"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Tinju melayang di bilik gerakan PH selepas kalah

Malaysiakini

Pergaduhan tercetus di bilik gerakan utama PH selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil (PRK) Rantau yang memihak kepada calon BN Mohamad Hasan.

Situasi tegang berlaku apabila ahli PKR dari Kuala Lumpur menyalahkan ahli parti dari kalangan penduduk tempatan susulan keputusan yang tidak memihak kepada calon mereka, Dr S Streram.

Susulan itu, berlaku jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat.

Dalam beberapa minit, situasi kemudian bertukar menjadi pergelutan.

Wartawan Kini TV Daniel Anthony yang berada di bilik gerakan utama diarah berhenti membuat rakaman pergaduhan itu, sementara telefon bimbitnya dirampas oleh individu yang berada di situ.

Polis ketika ini berada di tempat kejadian.

Ketika berita ini ditulis, keputusan rasmi PRK Rantau belum diumumkan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan Malaysiakini dari jumlah undi yang dipaparkan di pusat pengiraan undi, Mohamad sudah memperoleh jumlah undi yang diperlukan untuk memastikan kemenangan.

Setakat 7.05 malam tadi, Mohamad sudah mendapat 8,442 undi berbanding pencabar terdekat iaitu calon PH yang memperoleh 4,642 undi.

Pengiraan itu dengan anggaran 79 peratus keluar mengundi dari 20,926 pengundi yang layak.

MB baru Johor angkat sumpah esok

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk melantik menteri besar Johor yang baru pagi esok.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, juga telah berkenan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar akan diadakan pada hari Ahad, 14 April 2019, jam 9.30 pagi di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene," kata kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Negeri Johor Azmi Rohani.

Kenyataan media itu juga memaklumkan bahawa Sultan Johor telah berkenan menerima peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor pagi tadi.

Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak menyebutkan nama menteri besar Johor yang baru.

Berlian merah jambu dibeli guna wang 1MDB - Polis

Polis hari ini menyangkal penafian isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor berhubung pembelian berlian merah jambu berharga AS$23 juta.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Khalil Azlan Chik berkata, terdapat bukti jejak kewangan transaksi pembelian tersebut daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang 1MDB.

"Walaupun pink diamond tersebut gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti yang terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya," kata beliau.

Mustahil Presiden Pas tidak tahu rundingan bayaran RM1.4 juta

ASUHA RAHMAN
Tindakan lima individu Pas bertemu dan berunding dengan tokoh korporat dan dermawan Datuk Rameli Musa berhubung kes bayaran RM1.4 juta kepada Sarawak Report telah mengundang rasa simpati terhadap presiden parti itu.

Ini kerana, tindakan mereka telah membelakangi sehingga presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengetahui apa-apa berhubung pembayaran kepada Sarawak Report.

Malahan, Abdul Hadi menafikan sekeras-kerasnya beliau telah membuat pembayaran itu sehingga beliau mengadakan solat hajat dan mengadu kepada Allah SWT.

Namun, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Aiman Athirah Al-Jundi berpendapat adalah mustahil seorang presiden tidak tahu rundingan berlaku tanpa pengetahuan orang nombor satu parti itu, Pas.

“Kalau Abdul Hadi kata dia tidak tahu saya rasakan ia agak musykil. Ada kecenderungan beberapa pihak melahirkan simpati dengan dia dan ada orang cuba kenakan dia, saya tidak fikir begitu saya memang rasakan dia memang tahu,” katanya.

Laporan Malaysiakini telah mendedahkan tiga pemimpin Pas yang terlibat iaitu Setiausaha Agung Datuk Takiyudin Hassan, peguam yang juga AJK Pas Pusat Wan Rohimi Wan Daud dan bekas setiausaha politik Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar.

Athirah yang juga Senator Dewan Negara berkata, salah seorang yang terlibat adalah Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar iaitu bekas Setiausaha Politik Abdul Hadi sudah tentu beliau tahu segalanya.

“Mustahil mereka ini membelakangkan Abdul Hadi. Tidak mungkin,” katanya,

Beliau tidak menolak tindakan ini adalah stategi untuk orang bawahan Pas bukannya musuh politik mereka yang sudah tahu bahawa Pas beberapa kali membohongi rakyat Malaysia.

“Untuk tangani pengundi atas pagar dan juga ahli-ahli Pas di bawah perlu dibuktikan bahawa Abdul Hadi adalah bersih. Sebab semua kekuatan walak itu kepada kepimpinan ulama. Pemimpin bukan ulama tidak ada masalah.

“Tetapi jika Abdul Hadi yang rosak maka hancurlah Pas. Hadi mesti bersih untuk memastikan walak Pas berterusan dengan mereka di atas pagar,” dakwa beliau.

Katanya, jika perkara ini benar-benar berlaku Abdul Hadi boleh menafikan semula bahawa beliau tidak terlibat dan menjadi mangsa.

“Kita cabarlah beliau tebus maruah dia semula. Kes ini isu besar membabitkan Abdul Hadi dengan Sarawak Report. Ia bukan jadi perhatian di Malaysia sahaja bahkan dunia. Dia boleh tipu ahlinya tetapi bukan dunia.

“Kita tuntut dia baiki semula imejnya jika dia betul-betul jadi mangsa kes ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Bahkan katanya, mungkin ramai yang ingin tahu apa tindakan beliau terhadap lima orang terbabit yang membelakangi dan gagal memberi maklumat kepada Abdul Hadi sehingga beliau menjadi mangsa.

“Jika tidak berlaku bagi saya ianya semata-mata untuk mengawal kerosakan yang berlaku di dalam Pas
iaitu terima duit Umno, kes Sarawak Report yang secara tidak langsung sudah boleh dibuktikan dengan audio Nik Abduh,” tegas beliau.

Terdahulu, Abdul Hadi Awang telah bertemu dengan ahli perniagaan dermawan Datuk Rameli Musa bagi mendengar sendiri apa cerita di sebalik dakwaan wang RM1.4 juta yang dibayar kepada Sarawak Report.

Sumber memberitahu Malaysia Dateline, dalam pertemuan minggu lalu di sebuah kondo itu, Rameli telah memaklumkan kepada Hadi bagaimana beliau boleh membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Claire Recastle Brown itu.

Hadi dikatakan sangat terkejut dengan cerita Rameli kerana beliau mendakwa tidak mengetahui mengenainya.

Rameli telah memaklumkan kepada Hadi bahawa lima pemimpin Pas telah datang berjumpa beliau bagi memohon pinjaman RM1.4 juta selepas mereka berbincang dengan Claire bagi membolehkan saman itu ditarik balik.

Latheefa Koya Cuba sekolahkan TMJ

Hujah TMJ betul-betul tak cerdik, kata kumpulan peguam

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik hujah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menentang usaha Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Hujah seperti ini betul-betul tak cerdik (downright silly) dan tidak matang.

“Kenapa kita ada undang-undang trafik – jika kita masih ada kemalangan? Dengan logik anda, biar kita buang peraturan trafik.

“Pergi baca sejarah sikit dan lihat bagaimana masyarakat antarabangsa membuang Apartheid,” kata Pengarah eksekutif LFL Latheefa Koya.


Latheefa Koya
@LatheefaKoya
this kind of argument is downright silly and immature. why are we still having traffic laws then - since we still have accidents? by your warped logic, lets get rid of traffic rules lah.. Go read up some history & find out how the international community got rid of apartheid.

HRH Crown Prince of Johor
@HRHJohorII
If all these international treaties are really good and effective, then why do we still see the atrocities towards Palestinians in Palestine over the last few decades? Full stop.

207
3:34 PM - Apr 12, 2019
Twitter Ads info and privacy
158 people are talking about this

Beliau merujuk tulisan TMJ di Twitter pada 6 April yang mempersoalkan kenapa kita memerlukan perjanjian antarabangsa ketika kekejaman masih berlaku terhadap rakyat Palestin.

Kenyataan TMJ itu dibuat sehari selepas Mahathir mengumumkan Malaysia menarik diri dari menyertai Statut Rom kerana kekeliruan ditimbulkan “seorang individu yang mahu bebas memukul orang”.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 12,000 telah menandatangani petisyen atas talian menggesa kerajaan meneruskan usaha menyertai Statut Rom.

Petisyen itu dimulakan kumpulan pelajar yang membocorkan ringkasan eksekutif empat ahli akademik yang didakwa meyakinkan Mahjlis Raja-raja untuk menolak Statut Rom.

Ahli perniagaan terkenal dan isteri didakwa perdagang 3 pembantu rumah

Bernama
KLANG: Pasangan suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 3 pertuduhan memperdagangkan 3 pembantu rumah warga Indonesia antara 2012 dan bulan lepas.

Ahli perniagaan, K Ketheeswaran, 58, dan isterinya Vivienne Ketheeswaran, 63, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di depan hakim Roszianayati Ahmad.

Ketheeswaran, bekas presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan isterinya didakwa bersama-sama memperdagangkan wanita berumur 25, 29, dan 41 tahun itu bagi maksud eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di Kajang, antara Oktober 2012 dan 21 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan, selain pasport mereka diserah kepada mahkamah.

Peguam Shashi Devan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, anak guamnya bersedia membayar jumlah jaminan yang dicadangkan serta bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Roszianayati kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bagi kesemua pertuduhan, selain memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Media sebelum ini melaporkan 3 pembantu rumah warga asing melarikan diri dari sebuah banglo di Kajang untuk mendapatkan pertolongan di kedutaan Indonesia selepas mendakwa ditampar dan ditumbuk majikan mereka.

Letupan, kebakaran di Rapid Pengerang

Petronas mengesahkan berlaku kebakaran dan letupan di tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor awal pagi tadi.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku jam 1.28 pagi tadi.

"Pasukan Kecemasan dan Kebakaran kami dikerahkan dan api dapat dikawal dalam 30 minit. Keadaan ketika ini terkawal dan semua pihak berkuasa berkaitan sudah dimaklumkan.

"Kami akan berikan maklumat tambahan sementara siasatan sedang dijalankan," kata kenyataan media Petronas hari ini.

Malaysiakini sudah menghubungi Petronas untuk maklumat lanjut.

Laporan media mengatakan kebakaran dan letupan berkenaan kemungkinan disebabkan oleh kebocoran tangki gas.

Pengguna media sosial mendakwa merasakan gegaran akibat letupan di Pasir Gudang yang terletak kira-kira 80 kilometer perjalanan menaiki kereta.

Kertas undi pemilihan awal memihak Jokowi ditemui di Bangi

Lebih daripada 50 beg plastik yang dipenuhi dengan kertas pengundian awal pemilihan presiden Indonesia dilaporkan ditemui di dua lokasi di Bangi dan Kajang hari ini.
Kertas undi itu ditemui menjelang pengundian awal bagi penduduk Indonesia yang menetap di luar negara Ahad ini.
Portal Online Detik.com memetik ketua jawatankuasa pemantau pilihan raya bagi Kuala Lumpur Yaza Azzahra mengesahkan penemuan kertas undi yang ditandai memihak kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan pasangannya Ma'aruf Amin serta beberapa calon pilihanraya legislatif dari gabungan mereka.
"Saya menerima maklumat sekitar tengah hari dan saya segera pergi ke lokasi di mana terdapat kertas undi yang ditandakan.
“Berdasarkan sampel yang kami ambil, kami dapati kertas undi yang ditandakan dengan majoriti ditandakan untuk '01',” Yaza dilaporkan sebagai berkata.
Beliau merujuk kepada pasangan Jokowi-Ma'aruf yang bertanding dengan bekas panglima tentera Prabowo Subianto dan gandingannya Sandiaga Uno, disenaraikan di kertas undi sebagai "02".
"Kami telah memaklumkan kepada badan pemantau pemilihan (di Jakarta) mengenai perkara ini," beliau dilaporkan sebagai berkata.
Sementara itu, menurut sumber kepada Malaysiakini jumlah kertas undi yang telah ditandakan mencecah 50,000 termasuk di lokasi kedua di Sungai Tangkas, Bangi.
"Terdapat 97 beg yang terdapat di rumah kedai di Taman Kajang Utama dan 158 beg yang ditemui di Sungai Tangkas, setiap beg mengandungi kira-kira 200 undi yang ditandakan," kata sumber itu.



Portal Kumparan.id memetik Pesuruhjaya Badan Pemantau Pemilihan Indonesia, Fritz Edward Siregar pula sebagai mengesahkan menerima laporan itu dan meminta menggantung sementara pemilihan di Malaysia.
"Kami akan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menggantung proses pengundian di seluruh Malaysia sehingga notis selanjutnya," kata Siregar.
Pengundian awal bagi penduduk Indonesia yang menetap diluar negara akan diadakan pada Ahad ini akan dijalankan oleh pewakilan asing bersama dengan jawatankuasa pemantau pilihan raya.
Kira-kira 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia menetap di Malaysia membentuk jumlah terbesar pengundi luar negara republik itu.
Timbalan duta besar Indonesia ke Malaysia Krishna KU Hannan sebelum ini berkata enam pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara pada 14 April di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu.

Hari ini, beberapa video tular dimedia sosial berkaitan serbuan di sebuah rumah kedai kosong di Bangi.
Serbuan itu dipercayai disertai oleh pasukan polis dari Balai Polis Bangi.
Difahamkan, laporan polis turut dibuat keatas penemuan kertas undi tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bagi meminta maklum balas.
Difahamkan, perkara itu sedang disiasat oleh Bukit Aman dan satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Nama saya terjejas dan tercalar, luah Rameli

MALAYSIA DATELINE

Tokoh korporat, Datuk Dr. Rameli Musa meluahkan rasa kesal terheret dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembayaran cek RM1.4 juta antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pengasas portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

“Nama saya terjejas dan tercalar di luar negara di mana saya banyak mencari rezeki,” katanya dipetik dari laporan Malaysiakini hari ini.

Menurut pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) itu beliau bagaimanapun berasa kasihan kepada pihak yang tidak berusaha untuk menyekat penyebaran fitnah.

“Tetapi saya kasihan mereka yang sebar fitnah dan mereka yang mampu menyekat fitnah tetapi tidak berusaha untuk melakukannya.

“Saya berdiam sehingga kini kerana SPRM masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Rameli memberi reaksi itu hanya kira-kira hampir dua bulan dikaitkan dengan penyelesaian saman antara Abdul Hadi dan Clare Rewcastle-Brown.

Beliau turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diminta menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pembayaran itu pada 5 Mac lalu iaitu lima hari selepas pembayaran dikatakan dibuat.

