"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Gambar Pemfitnah Yang Menuduh Anggota Unit Amal Mengawal Pelacur Luar Negara

Anggota Unit Amal seluruh Malaysia disaran buat laporan polis dan saman fitnah dengan lelaki yang biadap itu"Ross Ismail" Pengarah Unit Amal Johor telah membuat laporan polis,meminta ROSS ISMAIL meminta maaf dengan tulisan biadap itu.
PEMILIK AKAUN FACEBOOK : ROSS ISMAIL
TELAH MENGHINA UNIT AMAL DALAM KENYATAAN BELIAU…
DAP SEKINCHAN MENYEDIAKAN PELACUR2 LUAR NEGARA..DI KAWAL OLEH UNIT2 AMAL…

KENYATAAN INI SUNGGUH BIADAP…
PENGARAH JABATAN AMAL NEGERI JOHOR…
BARU SAHAJA MEMBUAT LAPORAN POLIS DI BALAI POLIS CENTRAL JOHOR BAHRU…

ROSS ISMAIL!!!
MOHON MAAF SEGERA!!!
Seorang pelayar FB Ross Ismail menuduh DAP Sekinchan menyediakan pelacur-pelacur luar negara. Penulis akaun Ross Ismail menuduh Unit -unit Amal mengawalnya.

Cara membuang kulit udang dalam masa 3 saat


Ramai yang suka udang, tetapi tidak ramai yang sanggup memesannya ketika makan di luar. Membuang kulitnya adalah hal yang melecehkan, bukan? Maka tonton video ini, dan pelajari cara mudah membuang kulit udang dalam masa tiga saat.

10 tahun lelaki ini hidup tanpa pakaian berkeliaran di bandar Kuantan

Chon Siang (dua kanan) memujuk Ah Sang (kiri) memakai baju dan seluar, bagaimanapun pujukan itu tidak diendahkan.
Chon Siang (dua kanan) memujuk Ah Sang (kiri) memakai baju dan seluar, bagaimanapun pujukan itu tidak diendahkan. Chon Siang (dua kanan) memujuk Ah Sang (kiri) memakai baju dan seluar, bagaimanapun pujukan itu tidak diendahkan.
KUANTAN: Selepas lebih sepuluh tahun hidup bergelandangan, seorang lelaki kurang siuman akhirnya dibawa oleh pihak polis ke hospital dan kini ditempatkan di Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Lelaki yang berumur dalam lingkungan lebih 50 tahun itu dikatakan sering merayau-rayau di kawasan Galing dan di Jalan Beserah dalam keadaan separuh bogel.

Dia yang dikenali sebagai Ah Sang bagaimanapun tidak pernah mengganggu orang ramai, tetapi membuatkan penduduk sekitar takut terserempak dengannya yang tidak berbaju dan seluar.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang, berkata, beliau mendapat aduan daripada orang ramai yang tidak selesa melihat Ah Sang merayau-rayau di kawasan itu dan mohon agar pihak bertanggungjawab tampil menyelesaikan perkara ini.

“Saya dihubungi oleh seorang penduduk yang tidak selesa melihat Ah Sang merayau-rayau dalam keadaan separuh bogel itu.

“Sejurus selepas dihubungi, saya terus ke lokasi Ah Sang berada dan memujuk dia untuk memakai baju dan seluar yang saya beli.

“Bagaimanapun, pujukan saya tidak berhasil tetapi tidak bertindak agresif,” katanya.

Chon Siang seterusnya menghubungi pihak polis untuk bantuan membawa Ah Sang ke hospital untuk rawatan dan pemerhatian pihak berwajib.

“Walaupun dia tidak mengganggu orang ramai, keadaan fizikal dia seperti itu mendatangkan rasa takut dan tidak selesa kepada orang ramai.

“Tambahan pula, kawasan yang dia sering merayau-rayau itu adalah kawasan umum yang selalu dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing,” katanya.

Ah Sang sebelum ini dikatakan tinggal di bawah jambatan galing sebagai kediamannya untuk tidur dan berehat selepas seharian merayau.

Justeru itu, Chon Siang berharap agar pihak bertanggungjawab turun padang melihat keadaan orang-orang kurang siuman seperti Ah Sang untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, walaupun tidak menimbulkan masalah, emosi orang kurang siuman seperti ini tidak dapat dijangka yang mungkin boleh menyebabkan masalah lain berlaku.

Tambahan pula, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bandar Kuantan, pihak berwajib harus peka terhadap situasi sekeliling bagi menjaga imej kawasan sekitar.
-sinarharian-

Husam, Yayasan Darul Hijrah warnai politik pasca banjir di Kelantan

ZULKIFLI SULONG
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub (tengah) dan Datuk Husam Musa (kanan) bergabung tenaga membantu membersihkan kawasan banjir di Kelanta. – Gambar ihsan Mohd Sayuti Omar, 17 Januari, 2014.Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub (tengah) dan Datuk Husam Musa (kanan) bergabung tenaga membantu membersihkan kawasan banjir di Kelanta. – Gambar ihsan Mohd Sayuti Omar, 17 Januari, 2014.
Kemunculan sebuah yayasan dengan secara tiba-tiba dalam memberikan bantuan kepada mangsa ketika Kelantan dilanda banjir paling buruk dalam sejarah mewarnai politik negeri dipimpin PAS itu.

Khemah, pusat perlindungan sementara, pam air, pasukan pembersihan, dapur, tong gas dan terkini van klinik bergerak yang menjadi keperluan kepada mangsa banjir menjadi sumbangan utama Yayasan Darul Hijrah dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa.

Sikap proaktif naib presiden PAS itu dan yayasannya dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir menyebabkan beliau dilabelkan dengan gelaran sindiran “MB swasta.”

"Kerajinan Husam menerusi Yayasan Darul Hijrah itu diberi gelaran, sindiran Husam sebagai MB swasta. Gelaran ini dibuat kumpulan bekas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan sendiri," tulis pemerhati politik Kelantan Mohd Sayuti Omar dalam blognya.
"Rupa-rupanya kerajinan dan keprihatinan bekas exco Kelantan Husam Musa membantu mangsa banjir serta kegeligaan beliau memberi pendapat awal untuk membantu mangsa banjir kurang disenangi sesetengah pihak di Kelantan.

"Menyedihkan lagi pihak itu datang dari rahang partinya sendiri PAS yang sepatutnya menyatakan sokongan bukan cemuhan”.

Yayasan Darul Hijrah yang ditubuhkan pada 2014 kini menjadi koordinator semua badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memberikan bantuan di samping merangka pelan pemulihan banjir di Kelantan.

