"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Anwar menang besar di PD, undi Saiful paling sedikit

Soo Wern Jun
PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya kembali ke Parlimen, selepas menewaskan 6 pencabarnya dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan presiden PKR itu mendapat 31,016 undi berbanding pencabar terdekatnya daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan bekas menteri besar Negeri Sembilan yang bertanding atas tiket bebas, Tan Sri Isa Samad (4,230 undi).

Empat calon bebas lain pula mendapat tidak lebih 350 undi. Mereka adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi), pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen (154 undi), bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan (214 undi) dan personaliti media sosial, Stevie Chan Ken Leong (337 undi).

Semua calon bebas itu hilang deposit mereka.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat Isnin ini dan selangkah lagi menuju matlamat menjadi perdana menteri ke-8 yang dipersetujui 4 parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sebanyak 58.25% pengundi keluar mengundi sehingga semua pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi, peratusan itu bagimanapun lebih rendah daripada jangkaan SPR sebanyak 70%.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, kembali ke Dewan Rakyat.

Bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi atau majoriti 17,710 undi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

PRK Port Dickson adalah yang ke-4 selepas PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang semuanya kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, susulan pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ini kali pertama Anwar bertanding di kerusi Parlimen di luar kampung halamannya, Pulau Pinang, di mana beliau pernah mewakili Permatang Pauh sebanyak 2 kali.

Anwar yang dihukum penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful pada Jun 2008, dibebaskan 16 Mei lalu dan mendapat pengampunan diraja selepas kemenangan PH pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL PORT DICKSON
1 Anwar Ibrahim Pakatan Harapan 31,016
2 Mohd Nazari Mokhtar PAS 7,456
3 Isa Samad Bebas 4,230
4 Stevie Chan Bebas 337
5 Lau Seck Yan Bebas 214
6 Kan Chee Yuen Bebas 154
7 Mohd Saiful Bukhari Azlan Bebas 82

Rasmi: Anwar menang PRK PD dengan majoriti lebih besar

Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRK Port Dickson selepas meraih 31,016 undi, seperti diumumkan SPR.

Anwar mendapat 23,560 undi majoriti ke atas pesaing terdekatnya, calon PAS Mohd Nazari Moktar yang memperoleh 7,456 undi. Calon bebas Tan Sri Mohd Isa Samad berada di tempat ketiga dengan 4,230 undi.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi adalah 58.25 peratus.

PAS 'bantu' tingkat sokongan pada AMANAH

N Faizal Ghazali

Dibayangkan tidak mempunyai jangka hayat yang lama, sebaliknya sokongan orang ramai terhadap Parti Amanah Negara (AMANAH) semakin memberangsangkan, kata presidennya Mohamad Sabu.

Malah beliau membayangkan peningkatan itu - yang diwakili oleh pertambahan jumlah permohonan menjadi anggota AMANAH - turut disumbangkan oleh salah satu musuh utama mereka, iaitu PAS.

Kata Mohamad keanggotaan AMANAH bertambah dengan ketara apabila PAS dilihat semakin terbuka mengadakan kerjasama dengan Umno selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata keanggotaan baru tertinggi pula dicatatkan di Kelantan iaitu negeri yang ditadbir oleh PAS sejak 1990.

"Memang menakjubkan, keahlian baru dalam AMANAH, di Kelantan paling tinggi.

"Kalau ia berterusan bermakna akan ada puluhan ribu ahli AMANAH di Kelantan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal bersama Presiden AMANAH di Kota Bharu, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan Pemuda AMANAH Kelantan.

Hadir sama Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan dan pengarah program Syahidul Amri Khairuddin.

Menurut Mohamad beliau yakin pertambahan mendadak itu disebabkan orang ramai semakin menyedari bahawa dakwaan AMANAH bahawa PAS dan Umno bekerjasama kini terbukti benar.

Ada momentum meningkat

Malah katanya orang ramai juga menerima kenyataan kedua-dua parti terbabit mengadakan 'hubungan gelap' sejak sebelum PRU ke-14 walaupun ia dinafikan berkali-kali oleh PAS.

"Kami bekerjasama dengan DAP secara terang dan semua orang tahu, tapi mereka buat dalam gelap.

"Apabila buat kerja dalam, gelap akhirnya membawa perpecahan dalam parti," katanya.

AMANAH ialah parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin kanan PAS yang disingkirkan perwakilan dalam muktamar parti itu di Kuala Selangor pada 2015.

Dituduh sebagai kuda tunggangan DAP, AMANAH membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama PKR, Parti Bersatu Bumiputera (BERSATU) dan DAP.

Pada 9 Mei lalu HARAPAN berjaya menubuhkan kerajaan pusat.

PAS pula menjadikan AMANAH - selain DAP - sebagai antara seteru utama mereka dan pada masa sama menjalin hubungan baik dengan Umno.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS pernah meramalkan AMANAH tidak akan bertahan lama.

Kata Mohamad AMANAH menerima antara 10,000 hingga 12 permohonan keanggotaan baru setiap bulan di seluruh negara.