Ada banyak cubaan lagakan istana dengan k’jaan - PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cubaan pihak tertentu untuk membuatkan raja-raja kurang senang dengan kerajaan semasa tidak akan berjaya kerana kerajaan dipilih oleh rakyat secara demokratik.

“Ada banyak cubaan untuk jadikan raja jengkel dengan kerajaan. Mereka pilih perkara-perkara seperti Statut Rom… tetapi ia tidak akan berhasil, ia akan gagal. Mereka boleh cuba nasib mereka.

"Mereka tidak akan berjaya kerana kerajaan dipilih oleh rakyat. Ini adalah demokrasi dan anda tidak boleh sewenang-wenangnya jatuhkan kerajaan.

“Melainkan anda mahu ketepikan demokrasi dan jadi kleptokrasi atau anda boleh jadi autokrasi,” kata Dr Mahathir apabila ditanya tentang kebimbangan berhubung kewujudan ‘deep state’ atau ‘negara dalam negara’ yang boleh menjejaskan Putrajaya.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Malaysian Autoshow 2019 anjuran Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), pameran kenderaan terbesar ASEAN yang bermula hari ini hingga 14 April di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Baru-baru ini, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata keputusan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) merupakan langkah ‘politik’ kerana bimbang akan cubaan rampasan kuasa yang didorong oleh kuasa di belakang tabir.

Statut Rom merupakan triti yang mewujudkan ICC.

Saifuddin juga dipetik berkata sejarah membuktikan rampasan kuasa atau kudeta merupakan reaksi biasa kemajuan demokratik dan pemberontakan rakyat susulan pilihan raya, dan ia biasanya dicetuskan oleh “deep state”.

Menurut laporan itu, “deep state” juga dikenali sebagai “state within a state’ (negara dalam negara) merujuk kepada satu bentuk kerajaan sulit atau rangkaian yang beroperasi secara berasingan daripada kepimpinan politik sesebuah negara, bagi memenuhi agendanya sendiri.
-Bernama

Berlian merah jambu bukan tentang Rosmah, tetapi siapa yang bayar

Sean Augustin
SEREMBAN: Pendedahan oleh Putrajaya bahawa cincin berlian merah jambu 22 karat yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor tidak dibeli oleh beliau , tidak menafikan kenyataan bahawa ia dibeli dengan menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB, kata Rafizi Ramli.

Naib presiden PKR itu, yang lantang mengkritik skandal tersebut sebelum ini berkata, tidak ada orang yang menyoal sekiranya ia dibeli sebagai hadiah kepada Rosmah, seperti yang didakwa oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Rafizi merujuk kepada temu bual Najib dengan Al-Jazeera Oktober lepas dan beliau mendakwa ia (cincin) merupakan hadiah daripada putera Arab Saudi, Sheikh Mansour, adik kepada putera mahkota Sheikh Mohammed bin Zayed, kepada Rosmah.

“Isunya siapakah yang membayar dan wang siapakah yang digunakan (untuk membelinya).

“Berdasarkan pemfailan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), dipercayai ia (wang) datang daripada dana 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas satu ceramah di sini, malam tadi.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, Najib boleh memberi apa-apa juga alasan, tetapi ia hanyalah kata-katanya menentang dakwaan DoJ.

Awal minggu ini, Najib mengkritik pihak yang sebelum ini mendakwa Rosmah membeli cincin berlian itu selepas Dewan Rakyat mengesahkan pembelian tidak berlaku.

Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, seorang ejen jualan membawa masuk cincin berlian itu ke Malaysia berserta barang kemas lain untuk “isteri seorang VVIP” dan mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam.

Katanya ejen jualan itu juga mengisytiharkan barang kemas terbabit ketika membawanya keluar dari Malaysia.

Bagaimanapun Rafizi membandingkan isu tersebut dengan kapal layar mewah Equanimity, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho.

Beliau berkata, jika ditanya di Dewan Rakyat tentang siapakah pemilik kapal layar itu, nama Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, tidak akan disebut.

“Ini kerana siasatan yang dijalankan mendedahkan ia dibeli oleh sebuah syarikat luar persisir yang dikaitkan dengan Low,” katanya.

Tok Mat 'penipu' skandal tanah Gatco, dakwa peneroka

B Nantha Kumar

PRK RANTAU | Jawatankuasa Bertindak Badan Peneroka Gatco hari ini mengecam bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan sebagai penipu dalam skandal tanah Gatco.

Mereka turut menyaran pengundi DUN Rantau supaya mengundi Mohamad yang juga merupakan calon BN bagi PRK DUN Rantau pada 13 April ini.

"Mat Hasan ini seorang penipu. Saya meminta pengundi Rantau jangan undi dia pada PRK ini," dakwa Setiausaha Jawatankuasa Badan Bertindak Gatco, John Cantius Francis kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan PH di Rantau.

Francis mendakwa Mat Hasan menipu 170 peneroka berkenaan kerana tidak menunaikan janji memberikan pampasan tanah ganti sebagaimana yang dipersetujui dalam penjanjian awal.

"Tetapi, saya nak tanya beliau mana tanah yang dijanji kepada hampir 170 peneroka yang berkebanyakan penyokong BN yang dijanji empat ekar tanah pada 2015," katanya yang turut menggesa pihak berkuasa menyiasat penglibatan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Taki kira penyokong sendiri

Menurutnya, pada 15 Jun 2015, hampir 170 peneroka Gatco bersetuju dengan penyelesaian yang ditawarkan Mohamad supaya mereka menerima empat ekar tanah, walaupun pada awalnya peneroka menuntut pampasan tanah seluas lapan ekar.

"Majlis secara besar-besaran diadakan dianjurkan oleh kerajaan negeri.

"Soalan saya, adakah 170 peneroka ini yang menerima desakan Mat Hasan (untuk bersetuju dengan tawaran penyelesaiannya) sudah mendapat empat ekar yang tanah dijanji. Masih tidak ada.

"Inilah belang sebenar Tok Mat yang menipu bukan sahaja kami malah, tidak mengambil kira penyokong sendiri," katanya lagi.

Francis selanjutnya mendakwa Mohamad tidak menghormati keputusan menteri besar sebelumnya, Isa Samad yang bersetuju memberikan pampasan tanah seluas lapan ekar kepada peneroka Gatco.

"Saya juga di sini cabar beliau kalau seorang pemimpin jiwa rakyat kenapa tidak menunaikan keputusan bekas menteri besar Mohd Isa Samad yang terdahulu dimana membuat keputusan di mesyuarat exco untuk memberikan lapan ekar kepada peneroka pada awal 1990-an.

"Lebih-lebih lagi adanya hampir 130 peneroka Melayu dalam Ladang Gatco ini yang turut dianiaya oleh Mat Hasan," katanya lagi.

Untuk rekod, tanah yang terbabit dalam pertikaian itu, seluas kira-kira 4,700 ekar, telah dipajakkan kepada The Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) pada tahun 1977 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC).

Gatco ditubuhkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang bagi tujuan skim pembangunan tanah untuk ahli-ahlinya.

Peneroka sekarang telah membayar RM7,600 sebagai deposit untuk menjelaskan plot tanah yang diperuntukkan sebagai sebahagian daripada skim pembangunan itu.

Tanah tersebut pada awalnya dirancang untuk dijadikan ladang getah, namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek berkenaan terbengkalai dan gagal.

Kemudiannya, tanah tersebut dirampas pihak berkuasa sebelum ditawarkan dalam lelongan awam pada 2004 dan dibeli oleh Thamarai Holdings pada 2007.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Jika raja yang pilih MB, M'sia bukan lagi negara demokrasi

Geraldine Tong

Jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah agar "pihak-pihak tertentu" berhenti mencampuri urusan negeri itu.

"Saya berpendapat kalau kita anggap yang akan memilih perdana menteri dan menteri besar ialah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi," katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata rakyat telah memilih parti dalam pilihan raya dan parti seterusnya ada hak untuk melantik menteri besar.

"...Tetapi (apabila) hak ini dinafikan maka kita bukan (lagi) demokrasi. Kita sudah jadi negara (dengan sistem) raja berkuasa mutlak," katanya lagi.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini, Sultan Ibrahim juga menyarankan "pihak tertentu" itu menumpukan usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan," titahnya.

Walaupun Sultan Ibrahim tidak merujuk mana-mana isu secara khusus, dipercayai baginda mengulas peletakan jawatan Osman Sapian seabgai menteri besar dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan berkenaan penggantinya.

Mahathir mengesahkan peletakan jawatan Osman semalam dan berkata Bersatu sendang menimbang beberapa nama untuk memegang jawatan itu.

Bukan raja berkuasa mutlak

Sementara itu, Mahathir menegaskan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya raja berkuasa mutlak.

"Di waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenal Perlembagaan Persekutuan dan di dalamnya dinyatakan bahawa Persekutuan Tanah Mealyu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukan raja berkuasa mutlak.

"Kalau masih ada undang-undang perlembagaan Johor, ia terbatal kerana Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara kita ini," katanya lagi.

Dengan nada sarkastik, beliau mencadangkan diadakan perbahasan sama ada untuk meneruskan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia - yang mana Raja-raja Melayu hanya bertindak atas nasihat perdana menteri di peringkat persekutuan dan menteri besar di negeri.

"Jika kita hapuskan (sistem) itu, maka kita tak perlu adakan pilihan raya lagi," katanya.

Semalam, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan.

Exco kerajaan Johor dari Bersatu, Sahruddin Jamal dikatakan sebagai calon utama untuk menggantikan Osman.

Siapa 2 lagi pemimpin Pas yang perdaya Presiden

MALAYSIA DATELINE
Perdaya presiden: Siapa 2 lagi pemimpin Pas
Siapakah dua lagi orang berpengaruh dalam Pas yang memperdaya presiden mereka sehingga Abdul Hadi menipu kepada umum bahawa Pas atau beliau tidak membuat sabarang bayaran kepada Claire?
Siapakah dua lagi orang berpengaruh dalam Pas yang telah gagal memberikan maklumat yang sebenar kepada presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga beliau terpaksa ‘menipu’ dalam kes bayaran RM1.4 juta kepada Sarawak Report.

Ini berikutan laporan Malaysia Dateline dan Malaysiakini bahawa lima pemimpin Pas telah terlibat dalam rundingan dengan tokoh korporat yang dermawan Datuk Rameli Musa untuk membolehkan beliau mendahulukan bayaran itu kepada pengarang Sarawak Report, Claire Recastle Browm.

Malaysiakini telah mendedahkan tiga pemimpin Pas yang terlibat iaitu Setiausaha Agung Datuk Takiyudin Hassan, peguam yang juga AJK Pas Pusat Wan Rohimi Wan Daud dan bekas setiausaha politik Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar.

Kini banyak pihak tertanya-tanya, siapakah dua lagi pemimpin Pas yang terlibat memberikan gambaran yang tidak betul kepada Hadi itu.

Sebelum ini, Hadi ketika bercakap kepada media berkata, beliau atau Pas tidak membuat sebarang bayaran kepada Claire selepas Pengarang Sarawak Report itu berkata, beliau menerima wang RM1.4 juta dari Hadi melalui Rameli Musa.

Claire mendakwa, peguam beliau menerima sekeping cek bayaran itu bagi membolehkan beliau bersetuju untuk membolehkan Hadi menarik balik samannya di London itu.

Menurut laporan, lima pemimpin Pas telah menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu saman antara Hadi dengan Claire.

Hadi membuat keputusan untuk menarik balik samannya terhadap Sarawak Report itu. Claire pula bersetuju tetapi dengan syarat kos guaman yang telah beliau tanggung akibat saman itu diselesaikan oleh Pas.

Dalam perbincangan itu, Claire setuju agar RM1.4 juta dibayar kepada beliau.

Lima pemimpin Pas itu terlibat berunding dengan Rameli Musa untuk membolehkan beliau mendahulukan bayaran itu dan bayaran balik akan dibuat oleh Pas kepada Rameli.

Namun apabila penarikan balik kes itu selesai, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mempunyai maklumat Hadi membayar RM1.4 juta kepada Claire untuk membolehakn kes itu ditarik balik.

Claire pula dalam satu tulisannya di Sarawak Report mengesahkan mengenainya dengan menunjukkan salinan cek dan nombor cek itu.

Namun Hadi menafikan beliau atau Pas ada membuat sebarang bayaran kepada Claire.

Menurut Malaysiakini, Takiyuddin Hassan mengakui beliau antara pihak yang berbincang dengan tokoh korporat Rameli Musa berkaitan kes saman presidennya Hadi Awang dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di United Kingdom.

Bagaimanapun, kata setiausaha agung Pas itu, beliau hanya terlibat dalam perbincangan umum dan tidak tahu menahu berkaitan dakwaan Rameli membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan saman itu.

“No, no, no, tak ada. Tak bincang tentang pembayaran dan tak pernah bincang,” katanya ditanya sama ada pertemuannya dengan Rameli membincangkan soal bayaran itu.

“Adalah bincang mengenai Sarawak Report secara umum tetapi pembayaran, jumlah pembayaran, kaedah pembayaran tak ada (sentuh).

“Kalau ada dibincangkan pun saya tak tahu. Tetapi semasa kehadiran saya tidak ada dibincangkan.”

Parti pemerintah berhak tentukan calon MB, bukan Sultan Johor, kata PM

MALAYSIADATELINE
Dr Mahathir Mohamad bertegas parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baru, bukannya sultan, susulan kritikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Pakatan Harapan dalam isu itu semalam.

“Ini adalah hal politik, sultan tiada peranan. Peranannya ialah untuk parti yang memenangi pilihan raya menentukan siapa patut mengetuai,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15, seperti dipetik FMT hari ini.

Semalam, Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor yang disusuli kritikan Tunku Ismail berhubung calon pilihan Pakatan Harapan.

Tunku Ismail dilaporkan berkata, pemilihan menteri besar Johor ialah hak mutlak sultan.

Mengenai spekulasi Adun Bukit Kepon, Dr Sahruddin Jamal akan dilantik sebagai pengganti Osman, Mahathir berkata: “Saya tidak tahu.”

Rakyat Johor tolak pemimpin jadi ‘boneka’ golongan elit, kata Kadir

FMT Reporters
PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin berkata rakyat tidak boleh menerima dan melayan cabaran golongan elit terhadap kerajaan yang dipilih mereka, susulan peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor.

“Sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan memberi harga diri kepada setiap orang yang cukup umur 21 tahun melalui hak mengundi.

