"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Ibu mengandung dakwa diganggu ‘doktor pakar’


Ibu mentua mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat menantunya yang diganggu seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor pakar.
TEMERLOH – Seorang wanita yang mengandung anak sulung berusia tujuh bulan trauma setelah diganggu secara seksual seorang ‘doktor pakar’ klinik kerajaan selepas menerima rawatan di sebuah klinik kerajaan di sini, semalam.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti 20-an berkata, ‘doktor pakar’ terbabit mengganggu secara seksual selepas mendapat butiran peribadi dirinya daripada kakitangan klinik kerajaan terbabit.

Menceritakan semula kejadian, Siti berkata, dia bersama suami pergi mendapatkan rawatan pemeriksaan berkala ibu mengandung di klinik kerajaan, kira-kira jam 8.15 pada Rabu.

Menurutnya, selepas menjalani rawatan dalam tempoh setengah jam di klinik tersebut dia pulang seperti biasa ke rumah ibu mentuanya di bandar ini.

“Waktu sampai di tempat kerja petang tu, saya terima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia doktor pakar.

“Saya jawablah semua soalan macam biasa sebab dia nampak macam tahu semua. Tapi saya pelik bila dia mula tanya beberapa soalan sulit dan tak sepatutnya ditanya.

“Saya jadi makin takut bila dia mula keluarkan perkataan lucah dan ugut nak cari saya.

“Lepas tu saya matikan talian dan terus beritahu suami. Lepas bincang dengan mak mentua kami ke balai polis esoknya buat laporan polis,” katanya.

Siti berkata, dia kemudian bersama suami dan ibu mentua ke klinik kesihatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan.

“Kami terkejut bila salah seorang kakitangan di situ mengaku bagi maklumat peribadi, nombor telefon dan nama saya kepada seorang lelaki yang mendakwa dia ‘doktor pakar’.

“Kakitangan itu mengaku ada seorang lelaki hubungi klinik mendakwa dia doktor pakar untuk mendapatkan semua butiran rawatan diterima ibu mengandung pada hari tersebut,” katanya.

Sementara itu, ibu mentua mangsa yang mahu dikenali sebagai Aminah berkata, dia kecewa kejadian yang menimpa menantunya disebabkan kecuaian pihak klinik yang memberikan maklumat peribadi kepada pihak ketiga.

Menurutnya, akibat kejadian itu, menantunya kini trauma, mengalami tekanan dan dibimbangi akan menjejaskan kandungan berusia tujuh bulan.

“Kami kecewa kerana kakitangan klinik hanya mohon maaf, itu pun sebelum itu mereka cuba pertahankan tindakan mereka.

“Menantu saya asyik menangis saja lepas kejadian. Kami difahamkan kejadian ini bukan yang pertama berlaku, dah ada beberapa bukti kejadian yang sama berlaku sebelum ini,” katanya.

Suami mangsa, yang mahu dikenali sebagai Muhamad berkata, dia mendapat maklumat kejadian yang sama turut dilaporkan berlaku di Kuantan sebelum ini.

“Saya tengok dalam Facebook ada beberapa wanita mengandung mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki yang sama,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas perkara ini dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Papan tanda kontroversi cetus kritikan

Papan tanda yang dapat pelbagai respons di laman sosial.
LOS ANGELES - CALIFORNIA.Gara-gara meletakkan papan tanda kontroversi tertera 'Obama & orang Islam tidak dibenarkan masuk', sebuah kedai runcit di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) menerima padah selepas dikecam banyak pihak.

Premis yang terletak di bandar kecil Mayhill, kira-kira 265 kilometer dari tenggara Albuquerque dipercayai telah meletakkan papan tanda itu sejak beberapa tahun lalu, namun ia mula diperkatakan banyak pihak selepas seorang pengembara melaporkannya kepada sebuah stesen TV.

Menurut bekas pekerja kedai runcit tersebut, Marlon McWilliams, pemilik premis terbabit pernah menghalau individu yang tidak mematuhi papan tanda itu.

"Selain Presiden Barack Obama, bekas majikan saya turut menyasarkan beberapa kenamaan dan menjual papan tanda provokasi lain kepada pelanggan," jelasnya.

Sementara itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) dalam satu kenyataan menggesa pemilik kedai runcit terbabit supaya mencabut papan tanda tersebut demi kepentingan umum, kesusilaan dan perpaduan di AS. - AFP

Dulu Allahyarham TGNA lantik Saifuddin Nasution sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali kenapa Harakahdaily tak kritik

'Dulu Pas lantik saya, tak jadi pertikaian pun'

SHAH ALAM – Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan oleh lidah rasmi Pas, Harakah Daily.

Mengulas mengenai perkara itu, Saifuddin berkata, beliau pernah dilantik oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali sebelum ini.

Namun katanya, ketika itu tiada sebarang pertikaian daripada ahli Pas walaupun beliau daripada parti lain.

“Allahyarham Nik Aziz sangat maklum saya pemimpin PKR, tetapi melantik saya sebagai ketua GLC tersebut. Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya.

“Jadi apa yang Guan Eng buat dengan melantik saya (Penasihat Strategik Ketua Menteri) itu adalah perkara yang telah pun Pas buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.

“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu Pas pula bukan dedak. Itu tidak betul,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam artikel yang dikeluarkan oleh lidah rasmi Pas itu, menyifatkan pelantikan Saifuddin sebagai ‘dedak’ oleh DAP bagi mengikat PKR.

