"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

PRU14: Penganalisis beri 3 sebab Azmin akan tewas di Gombak

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mungkin berdepan kekalahan di kerusi Parlimen Gombak sekiraya beliau membuat keputusan untuk bertanding di situ pada pilihan raya umum nanti, kata seorang penganalisis politik.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff memberikan 3 sebab untuk ramalan itu.

Sebab pertama ialah 2 daripada 3 kerusi DUN iaitu Gombak Setia dan Hulu Kelang di Gombak adalah kubu kuat PAS dan dimenangi oleh parti Islamis itu pada pilihan raya lepas, sementara PKR hanya mengekalkan kerusi Batu Caves.

Sebab kedua pula PAS bukan dalam gabungan Pakatan Harapan dan Adun Hulu Kelang Saari Sungib dari Amanah tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Azmin.

Sebab ketiga, menurut Kamarul, ialah pengundi Selangor mungkin akan menyokong bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan akan membantu Barisan Nasional merampas Selangor daripada PH pada PRU14.

Kamarul berkata sekiranya Azmin mahu mengekalkan kerusinya di Selangor, beliau perlu membetulkan keutamaannya.

“Kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar, termasuk penyokong PAS. Sebab itu pemimpin PKR Selangor tertentu bercakap tentang kemungkinan Azmin akan bertanding di tempat lain.

“Ini juga menjelaskan mengapa Pakatan Selangor berdepan masalah dalam menyelesaikan pengagihan kerusi negeri dalam kalangan parti komponen walaupun tempoh akhir pada 31 Januari. Sekarang ia dilanjutkan 1 minggu lagi,” katanya kepada FMT.

Dzulkefly Ahmad dari Amanah memberitahu FMT bahawa PH melanjutkan rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor untuk seminggu lagi. Beliau berkata langkah itu perlu supaya satu penyelesaian boleh dicapai.

Kamarul berkata masalah sekarang ini bukan sama ada rakyat menyukai Azmin sebagai menteri besar, tetapi lebih kepada sokongan Amanah, DAP dan ahli PKR kepadanya.

“Disukai rakyat mungkin tidak bermakna apa-apa kalau dia tidak dipilih semula atau dia tidak mendapat sokongan secukupnya daripada parti komponen dalam gabungan pembangkang.”

Masalah itu diburukkan lagi dengan tekad menteri besar terdahulu, Khalid, yang mahu berkempen menentang Azmin dan PH.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Azmin menewaskan calon BN, Said Anuar Said dengan perbezaan 6,867 undi. Pada pilihan raya seterusnya, iaitu Mei 2013, beliau menewaskan pencabarnya, Raman Ismail dari BN, untuk mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,734 undi.

PKR ketika itu sekutu PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Pada 7 Januari, PH mengumumkan hasil rundingan pengagihan kerusi Parlimen bagi Malaysia Barat, iaitu PPBM diberi 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi dan Amanah 27 kerusi.

Amanah sedia buka pintu terima Adun PAS Selangor

Zulkifli Sulong
AMANAH sedia terima Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) dari PAS untuk menyertai parti itu, kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.

"Sejak hari pertama penubuhan Amanah lagi, kami sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai kami bukan Adun PAS Selangor saja tetapi seluruh negara," kata Salahuddin.

Beliau mengulas laporan media bahawa lima Adun PAS di Selangor sedia untuk menyertai Amanah sebaik sahaja Parlimen dan DUN dibubarkan.

The Star Online dalam laporannya menyebut, PAS mungkin kehilangan lima Adunnya di Selangor sebaik sahaja Parlimen diisytiharkan bubar oleh perdana menteri.

"Mereka hanya menunggu saat itu untuk keluar dari PAS dan menyertai Amanah," lapor The Star berdasarkan sumber rapat PAS.

PAS mempunyai 13 Adun di Selangor selepas dua daripadanya menyertai Amanah.

Ini kerana, para Adun ini yakin mereka akan kalah jika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PAS.

Menurut Salahuddin, partinya sedia berunding dengan Adun PAS berkenaan untuk menyertai Amanah.

"Kita sentiasa buka pintu perundingan dengan sesiapa saja termasuk syarat-syarat tawarannya," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Difahamkan, Biro Politik Amanah telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara ini dan telah menyiapkan tawaran dan syarat kepada para Adun PAS ini.

"Setiap Adun dan kawasan mempunyai suasana yang berbeza. Setengah Adun PAS kita boleh tawarkan menjadi calon di kawasan itu juga manakala yang lain ada kedudukannya yang berbeza," kata sumber itu.

Sebelum ini, Adun PAS mendakwa Amanah tidak sedia membuka pintu kepada mereka untuk menyertai parti itu menjelang pilihan raya.

Ini berdasarkan tindak balas negatif di peringkat akar umbi Amanah terhadap berita angin kononnya mereka akan menyertai Amanah.

"Bila saya hantar mesej akan menyertai Amanah dan akan menjadi calon di kawsasan saya, orang Amanah terus menyebarkan nama calon mereka di kawasan ini," kata seorang Adun PAS kepada The Malaysian Insight sebelum ini.

Sebilangan besar Adun PAS di Selangor tidak senang dengan hala tuju parti itu di peringkat pusat dalam menghadapi PRU14.

Bagi mereka, tanpa sokongan pengundi bukan Melayu khasnya Cina, ramai Adun PAS yang ada sekarang tidak akan menang dalam pilihan raya lalu.

Kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor, PAS kehilangan sokongan pengundi Cina selepas meninggalkan kerjasama dengan pembangkang yang lain.