“Tetapi hak itu akan menjadi tidak berguna dan akhirnya hilang apabila wakil yang mereka pilih berubah daripada menjadi wakil rakyat kepada boneka pihak-pihak tertentu,” tulisnya menerusi catatan blog.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Osman meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam.

Perkembangan ini menyusuli desas-desus mengenai penukaran menteri besar Johor yang mengiringi pertemuannya dengan Mahathir semalam.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan.

Tunku Ismail juga berharap menteri besar yang baru bukanlah “yes man” Putrajaya, dan menambah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah meneliti untuk menukar menteri besar “sejak berbulan lalu”.

Kadir berkata beliau tidak bersimpati dengan Osman, lebih-lebih lagi membuat alasan bagi pihaknya.

“Saya berasa cukup yakin tekanan Pakatan Harapan, amnya dan parti beliau, PPBM khususnya supaya beliau meletakkan jawatan adalah tindakan bertimbang rasa demi kebaikan rakyat Johor.

“Orang Johor berhak mendapat menteri besar yang mampu menaikkan maruah mereka. Menteri besar yang mewakili keseluruhan rakyat jelata Johor dan bukan kelompok tertentu,” katanya, sambil menambah beliau juga tidak akan bertolak-ansur dengan bakal pengganti Osman.

Beliau turut mengakui kegagalan Osman yang dilihat tidak mengutamakan kepentingan rakyat yang memilihnya.

“Beliau tidak mentadbir Johor berasaskan suara majoriti, tetapi terus tunduk kepada kepentingan sempit golongan elit dan berduit,” katanya merujuk isu pemilikan tanah Pulau Kukup.

Terdahulu, Osman dilaporkan berkata, keputusan menggugurkan status Pulau Kukup sebagai taman negara dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) 7 Mac lalu, iaitu ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Sultan Ibrahim sebelum ini memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab taman negara akan menjadi tanah kesultanan bagi memastikan pulau itu dilindungi lebih baik berikutan perubahan statusnya.

Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian dengan keluasan 647 hektar, mempunyai ekosistem paya bakau dengan anggaran 18 spesis bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup dan jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung, kekayaan spesis bakau asli di kawasan itu lebih banyak.

Rosmah ditangkap SPRM, bakal didakwa esok (hari ini)

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan agensi antirasuah itu Rosmah ditahan berhubung siasatan mereka terhadap projek tenaga solar kerajaan.

Kata SPRM mereka menahan isteri Najib Razak itu kira-kira lima minit selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses akhir siasatan projek tersebut pada jam 1.40 petang.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Rosmah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok," katanya.

Menurut SPRM Rosmah sudah dibebaskan dengan jaminan petang ini.

Esok tokoh berprofil tinggi itu akan berdepan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut peruntukan itu seseorang itu boleh dianggap bersalah jika menerima atau bersetuju untuk menerima suapan untuk diri sendiri atau orang lain.

Jika didapati bersalah Rosmah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Untuk rekod sebelum ini pun Rosmah sudah berdepan dengan 22 tuduhan di mahkamah, termasuk 17 membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001

Tuduhan lain yang dikenakan ke atas Rosmah ialah meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta bagi projek bersepadu solar hibrid untuk sekolah di Sarawak.

MB Johor letak jawatan

Menteri Besar Johor Osman Sapian telah meletakkan jawatan semalam, menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata Osman menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam, hari sama beliau bertemunya di Putrajaya.

Menteri besar baru dijangka akan diumumkan tak lama lagi.

Felda dakwa ditipu dalam pembelian saham Eagle High

Felda membuat laporan polis dengan mendakwa ia ditipu dalam pembelian 37 peratus saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) oleh bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, Najib Razak.

Ketua Pengarah Felda Othman Omar dalam laporan polisnya semalam berkata Najib mengarahkan agensi itu untuk membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB), lapor The Edge Markets.

Tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi, termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, dan Lembaga Getah Malaysia.

Bagaimanapun, kata laporan itu, Felda akhirnya "dipaksa" untuk membeli syarikat itu.

Othman juga menyifatkan pembelian EHP sebagai bersifat "sepihak" dalam memberi manfaat kepada Rajawali Group (pemilik EHP), kerana terdapat banyak risiko dalam urusan itu, selain kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), mahupun dilihat akan memperolehnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tambah Othman lagi, jumlah yang dibayar untuk memperoleh 37 peratus dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilai sebenarnya iaitu AS$114 juta.


Bagi tujuan pembelian itu, Othman berkata Felda diberikan pinjaman RM8.4 bilion dari GovCo Holdings Bhd (GovCo), syarikat subsidiari di bawah Kementerian Kewangan ketika itu. Akibatnya, kata Othman, Felda terpaksa menanggung kerugian RM1.576 bilion setakat 31 Dis 2017.

Nilai pembelian itu ketika ini adalah RM555 bilion, kata Othman lagi.


Dia juga menyalahkan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad, penggantinya Shahrir Samad, selain bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani dan bekas timbalan menteri Razali Ibrahim yang menurut Othman turut memainkan peranan dalam perkara itu.

Laporan Othman itu turut menamakan tujuh individu yang menurutnya terlibat dalam jenayah konspirasi, pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, dalam transaksi Felda. Othman menggesa siasatan dijalankan.

Sebelum ini dilaporkan Felda berhasrat menamatkan perjanjian dengan Rajawali Group dan menuntut semula AS$500 juta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali berkata kerajaan akan menyerahkan kepada pengurusan Felda berhubung perkara itu.

3 didapati bersalah rancang culik Najib

V. Anbalagan

Nor Azmi Jalani, Mohd Yusri Mohamed Yusof, dan Ali Saifuddin selepas dibebaskan pada 2017. (Gambar Bernama)
PUTRJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mendapati 2 bekas askar dan seorang warga Indonesia bersalah merancang menculik bekas perdana menteri Najib Razak dan 2 pemimpin tinggi lain, menterbalikkan keputusan mahkamah 2 tahun lalu.

Nor Azmi Jalani dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, serta rakyat Indonesia, Ali Saifuddin semua dalam usia 30-an, didapati merancang untuk menculik Najib, timbalannya ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, serta menteri Hishammuddin Hussein and Khairy Jamaluddin.

Menurut keterangan, mereka berkonspirasi dengan seorang anggota militan, Abu Daud Murad Halimuddin, dan merancang menjadikan mereka tebusan untuk membebaskan beberapa orang yang ditahan bawah undang-undang keselamatan.

Abu Daud dihukum penjara 12 tahun selepas kesnya dibicarakan di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Hari ini, 3 panel hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Vernon Ong Lam Keat membenarkan rayuan pihak pendakwa.

“Selepas meneliti keterangan 3 responden, kami dapati mereka tidak menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan,” kata Ong dalam keputusan sebulat suara itu.

Katanya, pendakwa membuktikan kes tanpa keraguan munasabah walaupun pada penghujung kes pembelaan.

Ketiga-tiga lelaki yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, didakwa berkonspirasi untuk menjalankan kegiatan berkaitan terorisme antara 30 Januari dan 6 April 2015 di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Kesalahan tersebut, boleh dihukum bawah Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda.

Bagaimanapun, panel hakim menangguhkan hukuman hingga 14 April berikutan permohonan peguam, Syahredzan Johan bagi memberikan beliau masa untuk menyediakan rayuan anak guamnya.

Jasmee Hameezah Jaafar, Mohd Zin Ibrahim dan Azmi Mashud mewakili kerajaan.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan oleh pesuruhjaya kehakiman, Ab Karim Ab Rahman, tetapi tidak dilepaskan sementara menanti rayuan oleh pendakwaan.

Mangsa serangan Christchurch berpura mati kongsi pengalaman


Rahimi bersama isteri dan ibunya ketika masih menjalani rawatan dan fisioterapi di hospital di Christchurch
Umat Islam seluruh dunia pasti tidak akan melupakan tragedi berdarah serangan tembakan yang berlaku di dua masjid di Christchurch bulan lepas.

Insiden yang mengorbankan 50 nyawa itu ternyata membuatkan satu dunia meratap sedih.

Dan sehingga kini, ada lagi mangsa yang terselamat dan masih dirawat di hospital.

Salah seorang daripadanya adalah rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, yang terpaksa berpura-pura mati demi menyelamatkan dirinya.

Apabila mengimbau insiden tembakan itu, Rahimi menerimanya dengan ketentuan qada dan qadar Allah SWT dan tidak pernah berasa dendam terhadap perbuatan lelaki tersebut.

“Saya tidak berdendam atau rasa nak marah malah memaafkan perbuatan lelaki itu, cuma perbuatan dia yang salah perlu dihakimi dengan betul.

“Kalau kita maafkan dan dia terlepas begitu saja, tiada gunanya, saya maafkan perbuatan dia, tetapi dia kena diadili dengan betul serta menerima hukuman setimpal atas kesalahan dilakukannya,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berasa bersyukur kerana dirinya masih diberi peluang untuk hidup meskipun mengalami kecederaan.


Rahimi masih dalam keadaan terlantar sejurus selepas kejadian ditemani isterinya dan menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand. Jacinda Ardern
“Bagaimanapun, saya bersyukur dalam kejadian itu saya terselamat selepas berpura-pura mati sebaik terkena tembakan pertama di perut.


“Malah, ketika ditembak, saya meniarap dan mematikan diri manakala satu tubuh jemaah lain menghempap badan saya dan seorang lagi mengenai kaki saya.

“Selepas terkena tembakan, saya terus meniarap dan tidak mengangkat kepala langsung serta hanya mendiamkan diri dan berzikir. Saya dapat mendengar jemaah yang mengerang kesakitan ditembak lagi sehingga mati,” katanya.

Menurut laporan daripada media tempatan, Rahimi masih dirawat dan sedang menjalani rawatan fisioterapi.

Dia masih tidak boleh menggerakkan kakinya akibat daripada tembakan yang terkena pada bahagian perut.

“Saya ditembak di perut, tapi peluru pergi sampai ke tulang belakang dan pecah dalam badan hingga serpihan mengganggu sistem saraf termasuk kaki.

“Saya tidak pasti berapa lama di sini, mungkin sehingga saya mampu berjalan menggunakan tongkat, apabila ditanya kepada pakar, mereka pun tidak dapat menjawab,” katanya.

Selain itu, akibat kesan tembakan tersebut juga menyebabkan kaki kanannya seperti dicucuk jarum dan rasa macam terkena simbahan air panas.

“Ketika ini kaki kanan saya seperti dicucuk jarum, disimbah air panas, malah terasa kedudukan jari tengah berada di tepi, kaki pijak lantai tapi rasa tapak kaki di atas berikutan maklumat otak dan saraf tidak bertindak balas dan kaki kiri masih kebas hingga sekarang,” katanya lagi.

Rahim antara 3 rakyat Malaysia yang cedera manakala seorang remaja, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun disahkan terkorban bersama 49 lagi mangsa yang lain dalam serangan pengganas menembak di Christchurch pada 15 Mac lalu ketika umat Islam sedang menunggu untuk solat Jumaat.

Sumber: Harian Metro

Hujah dibalas hujah bukan cacian, seru

ARIF ATAN
Biro Dakwah Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan pentingnya sikap berlapang dada dan rasional dalam menyampaikan pendapat.

Pengerusinya, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, akhlak dalam berbahas amat diperlukan agar masa tidak dibazirkan dengan perbalahan.

“Saya melihat ketika dan saatnya apabila kita gagal mempamerkan akhlak dalam berbahas, berhujah dan berbeza pandangan maka natijahnya hanya sebuah emosi dan hilangnya sifat rasional.

“Banyak perkara yang kita berbeza, namun jangan lupa banyak lagi perkara yang kita bersetuju. Atas dasar itu, mengapa tidak kita berlapang dada dengan perkara yang boleh kita bersetuju,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak berkenaan, para asatizah hanya menyatakan pandangan dan berpegang dengan ilmu yang mereka yakini.

“Maka jika tidak bersetuju, datangkan hujah. Hujah dibalas hujah sebaliknya sikap mencaci amat bertentangan dalam Islam.

“Allah melarang keras cacian dan makian. Tugas kita sebagai Muslim masih mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memahamkan ummah tentang agama Islam sebagai jalan kehidupan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Saqif yang merupakan cicit kepada tokoh ulama terkemuka, Almarhum Ustaz Abu Bakar al-Baqir menyeru agar tidak membuang masa dengan berbalah kerana itu merugikan sebagaimana Allah telah berpesan dalam surah al-Asr.

TH akan lingkup jika terus ditadbir Umno - Mohamad Sabu

Bernama
Tabung Haji (TH) akan terus mengalami kerugian yang teruk jika ia masih di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau berkata di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), isu kelemahan tadbir urus kewangan yang membelenggu TH sebelum ini telah dan sedang diatasi.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi supaya jangan termakan dakyah dan fitnah daripada pembangkang kononnya TH diuruskan oleh DAP.

Beliau berkata demikian dalam ceramah PH di Kampung Mambau di sini, malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Hadir sama, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan, juga menegaskan bahawa di bawah kerajaan PH, bukan sahaja orang Melayu dibela bahkan semua kaum di negara ini turut terbela dan tuduhan pembangkang kononnya keistimewaan yang dinikmati kaum Melayu akan terhakis adalah tidak benar.

Beliau berkata UMNO dan PAS memainkan sentimen perkauman untuk menarik orang Melayu dengan mendakwa PH dikuasai oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru pengundi DUN Rantau khususnya orang Melayu tidak mempercayai momokkan bahawa nasib mereka tidak terbela di bawah PH dan menyokong calon PH bagi kelestarian kehidupan dan kawasan berkenaan.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.- BERNAMA

24 jam sebelum Umno-BN tumbang – Bahagian Kedua

HMAD LUTFI OTHMAN
24 jam sebelum Umno-BN tumbang – Bahagian Kedua
Selasa. 8 Mei 2018. Malam yang tenang dan nyaman. Tidak sampai 12 jam lagi pusat pengundian PRU14 akan dibuka. Kempen secara rasmi berakhir bila hari bertukar Rabu, jam 12 tengah malam. Tempoh 11 hari relatif pendek untuk menyampaikan mesej dan penerangan kepada pengundi. Namun ada kempen pilihan raya terdahulu yang lebih singkat. PRU 1999, paling kritikal buat Dr Mahathir Mohamad; kempen hanya 9 hari. PRU 2004, penampilan sulung Abdullah Ahmad Badawi sebagai ketua BN: sekadar 8 hari ditetapkan. Namun kelebihan penyandang atau inkumben apabila kempen disingkatkan semakin berkurangan kerana saluran maklumat tidak lagi dimonopoli dalam era langit terbuka ini. Apatah lagi begitu banyak dakwaan atau serangan Pakatan Harapan, misalnya skandal mega 1MDB, cukai regresif GST, pembaziran super mewah pembesar, ketirisan melampau dana awam dan kenaikan mencanak kos hidup, gagal dijawab BN.

