"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Video murid dipukul tular di media sosial

WARTAWAN SINAR HARIAN 

BALING - Rakaman video seorang murid menerima hukuman dipukul seorang lelaki dipercayai kakitangan sebuah sekolah di daerah ini tular di media sosial hari ini.

Video Berdurasi 1.04 minit itu menunjukkan salah seorang pelajar dipukul menggunakan tangan dan lutut bahagian kaki di beberapa anggota badannya.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Ada yang beranggapan tindakan itu keterlaluan namun terdapat juga netizen mempertahankan hukuman berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof dalam kenyataan kepada media mengesahkan belum menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan.

Sinar Harian difahamkan video berkenaan pernah ditularkan lebih tiga tahun lalu.

Apa taktik PAS kekang ahlinya sertai Amanah?

Zulkifli Sulong
Apa taktik PAS kekang ahlinya sertai Amanah?
Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia berpendapat yang Amanah tidak perlu risau dengan ahlinya yang sedikit kerana banyak kes parti boleh sahaja menang walaupun keanggotaan partinya sedikit seperti DAP Cheras. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 November, 2017.

KENDURI Abdul Razak Ibrahim di Kampung Pengadang Baru, Marang, Terengganu pada hujung minggu lalu meriah sebagaimana kenduri kahwin yang lain, namun yang kurangnya ialah tidak ada pemimpin PAS yang hadir walaupun mereka dijemput.

Bukan setakat pemimpin kecil di peringkat cawangan dan kawasan, pemimpin peringkat negeri yang selama ini amat rapat dengan beliau pun tidak hadir.

Padahal Abdul Razak sangat rapat dengan mereka selama ini. Bahkan beliau adalah salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang dikuasai oleh PAS di Terengganu dan terlibat dengan banyak projek pembangunan masjid itu kerana beliau juga seorang jurutera awam bertauliah.

"Akhirnya, setelah berbincang dengan saudara mara dan rakan-rakan barulah saya perasan, rupanya majlis kenduri saya itu diboikot oleh PAS kerana saya menyokong Amanah," kata Abdul Razak kepada The Malaysian Insight.

Ini bukan sahaja berlaku di Terengganu, negeri kubu PAS, bahkan juga di kebanyakan tempat terutama di kawasan-kawasan yang kuat PAS hatta di Selangor.

Mereka yang didapati menyertai atau menyokong Amanah, parti pecahan dari PAS, akan diboikot.

Kenduri mereka tidak disertai bahkan mereka tidak akan ditegur sapa dan mungkin akan dipulaukan. Bahkan ahli yang lari menyertai Amanah ini dilabel pengkhianat.

Bagi Abdul Razak, beliau tidak kesah dengan apa yang dihadapinya tetapi sedih dengan masa depan parti itu.

"Bagi saya ia bertentangan dengan konsep dakwah yang turut menjadi salah satu tujuan PAS ditubuhkan, bahkan ia memberikan contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

"Dengan cara ini PAS mungkin berjaya dalam jangka pendek, mengawal dan menakut-nakutkan ahlinya daripada menyertai Amanah tetapi untuk jangka panjang ia sangat negatif kepada parti itu," kata Abdul Razak yang tidak menyesal meninggalkan PAS.

Kafir mengkafir

Bagi pengkaji politik, fenomena ini mengulangi apa yang berlaku pada tahun 1980-an ketika PAS mula bangkit selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 1978.

Ketika Presiden PAS Abdul Hadi Awang mula naik dahulu, isu kafir mengkafir berlaku dan lahirnya juga “Amanat Haji Hadi” hasil ucapannya di Kampung Banggol Peradong pada 1981.

"Fenomena ini biasa di Terengganu. Ia mempunyai sejarah yang panjang sejak 1980-an lagi apabila bermulanya isu kafir mengkafir.
Mereka yang didapati menyokong atau menyertai Amanah akan diboikot, mengulangi fenomena kafir mengkafir yang berlaku sekitar tahun 1980-an dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.
Mereka yang didapati menyokong atau menyertai Amanah akan diboikot, mengulangi fenomena kafir mengkafir yang berlaku sekitar tahun 1980-an dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2017.
"Ketika itu ahli Umno akan menjadi sasaran tetapi sekarang Amanah pula," kata Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ekoran tindakan kawalan yang dibuat oleh PAS, sehingga kini Amanah hanya mampu mendaftarkan kira-kira 80,000 ahli sahaja selepas dua tahun penubuhannya.

Ia tersasar dari apa yang dijangka oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mahukan mendaftarkan 100,000 ahli Amanah menjelang tamat tahun 2016 lalu.

Ramai penyokong Amanah dikatakan kekal dalam PAS dan tidak berani keluar dari parti itu kerana bimbang menghadapi apa yang dialami oleh Abdul Razak.

Mereka inilah yang dilabelkan sebagai “harum manis”, hijau (warna PAS) di luar tetapi oren (warna Amanah) di dalam.

Sekurang-kurangnya tiga wakil rakyat PAS dilabelkan sebegini termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Di Kedah, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Nasir Mustapha kekal dalam PAS walaupun sentiasa bersama di atas pentas Amanah dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah menjangkakan 30% penyokong Amanah kekal dalam PAS dan hanya 10 hingga 15% sahaja yang menyertai Amanah.

Sebagaimana Raja Bahrin, Abdul Razak menjangkakan hanya 10% ahli PAS di Terengganu yang menyertai Amanah manakala ramai penyokongnya akan kekal dalam parti itu dan mendiamkan diri.