Katanya ia begitu ketara apabila HARAPAN berjaya menguasai Putrajaya serta banyak negeri pada PRU ke-14 lalu.

Sementara itu, Mohamad berkata, AMANAH Kelantan menerima lebih 7,300 anggota baru termasuk 1,300 ahli daripada kalangan pemuda selepas 9 Mei.

"Saya nampak momentum meningkat, kalau ia berterusan saya nampak perubahan politik besar di Kelantan," katanya.

Husam kembali bergelar ‘datuk’, Mujahid, Dr Dzul dan Ustaz Ahmad Awang ‘datuk seri’

MALAYSIADATELINE 
Seramai 419 orang menerima Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Yang Ke-80, Gabenor Negeri Melaka Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob, pada 12 Oktober 2018.

Mereka yang menerima penganugerahan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) membawa gelaran datuk seri iaitu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ahmad Awang.

Manakala, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli, Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) Datuk Abdul Ghani Samsudin diberi anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) membawa gelaran Datuk.

Manakala, Senator Husam Musa yang juga Naib Presiden AMANAH dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang turut membawa gelaran Datuk.

Penerima darjah kebesaran ini terdiri daripada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, Ahli Politik, Ahli Korporat, Anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pengamal-Pengamal Media Massa, Ahli-ahli Badan Sukarelawan dan Badan / Kelab Sukan.

Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka pada tahun ini akan diadakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama dijadualkan pada 13 Oktober 2018 (Sabtu) dan sesi kedua pada 10 November 2018 (Sabtu).

Istiadat Penganugerahan iaitu didahului dengan penganugerahan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri seramai 14 orang penerima antaranya adalah:

1) YB Rina binti Harun – Menteri Pembangunan Luar Bandar

2) YB Dr Haji Dzulkeply bin Ahmad – Menteri Kesihatan

3) YB Mohd Redzuan bin MD Yusof – Menteri Pembangunan Usahawan

4) YB Dato’ Saifuddin Nasution bin Ismail – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

5) YB Dato’ Dr Mujahid bin Yusof – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

6) YBhg. Datuk Borhan bin Dolah – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

7) YB Datuk Wira Roslan bin Ibrahim – Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka

8) YB Shamsul Iskandar @ Yusre bin Mohd Akin – Timbalan Menteri Industri Utama

9) YBhg. Dato’ Sri Jamil bin Salleh – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

10) En Ahmad bin Awang – Penasihat Umum Parti Amanah Negara

11) YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha – Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia

12) YBhg. Datuk Wira Noormustafa Kamal Bin Yahya – Pengarah Urusan Kuala Linggi International Port

13) YBhg. Datuk Mohamad Fazil bin Shafie – Pengarah Urusan Fazil Group

14) YBhg. Dato’ H’ng Bak Tee – Pengarah Urusan GUH Holding Sdn Bhd

Seterusnya, 9 orang lagi penerima-penerima bagi anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya seperti berikut :

1) YB Omar bin Jaafar – Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka

2) YB Dr Md Farid bin Md Rafik – Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

3) YB Mohd Hatta bin Md Ramli – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan

4) YBhg. Dato’ Raja Shahrom bin Raja Abdullah – Ketua Polis Melaka

5) YBhg. Dato Sri Dr. Suresh Raj A/L Lachman – Doktor Konsultan Physian and Gastroenterologist

6) YBhg. Datuk Muhamad Faizal bin Zainol – Executive Director Safz Auto Sdn Bhd

7) YBhg. Datuk Md Wira Dani bin Abdul Daim – Pengerusi Kehormat Persatuan Pelaburan China – Kesatuan Pelaburan Luar Negara

8) Encik Abdul Ghani bin Samsudin – Presiden, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (S. H. U. R. A)

8. Seramai 18 orang akan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk, antara penerimanya ialah:

1) YB Mohd Rafiq bin Naizamohideen – Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan

2) YB Tey Kok Kiew – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar

3) YB Muhammad Jailani bin Khamis – Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan

4) YB Mohd Sofi bin Abdul Wahab – Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam

5) YB Hanafi bin Sakri – Pegawai Kewangan Negeri Melaka

6) YB Mohamad Abazafree bin Mohd Abbas – Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka

7) YB Wong Fort Pin – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri

8) Tuan Haji Husam bin Musa – Naib Presiden Parti Amanah Negara

9) Encik Zulkipli bin Abdullah – Timbalan Ketua Audit Negara Jabatan Audit Negara

9. Manakala, penerima-penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk antaranya ialah:

1) Ambassador Zahairi bin Baharim – Duta Besar Myanmar

2) Puan Salhah binti Salleh – Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Jabatan Ketua Menteri Melaka

3) Encik Zaidi bin Johari – Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka

4) Tuan Haji Wahilman bin Siwar – Ketua ICT Negeri Melaka

5) Puan Mariam bin Ilias – Setiausaha Sulit Kanan YAB Ketua Menteri Melaka

6) Dr Parameswaran A/L Krishanan – Pakar Perunding Perubatan /Nefrologi Putra Specialist Hospital Melaka

7) Encik Abdul Malik bin Tan Sri Mohd Hussin – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Concord Green Energy Sdn Bhd

8) Encik Wan Kian Han – Pengarah Syarikat Kujaya Group

9) Encik Ramachandran A/L Murusamy – Bekas Atlit Olahragawan Kebangsaan

Lebih 6,000 ahli baru dari Kelantan sertai AMANAH

MALAYSIADATELINE
Sejak PRU14 lalu, sudah lebih 6,000 permohonan keahlian baru dari negeri Kelantan yang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) telah diluluskan, demikian menurut Presidennya Mohamad Sabu.