Isteri berpeluh di dapur ketika saya naik ke tingkat atas untuk merehatkan tulang belakang yang terasa sakit dan ngilu. Esok pagi, khas untuk petugas pilihan raya sekitar Bukit Indah, Ampang, isteri saya menyediakan 100 pek nasi Arab kambing dan ayam. Ada wanita Amanah yang akan datang mengambilnya. Semasa berkempen sudah dua kali isteri menyumbang makanan. “Inilah saja khidmat saya yang cukup kecil untuk melihat kerajaan bertukar,” kata isteri saya, Siti Hawa, kepada salah seorang aktivis wanita yang singgah di rumah kami. Saya mendengar perbualan ringkas mereka yang turut bimbang dengan faktor Pas. Masing-masing risau jika pengundi yang menolak rejim Najib Razak akan berpecah dua dan ini bakal menguntungkan BN.

Malam masih muda. Hanya bunyi kipas yang ligat berpusing memecah kesunyian. Kedinginan turut dibantu penyaman hawa. Di atas katil, saya mencari keselesaan, dengan niat untuk rehat sebentar. Selalunya pada hari-hari dialisis, saya terlelap awal. Letih dan lesu, juga pening kepala yang kuat. Di luar sana, setiap calon dan jentera parti yang bertanding tentu akan memanfaatkan masa berbaki dengan sebaiknya. Apa pun saya yakin majoriti pengundi sudah menetapkan pilihan sejak awal, jauh sebelum tarikh Parlimen dibubarkan lagi. Kemajuan pesat teknologi maklumat, khususnya melalui aplikasi Whatsapp dan FB Live memudahkan mesej disebarkan dan perdebatan maya berlangsung. Tanpa perlu bersesak di lokasi kempen, dan hanya bersantai di ruang tamu atau kamar tidur, propaganda elit pemerintah melalui nedia tradisi yang dikontrol mutlak dapat disanggah.

Orang yang uzur seperti saya turut mendapat manfaat besar daripada teknologi ini. Dapat menghayati suasana di lapangan dan merasai riuh-rendahnya. Dengan pelbagai sudut rakaman, dibantu drone yang canggih, kita berupaya menonton situasi sebenar majlis-majlis ceramah umum Pakatan Harapan, terutama yang menampilkan Dr Mahathir. Semasa sihat, saya gemar membuat tinjauan dari dekat; menjadi saksi mata menatap wajah-wajah yang mendambakan perubahan, mendengar keluhan juga harapan audien yang setia berdiri di penjuru gelap pentas pidato, berkongsi cerita sambil menjamah mihun sup utara dengan kenalan baharu di tapak program. Ia bagai pesta yang cukup meriah.

Malam mengundi itu, di celah-celah lintasan panjang kenangan tentang kebangkitan rakyat, memori singkat saya terpecah-pecah. Sebagai bekas penyokong tegar Pas, himpunan ingatan terhadap krisis parti Islam itu mengasak muncul. Selepas PRU13, memang ramai yang kecewa kerana rejim BN tidak dapat ditumpaskan, tetapi lebih besar bilangannya yang tetap menaruh harapan untuk melihat idealisme perjuangan menjadi realiti. Ya, jiwa terhiris melihat negeri kelahiran Kedah tidak dapat dipertahankan; mengulangi nasib Terengganu pada 2004, menjadi kerajaan sepenggal. Perak yang melahirkan Pakatan Rakyat pada 2008, dan digulingkan setahun kemudian melalui rampasan kuasa tidak bermoral juga gagal direbut semula. Pengundi Melayu seolah-olah termakan dengan propaganda bahawa Pakatan dikuasai Cina DAP, dan ini mencetuskan keresahan mereka.

Krisis yang membahagi dua Pas, bagi saya, cukup memilukan. Umpama dipaksa minum racun. Sewajarnya pertikaian tentang pendekatan dan strategi boleh diolah bijak serta ditangani berhemah pihak kepimpinan sekali gus meningkatkan kematangan. Malang sekali, apa yang berlaku adalah kegagalan untuk mengurus secara bijaksana problem atau perbedaan dalaman parti apabila tiada lagi tokoh bertaraf bapa yang dihormati ahli jemaah. Daripada lapis paling atas hingga baris paling bawah, ada garis pemisah yang besar.

Bagaimana sayang sekali pun saya kepada Pas, ia hanya wadah perjuangan, terdedah kepada salah-silap pemimpin dan penyokongnya. Selain kekal menggigit prinsip perjuangan, sesebuah parti perlu progresif dan inklusif, serta responsif dengan lingkungan yang berubah. Dalam hayat separuh dekad dan meniti hari-hari akhir hidup ini, terpaksa menukar platfom politik adalah pilihan paling sukar. Walaupun tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam Pas, untuk mengalih wadah memerlukan alasan cukup konkrit. Saya bersyukur kerana kewujudan sebuah parti Islam kontemporari, Parti Amanah Negara, dengan dasar, strategi dan kepemimpinan yang lebih terbuka demi menyelamatkan negara daripada terjunam dalam kancah kebinasaan. Saya turut merasai keperitan sepanjang tempoh konfrontasi dalaman, sehingga segalanya terburai di Muktamar Pas Kuala Selangor, 2015.

Selalunya, selepas dialisis pada petangnya, saya mudah terlelap akibat keletihan melampau. Jam 8 sudah terbaring di katil. Malam itu berbeda. Putaran memori ligat sekali. Saya terkenang kawan-kawan lama dalam Pas. Sikap politik mereka bagaikan menguntungkan Umno-BN, seteru yang seharusnya dikalahkan esoknya, dalam PRU14 ini. Cepat-cepat saya menenangkan diri. Sudah suratan takdir. Daripada terus berbalah dalam parti yang sama, lebih baik memilih wadah berbeda, untuk tujuan mengejar kebaikan demi kepentingan rakyat. Tidaklah masa, tenaga dan sumber terbazir begitu sahaja. Ya, bukan mudah mencari titik persamaan jika masing-masing ada hujah yang mahu ditegakkan. Nilai persahabatan dan ukhuwwah sudah dipinggirkan. Lebih baik memilih jalan sendiri. Biar rakyat menentukan. Dan kita sama-sama meraikan pendirian masing-masing. Ini ‘kan sebuah negara demokrasi? Mengapa perlu berkerat rotan berpatah arang?

Sementara menunggu ucapan grand finale Mahathir dari Langkawi, kawasan parlimen ditandinginya, saya bangun sebentar dari tempat tidur, melegakan kesakitan tulang belakang, duduk berlunjur berdepan meja tulis yang berselerak dengan buku- buku lama tidak terusik. Lebih setahun saya tidak membaca buku dan tidak berkarya di atas meja itu. Saya lebih selesa menaip perlahan dengan jari telunjuk menekan gajet sambil berbaring. Mata tertumpu sebentar kepada koleksi buku-buku berkaitan Anwar Ibrahim, yang disusun berdiri. Teringat manuskrip yang tidak berjaya disiapkan, menjelang PRU13, lima tahun lalu. Judulnya sudah ditentukan, Peluang Terakhir Anwar. Beberapa rakan penulis telah mengirimkan sumbangan untuk dimuatkan bersama. Mereka beranggapan PRU 2013 itu medan terbaik untuk Anwar merebut takhta perdana menteri di bawah Pakatan Rakyat. Entah sebab apa selain keuzuran, karya itu gagal diterbitkan. Terasa bersalah sangat kepada penyumbang yang menulis panjang. Salah seorang menghuraikan proses revolusi; dia percaya Malaysia akan menempuh gelombang perubahan yang amat besar. Namun tiada siapa menduga, Anwar kemudiannya dipenjarakan sekali lagi selepas pembangkang menang undi popular sekitar 52 peratus. Diikuti episod luka, pemergian Tok Guru Nik Aziz dan Pakatan Rakyat berkubur. Pas mengikut haluan sendiri. BN nampak seolah-olah tidak terkalahkan lagi. Tiba-tiba muncul perbalahan dalaman Umno yang cukup serius. Skandal 1MDB muncul. Dan Mahathir kembali membawa harapan baharu untuk perubahan. Kini, saya sedang menunggu perutusan terakhirnya pada malam Rabu yang tenang itu.

Seorang kenalan baharu membayangkan Mahathir mungkin mendedahkan sesuatu yang mengejutkan. Ia dianggap pukulan maut. Dia menjangka hubungan sulit Pas-Umno akan dibongkar, khususnya mengenai bantuan kewangan. Saya sekadar tersenyum. Kerap juga saya mengikuti ucapan-ucapan penting Mahathir, misalnya pidato presiden Umno yang terakhir baginya di PWTC. Tiada kejutan langsung selain kuliah biasa tentang demokrasi. Tapi, malam ini adalah peluang terakhir Mahathir berkempen, bagi menentukan masa depan negara dan hidup-mati kerjaya politiknya. Masakan tiada pendedahan yang berbaloi untuk menamatkan riwayat “Cash is King”? Rata-rata orang ramai masih merasakan Najib-BN masih berpeluang untuk menang walaupun majoriti rakyat pasti tidak akan mengundi dacing. Mereka mahu BN diganti tetapi menaruh syak Najib ada pelbagai cara untuk menipu dan berlaku curang. Pelbagai teori konspirasi timbul bagi menyekat kemenangan rakyat. Dan saya kira Najib-Rosmah pun yakin BN boleh kekal, malah menang dengan majoriti dua pertiga!

Sementara menunggu lintas langsung amanat penting Mahathir, saya terbayang rentetan perjalanannya selepas bersara hujung 2003. Umno yang ditolak majoriti pengundi Melayu pada 1999 bagai mendapat suntikan darah baharu. Ia kembali segar dan diberi peluang untuk terus mentadbir. Tidak pasti apa punca utama Mahathir meletakkan jawatan secara tiba-tiba tanpa berunding dahulu dengan pemimpin kanan Umno. Mungkinkah demi survival Umno atau untuk memperlahankan momentum pembangkang dan gerakan Reformasi? Yang pasti Mahathir tidak pernah bersara. Apabila pengganti yang dipilihnya, Pak Lah, cuba menjarakkan daripada bayang-bayang Mahathir, dan mempunyai kumpulan penasihat tersendiri, beliau aktif kembali berpolitik. Namun kelemahan ketara kepimpinan Pak Lah menyebabkan faktor

Mahathir terasa berbisa. Sekadar berbekalkan imej Mr Clean tidak memadai; karektor Pak Lah nampak lembik walaupun dikenali sebagai “orang baik”, tetapi tidak ada elemen “strong personality”. Pak Lah dihargai kerana memulangkan Malaysia kepada rakyatnya, tidak lagi dicengkam kediktatoran, tetapi gaya pentadbirannya diragui seolah-olah umpama pesawat beroperasi tanpa juruterbang. Mahathir bukan sahaja menentukan siapa penggantinya, Pak Lah, tetapi berupaya melantik pengganti kepada penggantinya, yakni Najib. Sekali lagi beliau tersilap menilai. Agak aneh alasannya memilih Najib hanya kerana dipengaruhi karisma dan jasa baik bapanya, Tun Razak. Apakah Mahathir tidak mampu mengukur kewibawaan (dan kelemahan) Najib, yang berada lama di bawah pemerhatiannya? Atau kolam Umno sendiri ketandusan pelapis selepas Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar disingkirkan? Bukankah Najib sudah lama melanggan konsep “Duit itu Raja”; bukan hanya bermula dengan skandal 1MDB?

Mahathir sebenarnya memberi banyak ilham dan inspirasi untuk tulisan-tulisan saya. Begitu juga Anwar. Berbeda dengan Pak Lah dan Najib. Umno di zaman mereka berdua tidak menarik minat saya lagi. Justeru, apabila terdengar ura-ura Mahathir mahu melancarkan kempen membuang Najib daripada Putrajaya, saya tidak perlu berfikir panjang untuk menyokongnya. Ada yang mengingatkan, Mahathir hanya mahu menyahkan Najib tapi masih sayang kepada Umno. Dia sekadar bertujuan memperkukuh Umno yang sudah hampir tenggelam. Dia cuma mahu menyelamatkan bahtera Umno. Bagi saya pula, dalam politik segalanya boleh berubah berdasarkan lingkungan dan faktor masa. Apatah lagi soal strategi dan pendekatan, juga fleksibel. Umno yang taat membuta-tuli kepada Najib akhirnya akan dilihat Mahathir sebagai penghalang utama misi besarnya. Najib berkubu kukuh dalam kawalan Umno dan jentera-sumber kerajaan. Malah pegawai tinggi awam menjadi soldadu setianya, yang diupah mewah mempertahankannya. Asalkan Mahathir mahu bersama “tentera bersekutu” untuk menggempur Umno yang tidak terkalahkan ini, saya dengan senang hati mengalu-alukannya. Apatah lagi di saat barisan pembangkang sudah berpecah – Pas berpatah arang dengan DAP – tiada jalan lain kecuali kekuatan Umno mesti dikucar-kacirkan. Penyokong tradisi Umno mesti ditarik keluar, bukan sahaja untuk menampung kehilangan penyokong Pas, tetapi bilangannya harus lebih ramai lagi, demi meraih kemenangan. Dan tiada tokoh yang paling mampu merobek kekebalan Umno, melainkan Mahathir, bekas perdana menteri selama 22 tahun. Lega. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Atau lebih tepat, “only diamond can cut diamond”. Segala rahsia Umno dalam kocek Mahathir. Psikik Melayu, terutama bagi pengundi desa melebihi umur separuh abad, yang agak kompleks ini, tentunya sudah dihadam Mahathir.