Yayasan ini mendapat sokongan kewangan dari negeri Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor dan Pulau Pinang.

"Yayasan ini seolah-olah mengambil peranan yang sepatutnya dibuat kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengkoordinasi bantuan ini," kata Pengerusi Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar yang membuat kajian di Kelantan.

Hisomudin berkata, PAS sebagai sebuah parti utama di Kelantan gagal menggerakkan jentera dalam memberikan bantuan semasa dan selepas banjir.

Katanya, kenyataan pimpinan kerajaan negeri khasnya Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, banjir ini tidak seteruk 1967 dicemuh mangsa yang hampir menemui ajal ketika menghadapi banjir besar ini.

Husam menggerakkan yayasan itu di Precint 11, Putrajaya manakala di Kelantan pula operasinya seolah-olah berpusat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Di HUSM perbincangan awal dengan semua NGO dibuat bagi mengkoordinasi semua bantuan di samping bantuan pasca banjir dirancang.

Kini pelbagai idea dan rancangan dijalankan bagi membantu mangsa banjir ini. Terkini mereka menubuhkan Pusat Perlindungan Sementara di Kemubu, Kelantan.

Bagi menjayakan operasinya juga, Husam menggerakkan mahasiswa dari seluruh negara membantu menjayakan gerakan bantuan ini dan menjelang hujung minggu ini hampir 300 mahasiswa menyertai operasi beliau.

"Tim Perkampungan Harapan Mahasiswa baru bertolak dari KL khusus untuk bantu operasi pembersihan rumah orang kampung dan menyantuni suka duka rakyat sekali gus menjadi pendengar setia mangsa banjir," tulis Husam di Facebook.

“Mereka akan ditempatkan di empat kampung di Kuala Krai yang mendapat musibah banjir paling besar baru-baru ini iaitu di Kampung Karangan, Manjor, Laloh dan Pemberian.

"Menjelang hujung minggu ini Tim ini mencecah 300 mahasiswa. Yayasan Darul Hijrah menampung kewangan sebahagian besar operasi ini. Moga kehadiran mahasiswa ini memberi kekuatan kepada makcik dan pakcik kita," tulis Husam.
Pasukan sukarelawan Yayasan Darul Hijrah menyiapkan Pusat Perlindungan Darul Hijrah di Kemubu - Darul Hijrah Shelter @ Kemubu. – Gambar Facebook Husam Musa, 17 Januari, 2014.
Pasukan sukarelawan Yayasan Darul Hijrah menyiapkan Pusat Perlindungan Darul Hijrah di Kemubu - Darul Hijrah Shelter @ Kemubu. – Gambar Facebook Husam Musa, 17 Januari, 2014.
Dengan 27 daripada 43 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan terkesan akibat banjir ini, Husam bimbang kerusi PAS hanyut bersama “arus deras” yang datang bersama banjir itu.

Katanya, meskipun mereka tidak mempunyai keupayaan seperti kerajaan pusat daripada segi kewangan dan kepakaran, PAS perlu menjuarai program pasca banjir di peringkat akar umbi dan dilihat rakyat.

"Ada 27 DUN terlibat banjir (di Kelantan), kalau kita tidak jaga ini, semua hanyut sekali. Saya tidak mahu tengok DUN kita hanyut," kata Husam dalam program Malam Amal, Kelantan Pasca Banjir, "The Untold Story" anjuran Yayasan Darul Hijrah di Kuala Lumpur, awal bulan ini.

Hisomudin berkata, PAS dan kerajaan negeri Kelantan gagal memainkan peranan ketika dan selepas banjir di Kelantan kali ini.

Katanya, kemuncak kemarahan mangsa banjir ketika mereka dan keluarga bergadai nyawa antara hidup dan mati untuk menyelamatkan diri ketika air naik tanpa ada siapa datang membantu walaupun sudah beberapa hari terperangkap di atas bumbung dan bukit.

"Bukan kerajaan negeri saja, bahkan kerajaan pusat juga dibenci mereka," katanya.

Hisomudin berkata, sepatutnya jentera PAS Kelantan adalah antara yang terbaik di negara tetapi ia gagal berfungsi kali ini.

"Jentera parti sepatutnya dapat digerakkan secara sistematik. Sekarang orang Kelantan sebut kepada PAS 'ewek' atau lemahlah.

"Dulu kalau kita pergi mahu membantu pilihan raya misalnya, jentera (PAS) Kelantan akan berkata, terima kasihlah, duduk rumah saja sudah tetapi bila mari banjir ni mereka gagal. Begitu juga kerajaan negeri," katanya.

Selepas pucuk kepimpinan kerajaan negeri Kelantan bertukar tangan daripada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Datuk Ahmad Yakub, Husam disingkirkan sebagai anggota exco.

Sejak itu, kerajaan negeri dan PAS di Kelantan tidak stabil dan Husam didakwa sebagai antara puncanya ekoran kenyataan dan kritikan beliau terhadap kerajaan negeri.

Apabila banjir melanda, Husam dan Yayasan Darul Hijrah yang mengkoordinasi NGO untuk membantu mangsa banjir, menyebabkan mereka diagungkan penduduk Kelantan.

Idea dan gerakan mereka dalam membantu mangsa banjir mendapat sanjungan masyarakat sehingga kain rentang yang bertulis "Terima Kasih NGO" dinaikkan di kampung mereka.

Ia dibuat melalui semburan pada belakang kain rentang yang digunakan dan dinaikkan di tepi-tepi jalan kampung mereka.
-malaysianinsider-

Jangan Kaitkan Saya - Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengambil jalan selamat dengan enggan membuka mulut apabila beliau sekali lagi dikhabarkan bakal menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu.

Walaupun diasak dengan pelbagai soalan berhubung wujudnya usaha untuk menggulingkan Hadi pada pemilihan parti itu Jun depan, Mohamad yang lebih mesra dipanggi Mat Sabu berkeras untuk tidak mengulas.

"Tanya penulis blog, tak ada kena mengena dengan saya.

"Anda pergi tanya juga bekas Exco Pemuda PAS yang buat kenyataan mengenainya, tanya orang yang buat kenyataan itu. Jangan tanya saya...saya tak ada kena mengena," katanya ringkas pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat di sini, Isnin.
Menjelang pemilihan PAS pada Jun depan, wujud gerakan di media sosial yang membayangkan bahawa Mohamad akan menawarkan diri menentang Hadi sebagai presiden.

Lebih menggemparkan apabila bekas Exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff pada Ahad secara terbuka menggesa supaya Hadi tidak dicalonkan semula sebagai presiden.