Sementara itu, penganalisis politik Hisomuddin Bakar setuju ramai Adun PAS dalam dilema sekarang.

"Namun berapa orang yang berani meninggalkan PAS dan menyertai Amanah itu satu persoalan yang sukar.

"Bagi saya, buat masa sekarang, mereka tidak ada keberanian untuk meninggalkan PAS," katanya.

Semua pihak diseru berunding, jangan menuding, "Musuh sebenar kita adalah Umno-BN" - Mat Sabu

MALAYSIA DATELINE
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Mohamad Sabu menyeru supaya perbincangan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dibuat secara musyawarah dan tertutup.

Semua pihak katanya, hendaklah mengelak daripada mengeluarkan kenyataan secara terbuka sama ada kepada media mahupun di media-media sosial.

“Biarlah semuanya diselesaikan secara dalaman di meja rundingan dengan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Pakatan Harapan Negeri Selangor,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini.

Saya yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk kita mencapai kejayaan dalam mendepani musuh bersama kita, kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN), tambah beliau.

“Musuh sebenar kita adalah Umno-BN. Ayuh bersama tumbangkan mereka dalam PRU14 nanti,” katanya.

DAP, Amanah tak tahu 80% kerusi DUN diagih seperti didakwa Azmin

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Amanah dan DAP hari ini berkata, mereka tidak tahu rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selepas menteri besar Selangor itu berkata 4 mesyuarat diadakan dengan sekutu Pakatan Harapan (PH) dalam memutuskan pembahagian 80% kerusi.

Sebaliknya, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, mereka hanya dipelawa untuk membincangkan strategi pilihan raya PH.

“Kami diberi mandat untuk menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan strategi pilihan raya, termasuk jentera, bukannya rundingan kerusi,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, permintaan untuk jawatankuasa khas membincangkan pengagihan kerusi DUN diabaikan Azmin.

“Kami menulis surat untuk mesyuarat khas mengenai perkara itu, tetapi mereka tidak mengadakan mesyuarat,” katanya sambil menambah Amanah meminta penubuhan jawatankuasa khas dalam mesyuarat membincangkan jentera pilihan raya gabungan itu.

Izham menafikan dakwaan Azmin yang mempersoalkan Amanah hari ini kerana mendakwa tiada mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi dalam kalangan PH.

Tetapi, Izham berkata, DAP turut menyuarakan kebimbangan sama.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu 80% kerusi DUN di negeri itu sudah diagihkan seperti didakwa Azmin.

Beliau berkata, partinya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Adun Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jeyakumar, tetapi bukan untuk rundingan pembahagian kerusi DUN.

“Ini kerana ahli jawatankuasa itu berbeza,” katanya kepada FMT sambil menambah Azmin perlu mengadakan satu mesyuarat untuk menyelesaikan perkara itu.

Azmin sebelum ini menolak keperluan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan pengagihan kerusi DUN Selangor.

Timbalan presiden PKR itu turut menafikan tarikh akhir ditetapkan untuk rundingan itu, seperti dinyatakan Pengarah Strategi Amanah, Dzulkefly Ahmad.

Betulkah Azmin mahu PKR bertanding 37 kerusi di DUN Selangor, tawarkan 2 pada Amanah dan 2 Bersatu

al- Husseyn

Kartel Azmin mahu jadi dominan dalam kerajaan Selangor ?

DUN Selangor ada 56 kerusi.. Dalam PRU 13, pembahagian kerusi untuk parti – parti dalam PR seperti berikut:-

PKR – bertanding 21, menang 14, kalah 7,
PAS – bertanding 20, menang 15, kalah 5,
DAP – bertanding 15, menang 15, kalah 0.

Sekarang PH ada 4 parti. Untuk PRU 14, saya berpendapat ada dua kaedah supaya pembahagian itu adil dan seimbang.

Kaedah Pertama

PKR kekal bertanding 21 kerusi seperti dalam PRU 13, DAP kekal bertanding 15 kerusi seperti dalam PRU 13 dan 20 kerusi yang ditandingi PAS dulu, serahkan kepada Amanah dan Bersatu. Jadi Amanah bertanding 10 kerusi, Bersatu bertanding 10 kerusi. Jadi nisbahnya 21:15:10:10. Ini formula yang patut.

Kaedah Kedua

PKR bertanding 14 menurut kerusi yang dia menang dulu, DAP 15, dan Amanah bertanding 15 kerusi yang PAS menang dulu. Manakala 12 kerusi lagi yang BN menang dulu, serahkan kepada Bersatu. Jadi nisbahnya 14:15:15:12. Formula ini lebih seimbang.

Tapi Azmin tak nak. Dia mahukan kesemua 21 kerusi PKR yang ditandingi pada PRU 13 kekal dan DAP 15 manakala kesemua kerusi yang ditandingi PAS dalam PRU 13, 16 kerusi daripadanya akan ditandingi PKR, 2 Amanah dan 2 Bersatu. Jadi nisbahnya 37:15:2:2. “What the hell man”

Sepatutnya tidak ada parti yang dominan dalam PH. Di Penang pun, DAP tidak dominan. Kerusi Dun Selangor ada 56, Parti dalam PH ada 4. Kalau nak bagi sama rata, semua parti dapat bertanding 14 kerusi sorang tapi PKR dah dapat 21 dah, lebih 7 daripada average, takkan tak cukup lagi. DAP, Amanah, Bersatu bukan nak rebut kerusi Menteri Besar pun.