Berucap dalam Majlis Amal Makan Malam sempena Pelancaran Tabung Kebajikan Pemuda Amanah Kelantan malam tadi beliau begitu teruja apabila penerimaan dan penyertaan orang Kelantan yang semakin ramai ke dalam AMANAH sejak akhir-akhir ini.

“Dan jangan terkejut jika saya katakan yang ramai itu adalah dari kalangan veteran yang telah lama bergelumang dalam politik parti Islam,” katanya.

Katanya, antara faktor yang mendorong penyertaan ini adalah kerana tindakan Pas yang telah bekerjasama dengan Umno di dalam gelap.

“Dulu sebelum PRU14 mereka hanya dengar-dengar, namun selepas PRU14 mereka dapat lihat sendiri bagaimana hubungan Pas dan Umno ini terjalin erat,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka tidak dapat menerima hubungan dalam gelap ini, lalu memilih untuk berhijrah kepada AMANAH.

Antara yang hadir malam ini adalah anak kepada mantan Presiden Pas, Dato’ Asri Muda yang juga telah bersama Amanah.

Kajian Ilham Centre, Pas mungkin hilang deposit

MALAYSIADATELINE 
Tinjauan yang dilakukan Ilham Centre ketika waktu berkempen di PRK Port Dickson, mendapati jentera lokal lumpuh dan tapak sokongan Pas semakin mengecil selepas majoriti ahli PAS terutama di kawasan Telok Kemang menyertai AMANAH sejak tiga tahun yang lalu.

Menurutnya, kempen kali ini banyak digerakkan oleh jentera luar terutama dari Pas Selangor dan Pas Terengganu manakala jentera lokal iaitu Pas Port Dickson serta Pas Negeri Sembilan kelihatan hilang kemampuan dan arah dalam memacu kemenangan Pas.

Katanya, gerak kerja Pas hanya tertumpu dalam kalangan segmen orang Melayu khususnya pengundi Umno yang boleh memilih Pas sebagai alternatif yang dirasakan boleh mempertahankan Melayu dan Islam setelah Umno membuat keputusan memboikot pilihanraya kali ini.

“Menyedari sukar menyaingi Anwar, fokus utama Pas hanyalah untuk mengekalkan undi yang diperolehi oleh mereka dalam PRU14 dan memastikan mereka adalah pencabar terdekat Anwar Ibrahim.

“Percaturan asal Pas melihat pertembungan mungkin dua penjuru selepas Umno memboikot pilihanraya ini. Tetapi keputusan mengejut Isa Samad keluar Umno dan tampil menawarkan menjadi calon bebas telah merencatkan strategi PAS ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, Pas gagal mendapat sokongan undi Melayu yang mencukupi dan berada di kedudukan ketiga selepas Isa selain berkemungkinan tinggi untuk kehilangan deposit.

Dalam kajian ini, yang dilakukan secara secara tatap muka bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018, kami telah menemui 817 responden di P132 Port Dickson meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti.

Dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, ralat kajian yang ditemui ialah 2.03 peratus.

Suami berkursus, isteri khalwat dengan adik ipar didenda

Abdul Rahim Sabri

KUALA TERENGGANU, 11 Okt — Seorang guru tadika wanita mengaku bersalah Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam kerana berkhalwat dengan adik iparnya.

Guru, 29 tahun, dan lelaki, 25 tahun, masing-masing didenda RM1,300 atau penjara seminggu jika gagal melunaskannya, lapor Sinar Harian.

Mengikut fakta kes, wanita ituditahan bersama seorang lelaki berkain pelikat tanpa baju di sebuah rumah di Pulau Musang pada 26 Jun lalu.

Lelaki tersebut, tidak bekerja, berada di dapur manakala dua anak wanita tersebut sedang tidur ketika serbuan jam 10.45 malam.

Wanita tersebut juga mengaku mengambil kesempatan bersama adik iparnya selepas suaminya keluar berkursus.

Mereka didakwa bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Ada kakitangan kerajaan atau penguatkuasa telah dibeli oleh Jho Low?

Dr M: Sabotaj dalam k'jaan bantu Jho Low sembunyi
Bernama

Tindakan sabotaj di dalam kerajaan adalah antara sebab Malaysia sukar untuk mengenal pasti dengan tepat dan seterusnya memberkas ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kata ​​​​​​Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata beliau percaya itulah puncanya Jho Low dapat mengelakkan diri daripada ditahan.