Namun beliau yakin, pada hari pilihan raya nanti kesemua mereka akan memilih Amanah atau mana-mana parti dalam Pakatan Harapan, dan bukannya PAS.

"Kawan sekolah saya dulu turut datang ke majlis kenduri saya. Saya kenal dia sebagai penyokong Amanah tetapi dia tidak berani bercakap secara terbuka tentang PAS dan Amanah," katanya.

Dr Mazlan berpendapat, bilangan ahli Amanah yang tidak sampai 100,000 orang tidak perlu merisaukan parti itu kerana ia bukan satu-satunya faktor untuk menang pilihan raya.

"Tak perlu risau bilangan ahli ini. Politik zaman sekarang politik flat (mendatar), bukan politik dalam kotak.

"DAP di Cheras hanya ada beberapa ratus ahli sahaja, tetapi setiap kali pilihan raya parti itu akan menang puluhan ribu. MCA yang ada cawangan di setiap taman perumahan gulung tikar selalu," kata penganalisis politik itu.

DAP, dalam empat pilihan raya umum yang terakhir, menokok majoritinya dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya di kerusi Parlimen Cheras. Calonnya, Tan Kok Wai mengekalkan kerusi itu sejak lima penggal lepas, sejak 1995.

Peniaga kecoh MDPP roboh pagar Pasar Besar Pasir Puteh (Gambar)

RAMLI HUSSIN
Lebih 200 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh, kecoh apabila pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bertindak meroboh pagar pasar lama itu pagi ini.

Usaha oleh pihak MDPP bersama beberapa anggota Unit Penguatkuasa bermula jam 9.00 pagi ini dan berakhir jam 9.30 pagi kira-kira setengah jam.
Mohd Badrul Yaacob
Timbalan Pengurusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh, Mohd Badrul Yaacob, berkata usaha MDPP untuk meroboh pagar pasar lama terbantut apabila lebih 200 peniaga keluar menghalang usaha itu.

Bagaimanapun kekcohan dapat dikawal oleh pihak polis dalam masa 30 minit sebelum kerja perobohan diteruskan MDPP.

Katanya dalam usaha menghalang usaha pihak MDPP meroboh pagar oleh peniaga hampir berlaku pergaduhan antara kami yang mana pihak penguatkuasa MDPP tidak menghirau rayuan kami.

“Kami peniaga terpaksa bertindak dengan apa cara sekali pun untuk menghalang usaha mereka.

“Kerana kes rayuan kami di mahkamah rayuan belum selesai lagi, dan ianya akan bermula sebut kes pada 11 Dec 2017 nanti.

“Jadi saya sangat mengharapkan agar pihak MDPP dapat menangguhkan usaha meroboh pasar lama ini sehingga kea selesai di mahkamah, katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di pasar besar hari ini.

Mohd Badrul Yaacob berkata, pihaknya kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak menunaikan janji mereka yang mana mereka akan menyediakan tempat yang lebih selesa kepada kami.

“Nak suruh kami pindah tapi mengapa mereka menggunakan kekerasan tanpa menunggu keputusan mahkamah.

Sabarlah dulu dan saya memohon pihak MDPP menghormati mahkamah,” katanya.
Beberapa peniaga bertindak melarang pegawai MDPP untuk merobohkan kawasan pasar berkenaan.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri berjanji akan membina gerai yang sama luas seperti ukuran di pasar lam namun sebaliknya saiz gerai yang dibina di pasar Siti Hajar amat kecil saiznya.

Mohd Badrul berkata, jika mereka terus berdiam diri kami peniaga tidak akan berganjak untuk tidak berpindah ke pasar baru Siti Hajar.

“Kenapa daripada keluasan saiz daripada besar menjadi lebih kecil, jika demikian bagaimana kami semua mahu menjalankan perniagaan.

“Saya memohon agar pihak berkaitan turun padang tengok dan nilai sendiri apa yang ada dan berlaku kepada kami di sini,” katanya.

Mohd Badrul berkata, sepatutnya kerajaan negeri lebih prihatin dengan nasib yang dihadapi oleh peniaga di situ memandangkan mereka seratus peratus orang Melayu yang berpendapatan cukup makan sahaja.
Dikalangan peniaga hanya mampu memandang kerja perobohan dilakukan oleh MDPP pagi ini.

Ada pijak memijak untuk naik ke atas dalam Kem Najib

The Malaysian Insight
SERONOKNYA jadi orang tengah atau tukang atur untuk Perdana Menteri.

Anda cakap apa pun orang ambil serius dan orang beri hormat yang tinggi, jauh lebih tinggi daripada kedudukan rasmi, penampilan atau tahap pendidikan.

Malah kalau ahli politik kanan, pegawai kanan kerajaan atau broker kuasa lain di Malaysia ini tidak sukakan anda, mereka tahu pada akhirnya anda bercakap bagi Najib Razak atau "Madam", begitulah Rosmah Mansor, isteri Najib digelar dalam lingkungan perdana menteri.

Masalahnya jadi tukang atur yang berkuasa di lapangan ialah semua orang dalam kem PM juga mengidam kedudukan yang akrab dan berpengaruh itu, dan akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan anda.

Inilah yang dialami oleh Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini. Beliau belajar dengan pantas bahawa dekat dengan kekuasaan di Malaysia ini ada baik dan buruknya.

Suatu hari, anda cemerlang dan tampak seolah tidak tersentuh dengan pendedahan apa pun. Tetapi pada suatu hari yang lain, bahasa Melayu anda yang pelat atau kefasihan dalam Tamil jadi isu.