Kenapa Azmin menolak PH? Sebab dia nak tawarkan kepada 13 Adun PAS dalam Dun Selangor sekarang untuk bertanding mempertahankan kerusi masing – masing, dengan syarat mesti bertanding atas tiket PKR.

Bila calon PAS bertanding atas tiket PKR, kononnya parti lain dalam PH tak boleh buat apa, sebab PKR pun dalam PH. Azmin ingat dia siapa dalam PH.

Padahal, yang sebenarnya, Azmin mahu jadi dominan dalam kerajaan Selangor, tidak perlu bergantung kepada parti lain. Azmin mahu kartel yang menguasai PKR dapat menguasai majority dalam Dun supaya dia boleh memerintah dengan lebih bebas.

Padahal Amanah dan Bersatu bukan nak tuntut banyak sangat pun kerusi yang ditandingi PAS dalam PRU 13, yang lepas ada 20. Amanah 10, Bersatu 10, itu aje. Tak ganggu 21 kerusi PKR dan 15 kerusi DAP pun. Amanah, Bersatu, DAP bukan nak rebut majority pun. PKR dah ada 21 kerusi, cukup lah.9 Sebenarnya, Azmin takut kalau PH menang di Selangor, dia takut Amanah, Bersatu dan DAP tidak mahu melantik dia jadi MB. Tu aje.

Tapi Azmin tak akan Berjaya dengan plan jahatnya itu. Amanah, Bersatu, DAP bukannya bodoh. Di 13 kerusi yang orang PAS bertanding guna logo PKR itu, Bersatu dan Amanah akan letak calon mewakili PH. Biar berlaku 3 penjuru antara PH, BN, dan PAS yang pakai baju PKR. Jadi, nak elak 3 penjuru tapi sudah jadi 4 penjuru. Bukankah pander namanya tu?

Kepada Adun – Adun PAS tu pulak, kalau keluar PAS atas kesedaran mahu bantu lawan BN/UMNO, masuklah parti mana – mana dalam PH pun, peluang kamu tetap ada untuk bertanding dalam PRU 14 tapi kalau keluar PAS semata – mata nak cari parti lain yang boleh menyelamatkan kerusi kamu dan jawatan Adun kamu semata – mata, kalau kamu pakai baju PKR, hampir pasti jalan itu tak boleh membantu kamu jadi wakil rakyat lagi. Pasti akan berlaku 4 penjuru, bukan 2 bukan 3.

Pada kartel, kembalilah kepangkal jalan, sebelum terlambat. ~ whatsapp

Orang awam gagalkan serangan seksual di tandas (Gambar)


Bangkok – Seorang wanita terlepas daripada serangan seksual oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok dalam kejadian pagi Khamis.

Ini kerana terdapat orang awam yang lalu di kawasan tersebut, menurut seorang pengguna Facebook yang berkongsi klip video insiden untuk tujuan pencegahan.

Pengguna berkenaan ‘Atom Kamolphu’ memberi amaran bahawa wanita harus berhati-hati apabila bersendirian di tandas awam yang terletak di sudut terpencil.

Dia berkata kejadian berlaku ketika seorang wanita yang memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berjalan sendirian sebelum diserang oleh seorang pengawal keselamatan jam 9 pagi Khamis di tandas pusat beli-belah di kawasan Rajapreuk.

‘Atom Kamolphu’ mendakwa pengawal yang berniat jahat itu mengekori wanita berkenaan dan mengunci pintu utama tandas sebelum cuba menyerangnya secara seksual.

Seorang pekerja yang lalu mendengar jeritannya meminta tolong bertindak mengetuk pintu dan menjerit menyeru orang ramai menyelamatkan wanita itu.

Bantuan orang ramai berjaya menyelamatkan wanita itu dan suspek ditangkap sebelum diserahkan kepada polis, menurut ‘Atom Kamolphu’.
-kualalumpurpost 

Lelaki hadapi 200 dakwaan rogol anak saudara, tunggu 100 lagi pertuduhan

Michael Murty

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas 200 pertuduhan merogol anak saudaranya antara 2010 hingga 2013, sejak mangsa berumur 5 tahun.

Lelaki itu yang berbaju T dan seluar jeans, kelihatan tenang semasa pegawai mahkamah membacakan satu persatu dakwaan itu.

Dia kemudiannya mengaku tidak bersalah ke atas 200 pertuduhan itu. Mangsa kini berusia 13 tahun.

Secara keseluruhan, pihak pendakwaan menyediakan 334 dakwaan rogol terhadapnya, dan dia harus menjawab baki pertuduhan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam, hari ini.

Lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah, manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Nadiah Malek Fauzie.

Lelaki itu turut dituduh dengan satu cubaan merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 10 tahun di bawah Seksyen 376b dan 511 Kanun Keseksaan serta seorang lagi anak saudara berusia 17 tahun di bawah Seksyen 376b kanun sama.

Rundingan kerusi PH Selangor: Izhar bidas Azmin dakwa Amanah berbohong

MALAYSIA DATELINE 
Rundingan kerusi PH Selangor: Izhar bidas Azmin dakwa Amanah berbohongPengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Izham Hashim menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa mereka berbohong dalam soal rundingan kerusi di negeri itu.
Beliau menyifatkan Azmin sebagai ‘badut’ dan tidak layak untuk menjadi menteri besar dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Tak ada (rundingan kerusi). Dia ni badut (joker). Bila kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau mendakwa AMANAH sudah menghantar surat rasmi kepada Azmin selaku Pengerusi PH Selangor agar mengadakan mesyuarat khas bagi perkara itu, tetapi sehingga kini ia tidak diadakan.

