"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Mahathir terjebak politik peras ugut, provokasi anti Melayu Islam

ARIF ATAN
Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berpendapat kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berdepan tekanan politik peras ugut dan provokasi yang bersifat anti Melayu Islam.

Menurutnya, hal tersebut dapat dilihat pada desakan berterusan pihak tertentu termasuk dari pemimpin kerajaan supaya menghantar pulang pendakwah Dr. Zakir Naik ke India.

“Sekarang secara halus, seakan-akan Tun (Mahathir) dan pemimpin PH (Pakatan Harapan) sedang terjebak dalam politik peras ugut.

“Kerajaan juga seolah-olah terpalit dalam politik provokasi oleh sebahagian pemimpin dalam Pakatan Harapan yang cenderung memusuhi Melayu Islam,” ujar bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Dr. Firdaus, 75, berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline semasa riadah pagi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, bekas Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) itu berkata, desakan yang dialami Dr. Mahathir termasuk dari DAP.

“Sekarang yang mendesaknya (Mahathir) dari dalam (kerajaan) termasuk DAP yang saya rasa sangat kuat dan terbuka suara mereka.

“Tambahan pula, rata-rata pemimpin muda dan veteran DAP sangat terlatih dalam politik lempar batu sembunyi tangan.

“Hal inilah yang terpaksa ditanggung oleh Tun Mahathir sekarang termasuk gejala lain di mulut, lain di hati atau dengan bahasa mudahnya, cakap tak serupa bikin oleh pemimpin di sekeliling Tun Mahathir,” tambahnya lagi.

Peace TV milik Zakir Naik bersalah siar ucapan kebencian, apikan pembunuhan, kata Ofcom UK

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengawal selia penyiaran di UK mendapati saluran televisyen satelit milik Dr Zakir Naik, Peace TV, bersalah melakukan ucapan kebencian dan boleh menyebabkan lesennya ditarik balik pada saat penceramah itu berdepan dakwaan rasisme di Malaysia.

Ofcom, badan pengawal selia kerajaan UK yang mempunyai bidang kuasa luas dalam sektor penyiaran, telekomunikasi dan pos berkata, ia meneliti 5 program televisyen yang disiarkan oleh Peace TV berikutan aduan berkaitan homofobia dan pengapian jenayah.

“Ofcom memutuskan bahawa 4 daripada 5 program berkenaan melanggar tatatertib, sementara satu tidak,” kata laporan suruhanjaya itu bulan lepas yang dilihat oleh FMT.

Ofcom berkata, 4 program berkenaan didapati melanggar tatatertib penyiaran disiarkan antara November 2017 dan Mac 2018.

Katanya, 2 daripada pelanggaran itu melibatkan edisi bahasa Inggeris dan Urdu dan oleh dijatuhi hukuman “pengenaan sekatan statutori”.

Pelanggaran itu meliputi pengapian jenayah, ucapan kebencian dan layanan buruk.

Salah satu program tersebut, “Kitab-ut-Tawheed”, adalah program berbahasa Urdu yang terdiri daripada ceramah berdasarkan tulisan Muhammad Ibn Abd al-Wahab, pengasas Wahhabisme, dibincangkan.

Dalam satu episod, penceramahnya, Shaikh Ashfaque Salafi menyarankan ahli sihir dipancung.

Pemegang lesen Peace TV di UK bagaimanapun mempertahankan kenyataan tersebut.

“Program berkenaan bukanlah mengenai Harry Houdini, Paul Daniels, David Blaine dan penghibur lain yang melakukan helah silap mata untuk tujuan kewangan atau hiburan.

“Ia adalah berkaitan sihir dan penyihiran seperti yang dapat difahami oleh penonton,” kata Club TV Ltd.

Dalam program lain berjudul “Strengthening Your Family”, penyampai Imam Qasim Khan membuat perbandingan antara homoseksual dengan babi.

“Di sini 2 orang manusia mengamalkan dan cuba mewajarkan sesuatu yang tidak dilakukan oleh haiwan sekali pun. Subhanallah, ia lebih buruk daripada haiwan.