Pekerja politik PM dan blogger menghidu kelemahannya. Mereka percaya hubungan Abdul Azeez dengan keluarga PM robek dan tigak teguh lagi seperti dulu.

Akibatnya, ada beberapa rencana yang ditulis tentang beliau.

Kebanyakan artikel itu disiarkan di Malaysia Today yang dikendalikan oleh blogger
Raja Petra Kamarudin yang hidup dalam pelarian, yang kini kelihatannya menyokong kerajaan selepas bertahun-tahun mendukung Anwar Ibrahim selepas bekas timbalan perdana menteri dipecat daripada kerajaan padan 1998.

Ada cakap-cakap dalam kelompok Umno bahawa Raja Petra, yang lebih dikenali dengan singkatan RPK, berkomplot dengan seorang lagi penasihat Najib tetapi ia masih lagi tinggal cakap-cakap sampai hari ini.

"Buang masa saya," kata Abdul Azeez di lobi Parlimen semalam ketika diminta mengulas tulisan Raja Petra.

Apa yang jelas ialah Abdul Azeez, pengerusi Tabung Haji dan ketua Putera Umno, sekarang ini diserang ketika penasihat-penasihat dalam lingkungan Najib bersaing untuk jadi orang rujukan utama perdana menteri.

Mereka mahu jadi seperti Abdul Azeez, yang sampai tahu apa PM akan pakai esok serta program yang akan dihadirinya. Untuk dapat singgah di rumah PM pada bila-bila masa dan dilibatkan dalam apa-apa perbincangan walaupun ia melibatkan isu sulit negara.

Ada masanya orang rujukan itu adalah mereka yang duduk dalam kelompok Najib yang sedang mendaki tangga kuasa dalam Umno. Tetapi hari ini, petugas politik yang bersembunyi di sebalik bayang-bayang inilah yang merasakan mereka patut diketahui sebagai orang rujukan dalam pentadbiran Najib.

Seorang daripadanya dijadualkan muncul dalam satu wawancara BBC ketika heboh tentang identiti MO1 — pegawai kanan Malaysia yang dikatakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terlibat dalam kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad.

Tetapi BBC kemudian mendapati beliau tidak menarik untuk penonton global, dan kerajaan selepas itu mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan yang kemudian mengesahkan identiti MO1.

Seperti yang pernah Najib katakan, beliau menghargai kesetiaan berbanding kebijaksanaan. Tukar atur ini, termasuk Abdul Azeez, orang yang setia tetapi masing-masing cuba menikam antara satu sama lain untuk membuktikan mereka yang paling setia dalam Kem Najib.

Malang bagi Abdul Azeez, orang yang sudah melaksanakan segala-galanya untuk presiden parti dan perdana menteri, kesetiaan dan kecekapannya itu dijadikan sasaran oleh pesaing-pesaingnya yang mahukan perhatian daripada Najib.

Bekas pegawai kanan tentera ikrar lindungi Dr Mahathir

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan veteran tentera berikrar memberi perlindungan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan keputusan kerajaan menarik balik perkhidmatan pengawal peribadinya.

Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) berkata mereka komited untuk memastikan tiada bahaya fizikal yang akan menimpa Dr Mahathir pada bila-bila masa, dan menggesa semua yang mendakwa diri mereka patriot memberikan komitmen sama.

“Seseorang tidak boleh menjadi ‘patriot’ bangsa jika dia tidak mempedulikan pemimpin negara yang telah berkhidmat kepada rakyat, negara dan pemerintah Malaysia.

“Sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada kesejahteraan peribadi Dr Mahathir, ahli PPK akan menyalahkan sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan penjaga undang-undang dan ketenteraman, dan akan menuntut siasatan bagi mendedahkan kegagalan kerajaan hari ini,” kata Presiden PPK, Brig-Jen (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan penarikan balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) Dr Mahathir.

Putrajaya turut menamatkan kontrak tukang masak dan pembantu rumah di pejabatnya.

Tahun lalu, khidmat polis trafik mengiringi perjalanan Dr Mahathir ditamatkan, dengan alasan beliau menyertai perhimpunan yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Dr Mahathir, yang mentadbir negara dari 1981 hingga 2003, merupakan perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat. Beliau keluar Umno tahun lalu dan kini mempengerusikan pakatan pembangkang melalui Pakatan Harapan.

Arshad berkata keputusan menarik balik pengawal peribadi Dr Mahathir adalah bersifat “amatur, tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan jelas merendahkan martabat”.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia yang patriotik mahu melihat bekas pemimpin yang mereka dihormati dan dihargai, yang menjadikan Malaysia lebih baik, dilayan dan dimudaratkan dalam keinginannya yang tinggi untuk perubahan kepimpinan negara sekarang.

“Pemimpin dunia memandangnya dengan penuh hormat, dan Malaysia pernah dipandang tinggi semasa kepimpinannya. Semasa kemelesetan dunia pada 1998 yang turut merebak ke Asia Tenggara, tindakan Dr Mahathir yang menyelamatkan ekonomi kita.

“Tidak kira bagaimana beliau hari ini, lelaki yang begitu tegas menentang kerajaan pemerintah sekarang kerana alasan yang kita semua tahu, beliau pastinya tidak layak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab oleh kerajaan.”

Melihatkan pelbagai perkhidmatan yang ditarik balik, Arshad persoal apa lagi yang akan diambil.

Warkah terbuka untuk Sultan Selangor

Ampun Tuanku.

Merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sesungguhnya patik memohon ampun limpah perkenan Tuanku mencemar duli membaca warkah ringkas patik dengan hati terbuka, ikhlas dari hati seorang rakyat.