“Nak jadi pengerusi PH Selangor kena bijak. Sejujurnya beliau tak berkebolehan (fit) untuk jadi menteri besar dan pengerusi negeri. Beliau tak boleh uruskan perkara mudah sebegini.

“Mesyuarat tak panggil kemudian tuduh kita pula yang berbohong,” katanya.

Terdahulu, Azmin mendakwa AMANAH berbohong kerana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Selangor belum dibentuk, sedangkan ia sudah bermesyuarat sebanyak empat kali.

“AMANAH berbohong…AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah. Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai kita telah bertemu sebanyak empat kali?” Kata Azmin.

Izham dipetik berkata memang ada mesyuarat sebelum ini tetapi ia lebih kepada persiapan pilihan raya seperti soal daftar pemilih dan pengiraan undi, bukannya soal pembahagian kerusi antara empat parti komponen PH.

Katanya, mesyuarat tentang pembahagian kerusi pula dibuat secara berasingan antara partinya dengan PKR dan Bersatu.

“Mesyuarat empat parti untuk bincang kerusi memang tak ada, boleh semak dengan DAP dan BERSATU. Yang ada hanya mesyuarat pilihan raya,” katanya lagi.

Katanya lagi, ada perbezaan jelas antara pembahagian kerusi dengan mesyuarat persiapan pilihan raya, dan wakil parti dalam mesyuarat itu tidak mempunyai mandat untuk membincangkan soal kerusi.

Pertikaian mengenai mesyuarat pembahagian kerusi PH Selangor ini berlaku selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa menjelaskan Majlis Presiden PH akan menubuhkan Jawatankuasa Khas selepas rundingan kerusi PH Selangor dilaporkan menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan antara PKR dan tiga lagi komponen AMANAH,DAP dan Bersatu.

AMANAH, DAP dan Bersatu enggan merundingkan kerusi dalam jawatankuasa pilihan raya negeri Selangor dan menggesa suatu jawatankuasa lain dibentuk.

Tiga parti itu berkata jawatankuasa pilihan raya negeri yang dipengerusikan Adun Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar tidak mempunyai mandat bagi merundingkan kerusi, memetik laporan Malaysiakini.

Shah Alam bakal saksikan pertarungan 2 Khalid, atau 2 MB?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemungkinan bertanding sebagai calon PAS di Shah Alam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), menurut sumber.

Ia susulan kenyataan Khalid baru-baru ini yang beliau akan berkempen untuk PAS, yang pernah menyokongnya ketika krisis politik 2014 negeri tersebut apabila PKR cuba melucutkan jawatannya sebagai menteri besar.

Kerusi Shah Alam itu dimenangi oleh Khalid Samad untuk PAS pada 2008 dan 2013, dengan majoriti selesa. Khalid Samad kemudian menyertai parti serpihan PAS, Amanah, susulan pemilihan muktamar PAS tahun 2015 yang menyaksikan parti itu berpecah.

Dua pertiga pengundi kerusi itu adalah Melayu, manakala jumlah pengundi Cina dan India hampir sama.

Selepas dilucutkan jawatan MB dalam apa yang dinamakan “Langkah Kajang”, Khalid Ibrahim yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak memilih untuk menjadi Adun bebas di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Ditanya mengenai kemungkinan bekas menteri besar itu bertanding menentang beliau, Khalid Samad berkata beliau tidak terkejut.

“Itu tekaan saya. Pembangkang menggambarkannya dengan baik semasa beliau memegang jawatan menteri besar Selangor dan saya rasa Shah Alam akan menjadi kerusi sasaran.

“Jika beliau bersetuju bertanding bawah PAS, Khalid Ibrahim sememangnya akan ditawarkan kerusi,” katanya.

Tetapi ia mungkin tidak akan menjadi pertarungan antara 2 Khalid.

Ini kerana terdapat juga spekulasi mengatakan musuh ketat Khalid Ibrahim ketika di PKR dulu, Mohamed Azmin Ali, yang menggantikannya sebagai menteri besar, akan berpindah ke Shah Alam dari Gombak.

Kedua-duanya pernah bergelut dalam pertarungan untuk jawatan timbalan presiden PKR pada 2014, yang berakhir dengan kemenangan Azmin.

MCMC, polis siasat video warga asing diberi kad pengenalan

MCMC, polis siasat video warga asing diberi kad pengenalan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berkenaan sebuah video warga asing diberi kad pengenalan yang tular dalam media sosial.

Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Dr Mazlan Ismail berkata MCMC telah menerima aduan mengenai penyebaran video tersebut.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang menyebarkannya dengan bantuan pihak PDRM.

MCMC memandang serius perkara ini dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata seseorang yang membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain merupakan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi, menyebar, memuat naik, mahupun mempercayai sebarang bentuk kandungan yang belum ditentukan kesahihannya.

Video berdurasi 2:38 minit itu dipercayai sebuah video lama yang mula tular sejak 23 Jan lalu.
-Bernama

Nasib PAS di bumi Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 1951, PAS berjaya menawan satu-satunya kerusi pembangkang dalam pilihan raya tahun 1955 sebelum Malaya mencapai kemerdekaannya. Pilihan raya umum (PRU) pertama selepas kemerdekaan yang diadakan pada tahun 1959 menyaksikan PAS menawan kerajaan negeri Kelantan dengan 28 kerusi DUN (daripada jumlah 30 DUN), dan kerajaan negeri Terengganu dengan 13 kerusi DUN (daripada jumlah 24 DUN).
Dua tahun kemudian, kerajaan PAS di negeri Terengganu dijatuhkan dengan lompatan ADUN PAS dan Parti Negara ke kem Perikatan. Kemudian pada tahun 1964, PRU sulung selepas Malaysia dibentuk, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy (bawah) hilang kelayakan untuk bertanding kerana disabitkan kesalahan dalam satu kes mahkamah. Pada tahun 1965, Dr Burhanuddin ditahan bawah ISA atas tuduhan “menggulingkan kerajaan”. Beliau dibebaskan setahun kemudian, tetapi merana keuzuran meninggal pada tahun 1969.

