"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SOP baru kawal pergerakan jika PKP tamat 28 April, kata Ismail Sabri

Faiz Zainudin
PUTRAJAYA:
Kelonggaran penuh tidak akan diberikan jika perintah kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 28 April.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) baru akan diperkenalkan dan orang ramai masih lagi terikat dengan syarat baru bukannya bebas seperti sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Beliau membuat peringatan itu ketika diminta mengulas dakwaan terdapat beberapa pihak, termasuk syarikat penerbangan mula menawarkan promosi jualan tiket selepas PKP dijadualkan tamat pada 28 April ini berdasarkan keputusan awal kerajaan.

Ismail turut memaklumkan, beliau tidak tahu sama ada PKP akan ditamatkan pada 28 April ini atau ia dilanjutkan.

“Syarikat penerbangan hanya boleh beropersi apabila dibenarkan oleh kerajaan. Walaupun mereka jual tiket, operasi mereka akan ditentukan kerajaan. Kalau syarikat mula jual, kalau sampai tarikh itu kerajaan tidak benar, kita tidak akan benar,

“Kalau PKP ini tamat sekalipun, ada SOP tertentu yang akan kita perkenalkan. Bukan bermakna bila PKP tamat 28 April, esok terus boleh bebas seperti hari-hari sebelumnya. Masih ada lagi SOP tertentu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat khas menteri-menteri dengan pihak berkepentingan dalam mendepani Covid-19 di sini, hari ini.

Rakyat terus degil, jumlah tangkapan naik mendadak

Ismail berkata, pada hari kedua pelaksanaan PKP fasa 3 semalam jumlah tangkapan naik mendadak dengan 1,565 individu ditahan kerana ingkar arahan berbanding 1,057 pada hari sebelum itu.

“Daripada jumlah itu, 1,381 individu direman dan 184 dijamin polis. 544 individu juga didakwa di mahkamah,” katanya.

Jumlah kumulatif individu ingkar PKP sehingga semalam, adalah 13,639 orang.

“Semalam sahaja sebanyak 585,250 kenderaan diperiksa. Ini bermakna banyak lagi kenderaan di atas jalan, lebih banyak daripada hari sebelumnya,” kata beliau.

Tidak benar balik kampung sambut Ramadan

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihak polis akan menambah jumlah sekatan jalan raya susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan.

Selain sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan, ia juga bertujuan menghalang mereka yang berniat untuk pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan.

“Polis akan menambah sekatan jalan di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar PKP bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkat.

“Kita jangka ada ura-ura mereka mahu pulang ke kampung sambut puasa, jadi kita akan pertingkat kawalan, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar,”katanya.

Dalam sidang media sama, Ismail turut memaklumkan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu.

“Daripada jumlah tersebut 152 kes masih dalam siasatan, manakala 24 kes didakwa di mahkamah dan 13 mengaku salah, 11 diberi notis amaran, manakala 33 kes tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Individu guna pengangkutan udara terikat SOP ketat

Ismail berkata, penerbangan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA tidak dibenarkan beroperasi, kecuali penerbangan seminggu sekali ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun penerbangan domestik bagi semenanjung dibenarkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dengan hanya perkhidmatan Firefly.

“Semalam seramai 479 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan,” katanya.

Ismail berkata, individu yang menggunakan pengangkutan udara tetap terikat dengan SOP kawalan pergerakan dan perlu mendapat kebenaran polis.

“Polisi kerajaan berhubung pergerakan antara negeri masih kekal sama, iaitu ia tidak dibenarkan kecuali mendapat surat kebenaran daripada pihak polis.

“Pergerakan antara negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan. Surat kebenaran ini boleh diminta di balai polis.

“Semua perjalanan darat atau udara hendaklah mendapat kebenaran polis,” katanya sambil memaklumkan, pergerakan orang ramai tidak boleh melebihi jarak 10 km dari rumah masing-masing.

SUBHEAD: Majikan paksa pekerja pulang ke bandar dikenakan tindakan

Ismail berkata, mana-mana majikan yang memaksa pekerja pulang dari kampung untuk bekerja akan dikenakan tindakan kerana melanggar PKP.

“Mereka tahu perjalanan merentasi negeri tidak dibenarkan. Kita akan ambil tindakan ke atas majikan jika ini berlaku,”katanya.

Timbalan menteri dan exco Perak bukan sahaja makan sekali bahkan mereka solat berjemaah

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang memaparkan gambar-gambar beliau menyertai satu jamuan makan di Lenggong Perak melalui hantaran di Facebooknya mendapat kecaman meluas daripada pelbagai pihak.

Tindakan beliau disifatkannya sebagai tidak menunjukkan contoh yang baik, sekali gus melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

Noor Azmi dilaporkan menyertai satu jamuan makan yang dihadiri lebih daripada 30 orang di bangunan sebelah rumah Adun Semanggol, Razman Zakaria di Lenggong Perak sempena lawatan beliau ke Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI) di Kg Luat.

Namun mengikut maklumat Pusat Khidmat Adun Semanggol melalui hantaran di media sosialnya semalam, Timbalan Menteri itu bukan sahaja menyertai majlis jamuan makan yang disediakan, bahkan turut mengerjakan solat Asar secara berjemaah.

“Di kesempatan ini YB Exco dan YB Timbalan Menteri turut menyempurnakan solat Asar secara berjemaah dengan diimamkan oleh Hj. Razman.

“Seusai solat YB dan rombongan dihidangkan jamuan nasi berlauk resepi tempatan antaranya ikan ‘Tengalan; bakar dan ikan masak ‘pindang’ berbungkus,” menurut kenyatan itu.

Hari ini, menurut laporan BH, 10 lelaki yang sedang menunggu waktu untuk mengerjakan solat Isyak berjemaah di Masjid Sayong Tengah, di Kuala Kangsar, semalam telah ditahan pihak berkuasa kerana melanggar PKP.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata penahanan suspek yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 76 tahun itu dibuat dengan kerjasama penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah hasil pemantauan dan maklumat dari orang ramai.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini berkata, sesiapa sahaja yang didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan PKP, akan berdepan hukuman dua tahun penjara.

Covid-19: Singapura catat 942 kes baru dalam sehari

Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan 942 kes baru Covid-19, yang menjadi jumlah tertinggi kes baru dalam sehari, menurut Reuters.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di republik itu setakat ini kepada 5,992 kes.

Majoriti daripada 942 kes baru itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut laporan itu lagi, pihak berkuasa Singapura berjaya mengurangkan penularan wabak itu di kalangan warga dan penduduk tetap dengan hanya 14 kes setakat ini, menerusi pemantauan dan pengesanan kontak.

Bagaimanapun penularan masih berlaku di kalangan komuniti pekerja asing, dengan kumpulan hak asasi menyifatkannya sebagai satu kelemahan dalam usaha mengekang wabak itu.

Menurut Bernama, Singapura mencatatkan 5,050 kes positif, di mana 3,267 diklasifikasikan sebagai penghuni asrama, 258 melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama, 956 kes masyarakat tempatan dan 569 kes diimport.

Sebilangan besar penghuni asrama yang terjejas adalah dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Setakat ini seramai 11 pesakit telah terkorban akibat Covid-19 di negara itu.

Covid-19 di Malaysia: 54 kes baru, 58.5% pulih, 2 lagi korban

Malaysiakini
Malaysia mencatat jumlah pertambahan kes Covid-19 harian kurang daripada 100 buat kali ketiga minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya hari ini berkata, setakat tengah hari tadi, terdapat 54 kes baru yang dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,305 kes.

Dengan mengambil kira 3,102 kes pulih termasuk 135 hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,115 kes.

Bagaimanapun, dua lagi kematian baru dikaitkan dengan wabak itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban keseluruhan adalah sebanyak 88.

Berikut merupakan dua kes kematian terbaru:


  • Kes kematian ke-87 (kes ke-2657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 3.20 petang.
  • Kes kematian ke-88 (kes ke-5252) merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Selayang pada 17 April 2020 dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru- paru Severe Acute Respiratory Infection (SARI). Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada jam 10.00 pagi

Dalam sidang medianya hari ini, Noor Hisham mengingatkan agar semua pihak tidak salah erti dengan penurunan jumlah kes beberapa hari ini sebagai wabak Covid-19 hampir selesai.

Sebaliknya, beliau menyeru agar semua pihak terus mematuhi PKP.

Rakyat bingung dengan PN?

ISMAIL HASHIM YAHAYA
Jika rakyat menyanjungi kerajaan “tebok atap” (Kata-kata daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, Malaysia Dateline, 16 Marh 2020) Perikatan Nasional (PN) berikutan dua rangsangan pakej ekonomi dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, rakyat tentu tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di sebalik topeng Covid-19 ini?

Beberapa perkembangan politik yang berlaku menunjukkan seolah-olah persediaan PN berhadapan dengan era pasca Covid-19 yang dirasakan tidak lama lagi. Ini berdasarkan kerancakan pergerakan dan strategi politik belakang topeng Covid-19.

Terdapat tiga perkara yan membingungkan rakyat. Pertama pesaingan dalaman parti Bersatu, kedua pemberian jawatan GLC atau agensi kerajaan kepada ahli parlimen dalam situasi kritikal sekarang dan ketiga, kritikan pedas parti gabungan muafakat nasional.

Pertama, melalui berita dari media atas talian, rakyat pun dapat membaca dan menilai sendiri permainan dan percaturan politik yang sedang bergerak pantas bertujuan mengukuhkan kerajaan dalam berhadapan dengan politik pasca Covid-19.

Rakyat akan gusar apabila membaca di tengah-tengah pergelutan penularan Covid-19 dan isu PKP, berlaku pertandingan merebut kerusi presiden Bersatu antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pencabarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Di samping itu bergelut pula pertandingan merebut kerusi timbalan presiden Bersatu juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas setiausaha agung Marzuki Yahaya dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Terdapat kerancakan dalam mempertahankan jawatan ketua armada dan calon yang bertanding kerusi tersebut. Pertandingan ini antara bekas Menteri Sukan dan pengawal khasnya.

Kedua, di tengah kegelisahan rakyat dengan PKP oleh batasan pergerakan, PM bertungkus lumus menukar semua jawatan GLC yang ada sekarang untuk diberikan kepada ahli parlimen. Sedangkan negara kita sedang menghadapi pandemik COVID-19 tetapi PM terus juga melakukan pertukaran di kala ini.

Skala serta skop perubahan dalam kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup membingungkan rakyat. Apa yang berlaku sekarang mana yang lebih diutamakan Covid-19 atau perlantikan ahli politik ke jawatan pengerusi, pengarah atau jawatan kanan tersebut. Manakah yang lebih terdesak dan mendesak?

Kadar perubahan pantas lebih mengejutkan rakyat memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurut Terence Gomez, Profesor Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, jumlah jawatan pengarah GLC yang dapat diberikan kepada ahli politik sangat besar, ia merupakan jalan utama untuk menenangkan wakil rakyat yang tidak berpuas hati kerana tidak dilantik ke dalam jemaah menteri.

Pada awalnya, kita tidak sedari tetapi apabila diteliti dengan halus, rupa-rupanya PM kena pastikan yang kesemua 112 ahli parlimen bersamanya untuk berhadapan dengan sesi Dewan Rakyat apabila dibuka nanti. Rakyat tentulah bingung dengan keadaan ini, sudahlah ada 73 menteri dan timbalannya kemudian dilantik pula ahli politik ke dalam Khazanah yang menjaga duit negara, dan ke jawatan ke GLC.

Tujuannya bagi memastikan semua ahli parlimen yang bersama PN mendapat balasan jawatan sewajarnya dan ini juga melalui perlantikan ke jawatan pengerusi GLC. Ini dilakukan supaya untuk kekal menjadi PM dalam kerajaan PN perlu ada 112 kerusi parlimen. Ini bagi mengelakkan kebimbangan semasa sidang parlimen nanti Muhyiddin akan menjadi PM yang paling singkat dalam sejarah negara.