DYMM Tuanku,

Pertamanya patik dengan sembah takzimnya ingin merakamkan setinggi tahniah ke bawah duli Tuanku, kerana di bawah naungan panji Tuanku ternyata Selangor terus berkembang pesat dan mahsyur ini terbukti sepertimana sumbangan Selangor kepada suku hasil pendapatan negara.

Malah gandingan kepimpinan Tuanku dalam pentadbiran negeri Selangor amatlah patik kagumi dengan hasil mahsul bumi Selangor kini terjaga dengan baik termasuk hasil rizab yang mana atas perkenan Tuanku, rakyat beroleh hasil yang membawa kesejahteraan kepada negeri Selangor dan seluruh isinya.

Selaku anak Johor, Tuanku persis Tuanku Sultan Johor yang begitu kasih dan kisahkan rakyat malah keterbukaan Tuanku Sultan Selangor dalam segenap hal membawa kepada kemajuan atau modernisasi secara wasatiyyah dalam kalangan rakyat. Tuanku ternyata lantang demi kesejahteraan rakyat semata. Maka bersyukurlah rakyat yang berada di bawah naungan duli Tuanku.

Ampun Tuanku,

Sesungguhnya patik mohon ampun dalam izin menyatakan beza pendapat dan mengambil ruang ini untuk saling memperjelaskan kepada Tuanku Sultan Selangor berdasarkan titah Tuanku hari ini (2/11/2017) yang pada hemat patik adalah salah faham mengenai pernyataan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keturunan Bugis.

Ampun Tuanku,

Menurut kenyataan media dari pihak DYMM Tuanku, pada akhir perenggan pertama ada dinyatakan bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir adalah “dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis” sehingga timbulnya saranan daripada pihak Tuanku untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dikenakan Akta Hasutan.

DYMM Tuanku, dari kenyataan mewakili pihak Tuanku di atas ternyata hemat patik ada salah faham terhadap kenyataan Tun.

Izinkan patik memperjelaskan isu yang jelas dipolitikkan pelbagai pihak sebelum ini sedang negara dihimpit pelbagai masalah yang lebih meruncing.

Telah lama dan banyak kali sebenarnya dalam ucapan Tun yang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menggelarkan beliau sebagai pahlawan bugis yang 'merompak' dan juga 'lanun'.

Sekiranya dinilai, setiap kali pernyataan itu dilontarkan bukanlah pernyataan itu ditujukan buat seluruh bangsa atau keturunan Bugis.

Pernyataan itu juga timbul susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak sendiri yang menggelarkan dirinya sebagai 'Pahlawan Bugis' dalam suatu program pada 4 Jun 2015 di Sarawak.

Sejak itu Tun Dr. Mahathir sememangnya menyebut mengenai Pahlawan Bugis dalam naratif untuk menyedarkan tindak tanduk Datuk Seri Najib Razak yang berselindung melalui keturunan untuk menghalalkan tindakan salah laku beliau khususnya dalam hal salah guna kuasa dan rasuah.

Ini ternyata sebenarnya lebih memalukan seluruh keturunan Bugis.

Malah baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir sendiri ada memperjelaskan mengenai tindak tanduknya yang menujukkan pernyataan tersebut hanya kepada Najib Razak kerana beliau atas kredibilitinya selaku Perdana Menteri yang mengamalkan salah guna kuasa sebenarnya memalukan keturunan Bugis dan bukanlah ditujukan buat seluruh keturunan Bugis hakikatnya dan ini boleh didapati melalui penulisan beliau di laman 'blog' chedet.cc bertarikh 26 Oktober 2017. Berikut adalah pautan web: http://chedet.cc/?p=2653

Malah jelas pada perenggan tiga apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan; “Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia.”

Sebelum itu pula, dalam ucapan Tun Dr. Mahathir bertarikh 18 Oktober 2017 di Kemaman, Terengganu. Dengan jelas Tun berkata (pada minit 2:25); “Orang Bugis tak semuanya lanun, Raja kita ada keturunan Bugis juga...” (lihat video: https://www.youtube.com/watch?v=yWK66Ddg4UM ).

Ini jelas menunjukkan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menujukkan pernyataan dan menempelak Datuk Seri Najib Razak semata-mata atas salah laku beliau yang menggunakan keturunan Bugis sebagai perisai.

Ampun Tuanku,

Sesungguhnya patik amat kecewa apabila isu ini ditimbulkan apatah lagi dipolitikkan bagi mengalih pandangan terhadap isu besar lain seperti rasuah, kleptokrasi dan ketirisan yang berleluasa sekaligus menghalang kemajuan negara.

Patik risau Tuanku, sedang negara tercinta berada dalam kemelesetan kesan salah-laku pucuk pimpinan Malaysia yang membawa kepada himpitan hidup rakyat, isu ini lebih diutamakan sedang 1Juta tandatangan rakyat yang marah dan terkesan dengan kemunduran ekonomi dan mahukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik namun diketepikan.

Saya sebagai orang Melayu amatlah berasa malu sekiranya menggunakan nama sebagai 'Pahlawan Melayu' sebagai jalan untuk menghalalkan perbuatan rasuah dan menjadikan medan bangsa mahupun keturunan untuk menghalalkan perbuatan sebagai perisai.

Saya yakin sebegitulah juga untuk seluruh keturunan Bugis. Ini bukan isu bangsa mahupun keturunan, tidak kisah keturunan Melayu, Bugis, India, Cina, Sabah dan Sarawak, tetapi kalau mengamalkan rasuah saya akan berasa malu akan perbuatan sedemikian yang menggunakan bangsa sebagai perisai.