Sebaliknya Zulhazmi mencadangkan supaya Hadi menggantikan kedudukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, PAS sentiasa terbuka jika ahlinya menawarkan diri bertanding dalam pemilihan parti.

"Jawatan dalam parti terbuka untuk dipertandingkan. Jadi terpulang kepada ahli di peringkat kawasan untuk menentukan pencalonan.

"Tapi buat masa ini belum sesuai nak cakap mengenai pemilihan. Nanti rakyat anggap politik seolah-olah tak mengenal keutamaan. Pada masa ini kita fokus kepada usaha bantu rakyat yang terlibat banjir," katanya.
-mstar-

Jakim perlu ikut ajaran Islam

Wan Ji Wan Hussin
"Sebilangan tujuan (syariah) ialah menjaga gambaran (imej) baik tentang Islam”, pesan Syaikh Dr  Abdullah bin Bayyah dalam satu kenyataannya. Walaupun pesanan ini ringkas, tetapi kandungannya amat penting. Jika diabaikan, ia boleh memberi kesan besar kepada sudut pandang manusia terhadap agama Islam.

Sepertimana diyakini dan dipercayai ramai penganut agama Islam, Islam hadir membebaskan manusia daripada kongkongan kejumudan. Tetapi, sering berlaku kejumudan di kalangan umat Islam. Ia berlaku bukan kerana sifat agama Islam, tetapi sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam.

Sikap jumud ini, menjadikan imej Islam makin calar. Lebih menyedihkan, imej buruk melekat dalam benak fikiran orang bukan Islam.

Memikirkan tentang perkara ini, kita akan nampak banyak tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dianggap sebagai penyumbang kepada kecelaan imej agama Islam. ini kerana, banyak pandangan Jakim tidak mempamerkan keluasan Islam seperti ajarannya yang sebenar, malahan bercanggah dengan prinsip asasi bagi agama Islam, seperti rahmat, kebijaksanaan, fitrah dan sebagainya. Ini dapat dilihat kepada beberapa kes-kes kendalian Jakim.

Antara contoh adalah, tindakan Jakim yang menganggap salah, malahan menangkap seorang anak gadis Melayu bernama Maznah Mohd Yusuf (Chetz) atas dakwaan menghina Islam kerana memberi makan kepada anjing yang dikhabarkan berlaku pada Ramadan. Jika difikirkan, tindakan Jakim itu amat berbeza dengan ajaran hadis sahih. Iaitu, Nabi Muhammad ada menggambarkan seorang perempuan pelacur Bani Israel diampunkan dosa disebabkan dia memberi minum kepada seekor anjing yang dahaga.

Dalam contoh yang lain pula, seperti isu pegang anjing. Dianggap salah tindakan itu dengan pelbagai kenyataan Jakim. Yang kelihatan, Jakim berpendapat memegang anjing itu sebagai haram. Dari sudut tradisi ilmu Islam, pendapat Jakim ini janggal. Ini kerana, dari sudut fiqh mazhab muktabar dalam sunni, dakwaan haram pegang anjing itu sendiri masih kabur. Lebih-lebih lagi tiada seorang pun ulama dalam mazhab empat menyatakan secara jelas pegang anjing itu sebagai haram. Yang wujud kekhilafan adalah kewajipan membasuh apabila menyentuh anjing, sepertimana yang popular dalam mazhab al-Syafie, sedangkan ada mazhab yang menyatakan tidak wajib, sebaliknya sekadar sunat saja, sepertimana popular dalam mazhab Maliki.

Jika dibuka kitab-kitab fiqh sunni yang muktabar, kekhilafan bukan sekadar berlaku dalam isu membasuh apabila menyentuh anjing, malahan di kalangan mereka dalam isu membela anjing pada selain untuk berburu dan untuk menjaga kebun dan binatang ternakan. Ini kerana, Ibn Abd al-Bar daripada mazhab Maliki yang memandang ia sebagai makruh saja, walaupun tanpa dinafikan kebanyakan ulama (termasuk dari mazhab Syafie) menyatakan haram.

Jakim tidak boleh memaksa manusia mengikut pendapat kebanyakan ulama. Ini kerana, dalam banyak sikap JAKIM sendiri yang berdiam diri dalam beberapa perkara yang melibatkan pendapat yang tidak majoriti, seperti fatwa ulama terdahulu tentang alat muzik. Ibn Hazm, boleh dikatakan antara ulama yang mengizinkan alat muzik, sedangkan ketika itu kebanyakan ulama mengharamkannya. Namun kini, pendapat Ibn Hazm itu diguna pakai.

Sudut pandang agama Islam Jakim lebih kelihatan canggung, apabila menteri yang mewakili Jakim pernah mengeluarkan kenyataan di Malaysia, yang diguna pakai adalah mazhab Syafie sebagai mazhab konsensus. Kenyataan ini amat bercanggah, kerana dalam banyak pengamalan fiqh di Malaysia tidak mengikut kepada mazhab Syafie. Contohnya seperti pembayaran zakat fitrah. Dalam mazhab Syafie, zakat fitrah tidak boleh dibayar menggunakan wang, sebaliknya perlu guna makanan rutin yang mengenyangkan. Pengamalan bayar zakat menggunakan wang mengikut pengamalan dalam mazhab Hanafi.

Dalam contoh lain, seperti hukum pemilikan tanah yang diteroka. Dalam kenyataan imam al-Syafie dalam al-Umm, pemilikan tanah yang diteroka tidak perlu mendapat keizinan pemerintah. Namun, pengamalan di Malaysia menggunakan cara pengamalan dalam mazhab Hanafi; iaitu mensyaratkan mendapat keizinan kerajaan terlebih dulu.

Ataupun dalam contoh yang lain, seperti kewajipan membayar zakat pendapatan. Tidak pernah wujud dalam fiqh tradisional mazhab Syafie tentang kewajipan zakat pendapat. Tetapi difatwakan wajib diamalkan di Malaysia berdasarkan pendapat ulama kontemporari (seperti al-Qaradawi) yang beliau sendiri berhujah dalam isu kewajipan zakat pendapatan tidak kepada pendapat dalam mazhab Syafie.

Bukan sekadar itu saja, malah kini kelihatan ada satu persepsi yang seakan-akan dicipta, iaitu sebarang perkara yang datang dari Jakim seperti dianggap sebagai mewakili Islam.

Ekoran itu, mengkritik Jakim, seakan-akan mengkritik dan menghina Islam.