Pada zaman edan ini, dalam berhadapan dengan keadaan kritikal sekarang, Muhyiddin pada masa yang sama harus memikir dan menyusun atur strategi agar kesemua ahli parlimen tersebut mempunyai jawatan besar didalam GLC.
Bagi saya adalah hak kerajaan hendak melantik sesiapa pun untuk memegang jawatan pengerusi GLC atau jawatan kanan dalam agensi kerajaan tetapi mestilah seseorang ahli politik yang dilantik itu adalah bersih, bebas daripada tuduhan kes rasuah, berkelayakan sekurang-kurang berpengalaman atau ada kaitan dengan bidang perlantikan dan harus melalui tapisan oleh ahli jawatankuasa tertentu misalnya.

Kerajaan harus mempunyai tanda arasnya dan perlantikan sekarang semacam tergesa-gesa demi kepentingan dan survival PM dan PN.

Badan apakah yang akan memantau cara pengurusan ahli parlimen tersebut dalam mengendalikan GLC atau agensi kerajaan bagi memastikan tiada rasuah politik, wang atau seumpamanya. Adakah SPRM dapat menjalankan tugasnya dengan telus? Jika bertujuan sekadar mendapat sokongan ahli parlimen kepada kedaulatan PN maka tiada tanda aras atau kelayakan sesuai diperlukan, cukup sekadar jaminan mendapat sokongan di Dewan Rakyat nanti.

Sehubungan itu bekas menteri perdagangan antarabangsa dan perindustrian, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan kekecewaannya dengan tindakan kerajaan PN melantik ahli-ahli parlimen mengetuai syarikat GLC.

Beliau berkata “sesetengah orang” yang mentadbir negara seharusnya kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.”Bukan hanya dengan melantik individu ke mana-mana jawatan kosong, dikosongkan, atau jawatan yang diwujudkan.

“Tetapi untuk mentadbir berpandukan integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan, tidak dipandu oleh cita-cita dan matlamat peribadi untuk menjejaskan negara,” kata Rafidah dalam kiriman Facebooknya.

Ketiga, berlaku keretakan dalam gabungan PN. Ini jelas membingungkan rakyat kerana di tengah kekalutan berhadapan masalah ekonomi, rakyat bergelut dengan kurangya pendapatan takut akan kehilangan pekerjaan terutamanya bagi mereka yang di bawah B40, muncul pula kritikan dan serangan yang dibuat oleh para pemimpin dan menteri Umno terhadap rakan-rakan mereka dalam Kabinet PN.

Serangan ditujukan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini adalah perancang utama kerajaan ini.

“MITI dah nak jadi super ministry ke?” tanya veteran Umno, Tan Sri Shahril Samad menegur langkah Azmin yang mengumumkan pelbagai perkara yang bukan di bawah kawalan kementerian itu. (Malaysia Dateline, 16 April 2020)
Dalam hubungan itu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga menghalakan senjatanya kepada Azmin apabila MITI mengumumkan kebenaran beberapa sektor pekerjaan yang melibatkan warga asing dibuka ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing,” kata Asyraf.

Selain Azmin, pemimpin Umno juga menghalakan serangan mereka kepada pemimpin Bersatu yang lain manakala MCA pula mula menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Pas. Datuk Azalina Othman Said terus menerus membuat serangan kepada Bersatu Iitu terhadap Datuk Seri Rina Mohd Harun. Tan Sri Annuar Musa pula mengkritik dan terus mensekolahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal yang terasa berada dalam Kabinet walaupun hanya timbalan menteri.

Serangan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting terhadap Timbalan Menteri Wanita, Siti Zailah Yusof dari Pas tidak mengejutkan walaupun ia kemudiannya ditarik balik selepas tersedar. “Maaf cakap, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM.

“Hanya berdiam diri terhadap sikap kasar suami? Ini tidak boleh diterima,” tulis Nicole. Bagaimanakah PN yang bercadang membina rangka bangunan daripada buluh tiba-tiba lantainya sudah retak? Rakyat makin berserabut dengan perkembangan ini, apa yang berlaku sekarang?

PAS diam membisu tidak memberikan sebarang ulasan adakah sudah berpuas hati dengan habuan yang diberikan. Pada masa yang sama Muhyiddin perlu bersaing dengan sikap berpuak di dalam Bersatu yang melemahkan, apalagi ketika pemilihan Bersatu semakin hampir.

Bagaimana sekiranya selepas tamat PKP dan redanya Covid-19 andaikan tarikh maksimum adalah bulan Jun, tiba-tiba pilihanraya mengejut diadakan Bagaimanapun ini juga bergantung kepada sidang Parlimen pada bulan Mei nanti.

Seandainya pilihan raya mengejut diadakan, rakyat yang sudahlah bingung akan terus terperanjat, ,sudahlah bosan dengan kerutinan PKP, keletihan barisan hadapan, keadaan atau situasi ekonomi yang tidak menentu, dalam hal ini PN tentu berhadapan dengan maslah besar pembahagian kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.

Calon-calon PPBM, Umno dan Pas tentunya memfokuskan kerusi-kerusi selamat untuk calon-calon mereka. Apakah formula yang akan digunapakai dalam perundingan dan siapa kah yang mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan muktamad dan terakhir?Dalam keadaan sekarang, adalah dipercayai bahawa TSMY masih buntu dalam menentukan strategi nya atas isu ini. (Malaysia Dateline 16 April 2020)

Sehingga artikel ini ditulis, Kerajaan PN masih belum mengumumkan struktur kepimpinannya, siapakah yang menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan ahli jawtaankuasanya. (Malaysia Dateline 16 April 2020)

Sehubungan itu tiada sebarang maklumat berkaitan dengan alamat Pejabat Urusetia. Apatah lagi logo PN dan risalah mengenai PN.

Tidak dinafikan PM perlu mengatur strategi bagi memantap dan mendaulatkan kerajaan PN yang tertubuh dari Langkah Sheraton dan ekoran kekosongan jawatan PM serta terlerainya PH selepas Bersatu keluar, jika tidak apakah guna dan erti segala usaha tersebut, walaupun meenggunakan pintu belakang.

Namun dalam keadaan kebingungan, kita tidak mahu rakyat akan berkata “Kami kecewa dengan PN.”


Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

PKP: Jangan tangkap rakyat marhaen saja, tangkap juga timbalan menteri dan exco Perak ni

Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Perak langgar PKP
MALAYSIA DATELINE


Aktivis Ridzwan Abu Bakar hari ini membuat laporan polis secara terbuka terhadap sekumpulan orang ramai yang tidak mematuhi standard yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-3 ini.

Beliau membuat laporan polis di Facebooknya ekoran melihat gambar yang dikongsi di dalam hantaran di media sosial.

“Saya Ridzwan bin Abu Bakar, no I/c 76121002** telah melihat dalam hantaran FB beberapa gambar perkumpulan ramai yang tidak mematuhi standar yang ditetapkan sempena PKP fasa ketiga ini,” tulis beliau.

Antaranya satu kumpulan ramai di Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang dihadiri lebih kurang 11 orang (berdasarkan gambar) yang bukan terdiri dari staff pejabat tersebut.

Satu kumpulan di rumah bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang dihadiri seramai lebih 20 orang (berdasarkan gambar) di mana kumpulan ramai itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri.

Dan satu jamuan makan yang dihadiri oleh lebih daripada 30 orang (berdasarkan gambar) di bangunan sebelah rumah Adun Semanggol Razman Zakaria di Lenggong Perak.

“Jamuan ini turut dihadiri oleh YB Norazmi (Timbalan Menteri Kesihatan) dan YB Shaarani (Exco Perak) selain dari YB Razman selaku tuan rumah,” ujarnya.

Beliau berpandangan, jika sekadar bermain telefon bimbit di luar rumah, berkumpul di padang bola dan bersembang di atas wakaf boleh dianggap melanggar PKP, sepatutnya berkumpul seperti ini juga wajar diambil tindakan.

Najib Razak vs Azmin Ali pula

MALAYSIA DATELINE
Selepas Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri Shahril Samad dan Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki, Penasihat Umno, Datuk Seri Najib Razak pula tampil menyerang Menteri Kanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Najib tidak berpuashati dengan beberapa langkah yang dibuat Azmin melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang disifatkannya akan memberikan lebih banyak ruang untuk menggagalkan usaha memutuskan rangkaian penyebaran Covid-19.

Bagi beliau, pergerakan trafik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke-3 masih lagi menunjukkan berlakunya kesesakan yang teruk.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesesakan itu dialami di sekatan trafik polis yang ditugaskan untuk mengawal PKP.

“Adakah ini akan menambah kerumitan dan beban kepada pihak polis dan tentera”? soal Najib di Facebooknya.

Ini kerana, katanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali menerima 12,360 permohonan dari syarikat-syarikat untuk beroperasi pada PKP fasa ke-3 ini.

“Katakanlah 50% dari 12,360 permohonan ini diluluskan dan katakanlah setiap syarikat yang dilulus ada 20 pekerja sahaja.

“Ini bermaksud 123,600 lagi pekerja yang akan diberikan pas,”kata Najib.

Jika itu berlaku, Najib berkata penambahan 123,600 buah kereta yang perlu diperiksa oleh pihak polis setiap hari.

Justeru, Najib mempersoalkan apakah langkah kerajaan untuk memastikan kesesakan di sekatan trafik tidak akan bertambah teruk.

“Dan adakah pusat perubatan pihak swasta kita mampu melakukan ujian Covid untuk 123,600 pekerja dalam tempoh baki 12 hari PKP fasa ke-3 ini?” soal Najib.

Sebelum ini, Azmin Ali berkata semua pekerja syarikat dalam sektor dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP tetapi diwajibkan menjalani saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Saringan kesihatan itu hanya boleh dilakukan di lebih 3,000 klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seluruh negara.

'Umno buli Muhyiddin' - Kadir Jasin

Umno sedang membuli Muhyiddin Yassin, kata tokoh wartawan A Kadir Jasin mengulas surat yang dikatakan dihantar Ahmad Zahid Hamidi kepada perdana menteri.

"Lihatlah macam mana Muhyiddin dilayan oleh Umno. Atau lebih tepat dibuli.

"Ini surat presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sendiri.

"Mula-mula bagi salam dan panjangkan doa. Lepas itu buat cadangan dan akhir sekali gugurkan bom," katanya malam ini pada suatu hantaran di media sosial.

Berdasarkan sepucuk surat ditandatangani presiden Umno dan dilihat Malaysiakini, parti itu misalnya menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah" tersebut.

Dalam surat sama, Ahmad Zahid turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, dicadang agar dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Rebut jawatan, kebulur

Turut disenaraikan dalam tuntutan berkneaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkang ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Kadir pada hari ini turut menjelaskan Muhyiddin kini berhadapan dengan berbagai-bagai tuntutan daripada parti komponen PN, khususnya mengenai pembahagian jawatan dalam kerajaan.

"Ini tuntutan yang kita tahu. Yang kita tidak tahu entah macam mana.

"PAS lagi teruk. Mula-mula seorang Menteri PAS (Takiyuddin Hassan) umum kata MP Perikatan Nasional yang belum ada jawatan akan dilantik ke GLC.

"Belum apa-apa seorang lagi Menteri PAS (Khairuddin Aman Razali) dah lantik member dia ke Lembaga Getah Malaysia," dakwa bekas penasihat kepada perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad itu.

Beliau juga menyoal jika ini cara PN mentadbir negara dengan membuang "golongan profesional dan berebut jawatan kosong macam orang kebuluran."