"Saya rasa dia bersembunyi di tempat tertentu," katanya ketika ditanya sekiranya terdapat sabotaj dalam kerajaan dengan cara membocorkan maklumat.

"(Tun) Daim (Zainuddin) kata ada orang yang beritahu dia (Jho Low). Ada masanya dia berada di Hong Kong, (tetapi) apabila kami sampai di Hong Kong, dia sudah pun terbang ke tempat lain," katanya kepada Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Bali, Indonesia pada Khamis.

Daim adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada lima anggota,

Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan "Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global”.

Malaysia kini memburu Jho Low untuk membantu dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd.
-Bernama

Awan pelik di Tumpat

WARTAWAN SINAR HARIAN

Kemunculan awan pelik berbentuk pedang di temui di Tumpat.
TUMPAT - Allahuakbar!!!

Itu antara reaksi netizen setelah melihat beberapa keping gambar dimuat naik di Facebook Bro Mie Putrajaya.

Kemunculan awan pelik itu berbentuk seperti pedang petang semalam di Tumpat Kelantan mencuri perhatian netizen bagaimanapun, masanya tidak diketahui.

Gambar awan tersebut turut tersebar di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Netizen mengatakan ia kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT tiada tolok bandingnya.

Mereka turut memuji ciptaan ALLAH SWT yang pastinya membawa hikmah tanpa kita sedari.

PERSAMAAN DR MAHATHIR, ANWAR DAN HUSAM - Mohd Sayuti Omar

Jarang orang membuat penilaian atau pun pemerhatian kepada gaya atau stail orang politik khasnya kepada ceramah dan syarahan mereka. Sebenarnya pendekatan dan stail mereka dalam mempengaruhi pendengar berbeza antara satu sama lain.

Kebetulan saya sempat memerhati banyak orang tokoh politik, baiik zaman dahulu dan zaman kini khasnya mengenai gaya dan teknik mereka berceramah.

Sejak di zaman Mohd Asri Muda, Abu Bakar Hamzah, Hassan Adli, Zahari Awang, Abdul Hadi Awang, atau pun Hussein Ahmad, Tengku Razaleigh, Ikhwan Nasir, Syed Hamid Albar, Musa Hitam dan lain-lain. Dahulu mereka berceramah tidak mempunyai stail atau gaya macam artis seperti kebanyakan orang politik hari ini.

Misalnya, mereka tidak pernah mempengaruhi pendengar secara langsung dengan memaksa pendengar menyakini atau agar mengiya apa yang mereka katakan. Misalnya mereka tidak melaung, bertanya pendengar apakah setuju atau tidak dengan apa yang dikatakan. Mereka tidak tanya dan tegaskan; “betul tak..”, atau “setujuuuu,” tidak, mereka tidak bertanya demikian.

Mereka menyerahkan kepada pendengar apa yang mereka sampaikan. Mereka hanya berhujah.

Berbeza dengan apa yang kita dapat lihat dipentas politik hari ini, kebanyakan penceramah akan bertanya pendengar, “betul tak?” Atau bertanya “setujuuuu”, beberapa kali. Cara itu mereka gunakan untuk memaksa pendengar supaya bersetuju dengan hujah mereka. Bila mereka bertanya, maka dijawablah beramai-ramai “setuju..” oleh pendengar.

Pada saya cara itu tidak ikhlas dan tidak profesional dan satu gaya yang memaksa-maksa.

Dari tokoh politik yang berceramah hari ini, yang saya perhatikan gaya mereka seperti tokoh-tokoh dahulu, yang tidak bertanya pendengar atau memaksa pendengar setuju dengan mereka, ada tiga orang tokoh, Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad dan Husam Musa.

Mereka tidak akan bertanya para pendengar, apakah setuju atau pun minta pengakuan apa yang mereka katakan itu sebagai betul. Mereka hanya menyampaikan hujah kemudian menyerahkan kepada pendengar untuk menilaiannya.

Sebaliknya jika hujah mereka tepat apa yang kedengaran pendengar akan melaung sendiri, “betul...” setujuuu”, kemudian mereka akan bertepok dan bersorak menyatakan sokongan.

Mungkin pemerhatian saya ini tidak tepat, tetapi para peminat politik yang sering dengar ceramah politik mereka dapat menyemak apa yang saya katakan ini.

Jangan undi 2 orang ini – Anwar, Isa Samad - kata Ezam

Kumpulan pemantau ketelusan HISBAH menggesa orang ramai tidak mengundi calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Gesaan itu dibuat dua hari menjelang pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu.

Pengerusi HISBAH, yang juga bekas setiausaha politik Anwar kira-kira 20 tahun lalu, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor (bawah) mendakwa Anwar “mempengaruhi dan mungkin juga memaksa” penyandang kerusi itu melepaskan jawatan.

Ini, katanya, bagi membeli laluan kepadanya kembali ke Dewan Rakyat.