“Manusia boleh menjadi lebih buruk daripada haiwan. Paling tidak haiwan mempunyai kehormatan untuk mengehadkan nafsu mereka, nafsu seks mereka kepada jantina yang berlainan.

“Manusia kadang-kala hilang kewarasan dan cuba mewajarkannya, selain mempunyai keberanian melampau untuk mengaplikasikan agama terhadap amalan yang tidak waras dan berdosa itu.

“Homoseksual Baptis, homoseksual Methodis, homoseksual Katholik, homoseksual Yahudi dan kini homoseksual Muslim. Itu sangat tidak waras. Apakah yang boleh kita lakukan mengenainya?,” laporan penyiasatan Ofcam memetik Qasim.

Dalam pembelaan yang dikemukakan kepada Ofcom, Club TV berkata, saluran itu ditujukan kepada orang Islam “dengan penekanan khusus mengenai pengajaran bagaimana untuk menjalani kehidupan beragama selari dengan ajaran agama”.

Ia berkata, justeru penonton sememangnya menjangka penceramah mempunyai pandangan tegas mengenai homoseksual.

Ofcom berkata, ia tidak berniat menghalang hak kebebasan bersuara penceramah agama, termasuk hak untuk menyoal kepercayaan lain yang boleh “menyinggung, mengejutkan atau mengganggu”, dengan berkata, ia dilindungi di bawah perlembagaan Britain.

“Bagaimanapun, apabila menyampaikan bahan sebegini, penyiar mesti mematuhi semua peraturan tatatertib berkaitan, termasuk Peraturan 3.1 (larangan bahan yang boleh mengapikan jenayah); Peraturan 3.2 (ucapan kebencian yang mesti diwajarkan oleh konteks); Peraturan 3.3 (bahan yang mengandungi layanan buruk atau menghina terhadap individu, kumpulan, agama atau komuniti tidak boleh disiarkan di televisyen),” kata Ofcom.

Peace TV, yang disiarkan dari Dubai, merupakan sebahagian daripaya empayar perniagaan Zakir Naik yang kini disiasat di India, Bangladesh dan Sri Lanka.

Zakir yang mendapat perlindungan di Malaysia kini disiasat oleh polis berikutan beberapa kenyataan beliau yang didakwa mengapikan sentimen perkauman.

Penceramah itu, yang juga berdepan pertuduhan pengubahan wang di India berkata, beliau merupakan mangsa kempen memburuk-burukkan oleh ekstremis Hindu di India.

Durian belanda merawat kanser, mitos atau fakta?

FMT Reporters
Jika tiba musim durian, pasti terdapat pelbagai jenis durian yang boleh anda dapatkan dari pasaran.
Antara jenis durian yang mendapat permintaan tinggi adalah seperti durian D24, Musang King dan Udang Merah.

Namun, bagaimana pula dengan durian belanda? Adakah ia sama seperti durian lain? Apakah kebaikan dari buah ini? Adakah benar ia boleh membantu mencegah kanser?

Apa itu Durian Belanda?

Pokok durian belanda merupakan tumbuhan yang berasal dari benua Amerika, Caribbean dan Afrika.

Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika era penjajahan Barat.

Buah yang berduri ini mempunyai isi putih dan biji coklat bersaiz sederhana besar dengan keunikan rasa yang tersendiri.

Ia telah ditanam secara komersial dan meluas di Asia untuk dijadikan pelbagai produk makanan dan minuman.

Di Indonesia, buah ini dikenali sebagai Sirsak.

Durian belanda yang berbentuk seakan seperti mangga dengan duri bersama kulit berwarna hijau adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan tropika, yang turut dikenali sebagai graviola di Amerika Latin dan custard apple.

Buah ini boleh membesar sehingga saiz 12 inci panjang dan 6 inci lebar dengan berat beberapa kilogram.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh buah durian belanda ini termasuk mengandungi karbohidrat, fruktosa, amyloid, asid sitrik, manganese, sukrosa, reticuline, vitamin C, vitamin B1 dan vitamin B2.

Buah yang turut dikenali sebagai guanabana dan Brazilian paw paw ini turut digunakan oleh pengamal ubatan herba untuk merawat sakit perut, demam, jangkitan parasit, dan hipertensi.