Keputusan melantik Saifuddin juga dikatakan sebagai usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan Pas.

Saifuddin dilantik secara rasmi pada Rabu lalu dan pelantikannya itu mendapat kelulusan Biro Politik PKR Pusat bagi mengukuhkan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Menurut Saifuddin, jika isu melantik bukan dalam kalangan ahli parti itu dianggap sebagai salah, dedak atau sebagainya, maka amalan itu telah dibuat oleh Pas terlebih dahulu.
-sinarharian

Wanita ini ketagih makan ayam hidup


Jabon – Seorang wanita yang pernah menggemparkan Indonesia kerana gemar memakan ayam hidup memberitahu dia masih belum dapat meninggalkan tabiatnya itu.

Miskaulah, 47, berkata, dia sudah menjalani rawatan terapi tetapi sehingga kini dia sukar untuk meninggalkan ketagihannya itu.

“Kalau sehari saya tidak makan ayam hidup badan saya berasa lemah dan gelisah.

“Selepas saya makan ayam, badan ini terasa ringan,” katanya ketika ditemui wartawan JawaPos.

Ibu dua anak itu memberitahu, ketagihannya memakan ayam hidup bermula ketika dia masih kecil lagi.

Miskaulah yang tinggal di Dusun Jangan Asem di Desa Trompoasri itu memberitahu, dia dilahirkan dari keluarga yang susah dan sering kelaparan ketika kecil.

“Saya kemudian mencari ikan dan siput di sawah sebelum memakan haiwan itu hidup-hidup.

“Sejak itu ketagihan saya semakin kuat sebelum beralih kepada memakan ayam pula,” katanya.

Walaupun pada awalnya, pendedahan Miskaulah itu menggemparkan penduduk kampungnya tetapi mereka akhirnya dapat menerima kenyataan mengenai ketagihan pelik wanita itu.

“Penduduk kampung tidak kisah kerana saya membeli ayam untuk dimakan, bukannya saya mencuri,” jelasnya.
-kualalumpurpost

Cakap terlalu kuat, wanita ditumbuk, rambut ditarik


Mangsa mendakwa lelaki itu menumbuk dan menarik rambutnya. - Foto South China Morning Post
XIAN - CHINA . Seorang penumpang bas wanita di tengah bandar Xian ditumbuk dan rambutnya ditarik oleh seorang penumpang lelaki dan wanita dek kerana bercakap terlalu kuat di telefon bimbitnya, lapor stesen radio tempatan.

Mangsa yang berusia 55 tahun, dengan nama keluarga Yang memberitahu Shaanxi Radio, dia sedang bercakap di telefon ketika seorang lelaki yang duduk di belakangnya menumbuk belakang lehernya.

"Anda bercakap terlalu kuat," protes lelaki itu.

Rakaman dari dalam bas menunjukkan kedua-dua mereka bergaduh, kata laporan itu.

Lelaki itu menolak wanita itu ke lantai, menarik rambutnya manakala seorang lagi wanita yang bersama-sama dengan lelaki itu turut menampar mangsa di muka.

Kedua pasangan itu bersama mangsa turun dari bas ketika bas tersebut berhenti dan mangsa membuat laporan polis.

Yang, seorang pelukis berkata, sebagai seorang pekerja, saya biasa bercakap dalam nada kuat.

"Jika dia menegur saya dengan baik supaya memperlahankan suara saya, saya akan berbuat demikian," kata yang kepada stesen radio dipetik South China Morning Post.
-sinarharian

Penganggur ditahan lacurkan isteri sendiri

Seorang penganggur ditahan kerana dipercayai kerana melacurkan isterinya sendiri.

Media melaporkan wanita terbabit yang berusia 23 tahun sebelum itu ditangkap pihak berkuasa selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang lelaki Bangladesh.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam semalam, wanita terbabit mendakwa dia melacurkan dirinya dengan bayaran RM50 untuk seorang pelanggan.

Dia mendakwa terpaksa mengikut kehendak suaminya bagi mengelak dipukul.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, suami wanita terbabit berusia 34 tahun dan kini tidak memiliki sebarang pekerjaan.

"Wanita itu mengaku dipaksa melacur selepas rumah berkenaan diserbu petugas rukun tetangga yang menerima aduan terdapat kes khalwat di situ.

"Suami wanita yang menunggu di dalam kereta turut berjaya ditahan, manakala lelaki Bangladesh tersebut melarikan diri," katanya dilaporkan Utusan Malaysia.

Md Zukir berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan.

"Lelaki berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.
-malaysiakini

Kami makan 'ayam sampah'

DEMI kelangsungan hidup, rakyat miskin di Filipina terpaksa menjadikan 'ayam sampah' sebagai menu harian mereka.

Ayam sampah atau dalam bahasa Tagalog dikenali sebagai pagpag, ianya diperolehi hasil daripada sisa buangan ayam dari restoran segera.

Golongan miskin ini, akan mengeledah tempat pembuangan sampah untuk mendapatkan pagpag, dalam pada itu ada juga yang pergi sendiri ke restoran segera untuk memungut hasil buangan itu.

Menerusi perkongsian sebuah video dokumentari yang memaparkan mengenai kisah ini, penduduk di kawasan Tando, ada diantaranya menjadikan menu hidangan ini sebagai bahan jualan mereka.

"Saya dahulu menjual buah...tetapi kini saya menjual pagpag, kerana ia sememangnya laku," kata seorang pengusaha wanita pagpag ketika ditemubual.