PAS menyertai BN selepas tragedi 13 Mei pada tahun 1969, dan kemudian memenangi kesemua 22 kerusi DUN yang dipertandingkan di Kelantan pada tahun 1974. Bagaimanapun, PAS berselisih dengan Umno dalam isu calon menteri besar, dan berakhir dengan “undi tidak percaya” dan pengumuman darurat. Untuk memendekkan cerita, PAS hanya mampu mempertahankan dua kerusi DUN dengan majoriti kurang daripada 100 undi dalam pilihan raya kilat yang diadakan. Kerajaan negeri Kelantan dirampas dari tangan PAS, dan hanya berjaya dikembalikan selepas 12 tahun.



Memasuki zaman 1980-an, PAS terpengaruh dengan gelombang Revolusi Iran. Konsep “kepimpinan ulama” diseludup, malah retorik dan aksi politik PAS semakin radikal sepanjang dekad itu – dengan Amanat Hadi, peristiwa berdarah Memali dan sebagainya. Ironinya, sementara semangat PAS berkobar-kobar pada tahap kemuncaknya, prestasi PAS dalam PRU tahun 1986 pula menjunam di sebaliknya, sehingga satu kerusi parlimen sahaja dimenanginya, iaitu Pengkalan Chepa, daripada 98 yang dipertandingkan.
Umno berdepan dengan PRU sepanjang tahun 1990-an dalam keadaan berpecah. Puak yang tersingkir menubuhkan parti baru dan menentang Umno dari luar bersama pembangkang sedia ada. Dalam PRU8 pada tahun 1990, PAS berjaya mengembalikan kerajaan negeri Kelantan; sementara dalam PRU10 pada tahun 1999, PAS dilambung gelombang Reformasi untuk merangkul 27 kerusi parlimen, dan menawan semula kerajaan negeri Terengganu. Bagaimanapun, lima tahun kemudian, PAS hilang 20 kerusi parlimen, juga kerajaan negeri di Terengganu yang diterajui Tuan Guru Haji Hadi Awang.


Setelah iktibar diambil daripada kekalahan teruk dalam PRU11 tahun 2004, PAS masuk gelanggang untuk berdepan dengan PRU12 pada tahun 2008. Anwar Ibrahim menjalinkan hubungan kerjasama antara PAS dengan DAP sekali lagi. Ia berbeza kali ini, berbanding jalinan kerjasama pada tahun 1990 yang Semangat 46 membentuk dua gandingan berbeza, dengan PAS dan DAP. Ia berbeza juga jika dibandingkan dengan Barisan Alternatif pada tahun 1999 kerana Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas PRU12 tahun 2008, berkongsi wadah kerajaan negeri.
Harus diingatkan, PAS bukan lagi bekerjasama dengan parti politik bukan Islam semata-mata untuk bertanding dalam pilihan raya, tetapi juga berkongsi kuasa. Di Kedah, PAS mendominasi kerajaan negeri kerana bilangan ADUN parti itu majoriti; Di Selangor, kedudukannya lebih seimbang dalam kerajaan negeri, antara PKR-DAP-PAS; Di Perak, PAS yang mempunyai bilangan ADUN minoriti diamanahkan jawatan menteri mesar untuk mengetuai kerajaan negeri. Sudah tentu senario yang berbeza ini menguji bagaimana PAS memposisikan dirinya dalam hubungan ini, untuk menyerlahkan pengaruhnya.




Proses kematangan

Sejarah ini ditelusuri untuk memperlihatkan proses kematangan PAS. Sebagai parti pembangkang, PAS berdepan dengan tekanan daripada kerajaan persekutuan, namun tetap bertahan di atas gelanggang pilihan raya dalam sistem demokrasi, sungguhpun gelanggang ini tidak sama rata. PAS pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan (BN), sungguhpun berakhir dengan pengalaman dikhianati Umno-BN.
PAS pernah menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) pada tahun 1986, sebagai cubaan untuk mendampingi masyarakat Cina. Setelah usahanya gagal, PAS menjalin hubungan kerjasama secara tidak langsung dan kemudiannya secara langsung dengan parti bukan Islam, iaitu DAP. Di samping tekanan daripada kerajaan persekutuan, PAS juga perlu berdepan dengan suara rakyat dan keperluan pengundi.
Sesungguhnya, PAS sebagai parti politik yang meluncur di landasan gelanggang pilihan raya, memiliki pengalaman yang pelbagai. Lebih-lebih lagi, PAS berpijak di atas bumi Malaysia, sebuah masyarakat yang berbilang etnik, agama, bahasa, budaya dan sebagainya. Sejarahnya dicorakkan dengan pelbagai pengalaman – sebagai pembangkang yang pernah menyertai kerajaan persekutuan, kerajaan negerinya dijatuhkan dengan rampasan kuasa, membentuk gandingan dengan parti bukan Islam, berkongsi kuasa dengan bukan Islam, pernah dikhianati, tidak terelak juga dibadai suara pengundi – kesemua ini memadai untuk dijadikan rujukan parti-parti politik lain di dunia Islam.