Ezam juga berkata tiada alasan munasabah diberikan dan menyebabkan wang negara terpaksa digunakan hanya untuk melaksanakan PRK yang tidak perlu.

Isa pula, katanya, pernah dikaitkan dengan politik wang selain berdepan pelbagai dakwaan berkaitan salah laku urus tadbir yang belum dituntaskan.

“Pada hemat HISBAH, pengundi PD bebas mengundi calon-calon lain kerana mereka tidak didapati melanggar prinsip-prinsip penting dari sudut urus tadbir negara yang juga digariskan HISBAH dalam persoalan kepimpinan,” katanya.

Ezam sebelum ini mengakui pernah mempertimbangkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu tetapi tidak muncul di hari penamaan calon.

Beliau berkata mempertimbangkan perkara itu atas alasan didesak “kalangan pejuang awal reformasi”.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas termasuk Isa serta bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September.

Husam minta polis siasat dakwaan 'wang RM90 juta' diterima PAS

N Faizal Ghazali
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Husam Musa meminta pihak polis supaya turut menyiasat dakwaan beliau mengenai penyaluran wang kepada pemimpin PAS seperti yang didedahkan sebelum ini.

Menurutnya, sudah tiba masanya perkara itu disiasat untuk pendedahan umum.

"Saya berharap polis akan menyiasat dakwaan pemimpin PAS melalui pihak-pihak tertentu sebelum ini, melalui Affin Bank yang saya sebutkan sebelum ini.

"Jumlahnya antara RM90 juta hingga RM200 juta, supaya perkara ini juga disiasat dan jika belum ada laporan polis dibuat bolehlah mana-mana pihak buat laporan polis.

"Bila saya bangkitkan perkara ini, PAS mengugut untuk menyaman saya tetapi sekarang ini sudah tiba masanya perkara seperti ini perlu didedahkan kepada rakyat," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup program Senario Jenayah Komersial peringkat Jabatan Pendidikan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang menyatakan komitmen untuk meneliti laporan berhubung dakwaan menyaluran wang RM2.5 juta daripada Umno kepada PAS.

Terdahulu, Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan Kelantan mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

PAS bagaimanapun menafikan perkara itu dengan menyifatkan ia satu tuduhan jahat.

Sementara itu Husam berkata, parti politik mempunyai peranan besar dalam sesebuah negara dan sekiranya ada unsur-unsur penerimaan wang sehingga menjejaskan prinsip parti-parti tertentu dalam menentang penyelewengan perbuatan ini perlu dibanteras.

"Ini kerana parti politik sangat besar peranannya, kalau mereka termakan suapan sehingga menjejaskan prinsip perjuangan dalam menjaga keharmonian dan perjalanan negara yang baik, maknanya negara kita terbuka kepada ancaman penyelewengan yang lebih serius di masa akan datang," katanya.

Peneroka Felda berpusu masuk AMANAH di Parlimen Tenggara

AMNI JAGAT
Amanah cawangan Sungai Sayong penerima anugerah cawangan terbaik kawasan Tenggara baru-baru ini.

Sebelum ini, ramai yang beranggapan peneroka Felda adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan menjadi pengundi tetap BN ketika pilihan raya berlangsung.

Namun perkara itu telah berubah pada ketika ini di mana melalui tinjauan yang dibuat, Parlimen Tenggara khususnya berlaku suatu perubahan yang drastik.

Perkara itu telah dinyatakan oleh Ketua Kawasan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Tenggara, Abdul Rashid Abu Bakar yang menjelaskan bahawa sambutan terhadap AMANAH amat menggalakkan.
Abdul Rashid Abu Bakar
Abdul Rashid juga menyatakan bahawa kemasukkan orang ramai khususnya peneroka Felda ke parti AMANAH adalah suatu yang luar dari jangkaan.

“Sebelum ini kami hanya ada 3 cawangan sahaja (sebelum pilihan raya) tapi sekarang ia berkembang apabila hari ini kita sudah ada 9 cawangan.

“Kebanyakkan cawangan dibuka di kawasan Felda dan lumrah kawasan ini terdapat banyak penempatan Felda.

“Keahlian juga melonjak lebih sekali ganda. Kebanyakkan mereka yang masuk AMANAH ini adalah terdiri dari peneroka Felda dan peneroka generasi kedua,” ujar Abdul Rashid.

Sementara itu, bekas calon Dewan Negeri (Dun) Pasir Raja, Abrary Ramly berkata sememangnya terdapat lonjakkan penambahan ahli di kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Abrary menyatakan lagi, AMANAH telah menjadi antara pilihan masyarakat di sekitar Tenggara ini untuk menjadi pentas mereka yang baharu.
Abrary Ramly
“Perkara ini positif kerana mereka dapat membantu lebih lagi gerak kerja kita di peringkat masyarakat dan kita akui sebelum ini terdapat kawasan yang kita capai sasaran untuk didekati.

“Orang Felda pula mereka kebanyakkannya mahu berpayung dalam satu parti terutamanya pemerintah untuk mereka bergantung dan perkara itu lumrah jadi mereka memilih parti di dalam PH terutamanya AMANAH sebagai ‘platform’ baru mereka.