Katanya, sisa ayam yang mereka ambil itu, dibersihkan dahulu sebelum dimasak semula.

"Saya menjualnya dalam pelbagai saiz, dari harga 20peso (RM1.81) sehingga 50peso (RM4.53), kadang-kadang ada jiran yang minta diskaun, mereka susah termasuklah saya," katanya yang mendapat keuntungan dalam 200peso (RM18.12) dalam sehari.

Dalam pada itu, menurut seorang wanita berkata, dia terpaksa makan pagpag kerana dia tidak mempunyai cukup wang untuk membeli hidangan makanan yang lain.

"Kami tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan lain," ujarnya.

ISU KEBERSIHAN JADI PERSOALAN.

Ada segelintir masyarakat yang mempersoalkan mengenai tahap kebersihan hidangan ini, namun menurut seorang wanita yang lazim menjadikan pagpag sebagai hidangan harian keluarga mereka, masalah kebersihan tidak timbul.

"Jika kamu tahu masak pagpag ini, kamu tidak akan ditimpa penyakit," katanya yang memberitahu bahawa ayam itu sebelum dimasak perlulah direbus dan dibersihkan terlebih dahulu.

Pagpag selalunya akan dimasak bersamanya, kicap,sos, cuka dan garam serta sedikit sedikit.

Guru agama bunuh murid menangis dihukum mati

Bernama 
PUTRAJAYA: Seorang guru agama berdepan hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan terhadapnya kerana membunuh seorang murid berusia 7 tahun, lebih 5 tahun lalu.

Hanif Mohamad Ali, 32, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas setelah mahkamah itu mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati, namun mensabitkannya terhadap pertuduhan yang dikurangkan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Panel 5 anggota yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar hari ini menerima rayuan pihak pendakwaan untuk mengakaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Perlis yang mendapati Hanif, yang pada masa itu warden asrama sebuah sekolah rendah agama, bersalah membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee, murid Tahun 1, di Asrama Putra, Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis antara 6.00 petang dan tengah malam 31 Mac 2011.

Sementara itu, panel hakim menolak rayuan Hanif terhadap hukuman penjara. Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan lain dalam panel itu ialah Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Hanif yang berpakaian penjara berwarna hijau kelihatan tenang semasa mahkamah mengumumkan keputusannya. Selepas prosiding berakhir, Hanif dilihat memeluk anggota keluarga termasuk ibunya yang kelihatan menangis.

Menurut fakta kes, kanak-kanak lelaki itu dipaksa berdiri dengan tangannya diikat ke atas pada batang besi dan dipukul di kepala serta ditampar kerana didakwa mencuri wang.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata keterangan pakar patologi menunjukkan kanak-kanak itu dicekik selama 4 minit, dan mengambil kira dia diikat serta dipukul menunjukkan Hanif berniat mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak itu yang menyebabkan kematiannya.

Peguam Hanif, Ariff Azami Hussein berhujah tidak ada penyalaharahan oleh Mahkamah Rayuan semasa mengurangkan pertuduhan terhadap anak guamannya.

Mahkamah Tinggi Perlis pada awalnya meminda pertuduhan terhadap Hanif daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat di akhir kes pendakwaan.

Hanif kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan dan dihukum penjara 18 tahun.

Pihak pendakwaan kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Hanif membela diri atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi. Di akhir kes pembelaan Hanif didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.

Gadis ini ‘dikurung’ ibu bapa selama 26 tahun kerana terlalu cantik

Rusia – Dek kerana kecantikan luar biasa yang dimiliki anak gadisnya, sepasang ibu bapa di Rusia bersikap protective hingga sanggup ‘mengurungnya’ selama 26 tahun daripada menikmati dunia luar.

Ini kerana mereka mendakwa konon berasa gusar perkara buruk akan menimpa anak perempuannya yang berusia 26 tahun itu, menurut laporan sebuah laman media antarabangsa.

Mangsa dikenali sebagai Angelica Kenova, tidak pernah keluar dari rumahnya melainkan ditemani beberapa pengawal peribadi dan pengiring sekiranya keluar bertemu janji (dating).

Ibu bapa Kenova sangat melindunginya kerana kecantikan yang dimiliki gadis itu dan jika diamati betul-betul, gadis itu saling tidak tumpah seperti watak kartun atau patung kegemaran kanak-kanak perempuan iaitu Barbie.

Kenova memberitahu rupa paras dan sosok tubuh yang dimilikinya itu asli dan bukannya hasil daripada mana-mana pembedahan plastik.

“Pembedahan plastik hanya perlu jika seseorang itu mengalami kecacatan yang serius pada wajah dan badan mereka sahaja,” ujarnya.

Tambah Kenova lagi, kedua-dua orang tuanya membesarkannya tidak ubah seperti seorang puteri dan mengawal setiap pergerakannya sehinggakan dia tidak merasai nikmat yang dirasai gadis seusianya.

Hal itu menjadikan Kenova berasa sedih dan hidupnya ibarat sebuah patung perhiasan di dalam cermin pameran.

Walau bagaimanapun, ketika usia menginjak 26 tahun, Kenova berharap dia dapat keluar dari rumahnya dan hidup berdikari tanpa dikelilingi pengawal atau pengiring.