Walaupun kebanyakan kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kajian dalam tabung uji, beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa buah durian berpotensi membantu menghilangkan sel-sel kanser.

Satu kajian tiub ujian merawat sel-sel kanser payudara dilakukan dengan ekstrak buah ini.

Menariknya ia dapat mengurangkan saiz tumor, membunuh sel-sel kanser dan meningkatkan aktiviti sistem imun badan.

Satu lagi kajian tabung uji melihat kesan ekstrak durian belanda pada sel leukemia, dikatakan dapat menghentikan pertumbuhan dan pembentukan sel-sel kanser.

Tetapi benarkah ia boleh merawat kanser?

Walaupun terdapat kajian yang mencadangkan penggunaan buah ini untuk merawat kanser.

Hakikatnya kajian tersebut tidak dijalankan atau diuji ke atas manusia, maka hasil keputusan kajian tidak dapat dibuktikan keselamatan atau keberkesanannya.

Disebabkan itu, pakar perubatan melarang dan memberi amaran untuk menggunakan buah ini sebagai alternatif merawat kanser.

Menurut Pengarah Klinikal Perubatan Naturopathic di sebuah hospital yang terletak di Atlanta, Dr Daniel Kellman, durian belanda telah dikaitkan dengan banyak tuntutan yang tidak berasas.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Chemistry pada tahun 1997, mencadangkan sebatian durian belanda yang diuji pada sel-sel kanser payudara adalah lebih efektif daripada rawatan kemoterapi dalam memusnahkan sel-sel kanser.

Namun tanpa ujian klinikal, tiada data yang boleh menyokong cadangan tersebut.

Menghubungkan dengan gangguan kesihatan lain

Kebanyakan kajian mengkaji derivatif asid lemak durian belanda yang dipanggil annonaceous aceteogenin.

Acetogenin yang utama adalah annonacin, yang mempunyai racun dan kebiasaannya tidak akan dikaji dalam ujian klinikal.

Memetik kajian daripada 2 penyelidikan, Dr Kellman mengatakan penggunaan buah ini secara lisan adalah diklasifikasikan sebagai berkemungkinan tidak selamat.

Berdasarkan kajian kawalan kes di French West Indies, memakan buah ini boleh membawa kepada gangguan pergerakan seperti penyakit Parkinson.

Selain itu, kajian turut menunjukkan teh yang diperbuat daripada daun dan batang pokok ini dikaitkan dengan neurotoxicity.

Secara umumnya, buah ini yang dihasilkan dalam bentuk suplemen herba mungkin boleh digunakan oleh pesakit kanser untuk mengurangkan dan melegakan simptom kanser yang dihadapi.

Tetapi ia bukanlah pengganti untuk rawatan kanser arus perdana.

Malah, pengambilan suplemen ini semasa menjalani kemoterapi, berkemungkinan akan mengurangkan keberkesanan agen kemoterapi berikutan interaksi antara ubat dan herba.

Malah menurut Dr Amalina Bakri, Pakar Pelatih Bedah di bahagian surgikal dan trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England, menerusi kenyataan yang dibuat di akaun Twitter miliknya pada Ogos 2018, menafikan dakwaan kebanyakan rakyat Malaysia yang mengatakan jus durian belanda mampu merawat kanser.

Menurut beliau, jika buah tersebut dapat merawat kanser, maka dia tidak perlu bersusah payah untuk melakukan penyelidikan dan kajian bersama rakan-rakannya untuk mencari penawar bagi merawat kanser.

Kesan Sampingan Durian Belanda

1. Keradangan mata

Biji dan kulit pokok buah durian belanda ini dianggap toksik. Ia mengandungi sebatian yang berpotensi beracun seperti anonaine, asid hydrocyanic, dan muricine. Ia boleh mengakibatkan keradangan mata.

2. Wanita hamil dan menyusukan bayi

Wanita yang sedang hamil adalah tidak digalakkan untuk memakan buah ini.

Ini kerana kandungan tenaga yang tinggi dalam sel-sel janin yang sedang berkembang akan mencetuskan aktiviti beracun buah ini yang berpotensi untuk tahap kesihatan ibu dan bayi, di mana risiko pada bayi adalah lebih tinggi.