Sebagai salah seorang rakyat, patik sesungguhnya idamkan sepertimana kata-kata keramat 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' kerana itulah 'Wa'adat' yang mana raja sentiasa memayungi rakyat akan keperluan dan kehendak demi kesejahteraan bukanlah sebaliknya.

Malah patik terkejut dengan gesaan dari pihak DYMM Tuanku dan nyata patik berbeza pendapat untuk Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat di bawah akta hasutan kerana pernyataan Tun juga boleh dikaitkan dengan isu kenyataan Zahid Hamidi yang menyerang keharmonian kaum apatah lagi melibatkan keturunan India yang juga merupakan warganegara di Malaysia.

Ampun Tuanku,

Patik berharap Tuanku bersama kami rakyat, seganding dengan kami demi kesejahteraan negara dan kesenangan rakyat tuanku.

“Fight For Us Tuanku, Fight For All Malaysians”.

Ampun Tuanku.

(Kenyataan ini tidak mewakili parti, lebih kepada kenyataan peribadi dari seorang rakyat Malaysia.)

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia.
-malaysiakini

Najib perlu jadi ‘pencelah’ saman presiden Pas terhadap Sarawak Report

HUSIN MAHAT
Di saat para pemimpin Umno dan Pas bersepakat menggesa bekas presiden Majlis Peguam S Ambiga menjelaskan maklumat yang diperolehinya berhubung dana yang disalurkan perdana menteri kepada Pas seperti didedahkan pengarang Sarawak Report dalam teks pembelaan dan tuntutan balasnya di Mahkamah Tinggi London, timbalan ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil pula meminta Datuk Seri Najib Razak menjawab pembelaan Clare Rewcastle-Brown dengan menjadi pencelah dalam saman presiden Pas.

Apa Nik Abduh telah buat, tanya Faiz Fadzil.

Menurut Faiz, oleh kerana salahlaku jenayah Najib Razak didedahkan secara terperinci di dalam pembelaan Clare yang pasti telah mencemar nama baik negara, Najib seharusnya melantik peguam untuk memohon sebagai pencelah dalam saman presiden Pas itu bagi menjawab segala dakwaan Clare.

“Begitu mengejutkan meneliti pendedahan fakta oleh Clare Brown dalam Pembelaan dan Tuntutan Balas terhadap Saman yang dikemukakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London susulan suatu artikel yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin kanan Pas untuk menyokong Umno dan BN seperti disiarkan Sarawak Report sekitar Ogos 2016.

“Pembelaan Clare tersebut mendedahkan beberapa fakta yang terperinci berkaitan pembayaran jutaan ringgit kepada pemimpin kanan Pas oleh Perdana Menteri. Antaranya, sejumlah RM200 juta kepada bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa termasuk wang hasil penyelewengan 1MDB dan pemilikan aset-aset mewah hartanah dan kenderaan oleh 10 orang pemimpin kanan Pas yang lain.

“Clare mendakwa jumlah tersebut sebagai sogokan untuk Pas berpecah daripada Pakatan Rakyat. Dakwaan ini adalah serius dan seharusnya SPRM menjalankan siasatan segera kerana ia melibatkan jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan,” ujar Faiz dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, intipati substantif pembelaan Claire menjurus kepada pendedahan salahlaku jenayah korupsi dan salahguna kuasa oleh Najib Razak termasuk skandal 1MDB, urusniaga kapal selam Scorpene, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan pendakwaan politik kes sodomi Anwar Ibrahim bagi menunjukkan betapa korupnya Najib Razak.

Pas tambah beliau adalah antara ‘umpan’ Najib Razak bagi mengekalkan kuasa politik beliau dengan menyogok wang jutaan ringgit.

Perpecahan dalam parti Islam tersebut serta Pakatan Rakyat, ujar Faiz dilihat sebagai kejayaan permainan licik politik Najib Razak dan Umno.

Sehubungan itu beliau menyarankan Najib menjawab pembelaan Clare Rewcastle-Brown dengan menjadi pencelah dalam saman presiden Pas di Mahkamah Tinggi London bagi membersihkan imej beliau dan negara.

Menurut Faiz, pembelaan adalah dokumen mahkamah yang bersifat dokumen awam yang boleh diakses oleh mana-mana individu di seluruh dunia.

Sehubungan itu, tambahnya Najib seharusnya mengambil langkah berani mempertahankan nama baik dan maruah negara atas premis integriti dan akauntabiliti.

Mahfuz mahu bertanding atas tiket Harapan

ATIRAH HASLI 
KUALA LUMPUR - Datuk Mahfuz Omar mengesahkan akan menolak sekiranya Pas menawarkan beliau untuk bertanding di mana-mana kerusi pada PRU akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau juga tidak kisah sekiranya Pas menempatkan calon lain menggantikannya di kawasannya.

Katanya, sebaliknya beliau lebih berminat untuk bertanding dalam PRU kelak dengan menggunakan tiket Pakatan Harapan (Harapan).

"Bukan Amanah, bukan Bersatu, sebaliknya saya lebih suka bertanding atas tiket Pakatan.

"Kalau Pas tawarkan saya mana-mana kerusi untuk bertanding sekalipun saya tak ingin, kerana keadaan Pas sekarang yang tidak mungkin diterima oleh masyarakat," katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, bagaimanapun Mahfuz menambah, beliau akan membuat pertimbangan sekiranya terdapat desakan daripada rakan-rakan dan penyokongnya.

"Apa yang pasti, saya tidak mahu bertanding dengan membawa pendirian Pas kerana ia tidak akan dapat meraih undi daripada rakyat," katanya.