“Ibu bapa saya telah mengurung saya di sebuah ‘istana kaca’ sepanjang hidup saya tetapi satu hari mudah-mudahan, saya akan dapat membebaskan diri dan hidup berdikari,” luahnya. – Mynewshub
-kualalumpurpost

Gadis yang hilang di Madinah setahun lalu akhirnya pulang

"Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada dia selama setahun lebih menghilang di Madinah.

"Dia tidak banyak berbicara ketika saya mengambil dia di KLIA," kata Ibrahim Abdul Rahman ketika bercakap mengenai kepulangan anaknya Nor Azimah, 32, ke tanah air semalam.

Ibrahim berkata buat masa ini Azimah memerlukan masa untuk bertenang sebelum menceritakan kejadian sebenar selama menghilang di Madinah.

"Saya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana Azimah selamat pulang ke tanah air," kata Ibrahim, 55.

Nor Azimah, dilaporkan hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Dise,ber 2015 ketika mengerjakan umrah bersama bapa dan ibunya.

Ibrahim berkata dia hanya mengetahui kepulangan dan ketibaan anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui WhatApps rakannya pada 3 petang semalam.

"Sejurus selepas itu, saya terus ke KLIA mengambil Azimah. Dia berada dalam keadaan sihat tetapi stres," kata Ibrahim ketika dihubungi Bernama di rumahnya di Shah Alam.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Konsul Malaysia di Jeddah dan pihak keselamatan Arab Saudi kerana berusaha mencari anaknya.

"Terima kasih kepada semua yang pihak yang terlibat menguruskan perjalanan anak saya dari Madinah ke Malaysia," katanya.

Nor Azimah tiba di KLIA pada kira-kira 12 tengah hari semalam menaiki pesawat MAS dari Jeddah.

Kepulangan Nor Azimah disahkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohamad Ali Selamat yang berkata Nor Azimah ditemui pada 13 Disember.


Pihak berkuasa Arab Saudi kemudian menghubungi Pejabat Konsul Jeneral.
-Bernama

Bayi dengan tanda lahir berbentuk 'love' di dahi (Gambar)

Jururawat teriak terkejut melihat bayi ‘cinta’ ini
FMT Reporters 
Kredit: Caters News Agency dan Daily Mail
Memiliki tanda lahir atau birth mark adalah perkara biasa, namun lain pula ceritanya bagi seorang bayi lelaki yang dilahirkan di Ankara, Turki.Beliau diberi gelaran “love baby” oleh kakitangan hospital khususnya jururawat selepas mendapati kewujudan tanda lahir berbentuk hati di dahi kanannya dan berebut berselfie bersama Cinar.

Murat Engin, 30, dan Cyeda, 28, menganggap kelahiran Cinar sebagai kurniaan Tuhan.

Walaupun beliau kini berusia 14 bulan, Cinar tetap menjadi tumpuan di mana ramai peminat sanggup berasak semata-mata untuk berselfie dengannya.

“Cinar adalah anak sulung kami. Tanda lahir berbentuk hati di dahinya sangat istimewa bagi kami. Kami sayangkan dia,” ujar bapanya.

Murat berkata, beliau adalah orang pertama yang ternampak tanda lahir unik itu di dahi Cinar.

“Saya benar-benar terkejut. Saya cuba mendekatinya dan mendapati ia berbentuk hati. Sangat sukar untuk saya menahan mengalirkan air mata,” katanya yang dipetik Daily Mail.

Kredit: Caters News Agency dan Daily Mail
Beliau berkata, jururawat di sekeliling turut menjerit kegembiraan dengan berkata: “Oh Tuhan, ini sukar dipercayai, dia love baby.”

“Apabila isteri saya melihat tanda itu, dia mula mengalirkan air mata. Ia seperti pemberian Tuhan dan tiada siapa yang berprasangka buruk.

Murat berbangga dengan tanda lahir unik itu yang membuatkan orang di sekelilingnya tersenyum tiap kali menatap wajah Cinar.

“Semua orang menggelarnya love baby. Semua orang di hospital mengenalinya,” katanya.

Keluarga Cinar percaya tanda lahir unik itu adalah pembawa tuah kepada mereka.

Sultan Muhammad V Jalur Muhammad Al Mahdi

Tranungkite
Pada 13 Disember lalu, Sultan Muhammad V melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong XV dan pada usia 47 tahun baginda adalah sultan termuda dalam kalangan Raja-raja Melayu ketika ini. Di Kelantan rakyat menggelarkan baginda Sultan Kelantan yang baru sebagai “Malikussoleh” iaitu pemerintah yang soleh.

Sultan Muhammad V yang mendapat didikan dalam bidang keagamaan dan kerohanian begitu menyerlah di mata rakyat dari segi pegangan Islam yang kukuh. Baginda juga gigih berusaha menerap nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.

Program itu, yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan dan Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.

Menurut Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Muhammad Hana Pizi Abdullah, Sultan Muhammad V begitu prihatin dalam soal masjid dan agama Islam. "Kami warga masjid amat dekat dengan baginda yang cukup prihatin dengan masjid dan agama. Seperti yang diketahui umum, baginda seorang sultan yang memang selalu berada di masjid dan rakyat senang bertemu dengan baginda," katanya.

Muhammad Hana Pizi berkata kehadiran baginda di masjid dan majlis keagamaan menjadikan baginda begitu dekat dengan rakyat. "Sultan Muhammad V pernah mengimamkan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, yang disertai ribuan jemaah beberapa tahun lepas," katanya.