Pengambilan buah ini ketika mengandung dan menyusukan bayi adalah tidak selamat, maka hindari daripada memakannya.

3. Penurunan berat badan drastik

Dalam kajian, pengambilan buah ini menunjukkan kemerosotan berat badan yang drastik pada tikus yang terlibat dalam eksperimen.

Kesan ini juga boleh berlaku kepada manusia. Oleh itu, dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor jika anda merancang untuk mengambil buah ini untuk sebarang masalah berkaitan dengan berat badan anda.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Individu bangkit isu perkauman termasuk pemimpin politik akan terus ditangkap, tiada lagi amaran, kata KPN

Bernama
Tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak-pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama; sebaliknya mereka yang terlibat termasuk pemimpin politik akan disiasat dan ditangkap serta-merta, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

“Saya tidak teragak-agak untuk menangkap mereka (pihak bangkitkan isu perkauman) dan memang saya akan buat (lakukan tangkapan).

“Saya bagi arahan kepada anak-anak buah saya untuk siasat kes terkelas melibatkan keagamaan dan kaum. Jangan tunggu, terus siasat dan tangkap. Saya ulang tiada lagi amaran,” katanya kepada Bernama News Channel pada Selasa.

Abdul Hamid berkata banyak pihak terpedaya dengan agenda tertentu yang dicipta pihak-pihak tidak bertanggungjwab untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Beliau berkata individu-individu yang terpedaya itu, kemudian berkongsi perkara tidak sahih, merakam video berbaur perkauman dan menyebarkannya di media sosial selain menghina dan memaki pemimpin negara.

“Saya menyeru kepada orang ramai jangan terpedaya dengan mainan politik pihak tertentu dengan secara tidak disedari mereka terperangkap, makanya orang yang menularkan video tidak tahu hujung pangkal, akhirnya mereka ditahan dan didakwa.

“Saya nasihatkan jangan ambil tindakan yang melulu dan ikut emosi,” katanya sambil menambah tindakan pihak tidak bertanggungjwab ini telah mengakibatkan masyarakat keliru, takut dan negara dilihat seolah-olah porak peranda.

Abdul Hamid berkata pelbagai isu perkauman sedang dan telah diselesaikan pihak polis demi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Saya menyeru pemimpin politik supaya mereka ada sikap tanggungjawab dalam bulan (Bulan Kebangsaan) ini kerana kita hendak sambut Merdeka. Banyak kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan, sepatutnya mereka (pemimpin politik) lebih bertanggungjawab selepas kita berjaya jalankan proses demokrasi cemerlang.

“Sekarang macam porak-poranda pula. Semua kaum, orang ramai jadi takut apa yang berlaku dalam negara kita ini, biarlah bertanggungjawab.. Jangan keluarkan kenyataan tanpa guna akal fikiran, hentikan semua ini,” katanya– BERNAMA

Paru-paru puluhan remaja AS rosak selepas hisap vape

WASHINGTON - Pegawai-pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kes berpuluh-puluh orang, terutamanya remaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan teruk pada paru-paru selepas menghisap vape sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, punca sebenar penyakit mereka masih misteri.

Jabatan kesihatan di negeri Illinois, Minnesota dan Wisconsin mengeluarkan kenyataan melibatkan kes tersebut dengan menyatakan, pesakit mengalami batuk, sesak nafas, pening dan kepenatan.

Simptom itu memaksa pesakit dirawat di hospital dengan tiub oksigen dimasukkan menerusi mulut bagi membantu mereka bernafas.

Tiga negeri berkenaan merekodkan sekurang-kurangnya 30 kes disahkan dan 22 kes yang masih disiasat. Bagaimanapun, pegawai-pegawai kesihatan itu berkata, masih awal untuk menyatakan sama ada penyakit itu berkait tetapi mereka saling bekerjasama dan berganding tenaga bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk melakukan siasatan lanjut.

Sesetengah pesakit berkenaan didapati menggunakan vape untuk menghisap produk marijuana.

Thomas Haupt yang merupakan ahli epidemiologi penyakit berkaitan pernafasan di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin memberitahu agensi berita AFP kelmarin: “Kami dalam proses menemu bual semua pesakit bagi mencari sebarang persamaan.