Gerak Mahathir bersama pembangkang bermula Mac 2016 apabila beliau dapat mengumpulkan hampir semua tokoh utama oposisi bagi menekan Najib untuk berundur. Antara pemimpin utama yang hadir dalam sidang akhbar bersama Mahathir di Kelab Alumni Universiti Malaya adalah Lim Kit Siang, veteran DAP, Mohamad Sabu, Presiden Amanah, Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan Mustafa Ali daripada Pas, juga Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri. Veteran Umno, Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA, Ling Liong Sik turut kelihatan. Saya nengikutinya secara langsung melalui liputan Astro Awani. Isu lebih tertumpu kepada skandal raksasa 1MDB. Mahathir menjelaskan, percubaannya daripada dalam Umno untuk menyingkirkan Najib, tidak berjaya. Walaupun menekankan beliau tidak berhasrat menumbangkan kerajaan Umno-BN, tetapi sekadar menyisihkan Najib, saya tetap beranggapan ia langkah pemula untuk menggantikan elit penguasa seluruhnya. Dan ini selari dengan cita-cita dan impian banyak pihak sejak sekian lama. Maka Deklarasi Rakyat dan kempen Selamatkan Malaysia pun bermula. Perhimpunan bersama jelajah seluruh negara diatur, sekali gus merapatkan lagi hubungan Mahathir dengan parti-parti penbangkang.

Penerimaan masyarakat, khususnya komuniti pembangkang, terhadap Mahathir bukan mudah. Was-was, ragu-ragu, curiga atau sekurang-kurangnya berhati- hati dan waspada. Tempoh 22 tahun pemerintahannya mempunyai sisi gelap dan jalur gelita. Kuku besi, autokratik, kronisme, tahanan tanpa bicara, pembaziran dan projek mega, kehakiman dicabuli, kebebasan media diceroboh, hak asasi ditindas, budaya takut disuburkan, pengampu bergentayangan, bahasa kebangsaan terpukul, syariah dipersenda, autonomi universiti dan aktivisme mahasiswa tinggal sejarah, raja-raja Melayu diperlekeh, juga dipenuhi deretan insiden hitam seperti BMF, forex Bank Negara, projek membazir, tragedi Memali, ketua hakim negara dan dua hakim Mahkamah Agung dipecat, Anwar disingkir dan diaibkan, manipulasi Jabatan Peguam Negara, pembatalan royalti petroleum untuk Terengganu, diskriminasi negeri pembangkang, tidak hormati amalan federalisme, korupsi dalam penganugerahan projek kerajaan, kapitalisme suku-sakat, seterusnya senarai lebih panjang lagi.

Niat Mahathir juga diperdebat. Awalnya, dia mahu Najib turun bagi menjamin BN terus kekal memerintah selepas sokongan rakyat dipulihkan. Menarik turun seorang Najib bermakna pembangkang hilang aset besar dalam kempen PRU14. itulah apa yang terjadi apabila Umno-BN menang gemilang pada PRU 2004 sejurus Mahathir bersara. Oposisi kehabisan modal utama dan terpaksa berdepan perdana menteri yang tiada rekod jelik. Begiti juga dengan gerakan Mahathir menyingkirkan Najib yang penuh noda itu. Menyentap turun Najib membuka laluan mudah untuk BN bertahan. Sedangkan bukan itu yang didambakan majoriti rakyat. Mereka menuntut kerajaan baharu yang komited dengan agenda pembaharuan. Saya pula bersikap terbuka kepada langkah pemula Mahathir itu. Di peringkat awal, sudah cukup baik jika semua pihakyang nampak bertentangan boleh bersetuju untuk menjatuhkan Najib dahulu. Tumpukan kepada persamaan, dan bertolak-ansurlah dengan perbedaan. PKR, DAP dan Amanah mempunyai ikatan yang kuat, persetujuan yang mantap, dibina sejak 1999. Mahathir, walaupun dianggap pelari pecut terakhir dalam larian berganti-ganti sangat bergantung dengan tiga peserta awal. Dalam tradisi Umno, menarik turun presidennya, juga seorang perdana menteri yang begitu berkuasa, bermakna sekali gus merentap jatuh Umno yang sarat dengan politik naungan, nepotisme dan korupsi berjemaah itu. Sementalahan pula, Najib – dan Rosmah – tidak semudah itu mengibarkan bendera putih.

Untungnya, Mahathir tiba dalam kekosongan. Tidak banyak pilihan khususnya dalam konteks kepemimpinan Melayu yang menjadi teras teraju negara. Politik Malaysia juga lebih terarah kepada faktor besar personaliti berpengaruh, sekali gus berpengalaman. Anwar terpasung. Pas sudah berlainan arah; malah, pemimpinnya yang kurang menyerlah memilih untuk bersendiri. Muhyiddin terlindung di sebalik bayang-bayang Mahathir. Dan Mahathir pula nampak berhemah mengatur langkah. Beliau tidak ghairah mempromosi diri sebagai pengganti Najib. Usia 90 tahun mungkin dianggap liabiliti, tetapi untuk seorang Mahathir umurnya yang lanjut menjadi penawar kepada segala syak wasangka. Awalnya, tidak ramai menduga dia adalah perdana menteri menunggu. Orang lebih melihatnya sebagai dewa penyelamat. Dan dia kelihatan bersungguh-sungguh dan begitu cekal melawan. Tutur katanya mudah difahami. Kempennya bersahaja, ungkapan kata senang ditangkap, tiada berselindung. Najib wajib dijatuhkan. Oleh kerana Umno pun sudah menderhaka dan belot, kata Mahathir, parti itu juga perlu ditumbangkan. Sasarannya bukan lagi kepada sosok Najib tetapi seluruh rejim. Lagipun pengampu dan juak Najib sepakat menyerang, mengherdik dan menghina Mahathir. Negarawan ulung itu diperlekeh semahunya. Medan tempur terbuka luas. Secara automatik, Mahathir terangkat menjadi kepala perang pembangkang. Perlahan-lahan rakyat, termasuk penentangnya dahulu, tidak terkecuali reformis dan demonstran era 1998-99, seperti dipujuk untuk menerima Mahathir. Orang makin lupa konvensyen PKR pada Mei 2017, yang dihadiri Mahathir, pernah mengangkat poster Anwar PM ke-7.

Sebenarnya pergolakan politik Umno menjadi tumpuan sejak Julai 2015 apabila Muhyiddin digugurkan jawatan TPM dan Menteri Pendidikan, manakala Shafie Apdal dilucutkan Menteri Pembangunan Luar Bandar. Ia berpunca dari kelantangan mereka mempersoalkan isu 1MDB. Hampir setahun kemudian, Jun 2016, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir – yang digugurkan lebih awal sebagai menteri besar Kedah – dipecat keahlian Umno; Shafie pula digantung sementara menunggu laporan disiplin. Ternyata tindakan Najib itu mengundang padah dan petaka. Rakyat semakin tertanya-tanya kecurangan perdana menteri mengkhianati amanah dan dana awam yang cukup besar. Tentu ada alasan yang kuat untuk Muhyiddin sebagai TPM bersuara keras. Pastinya beliau mempunyai maklumat secukupnya tentang kecurian wang rakyat itu. Bangkai gajah tidak boleh diselindung lagi.

Sekitar 40 hari selepas Muhyiddin dipecat keahlian Umno, permohonan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). Sesuatu yang tidak dijangka, tidak sampai sebulan, parti baharu yang dipengerusikan Mahathir, dengan presiden Muhyiddin itu, diluluskan. Apakah Najib memandang lekeh potensi Bersatu atau ia memang suatu keputusan demokratik? Mungkin Najib tidak menjangka Mahathir boleh menjadi faktor pemangkin atau pemersatu barisan pembangkang yang kehilangan Anwar dan Tok Guru Nik Aziz ketika itu?

Teman-teman rapat saya, kebanyakannya bekas penyokong Pas, turut alergik dengan sejarah silam Mahathir. Mereka akur 100 peratus dengan hakikat Umno-Najib perlu direhatkan, tetapi Mahathir bukan galang-gantinya. Saya dihujani seribu satu pertanyaan kerana terlihat seperti telah “mensucikan” Mahathir dan menganggap bekas perdana menteri itu mampu memulihkan negara. Bagi mereka, Mahathir adalah punca segala kerosakan. Najib hanya pewaris sahaja. Dikemukakan hujah, juga melalui buku-buku dan tulisan saya sendiri. Apakah saya sudah berpaling tadah dengan kepercayaan dan keyakinan sendiri? Ataupun saya sudah kemaruk untuk menyaksikan rakan-rakan pembangkang meraih kuasa?

Saya cuba menjawab persoalan itu dalam buku kecil, Mengapa Mahathir? Fokus saya untuk pengaruhi penyokong Pas dan pengkritik Mahathir agar mengundi Pakatan Harapan. Sekiranya pengundi Melayu terutama di kawasan pinggir bandar dan kampung tidak beralih secukupnya, impian menukar kerajaan tinggal mimpi. Faktor Shafie Apdal juga kritikal
untuk menerobos wilayah “deposit tetap” di Sabah. Reaksi awal kenalan dalam Pas, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah, agak negatif. Mahathir masih dimusuhi atau sekurangnya tidak dipercayai. Apatah lagi ada kenyataan Mahathir yang dianggap celupar tentang peristiwa Memali, 1985; Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya dilabel “mati katak”. Saya sendiri terkedu. Mahathir boleh sahaja pertikai status kesyahidan mereka, tetapi menyerangnya secara terbuka dengan kalimah menghina tentulah mengguris hati masyarakat Islam, khususnya penyokong Pas.

Sesunguhnya lebih sukar memujuk orang Pas untuk memangkah PH berbanding ahli Umno. Ada benteng kukuh yang dibina melalui proses tarbiyah dan indoktrinasi yang lama. Pendukung Pas yang nampak ragu-ragu terhadap kepimpinan parti atau berminat dengan Amanah, dicemuh pelbagai gelaran buruk, seperti munafik haraki, pengkhianat, jebon, penentang ulama, khadam DAP dan seumpamanya. Dalam konteks mengepung ahli Pas daripada berhijrah keluar, saya kira Ustaz Hadi Awang berjaya! Bagaimanapun, ia tidak menghalang saya untuk terus mempromosi Amanah sebagai parti Islam progresif, sederhana dan inklusif, serta berkempen agar menerima Mahathir dengan gabungan baharunya, bagi meledakkan perubahan. Mahathir mungkin tidak banyak berubah tetapi PH jauh berbeda dengan BN dahulu. PKR, DAP dan Amanah merupakan parti reformasi dengan kepemimpinannya mempunyai idealisme pembaharuan. Manakala parti Mahathir, Bersatu tidak lagi dominan seperti Umno dalam BN. Perlu kata sepakat dan muafakat bersama.

Selain buku Mengapa Mahathir? sebagai sumbangan kecil untuk menarik sokongan pengkritik tradisi Mahathir, sebelumnya saya menghasilkan buku tentang parti Islam Amanah, suatu penghargaan khusus buat bekas pimpinan Pas yang berani mengambil risiko. Dalam keuzuran saya mengheret kaki meninjau situasi di Johor, bertemu sahabat Amanah di negeri tiang seri Umno itu, misalnya Salahuddin Ayub, Aminolhuda Hassan, Mazlan Aliman, Suhaizan Kayat, Dzulkefly Ahmad. Saya yakin gelombang perubahan kali ini bermula dari selatan. Komposisi bukan Melayunya agak signifikan, manakala kubu Umno turut digempur dari dalam, dengan kehadiran Muhyiddin. Penyokong Pas pula, bagi saya, untuk negeri-negeri bermula Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, iaitu wilayah yang dianggap baharu, nampak mudah beralih dan lebih terbuka. Nurani saya kuat menjangka BN Johor mungkin tumbang walaupun Mahathir berkonfrontasi dengan rajanya. Hanya Johor negeri yang sempat saya kunjungi bagi menghayati gelodak rasa warganya.

Saya turut mengulas kemungkinan besar dua negeri lagi bakal dikuasai PH, iaitu tanah kelahiran saya, Kedah dan Perak yang sentiasa menyaksikan saingan paling sengit, sejak 2008. Kedah juga tapak kekuatan Mahathir, meskipun ia juga kubu tradisional Pas. Pada PRU 1999, Pas menguasai majoriti kerusi Parlimen di sana, lapan daripada 15; di peringkat Dun berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. PRU 2008, Pakatan Rakyat menang majoriti mudah Dun Kedah. Bagaimanapun saya tidak mampu untuk turun ke lapis akar umbi negeri-negeri ini. Saya menulis dari kamar tidur berdasarkan respons beberapa pemimpin Amanah negeri. Tidak risau dengan politik Selangor dan Pulau Pinang; peningkatan sokongan terhadap Pakatan begitu ketara. BN dilihat bagai dinasour di negeri-negeri termaju itu. Cuma sedikit kebimbangan di Selangor, ekoran persempadanan semula dan faktor Pas yang menang besar pada 2013. Namun saya percaya pengundi bukan Melayu di Selangor secara total akan menolak Pas dan BN.

Musykil dengan keupayaan PH di Kelantan dan Terengganu, saya kira gelanggang itu hanya relevan buat Pas dan Umno. Tidak sampai seminggu sebelum mengundi, penulis prolifik, Mohd Sayuti Omar singgah ke pusat dialisis Melawati, tidak jauh dari kediamannya. Berpengalaman menelah senario siyasah di Pantai Timur, saya percaya pengamatan Sayuti ada asas yang kuat. Malangnya, beliau membenarkan kerisauan saya. Baginya, calon-calon PH bukan sekadar bakal kalah teruk, tetapi akan hilang wang pertaruhan. “Malu besar kalau benar macam itu,” pintas saya lemah, mengingati kemungkinan nasib malang teman-teman Amanah dan masa depan parti Islam baharu itu. Sayuti membalas, “Amanah perlu lebih banyak masa dan lebih ramai tokoh tempatan di sana.” Dia juga turut meramal Dr Shamsuri Mokhtar, bekas setiausaha politik Presiden Pas, pakar aeroangkasa, yang bertanding di Dun Rhu Rendang menggantikan Ustaz Abdul Hadi Awang akan dilantik menteri besar Terengganu jika Pas menang.