RAJA-RAJA MELAYU ZURIAT AHLUL BAIT

Dalam sejarah penyebaran dan perkembangan Islam di Alam Melayu ini, melibatkan sumbangan besar daripada zuriat Ahlul Bait yang memainkan peranan dominan. Ahlul Bait adalah ahli keluarga Rasulullah S.A.W yang terdiri daripada kalangan baginda sendiri, isteri-isteri, anak-anak dan keturunan baginda sehingga sekarang. Salah seorang puteri Rasulullah S.A.W yang termasuk dalam keluarga ini adalah Fatimah az-Zahrah. Fatimah berkahwin dengan anak saudara Rasulullah S.A.W iaitu ‘Ali bin Abi Talib. Hasil perkahwinan ini beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Hasan, Husain dan Muhsin (meninggal ketika masih kecil).

Melalui kedua-dua orang cucu Rasulullah S.A.W ini, zuriat Ahlul Bait masih berterusan dan mempunyai peranan yang sangat besar dalam mengembangkan Islam di Alam Nusantara. Penghijrahan Ahlul Bait khususnya yang berketurunan daripada Imam Husain merupakan mereka yang menetap di Hadramaut Yaman. Kemudian mereka berhijrah ke Alam Melayu dengan tujuan awalnya adalah untuk berdakwah sambil berniaga. Di Nusantara mereka tersebar ke berbagai kepulauan seperti Sumatera, Jawa, Semenanjung Malaya, Sulawesi, Mindanau, Kalimantan, Champa dan sebagainya.

Perjuangan zuriat Ahlul Bait itu telah terbukti daripada pertumbuhan dan perkembangan Islam di Alam Melayu ini, seperti Wali Songo sebagai pendakwah Islam di Tanah Jawa. Begitu juga, ulama-ulama yang berdakwah di Semenanjung Malaysia seperti di Terengganu. Sebahagian besarnya adalah Ahlul Bait daripada keluarga al- ‘Idrus. Di Johor, ulama-ulama Ahlul Bait daripada keluarga al-Saggaf, al-‘Attas, manakala di Pahang, sebahagian ulama daripada Ahlul Bait yang menyebarkan Islam di sana adalah terdiri daripada keturunan keluarga al-Yahya.

Seterusnya, zuriat Ahlul Bait itu berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Sebahagian penting di kalangan mereka merupakan ulama yang terkenal sehingga dengan kemasyhuran mereka menyebabkan penduduk tempatan teruja. Ada yang dilantik sebagai Sultan untuk mentadbir sesebuah daerah di mana mereka berada ketika itu, seperti yang berlaku pada Kesultanan Kalimantan Pontianak, Kesultanan Perlis, dan sebagainya.

Gelaran Ahlul Bait di setiap pulau atau negeri pula berbeza-beza seperti di Indonesia, Ahlul Bait lebih dikenali dengan panggilan Habib atau Sharif (untuk lelaki), Sharifah (untuk perempuan) dan ada juga yang lebih dikenali dengan nama panggilan keluarga seperti; al-Saggaf, al-Qudri, al-Yahya, al-Jamalullail, al-‘Attas, al-Kaf, al- Jufri, al-Habsyi dan sebagainya. Sedangkan di Semenanjung Malaysia, panggilan Ahlul Bait lebih dikenal dengan gelaran nama diawalnya dengan tambahan Syed, Sharifah dan ada juga dengan panggilan Ungku, Tuan, Wan dan sebagainya.

Sultan Adiluddin merupakan pengasas dinasti Raja Kelantan lama (termasuk Patani) yang pertama dari keturunan Rasulullah SAW. Baginda yang lebih terkenal dengan nama ‘Raja Loyor’ merupakan putera Datu Nik Jamaluddin ibni Wan Abul-Muzaffar, ibni Sultan Abu Abdullah, Raja Champa yang bergelar Wan Bo. Sultan Abu Abdullah, atau Wan Bo pula ialah putera kepada Sayyid Ali Nurul Alam bin Sayyid Jamaluddin Al-Hussein

Putera Sayyid Ali Nurul Alam yang bemama Sultan Abu Abdullah itu pula telah menjadi pengasas Raja Champa keturunan ahlul—bait mulai tahun 1471—1478M. Kesultanan Champa dari titisannya hanya dapat bertahan selama empat generasi sahaja, iaitu sehingga period pemerintahan datuk Long Baha, iaitu Nik Ibrahim (Po Nrop). Long Baha ialah raja yang memerintah Patani dalam tahun 1710-1715M, kemudiannya menjadi Raja Kelantan pula dalam tahun l7l9—1733M. Keturunannya bersambung—sambung menjadi raja Kelantan hingga ke hari ini.

RAJA-RAJA ISLAM PIMPIN PERALIHAN KEPADA KHALIFAH AL-MAHDI

Kesimpulannya, InsyaAllah dalam zaman peralihan kelak, Raja-Raja Islamlah yang akan menjadi simbol kesatuan dan kekuatan ummah, serta bertindak sebagai peneraju utama dalam mengharungi berbagai pergolakan hebat dengan musuh-musuh agama dengan dokongan alim-ulamak, sehingga sampai masanya untuk menyerahkan panji-panji agama kepada Al-Mandi AS apabila is dinobatkan sebagai khalifah ummah. Begitulah halnya yang terjadi apabila Allah melantik Thalut sebagai raja bagi kaum Bani Israil untuk memerangi Jalut.