"Tak malu kah parti Bersatu tengok presiden dibuli oleh Umno dan PAS secara terbuka?" Soal Kadir.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan rasmi daripada Umno berhubung surat berkenaan, manakala salah seorang Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii menafikan kesahihan surat tersebut.

Sementara itu, Exco Armada Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menempelak Zahid, menggesa supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Muhyiddin kerana menjadi "hak prerogatif perdana menteri" untuk membuat lantikan.

"Zahid dan seluruh kepimpinan Umno perlu sedar begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Bersatu, terutamanya kepimpinan parti, khususnya Muhyiddin Yassin yang menyusun barisan eksekutif dan pimpinan di agensi serta GLC apabila ramainya adalah dari kepimpinan Umno. Maka jangan tamak!

"Maka sifat gila kuasa seakan Umno sahaja yang layak adalah suatu perlakuan yang tidak mencerminkan keharmonian dalam gabungan dan ini tidak seharusnya ditonjolkan dalam keadaan wabak yang sedang melanda," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Ashraf lagi, pimpinan Sabah dari Bersatu seperti Hajiji Noor, Masidi Manjun dan Mohd Arifin Mohd Arif dilihat lebih layak dan mempunyai kredebiliti daripada nama-nama yang dicadangkan oleh pihak Umno.

"Umno diminta jangan merumitkan lagi keadaan. Juga buat Muhyiddin Yassin, pohon jangan tunduk pada tuntutan Umno," tegas pemimpin Pemuda Bersatu itu.

Menteri PN akan jadi bahan ketawa kalau...

Malaysiakini
Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) mungkin menjadi bahan ketawa orang ramai jika berlaku pertelingkahan dalaman atau gagal menguruskan lantikan politiknya, kata Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad.

Katanya rakyat pada hari ini "terlalu cerdik" dan dapat melihat tingkah laku pemimpin kerajaan yang dianggap tidak wajar.

Misalnya, kata Iskandar, jika ada lantikan ke jawatan dalam kerajaan atau agensi kerajaan yang dibuat semata-mata atas pertimbangan politik.

"Selepas ini jika berlaku pertelingkahan dalam PN seperti zaman PH, menteri-menteri menjadi bahan gelak ketawa, atau pelantikan jawatan dalam kerajaan dan agensi kerajaan atas pertimbangan politik semata-mata, maka sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri.

"Rakyat hari ini terlalu cerdik. Tidak ada perkara yang dapat disembunyikan daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, antara isu yang menjadi buah mulut orang ramai ketika ini ialah pelantikan ahli-ahli parlimen PN ke jawatan tertinggi dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Hal itu berlaku selaras dengan pemberhentian atau penamatan pegawai-pegawai kanan lantikan PH, termasuk dalam kalangan golongan teknokrat atau profesional.

Semalam salah seorang veteran PAS, Mustafa Ali, juga membangkitkan isu yang sama.

Iskandar berkata kerajaan PN boleh diibaratkan seperti seorang askar yang berjalan di medan perang.

"Ada jalan yang selamat dan ada jalan yang bahaya kerana jelas terdapat periuk-periuk api.

"Hanya orang yang bodoh yang akan memilih jalan yang ditanam dengan periuk api.

"Tetapi kadangkala tindakan orang politik susah hendak difahami.

"Justeru jangan ada yang merasakan diri mereka kebal dengan memilih jalan yang penuh dengan bahaya," katanya yang juga bendahari PAS Pusat serta bekas exco kanan Selangor.

Zahid tuntut Muhyiddin lantik 4 pemimpin Umno Sabah

Atas nama semangat Perikatan Nasional (PN) Umno hari ini menuntut agar beberapa pemimpin parti itu dari Sabah diangkat menjadi pemimpin dalam kerajaan Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan sepucuk surat ditandatangani Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dilihat Malaysiakini, parti itu misalnya menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah" tersebut.

Untuk rekod Bung Moktar ialah ahli parlimen Kinabatangan dan sedang dibicarakan - bersama isterinya, Zizie Izette Samad - atas tuduhan rasuah. Sabah pula kini ditadbir oleh Warisan yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Dalam surat sama, Ahmad Zahid turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, dicadang agar dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Abdul Rahman adalah bekas calon BN untuk kerusi parlimen Sepanggar yang kalah kepada calon Warisan, Mohd Aziz Jamman. Pelantikan sebagai senator juga membuka jalan untuk Abdul Rahman kembali menjadi sebahagian daripada anggota kabinet PN.

Turut disenaraikan dalam tuntutan berkneaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkang ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

"Saya mengangkat cadangan Umno Sabah sebagaimana perbincangan yang telah saya adakan bersama kepimpinan Umno Sabah.

"Saya berharap YAB Tan Sri (Muhyiddin) dapat memberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya cadangan di atas bagi memperlihatkan kebersamaan mereka dalam kerajaan PN bukan hanya diperingkat pusat tetapi khsusunya diperingkat negeri Sabah," kata surat bertarikh 16 April itu.

Umno Sabah hampir terkubur selepas ramai wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti itu selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ekoran tindakan pemimpin utamanya meninggalkan Umno, parti itu melantik Bung Mokhtar sebagai pengerusi Umno Sabah.

Bung yang memimpin Umno Sabah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan 18 Januari lalu.

Terkejut kerajaan Melayu Islam halau Muslim Rohingya hingga maut di lautan

BORHAN AHMAD
Tindakan menghalau kapal yang membawa pelarian Muslim Rohingya sehingga menyebabkan mereka mati kelaparan di tengah laut tidak sewajarnya berlaku terutama kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan Kerajaan Melayu Islam.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, “Harap harap sangat berita ni tak benar !” sambil menyiarkan laporan Bernama tentang tindakan TUDM menghalang kapal itu dari masuk ke peraiaran negara.

Berita yang dirujuk oleh Hanipa.

“Jika benar saya rasa amat sedih,” kata Hanipa dalam satu kenyataan bertulisnya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, meskipun dilaporkan ada bagi makanan semasa mengiringi mereka keluar ( bagus dan alhamdulillah) “namun, bagi saya, lebih bagus jika lebih dari itu sebab ni katanya gomen melayu/Islam walau tebuk atap!”

Menurut Hanipa, semasa beliau dalam kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, kerajaan sangat bersifat kemanusiaan.

“Semasa saya dalam gomen dulu dan ada kesempatan banyak kali juga meeting dengan Tun.

“Saya berani kata saya amat impressed (bangga) dengan sikap kemanusiaan Tun yang saya anggap par excellence (hebat) khususnya dalam isu Rohingya walaupun dalam gomen Tun tu ada DAP!” katanya.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Tindakan menghalang kapal yang membawa umat Islam Rohingya dari berlabuh di negara ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya, 24 orang etnik Rohingya maut.

Menurut Reuters, kesemua mereka berada dalam sebuah kapal yang cuba memasuki perairan Malaysia namun dihalang mendarat, lapor pihak pengawal pantai Bangladesh pada Khamis.

Menurut Reuters, 396 penumpang yang lain telah diselamatkan setelah berada di laut selama kira-kira dua bulan.

“Mereka berada di laut selama dua bulan dan sangat lapar,” kata seorang pengawal pantai itu kepada Reuters dalam satu kiriman mesej.

Muafakat Nasional tidak seindah dibayangkan, Umno-Bersatu pula menunggu belah

AHMAD LUTFI OTHMAN
Asalnya Muafakat Nasional — gabungan longgar tapi mesra Umno-Pas — lebih cenderung kepada pilihan membubarkan Parlimen berbanding kerajaan tebuk atap, sejurus selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri, hujung Februari lalu.

Kedua-dua parti Melayu itu, dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, mendedahkan pendirian mereka menarik balik sokongan kepada Mahathir kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, yang turut mengandungi DAP.

Lama sebelum itu, Umno dan Pas percaya boleh mengambil alih kerajaan Persekutuan dalam PRU15, atas dakwaan majoriti pengundi, khususnya masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) kerana menyifatkan kedudukan Melayu-Islam semakin tergugat dan terancam.

Ditambah pula dengan sokongan pola pengundian pada PRU14, iaitu gabungan undi calon BN (Umno) dan Pas, untuk lebih kurang 30 kawasan Parlimen yang dimenangi PH, lebih banyak daripada calon bersimbolkan PKR itu. Ini bermakna, seolah-olah jika Umno dan Pas bergabung dan mengelak pertandingan tiga penjuru, 30 kerusi berkenaan akan direbut daripada PH.

Sekiranya Pas bersekutu atau bergabung dengan BN dalam PRU14, dengan andaian pengundi Pas tidak lari kepada PH, kerajaan BN dijangka tidak tumbang. Namun begitu, banyak penganalisis merasakan sokongan kepada calon Pas waktu itu turut dipengaruhi sentimen meluas anti-kleptokrasi kerajaan Najib Razak. Maknanya, jika Pas dilihat bersekongkol dengan BN, dijangka pengundi tradisinya akan menarik balik sokongan dan memilih pencabar terdekat regim itu, yakni PH.

Apa pun, untuk tujuan tulisan singkat ini, kita fokuskan kepada keupayaan dan kemampuan kerjasama antara Pas-Umno, menjelang PRU15. Apakah ia dapat bertahan kukuh, bagi mengekalkan kerajaan Melayu-Islam yang diperolehi secara pintu belakang pada awal Mac lalu, sekali gus bertambah keserasian dengan satu lagi parti Melayu, Bersatu?

Imaginasi saya pada awalnya, Umno mungkin lebih mudah membentuk persefahaman dengan Pas berbanding Bersatu. Walaupun perseteruan Pas dengan Umno sudah mengakar lebih enam dasawarsa, pendekatan parti Islam itu khususnya sejak 10 tahun lalu sudah berubah secara drastik.

Presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, walaupun pernah mencetuskan amanat yang cukup kontroversi, yang memisahkan masyarakat Melayu akar umbi, tetapi beralih kepada pendekatan lebih lunak terhadap Umno. Semangat kemelayuan, sebagai bangsa dominan negara ini, ditambah faktor DAP yang diperlihatkan sebagai ancaman bersama, mempertautkan mereka.

Begitu juga dengan Umno, parti itu nampak lebih mudah serasi (dan senang menguasai) Pas, berbanding Bersatu. Parti bunga raya yang kini menguasai Kabinet Muhyiddin-Azmin, lahir daripada rahim Umno, manakala lebih separuh ahli Parlimen Bersatu, asalnya wakil rakyat Umno yang menang atas tiket BN. Kedua-dua parti itu berkongsi idealisme, sensitiviti dan mimpi yang sama. Masing-masing arif dengan kelebihan dan kelemahan sendiri.

Menanti bonus

Di peringkat awal penubuhan Kabinet, pemimpin-pemimpin Umno secara terbuka melahirkan rasa tidak puas hati dengan komposisi jemaah menteri itu. Wakil Bersatu lebih menguasainya sedangkan bilangan ahli Parlimen Umno jelas menjayakan penubuhan kerajaan pintu belakang.

Selain perdana menteri, yang secara tradisinya memiliki senarai kuasa yang panjang, dua daripada empat menteri kanan daripada Bersatu, hanya seorang Umno dan bakinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, menteri Bersatu juga bertaraf menteri kanan paling kanan, dan akan mempengerusikan mesyuarat menteri jika perdana menteri tidak berada dalam negara. Selain itu, portfolio strategik juga dimonopoli Bersatu, seperti pendidikan, luar bandar, komunikasi, wanita, malah kewangan yang disandang seorang senator tentunya atas pilihan perdana menteri.

Rata-rata pemerhati melihat Kabinet Muhyiddin-Azmin ini adalah bersifat sementara. Pemimpin Umno hampir setiap hari membangkitkan rasa tidak puas hati dan meluahkan kritikan terbuka terhadap prestasi menteri-menteri khususnya daripada Bersatu.