“Buat masa ini, menghisap vape merupakan satu-satunya persamaan pada mereka tetapi kami cuba meluaskan siasatan bagi memastikan kami tidak tertinggal fakta lain,” jelasnya.

Penemuan itu mengelirukan pakar-pakar ekoran kajian saintifik sehingga kini mendapati rokok elektronik (e-rokok) kurang toksik berbanding rokok konvensional.

Penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja AS meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi menggunakan produk vape pada tahun lalu, demikian menurut laporan CDC. – AFP

Penggal, campak kepala isteri dalam terusan

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Rakaman CCTV menunjukkan suspek membawa kepala isterinya yang dipenggal. - Foto ANI
A A
VIJAYAWADA - Dalam satu insiden mengerikan, seorang lelaki berusia 24 tahun di India memenggal kepala isterinya lalu mencampakkannya ke dalam sebuah terusan di Andhra Pradesh.

"Operasi mencari kepala mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa dan nelayan tempatan.

"Sebuah telefon bimbit dan senjata yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit turut dicari," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Vijayawada kepada agensi berita ANI.

Menurut polis, pada 11 Ogos lalu tertuduh dikenali sebagai Pradeep Kumar, datang ke rumah isterinya, Manikranti di Srinagar dan memenggal kepala mangsa.

Keseluruhan insiden terbabit dirakam menerusi kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di mana tertuduh dilihat berlari sambil memegang sabit dan kepala mangsa.

Seorang konstabel lalu lintas yang ternampak Pradeep dengan baju berlumuran darah segera menghubungi polis yang kemudian menahan tertuduh.

Pasangan berkenaan berkahwin pada tahun 2015 namun tinggal berasingan berikutan masalah rumahtangga.

Difahamkan, mangsa pernah membuat aduan keganasan domestik terhadap Pradeep yang menyebabkannya ditahan.

Polis berkata, Pradeep yang baru dibebaskan dengan jaminan membunuh isterinya kerana dendam.
-Agensi

Mufti Perlis setuju Zakir Naik dihantar pulang tapi bersyarat

FMT Reporters
PETALING JAYA: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin setuju jika penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India tetapi ia perlu dilakukan dengan bersyarat.

Memetik Harian Metro, Asri dilaporkan berkata syarat utama adalah Zakir mesti mengadakan satu dialog harmoni dengan wakil kumpulan atau pihak yang menggesanya pulang ke negara asal.

“Kenapa tidak dianjurkan satu dialog antara Zakir dengan mereka yang tidak berpuas hati dengan seperti dialog antara beliau bersama M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia).

“Jika Zakir kalah, I’m will be the first to tell Zakir Naik to get out from this country (Saya akan menjadi orang pertama meminta Zakir tinggalkan negara ini).

“Begitu juga dengan Kulasegaran jika dia kalah, dia perlu pertimbangkan ke mana dia mahu pergi selepas itu,” katanya.

Jika kerajaan mahu menghalau Zakir pulang kerana beliau bukan warganegara, Asri berkata, ramai lagi pendakwah atau guru agama lain yang bukan warganegara tinggal di Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri mengetahuinya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan Zakir kelihatan seperti beliau mahu melibatkan diri dalam politik negara.

Katanya, kenyataan Zakir jelas membangkitkan rasa perkauman dalam kalangan rakyat.

Mahathir menegaskan penceramah agama asing dialu-alukan berceramah, tetapi tidak patut mencampuri politik.

Zakir menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia selepas mengatakan orang Cina dan India di negara ini, yang beliau sebut sebagai “tetamu lama”, harus meninggalkan Malaysia terlebih dahulu sebelum beliau berbuat demikian.

Sebelum itu, beliau juga mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Ada asas Zakir Naik tidak dapat perbicaraan adil, kata ketua badan minoriti kerajaan India

Abdar Rahman Koya

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi, berkata kerajaan BJP bawah Modi memburu pengkritiknya termasuk Zakir Naik.
PETALING JAYA: Pengerusi sebuah suruhanjaya kerajaan mewakili kumpulan minoriti India berkata walaupun beliau bersetuju ucapan Dr Zakir Naik boleh menyinggung penganut Hindu malah mempersoalkan kewajaran kaedah dakwahnya, kebimbangan pendakwah itu terhadap perbicaraan tidak adil di bawah kerajaan Narendra Modi adalah berasas.