Malah, seandainya PAS mampu mentadbir, memimpin dan menyatukan sesebuah masyarakat majmuk dengan nilai sejagat, mempertingkatkan kecekapan, kepakaran dan keberkesanan urus tadbirnya, tidak mustahil PAS menjadi teladan yang dicontohi parti politik Islam di serata dunia. Ini kerana untuk seketika dahulu selepas tercetusnya “Arab Spring”, dunia Islam menemui kebuntuan kerana tercari-cari formula terbaik untuk mengurus-tadbir negara. Diktator korup digulingkan, tetapi negara Timur Tengah belum menemui sistem politik yang paling sesuai untuk masyarakatnya. Bukankah PAS yang sudah berlegar-legar di litar sistem demokrasi sejak lebih setengah abad dahulu, boleh menawarkan diri sebagai teladan dalam dunia Islam?
PAS hampir melakukannya dengan keputusan PRU13 pada tahun 2013. PAS masih meraih sokongan tradisionalnya di Kelantan dan Terengganu; meluaskan pengaruhnya ke Selangor, Perak dan Pahang; PAS berjaya memenangi satu kerusi DUN di Melaka, yang selama ini gagal ditembusinya atas logo PAS; malah prestasinya di Johor memperlihatkan peningkatan. Sungguhpun PAS bukan parti yang paling terserlah prestasi PRU13-nya dalam Pakatan Rakyat, namun ia bukan juga kekalahan paling teruk dalam sejarah PAS.
Malangnya, pimpinan TGHH terlepas pandang realiti ini, sebaliknya terkongkong dalam kerangka retorik lapuk seperti “perpaduan Melayu dan umat Islam”. Proses transformasi dalaman PAS terbantut, dan kini PAS semakin sempit dan hilang ciri-ciri kemajmukan sebagaimana dahulunya. PAS sebelum perpecahan tahun 2015 boleh menjuarai isu yang lebih pelbagai, dari agama, budaya hinggalah ekonomi. PAS selepas perpecahan bukan lagi “PAS Untuk Semua”, dan ia gagal menggarap imaginasi seluruh rakyat Malaysia.
PAS kini bermegah dengan percaturan strateginya, yang enggan terikat kepada mana-mana barisan mahupun pakatan. Perhitungannya mudah, dengan menjadikan dirinya sebagai “kuasa ketiga yang berkecuali”, PAS boleh mengambil kesempatan untuk menambah nilai dirinya jikalau BN dan HARAPAN masing-masing memerlukan rakan sekutu untuk membentuk kerajaan. Di sini PAS boleh mengenakan syaratnya, sama ada tuntutan jawatan kerajaan untuk pemimpinnya, ataupun pelaksanaan agenda untuk partinya.




'PAS untuk Semua' berkecai

Percaturan strategi yang “bijak” dari satu seginya, tetapi dibayar dengan harga yang tinggi. Imej “PAS untuk Semua” yang ditampilkan berkecai dari kaca mata masyarakat bukan Islam sejak perpecahan Pakatan Rakyat. Seketika dahulu PAS masih dikagumi sungguhpun masyarakat bukan Islam berbeza pandangan dengannya dalam bab hudud. Tetapi dengan pendekatannya yang dilihat seolah-olah untuk melanjutkan hayat politik Najib Razak selepas terbongkarnya skandal 1MDB, PAS telah hilang kredibilitinya.


Saf pimpinan PAS semestinya terbaca sentimen sedemikian, lantas retorik dan hujahnya semakin cenderung ke arah “Melayu” dan “Islam” dengan tafsiran yang sempit, dan konservatif, khususnya dari kaca mata bukan Islam. Risikonya pengaruh PAS menyusut, kembali semula ke Pantai Timur. Jikalau senario terburuk berlaku, tidak mustahil PAS hilang negeri Kelantan, lantaran ketidakcekapan urus-tadbir kerajaannya.
Apa lagi yang ada dengan PAS, jikalau berakhir dengan kesudahan sedemikian? Apakah ia masih bernilai di mata Umno, jikalau Umno mampu bertahan dengan kekuatannya sendiri? Pemimpin datang dan pergi, TGHH juga tetap akan berundur satu hari nanti. Cuma, apakah nasib parti pembangkang yang paling bersejarah, tertinggi keanggotaannya, paling berorganisasi akar umbinya, paling lengkap jenteranya di bumi Malaysia selepas ini?

LIM HONG SIANG ialah bekas editor Merdeka Review, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?
-malaysiakini 

Bakal pengantin rakam minum racun kerana tertekan


Foto sumber Dailymail.
MAHARASHTRA - INDIA. Seorang wanita yang bakal berkahwin merakam dirinya meminum racun 10 hari sebelum perkahwinannya berlangsung.

Khaleej Times mengatakan adik mangsa, Ravi Kavle mengatakan kakaknya Nisha Devidas melakukan perkara tersebut selepas tertekan akibat diugut oleh bekas teman lelakinya.

Dalam rakaman yang diperolehi Dailymail, Nisha dirakam meneguk cecair berwarna hitam dari sebuah gelas bekas kecil.

Mangsa yang dihantar ke hospital selepas kejadian tersebut diisytiharkan mati setibanya di hospital kerajaan di Bhandara.

Kata Ravi, kakaknya sepatut berkahwin pada 4 Februari depan.

"Bekas teman lelaki kakak, Nikhail Borkar bertanggungjawab keatas kematian kakak saya," kata Ravi dipetik laporan tempatan.

Disebabkan punca ugutan berkenaan tidak jelas, polis masih menyiasat perkara tersebut.