Mengulas mengenai hubungan 'mesra' dengan Amanah, Mahfuz berkata, beliau tidak mungkin dapat memutuskan silaturahim antara rakan seperjuangan yang pernah berjuang di bawah satu 'bumbung' suatu ketika dahulu.

"Sepertimana saya menjaga hubungan dengan rakan-rakan Pas, saya juga masih menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat saya di Amanah.

"Saya hadir di majlis mereka selama ini pun atas dasar jemputan. Sesiapa sahaja yang jemput, saya akan pergi. Malah saya juga pernah hadir di Pelancaran Bersatu di Stadium Melawati, Shah Alam, baru-baru ini," katanya.

Video terbaru ‘skandal’ ketua SPRM muncul lagi

The Malaysian Insight

SATU lagi klip video muncul malam tadi, menambah tuduhan terhadap ketua badan pencegahan rasuah Malaysia Dzulkifli Ahmad kepada salah guna wang kerajaan dan memberi amaran kepada Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa supaya jangan melindungi skandal itu.

Klip berdurasi 57 saat itu disiarkan di YouTube menerusi akaun Jejak Dua Belas dan menunjukkan gambar bilik hotel daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan katil berkecah, mengancam untuk mendedahkan keseluruhan klip jika siasatan menyeluruh tidak dilakukan berhubung skandal seks membabitkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dengan isteri orang.

Ini video ketiga terhadap Dzulkifli walaupun klip video terdahulu yang dimuat naik ke YouTube diturunkan selepas dua minggu.

Klip video terbaru itu bermula dengan persoalan apakah ia bukan korupsi bila Dzulkifli ke Hong Kong atas urusan rasmi dengan menggunakan tiket kapal terbang yang dibayar oleh kerajaan tetapi tidak hadir ke program yang sepatutnya.

Hong Kong menganjurkan Forum Anti Rasuah Asia (ALB) 2017 pada 23 Mac lalu – satu acara tahunan yang dihadiri pegawai kerajaan dan peguam di rantau ini.

Tidak diketahui serta-merta sama ada Dzulkifli hadir program itu walaupun klip video itu menyatakan kerajaan menghantarnya ke sana.

Ia kemudian menunjukkan sebuah bilik hotel dengan katil tidak berkemas, dengan kapsyen “Perlukah video ini didedahkan baru siasatan telus mahu diambil?”.

Video itu berakhir dengan amaran kepada Ali, supaya jangan melindungi Dzulkifli hanya untuk menyelamatkan dirinya sendiri, isu yang turut disebut pada klip video sebelum ini yang dimuat naik pada 18 Oktober.

Video sebelum ini menunjukkan seorang lelaki kelihatan seperti Dzulkifli dan seorang wanita sudah berkahwin berpegangan tangan dan masuk ke sebuah restoran di Bali pada Julai lalu.

Video sepanjang seminit 40 saat itu dimuat naik di YouTube dengan link kepada blog mengandungi tuduhan terhadap pemimpin Umno melindungi hubungan sulit ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan seperti Dzulkifli berpegang tangan dengan seorang wanita ketika keluar dari sebuah hotel di Bali. Video itu kemudian diulang secara perlahan. Satu lagi klip video menunjukkan pasangan itu berada dalam sebuah restoran.

Selebihnya video itu menunjukkan bilik di mana Dzulkifli didakwa bermalam ketika berada di Bali pada Julai lalu dan sebuah klip memaparkan pembantunya membawa keluar beg pakaian.

Klip video sebelum ini juga ada menunjukkan tiket pesawat, dokumen pendaftaran hotel dan gambar lain pasangan itu di Bali dengan bagasi dibawa keluar dari hotel.

Dzulkifli akhirnya menjawab khabar angin mengenai hubungan sulitnya itu bulan lalu, mendakwa ia “taktik kotor” oleh pihak yang tidak dinamakan.

Pengkritik pro kerajaan dan akhbar menuduh pembangkang dan sindiket perjudian menjadi dalang video itu dalam usaha menyingkirkan Dzulkifli dari SPRM.

Tetapi Dzulkifli tidak secara langsung mengesah atau menafikan tuduhan hubungan sulit dengan wanita itu yang dikatakan seorang pengurus undang-undang di sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Wanita itu bercerai dengan suaminya bulan lalu dan menafikan hubungan sulit berkenaan.

Salah satu daripada klip video itu menuduh seorang pemimpin Umno menutup skandal itu dalam usaha melindungi kes rasuahnya sendiri.

Satu kiriman video itu turut mengandungi tuduhan bahawa pemimpin Umno bersama ketua SPRM bergabung dalam kes menentang Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, mendakwa beberapa individu yang ditangkap baru-baru ini ditahan di bilik hotel dipaksa mengaku melakukan rasuah.

Satu lagi video mendakwa seorang lagi pemimpin Umno memberi rasuah RM10 juta untuk menjatuhkan Shafie.

Blog yang dikaitkan dengan video itu sudah pun diturunkan dari laman web blog milik Google, blogspot.com.

Polis memulakan siasatan terhadap video itu bulan lalu selepas satu laporan polis mengenai klip pertama dibuat oleh seorang eksekutif jualan pada awal Oktober.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.

Jika didapati bersalah, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pejabat Peguam Negara juga menubuhkan pasukan petugas khas berhubung perkara itu kerana Dzulkifli dipinjamkan dari pejabat itu untuk mengetuai SPRM pada Ogos 2016.