Perlu dijelaskan di sana wujud perbezaan ketara antara Islam dengan badan agama Islam. Pandangan badan agama Islam, tidak semestinya agama Islam. Kerana pandangan badan agama Islam boleh jadi benar dan boleh jadi salah, sedangkan agama Islam tidak akan salah. Agama Islam bersumberkan wahyu, sedangkan badan-badan agama yang pandangan keagamaan mereka hanya bersifat mentafsirkan wahyu. Memandangkan wahyu itu hebat, diungkapkan dalam bahasa puitis dan dengan sasteranya yang tinggi. Apabila terlibat dengan kalam yang puitis dan sastera, sudah pasti memahaminya terikat kepada tafsiran. Apabila tafsiran, sudah pasti terikat dengan kemungkinan benar atau salah.  Itulah yang ada pada badan-badan agama.

Jadi, mengkritik apa-apa yang berkaitan dengan Jakim, tidak bermakna mengkritik Islam; mengkritik kandungan khutbah yang disediakan Jakim, tidak boleh dianggap sebagai mengkritik Islam; mengkritik sebarang keputusan Jakim, tidak boleh dianggap sebagai mengkritik Islam. Jika dianggap juga sebagai mengkritik Islam, sudah pasti Islam itu sudah punyai sumber agama selain Al-Quran dan hadis, sedangkan ini bercanggah dengan pesanan Nabi Muhammad.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat  sampai bila-bila jika kamu berpegang dengan kedua-duanya; Al-Quran dan hadis”. (Muwatta’, hadis no : 3338)

Mengenangkan hal itu, melakukan kritikan terhadap Jakim satu perkara yang sihat. Ini kerana, ia boleh memberikan satu imej yang baik kepada Islam, iaitu manusia akan memahami kenyataan yang dikeluarkan Jakim itu tidak semestinya mewakili agama Islam.

Sekurang-kurangnya ia melahirkan tanggapan Islam dan Jakim dua perkara berbeza.

Namun, kritikan terhadap Jakim, wajar dijawab oleh Jakim dengan ilmiah, bukan kekuasaan. Tindakan menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, bukan sekadar boleh dianggap sebagai tidak bermaruah, malah tindakan yang tidak mengikut aturan Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran mengajar konsep debat dan penghujahan yang terbaik.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125:“Serulah manusia kepada jalan Tuhan kamu dengan kebijaksanaan dan debatlah mereka dengan cara yang paling baik”

Lebih-lebih lagi, tindakan Jakim menggunakan kekuasaan untuk atasi kritikan, tidak lebih sekadar memberikan gambaran buruk sudut pandang bukan Islam terhadap agama Islam.

Firman Allah:“(Firaun itu) merendah-rendahkan (tahap akal) kaumnya agar kaumnya taat kepadanya. Mereka (kaum firaun itu) di kalangan orang fasiq.” (Surah al-Zukhruf, ayat 54)

Wallahualam.

-malaysianinsider-


Isu K-Pop hanya secebis, ada yang lagi besar

K-PopSHAH ALAM: Insiden ‘panas’ atas pentas K-Pop yang akhirnya menjadi viral dan mendapat perhatian masyarakat Islam hanyalah secebis daripada masalah akidah yang berlaku dalam umat Islam di negara ini.
Pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, masalah dalam masyarakat Islam itu sendiri lebih besar jika dibandingkan dengan insiden tersebut.

“Sebenarnya masalah ini lebih luas daripada apa yang berlaku di atas pentas itu. Sebab apa yang berlaku dalam masyarakat lebih besar daripada itu.

“Isu K-Pop itu hanya ‘tip of the iceberg’. Yang kita nampak di laut itu hanya permukaan kecil ais itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, adegan-adegan dalam drama ataupun filem yang disajikan kepada masyarakat umum setiap hari itu adalah antara contoh ‘masalah’ dalam masyarakat Islam, hari ini.

“Padahal masalahnya berakar umbi pada kefahaman masyarakat kita sendiri...akidahnya bagaimana. Itu yang sepatutnya kita fokuskan dan perkemaskan.

“Contohnya drama yang ditayangkan di TV. Itu adalah salah satu daripada benda-benda yang kita nampak setiap hari. Banyak lagi sebenarnya (yang berlaku),” katanya.

Mengulas soal kenyataan beberapa pihak yang mencadangkan dakwah dan menentang keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk mengenakan tindakan itu, beliau berkata kedua-duanya perlu dilaksanakan.

“Kedua-duanya itu perlu dibuat. Dakwah kena buat, tindakan pun perlu dibuat. Tapi tindakan itu tidak perlulah diheboh-hebohkan. Tindakan itu ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.

“Kalau nak ambil tindakan, tak perlu sampai memalukan pihak yang terbabit itu sampai menimbulkan aib kepada keluarga. Khidmat nasihat syariah, kaunseling dan sebagainya perlu disediakan kepada mereka ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan sahaja yang berkuasa ‘menyuruh’ masyarakat Islam negara ini mematuhi garis panduan dalam Islam.

“Kita tahu...contohnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dah ada garis panduan. Lama dah ada tapi dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan itu tidak ada. Jakim hanya mampu membuat garis panduan tapi garis panduan itu seolah-olah dipandang sepi. Tidak diletakkan di tempat yang tinggi.

“Kita kata Islam adalah agama Persekutuan tapi apabila Jakim letak garis panduan, kita letak tepi pula. Sepatutnya kena ambil cakna apa yang dinasihatkan dan segala garis panduan daripada pihak berkuasa agama itu sendiri,” katanya.
-sinarharian-

AirAsia Disenaraikan Dalam Syarikat Penerbangan Paling Berbahaya

Tranungkite
Sudah jatuh ditimpa tangga... itu nasib Kumpulan AirAsia yang kini berdepan berbagai persepsi negatif sejak pesawatnya jenis Air Bus QZ 8501 terhempas dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura 28 Disember lalu.

Dalam senarai yang dikeluarkan oleh laman web keselamatan penerbangan AirlineRatings.com, 6 Januari lalu, Air Asia Indonesia masuk dalam ketegori antara airlines paling berbahaya di dunia.

Bagaimanapun satu lagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang mengalami tahun sukar pada 2014 selepas kehilangan dua pesawat tiada dalam senarai tersebut itu setelah mendapat lima dari tujuh bintang untuk rekod keselamatannya berbanding Air Asia.

Tiga anak syarikat Kumpulan AirAsia diberikan markah rendah dalam aspek keselamatan.

AirAsia Malaysia dan AirAsia Zest Filipina menerima penarafan tiga bintang, manakala AirAsia Indonesia hanya diberikan dua daripada tujuh bintang.

Senarai baru yang dikeluarkan ini mengambil kira semua yang berlaku dalam industri penerbangan global tahun lalu.

Menerusi jumlah bintang yang diberikan itu, Kumpulan AirAsia berada dalam kategori syarikat penerbangan paling berbahaya di dunia.