“Kita akan usaha untuk menjalinkan lagi hubungan berasaskan gerak kerja untuk menerima pembabitan ahli baru khususnya peneroka ke dalam parti AMANAH itu sendiri,” Abrary Ramly.

Mereka ditemui ketika Mesyuarat Tahunan AMANAH Tenggara di Felda Sungai Sayong yang turut dirasmikan oleh Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kaiat.

Beberapa sultan berkempen halang kepulangan Dr Mahathir - A Kadir Jasin

A Kadir Jasin 
Hakikat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun diperkatakan secara meluas selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menang Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lalu.

Wan Azizah sendiri pernah mendedahkannya tidak lama selepas PRU tersebut.

Namun begitu, tindakan beliau mengulangi hal itu ketika berucap kepada rakyat Malaysia di Jakarta semalam adalah berguna kerana bukan semua orang tahu dan faham peristiwa yang terjadi pada malam 9-10 Mei itu.

Wan Azizah dilaporkan oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V membuat tawaran tersebut kerana beliau (Wan Azizah) ketika itu adalah Presiden PKR yang simbolnya digunakan oleh HARAPAN sebagai simbol tunggal untuk pilihan raya.

“Bagaimana pun saya menolak tawaran itu kerana saya memegang janji kita, iaitu Tun Dr Mahathir (Mohamad) akan menjadi perdana menteri dan saya timbalan beliau,” katanya di majlis yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih HARAPAN, berhak mengetahui tindak balas Yang di-Pertuan Agong terhadap keputusan mereka memilih HARAPAN.

Dalam manifesto HARAPAN dan kempen-kempennya dinyatakan dengan jelas bahawa jika parti itu menang maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Dr Mahathir.

Di dalam manifesto yang sama dinyatakan juga bahawa selepas Dr Mahathir maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memanglah pada waktu kemenangan HARAPAN itu ketua parti ialah Wan Azizah dan parti-parti HARAPAN memutuskan untuk mengguna lambang PKR setelah usaha mereka mendaftar dan menggunakan lambang HARAPAN digagalkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Tarik gelaran Mahathir

Secara konvensyen, ketua parti yang menang diangkat menjadi perdana menteri. Tetapi di sisi undang-undang, mana-mana ahli dewan yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat boleh dilantik menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun dalam konteks PRU ke-14, persetujuan telah pun dicapai awal-awal lagi dan dihebahkan kepada umum bahawa yang akan menjadi perdana menteri bukanlah ketua parti (PKR) tapi Dr Mahathir yang merupakan pengerusi HARAPAN.

Jadi rakyat tahu dan satu dunia juga tahu bahawa calon perdana menteri ialah Dr Mahathir dan bukan orang lain.

Cuma timbul persoalan kerana tiga bulan sebelum PRU 9 Mei, Istana Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

Gelaran itu diberikan oleh bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad V dan masih hidup.

Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa orang sultan secara tersurat dan tersirat “berkempen” menghalang kepulangan Dr Mahathir ke arena politik tanah air.

Saya menyokong ulang sebut Dr Wan Azizah itu kerana ia memperjelaskan dan mengesahkan apa yang menjadi tekaan orang ramai pada malam 9 dan 10 Mei 2018.

Setiap perkataan yang dikeluarkan dan gerak tubuh (body language) yang dipamerkan pada saat genting itu perlu dirakamkan secara rasmi agar menjadi panduan kepada kerajaan yang ada hari ini dan petunjuk bagi generasi akan datang.

Pada malam itu rakyat Malaysia mengubah sejarah yang tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Alhamdulillah itulah yang terjadi.


Akhir kalam:

“Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja Kita
Selamat bertakhta.”

Pencacai umno, Amino Agus Suyub pegawai daerah (Rembau) dikenakan hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah

Pegawai pengurus p'raya Rantau dihukum penjara 3 bulan
Hafiz Yatim
Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memerintahkan pegawai pengurus pilihan raya (RO) di DUN Rantau, pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Amino Agus Suyub dikenakan hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk Azimah Omar, memerintah demikian setelah mendapati Amino Agus bersalah menghantar mesej teks kepada penolong pegawai pengurus SPR, Daing Muhamad Rahimi dengan cuba mengajarnya menjawab soalan.

"Sebagai seorang RO dan pegawai daerah (Rembau), kamu seorang pegawai kerajaan, seorang kakitangan kerajaan tetapi kamu cuba mengajar saksi cara menjawab soalan.

"Tindakan kamu ini mengganggu prosiding dan ini sangat serius," kata Azimah.

Amino dan Daing, yang juga penolong pegawai daerah Rembau, memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya Dr S Streram.

Calon PKR itu mencabar keputusan bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan yang diisytiharkan sebagai pemenang.

Streram mendakwa beliau dihalang daripada mengemukakan borang pencalonannya di pusat penamaan calon pada 28 April lalu.