Target Umno lebih kepada PRU15, dan membentuk kerajaan bersama Pas, MCA, MIC dan GPS. Ujian paling sukar adalah menyelesaikan isu agihan kerusi di antara ketiga-tiga parti Melayu, terutama Umno-Bersatu.

Malah untuk mengagihkan kerusi sesama Pas dan Umno pun tidak mudah, khasnya di Pantai Timur dan Kedah. Ini kerana parti-parti tersebut tertumpu di konstituensi yang sama.

Selain Bersatu, cabaran besar menunggu Umno di Terengganu. Mungkin persefahaman lebih mudah dicapai di Kelantan memandangkan negeri itu dikuasai Pas sejak 30 tahun lalu. Sedangkan Terengganu hanya ditawan Pas pada 1999 dan bertahan sepenggal.

Pada 2018, faktor kemarahan terhadap regim Najib Razak begitu meluas. Kecaman terbuka Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said kepada kerajaan negeri Pas ekoran bantuan pusat melalui wakil-wakil rakyat yang tidak seimbang, membayangkan Muafakat Nasional juga bakal berdepan masalah besar. Dan ramai maklum perwatakan Ahmad Said berdepan saingan politiknya!

Justeru, saya percaya, kerjasama Pas-Umno yang dikatakan bakal memenangi PRU15 akan digoncang isu pengagihan sumber kerajaan. Sementara menunggu bibit-bibit keretakan Umno-Bersatu yang dijangka lebih parah, hubungan dalam Muafakat Nasional juga teruji.

Namun begitu, Pakatan Harapan tidak boleh sekadar menanti bonus, gabungan parti itu juga perlu bingkas selepas kecewa dikhianati dan tangkas menampilkan khidmat-sumbangan terbaik pada waktu negara menghadapi pandemik Covid-19. Rakyat akan membuat penilaian kritis berdasarkan rekod kerja kedua-dua gabungan parti.

Azmin susahkan KKM putuskan rantaian jangkitan Covid-19

ARIF ATAN
Rata-rata masyarakat negara ini menganggap keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan tiga sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Ramai menganggap sia-sia ‘berkurung’ di dalam rumah sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu apabila Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu membenarkan sektor pembinaan dan industri berkaitan, elektrikal dan kejuruteraan serta industri mesin dan peralatan beroperasi.

“Orang yang patut ditangkap dan diluku kepala selepas PKP ini habis selain pesakit 136 adalah Azmin Ali. Menyusahkan orang sahaja,” kecam pengguna Facebook Benz Ali.

Alasan Azmin kononnya keputusan kementeriannya itu memanfaatkan dua juta pekerja rakyat tempatan juga dipertikai orang ramai.

Bahkan, bekas pemimpin PKR yang mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tidak mengambil iktibar daripada masalah besar yang sedang melanda Singapura.

Di negara seberang tambak itu, pekerja asing terpaksa ditahan di asrama yang tidur berhimpit kerana berlaku peningkatan Covid-19 dengan 386 kes direkodkan setakat 13 April lalu.

Kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan 2,918 kes jangkitan pandemik itu yang disahkan di Singapura membabitkan asrama pekerja asing.

Kelmarin, negara terkaya di Asia Tenggara itu terpaksa mengerah doktor dan jururawat mereka ke asrama-asrama pekerja asing untuk tujuan saringan Covid-19.

Minggu lalu, Singapura sudah menghantar sehingga lapan pasukan petugas kesihatan. Namun, jumlah itu tidak mencukupi apabila terpaksa menambah sehingga 18 pasukan lagi.

“Sebab apa kena hantar? Sebab kes baru di Singapura bertambah daripada kluster pekerja asing dan dianggap kritikal,” tegas pengguna Facebook, Ammar Harith.

Secara sindiran, beliau menganggap kerajaan Malaysia pada masa ini amat prihatin sehingga tidak sanggup membiarkan dua juta pekerja hilang sumber pendapatan berbanding kehilangan nyawa.

Media sosial juga dibanjiri dengan kecaman terhadap Azmin sebagai menteri dari ‘pintu belakang’ apabila dilihat mengutamakan kepentingan korporat berbanding nyawa rakyat.

Ramai turut menganggap Azmin semasa menjadi Menteri Ekonomi era kerajaan PH tidak berfungsi tetapi ketika kerajaan ‘tebuk atap’ pula sudah terang lagi bersuluh tidak berguna.

‘Makhluk halus’

Lanjut melihat kepada situasi genting Singapura memerangi jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing, pemerintah republik itu terpaksa memindahkan ribuan pekerja ke blok pangsapuri kosong dan berek tentera.

Sebabnya, virus berbahaya itu sedang giat menyerang seperti dibuktikan dengan peningkatan kes mendadak dalam kalangan pemegang permit kerja asing dan pekerja atau penghuni asrama pekerja asing.

Bahkan, seramai 1,300 pekerja asing yang ‘sihat’ sejak 13 April lalu dipindahkan secara berperingkat ke tiga buah kapal yang dikenali sebagai ‘hotel terapung’ yang biasanya digunakan pekerja luar pesisir.

Mengikut statistik rasmi kerajaan Singapura, terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing di republik yang mempunyai kira-kira 5.8 juta penduduk itu.

Oleh sebab itu, keputusan Azmin membenarkan tiga sektor ekonomi kembali beroperasi dengan sebahagian besar pekerjanya terdiri daripada warga asing dan lebih 100 kes baru positif Covid-19 setiap hari ibarat bom jangka kepada penularan wabak di luar kawalan.

Walhal, PKP fasa ketiga sepatutnya tempoh memperketatkan lagi pergerakan penduduk selepas kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif kepada semua segmen masyarakat termasuk golongan majikan dan pihak industri.

Malaysia bertuah apabila ada warganya dari lapangan perubatan diiktiraf setaraf dengan dua lagi tokoh, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diiktiraf sebagai ‘wajah paling dipercayai’ ketika negara dan dunia diserang pandemik Covid-19.

Pada ketika beliau merendah diri dengan mengatakan apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara, Azmin pula dilihat bertindak sebaliknya.

MITI di bawah kendaliannya dibimbangi tergopoh-gapah mengejar keuntungan yang sementara tanpa mengambil perhatian serius apa lagi bekerjasama dengan KMM ketika peperangan dengan ‘makhluk halus’ Covid-19 masih belum reda.

Kerajaan PN rapuh dengan serang menyerang antara satu sama lain

BORHAN AHMAD
Belum sampai dua bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, namun usaha untuk menjadi dominan dalam gabungan itu jelas kelihatan walaupun ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Yang paling ketara adalah serangan yang dibuat oleh para pemimpin dan menteri Umno terhadap rakan-rakan mereka dalam Kabinet PN.

Yang kasihannya, mangsa utama serangan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini adalah perancang utama kerajaan ini.

“MITI dah nak jadi super ministry ke?” tanya veteran Umno, Tan Sri Shahril Samad menegur langkah Azmin yang mengumumkan pelbagai perkara yang bukan di bawah kawalan kementerian itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga menghalakan senjatanya kepada Azmin apabila MITI mengumumkan kebenaran beberapa sektor pekerjaan yang melibatkan warga asing dibuka ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing,” kata Asyraf.

Selain Azmin, pemimpin Umno juga menghalakan serangan mereka kepada pemimpin Bersatu yang lain manakala MCA pula mula menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Pas.

Datuk Azalina Othman Said terus menerus membuat serangan kepada Bersatu. Yang terbaru adalah terhadap Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Tan Sri Annuar Musa pula mengkritik dan terus mensekolahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal yang terasa berada dalam Kabinet walaupun hanya timbalan menteri.

Serangan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting terhadap Timbalan Menteri Wanita, Siti Zailah Yusof dari Pas tidak mengejutkan walaupun ia kemudiannya ditarik balik selepas tersedar.

“Maaf cakap, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM

“Hanya berdiam diri terhadap sikap kasar suami? Ini tidak boleh diterima,” tulis Nicole.

Bagi penganalisis, apa yang berlaku sekarang membuat kerajaan PN dalam keadaan yang rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa.

Ini kerana, susunan kuasa dalam kerajaan sekarang tidak berdasarkan parti tetapi lebih kepada individu ahli parlimen berkenaan.

Oleh itu, masing-masing parti dan individu akan berusaha untuk menempatkan diri mereka agar lebih dominan dan selamat.

DR ABD LATIF IBRAHIM
“Umno takkan bagi ruang untuk Bersatu berkembang,” kata penganalisis politik, Dr Abdul Latif Ibrahim ketika mengulas fenomena ini.

Bagi beliau, masing-masing pihak cuba untuk mengembangkan pengaruh mereka dalam kerajaan PN ini.

“Hari itu, mereka bersatu untuk jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sahaja. Tetapi lepas itu akan berlakulah persaingan kuasa yang hebat.

“Semasa BN memerintah dulu, kuasa yang dominan jelas pada Umno tetapi sekarang belum tentu,” kata bekas pensyarah sains politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Tidak boleh balik kampung sambut Ramadan

MALAYSIA DATELINE
Kerajaan melarang orang ramai balik kampung untuk menyambut Ramadan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata larangan tersebut telah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua lagi.

Beliau menegaskan pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan sejak PKP fasa satu dan dua dilaksanakan.

“Ramadan nanti pun ia tetap tertakluk kepada undang-undang sama.

“Pergerakan rentas sempadan negeri tetap dilarang sepanjang tempoh PKP fasa tiga seperti yang diputuskan masa PKP fasa satu dan dua.

“Bermakna, pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” ujarnya selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Pilihanraya mengejut satu kemungkinan

HAYAR HASSAN
Seperti yang kita maklumi beberapa bulan menjelang jatuhnya Kerajaan PH di Putrajaya pada akhir bulan Februari 2020, parti UMNO khususnya kerap mencanangkan bahawa UMNO lebih cenderung agar Pilihanraya Parlimen mengejut@Snap Election diadakan. UMNO sememangnya mempunyai banyak alasan dan hujah atas saranan ini.

Yang paling utamanya, setelah berjaya merealisasikan gabungan Maufakat Nasional, antara UMNO dengan PAS dan memenangi PRK-PRK Parlimen Cameron Highland, DUN Semenyih, Dun Rantau, Parlimen Tanjung Pial dan Parlimen Kimanis, UMNO cukup yakin bahawa pengundi-pengundi Melayu telah berpatah balik untuk menyokong UMNO. Apa tah lagi, semua PRK-PRK di atas dimenangi oleh calon-calon UMNO dengan majoriti undi yang agak besar.

Tan Sri Anuar Musa, ketika itu sebagai Setiausaha Agong Umno sibok menjual idea Snap Election ini. Berkemungkinan besar, BN( UMNO&PAS) boleh menang besar di Semenanjung Malaysia, memang ada.

Namun demikian, pendukong-pendukong Langkah Sheraton lebih segera melaksanakan langkah-langkah pengkhianatan mereka dan menyambar peluang-peluang yang ada untuk terus berkuasa. Umpama helang yang terbang tinggi di udara, akan menjunam ke bawah, menerkam mangsanya tanpa belas kasihan. Apa tah lagi perasaan segan dan silu, mau pun dosa dan pahala. Semuanya dikesampingkan.

Yang kelihatan adalah mendahulukan cita-cita peribadi yang telah lama terpendam di lubuk kalbu masing-masing. “ Matlamat Menghalalkan Cara(The Ends justified The Means)”, falsafah hebat Machiavelli.

Kalau kita amati kembali, salah satu faktor utama YAB Tan Sri Mahyuddin Yassin(TSMY) membawa keluar Parti Bersatu(PPBM) daripada Pakatan Harapan(PH) adalah kerana tidak yakin lagi bahawa PH boleh memenangi PRU 15.