Allah SWT telah menobatkan Thalut dengan menganugerahkannya Peti Thabut sebagai tanda zahir penobatannya. Begitu juga bagi wira Islam yang agung, iaitu Sultan Salahuddin Al Ayubbi yang terkenal atas kegigihannya menerajui jihad Islami dalam Perang Sabil sehingga Allah SWT memberikan umat Islam kemenangan dan merampas kembali Baitul Macidis dari tangan orang Nasrani. Salahuddin berjuang atas platform Institusi Beraja dimana beliau sendiri menjadi Raja Mesir di waktu itu dan dinobatkan melalui pemberian alat-alat kebesaran khalifah. Maharaja India yang terkemuka, iaitu Sultan Auarangzeb memimpin umat Islam di India mencapai mercu.

Di Alam Melayu, raja-raja seperti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Acheh), Sultan Babullah (Ternate), Sultan Fatah (Jawa), Sultan Saiful Rijal (Brunei), Sultan Maulana Yusuff (Sultan Banten), Sultan Ahmad Tajuddin (Kedah) dan ramai lagi, semuanya menggempur penjajah kuffar sehingga diberikan kemenangan gemilang oleh Allah SWT. Semua mereka ini merupakan raja-raja Islam yang bernobat mengikut amalan tradisi.

Kesimpulannya, Institusi Beraja insyaAllah akan menjadi platform yang diperlukan dalam perjuangan kita menentang musuh-musuh Islam di zaman peralihan yang bakal menjelang kelak. Oleh itu seharusnyalah Institusi yang sakaral ini diperkuat dan dipertahankan dengan segenap daya upaya kita sebagai persiapan dalam mengharungi zaman yang serba mencabar itu. Selainnya tunggu sahajalah takdir dari Allah sendiri untuk menobatkan kepimpinan ummah samada daripada Raja-Raja Islam hari ini mahupun pewaris-pewaris dari dinasti raja-raja terdahulu, khususnya yang bertitisan ahlul-bait Rasulullah SAW itu.

Sesungguhnya bukanlah suatu kebetulan bahawa Allah SWT tetap memelihara Institusi Beraja Islam sejak zaman-berzaman walaupun cuba dihapuskan dengan segala kekuatan dan kesatuan musuh-musuh agama. Dan juga bukanlah rahsia lagi terdapat gerakan politik yang dipelopori DAP yang cuba menjatuhkan pemerintahan beraja apabila mereka beroleh kekuasaan kerana instituisi rajalah yang menjadikan Islam sebagai ugama rasmi dalam perlembagaan persekutuan. Dan bukanlah suatu kebetulan pula bahawa kebanyakan daripada Institusi Beraja ini, balk di bumi maghrib (barat), mahupun di bumi masyriq (timur) adalah daripada dinasti-dinasti yang bertitisan dari Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasululah SAW.

http://petunjukzaman.blogspot.my/

Pemandu Myvi dikejar 7 kereta polis, bagaikan adegan filem ‘Fast & Furious’

Petrajaya: Bagaikan adegan filem ‘Fast & Furious’, seorang lelaki dan wanita gigih melarikan diri dari ditahan polis gara-gara tidak memiliki lesen memandu dalam kejadian di Taman Lebunda, di sini, semalam.

Suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu itu dikejar oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV) kira-kira jam 4 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Abdul Rahman Yaakub.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, ketika pihak polis cuba menahannya, suspek lelaki yang berusia 22 tahun itu tidak mengendahkan arahan dan terus memecut melarikan diri.

Ekoran itu, sebanyaki tujuh buah kereta peronda terpaksa mengejar suspek selama lebih dua jam. Bagaimanapun, suspek akhirnya memasuki jalan mati di Taman Lebunda dan terpaksa menyerah diri.

“Pemeriksaan mendapati, suspek enggan memberhentikan keretanya kerana bimbang ditahan polis kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Difahamkan, suspek turut melanggar tiga buah kenderaan lain ketika di dalam cubaan melarikan diri.

Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – Mynewshub
-kualalumpurpost

Jangan cabar saya, saya tahu semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah, amaran bekas pengarah SPRM kepada pemakan dedak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa bekas pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) badan itu, Datuk Bahri Mohd Zin tidak menyatakan beliau memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International seperti yang dilaporkan.

Dalam satu kenyataan media, suruhanjaya itu berkata Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan itu.

“Berhubung kenyataan di sebuah portal media hari ini bahawa Datuk Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International (SRC) tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM telah menghubungi beliau dan Datuk Bahri menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada portal tersebut.”

Ketika dihubungi Malaysiakiniuntuk reaksinya, Bahri berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.

“Menggunakan sumber belum masak orang ketiga dan buat ‘judgement syok’ sendiri.

“Tunggulah kenyataan dari mulut saya sendiri,” katanya.

Bekas pengarah itu juga mengulas laporan berita yang mengaitkan persaraannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga komen oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam laporan berita itu, portalFMT yang memetik sumber yang rapat dengan siasatan 1MDB mempersoalkan masa persaraannya.

'Pemakan dedak ada di mana-mana'

Menurut sumber itu, jika kes SRC adalah alasan Bahri berasa bersalah, beliau sepatutnya meletak jawatan tahun lalu atau pada 2015.

Bagaimanapun bekas pegawai kanan SPRM itu hanya tersenyum mendengar hujah itu.

“Pemakan dedak ada di mana-mana, di luar sana mahu pun dalam jabatan-jabatan kerajaan,” katanya.