Insiden pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas ke laut 28 Disember lalu antara punca tahap keselamatan syarikat penerbangan tersebut diragui.

Ia adalah tragedi yang melibatkan kematian pertama bagi Kumpulan AirAsia yang mempunyai anak syarikat hampir di kesemua negara Asia Tenggara.

Menurut senarai itu, syarikat penerbangan dunia yang paling corot dengan hanya satu bintang ialah Nepal Airlines, Tara Air, Kam Air dari Afghanistan, SCAT Airlines dari Kazakhstan dan Lion Air dari Indonesia.

Kesemua lima syarikat penerbangan itu telah pun diharamkan untuk terbang di ruang udara Kesatuan Eropah.

Sementara itu, 149 penerbangan lain menerima penarafan tertinggi tujuh bintang, manakala 59 lagi memperoleh enam bintang.

Sebagai perbandingan, syarikat penerbangan menerima taraf satu bintang dianggap mempunyai jumlah kemalangan yang tinggi.

Pada tahun 2005 Kam Airlines 904 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Herat di barat Afghanistan, hilang dari skrin radar dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul akibat dalam cuaca buruk.

Kehilangan tersebut menyebabkan operasi SAR digerakkan mencari 96 penumpang dan lapan anak kapal. Bangkai pesawat itu ditemui terhempas di gunung pada 5 Februari 2005 di timur Kabul.

Pada 2010, 22 orang terbunuh apabila sebuah kapal terbang milik Tara Airlines terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Lamidanda di Nepal, manakala pada awal tahun ini Nepal Airlines penerbangan 183 terhempas dalam perjalanan ke Arghakhanchi.

Pada bulan Januari 2013, semua 21 orang di atas kapal SCAT Airlinesdari Almaty Kokshetau terbunuh apabila pesawat terhempas dalam cuaca buruk berhampiran Kyzyltu.

AirlineRatings.com, adalah laman web keselamatan penerbangan dilancarkan pada bulan Jun 2013.

Laman web tersebut merupakan inisiatif bersama antara pihak berkuasa Australia Barat dan Aerospace Technical Publications International, berkata sistem penarafan adalah berdasarkan kepada audit daripada badan-badan kerajaan dan industri, serta rekod kematian yang melibatkan syarikat penerbangan tersebut.

Penarafan 2014 dibayangi oleh tahun yang mengejutkan untuk keselamatan penerbangan dengan beberapa kejadian yang paling tragis dan pelik dalam sejarah moden, kata laporan itu.

Terdapat 21 kemalangan udara bagi tahun 2014 - satu bagi setiap 1.3 juta penerbangan- tetapi rekod 986 kematian adalah lebih tinggi dalam purata 10 tahun selepas sebahagian besarnya disebabkan oleh dua tragedi yang belum pernah terjadi sebelumnya melibatkan penerbangan MAS, yang mengorbankan 537 orang.

Walaupun wujud insiden berprofil tinggi, laporan itu menegaskan perjalanan udara adalah pengangkutan yang paling selamat.

Secara keseluruhan semua syarikat peberbangan dunia membawa 3.3 bilion penumpang dengan 27 juta penerbangan tahun lepas.

Perbandingannya, lima puluh tahun lalu ada 87 kemalangan udara, membunuh 1,597 orang, ketika syarikat penerbangan membawa 141 juta penumpang - lima peratus daripada jumlah yang sama hari ini, kata laporan itu.

Laman web ini juga mengumumkan sepuluh syarikat penerbangan paling selamat dan sepuluh syarikat penerbangan kos rendah paling selamat.

Ia menamakan syarikat penerbangan kebangsaan Australia sebagai yang paling selamat di dunia. (laman web ini beroperasi dari Australia).

Dengan 'tiada rekod kematian' dalam era jet, Qantas mendapat markah terbaik daripada hampir 450 syarikat penerbangan dipantau oleh laman web tersebut.

Selain Qantas, juga dalam senarai penerbangan paling selamat adalah British Airways, Gulf Emirates dan Etihad Airways, dan Lufthansa.-16/1/2015 -Dailymail/Airlinesrating

Minum arak, lalai dengan muzik jadi kera dan babi

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR:Apabila muzik diutamakan sudah pasti al-Quran diketepikan, demikian kandungan khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini.

Justeru, umat Islam hendaklah takut dengan amaran Rasulullah SAW mengenai ada umat baginda yang meminum arak dan dilalaikan dengan penyanyi wanita bahawa Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi.

Berikut ialah petikan kandungan khutbah tersebut.

Islam tidak menghalang umatnya berhibur tetapi mestilah ada batas-batas dan panduannya. Segala bentuk hiburan yang tidak bercanggah dengan syariat Islam adalah diharuskan.

Namun, akhir-akhir ini budaya berhibur secara melampau atau hedonisme telah merebak di kalangan remaja Islam.

Mereka bukan sekadar berhibur tetapi mereka juga banyak mengikut gaya hidup yang dibawa oleh artis-artis pujaan mereka seperti budaya K-Pop yang bukan sahaja menyanggahi syariat bahkan tidak langsung menepati budaya masyarakat Melayu.

Mimbar ingin mengambil kesempatan untuk mengajak sidang jemaah sekalian terutama bapa-bapa supaya berwaspada dengan budaya hedonisme yang mungkin telah menular dalam jiwa anak-anak kita tanpa disedari.

Bukan sahaja K-Pop bahkan pelbagai bentuk budaya lain yang telah bertapak di negara kita sama ada yang datang dari luar atau dalam negara.

Fenomena ini menjadi semakin meluas disebarkan melalui pelbagai medium seperti media massa, media sosial, internet, majalah-majalah hiburan dan sebagainya semata-mata untuk menarik golongan remaja yang masih cetek akal dan ilmu.

Sememangnya ramai anak-anak muda yang terlalu asyik dengan muzik. Muzik dan lagu-lagu yang diminati sentiasa menjadi halwa telinga mereka setiap masa.

Kesannya, jiwa mereka semakin hari semakin jauh dari cahaya al-Quran yang sepatutnya menjadi hiburan rohani bagi anak-anak. Apabila muzik diutamakan sudah pasti al-Quran diketepikan.

Takutlah dengan amaran Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Ibnu Majah daripada Abu Malik al-Asy’ari RA yang bermaksud: “Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi”. 

'Ustazah misteri' pertahan gadis K-Pop

'Ustazah misteri' pertahan gadis K-PopSELEPAS banyak pihak memberikan reaksi negatif bersabit isu gadis K-Pop, hari ini tampil seorang 'wanita misteri' menyifatkan apa yang berlaku itu ketentuan ALLAH.
Dalam video berdurasi 5 minit 42 saat itu, wanita berkenaan berkata, bukan sahaja gadis-gadis yang dipeluk artis K-Pop itu sedang diuji malah masyarakat secara keseluruhannya juga sedang menghadapi perkara sama.