Di samping itu secara diam, sememangnya beliau juga mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke 8. Cuma tidak dizahirkan secara terang-terangan. Hatta YB Tun Dr Mahathir Mohamad(TM) sendiri pun tidak menyedarinya. Selama ini, dikatakan yang cukup mengimpikan jawatan tersebut adalah DSAI sahaja.

Setelah semuanya terjadi, baru lah TM menyedari bahawa beliau telah dikhianati oleh orang kanan nya sendiri . Sehebat-hebat TM, beliau kecundang juga kepada orang yang kelihatannya turut bersusah payah membangunkan Parti Bersatu(PPBM).

Apa pun, isu utama yang ingin saya polimikkan kali ini adalah sekitar peluang serta cabaran yang bakal di hadapi oleh TSMY untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri seandainya Pilihanraya Parlimen Mengejut(PPM)@(Snap Election) betul-betul terpaksa diadakan dalam waktu yang terdekat.

Seandainya PPM terpaksa diadakan, pembahagian kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia adalah merupakan masaalah terbesar buat TSMY.

Calon-calon PPBM, UMNO dan PAS tentunya memfokuskan kerusi-kerusi selamat untuk calon-calon mereka. Apakah formula yang akan digunapakai dalam perundingan dan siapa kah yang mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan muktamad dan terakhir?Dalam keadaan sekarang, adalah dipercayai bahawa TSMY masih buntu dalam menentukan strategi nya atas isu ini.

Setakat yang kita tahu, sehingga ke hari ini, Kerajaan Perikatan Nasional(PN) masih belum mengumumkan struktur kepimpinannya. Kita masih tidak tahu siapa kah yang menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan AJK-AJK nya.

Tiada sebarang maklumat berkaitan dengan alamat Pejabat Urusetia nya.Semuanya kabur dan tiada siapa yang tahu. Setakat ini tiada sebarang maklumat berkaitan dengan logo PN. Apa tah lagi manifesto nya.

Menurut keputusan PRU 14 lalu, UMNO telah memenangi 37 kerusi Parlimen. PPBM hanya memenangi 16 kerusi. Selepas TSMY menjadi Perdana Menteri,bilangan kerusi PPBM telah bertambah 23 menjadi 39 dan kerusi UMNO tinggal 15 sahaja. PKR pula hanya mempunyai 40 kerusi. DAP kekal dengan 41 kerusi. Amanah kekal 11 kerusi.

Seandainya PPM benar-benar berlaku, UMNO yang telah memenangi 37 kerusi semasa PRU 14 tentulah akan berkeras untuk bertanding kerusi-kerusi ini. Mereka tidak sekali-kali akan menyerahkan kepada PPBM. Ini lah masaalah yang amat sukar diselesaikan oleh TSMY.

23 kerusi Parlimen tambahan kepada PPBM ini pastinya akan wujud sekurang-kurangnya pertandingan 3 penjuru. Ia umpama bom jangka(Time Bomb) yang boleh meletop pada bila-bila masa saja.

Seperkara lagi yang menjadi suatu hambatan kepada PPBM adalah kerana dari segi struktur organisasi dan kewangan ianya masih belum kukuh jika dibandingkan dengan UMNO. Seandainya PPBM masih berkeras untuk mengambil kerusi-kerusi tersebut, kejadian tikam menikam dari belakang akan terjadi. Seperkara lagi PPBM sekarang terpecah kepada du kem. Kem TSMY dan juga kem TM.

Akhirnya amat sukar sekali diramalkan apa yang bakal terjadi kepada calon-calon PPBM ini dalam PPM itu nanti. “ Semua nya bakal berantakan Dong”, kata orang seberang!

Apabila ianya berlaku, peluang amat cerah bagi PH untuk merampas kerusi-kerusi Parlimen ini. Akhirnya boleh diandaikan bahawa TSMY mungkin tidak boleh bertahan lama sebagai PM ke 8. Sama-sama lah kita melihat nya nanti.

Adakah penjawat awam ditahan ingkar PKP akan hilang pencen?

V Anbalagan
PETALING JAYA:
Dua peguam berbeza pendapat sama ada pesara kerajaan yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) akan kehilangan pencen mereka.

Adnan Seman berkata, pesara kerajaan yang dipenjarakan walaupun sehari kerana melanggar PKP akan kehilangan manfaat itu, tetapi peguam Muhammad Rafique Rashid Ali tidak bersetuju.

“Pencen bukan hak, tetapi keistimewaan dan boleh dirampas selepas disabitkan kesalahan,” kata Adnan kepada FMT.

Terdapat kira-kira 850,000 pesara awam yang menerima pencen.

Seksyen 21 (1) Akta Pencen 1980 menyatakan pencen atau faedah lain akan dihentikan serta-merta apabila pesara itu dikenakan hukuman mati atau penjara oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Seksyen 21 (2) menyatakan pencen itu akan dikembalikan dengan kesan retrospektif dalam kes pesara itu selepas disabit bersalah, menerima pengampunan.

Peguam itu berkata, bayaran pencen akan diteruskan jika individu itu dijatuhkan hukuman dalam bentuk lain, seperti denda, bukannya penjara.

PKP diisytiharkan menggunakan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Di bawah Peraturan 6, pesalah boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya jika didapati mengingkari PKP.

Selasa lalu, Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, polis akan mengurangkan tumpuan dalam mengeluarkan kompaun kepada pengingkar PKP, sebaliknya mereka yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan digunakan mulai sekarang kerana hukumannya lebih berat.

Pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala pesalah kali ke-2 boleh dipenjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Rafique berkata, peruntukan di bawah Akta Pencen perlu dibaca bersama Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-orang Yang Tidak Diingini 1969.

“Membaca Seksyen 21 secara berasingan boleh mengelirukan dan seseorang itu perlu ingat kewujudan Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-orang Yang Tidak Diingini yang berkaitan pendaftaran penjenayah.”

Katanya, pendaftar di bawah undang-undang itu perlu mendaftarkan sesiapa saja yang disabitkan pelbagai kesalahan yang dianggap boleh didaftarkan di bawah Jadual 1 dan 2.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit tidak disenaraikan. Oleh itu, mereka yang melanggar PKP tidak boleh dianggap sebagai pesalah boleh didaftarkan.”

Rafique berkata, polis dan pihak pendakwaan perlu menjelaskan peruntukan apa di bawah penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan.

“Saya difahamkan polis bergantung kepada Seksyen 269 Kanun Keseksaan untuk menahan orang atas alasan tindakan cuai yang ming menyebarkan jangkitan sebarang penyakit berbahaya kepada nyawa.”

Katanya, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mewartakan peraturan itu untuk menghukum pengingkar PKP yang enggan duduk di rumah, tetapi Ismail mengumumkan undang-undang induk itu akan digunakan kerana ia memperuntukkan hukuman lebih berat.

Kantoi: Dulu perlekeh, sekarang jadi panglima buluh

MALAYSIA DATELINE

Ketika belum menjadi menteri, dialah yang menjadi pembangkang utama kepada cadangan menjadikan industri tanaman buluh sebagai tanaman komersil.

Namun sebaik sahaja menjadi menteri, dialah yang menjadi promoter utamanya sehingga dibentangkan kepada Jamaah Menteri tentang potensinya.

Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah memaklumkan status pembangunan industri buluh negara dan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi.

Dalam satu kenyataan medianya, Khairuddin memaklumkan, sais pasaran global produk buluh dianggarkan berjumlah USD68 bilion pada tahun 2018.

Namun eksport negara hanya RM9 juta pada tahun 2019, kata beliau dalam kenyataan media bertulis yang dikeluarkan kementeriannya semalam sebaik sahaja selepas mesyuarat mingguan Kabinet.

“Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini,” kata AJK Pas Pusat itu.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam, Kharuddin berkata, kementeriannya akan terus memberikan penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia ke Dua Belas.

“Kementerian juga sedang menyediakan pelan tindakan industri bukuh 2021 – 2025 yang dijangka akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya.

Ia bertentangan sekali ketika beliau hanya sebagai ahli parlimen biasa pada 3 Mac 2019 yang lalu.

Ketika Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok membuat kenyataan yang hampir sama ketika itu, Khairuddin mempelekehkan kenyataan itu.

Kenyataan Takiri yang memperlekeh usaha Teresa Kok sebelum ini.

“Satu lagi idea ‘bernas’ daripada menteri PH selain menoreh musim tengkujuh.

“Tanam buluh dan kelapa menggantikan sawit,” tulis beliau yang lebih terkenal dengan nama At-Takiri melalui facebooknya penuh sinis.

Bagi ulama Pas itu, kegagalan menguruskan pasaran sawit sehingga jatuh merudum harganya cuba ditutup dengan idea baru yang dirasakan bernas.

“Adakah semudah itu lontaran idea menteri?” soal beliau yang memegang pelbagai jawatan utama dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri Terengganu itu.

Ketika itu, beliau mengulas berita yang telah dispin oleh seorang blogger yang bertajuk, “Lupakan kelapa sawit, tanam buluh.”

AS pulangkan RM1.3 billion, terbukti dana 1MDB dicuri

SITI NUR ZAWANI MISCON
Penerimaan dana sebanyak RM1.3 bilion yang dipulangkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia hari ini membuktikan bahawa wang tersebut sebenarnya telah dicuri dari dana 1MDB.

Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penerimaan tersebut dianggap sebagai satu ‘subjudice’ kepada Najib Razak yang kini sedang bergelut menyelamatkan dirinya dari 25 pertuduhan termasuk pengubahan wang haram 1MDB.

Beliau mempersoalkan, bagaimana Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan boleh mengkhianati Najib selepas pernah menegaskan bahawa Amerika tidak pernah memulangkan wang tersebut seperti yang didakwa Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin terima dana RM1.3 bilion dari Amerika, sekaligus membawa makna wang itu telah dicuri dari dana 1MDB.

“Bagaimanakah pimpinan Umno sanggup melakukan pengkhianatan ini terhadap Najib, terutama Mat Hasan yang ketika itu berceramah di PRK Semenyih.

“Beliau menegaskan tidak ada kecurian atau rompakan kerana kerajaan Amerika tidak pulangkan dana 1MDB seperti yang didakwa PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, inilah kemuncak pengkhianatan pimpinan Umno pada saat Najib-Rosmah sangat memerlukan pembelaan dari pimpinan parti mereka sendiri.

Malah beliau berkata, oleh kerana Umno telah pun bersekongkol dan mendapat habuan besar bersama Muhyiddin-Azmin, lantas mereka meninggalkan Najib dan Rosmah.

“(Umno kata) mana ada berbilion yang dipulangkan Amerika kepada Malaysia. Semua fitnah, penipuan dan pembohongan, dakwanya! (Sekarang), macam mana PN boleh terima dana berbilion ringgit itu,” soalnya lagi.

Kerajaan Amerika Syarikat telah memulangkan semula sebanyak AS$300 juta daripada dana 1MDB bersamaan dengan lebih kurang RM1.3 billion.

Sehingga hari ini, dana 1MDB yang telah dikembalikan adalah lebih kurang RM2.6 billion atau US$620 juta.

Bekas menteri Umno balun Azmin Ali

'MITI kini seolah-olah sebuah super ministry'
Shahrir Samad


Pagi tadi saya terbaca soal jawab untuk menerangkan bagaimana kerajaan akan mengembalikan kegiatan ekonomi secara terancang mengikut sektor dan bidang tertentu.

Semasa perancangan kerajaan ini mula-mula diumumkan, kedai gunting telah dibenarkan kembali beroperasi, tetapi ia dibantah hebat dalam media sosial.

Bantahan turut datang daripada persatuan perniagaan tersebut.

Sebenarnya, pemilihan kedai gunting rambut dilakukan kerana mengikut pemantauan terhadap media sosial, ramai pihak yang mengeluh kerana kedai gunting telah tutup.