Beliau juga membidas Abdul Rahman kerana mengadilinya tanpa fakta yang tepat.

“Tapi Rahman Dahlan dah adili saya tanpa merujuk kepada sumber asal iaitu saya sendiri.

"Maka berkewajipan bagi saya lepas pulih dari sakit nanti saya akan jawab satu persatu apa yang Pak Menteri itu tulis mengenai saya.

“Biar rakyat pula yang menjadi pengadilnya,” katanya.

Bahri turut memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mencabarnya.

“Saya cukup pantang kalau orang pukul curi saya, dulu masa kes SRC Internation tengah memuncak ada sorang bekas ketua menteri membantai saya secara tidak adil...

“Jangan cabar saya. Saya tahu semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah.

“Ya, pengamal rasuah dan jangan cuba nak jadi juara kepada rakyat di luar sana,” katanya lagi.

Sarang labah-labah

Bahri petang tadi mengesahkan beliau “kecewa” dan tidak mahu lagi berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah" yang hanya memerangkap pesalah kecil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan kenyataannya di FMT bahawa beliau kecewa dan berasa amat berdosa kepada rakyat Malaysia “kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah”.

Bahri, yang memainkan peranan utama dalam siasatan SRC, bekas anak syarikat 1MDB, memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas tiga tahun lagi.

Pegawai kanan kerajaan itu memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata tidak tahu menahu wang berkenaan berasal dari SRC walaupun syarikat itu milik kementerian kewangan. Perdana menteri juga menjawat tugas sebagai menteri kewangan pertama.

Sementara itu, SPRM mengesahkan bahawa bekas pengarah membuat permohonan kepada kerajaan untuk bersara awal enam bulan lalu.

Suruhanjaya itu berkata permohonan itu adalah mengikut peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam di mana seorang pegawai kerajaan yang mahu bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh persaraan.
-malaysiakini

'Apa dosa kami, kenapa kami diperlakukan begini?'

MOHD HAFIZ ISMAIL
Saifuddin (kiri) dan Seema adalah antara anak-anak Syria malang yang terpaksa melarikan diri dan kini berada di rumah perlindungan Reyhanli, Turki.

HATAY - Seorang remaja Syria, Mohammad Akhtar, 17, kini tinggal di bandar Reyhanli adalah antara mangsa kekejaman rejim Bashar al Assad.

Serangan udara dua tahun lalu, mengakibatkan dia kini cacat kekal selepas kaki kanannya hancur selain mengalami kecederaan teruk pada anggota badan.

Menurutnya, sehingga kini dia tidak dapat menerima hakikat kehilangan anggota badan kerana kecederaan teruk.

Bukan hanya dirinya ditimpa malang, malah adiknya, Saifuddin Akhtar, 4, turut kehilangan kedua-dua kaki sewaktu kejadian berkenaan.

Sepanjang tinjauan tersebut, Saifuddin tidak boleh mendengar bunyi bising meskipun percakapan dalam nada yang tinggi.

Ternyata serangan bom dari udara itu menyebabkan dia trauma teruk sehingga kini.

Lebih menyedihkan, Muhammad turut kehilangan dua orang adik.

“Dua adik yang telah menemui penciptaNYA. Ibu ayah dan adik-adik lain masih ada di sisi saya.

“Apa dosa kami dan kenapa kami diperlakukan sebegini?

"Saya kehilangan adik beradik, kawan dan saudara,” katanya dalam nada sayu.

Muhammad berkata, dia tiba bandar Reyhanli dengan menaiki bas dan menjadi pelarian di Turki.

“Alhamdulillah ada pihak sudi menyediakan tempat tinggal bagi kami sekeluarga di sini.

“Kami tinggal bersama rakyat Syria yang mengalami kecederaan dan kecacatan akibat peperangan,” katanya.

Ditanya adakah dia mengikuti sesi persekolahan, Muhammad menggeleng dan memberitahu dia ingin sekali bersekolah.

“Saya tidak ada duit macam mana mahu ke sekolah. Ayah dan ibu pula tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, penjaga rumah perlindungan bagi mangsa peperangan Syria, Abu Samah berkata, sehingga kini seramai 16 orang berada di bawah jagaannya.

“Namun begitu, kami mengalami masalah kekurangan dana untuk menguruskan rumah ini. Sudah tiga bulan sewa rumah tertangguh sebanyak AS$1,000.

“Ditambah pula dengan musim sekarang (sejuk) kita perlukan lebih wang bagi membeli arang dan membayar elektrik bagi tujuan memanaskan badan,” katanya.

Abu turut berharap agar rakyat Malaysia sudi menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Kami makan apa sahaja yang ada. Ada masa kita terpaksa makan menu sama seperti roti dan tomato,” katanya lagi.

Lelaki maut badan putus dua (Gambar)


Johor Bahru – Lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Yahya Awal di sini, semalam

Dalam kemalangan 9 pagi itu, mangsa yang bekerja di hotel di Singapura maut dalam keadaan ngeri apabila badannya terputus dua.

Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Bahru Selatan, Superintendan M Kumar berkata, mangsa yang berusia 28 tahun itu maut di lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Jalan Hutan Bandar di sini menuju ke Jalan Lingkaran Dalam, gagal mengawal motosikalnya.

“Akibat kegagalan mengawal motosikal ditungganginya, mangsa kemudian masuk ke laluan bertentangan yang mana ketika itu datang kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak sempat mengelak, lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat pertembugan itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah badannya terputus dua,” katanya.