"Bukan mereka sahaja diuji, malah kita sebenarnya yang diuji juga. Mereka yang berada di atas pentas dengan keizinan ALLAH.

".... di sebalik video yang telah diviralkan, ALLAH sebenarnya mahu menguji kita ...yang hebat sangat menjadi keyboard warrior, yang maki, seolah-olah anda semua sangat hebat daripada anda lahir sampai sekarang, Jadi renung-renungkan lah diri sendiri apa sebenarnya hikmah dan pengajaran yang berlaku di sebalik peristiwa ini," ujarnya.

Video yang dimuatnaik ke YouTube itu kini telah menarik perhatian lebih 3,000 pelayar.

Kebanyakan komen pelayar mengecam pandangan gadis tersebut.

Jabatan Agama Islam Persekutuan (Jawi) sudah membuka kertas siasatan berkenaan aksi kurang menyenangkan gadis Muslim bersama artis K-Pop baru-baru ini.

Jawi juga memberi tempoh seminggu kepada gadis-gadis yang terlibat supaya serah diri.
-sinarharian-

Dr Asri dilantik semula Mufti Perlis?

Dr Asri dilantik semula Mufti Perlis?KANGAR: Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dijangka dilantik semula sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr. Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun lalu.
Pengumuman mengenai pelantikan Mohd. Asri, 44, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Menurut sumber, sekiranya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan dengan pelantikan tersebut, ini bermakna jawatan itu adalah kali kedua buat Mohd. Asri.

“Bagi Exco dan kerajaan negeri, mereka bersetuju dengan apa sahaja keputusan Tuanku termasuk jika memilih semula Mohd. Asri yang berpengalaman luas dalam agama Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata sumber, sebelum ini terdapat beberapa calon anak tempatan yang dikatakan akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Mohd. Asri yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2003 dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.

Beliau yang juga dikenali sebagai Dr. Maza merupakan seorang penceramah yang sering diselubungi kontroversi antaranya termasuk ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Beliau juga telah menulis puluhan buku dan ratusan rencana serta membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam negara dan peringkat antarabangsa. 
-utusan-

Gambar Gadis Itali si penebar roti canai di Alor Setar


ALOR SETAR: Kehadiran seorang gadis 'Mat Saleh' selaku penebar roti canai di sebuah warung di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini, menarik tumpuan pengunjung.


Apatah lagi gadis ini kelihatan bertambah manis dengan memakai tudung.

Chantal Viola, 17, pelajar sebuah sekolah sains, Liceo Sciemtifico Statale Democrito di Rome, Itali sudah enam bulan menjadi pembantu di warung itu milik bapa seorang rakan baiknya.

Chantal sebenarnya sedang mengikuti program pertukaran pelajar anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS) dan ditempatkan di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.

Dia menumpang dengan sebuah keluarga angkat.


"Saya jadi pembantu warung hanya pada hari cuti sekolah bagi membolehkan saya belajar dan berkomunikasi dengan masyarakat tempatan. Saya suka belajar bahasa Melayu. Enam bulan saya di sini, sekarang saya boleh cakap sikit-sikit bahasa Melayu.


"Saya sudah boleh ambil 'order'. Bila orang cakap mahu roti canai, teh tarik, saya dah faham," katanya dan menambah dia juga sudah pandai membuat teh ais dan teh o ais.

Dia berkata dia mula berminat bekerja di warung setelah dibawa rakan karibnya Nur Sahira Md Sallehuddin, 17, ke gerai milik bapanya iaitu Mohd Sallehuddin Shaari, 46.

Mengenai roti canai, dia berkata makanan iu merupakan antara kegemarannya sejak menjejak kaki ke negara ini Julai tahun lepas, selain makanan lain seperti nasi berlauk ayam, laksa dan minuman laici kang.

Ditanya pula kenapa dia memakai tudung, Chantal berkata dia berbuat demikian bagi menghormati keluarga angkatnya serta budaya masyarakat Melayu.

Tudung dipakai atas kehendaknya sendiri dan bukan dipaksa sesiapa, katanya dan menambah dia juga berbaju kurung dan bertudung ke sekolah.
Gadis Itali si penebar roti canai
"Kali pertama pakai tudung pergi sekolah, saya pengsan sebab cuaca terlalu panas. Sekarang saya lebih selesa bertudung. Saya sekarang sudah pandai pakai tudung bawal dan shawl," jelasnya.

Bapa angkatnya Ishak Md Shah, 59, yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar berkata beliau tidak menghalang Chantal bekerja di warung kerana niatnya untuk menguasai bahasa Melayu melalui percakapan dengan orang ramai.

Beliau berkata gadis itu rajin membuat kerja dengan turut membantu isterinya mengemas rumah, mencuci dan memasak.

Sementara itu wakil AFS Kedah, Rohaya Md Yusoff berkata Chantal merupakan seorang daripada lima pelajar asing yang ditempatkan bersama keluarga angkat di negeri ini sejak Julai tahun lepas.

Katanya program itu selama setahun bagi memberi peluang pelajar asing mengenali budaya Malaysia.
-bernama-

Isu pulau ini cetus tanda tanya

Kepulauan Sanafir dan Tiran tersebut diduduki Israel sejak Perang Enam Hari tercetus pada 1967.
RIYADH - ARAB SAUDI . Arab Saudi dan negara Barat didakwa terus berdiam diri terhadap isu kepulauan yang diduduki Israel hingga kini.

Media tempatan melaporkan lokasi sebenar kepulauan Tiran dan Sanafir itu juga terus menjadi tanda tanya kerana Saudi tidak pernah mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan semula hak mereka.

Menurut satu laporan, kedua-dua kepulauan tersebut meliputi kawasan seluas 80 dan 33 kilometer persegi dan terletak di laluan masuk di Teluk Aqaba, timur wilayah Saudi.

Sehingga 1967, ia adalah milik Saudi, namun Raja Faisal menyerahkan kepulauan tersebut kepada Mesir dalam usaha untuk menghalang kemasukan kapal Israel ke pelabuhan Eilat ketika Perang Enam Hari tercetus.

Susulan daripada itu, bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat bertindak menandatangani perjanjian damai bersama Israel pada 1978, namun beliau enggan menyatakan status kepulauan Tiran dan Sanafir terbabit adalah sebahagian daripada kandungan rundingan tersebut.