Buku dan tulisan-tulisan saya tentunya sukar untuk mengubah pola pengundian, apatah lagi mensasarkan penyokong setia Pas. Sebilangan kenalan membeli borong buku Mengapa Mahathir? untuk diedarkan percuma. “Sekurang-kurangnya dapat membuka minda kawan-kawan Pas, untuk buat pilihan tepat tanpa perlu tinggalkan parti,” kata seorang rakan lama, yang memesan 100 naskhah. Dia tertarik dengan hujah saya agar Mahathir wajar disokong bagi menumpaskan rejim Umno-Najib. “Mahathir ada kekuatan tersendiri membawa keluar penyokong BN di kampung-kampung dan kawasan Felda. Jantung Umno itu mesti dihentikan,” ujarnya, sambil berjanji akan menempah lagi buku tersebut untuk diagihkan kepada saudara-maranya yang fanatik anti-Mahathir sejak lama. Saya berpesan, “jangan sakan sangat berkempen sampai tak bertegur adik-beradik pula.” Mengapa Mahathir? diulang-cetak dan mendapat permintaan yang tinggi. Sedihnya, ada pihak beranggapan kandungan booklet itu bertujuan menolak Mahathir hanya selepas melihat cover sepintas lalu. Memang perlu kesabaran tinggi untuk meyakinkan audien yang cukup kritikal dengan “Mahathir lama”, 1981- 2003.

Lebih jauh daripada itu, sebahagian besar penyokong Pas dan penentang Mahathir ini, nampak payah untuk berfikiran kritis. Ada tembok tebal dan penghadang kukuh dalam minda mereka. Sukar untuk mendengar dengan teliti dan cuba memahami argumen pihak lain. Tiada pula hujah konkrit dikemukakan. Mereka mengulangi balik alasan yang didengari entah dari pihak mana. Saya menelitinya dalam beberapa kumpulan WhatsApp dan reaksi rakan-rakan Facebook. Kenalan FB yang rapat pun seperti sudah tidak dikenali lagi, jika melihat respons mereka apabila mengetahui saya tidak sealiran. Hilang adab dan rukun bersahabat. Lebih malang, mereka itu ada yang berpendidikan tinggi, berjawatan penting, mempunyai tingkat sosial yang dihormati. Jarang saya membalasnya. Debat alam maya tiada faedah. Masing-masing menegakkan benang basah dan pertahan ego. Emosi merempuh siapa sahaja. Ya, politik kerap menjadi medan antirasional. Saya teringat zaman ditahan ISA dalam lokap polis di Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh. Pegawai penyiasat sengaja mengundang marah saya, dengan membangkitkan isu kontroversi yang diumpan. Mujur saya pernah mendapat nasihat berguna oleh Allahyarham Suhaimi Said, bekas aktivis Pas di Temerloh, jika berdepan situasi soal-siasat ISA. Saya dipesan agar jangan melawan balas penyiasat dan terpedaya dengan perangkap mereka.

Seorang bekas pimpinan kanan Pas memberitahu saya, lebih mudah berinteraksi dengan ahli-ahli Umno berbanding anggota parti lamanya. Justeru, ada ahli Pas yang menampakkan minat untuk keluar parti, lebih selesa memilih Bersatu atau PKR, daripada Amanah. Sebabnya, jika menyertai Amanah, mereka mungkin dipulau atau dilabel panggilan negatif oleh sahabat-sahabat lama Pas. Bagi kelompok itu, Amanah ibarat golongan munafik atau pengkhianat perjuangan dan perlu dimusuhi, hatta dilayan lebih kasar berbanding orang kafir sekalipun. Sehingga timbul ungkapan pelik dan menyeramkan, misalnya “halal darah”, seolah- olah boleh dibunuh? Aduhai. Aksi politik apa ini? Faham ekstremisme, gejala melampau serta garis keras dalam beragama, muncul mengamuk kembali. Berbeda dalam jalur politik seolah tiada komprominya. Saya cuba memahami fenomena itu. Bukankah saya sendiri ibarat tumbuh daripada perdu pohon yang sama. Pernah “menganut” fikrah merasa hanya diri dan jemaah yang benar-suci.

Tidak lain, puncanya adalah Amanah dilihat saingan terdekat dan paling berpengaruh untuk menculik ahli-ahli Pas. Pemimpin Amanah mempunyai rekod kerja membangunkan Pas di waktu malap dahulu. Jati dirinya sebagai parti Islam progresif, futuris dan inklusif mencabar wibawa Pas. Jika Amanah tidak ditubuhkan, ada pandangan membayangkan, kemungkinan Pas memilih jalan politik yang lebih akrab dengan Umno. Namun, ditakuti ahli-ahlinya berhijrah menyertai Amanah, maka Pas kekal “berpusing-pusing di persimpangan”. Tidak hairan apabila seorang teman rapat, juga wartawan veteran menasihati saya: “Jangan buang masa fikir dan tulis tentang Pas, Lutfi. Mereka tidak akan berubah. Apa fatwa Haji Hadi, itulah pegangan mereka. Usah bermimpi otak mereka terbuka dengan hujah hang. Ini negara demokrasi, masing-masing bebas menentukan sikap politik. Berdoalah, moga-moga pengundi lebih ramai di luar sana menyokong PH dan menang. Biarkan Pas dengan dunia impian mereka.” Saya tahu rakan baik saya itu sekadar meluahkan rasa kecewanya. Dia juga pernah berstatus penyokong tegar Pas. “Bukan senang mengubah pendirian orang Pas, apatah lagi selepas terpikat dengan sentimen perkauman Melayu, dan Amanah pula dilihat akrab dengan DAP,” tambahnya. Saya seakan mahu mengalah, tetapi cepat bertukar fikiran mengenangkan potensi Amanah sebenarnya lebih terarah kepada khalayak ahli Pas yang berminda kritis.

Rupanya mengumpul memori juga meletihkan, tambahan pula bila ia datang bersimpang-siur tidak mengikut kronologi. Saya bangun berlunjur di birai katil. Lampu dimatikan untuk menemui keselesaan mata. Cukup dengan cahaya dari ruang sebelah tempat isteri dan anak-anak berehat sambil menonton TV. Tiba-tiba isteri mengingatkan, siaran langsung FB Live, grand finale pidato Mahathir bakal bermula. Memang itu pun yang saya tunggu di malam terakhir kempen ini. Mahathir berada di Langkawi; esoknya beliau menyerah kerjaya politik pada usia 93 tahun kepada pengundi di pulau legenda itu. Lebih lima kali saya berkunjung ke sana. Julung kalinya, semasa menunggu keputusan SPM, 1981. Bermalam di rumah kawan sekelas dan teman satu kamar asrama Sekolah Teknik Alor Setar. Tinggalan Mahsuri yang redup, damai dan cantik pantainya, jauh berbeda dengan realiti sekarang. Kami mengayuh basikal jelajah seluruh pulau. Mandi ceria di kawasan air terjun yang dingin. Lebih sepuluh tahun kemudian, waktu “berbulan madu” dengan isteri, ditemani bonda tercinta, Almarhumah Aishah Megat Hamzah, saya tercari-cari keindahan yang sama, di lokasi serupa, Pantai Chenang. Saya terasa kehilangan sesuatu. Langkawi yang semulajadi persis ghaib. Namun ia bingkas membangun dan membawa manfaat buat penghuninya. Mahathir pastinya diingati warga tempatan. Tanpa Mahathir, mungkin mengambil lebih banyak masa untuk dikenali dunia.

Hati kecil saya berbisik mengakui peluang PH tambah bercahaya mendekati hari mengundi. Tindakan sabotaj Najib dan konco-konconya – seperti kerenah karut-marut pentadbiran untuk memandulkan pengaruh Bersatu, menggunting atau memadamkan poster Mahathir pada billboard, menghina dan mengherdik berulang kali termasuk mencela usia lanjutnya, menarik kemudahan sebagai bekas PM, menghentikan atau menganggu ceramah Mahathir, dan kemungkinan pesawat peribadinya disabotaj di Subang sebelum penerbangan ke Langkawi untuk hadir majlis penamaan calon sehingga perlu menyewa kapal terbang lain serta banyak aksi lagi – sebenarnya menyumbang simpati dan sokongan kepada PH. Bagaimanapun, fikiran saya agak kacau mengenangkan nasib Mahathir bertanding di Langkawi. Sempat saya posting dalam FB, mohon Mahathir luangkan masa secukupnya untuk mendampingi penduduk Langkawi. Jangan asyik berkempen ke segenap kampung dan bandar, tetapi Langkawi diabaikan. Saya benar-benar risau dia kecundang di laman sendiri. Benar, Langkawi paling cerah berbanding pilihan lain, Kubang Pasu dan Putrajaya, tetapi pulau peranginan itu tidak pernah membekalkan undi yang selesa dari kalangan penentang BN. Mengenali Mahathir di Kubang Pasu sejak menjadi ahli Parlimen bermula 1974 hingga 2004, hubungan personalnya dengan pengundi tidaklah begitu rapat. Penyokong setia Pas di Langkawi pula, sekitar 6 ribu orang, pastinya tidak mengundi beliau. Soalan besar yang sukar dijawab, berapa ramai penyokong BN dapat ditarik Mahathir ketika Pas membentuk blok sendiri? Apa akan jadi sekiranya Mahathir tumpas di kala PH menang?

Waktu Parlimen dibubarkan, saya risau kemampuan Mahathir mengekalkan kecergasannya dan menyerap tekanan semasa aktif berkempen sehingga melewati awal pagi. Rakan wartawan yang mengikuti jelajah kempen Mahathir menceritakan: “Pertama kali aku tatap wajah Mahathir dari dekat, ketika ikutnya bertemu rakyat di Pahang, berseri dan tampak sihat bugar. Jenuh aku menapak di belakangnya.” Saya senang mendengar celoteh rakan baik itu walaupun tetap bimbang dengan staminanya. Dalam beberapa pertemuan saya dengan Mohamad Sabu, pertama di Hotel de Palma Ampang, kedua pusat dialisis Melawati, Presiden Amanah itu mendedahkan, tahap kesihatan Mahathir dan isterinya, Dr Siti Hasmah sentiasa menjadi perhatian utama pemimpin PH. “Kami sentiasa berdoa moga-moga Allah terus kurniakan kesihatan dan kesegaran kepada Tun dan isteri.” Memang Mahathir dianggap aset paling bernilai bagi rakan-rakannya dalam gabungan Pakatan Harapan. Mat Sabu juga berulangkali memaklumkan kepada saya, dia yakin kali ini Umno-BN berjaya dikalahkan. “Faktor utamanya adalah Mahathir. Pertimbangan politik Mahathir terutama menempuh zaman sukarnya pada 1990 dan 1999 ternyata tepat. Strateginya mengena. Hadiran ceramah kami pula pelbagai lapisan, kaum yang berbeda, menarik minat penduduk luar bandar dan Felda. Saya percaya kita boleh menang kali ini,” kata Mat Sabu sambil menghirup kopi panas tanpa gula selepas menjamah ubi kayu rebus di Ampang, pada satu pagi menyempurnakan temujanji sesi wawancara kami mengenai perkembangan Amanah.

Saya kembali ke katil, sambil memegang tablet dan berbaring secara mengiring untuk menahan berat gajet. Tangan sebelah kiri agak lemah dan tidak elok menanggung beban kerana ditakuti merosakkan fistula dialisis. Mencermati pidato Mahathir untuk mengesan tawaran baharu ataupun pendedahan terkini. Seperti lazimnya ucapan Mahathir mendatar sahaja, dengan rukun-rukun yang dijangka. Didahului oleh sejarah pembinaan tanah air dan perjuangan generasi awal yang berjasa besar. Tiada mesej dan kisah yang baharu tetapi tetap segar dan menarik minat; sekurang-kurangnya bagi saya. Kekuatan Mahathir adalah kesederhanaan dan pengulangan yang mudah walaupun dia agak kerap memilih penekanan yang nampak ekstrem untuk membelasah musuh-musuh politiknya. Ingat ucapannya menyerang penggantinya, Pak Lah, apatah lagi pewaris yang dipilihnya, Najib. Begitu juga lawan siasahnya, Pas, termasuk Ustaz Nik Aziz dahulu dan sekarang, Haji Hadi. Malam Rabu itu, Mahathir tidak berlebih-lebihan menempelak Najib, tiada juga ungkapan yang boleh memanaskan telinga. Kempennya bertahun-tahun lalu cuba dirangkum dengan baik, tanpa menyerlahkan keyakinan melampau untuk mengambil alih kerajaan. Mungkin jika juak-juak dan pembodek Najib turut mendengarnya, mereka terasa selesa dan tidak menduga proses peralihan kuasa secara aman sedang berjalan.

Dalam amanat akhir itu Mahathir mengakui dirinya sudah tua dan masa berbaki tinggal sedikit sahaja lagi. Dia mengulangi rayuannya agar rakyat berkorban, bukan dengan menumpahkan darah seperti di negara-negara lain, cukup dengan turun mengundi PH seramai mungkin. Saya tertarik dengan kalimah Mahathir, bahawa yang dihasratkannya adalah kerajaan baharu yang terhad dan terbatas kuasanya. Tukar kerajaan yang menyembah duit. Pengerusi Pakatan Harapan itu juga sempat menitipkan pesan kepada pihak polis dan tentera agar menjalankan tanggungjawab sebaiknya mempertahankan Perlembagaan dan undang-undang jika ada percubaan untuk menggagalkan pertukaran kerajaan. Rumusan saya, ucapan perdana bersejarah yang menutup tirai kempen dengan cukup bersahaja dan tenang. Rakyat bijak menilai dan menghakimi. Yang pasti semasa berusaha melelapkan mata menjelang tengah malam itu, saya menyerahkan sepenuhnya nasib tanah air tercinta ini kepada Allah SWT. Saya panjatkan doa setulusnya, tanpa menggerakkan bibir, agar Malaysia menjadi tempat teduh yang nyaman-selesa buat setiap warga, khususnya rakyat marhaen yang serba kekurangan.

Sekitar jam 4 pagi, saya terbangun. Jadual dialisis dan kelesuan teruk memaksa solat jamak takhir. Menghimpunkan maghrib dan isyak di hujung malam. Isteri lebih cepat menyempurnakan rutin ibadah hariannya. Awal Rabu yang genting membuka lembaran baharu. Hari mengundi di pertengahan minggu. Agak pelik tetapi senang diduga tujuannya. SPR di bawah kawalan mutlak Umno-Najib dan dianggap sekutu BN. Ada sahaja peluang untuk memintas PH pasti akan dieksploitasi bagi kekalkan kuasa. Padang tidak pernah sama level. Saya perlu berhati-hati dan cermat melangkah ke bilik air. Pesakit ginjal kerap diingatkan, elak sama sekali daripada terjatuh. Tulang-tulang rapuh susulan proses cuci darah. Penglihatan pula samar-samar menangkap cahaya. Tidur dalam tempoh sekadar tiga jam sudah memadai untuk memulihkan kecergasan sebelum lena kembali selepas subuh. Memang amalan itu wajar dihindari, namun sudah sebati. Lagi pun sejak terganggu buah pinggang, mata sukar lelap semula apabila sering terjaga selepas maksimum tiga jam beradu. Sempat memeriksa WhatsApp. Portal berita tentu belum dikemaskini 100 minit sebelum azan subuh.