Menurutnya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-kualalumpurpost

Sudah bersediakah?: 50,000 pekerja akan dibuang tahun ini?

Arif Atan
Ekoran pertumbuhan perlahan yang dialami industri sejak Ogos 2015, puluhan ribu pekerja menjengah tahun 2017 ini diramal akan hilang sumber pendapatan akibat diberhentikan majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), MEF, Datuk Samsuddin Bardan menjangkakan jumlah pekerja terbabit akan terus meningkat antara 45,000 hingga 50,000 orang.

Dipetik daripada laporan Free Malaysia Today (FMT), beliau berkata, sektor teknologi kewangan (Fintech), teknologi insurans (Insurtech), pembuatan dan pembinaan menyaksikan risiko tinggi pemberhentian kerja ekoran kemerosotan kadar permintaan.

Langkah membuang pekerja, jelasnya, didorong oleh kesukaran syarikat meraih keuntungan akibat kelemahan produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan serta eksport.

"Ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi di negara pengeksport utama, termasuk negara Eropah, Amerika Syarikat, China dan Jepun yang mengakibatkan pasaran eksport lemah.

"Dalam pasaran tempatan pula, harga barangan dan perkhidmatan akan naik menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat dan pengguna berwaspada ketika berbelanja," jelasnya.

Pada masa sama, Samsuddin memberitahu, kadar kenaikan gaji di kebanyakan syarikat tidak tinggi bahkan lebih rendah berbanding kadar kenaikan tahun ini.

Menurutnya, kadar kenaikan gaji bagi pekerja bukan eksekutif tahun ini ialah 5.51 peratus dan tahun depan dijangkakan 5.43 peratus manakala kadar kenaikan gaji bagi eksekutif pula ialah 5.55 peratus tahun ini tetapi mungkin naik sekitar 5.3 peratus sahaja tahun hadapan.

"Pendapatan dan keuntungan kebanyakan majikan terjejas dan dijangka mengalami penurunan 30 hingga 40 peratus tahun ini berbanding tahun 2015.

"Cabaran terbesar majikan pada tahun depan ialah bagaimana mengekalkan prestasi perniagaan dan jumlah pekerja ketika modal berniaga semakin meningkat," ujar Samsuddin lagi.

Ringgit jatuh teruk

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan ringgit akan bergerak dalam turun naik yang tidak menentu pada tahun depan akibat ketidaktentuan di pasaran global.

Firma penyelidik itu dalam nota penyelidikannya semalam mengunjurkan ringgit dijangka bergerak hampir tidak berubah pada tahun 2017 dan mencecah paras 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun depan.

Ringgit menyaksikan terus berdepan tekanan apabila sekali lagi mencecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 apabila dibuka pada 4.4783 berbanding dolar AS, sebelum mencecah 4.4838 pada sesi dagangan semalam.

Menurut perangkaan Bloomberg, kedudukan tersebut adalah paras terendah sejak Januari 1998.
-malaysiadateline.com

Bekas pegawai kanan kecewa SPRM hanya mampu tangkap pesalah kecil lepas pesalah besar

Bahri tak rela berkhidmat untuk 'sarang labah-labah'

Bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin, mengesahkan beliau memilih meninggalkan agensi penguat kuasa itu lebih awal kerana kecewa.

Bercakap kepada Malaysiakini, Bahri menjelaskan, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.

Lebih daripada itu Bahri yang pernah bersumpah dengan nama Allah apabila pegawainya ditahan polis berkata, beliau tidak lagi wajar berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah".

Ditanya apakah maksud kenyataan itu, Bahri menjelaskan, undang-undang labah-labah hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.

"Terlalu banyak wang yag hilang. Saya tak patut berkhidmat dalam undang-undang sarang labah-labah," katanya.

Pagi tadi Malaysiakini melaporkan Bahri mengambil keputusan bersara lebih awal daripada SPRM walaupun masih boleh berkhidmat tiga tahun lagi.

Beliau yang sebelum ini mengetuai Bahagian Siasatan Khas (BOK) di SPRM menjadi tumpuan ketika pegawai agensi terbabit menyiasat SRC International yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.
Pernah dipindah serta-merta

Sejumlah RM42 juta wang dari SRC didakwa dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak selepas dipindahkan kepada dua syarikat berasingan.

Bagaimanapun perdana menteri mendakwa beliau tidak tahu menahu wang itu adalah dari SRC.

Selain beberapa pegawai BOK ditahan polis, Bahri, 58, juga diberikan diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri melalui notis serta-merta.

Tindakan itu dianggap berpunca daripada kenyataan Bahri yang berikrar untuk mencari dalang di sebalik penahanan anggotanya "sehingga ke lubang cacing".

Satu majlis meraikan persaraan Bahri dan beberapa pegawai lain di SPRM diadakan Jumaat lalu namun beliau dilaporkan tidak menghadirinya.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.
Akhir tahun lalu, enam pegawai kanan BOK yang terlibat secara langsung dalam siasatan SRC juga dilaporkan dipindahkan ke bahagian lain atau bertugas di peringkat negeri.

Malaysiakini pada 31 Disember 2016 seorang daripada mereka ialah orang nombor dua di BOK, Tan Kang Sai.

Dua daripada pegawai terbabit dipindahkan pada Oktober, manakala yang lain pada Disember lalu.
-malaysiakini