Sementara itu, beberapa pemerhati berpendapat Saudi enggan membuat sebarang tuntutan kerana kawasannya terlalu kecil walaupun lokasinya adalah strategik berikutan ia adalah satu-satunya laluan kepada Israel untuk ke Laut Merah. - Press TV
-sinarharian-

Angan-angan Najib tak jadi kenyataan

SHIRZAD LIFEBOAT
D ALAM sejarah politik, lebih lazim dari tidak, mana-mana individu yang memasang angan-angan dan mimpi untuk menjadi pemimpin tertinggi paling hebat dan terpandai berbanding pemimpinpemimpin sebelumnya akan akhirnya tercatat dalam sejarah sebagai pemimpin terburuk.
Sebaliknya mereka yang diangkat menjadi pemimpin atas sebab perjuangan untuk negara dan bangsa lazimnya jauh lebih menyinar.

Pemimpin dalam kategori ini tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi, lebih mementingkan negara dan rakyat dari segala lain, tidak rasuah, membelanjakan wang awam dengan cukup berhemah dan secara total tidak membiarkan ahli keluarga turut serta dalam apa-apa proses membuat keputusan bersabit dasar dan pentadbiran kerajaan.
Dalam sejarah politik Malaysia mungin tidak keterlaluan jika dikatakan empat perdana menteri terdahulu dianggap tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri.

Kita sedia maklum bagaimana setiap seorang daripada mereka menjadi perdana menteri.

Tunku pada asalnya malah tidak mahu menjadi yang dipertua Umno. Begitu juga Tun Razak yang menolak jawatan sama ketika ditawarkan oleh Dato’ Onn sebelum pengasas Umno itu meletakkan jawatan berkenaan untuk kali kedua dan meninggalkan Umno untuk selama-lamanya.

Walaupun pernah menjadi ketua Pemuda Umno yang pertama namun kemudiannya hilang untuk beberapa dekad, Hussein Onn boleh dianggap seorang perdana menteri yang muncul entah dari mana-mana.

Dr Mahathir Mohamad pula diangkat ke kerusi tersebut disebabkan wawasan dan perjuangannya beliau yang diyakini oleh ahli-ahli Umno ketika itu dan bukan disebabkan awal-awal lagi telah berangan dan seterusnya melakukan segala usaha untuk menjadi perdana menteri.

Kecuali Tunku Abdul Rahman yang bercita-cita menjadi “perdana menteri paling gembira di dunia” (itupun setelah menjawat jawatan berkenaan) yang lainnya hanya bekerja dalam apa yang diyakini mereka sebagai usaha-usaha yang boleh memajukan negara (walaupun tidak semestinya apa yang dilakukan itu betul ataupun tanpa kesilapan).

Masalah kritis dan buruk yang melanda Malaysia bermula apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Tanpa dilengkapi dengan pelbagai pengetahuan dalam pelbagai bidang utama seperti ekonomi dan kewangan serta sebagainya, Abdullah mahu menunjukkan kepada dunia beliau sebenarnya lebih hebat dari perdana menteri lalu.

Akhirnya, hampir semuanya, termasuk keadaan parti Umno yang beliau pemimpin sendiri menjadi “kong-kalikong.”

Kemudian datang pula Najib Abdul Razak. Kata perumpamaan masa lalu, benih yang yang baik jika tercampak ke laut akan menjadi pulau. Malangnya, walaupun dia putera kepada seorang pemimpin dan perdana menteri terulung Malaysia, Najib tidak menjadi pulau tetapi sebaliknya menjadi sebuah paya bakau yang semak samun dan penuh dengan “buaya.”

Dengan pengalaman yang begitu lama dalam politik hal seperti demikian (seperti dilihat berlaku kini) tidak sepatutnya berlaku ke atas Najib.

Tidak pasti sama ada Najib memasang angan-angan mahu menjadi perdana menteri terhebat dalam sejarah berdasarkan asal-usul dan pengalamannya. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Tidaklah terlalu tepat jika dikatakan Najib tidak dilengkapi dengan pelbagai pengetahuan seperti Abdullah. Lagi pun katanya Najib memiliki ijazah ekonomi perindustrian dari sebuah universiti di United Kingdom walaupun ada pihak mempertikaikan bilakah beliau menghabiskan pengajiannya setelah dipanggil balik ke tanah air tatkala ayahndanya meninggal dunia.

Tetapi malangnya kemampuan Najib dilihat sebagai jauh lebih terhad dari Abdullah. Dari segi nasib pun, pendahulu Najib jauh lebih baik. Abdullah mula menduduki kerusi perdana menteri dengan imej bersih dan jolokan Mr Nice Guy sedangkan perlantikan Najib disambut dengan kemelut pembunuhan Altantuya.

Abdullah tidak sempat menamatkan dua penggal dan terpaksa akur kepada tekanan parti dan rakyat. Kini Najib pula bakal menerima nasib serupa sama ada berdasarkan kelemahan beliau sendiri dan juga faktor luaran yang tidak mungkin dapat dikawal beliau.

Prestasi buruk ekonomi negara, peningkatan tinggi hutang negara, masalah1MDB, peningkatan kos kehidupan rakyat (sekadar menyebut beberapa contoh) di samping banjir besar dan kejatuhan harga minyak dipasaran dunia yang bakal menghimpit lagi ekonomi Malaysia adalah bayangan jelas Najib terpaksa menghentikan angan-angan beliau lebih awal dari dijangkakan.

DS Rosmah boleh telefon PM Australia mohon hantar balik Sirul?

PETALING JAYA: Polis akan menggunakan semua saluran dan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul jika Australia enggan mengekstradisi bekas komando Sirul Azhar Umar, yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata Malaysia tidak diberitahu secara rasmi tentang keputusan Australia seperti yang dilaporkan oleh Sydney Morning Herald.

Pada Khamis, akhbar itu melaporkan bahawa Australia tidak akan mengekstradisi bekas anggota polis itu kerana undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati dihantar pulang, melainkan individu tersebut tidak akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sirul dilaporkan berada di Australia sejak bulan November.

Peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin berkata Sirul mungkin meninggalkan negara ini secara sah sebelum dia disabitkan membunuh Altantuya.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak memohon supaya Sirul direman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap pembebasannya.

Sirul, 42, menimbulkan tanda-tanya apabila gagal hadir di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan terhadapnya kerana membunuh, dengan berita melaporkan bahawa dia berada di Australia. Turut menerima hukuman sama ialah Ketua Inspektor Azilah Hadri, 38.

Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Kamarul berkata, beliau tidak berhubung dengan anak guamnya sejak Jun tahun lalu, kira-kira seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata anak guamnya adalah seorang yang bebas dalam tempoh Mahkamah Rayuan membebaskannya dan apabila Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan itu.