Menjelang subuh memang waktu yang syahdu dan mendamaikan. Fikiran bersih, jiwa segar walaupun jasad masih lesu. Daun pintu bilik tidur dikuak menyapa angin luar. Pokok besar di hadapan rumah, pada bucu simpang menebarkan bayang gelap. Tiada deruan angin menyapa pipi. Sinar lampu jalan berbalam-balam. Dedaun yang disimbah cahaya nampak emas kekuningan. Ranting pohon yang lebat kelihatan kaku. Senario yang asyik. Sunyi. Sepi yang nyaman. Nikmat Tuhan yang mana hendak kau dustakan. Anugerah alam yang jarang disyukuri. Kibaran bendera biru muda PKR terpasak berderetan, diselang-seli rantaian poster dacing. Pelik juga, logo bulan purnama sukar dicari di kejiranan saya. Sedangkan calon Pas adalah penyandang kerusi Dun Lembah Jaya selama dua penggal. Saya terbayang, di jalan besar, 1km menuruni bukit, panji-panji hijau-putih Pas meriah dipasang tinggi.
Saya memang terpikat dengan warna semulajadi yang menyedapkan mata itu. Hijau serasi dengan pandangan saya, berbanding oren, biru mahupun merah. Balik dari pusat dialisis senja tadi, sepanjang jalan 12km yang sering sesak itu, perang poster seimbang. Ada potret tiga calon PH, Azmin Ali, Saari Sungib dan Zuraidah Kamaruddin. Wajah calon BN dan Pas tidak dikenali, kecuali calon Parlimen Ampang, Nurul Islam. Terlintas di hati, untuk apa dibazirkan dana penyokong hanya kerana memperagakan lambang parti. Orang politik sentiasa mahu mempamerkan kekuatan dan menonjolkan jatidiri. Terasa megah, bangga, dan puas menatap simbol yang dipasang sendiri atau selepas mengupahnya. Impaknya terhadap kempen sukar dikesan. Masing-masing berlumba saling menyaingi.
Saya memang tidak berhajat untuk ke pusat pengundian sebaik dibuka. Jaraknya pun tidak jauh, 2km sahaja. Pengundi di situ, campuran bangsa seimbang, dan tidak ramai berdasarkan pengalaman lima tahun lalu. Untuk apa berkejar jika terpaksa berbaris pula. Lebih baik sambung rehatkan badan sambil mengikuti perkembangan pilihan raya melalui online. Isteri sudah siapkan sarapan ringkas. Ada juadah nasi Arab, lebihan yang dibekalkan kepada petugas Amanah dan PH Bukit Indah. Selalu sangat menjamahnya bila ada tempahan, maka saya memilih alas perut seadanya saja. Cadangnya, kami anak beranak makan tengah hari di luar sebaik selesai mengundi. Inikan hari raya!

Harapnya pagi yang cerah itu kekal hingga petang. Mengundi hari Rabu, bukannya hujung minggu, bertujuan menurunkan peratusan keluar mengundi. Pengundi luar kawasan, apatah lagi luar negara, mungkin bermasalah untuk pulang. Tambah andai hujan, tentulah semakin merosot pengundi tempatan. Atas kertas, semakin kecil jumlah yang mengundi, ia menguntungkan Umno-BN. Sasaran PH sekurang-kurangnya 85 peratus. Mahathir selalu menekankan, biar menang besar supaya tidak mudah ditipu. Majoriti tipis mudah dimanipulasi. Namun, dilihat mood sejak sebelum pembubaran Parlimen, PRU14 memang ibu segala pilihan raya. Rakyat tidak sabar, malah cukup ghairah, mahu melakar sejarah. Di luar Malaysia, pengundi yang terkesan dengan label buruk media antarabangsa, mereka cukup malu dikaitkan rejim kleptokrasi global. Warga tempatan di persada dunia nembentuk jaringan tersendiri, untuk membawa undi balik ke tempat masing-masing. Ternyata keputusan PRU 2013 tidak melemahkan mereka untuk menukar kerajaan. Sesungguhnya, mungkin banyak pihak masih sangsi dengan perubahan tetapi masing-masing menaruh harapan dan menyimpan impian, serta khusyuk berdoa. Seperti orang lain juga, subuh itu saya berdoa lebih panjang. Kabulkan permintaan tulus kami sejak berzaman lamanya. Bebaskanlah tanah air tercinta ini daripada cengkaman penguasa korup, humbankan pemerintah yang menekan rakyat, cabutlah budaya takut dan mengampu, moga khazanah kekayaan negara dapat diagihkan seadilnya, agar jurang pendapatan dapat didekatkan, tiada lagi dengki-khianat di antara insan, si kaya menjadi pemurah dan yang kurang berupaya dibantu – disantuni.

Apabila teman dari Bukit Indah datang mengambil bungkusan nasi Arab masakan isteri untuk diagihkan buat petugas PH, kami masih berkongsi kerisauan. Dia bercerita ringkas pemerhatiannya terhadap senario di kampung halamannya, Kelantan. “Orang Pas tetap setia dan istiqamah, sukar berganjak, bulan juga pilihan mereka. Kita perlu lebih banyak masa untuk berdialog dan mendekati mereka. Saya jangka Pas kekal di Kelantan. Umno pun takda harapan. Amanah lagi payah, pastinya bukan kali ini kita menang,” katanya sambil memegang naskhah buku Amanah: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti. Ketika dia dan isteri melangkah keluar, menuju kereta, saya menghantarnya ke pintu pagar depan, sambil berkata, untuk menyedapkan perasaan sendiri: “Kita harap di luar Kelantan dan Terengganu, seperti di Selangor ini, rakyat membuka mata, buat pilihan tepat, cukuplah Umno menjahanamkan negara.” Kami sama-sama tersenyum. Tapi yang pasti, riak curiga di wajah sukar disembunyikan. Takut dan harap bersilih ganti.

Selalunya, setiap pagi hari selepas dialisis, saya mudah terlelap untuk kembalikam kecergasan yang hilang. 9 Mei itu, tidur pagi saya terganggu. Tubuh masih lesu. Mulanya berhasrat untuk ke tempat mengundi, Dewan Orang Ramai, Taman Sri Watan, sekitar tengah hari. Ditangguh. Lebih selesa selepas zuhur, kata isteri. Anak sulung, Luqman Hakim, buat pertama kali akan memangkah kertas undi, yang menjadi pemandu kami selepas saya uzur teruk lima tahun lalu, tidak membantah walaupun sudah lama bersiap. Saya menghantar mesej kepada rakan-rakan bertanya situasi. Reaksi bercampur-baur. Kadar turun mengundi agak rendah, respons seorang daripadanya, dari Kubang Pasu. “Cuaca nampak tak berapa elok ni, mungkin hujan. Kena kerahkan pengundi turun cepat,” ujarnya, bimbang. Dari Rawang, seorang saudara isteri saya memaklumkan, pengundi bersesak beratur panjang. Lebih tiga jam masih belum dapat masuk bilik mengundi. Akhirnya dia balik begitu sahaja kerana ada urusan lain menunggu. Jangka awalnya, satu atau paling lama dua jam, sudah beres. “Rugilah satu undi,” kata saya. Dalam diam, saya teruja. Pengundi menyerbu tempat mengundi adalah petanda positif. Tambahan pula, saya diberitahu, majoriti yang datang awal adalah pengundi muda, mungkin baru pertama kali memangkah. Saya juga menerima WhatsApp mempamerkan gambar kertas undi yang sudah dipangkah dengan tertera jari berdakwat kekal. Undi bukan rahsia lagi. Mereka berbangga mengisytihar kepada dunia, “aku sokong PH, pangkah lambang Keadilan.” Reaksi awal yang cukup menyenangkan sekali.

Pusat mengundi dekat rumah saya itu selepas tengah hari agak lengang. Tiada rayuan undi dari mana-mana petugas parti. Anak saya mudah mencari parking. Berdepan dengan gerai nasi berlauk Kelantan kegemaran saya, sekitar 20 meter sahaja. Sambal belacannya cukup padu, kata almarhumah makcik pemiliknya “pedas macam rimau”; dia baru meninggal. Lima tahun dahulu, saya tidak perlu beratur sebelum mengundi sebab bertongkat dan nampak uzur. Kali ini, hanya berbaris seketika di belakang tiga orang yang kelihatan sebaya, dalam lingkungan usia 50-an. Untuk kes Selangor, khususnya di Ampang, saya yakin PH bertahan, mungkin dengan kemenangan lebih besar. Penyandang Dun Lembah Jaya, sahabat saya daripada Pas, Khasim Abdul Aziz, orangnya baik dan merakyat, tetapi parti yang diwakili bagai memancung hubungan dengan sebahagian besar pengundi. Poster, dan panji-panji Pas memang berkibaran megah berderetan di lokasi strategik, termasuk diikat tinggi di atas lampu tiang tetapi hanya gah untuk persaingan propaganda. PH di Selangor bagai tidak dicabar jika diteliti senario semasa berkempen. Najib meletakkan angan-angan tinggi untuk merampas negeri termaju itu, tetapi tiada pemimpin berintegriti ditampilnya pasca era Dr Khir Toyo yang terbukti rasuah itu. Sejak 2008, saya perhatikan warna biru-tua BN bagai usang dan lambang dacing seperti ketinggalan zaman.

Kami tidak terus balik rumah. Saya mengajak isteri dan anak ke restoran nasi kandar dekat Ampang Point. Teringin makan ikan bakar di Wangsa Maju. Cicahnya sedap tapi dibimbangi tutup hari itu. Sengaja saya pilih jalan melalui Taman Kosas menuju Ampang Jaya, melintasi kediaman Dr Rais Yatim, bekas menteri dan penasihat budaya Najib. Tiga minggu sebelumnya, pertengahan April 2018, Khamis, saya berkunjung ke pejabat peribadinya, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, bersebelahan bekas gedung pakaian Globe Silk Store. Lama tidak menyapanya sejak Rais dilantik menteri undang-undang oleh Mahathir, 2001. Sekitar pertengahan 1990-an saya agak rapat dengannya. Sering menemubualnya ketika Rais Timbalan Presiden Semangat 46, malah menyusun buku tentangnya, Mahathir Khianati Melayu? Wawancara panjang dengannya, berjudul Rombak Sistem Kuasa, dimuatkan dalam majalah Tamadun, dan ditegur pegawai KDN yang memanggil saya ke pejabat. Rais mencadangkan limitasi kepada senarai panjang kuasa perdana menteri dan menteri besar. “Cuba senaraikan kuasa yang begitu luas itu. Apung dan agihkan supaya senarai kuasa itu dipendekkan,” ujarnya kepada saya, semasa Rais masih pembangkang. “Sekarang, dengan satu lorekan mata pena, atau secalit tanda tangan, seorang perdana menteri atau menteri besar berkuasa menjadikan seseorang itu jutawan segera, dalam masa sehari
sahaja,” tambahnya. Ungkapan itu bagai terlekat di sanubari saya.

Perjumpaan saya dengan Rais lebih kurang seminggu sebelum Parlimen dibubarkan itu untuk menyampaikan 100 naskhah Mengapa Mahathir? yang dipesannya, juga menyambung silaturahim yang lama putus. Beliau tetap mesra dan ramah. Tiga judul bukunya, berkulit tebal, dihadiahkan kepada saya. Rais merasakan Najib dan Umno berdepan masalah besar dalam PRU14 tetapi tidaklah sampai kalah. Undi popular dijangka merosot teruk. Saya melihat ada petunjuk jelas Rais waktu itu sudah cenderung kepada PH, mengikuti veteran Umno seperti Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Sanusi Junid. Kami lebih banyak berlabun hal-hal personal termasuk rutin rawatan saya dan hal-hal keluarga. “Kalau ada masalah rawatan, minta anakanda hubungi saya, insya-Allah bolehlah bantu sedikit,” katanya, menghadap anak saya sambil mencicip juadah ringan petang itu. Rais tidak keberatan untuk mempromosi buku Mengapa Mahathir? dan bersedia bergambar seraya memegang naskhah. “Saya nak promosi foto Tan Sri ini dalam FB,” saya mohon permisinya. Rais mengangguk dan tersenyum girang.

Masakan ayam kampung Restoran Pelita sederhana sahaja tetapi sesekali boleh juga dijadikan pilihan. Mungkin ayam bawang masak kicap Restoran Ibrahimsha, dekat pejabat Rais, yang saya sempat singgah tempoh hari lebih menarik. Kami tidak lama di kedai makan yang ramai pelanggan itu. Saya mengajak anak meninjau keadaan di Keramat, Kampung Baru dan Pandan. Parlimen Titiwangsa. Semasa kempen, seorang anak muda, awal 30-an, singgah membeli buku di rumah saya. Dia aktivis kempen PH, bekas penyokong Pas, nampak simpati dengan Amanah. Terkesan dengan kempen PH yang muram, dia meluahkan rasa kecewanya. “Bendera dan poster pun tak ada. Terpaksa kami minta ihsan markas PKR Ampang. Lemah sekali gerak kerja Titiwangsa. Ini kawasan berpotensi menang. Calon BN bukan sebarangan, menteri kewangan dan rajin turun padang. Tolonglah bang buat sesuatu. Jolok sikit orang atas tu,” panjang dia berbicara. Saya mendengarnya penuh minat bercampur resah. Terbayang, PH mungkin kehilangan satu lagi kerusi selepas bakal calon Parlimen Batu, Tian Chua, gugur kelayakannya kerana kes mahkamah. Pada PRU13, calon Pas, Zamri Khuzaimi kalah tipis, sekitar 800 undi kepada calon BN, Johari Abd Ghani. Kali ini, ketua Srikandi Bersatu, Rina Haron terpilih mewakili PH selepas melalui rundingan getir apabila Amanah turut menuntut hak dengan alasan kerusi di tengah kota raya itu milik tradisi Pas. Akhirnya Amanah langsung tidak mendapat sebarang kerusi di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pengerusinya, Dr Hatta Ramli dan timbalan, Tarmizi Mohd Jam membawa diri bertanding di Lumut dan Parit, Perak. Makan masa juga untuk merawat kedukaan penyokong Amanah Wilayah Persekutuan.