Kenapa anak bini Taib Mahmud cepat sangat dapat status Bumiputera?

Desmond Davidson 
Kenapa anak bini Taib Mahmud cepat sangat dapat status Bumiputera?
Isteri bekas Ketua Menteri Sarawak, Ragad Kurdi Taib telah diberikan status Bumiputera dan sekarang diiktiraf pula sebagai bangsa Melanau. Selain itu, Ragad juga didapati telah mendaftar sebagai pengundi untuk DUN Pantai Damai dan Parlimen Santubong. – Gambar Instagram Ragad Kurdi Taib Fan Page, 1 Februari, 2018.

POLITIKUS Sarawak mempersoalkan kenapa begitu cepat sekali status Bumiputera diberikan kepada isteri bekas Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud iaitu Ragad Kurdi Taib dan dua anaknya sedangkan ramai lagi rakyat Sarawak yang belum ada kad pengenalan mahupun sijil kelahiran.

Ragad, 37, kelahiran Syria dilaporkan berkahwin dengan Gabernor Sarawak Taib Mahmud, 82, yang berketurunan Melanau pada 2010.

Ragad dan dua anak lelakinya, Nizar Mahmoud Madi dan Sam Mahmoud Madi dimasukkan sebagai etnik Melanau di bawah seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992 dan peraturan 17F Mahkamah Anak Negeri, 1993.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi Pakatan Harapan Chong Chieng Jen mempersoalkan kecekapan kerajaan negeri yang pantas meluluskan permohonan tiga beranak itu untuk mendapat status Bumiputera.

Bagaimanapun, Chong enggan untuk mengulas mengenai status Ragad dan dua anaknya sebagai Melanau.

“Ada beratus ribu rakyat Sarawak yang belum ada kad pengenalan dan sijil kelahiran,” kata Chong.

Ujarnya, pagi tadi beliau ke perpustakaan mahkamah di Kuching untuk mencari Warta Kerajaan bagi mengesahkan salinan warta itu yang telah pun tular di media sosial.

Chong mendakwa masih banyak lagi permohonan “rakyat Sarawak sebenar” di meja Setiausaha Kerajaan Negeri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menunggu untuk disahkan status mereka.

“Kenapa dia tak boleh luluskan?” soalnya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, Morshidi dan kerajaan negeri “patut cekap dan pantas” memproses permohonan “rakyat kelahiran Sarawak” yang tidak ada kad pengenalan, berbanding mementingkan Ragad.

Tambah Chong lagi, pasangan rakyat Sarawak yang telah menetap di negeri itu selama “20 ke 30 tahun pun belum dalam status penduduk tetap.”

Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Anak Negeri di Kuching menerbitkan status mereka sebagai “peribumi Sarawak” sebelum digazetkan pada 9 November lalu.

Melanau merupakan etnik kelima terbesar di Sarawak yang menetap terutamanya di pantai sekitar Mukah.

Chong berkata, beliau tidak tahu menahu sama ada Ragad dan anaknya boleh bertutur bahasa Melanau atau faham dengan adat istiadat Melanau.

Bagaimanapun, beliau menekankan, sebagai penduduk peribumi, “statusnya (Ragad) lebih tinggi dari saya.”

“Dia ada lebih hak berbanding rata-rata rakyat Sarawak.”

Dalam pada itu, Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata yang beliau tidak akan membantah pemberian status kerakyatan Malaysia kepada Ragad dan anaknya itu.

Tetapi, beliau tidak bersetuju dengan pemberian status penduduk peribumi terhadap tiga beranak itu.

“Sebagai rakyat, mereka boleh beri banyak sumbangan kepada masyarakat.

“Tetapi, sebagai peribumi, tidak sama sekali.”

Dr Ting yang mengalami nasib sukar untuk mendapatkan status penduduk tetap buat isteri Taiwan beliau turut mempersoalkan kerajaan yang mempercepatkan permohonan isteri dan anak Taib Mahmud itu.

“Macam mana pula dengan beribu-ribu anak-anak yang tak ada negeri yang lahir di sini (Sarawak), membesar di sini dan masih tidak ada identiti (kad pengenalan, sijil kelahiran)?

“Lawak jenis apa ni?”

Dalam pencariannya pagi tadi, Chong turut mendapati yang Ragad telah mendaftar sebagai pengundi di DUN Pantai Damai dan Parlimen Santubong.

Azmin diminta jawab isu Lembaga Pengarah GLC berkaitan industri pasir

Lembaga Pengarah GLC berkaitan industri pasir Selangor dipersoal
ARIF ATAN
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin mempersoal pelantikan Lembaga Pengarah syarikat Selpump & Machineries Sdn Bhd (Selpump) yang ditubuhkan dua tahun lalu.

Menurutnya, Selpump pada mulanya dikenali sebagai anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) tetapi kemudiannya dipertikai beberapa Lembaga Pengarah KKSB kerana syarikat itu diwujudkan tanpa melalui proses yang sepatutnya.

“Selpump & Machineries Sdn Bhd telah diwujudkan pada 2016 dengan pendaftaran SSM 1189847 – K. Dengan merekodkan Abdul Rahman Ishak yang juga merupakan CEO KKSB sebagai Lembaga Pengarahnya.

“Selain itu, Putera Azamuddin Shah Bin Abd Aziz (35 tahun), Mohd Hafiz B. Abd Rahman (34 tahun), Mohd Safee B. Mohd Sali (33 tahun).