Antara mesej yang dijumpai dihantar oleh Amino kepada Daing adalah:

"Assalam, lepas ni Ko akan jadi saksi. Hati2 teruk den kono soal dalam court.hari ni sambung lagi. cuma den bagi tau pass dah tak relevan semasa penamaan calon kerana ko kono bertugas dlm dewan. Hanya perlu beritahu RO utk kebenaran masuk Dewan."

Daing kemudian menjawab "Wassalam baik tuan."

Amino seterusnya membalas "Lebih baik cakap tak tahu".
-malaysiakini

Lagi Ahli Parlimen Umno dari Sabah akan keluar parti esok

MALAYSIA DATELINE 
Lagi  Ahli Parlimen Umno  dari Sabah akan keluar parti esok
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dijangka akan meninggalkan Umno dan menertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Rozman, yang telah mempertahankan kerusinya sejak 2013, seperti dilaporkan News Strait Times online hari ini, dijangka akan mengumumkan keputusannya melalui kenyataan rasmi esok (Khamis).

Apabila dihubungi oleh media, Rozman menambah bahawa dia sedang dalam proses menyediakan pernyataan yang berkaitan dengan desas-desus mengenai keputusannya meninggalkan Umno.

Beliau dijangka menghantar borang permohonan keahliannya kepada Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking di Labuan esok.

Darell, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dijadualkan mengadakan lawatan kerja di Labuan untuk bertemu dengan pemimpin tempatan dan memberi taklimat mengenai pembangunan pulau bebas cukai itu.

Pada Mei lalu, Rozmah dilaporkan mengambil kira semua faktor sama ada untuk kekal dalam Umno atau menyertai parti lain kerana tidak mahu mengambil risiko mendapatkan projek mega di pulau itu dibatalkan oleh kerajaan baharu.

Beliau juga mengakui bahawa beliau tidak menolak cadangan untuk menyertai Warisan kerana beliau hanya mahukan yang terbaik untuk Labuan dan rakyatnya.

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan Junz Wong juga dilaporkan berkata, parti itu boleh bekerjasama dengan Rozman demi mengutamakan keperluan dan aspirasi rakyat di Labuan.

Sekiranya Rozman akan menyertai Warisan, beliau akan menjadi Ahli Parlimen terbaharu untuk meninggalkan Umno selepas pilihan raya umum ke-14.

Bulan lepas, Ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan pemergian mereka dari Umno.

Umno telah memenangi 54 kerusi parlimen pada pilihan raya umum yang lalu.

Walau bagaimanapun, lima telah meninggalkan parti itu termasuk Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Karim; Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali, serta Mustapa dan Anifah.

Kelicikan MMC-Gamuda didedah

Tony Pua: Tahniah MMC-Gamuda, persembahan hebat

Ke hadapan Lembaga Pengarah MMC-Gamuda, saya ucap tahniah untuk sebuah persembahan yang hebat sejak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan keputusan kabinet untuk:

(i) menerima tawaran MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kerja-kerja atas tanah MRT2 sebanyak RM5.2 bilion, menjadikkannya RM17.4 bilion (pengurangan sebanyak 23%) dalam bentuk kontrak ‘turnkey’, dan

(ii) menamatkan kontrak kerja bawah tanah memandangkan kedua-dua pihak tidak dapat menemui kata sepakat berkenaan pengurangan harga.

Tetuan telah mengeluarkan surat mengisytiharkan tidak bersalah, mendakwa bahawa anda menanti tawaran daripada Kementerian Kewangan.

Anda mempersoalkan kelayakan konsultan kejuruteraan bebas yang kami lantik. Anda mengandaikan bahawa keputusan penamatan dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

Anda cuba untuk meraih simpati, mendakwa tidak kurang 20,000 individu akan kehilangan kerja (wow!).

Kempen selamatkan pekerjaan

Media sosial anda dengan aktif sekali mempromosi kempen ‘selamatkan 20,000 pekerjaan’ merayu rakyat Malaysia menyokong petisyen anda.

Ada surat yang tular di Whatsapp daripada jurutera graduan kelas pertama yang menyesal mengundi Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.

Prestasi dan mobilisasi kempen ini sangat mengkagumkan. Persoalan kos projek ini kepada pihak kerajaan langsung tidak dipedulikan.

Kami tidak mahu bertikam lidah dengan anda di mata umum. Biasanya itu dikhaskan hanya untuk lawan-lawan politik sahaja. Apatah lagi, kami ingin meneruskan hubungan kerja yang baik bagi menyiapkan kerja-kerja atas tanah bernilai RM17.42 bilion itu.

Namun, tindakan berani tuan-tuan untuk berlagak sebagai mangsa kerajaan ‘zalim’ Pakatan Harapan menuntut supaya suatu jawapan diberikan bagi membetulkan fakta dan rekod.

Pertama, kontrak asal projek bawah tanah diberikan pada nilai RM15.49 bilion. MRT Corp kemudian memberi tambahan RM1.2 bilion untuk ‘variation order’ yang menyebabkan kontrak yang disemak semula bernilai RM16.71 bilion.