Saya turut berkongsi kerisauan kempen PH yang agak bercelaru itu dengan rakan baik, Dr Agus Yusof. Dia mengiakan, sambil mengakui gerak kerja memang tidak tersusun, dana yang kecil dan penyelarasan komponen parti kurang mantap. “Cuma mengharapkan semangat berkobar-kobar rakyat sahaja,” tambah guru politik dan sahabat baik saya itu. Bagaimanapun Dr Agus yakin faktor Mahathir berperanan cukup besar dalam PRU14.

Petang hari mengundi itu, saya hanya meninjau menerusi cermin kereta. Otot-otot tidak mampu menanggung beban mengheret kaki. Sesekali telefon bimbit berdering. Rupanya banyak juga mesej tidak terbaca. Masing-masing bertanya naluri saya. “Semua orang harap BN kalah dan kerajaan bertukar walaupun nampak payah sekali. Mungkin dalam tenang, Najib pun tidak menjangka, kawan-kawan kita esok lusa jadi menteri,” jawapan standard saya kepada mereka, sekadar menghiburkan kebimbangan.

Saya tiba di rumah sekitar jam 5 petang. Pusat pengundian akan ditutup. 15 minit sebelum tempoh berakhir, dua tiga info masuk. Ramai lagi masih beratur panjang di luar bilik mengundi. Mereka sabar menunggu selepas makan tengah hari, kira- kira 200 minit lalu. Pastinya masa tidak mencukupi untuk menunaikan hak dan partisipasi politik. Ada pengundi mengadu kepada portal berita, dia sampai tempat mengundi jam 9 pagi, hanya pada pukul 3.15 petang baru dapat kertas undi. Lebih enam jam berbaris. NGO Bersih mendesak SPR lanjutkan tempoh mengundi. Pengerusi SPR menjawab pantas. Desakan tidak dilayan. Ramai pulang hampa. Anak saudara saya mengirim klip video bukti sejumlah besar pengundi muda naik berang, menjerit-jerit, minta masa mengundi dipanjangkan. Suasana kecoh itu seperti dirakam di tingkat atas sebuah sekolah. Panjang juga barisan pengundi di belakangnya. Riuh-rendah. Hamburan pekikan sambung-menyambung. Saya terlelap sebentar, menunggu maghrib. Harapan tinggi mulai menyinar cerah dengan rakaman video itu. Kadar turun mengundi dicatat lebih 82 peratus. Orang muda mungkin akan membuatkan Najib bersugul panjang. Apa pun tidaklah sampai saya yakin malam jahanam BN bakal menyusul selepas isyak nanti.

Malam penentuan itu seperti malam-malam penantian lain juga. Bermula malam PRU 1986, percubaan pertama Pas di bawah kepimpinan ulama, yang bertanding hampir 100 kerusi Parlimen. Menang hanya satu. 1990, Tengku Razaleigh membawa harapan. Cuma Kelantan dapat ditebus. 1999, Anwar Ibrahim mengetuk pintu Putrajaya. tambahan di Terengganu. 2008, tanpa perlu bermimpi, lima negeri ditawan, majoriti dua pertiga BN dinafikan. 2013 impian sampai ke siling, harapan setinggi gunung, malangnya masih tidak kesampaian walaupun kerusi Parlimen meningkat dan undi popular sekitar 52 peratus. 2018, apakah Mahathir, 93 tahun, akan menganugerahkan kita kemenangan bermakna. Apakah bekas perdana menteri keempat ini berupaya memperbaiki segala kerosakan, yang bukan sahaja ditinggalkan Najib, tetapi oleh dirinya sendiri, dalam tempoh 22 tahun, 1981-2003. Penat saya berenang dalam lautan kenangan dan menguak memori silam. Saya tertidur awal ketika sayup-sayup terdengar isteri saya bersorak riang dari ruang sebelah kamar tidur. Saya menangkap lambat khabar beberapa kerusi tradisi BN tumbang. Satu mesej yang membawa cahaya. Keuzuran tambah kelesuan gagal membuatkan saya bingkas bangun. “Takpa, tidur dulu Lutfi, cepat atau lambat, keputusan sudah ada, tak boleh diubah lagi,” hati saya berbisik sendiri.

Memang nyenyak lena pada malam segenting itu tidak masuk akal langsung. Mata mengantuk kerana terbiasa tidur awal tetapi jantung berdebar kuat. Sehingga terpaksa tangan kanan menekannya perlahan mencari kelegaan. Mungkin tidak sampai 60 minit saya tersedar kembali. Jarum jam di dinding samar-samar. Henfon di sisi membantu. Belum pun pukul 10 malam. Isteri masuk kamar, memberitahu banyak lagi kerusi kubu BN tumbang, termasuk jauh menyeberang Laut China Selatan. Johor terbukti bertuah menggerakkan gelombang dari selatan. Tokoh-tokoh besar dari MIC, MCA dan Umno Johor tersungkur. Saya terburu-buru mencari info di internet apabila TV nampak lambat memaklumkan. Melengah-lengahkan. Itu petunjuk mudah khabar duka buat Umno-BN. Mungkin sedang giat dicari jalan keluar, sekurang-kurangnya mengurangkan mudarat teruk kalaupun tidak dapat diusahakan sabotaj atas pilihan rakyat. Gergasi Umno, Khalid Nordin dan Shahrir Samad tumbang. Pastinya kawasan sekitar Johor Bahru, seperti Pulai yang ditandingi sahabat saya, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dapat dikuasai PH. Muhyiddin turut menang di Pagoh. Muar juga jatuh. Tanpa menunggu lama, Johor yang dianggap tiang seri Umno, kecundang awal. Hampir kebanyakan calon Pas bagi kerusi Parlimen dan Dun di Johor hilang wang pertaruhan. Saya beranggapan akan mendengar berita gembira daripada Perak lebih awal, tetapi negeri kelahiran Umno itu mendahului. Tidak putus-putus isteri mundar-mandir seperti mengacarakan siaran langsung untuk saya yang masih berbaring lemah. “Kita dah menang Putrajaya,” suaranya agak kuat di cuping telinga saya. “Tengku Adnan kalah ke,” usik saya, walaupun tahu maksudnya adalah BN sudah hilang kuasa persekutuan. Rekod cemerlang di Dun Selangor, PH menang 51 daripada 56 kerusi dan kuasai 37 daripada 40 kerusi Pulau Pinang bukan cerita menarik lagi.

“Jangan suka sangat, belum ada pengumuman rasmi. Macam-macam boleh berlaku. Simpan dulu rasa gembira tu,” tegur saya sambil bangun perlahan di birai katil. Saya mendekati isteri yang asyik menonton TV tanpa melepaskan henfon. Berita dari FB lebih cepat, katanya. Teguran saya tadi membuat isteri agak tersentak. Dia seperti membantah apabila merungut kecil, “memang kita dah menang, Najib akan masuk penjara, GST tak ada lagi”. Saya tetap mengambil jalan selamat, “biar jangka kalah dulu menang kemudian, taklah kecewa sangat, mana tahu ada calon PH kena beli nanti.” Isteri saya tidak mahu mengalah, “PH menang besar, takkan boleh dibeli.” Dia makin bersemangat mendengar berita baharu. “Negeri Sembilan pun dah menang ni, nak tunggu apa lagi?” Khabar itu membuatkan mata saya segar-bugar. Saya tidak meletakkan negeri penuh beradat itu dalam senarai target biarpun sejak 2008 prestasi Pakatan Rakyat cemerlang di sana. Apabila PH diisytihar menang 20 kerusi daripada 36 Dun Negeri Sembilan, laluan untuk Johor, pasti lebih mudah, dan Melaka boleh menerima tempiasnya. Berakhirlah kubu-kubu Umno di selatan tanah air.

Beberapa minit sebelum 12 tengah malam, Mahathir mengumumkan PH menang majoriti mudah, melepasi minimum bilangan 112 kerusi. Tidak termasuk kerusi Warisan di Sabah. SPR tetap belum mengesahkan. Saya sabar menyimpan kegembiraan. Kesyukuran tetap dilafazkan sebelum kemenangan diraikan. Lega yang amat sangat. Bagai dibebas-lepas dari penjara. Dada terasa lapang selapangnya. Saya tidak sempat mengira jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi setiap komponen PH. Agakan saya, DAP dan PKR yang bertanding di kerusi majoriti Cina dan pengundi campuran mungkin paling beruntung. Seperti jangkaan awal Ibrahim Ali, walaupun Bersatu paling banyak bertanding, tetapi status kerusinya gred C, tidak sepertimana DAP dan PKR yang mencuba nasib di kerusi selamat, iaitu kawasan bandar atau pinggirnya, dan bercampur pelbagai kaum. Amanah pula mungkin senasib Bersatu, bertempur di kubu Umno, apatah lagi bertanding hanya 27 kerusi. Apa pun semua itu tidak mustahak lagi. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan, di penghujung usia sarat dengan keuzuran ini, Engkau izinkan aku merasai saat-saat manis memetik buah perjuangan. Tumbang juga rejim yang berkuku lebih enam dekad. Syukur, ya Allah, puja-puji hanya untuk-Mu.

Perasaan masih bercampur-baur. Mana tahu jika keputusan rasmi berkalih? Najib belum mengaku kalah, dia masih PM. Saya cuba teliti pilihan pengundi Titiwangsa yang sebelumnya samar-samar harapan untuk menang. Pada hari penamaan calon, khabarnya penyokong Pas pun lebih ramai berhimpun daripada PH. Lega teramat, apabila mendapati calon Bersatu menang. Saya mencari fakta kerusi jirannya Batu. PH meletakkan harapan kepada calon Bebas, paling muda, 22 tahun, masih menuntut, selepas penyandang Tian Chua hilang kelayakan. Wakil BN, orang penting Gerakan, sudah berangan-angan menang mudah. Kejayaan Bebas tidaklah mengejutkan, tetapi jumlah undinya memberi isyarat jelas dan indikator memang BN sudah ditolak tanpa kompromi. Beliau meraih hampir 40 ribu undi meninggalkan calon BN yang mengutip tidak sampai 14 ribu undi. Keputusan dua kerusi itu membuatkan saya selesa dan yakin bahawa BN sudah tertiariap. Isteri saya sempat mengingatkan, “anak Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Nik Omar kalah teruk, mungkin hilang deposit, Husam juga kalah di Kota Bharu.” Segera saya menyemak portal berita. Pas menang besar di Dun Kelantan dan Terengganu, dengan majoriti dua pertiga. Semua calon PH tewas, sebahagian besar hilang wang pertaruhan kerana gagal mendapat satu perlapan daripada undi keseluruhan. Rakan saya, Liew Chin Tong, strategis DAP turut tewas di Ayer Hitam, Johor. Di luar Pantai Timur dan Kedah, kebanyakan calon Pas kalah dan hilang deposit. Pas bertanding 160 kerusi Parlimen. Tentu jutaan ringgit lesap. Saya turut terkesan dengan kemenangan Presiden Amanah, Mat Sabu di Kota Raja, undinya 90 ribu dengan majoriti 71 ribu. Tersenyum sendiri mengingati pidatonya yang menyegarkan sepanjang jelajah kempen bersama Mahathir. Bang Mat kembali ke Parlimen selepas kalah pada 2004-2018. Sebagai presiden parti komponen pemerintah, tentu beliau akan menggalas peranan strategik dalam kerajaan baharu.

Menyusul berita PH menang 15 daripada 28 kerusi Dun Melaka. Pengerusi Pakatan negeri, Adly Zahari, sahabat satu jemaah semasa di UTM dahulu, juga aktivis sepenuh masa Pas sebaik tamat belajar. Amanah hanya memang dua kerusi Dun, tapi saya kira Adly berpeluang jadi ketua menteri berdasarkan ketokohannya dan penerimaan rakan-rakan komponen PH negeri. Terbukti Johor menang besar, kuasai 36 kerusi. Pas mencuri satu kerusi Dun, itu pun apabila pencalonan PH ditolak. BN tinggal 19. Sangkaan awal saya, Perak dan Kedah menang lebih awal dan selesa, agak tersasar. Daripada 36 kerusi Dun Kedah, PH menang separuh, 18. Pas merangkul 15 dan BN berbaki tiga. Saya yakin PH dapat membentuk kerajaan negeri. Kelebihan atas statusnya sebagai peneraju kerajaan persekutuan. Lagipun sosok paling berpengaruh, Mahathir datang dari sana. Kemenangan Mahathir di Langkawi diketahui lebih awal. Percubaan Amiruddin Hamzah, bekas pemimpin kanan Pas negeri yang menyertai Bersatu, di Kubang Pasu turut berjaya. Semua calon Dun di dua kawasan Parlimen itu menang, petanda pengaruh besar Mahathir. Di Perak pula keadaan tergantung, BN pertahan 27 kerusi manakala Pas berpeluang menjadi kingmaker, menang tiga. PH ada 29 kerusi. Kelebihan menguasai Putrajaya sekali lagi suatu bonus. Tekaan saya, mungkin ada Adun BN yang bakal melompat atau mengalih sokongan. Yang jelas, saya tidak risau lagi dengan pendirian mana-mana wakil rakyat PH seperti tragedi 2009 dahulu. Pas di Kedah dan Perak pasti tidak mahu memperjudi harga diri jika bersedia bersekongkol dengan Umno. Ia lumat dituduh mempunyai hubungan sulit dengan Umno semasa kempen. Jikalau Pas mahu berpakat dengan Umno sekalipun, belum tentu mendatangkan manfaat untuknya. Kemenangan BN di Perlis dan Pahang pula langsung tidak diraikan. Saya hanya tenteram dan boleh menyambung tidur selepas mendapat maklum Ketua Setiausaha Negara, mengumumkan hari Khamis dan Jumaat sebagai cuti umum, selaras janji PH jika menang. Jam sekitar 3.30 pagi. Tiada lagi tanda tanya dan kemusykilan.

Isteri saya lebih awal beradu. Puas menatap wajah syahdunya ketika tidur. Dia yakin Mahathir perdana menteri baharu sebelum 12 malam tadi. Tidak sia-sia usaha kerasnya mempengaruhi saudara-mara terdekatnya untuk mengundi PH dan meninggalkan Pas. Kempennya hanya menerusi dua buku terbaharu saya. Semangatnya membuak-buak hingga ada kala saya terpaksa “memperlahankannya”. Saya bimbang dia tidak dapat membendung rasa kecewa jika PH kalah. Subhanallah, penantian panjang sudah terjawab. Esok, pagi 10 Mei, pasti pancaran mentari membuka era baharu beserta tanggungjawab dan amanah besar menbina semula negara.