah menantu Onn Ismail.

Tiong masuk gelanggang

Ini mungkin menjelaskan mengapa Faizal Abdullah (gambar kiri) yang berumur 30 tahun ketika tahun 2000 telah menduduki kerusi nombor dua dalam syarikat di bawah Tiong--termasuk Wijaya Baru Holdings Sdn Bhd, KDSB dan lain-lain, sebagai Timbalan Ketua Eksekutif. Hanya melalui perkongsian kepentingan, barulah Tiong boleh menempah satu-satunya tiket untuk masuk ke gelanggang.

KDSB telah menjual tanah tersebut kepada Lembaga Pelabuhan Klang pada tahun 2002, dengan RM 1,088,000,000 (1 billion 88 juta), atau RM25/kaki persegi dan bayaran ansuran berkadar interest 7.5%, atau bersamaan RM1.8 billion secara keseluruhannya. Pertukaran tangan ini membawa keuntungan bersih hampir RM 993 juta.

Belum lagi dikira keuntungan yang diperolehi KDSB yang mendapat "turkey contract" dari projek PKFZ. Pada ketika itu, ADUN UMNO Abdul Rahman Palil merangkap jawatan Pengerusi bersama Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad dan Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang.

Dari perkiraan masa, Tiong mungkin telah mula mengatur langkahnya ke dalam PKFZ sejak tahun 1993. Sekiranya krisis ekonomi tidak meledak pada tahun 1997/98, lantas mencelarukan projek ini, PKFZ mungkin dijalankan lebih awal, dan bukannya diluluskan kabinet hanya pada 24 Mac 1999, selepas kemelut ekonomi. (Bahagian pertama, bersambung)

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

-detikdaily.net-