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi yang ditubuhkan kerajaan persekutuan India bagi melindungi hak orang bukan Hindu di wilayah Delhi, juga percaya dakwaan pengubahan wang haram terhadap Naik merupakan sebahagian daripada kempen didalangi kumpulan pelampau Hindu untuk mengunci mulut penceramah itu.

“Kumpulan-kumpulan Hindutva meraih kuasa tidak terkekang sejak Modi memerintah pada Mei 2014. Mereka menyalahgunakan kuasa itu terhadap pihak lawan, sama ada betul-betul wujud atau rekaan semata-mata,” kata Khan, yang merupakan anak salah seorang sarjana Islam terulung di India, merujuk kumpulan haluan kanan Hindu.

Bapa beliau adalah Wahiduddin Khan, yang mengamalkan falsafah penentangan tanpa keganasan ala Mahatma Gandhi dan juga dianugerakan Padma Bhushan, pingat kebangsaan ketiga tertinggi India untuk orang awam.

Wahiduddin pernah mengkritik kaedah dakwah Naik, iaitu pandangan yang turut dikongsi Khan.

Bagaimanapun, Khan berkata penceramah itu tidak boleh dituduh mencaci kepercayaan lain terutamanya agama Hindu, seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Naik mungkin adakalanya kasar dan menyakitkan hati tetapi dia tidak mencaci agama-agama lain,” kata Khan.

“Dia patut lebih berhati-hati. Dia pernah mengadakan persidangan terbuka di padang dan stadium dengan disiarkan di televisyen, di mana pemimpin Hindu diundang dan pandangan mereka ‘dimalukan’. Mereka lebih tersinggung apabila di akhir ceramahnya, ada orang Hindu yang bangun untuk mengisytiharkan masuk Islam.

“Ini menyinggung perasaan orang Hindu,” tambahnya.

Polis Malaysia sedang menyiasat Zakir Naik atas tuduhan menghasut sentimen perkauman.
Naik disiasat pihak berkuasa Malaysia susulan ucapan-ucapan yang mengkritik masyarakat bukan Islam di sini. Beliau dilapor menggambarkan rakyat berketurunan Cina sebagai “tetamu” ketika menjawab desakan supaya beliau diserahkan kepada pihak berkuasa India.

Naik nafi meniupkan sentimen perkauman, mengatakan dia sebenarnya mangsa kempen memburuk-burukkannya oleh penyokong Modi.

Beliau sebelum ini berkata tidak akan pulang ke India kerana percaya kerajaan BJP tidak boleh menjaminnya perbicaraan adil bagi tuduhan pengubahan wang haram.

Khan mendapati Naik terlalu lurus dalam mempercayai kebebasan di India, malah “benar-benar percaya pada jaminan-jaminan kebebasan bersuara serta kebebasan untuk mengamalkan dan menyebarkan sebarang kepercayaan yang termaktub dalam perlembagaan”.

“Hakikatnya, hak-hak itu hanyalah atas kertas. Sebarang penukaran agama daripada Hindu kepada agama lain dianggap sebagai ancaman terhadap penganut Hindu dan negara,” tambahnya.

Beliau berkata ini diburukkan lagi oleh dwistandard pemerintah sekarang yang menuduh orang-orang tertentu mengancam keharmonian masyarakat.

“Selain itu, sudah banyak kali militan Hindu bertindak sesuka hati untuk menguatkuasakan dasar Hindutva, yang diakui RSS secara pura-pura dan disokong oleh sayap politiknya BJP yang sekarang memerintah India. Kerajaan sengaja mengabaikan hal itu,” katanya.

RSS yang dirujuk Khan ialah Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), pertubuhan haluan hanan yang ada kaitan dengan parti BJP dan dipertanggungjawabkan atas beberapa rusuhan agama.

Bagi Khan, Naik tidak boleh dianggap sebahagian daripada sarjana Islam di India.