Hanya kerajaan tidak dapat menilai kualiti perbualan media sosial itu. Apa yang pasti hanyalah kuantiti perbualan itu.

Kerana itu, teknologi perlu juga kepada analisis manusia dan tidak diterima bulat-bulat segala hasil penggunaan teknologi.

Kemampuan manusia berfikir dan menganalisis data daripada penggunaan teknologi tetap terbukti.

Suka bahasa bombastik

Oleh itu, saya tidak terperanjat apabila berlakunya 'U-turn' atau pembatalan keputusan yang telah dibuat oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sebagai kementerian yang diumumkan bertanggungjawab dalam strategi memulakan kegiatan ekonomi negara.

Tapi MITI nak terlibat dengan tukang gunting?

Berbalik kepada apa yang telah saya baca dalam akhbar The Star pagi tadi, saya memang hairan mengapa perniagaan/perusahaan yang mendapat kebenaran daripada kementerian lain masih perlu mendapatkan kelulusan MITI.

Mengapa harus MITI terlibat setelah sesebuah perniagaan/perusahaan mendapat kelulusan kementerian yang relevan bagi perniagaan/perusahaan terbabit?

Bukankah ini menimbulkan pertindihan tanggungjawab mengumpul data, kerana MITI sepatutnya tertumpu kepada sektor industri dan eksport barangan pembuatan.

Mampukah MITI mengikut kepakaran serta keupayaan kementerian itu untuk mendaftar dan kemudian memantau kesemua perniagaan/perusahaan yang beribu-ribu memohon kelulusan untuk beroperasi?

Saya akui Azmin Ali ialah menteri kanan yang terkanan. Sungguhpun begitu, MITI tetap MITI juga. Peranan dan tanggungjawabnya tidak mampu diubah semenjak Azmin menjadi menterinya.

Sudahlah saya berasa lega kerana bukan Azmin yang mengadakan sidang media (harian) yang dikendalikan oleh Ismail Sabri Yaakob. Ianya kerana kecenderungan Azmin mengguna perkataan-perkataan besar atau bombastic words.

Dah baguslah tu. Tapi mengapa MITI hendak menguasai sektor-sektor ekonomi yang di luar bidang tanggungjawabnya sendiri?

Seolah-olah MITI pula sudah jadi sebuah "super ministry" di bawah seorang tokoh politik yang bombastic.

Kalau itu tujuannya, gabung sahajalah MITI dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Perusahaan Utama.

Dan letakkan dua menteri itu di bawah Azmin dalam satu "super-ministry"! Barulah jelas logiknya. Kalau tidak, ianya pelik.

Covid-19: Kematian di AS catat rekod tertinggi 2 hari berturut-turut

Reuters
WASHINGTON:
Angka korban Covid-19 di Amerika Syarikat mencatat rekod buat hari ke-2 berturut-turut dengan sekurang-kurangnya 2,371 kematian pada Rabu yang menjadikan keseluruhannya 30,800 kes setakat ini, menurut statistik Reuters, ketika negara itu bercadang menarik balik sebahagian sekatan ke atas perniagaan dan kehidupan sosial menjelang 1 Mei ini.

AS mencatatkan kematian pertama Covid-19 pada 29 Feb lalu. Ia mengambil 38 hari untuk mencapai 10,000 kematian dan tambahan 9 hari bagi mencecah 30,000 kematian. Angka korban tertinggi sebelum ini ialah 2,364 orang pada Selasa.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 635,000 dan 2 juta kes di seluruh dunia.

Walaupun jumlah kematian meningkat, terdapat petanda sementara di sesetengah bahagian di AS yang penularan virus itu mula berkurangan.

Gabenor di kira-kira 20 negeri yang tidak mencatatkan banyak kes koronavirus percaya mereka mungkin sudah bersedia membuka semula ekonomi seperti yang disasarkan Presiden Donald Trump menjelang 1 Mei ini, kata pegawai kesihatan tertinggi pada Rabu.

Gabenor di negeri paling teruk terjejas – New York, California, Louisiana, New Jersey, Massachusetts dan Michigan – berkata terdapat keperluan untuk ujian secara meluas dijalankan.

Pegawai kesihatan mendapati jumlah kematian adalah petunjuk susulan penularan virus itu dan tidak bermakna sekatan keluar rumah gagal menghalang penyebaran Covid-19.

New York dan kawasan lain yang teruk terjejas akibat Covid-19 melaporkan penurunan mendadak dari segi jumlah pesakit dimasukkan ke hospital dan memerlukan ventilator, walaupun sumber dan kakitangan kesihatan barisan depan masih menghadapi tekanan luar biasa.

Pegawai kesihatan turut berwaspada terhadap jumlah kematian berkaitan koronavirus mungkin tidak dikira dengan betul kerana ada pesakit meninggal dunia di rumah atau pusat jagaan orang tua yang tidak pernah menjalani ujian saringan virus itu.

Covid-19: Yahudi, tentera Israel sengaja meludah di rumah penduduk Arab

KAMERA Litar Tertutup (CCTV) merakamkan perbuatan pendatang Yahudi dan tentera Israel sengaja meludah di pintu rumah penduduk Arab, mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19, di kawasan penduduk Palestin, lapor agensi berita Anadolu.

Perbuatan tidak senonoh itu dirakam CCTV di jalan-jalan di Hebron atau ibu kota Al-Khalil, di selatan Tebing Barat, 30 kilometer selatan Baitulmaqdis.

Kerajaan pintu belakang: Menjawab penyokong Muhyiddin dan Dr Asri

KHALID ABD SAMAD
Saya pernah berhujah melalui whatsapp dengan seorang ahli keluarga dan penyokong tegar Tan Sri Munyiddin Yassin (TSMY) berhubung kerajaan pintu belakang. Saya ingin berkongsi perbahasan ini dengan semua dan oleh kerana isu ini ada kena-mengena dengan hujah seorang mufti, saya ingin menjawab hujah mufti itu di sini juga.

Pada 26hb Mac, jam 1.30 pagi ketika saya sedang tidur, talefon saya telah menerima mesej whatsapp dari seorang yang saya kenal sebagai ahli keluarga dan penyokong tegar TSMY. Beliau pernah mengaku terlibat dalam politik untuk melihat TSMY menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mesejnya berbunyi :-

“What back door government?! Saya mula terlibat dalam politik pada 1956 sebagai Presiden Persatuan tertentu dan saya bercampur bebas dengan Lee Kuan Yew dan David Marshall dan Hamid Jumat dari Singapura. Kenapa nak salahkan TSMY mengenai apa yang menimpa kamu?

Kamu harus sedar ‘Politics is the art of the possible’. Hanya politik Melayu sahaja yang bercakap mengenai kerajaan pintu belakang dan pintu depan. Ianya pemikiran ketinggalan dan agak bodoh. Saya rasa YAB Tun sudah terlalu tua. YAB Tun menggalakkan YAB TS untuk mengambil jawatan PM bila YAB Tun tidak mendapat sokongan yang cukup.”

Memanglah saya tak baca sehingga selepas saya solat Subuh. Takkan nak baca jam 1.30 pagi!

Maka pada jam 7.26 pagi selepas dibaca mesejnya saya sampaikan jawapan saya.

“Mentakrifkan politik hanya sebagai ‘the art of the possible’ akan menghalalkan tindakan tidak berakhlak dan pecah amanah yang kesemuanya mungkin atau ‘possible’ semasa seseorang itu berkuasa. Oleh itu, lebih dari satu pentakrifan adalah perlu.

Apabila seseorang bercakap mengenai demokrasi, apa yang dikatakan ‘possible’ atau mungkin wajar dipandu oleh prinsip-prinsip demokrasi, bukan prinsip-prinsip Machiavelli yang menghalalkan semua demi mendapat kuasa. Politik tidak sepatutnya “a naked struggle for power” atau perebutan untuk mendapat kuasa tanpa segan silu, tetapi sebaliknya satu usaha untuk memenuhi cita-cita kerajaan pilihan rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat.

Bagaimana PN boleh mendakwa mereka adalah kerajaan pilihan rakyat sedangkan TSMY dan Azmin Ali mengkhianati kepercayaan rakyat? Mereka dipilih atas nama PH dan mereka khianat.”

Melihat ada lagi isu yang perlu diperjelaskan maka saya sambung lagi.

“Maaf TS, politik TS yang ketinggalan kerana tidak membezakan kerajaan ‘pintu belakang’ dari ‘pintu depan’, iaitu kerajaan yang dipilih rakyat berbanding kerajaan yang merampas kuasa melalui tindakan khianat.”

“Zaman lanun dulu bolehlah..rampas kuasa mengikut apa jua kaedah yang mungkin. Bunuh, colek, rampas kuasa, khianat dan sebagainya. Itu politik Melayu kuno. Kita impikan sesuatu yang lebih mulia.”

Sememangnya harapan kita adalah bangsa Melayu turut melangkah ke zaman yang lebih bertamadun, berakhlak dan berprinsip. Ini adalah sifat sebenar politik Islam yang mementingkan akhlak lebih dari kesemuanya. Malangnya ramai yang masih tak faham. Dan bagi mereka mendapat kuasa melalui apa jua cara adalah biasa dan adat berpolitik. InsyaAllah kita bawa perubahan ke arah politik yang berakhlak mulia.

Selain dari perbahasan melalui whatsapp, ada juga penulisan yang saya ingin tegur. Malangnya ianya melibatkan Dr. Asri atau MAZA, iaitu Mufti Perlis. Mungkin orang akan beranggapan saya ada isu dengannya kerana kebelakangan ini banyak sangat menegurnya. Sebenarnya takda apa-apa isu, melainkan pendiriannya yang semakin bercelaru kebelakangan ini yang menyebabkan saya terpaksa memberi respon.

Dalam laporan Malaysiakini bertarikh 5hb April, Dr. Asri sebut bahawa “Tiada siapa boleh dituduh pengkhianat”. Hujah beliau adalah berkisarkan surat Dr. Mahathir kepadanya yang ada menyebut, “beliau sudah berjanji mengenai pengganti Perdana Menteri dan ia tidak boleh dimungkiri”.

Dr. Asri seterusnya menjelaskan bahawa “orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja”.

Saya pelik dengan isi kandungan surat Tun. Takkan tiba-tiba Tun timbulkan isu berkenaan? Mesti Tun menjawab soalan yang ditanya Dr. Asri. Maka adakah Dr. Asri sedang menghasut Tun untuk mungkir janji sehingga Tun terpaksa beritahu Dr. Asri bahawa janji tak boleh dimungkiri. Amat peliklah apabila Tun terpaksa mengajar Mufti mengenai soal dosa mungkir janji.

Tapi yang lebih utama untuk difahami ialah janji yang dibuat Tun mengenai pengganti itu adalah atas kapasiti sebagai Pemimpin utama PPBM. Dia bukan berjanji seorang diri atas kapasiti peribadi. Dia janji atas nama partinya.

Samalah seperti Kak Wan, Mat Sabu dan Guan Eng bila berjanji akan menerima Tun sebagai Perdana Menteri sekiranya menang PRU 14 tempoh hari. Takkan janji-jani itu atas kapasiti peribadi yang mana selepas itu parti masing-masing boleh ikut suka dan tak terikat dengan janji tersebut.

Tapi ini semua saya yakin Dr. Asri sudah pun tahu. Dia bukan bodoh walaupun dalam isu ini dia berpura-pura bodoh.

Begitu juga dengan soal khianat. Mungkir janji terhadap Anwar satu hal. Tetapi khianat itu persoalan yang lagi besar. Lebih-lebih lagi khianat mandat rakyat.

Mandat yang diberikan rakyat pada PRU 14 adalah untuk PH membentuk kerajaan dan UMNO/BN serta PAS telah ditolak di peringkat Nasional. Itu mandatnya.