"Dia juga tidak perlu menyerahkan apa-apa dokumen, ditahan direman atau diletakkan di bawah jagaan tanpa sebab yang bertentangan dengan Perlembagaan," kata Kamarul.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memohon menggunakan Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menahan anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, katanya.

"Tetapi pihak pendakwaan tidak menggunakan undang-undang itu yang biasanya digunakan terhadap orang asing, bukan rakyat Malaysia," katanya.

Timbalan Peguam Cara II, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa pihak pendakwaan tidak menggunakan Seksyen 56A.
-mstar-

Saya bersedia untuk menjadi calon dalam masa terdekat" - Mejar Zaidi

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dari Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang keluar dari Kompleks Mahkamah Tentera selepas didakwa atas tuduhan memanipulasi dakwat kekal sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini di Kompleks Mahkamah Tentera Pangkalan TUDM, Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, Jumaat. Foto BERNAMAKUALA LUMPUR: Selepas dipecat daripada pasukan Tentera Udara atas kesalahan membuat dakwaan mengenai ketahanan dakwat kekal, Mejar Zaidi Ahmad kini mula menceburi bidang politik.
"Saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti buat masa ini dan fokus utama saya adalah untuk membantu masyarakat.
"Saya bersedia untuk menjadi calon dalam masa terdekat," katanya ketika berucap dalam forum Bersih 2.0 pada Khamis.

Mejar Zaidi, 47, berkata beliau sangat bersyukur kerana ramai yang memberikan sokongan kepada dia dan keluarganya selepas dipecat oleh mahkamah tentera pada Isnin kerana membuat kenyataan media berhubung ketidaktahanan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 2013 dan mendedahkan maklumat mengenai surat pemindahannya.

Dia telah diperintahkan untuk membela diri berhubung dakwaan tersebut namun, beliau memilih untuk berdiam diri.

"Ramai yang menghubungi dan menghantar pesanan ringkas kepada saya untuk menyatakan sokongan, saya sangat berterima kasih kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Mejar Zaidi berkata beliau sangat gembira apabila mendapat tahu anggota keselamatan kini boleh membuat laporan polis berhubung kecuaian dalam pilihan raya.

Dalam nada bergurau, beliau menambah: "Selepas ini, jangan beritahu pihak media jika anda membuat laporan polis. Media juga jangan tanya. Anda perlu dapatkan sendiri laporan tersebut dan membuat laporan berita mengenainya."

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari memuji keberanian Mejar Zaidi dan kekuatannya menghadapi dugaan selepas dipecat daripada jawatannya semata-mata untuk menegakkan kebenaran.

"Saya kagum dan sukar untuk mencari seorang yang sangat berani menegakkan kebenaran," katanya.

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah pula berkata: "Adalah sangat menyedihkan apabila kita kehilangan anggota tentera yang hebat. Beliau berhadapan dengan tekanan yang sangat hebat ketika sesi perbicaraan namun dia tetap berani menegakkan kebenaran. Kita perlukan lebih ramai rakyat Malaysia seperti beliau."
-mstar-

Setelah didedah mstar online barulah Pegawai Zakat terhegeh -hegeh datang minta maaf

Tiga daripada enam tanggungan Rosli termasuk Ahmad dan Muhammad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk lampin pakai buang serta beg najis sejak 13 tahun lalu.
PETALING JAYA: Rosli Abdul Rahim, bapa pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad, terkejut apabila tiba-tiba rumahnya dikunjungi tetamu yang tidak disangka-sangka pada petang Khamis.

Ketika itu, beliau sedang bekerja di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Tengah, Puchong selepas mengambil kedua anak istimewanya pulang dari sekolah.

Insiden ini berlaku selepas mStar Onlie melaporkan berita mengenai kesulitan yang dialami Rosli sekeluarga hinggakan serik untuk mendapat bantuan.

"Saya terkejut apabila seorang pegawai Lembaga Zakat Selangor datang ke rumah. Waktu itu saya sibuk di bengkel. Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga siapa orang tu, kenapa dia datang.

"Rupa-rupanya dia datang untuk bertanyakan mengenai borang permohonan bantuan along (Ahmad) dan angah (Muhammad). Dia minta maaf sebab kesulitan yang dialami ketika berurusan dengan mereka selama ini," katanya kepada mStar Online.
Rosli yang bekerja sendiri berkata, pegawai itu meminta beliau menghantar semula borang permohonan ke pejabat cawangan Bandar Puteri untuk mendapatkan bantuan perubatan, Isnin ini.

"Dia kata tak perlu kepilkan sekali salinan pengesahan doktor tapi saya kata dalam proses nak dapatkan surat pengesahan," katanya.

Bagaimanapun, Rosli berkata, beliau bersyukur kerana masalah dalam mendapatkan bantuan untuk menyediakan keperluan dua anaknya yang sepanjang masa memerlukan lampin pakai buang dan beg najis itu akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib.

"Oleh kerana saya bekerja sendiri kadang-kala bayaran lambat masuk. Jadi waktu itu saya ada masalah nak beli barangan keperluan mereka. Saya amat bersyukur kepada Allah, sekurang-kurangnya bebanan saya dapat diringankan sedikit," katanya.
Pada masa sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada portal mStar Online yang mendedahkan mengenai kesulitan yang dialami keluarga tersebut.

"Terima masih kepada mStar Online kerana membuat liputan mengenai along dan angah. Saya terkejut kerana dalam masa singkat terus dapat perhatian pihak berwajib," katanya.

Baru-baru ini, mStar Online melaporkan mengenai dugaan yang dihadapi Rosli selepas dua anaknya berjaya dipisahkan 13 tahun lalu, ketika berusia empat tahun menerusi pembedahan yang mencatat sejarah itu.

Beliau mendakwa sudah serik dan berputus-asa untuk turun naik pejabat kerajaan kerana terlalu banyak karenah birokrasi dan prosedur yang merumitkan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya sedang menyiasat mengenai aduan tersebut.

Katanya, berdasarkan rekod pihaknya, Rosli pernah memohon untuk mendapatkan bantuan perubatan dua tahun lalu.

"Rekod kami menunjukkan Rosli pernah mengemukakan permohonan bantuan perubatan bagi kedua-dua anaknya itu pada 2013 dan 2014," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Malah, Norajun menegaskan kedua-dua permohonan tersebut diluluskan LZS dibawah kategori asnaf gharimin.

"Bagaimanapun menurut aduan yang tersiar, pihaknya sedang menyiasat perkara itu," katanya.
-mstar-