Petunjuk bila PRU14 akan diadakan

Sheridan Mahavera
Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan SPR boleh meneruskan peringkat akhir usaha menetapkan sempadan kawasan pilihan raya yang dimulakan pada 2016.

KES Selangor terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan persempadanan baharu pilihan raya adalah petunjuk bila Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan dan tempoh itu bergantung pada peringkat akhir kes tersebut.

Ada dua senario yang akan berlaku dan kedua-duanya bergantung atas apa yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan SPR boleh meneruskan peringkat akhir usaha menetapkan sempadan kawasan pilihan raya yang dimulakan pada 2016.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menuduh Barisan Nasional (BN) memperalatkan tugas SPR melukis semula kawasan pilihan raya itu, yang juga dikenali sebagai persempadanan.

Mereka mendakwa cadangan persempadanan semula itu tidak adil dan akan mewujudkan lebih banyak kawasan Parlimen majoriti Melayu, yang berpecah dari segi etnik.

Ahli Parlimen PH Dr Ong Kian Ming mendakwa cadangan persempadanan semula SPR itu bertujuan memberi kelebihan kepada BN dalam usaha parti pemerintah itu menawan semula Selangor pada PRU14.

PH cuba menangguhkan proses itu dengan mengemukakan saman terhadap SPR melalui kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh parti-parti PH.

Keputusan mahkamah pada Isnin itu satu kekalahan pada PH. Sekiranya Selangor tidak memajukan kes itu ke Mahkamah Persekutuan, SPR boleh mengemukakan laporan persempadanan semula tersebut kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Najib kemudian akan membentangkannya di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sehingga 30 November ini.

Persempadanan semula hanya memerlukan majoriti mudah 111 ahli Parlimen untuk diluluskan, kata pengkaji politik, Dr Wong Chin Huat.

BN mempunyai 132 ahli di Dewan Rakyat.

Menurut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, apabila cadangan itu diluluskan di Dewan Rakyat, ia perlu diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agong – proses yang lazimnya mengambil masa tidak sampai seminggu.

Apabila perkenan diperoleh, persempadanan semula itu boleh digunakan pada PRU14. BN boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa selepas awal Disember.

Dalam senario kedua, PH melalui kerajaan negeri Selangor mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

The Malaysian Insight difahamkan kerajaan negeri Selangor sedang menimbang untuk memilih jalan ini.

Apabila Selangor memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, ia boleh sekali lagi menangguhkan kerja SPR dan suruhanjaya itu perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum boleh meneruskan proses persempadanan semula.

Kes di Mahkamah Persekutuan lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, kata seorang peguam perlembagaan yang mahir dengan proses di mahkamah itu.

Sebagai ketua BN, Najib tidak akan dapat mengemukakan persempadanan yang baharu pada persidangan Dewan Rakyat sekarang.

Seandainya Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan yang memihak kepada SPR pada tahun depan, PH tidak lagi ada ruang untuk menangguhkan proses persempadanan semula itu.

SPR kemudiannya nanti boleh menyerahkan dokumen persempadanan semula kepada Najib yang boleh membentangkannya di Dewan Rakyat pada persidangan Mac hingga April nanti.

Proses persempadanan semula ini tidak semestinya menguntungkan BN, kata Wong dari Institut Pulau Pinang.

"Persempadanan semula boleh menjadikan keadaan lebih bergolak. Sekiranya ada sedikit saja perubahan sentimen, BN boleh menang besar atau boleh juga kalah besar."

Ini tergambar pada PRU 2008, undi Umno merosot 30% tetapi ia hilang 70% kerusinya.

"Jadi dengan persempadanan semula BN mempertaruhkan harapan untuk dapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen, sekiranya ia bernasib baik. Sekiranya tidak, dan sekiranya pembangkang bersatu, ia boleh hilang kuasa."

Lelaki dedah punca rogol ibunya sendiri

Seorang lelaki di United Kingdom mendakwa merogol ibunya sendiri kerana tekanan dituduh merogol teman wanitanya dipenjara selama 15 tahun.

Pemuda berusia 29 tahun tersebut membuat pendedahan bahawa pengaruh dadah menyebabkan dia bertindak melakukan serangan ke atas ibunya.

Malah dia turut mendedahkan pengambilan bahan terlarang itu disebabkan tuduhan serangan seksual ke atas teman wanitanya selain kekasihnya itu curang.

Dalam kejadian itu, dia mengancam ibunya menggunakan pemutar skru.

Di sebuah mahkamah di Liverpool, lelaki itu didapati bersalah merogol teman wanitanya.

Pendengaran kes pada Isnin mendapati dia menyerang kekasihnya dengan memukul di muka mangsa sebanyak tiga kali sebelum menendangnya.

Tekanan akibat tuduhan itu mempengaruhi suspek untuk terus melakukan serangan seksual.

Semasa tempoh diikat jamin, dia bertindak merogol ibunya dalam satu kejadian pada kira-kira pukul 4 pagi, selepas mabuk dan mengambil dadah.

Lelaki kemudiannya didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan pada badan, rogol dan serangan seksual. – Mirror
-kualalumpurpost

9 mayat, 2 kepala ditemui dalam pangsapuri

POLIS Jepun menemui sembilan mayat, termasuk dua kepala yang dibuang dalam kotak ais, dalam sebuah pangsapuri di pinggir bandar Tokyo, lapor media tempatan.

Susulan itu, polis menahan Takahiro Shiraishi, 27, yang tinggal di pangsapuri itu yang terletak di Zama, selatan Tokyo, lapor NHK.

Jurucakap polis bagaimanapun enggan mengesahkan laporan itu.