Kalau TSMY menjadi Perdana Menteri atas tiket PH itu satu hal. Itu boleh dirangkumkan di bawah persoalan mungkir janji terhadap Anwar dan mungkin juga khianat terhadap Anwar. Tetapi ini bukan sekadar itu. TSMY membentuk kerajaan dengan mengkhianati PH dan bersama UMNO/BN serta PAS yang telah ditolak rakyat. Itu bukan sekadar pengkhianatan terhadap Anwar dan PH, ianya pengkhianatan terhadap rakyat.

Dr. Asri pasti ingat bahawa semasa PRU ke 14, UMNO/BN dan PAS telah menawar diri mereka untuk dipilih rakyat sebagai kerajaan negeri dan nasional. Ada di beberapa negeri mereka telah berjaya mendapat mandat rakyat, tetapi di peringkat nasional, jumlah kerusi diperolehi mereka tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat. Maka rakyat menolak mereka di peringkat Nasional.

TSMY bersama Azmin dan yang lain-lain yang bersama mereka sekarang telah mendapat mandat rakyat atas nama PH untuk membentuk kerajaan. Pasti Dr. Asri masih ingat bahawa mereka telah bertanding sebagai calon PH dengan menggunakan lambang PKR dan menang!

Bererti mereka dimenangkan atas sokongan terhadap PH. Maka apabila mereka melanggar mandat tersebut dan bersama UMNO/BN dan PAS untuk membentuk kerajaan, sudah jelas ianya suatu pengkhianatan.

Dr. Asri nak gunakan nama YDP Agong untuk menyembunyikan perbuatan jelik TSMY dan Azmin Ali? Saya nak beritahu Dr. Asri, YDP Agong berhak melantik siapa yang dianggapnya mampu mendapat majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat atau Parlimen, itu hak YDP Agong. Namun ia tidak menafikan telah berlaku pengkhianatan terhadap mandat rakyat oleh TSMY dan Azmin.

Persoalan kedudukan kerajaan ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ ini, dari sudut undang-undang, tidak boleh dipertikaikan selagimana tidak dibuktikan ianya tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Selagi ia tidak dibuktikan melalui undi tidak percaya di Parlimen, maka itulah kedudukannya. Akan tetapi itu dari sudut peraturan dan prosedur. Namun dari sudut akhlak dan keamanahan, jelas ia kecundang.

Maka tak perlulah Dr. Asri bersusah payah nak lindungi pengkhianat dengan mengheret sekali nama YDP Agong. Itu pernilaian Baginda dan dia berhak menganggap seperti anggapan Baginda. Tetapi ia tidak menafikan pengkhianatan.

Dalam satu usaha terakhir untuk membela mereka yang khianat, termasuk yang bersekongkol dalam pengkhianatan ini, ia itu UMNO/BN dan PAS, Dr. Asri cuba kaitkan pula dengan Parti Amanah Negara, atau AMANAH.

Dikatakan lompatnya ahli AMANAH dari PAS untuk menubuh AMANAH adalah sama sahaja dengan tindakan TSMY dan Azmin Ali. Sekali lagi Dr. Asri berpura-pura bodoh. Hanya nasihat saya, pura-pura bodoh ni bahaya. Jangan buat selalu. Takut-takut orang ingat betul.

Hakikatnya kami keluar PAS dan tubuh AMANAH kerana tidak mahu bersama dengan usaha PAS mengkhianati PR. Dalam PRU 13 kita menang atas mandat PR di Selangor dan Pulau Pinang.

Sejak kemenangan 2013 itu, pimpinan tertentu PAS telah menjalinkan hubungan dengan UMNO/BN dan berusaha untuk membawa PAS keluar PR untuk bersama UMNO/BN. Itulah sebabnya Almarhum TGNA banyak menegur mulai 2013 untuk tidak melayan pelawaan UMNO.

Semasa Almarhum masih ada mereka terpaksa berpura-pura bahawa tuduhan Almarhum tidak benar dan mereka menafikan usaha ingin berbaik dengan UMNO. Mereka dengan berani menyatakan ianya fitnah.

Malangnya selepas pemergian Almarhum, golongan ini telah bertindak dengan lebih jelas menimbulkan sengketa dengan PKR dan DAP dengan sengaja, sedangkan PKR dan DAP terus setia terhadap janji kerjasama melalui PR.

Golongan pimpinan PAS yang mempertahankan kerjasama ini terus digelar, pada awalnya ‘Anwarinas’ dan ‘Anwariyyun’ dan selepas itu ‘khadam DAP’ dan ‘penjilat DAP’. Sedangkan kita mempertahankan perjanjian bersama PR.

Akhirnya melalui satu usaha tersusun nama-nama pimpinan PAS Pusat seramai 18 dari 24 orang telah digugurkan dalam cai yang disahkan Dewan Ulama PAS Pusat semasa pemilihan parti pada Muktamar 2015.

Geng pro-UMNO/BN ini menyedari mereka mesti gugurkan kami demi bermesra dengan UMNO dan keluar PR. Maka sebaik sahaja kami dijatuhkan dari saff kepimpinan PAS hubungan PAS dan PR semakin diburukkan sehingga PAS tidak lagi bersama walaupun tidak istihar keluar.

Atas kesedaran akan hajat PAS maka kami tubuhkan AMANAH untuk kekalkan kerjasama antara kami dengan PKR dan DAP dan tidak lama kemudian maka ditubuhkan PH sebagai pengganti kepada PR.

Oleh itu, kami meninggalkan PAS dan tubuh AMANAH supaya tidak khianati PR dan kekal amanah dengan janji kebersamaan dengan PKR dan DAP setelah geng pro-UMNO menguasai PAS. Hakikatnya lebih jelas kelihatan hari ini. PAS dewasa ini adik angkat UMNO.

Amat jelas hujah Dr. Asri jauh meleset kerana tiada persamaan golongan yang mengkhianati PH untuk bersama UMNO dan kami yang tinggalkan PAS tidak mahu mengkhianati PR demi inginkan UMNO.

Saya berharap Dr. Asri tidak lagi memutar belit fakta demi menegakkan benang yang basah. Malu dilihat seorang Mufti yang sanggup melakukan apa yang dilakukan sebegitu.

PKR gantung keahlian ketua Wanita Haniza Talha kerana jumpa Azmin, Zuraida

Faiz Zainudin
PETALING JAYA:
PKR menggantung keahlian Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha kerana menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.

Haniza ketika dihubungi FMT mengesahkan beliau menerima surat penggantungan keahliannya pada 13 April lalu.

Surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa 6 April lalu.

Surat itu menyatakan Haniza menemui Azmin dan Zuraida, yang dipecat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti, di sebuah hotel di Damansara pada 26 Feb lalu.

“MPP pada 21 Mac 2020 menggunakan perlembagaan parti Fasal 41.6 yang memperuntukkan keanggotaan saudari digantung serta-merta sehingga siasatan Lembaga Disiplin parti (selesai),” menurut surat itu.

Susulan penggantungan itu, Haniza dilarang membuat sebarang komen atas nama parti.

Haniza berkata, tindakan yang dikenakan ke atasnya berbeza dengan keputusan Biro Politik pada 21 Mac lalu, di mana beliau dan Naib Presiden PKR, Tian Chua hanya diarahkan membuat penjelasan kepada Lembaga Disiplin parti.

“Tian Chua dan saya tidak digantung, tetapi diminta menjelaskan kepada Lembaga Disiplin dakwaan terhadap kami.

“Saya hairan bagaimana Lembaga Disiplin membuat keputusan berbeza daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat MPP.”

Haniza yang juga exco Selangor, memenangi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan parti 2018.

Semalam, Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah yang lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” mempertikaikan keputusan parti memecatnya tanpa alasan kukuh dan tidak memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan diri.

Katanya, beliau menerima notis pemecatan sebagai ahli PKR bertarikh 1 April lalu.

Hari ini, Syarul Ema ketika dihubungi FMT mendakwa selain Haniza, lebih 200 ahli PKR, termasuk majoriti MPP turut dipecat atau digantung keahlian berkuat kuasa 1 April lalu.

“Majoriti ahli MPP, Majlis Pimpinan Wanita dan Pemuda PKR yang pro-Azmin dan Zuraida menerima surat penggantungan serta pemecatan.”

FMT sedang mendapatkan pengesahan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berhubung tindakan yang dikenakan kepada kumpulan pro-Azmin dan Zuraida.

‘Ratu Naga’ dakwa dipecat PKR tanpa sebab

FMT Reporters

Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai ‘Ratu Naga’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” mempertikaikan keputusan PKR memecatnya sebagai anggota parti itu, yang menurutnya tidak mempunyai alasan kukuh.

Syarul Ema berkata alasan diberikan parti terhadap pemecatannya tidak telus kerana tidak ada sebab jelas dan beliau tidak diberi peluang untuk pertahankan diri sebelum sebarang tindakan diambil oleh parti.

“Amat malang sekali bila mana dalam kita seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan pendamik wabak Covid-19, PKR melalui Pejabat Setiausaha Agung parti masih lagi bermain politik.

“Ia dengan tindakan mengeluarkan surat pemecatan ke atas saya tanpa sebab ditulis di dalam surat pemecatan yang saya terima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Syarul Ema memberitahu beliau sudah menerima notis pemecatan sebagai ahli PKR bertarikh 1 April lalu.

Pemecatannya dibuat berdasarkan Perlembagaan Parti Fasal 9.1(D) yang memperuntukkan keanggotaannya terlucut secara serta merta.

Beliau bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Pimpinan Pusat untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari notis dikeluarkan.

Tambahnya, parti sekurang-kurangnya perlu nyatakan atau jelaskan dalam surat amaran supaya beliau boleh mempertahankan diri sebelum sebarang tindakan termasuk keputusan memecat diambil.

“Lepas itu bolehlah ambil tindakan selepas mengambil kira kedua-dua belah pihak tanpa berat sebelah, itulah sepatutnya tindakan Lembaga Disiplin patut lakukan. Bukan terus pecat tanpa sebab,” katanya.

Syarul Ema menyertai PKR pada Oktober 2016. Ketika itu, keputusannya menyertai parti berkenaan dengan harapan untuk “menebus keterlanjurannya” terhadap parti itu.

Nelayan Thai yang terkandas di Malaysia nekad berenang balik

Rindu buat lelaki Thai nekad berenang dari Malaysia
Bernama


Seorang nelayan rakyat Thailand yang terkandas beberapa hari di Malaysia kerana penutupan pusat pemeriksaan di sempadan nekad berenang untuk pulang ke tanah airnya.

Lelaki berusia 45 tahun dari Piman di daerah Muang, Satun, selatan Thailand kemudian ditemui dalam keadaan kepenatan dan hanyut di laut berhampiran pantai Puyu, sebuah daerah kecil di Satun semalam.

Dia kemudian diselamatkan polis marin.

Terdahulu lelaki terbabit terkandas di sempadan Thailand-Malaysia di Perlis selama beberapa hari susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan berkenaan sejak 23 Mac.

Merindui ahli keluarga dan tidak pasti bila pusat pemeriksaan tersebut akan dibuka semula, lelaki terbabit nekad berjalan ke kawasan sempadan paling hampir sebelum berenang untuk menyeberanginya.

Inspektor Polis Marin Satun Left Kol Banjerd Manavej berkata lelaki itu berjalan selama dua hari sebelum tiba di sebatang terusan seluas kira-kira 100 meter.

Di situ, katanya, lelaki terbabit mengambil keputusan untuk berenang menyeberanginya sebelum arus deras menghanyutkannya ke laut.

Tingkat rondaan di sempadan

“Nelayan di kampung itu ternampak dia berenang dan memaklumkan perkara itu kepada polis pada kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) semalam.

“Dia dalam keadaan kepenatan ketika kami menjumpainya. Bagaimanapun, dia kelihatan amat gembira melihat kami.

“Dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan. Dia dalam keadaan sihat dan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kuarantin negara di Satun,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Bangkok hari ini.

Banjerd berkata lelaki itu memberitahu polis dia hanya membawa sebotol air dan sebekas bekal makanan semasa dalam perjalanan pulangnya.

Lelaki itu telah didakwa memasuki negara tersebut secara haram dan didenda 800 baht.

Sementara itu, Banjerd berkata polis marin Thailand meningkatkan rondaan di perairan Thailand-Malaysia bagi menghalang rakyat negara tersebut yang terkandas di Malaysia mencuri masuk susulan penutupan pusat pemeriksaan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Bermula 23 Mac, kerajaan Thailand telah menutup sembilan pusat pemeriksaan ke Malaysia di kawasan sempadan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Thailand telah mengumumkan bahawa rakyatnya yang masih terkandas di sempadan Malaysia akan dibenarkan pulang jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan bermula 18 April.
-Bernama

‘Biarkan dulu pengkhianat, pencuri agihkan rampasan kerajaan tebuk atap’

AHMAD LUTFI OTHMAN
Perikatan Nasional (PN) dibentuk secara tidak formal kebanyakannya oleh parti-parti yang kalah dan ditolak pengundi dalam PRU14. Merangkumi Umno, Pas, MCA, MIC dan GPS. Bersatu pula, ditambah bilangan sekali ganda ahli-ahli Parlimen Umno yang lompat parti, membuka pintu belakang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Saya ulang berkali-kali bahawa gabungan ini langsung tidak terikat dengan apa-apa manfesto pilihan raya atau ianji-janji pembaharuan kepada rakyat. Mereka mentadbir negara tanpa misi dan visi. Justeru, persoalan seperti melantik ahli parlimen atau politikus sebagai pengerusi atau lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan isu pun, malah langsung tak berkudis. Pakatan Harapan (PH) sendiri dilihat melanggar atau menangguhkan manifesto mereka, inikan pula kepada PN yang tidak mempunyai apa-apa komitmen reformasi institusi dan sebagainya.

Seperti diakui perdana menteri, PN bukannya kerajaan yang dihasratkan rakyat. Ia hasil perancangan licik, permainan wakil-wakil rakyat yang memperdagangkan undi rakyat sebagai komoditi berharga untuk kepentingan sendiri. Masih terikat kemas dalam ingatan, pengundi-pengundi beratur panjang di tengah panas 9 Mei 2018, sesetengahnya balik jauh dari perantauan demi dorongan melakukan perubahan. Malang sekali, belum pun melepasi separuh penggal, komplot politikus yang rakus-khianat meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat. Dan kemudiannya berbangga kononnya mendirikan kerajaan Melayu-Muslim tanpa DAP.

Namun pada era pentadbiran terdahulu, sekurang-kurangnya rakyat boleh menuntut dan menagih iltizam pembaharuan PH dan kerajaan terpaksa mengeluarkan statistik peratusan manifesto yang sudah ditunaikan, untuk sesuatu tempoh, juga prestasi selepas 100 hari memerintah dan sebagainya. Rakyat juga dapat membayangkan destinasi yang dituju negara. Diperincikan bidang yang berjaya dilaksanakan, serta punca kegagalan janji tertentu dalam tempoh tertentu. Pengkritik, khususnya pembangkang bebas melemparkan tohmahan, termasuk mendakwa PH sebagai “pakatan hancing” ekoran tidak menunaikan segala janji. Walhal tempoh masa manifesto sebenarnya adalah sehingga berakhirnya penggal Parlimen.

Kini Muhyiddin Yassin hanya perlu puaskan penyokongnya dalam Dewan Rakyat agar beliau terselamat daripada usul undi tidak percaya nanti. Legitimasi beliau sebagai ketua kerajaan belum disahkan Parlimen. Namun, faktor masa lebih dilihat memihak kepada perdana menteri. Peluang untuk memperkukuh kedudukan terbuka luas. Kuasa seorang PM bagai sakti lampu Aladin. Senarai kuasanya begitu panjang. Dengan satu lorekan mata pena, mimpi bertukar menjadi realiti. Lagipun sidang Parlimen yang sepatutnya pertengahan Mac sudah ditunda lebih dua bulan bagi memberi ruang selesa untuknya membeli sokongan.

Wabak maut Covid-19 juga memberi kelebihan politik kepada Muhyiddin. Bukannya susah sangat pun untuk pastikan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen menyokongnya nanti. Keanggotaan menteri dan timbalan menteri sudah 70 orang, tinggal lagi lebihkurang 40 orang sahaja. Ghanimah akan difaraid kepada semua penyokong kerajaan. Kepentingan rakyat boleh ditangguhkan sekejap. Prioriti adalah memaku kesetiaan. Sumber kuasa akan dicairkan kepada pelbagai bentuk habuan, walaupun negara sedang berdepan krisis ekonomi yang dahsyat.

Dicampur dengan wakil rakyat yang diberi kedudukan istimewa dalam pelbagai potfolio, diikat elaun menarik, peruntukan selesa dan kemudahan menyenangkan, Muhyiddin dijangka tiada masalah untuk kekal jawatan dalam kerajaan tebuk atap itu. Jawatan baharu boleh sahaja diwujudkan demi menghargai sokongan berharga kepada perdana menteri. Ekonomi negara yang merudum dan terjejas teruk bukan halangan “untuk membalas budi”. Setiausaha Agung Pas sudah memaklumkan semua ahli Parlimennya akan diberi jawatan pengerusi GLC, selain lapan orang yang berjawatan menteri dan timbalan menteri. Dalil senang dicari, meskipun kontradik dengan idealisme silam. PM sedang membina kubu pertahanan yang kukuh, mengelak kerajaan tanpa mandat rakyat itu roboh di Dewan Rakyat nanti.

Lagipun majoriti rakyat sekarang diasak persoalan hidup mati, mereka tidak mahu kusutkan kepala dengan “isu-isu politik”. Orang ramai lebih memikirkan survival diri dan keluarga. Esok belum pasti ada pekerjaan atau tidak, cukup makan atau terpaksa mengemis bantuan, anak-anak boleh sambung belajar atau dapat pekerjaan?

Seringkali parti pemerintah mempunyai kelebihan dalam pilihan raya yang diadakan ketika negara menghadapi ancaman keselamatan. Misalnya PRU1964 selepas peristiwa konfrontasi dengan Indonesia, atau PRU1974 selepas tragedi 13 Mei 1969. Pandemik Covid-19 lebih tragis dan ngeri berbanding bencana lain yang pernah melanda. Ia juga memberi impak besar kepada seluruh planet bumi ini.

Malah saya perhatikan, kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya rakan-rakan dalam Parti Amanah Negara, seperti melancarkan gencatan senjata politik. Lebih tertumpu kepada usaha membantu dan menolong rakyat, dengan melancarkan aneka inisiatif meringankan beban hidup seharian, selain muncul dalam siaran FB live, menyampaikan tazkirah atau pesanan bermanfaat di musim berkurung PKP ini. Sememangnya ia langkah proaktif yang baik, meskipun sudah tidak berada di tampuk kuasa, kecuali di peringkat negeri tertentu.

Bagaimanapuh, tidak kurang pihak yang semacam kurang berpuashati dengan sikap pemimpin yang dilihat pasif atau kurang berani memberi reaksi proaktif terhadap hal-hal semasa, termasuk berkaitan wabak maut ini. Dalam masa sama, parti-parti yang berjaya merebut kuasa melalui pengkhianatan, dilihat memiliki kelebihan sebagai penguasa di waktu genting ini. Apa pun, rakyat dapat menilai prestasi menteri-menteri yang nampak bercelaru, dengan kenyataan saling bercanggah, menambah lagi kerisauan rakyat menempuh zaman tidak menentu ini.

II.

Semasa Barisan Nasional memerintah dahulu, ada mesyuarat majlis tertinggi BN. Waktu Pakatan Harapan mentadbir negara, ada mesyuarat majlis presiden PH. Sekarang, Perikatan Nasional mengambil alih kuasa melalui pintu belakang, tanpa memperolehi mandat rakyat terlebih dahulu, soalnya apa struktur organisasi PN, siapa kepimpinan tertingginya, apakah mereka ada jadual tetap untuk bermesyuarat terutama memutuskan polisi dan dasar negara?

Beberapa pimpinan utama Umno-Pas, sekutu utama PN tidak ada dalam Kabinet Muhyiddin-Azmin, seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hassan (hatta pemegang jawatan dalam umno yang dilantik menteri seperti setiausaha agung, ketua penerangan pun digugurkan daripada jawatan parti) dan Abdul Hadi Awang, di mana mereka boleh menyuarakan pandangan dan nasihat terhadap kerajaan jika mesyuarat tertinggi PN tidak diadakan? Hadi sudah dilantik duta khas bertaraf menteri, tentu ada akses istimewa dengan perdana menteri; boleh secara langsung memberi teguran dan nasihat. Bukankan impiannya sejak lama untuk menjadi penasihat kerajaan?

PN juga rasanya belum diikat dengan apa-apa bentuk persefahaman dan kerjasama secara bertulis. Belum terjumpa deklarasi bersama yang dipersetujui semua parti dalam gabungan longgar itu. Umno secara terbuka tidak mengiktiraf kerajaan pintu belakang ini sebagai perkongsian kuasa di antara parti, tetapi hanya kerjasama ahli-ahli Parlimen tertentu. Pastinya, fokus dan target Umno lebih tertumpu kepada PRU15.

Okey, kita beri masa dan peluang lagi untuk mereka belajar mencari keserasian dan mengagihkan habuan. Mungkin juga Muhyiddin sendiri sibuk amat sangat dengan isu Covid-19 serta implikasi ekonominya dan tak sempat berfikir untuk Perikatan Nasional. Lagipun PN naik secara kudeta, tanpa manifesto, tanpa janji pilihan raya, maka mereka tidak terikat dengan apa-apa janji pembaharuan.

Kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP sudah terbentuk. Tanpa Anwar Ibrahim yang menjadi boneka Amerika, Eropah, Freemason dan Singapura itu, ‘kan? Tiada lagi ancaman terhadap Melayu-Islam, ‘kan? Yang lain-lain, boleh ejas, ‘kan? Isu-isu LGBT, murtad, arak, kematian Adib, sekolah vernakular, Islam liberal, sudah senyap, ‘kan? Polemik pengurusan Tabung Haji telah selesai, ‘kan? Macam zaman dikuasai orang politik dulu, Pas pun berpuas hati, ‘kan?
Sudah sempurna sebuah impian, ‘kan?

Pengalaman semasa BN mentadbir dulu, majlis tertinggi gabungan itu sememangnya tidak berfungsi. Boleh dibilang dengan hari kekerapan mesyuaratnya. Yang lebih dominan dan menguasai adalah mesyuarat majlis tertinggi Umno. Mungkin itu antara faktor mereka agak janggal dan rimas dengan situasi Perikatan Nasional. Kedudukan parti-parti — Bersatu, Umno, Pas dan GPS — agak seimbang. Malah tiga parti Melayu itu akan bersaing di konstituensi hampir sama.

Dr Maza akan dilantik Mufti Wilayah?

MALAYSIA DATELINE
Khabar angin kini bertiup kencang bahawa Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainol Abidin akan dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru.

Menurut sumber, Mohd Asri akan menggantikan Datuk Dr Zulkifli Mohd Albakri yang kini sudah dilantik sebagai Menteri Agama.

“Saya dapat maklumat Dr Maza akan dilantik sebagai Mufti Wilayah,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline.

Mohamad Asri telah dilantik semula sebagai Mufti Perlis pada Januari 2015 yang lalu bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun 2014.

Mohd Asri, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 Nov 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.

Selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Mufti Perlis, beliau kembali menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.