Kedua, selepas beberapa mesyuarat dan perbincangan, anda menulis surat kepada pihak menteri pada 15 Ogos bagi menawarkan harga semak semula, RM15.1 bilion. Ini berikutan keputusan untuk tidak meneruskan pembinaan dua stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Selatan.

Ketiga, kemudian pada 7 September, anda menawarkan untuk mengurangkan lagi harga kontrak projek bawah tanah sehingga RM14.58 bilion (semua sekali RM32 bilion untuk keseluruhan projek MRT2). Ini bereti penjimatan kos sebanyak RM2.13 bilion atau pengurangan sebanyak 12.7 peratus.

Penjimatan keseluruhan kontrak

Seperti yang disebut pengarah Gamuda dalam mesyuarat bersama menteri pada 4 September - “we offer what we can offer, but anything beyond that will be meaningless to continue”. (Kami tawarkan apa yang kami boleh tawarkan, lebih daripada itu tak ada makna untuk diteruskan)

Keempat, pun begitu, berdasarkan kajian konsultan kejuruteraan bebas, MRT Corp sepatutnya menjangka jumlah penjimatan antara RM4.19 hingga RM5.79 bilion bagi anggaran 60 peratus projek yang belum siap.

Ya, anggaran penjimatan ini baru untuk baki kerja yang belum siap. Bayangkan penjimatan untuk keseluruhan kontrak.

Jadi persoalan yang perlu difikirkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan ini sangat mudah sebenarnya:

Adakah kita akan kata, “tak apa lah, kita terima sahaja pengurangan RM2.13 bilion yang ditawarkan MMC Gamuda”?

Lagipun kita boleh ambil angka ini dan bercakap besar kepada rakyat Malaysia tentang ‘pencapaian’ kita yang hebat, kerana mereka pun bukan tahu yang kita mungkin boleh jimat sebanyak RM2 bilion lagi.

Tambahan pula, kita pastinya boleh mengelak publisiti negatif dan proses tender antarabangsa baharu yang perlu dilaksanakan. Leceh dan banyak kerja.

Adakah kita akan menghormati mandat dan amanah yang telah diberikan rakyat dan memaksimumkan penjimatan yang boleh kita perolehi daripada projek ini?

RM2 bilion boleh digunakan untuk membangun 5 hospital, atau 50 buah sekolah.

RM2 bilion adalah jumlah wang yang sangat besar di saat saya melihat rakan-rakan di Kementerian Kewangan berusaha untuk berjimat cermat mencari penjimatan RM50 juta di sini dan mengurangkan perbelanjaan RM80 juta di sana untuk belanjawan akan datang.

Salahkan kabinet

Kabinet jelas sekali telah membuat keputusan untuk memilih B. Dan anda betul-betul mahu menyuruh rakyat Malaysia menyalahkan kabinet kerana menamatkan kontrak ini?

Atau adakah kemudiannya anda akan memilih sasaran berbeza, seperti yang tersirat dalam kenyataan media anda, bahawa konsultan kejuruteraan bebas adalah tidak cukup layak - walaupun mempunyai 500 staf dengan rekod menyelesaikan 80 projek di 24 negara di luar Malaysia?

Atau adakah kerana konsultan lantikan kerajaan ini mendedahkan tentang pembohongan beterusan kononnya kos MRT1 dan MRT2 adalah jauh di bawah kos biasa pembinaan sistem metro di rantau Asia, kerana tiada sesiapa yang boleh mengesahkan data yang diberikan?

Adakah kami patut mempersoalkan kenapa MMC Gamuda pada mulanya bersetuju berkongsi data kos dengan jurutera konsultan untuk menjustifikasi kos, tetapi kemudian enggan berbuat demikian, kononnya ia ‘trade secret’?

Kepada graduan kejuruteraan kelas-pertama berusia 26 tahun itu, saya memahami pergolakan yang sedang anda hadapi dalam kehidupan hari ini dan ia langsung bukan salah anda.

Tetapi, sekiranya Gamuda membuat keputusan untuk tidak mengekalkan khidmat anda, merekalah sebenarnya yang rugi, kerana anda akan boleh membina kerjaya yang turut cemerlang di banyak syarikat lain.

Projek tak batal

Kepada seramai 20,000 pekerja, seperti yang didakwa MMC, akan kehilangan pekerjaan mereka akibat penamatan kontrak, biar saya tekankan bahawa kerajaan Malaysia bukannya membatalkan projek tersebut.

Anda akan menemukan banyak lagi peluang apabila projek baharu dijalankan pada kos yang lebih rendah, manakala penjimatan yang diperolehi bermakna lebih banyak projek akan dijalankan pada masa akan datang.

Tetapi mungkin, daripada memulakan petisyen di Change.org bagi mendesak kerajaan menarik balik keputusan membatalkan kontrak, adalah lebih bermanfaat untuk memulakan petisyen mendesak bos-bos anda di MMC Gamuda untuk memberi tawaran yang terbaik kepadaKerajaan Malaysia.
-malaysiakini