Pihak berkuasa sebelum itu menyiasat kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun dan dalam siasatan itu menemui kaitan antara mangsa dengan Shiraishi.

Menurut Jiji Press, polis menemui dua kepala dalam kotak ais di pintu masuk pangsapuri itu pada Isnin sebelum menggeledah rumah berkenaan dan mendapati ada sembilan mayat di dalamnya. 
-AFP

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu bersara, terpaksa kerja sampai mati?

JOMO KS
Malaysia adalah sebuah yang meningkat dewasa, dan menjelang 2035, jumlah penduduk berusia lebih daripada 65 orang akan menjadi 15 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.

Simpanan KWSP semasa untuk sebahagian besar rakyat Malaysia hampir tidak cukup untuk menampung kehidupan selepas bersara. Sementara itu, jangka hayat rakyat semakin meningkat.

Jangka hayat pada tahun 2015 adalah 72.5 tahun untuk lelaki dan 77.4 tahun untuk wanita.

Dengan mengandaikan seseorang hidup hingga 75, tanpa perbelanjaan perubatan besar dan hutang yang belum dijelaskan, purata simpanan sebanyak RM194,000 bermula dari umur 55 tahun akan menyaksikan mereka cuma mempunyai RM25 sehari, atau hanya RM810 sebulan.

Sudah tentu, analisis kasar ini tidak mengambil kira banyak faktor lain, tetapi gambaran itu jelas mengerikan.

Pada tahun ini, KWSP menaikkan sasaran simpanan minimum menjelang umur 55 tahun dari RM197,000 kepada RM228,000. Tetapi hanya 18 peratus ahli yang mempunyai jumlah berkenaan.

Ini jauh lebih rendah daripada sasaran KWSP untuk memastikan sekurang-kurangnya separuh ahlinya memenuhi tahap minimum menjelang 2021.

Pulangan rendah dan pengeluaran pelaburan yang dibenarkan - untuk perumahan, kesihatan dan pendidikan - menyaksikan semakin kecil tabungan untuk hari tua.

Sehingga 2015, lebih daripada dua pertiga (68 peratus) ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Dengan garis talian kemiskinan isi rumah ditetapkan pada RM930 sebulan, simpanan RM50,000 hanya akan bertahan 4.5 tahun. Satu perlima golongan bawahan ahli KWSP mempunyai simpanan purata hanya RM6,909!

Menurut KWSP, 70 peratus ahli yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang berkenaan kurang daripada sepuluh tahun selepas bersara. Oleh itu, simpanan KWSP tidak memadai untuk terjerumus ke kancah kemiskinan selepas bersara.

Terdapat 32 juta orang di Malaysia, dengan 69 peratus daripada penduduk dalam lingkungan “usia bekerja” antara 15 dan 65. Namun hanya 48 peratus daripada 14.5 juta ini yang berada dalam tenaga buruh mempunyai akaun KWSP yang aktif.

Kira-kira satu persepuluh berkhidmat dengan kerajaan persekutuan dan layak mendapat pencen, menyumbang kepada dana pencen lain, seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ramai yang tidak dilindungi. Banyak pekerja, di sektor tidak formal seperti pekerja sambilan, tidak mempunyai akaun KWSP yang aktif, sementara ramai lagi di sektor pertanian dan sektor tidak formal bekerja sendiri.

JOMO KS adalah ahli ekonomi Malaysia.
-malaysiakini 

Seruan pemimpin PAS supaya ahli-ahlinya berhimpun di Wisma Tok Guru adalah provokasi, Amanah buat laporan Polis

AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas
AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi Pas
ZIKRI ABDULLAH
Tindakan Pas Kelantan berhasrat memasuki Wisma Tok Guru pada 16 November seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar kelmarin dianggap satu provokasi.

Ketua AMANAH kawasan Kubang Kerian, Fauzi Mohamad petang semalam membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, kenyataan yang telah dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengerah ahli-ahli Pas supaya berhimpun beramai-ramai pada tarikh tersebut tidak harus dipandang ringan.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan mencetuskan huru-hara.

“Tindakan Pas ini adalah tindakan pramatang serta mendahului proses perundangan kerana hartanah tersebut masih lagi terlibat dengan pertikaian mahkamah di mana kesnya masih lagi dalam perbicaraan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil,” katanya dalam laporan polis yang diserahkan di balai polis Kubang Kerian itu.

Tanah tapak Wisma Tok Guru katanya, masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, kes mal bil. 03100-099-0269-2017.

“Manakala berkenaan tuntutan sivil pula pihak peguam cara dalam proses memulakan tindakan di Makamah Tinggi Kota Bharu bagi mendapatkan satu perintah injunksi dan mengekalkan status quo berkait dengan kedudukan hartanah tersebut sehingga proses undang-undang berakhir diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
.
Menurutnya, adalah tidak wajar pihak Pas mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengganggu proses keadilan di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil.

“Secara perundangannya tiada kaitan antara Pas dan hartanah terbabit kerana tanah tersebut adalah atas penama pihak ketiga.

“Pas tidak pernah dinamakan sebagai benefisiari dalam pendaftaran hartanah tersebut.

“Tindakan tersebut jelas membelakangi undang-undang Malaysia dan merupakan satu provokasi yang boleh mencetuskan pecah keamanan, huru-hara dan pergaduhan,” katanya.

Fauzi berharap laporan polis itu diambil perhatian dan tindakan supaya satu penyiasatan dimulakan bagi mencegah sebarang kejadian buruk daripada berlaku.

Turut bersama Fauzi membuat laporan itu adalah Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Yusuf serta sekumpulan ahli AMANAH kawasan Kubang Kerian.