“Dia berpengaruh dan ada pengikut yang ramai kerana debat-debat televisyen dan penampilan dalam Peace TV, tetapi dia bukanlah seorang sarjana,” katanya.

Beliau berkata Naik cuba mengikut pendekatan pendakwah Afrika Selatan, Ahmad Deedat, yang terkenal dengan perdebatannya bersama agamawan Kristian pada awal 1980-an.

Walaupun Khan tidak berpuas hati dengan pendekatan Naik menyebarkan Islam, beliau percaya penceramah itu tidak akan dapat keadilan dalam “keadaan-keadaan sekarang dengan adanya pemburuan terhadap pihak lawan dan kempen rasmi menanam perasaan benci”.

“Ia benar berlaku. Badan kehakiman India agak terjejas bawah kerajaan yang memaksakan keputusannya,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks Naik, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad betul dalam kritikannya terhadap badan kehakiman India.

“Saya fikir apa yang dilakukan Malaysia adalah betul. Naik tidak akan dapat keadilan di bawah sistem India sekarang.”

Ketua cawangan isytihar tinggalkan Pas sertai AMANAH

NASUHA RAHMAN
Ketua Pas Cawangan Kampung Lundang Ustaz Mat Wan Yusoff menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah.
Tiga orang Ketua Pas Cawangan telah bersetuju mengisytihar diri mereka untuk meninggalkan Pas di atas alasan tidak boleh menerima kerjasama politik Pas-Umno .

Mereka termasuklah Ustaz Mat Wan Yusoff, Ustaz Hassan Deraman dan Ab Hamid Omar.

Ketua PAS Cawangan Kampung Lundang Ustaz Mat Wan Yusoff yang bersama parti islam sejak 20 tahun lalu menyertai AMANAH sekali gus bersama-sama menubuhkan AMANAH Cawangan Kampung Lundang Kota Bharu pada satu majlis yang berlangsung pada Hari Raya Qurban, 11 Ogos lalu.

Beliau menyatakan tidak dapat menerima kerjasama politik Pas dengan Umno seperti yang sedang berlaku sekarang.

Beliau juga gembira apabila Datuk Husam Musa dipilih sebagai Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu sesi 2019 2022 pd Mesyuarat Tahunan 3 Ogos lalu.

Ustaz Mat turut menyerahkan 30 keping borang permohonan menjadi ahli AMANAH sebagai tambahan kepada 80 permohonan yang dikemukakan pada Hari Raya Puasa yang lalu.

Borang-borang keahlian diserahkan Pengerusi AMANAH Kelantan Cikgu Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama adalah peguam Yusoff Yaakob selaku Setiausaha AMANAH Kawasasan dan Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Hamzi Che Mood.

Umno dan Pas memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan diadakan pada 14 September depan.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta PAS dari seluruh negara.

Mufti Perlis ajak rakyat tandatangan petisyen haramkan Dong Zong

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Beliau menyuarakan gesaan itu ketika memaklumkan tentang kunjungan exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail yang mahu mendapatkan nasihatnya berhubung pengharaman Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina itu.

“Menerima kunjungan exco Armada Pusat Parti Bersatu saudara Muzammil. Beliau datang berbincang dan bertanya pendapat dalam usaha mereka mendesak pengharaman Dong Zong.

“Saya menyokong usaha itu sepenuhnya. Saya mengajak semua Malaysia menandatangani petisyen sokongan pengharaman pertubuhan rasis Dong Zong,” katanya di Facebook malam ini.

Pemuda Bersatu melancarkan petisyen atas talian bagi pengharaman tersebut empat hari lalu kerana menganggap Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

Dong Zong dilihat antara pihak yang paling lantang membantah rencana kerajaan untuk pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 yang sepatutnya dimulakan tahun depan.

Setelah siri bangkangan dan perubahan pendirian kementerian pendidikan, akhirnya mesyuarat kabinet memutuskan pengajaran tulisan Jawi itu tertakluk kepada persetujuan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa dan murid untuk sekolah vernakular.

Sementara bagi sekolah kebangsaan, pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 akan dilaksanakan seperti rancangan asal.