“Bila ramai yang bising mengenai kewujudn Selpump tanpa sebarang minit persetujuan daripada Lembaga Pengarah KKSB, identiti Selpump telah ditukar dari anak syarikat KKSB dikenali hanya sebagai syarikat bersekutu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang dikenali sebagai Chegubard berpendapat kewujudan Selpump sebagai tergesa-gesa serta mempunyai peranan bertindih dengan KKSB.

“Persoalan pertama ialah apa perlunya Selpump diwujudkan malah peliknya yang secara tergesa-gesa dan tidak mengikut prosedur?

“Malah, peranan selpump dan KKSB juga dilihat bertindih. Siapa yang memilih dan apa latar belakang Lembaga Pengarah Selpump selain dari kelompok muda pengampu Azmin Ali?

“Paling pelik dan sangat menarik ialah apabila KKSB dengan surat ditandatangani oleh CEOnya iaitu Abdul Rahman Ishak telah memberikan perniagaan bernilai jutaan ringgit kepada Selpump yang mana Rahman juga merupakan Lembaga Pengarahnya,” dedahnya.

Menurutnya,lebih menarik lagi dua dari Lembaga Pengarah Selpump telah menubuhkan sebuah syarikat pasir yang dinamakan Tupai Sari Sdn Bhd 1076150-P.

“Tupai Sari berdasarkan siasatan kami mencatatkan Mohd Hafiz Abd Rahman dan Mohd Safee Mohd Sali selain Rokiah Hassan merupakan pemilik syarikat Tupai Sari Sdn Bhd yang mendapat jutaan keuntungan kerana terlibat dengan perniagaan perlombongan di Selangor dengan kebenaran KKSB,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau atau nama-nama yang disebutkan tampil memberi penjelasan berhubung pendedahan tersebut.

Pesara tentera tangisi paluan berundur dari Sg Besi

Penutupan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sg Besi, Kuala Lumpur ditanggapi ramai termasuk dari kalangan pesara tentera sebagai berita menyedihkan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brid. Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan itu berkata pangkalan itu menyimpan terlalu banyak nilai sejarahnya.

"Bagi saya, daripada dulu lagi saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku (penutupan pangkalan udara TUDM Sg Besi) kerana bagi saya ia satu perkara yang tak betul dan saya merasa sedih dengan apa yang berlaku itu.

"Ia juga seharusnya ia tidak berlaku kerana pangkalan udara di Sg Besi ini satu pangkalan yang banyak nilai sejarahnya kerana ia satu usaha pertama kita, dan ia juga pernah menjadi lapangan terbang antarabangsa kita," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 28 Mei 2011 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilapor telah menamakan kawasan Sendayan di Negeri Sembilan sebagai pangkalan baru bagi menggantikan pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Isu tersebut kembali dibangkitkan ekoran penularan beberapa klip video bertajuk 'Majlis Paluan Berundur ATM dari Kem TUDM Sungai Besi' di laman sosial baru-baru ini.

Klip-klip video berkenaan mendakwa ia merupakan rakaman majlis paluan berundur di kem berkenaan.
Majlis paluan berundur diamalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk istiadat tertentu seperti perpindahan sesebuah pasukan dari satu kem ke kem yang lain atau penutupan kem induk.

Keterangan pada salah klip video yang memaparkan kenderaan tentera bergerak keluar bertulis: "Betapa sedihnya apabila mendengar lagu ini dan ini adalah majlis paluan berundur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kem TUDM Sungai Besi yang telah diserahkan kepada China."

Tiada landasan kapal terbang?

Pada klip video lain bertajuk sama memaparkan upacara menurunkan bendera dengan diiringi alunan lagu Bertemu Dan Berpisah yang dimainkan kumpulan pancaragam.

Rata-rata pengguna laman sosial yang berkongsi klip video berkenaan melahirkan perasaan sayu terhadap penutupan kem yang menempatkan lapangan terbang antarabangsa pertama negara.

Mengulas lanjut, Arshad berkata beliau jelas sangat tidak bersetuju dan mempersoalkan alasan penutupan pangkalan itu.

"Kalau macam di Britian mereka tak akan jual tanah-tanah begitu, tak akan jual kem-kem terbabit atau tidak sewenang-wenangnya memusnahkan pangkalan udara tersebut dan saya sangat tidak bersetuju dengan apa yang berlaku," katanya.

Arshad turut mempersoalkan sama ada benar pangkalan udara di Sendayan mempunyai kelengkapan yang jauh lebih bagus dari pangkalan di Sg Besi.

"Saya tak tengok pun pangkalan udara Sendayan itu dan kalau dikatakan pangkalan, sebaik-baiknya adalah landasan kapal terbang.

"Tetapi apa yang saya dapat tahu pangkalan udara Sendayan itu tidak mempunyai landasan kapal terbang. Ini pangkalan apa?" soalnya lagi.

Oleh demikian, Arshad berkata pangkalan udara TUDM Sg Besi masih yang terbaik baginya.

Tiada perdebatan awam

Sementara itu, Anggota Parlimen Lumut Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, sebagai pesara tentera beliau sangat terkesan dengan apa yang berlaku.

Namun katanya, sebagai rakyat beliau terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat.

"Dengan dukacitanya kami menangisi dengan mengalirkan air mata (penutupan pangkalan berkenaan) tapi pemimpin dah buat keputusan dan kita rakyat biasa akur sajalah. Tak boleh buat apa pun.

"Saya sama-sama bersimpati dengan warga TUDM sama ada yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Imran, meskipun akur dan berharap langkah yang diambil kerajaan memberi manfaat, beliau kecewa kerana tiada perdebatan awam dibuat terlebih dahulu.

"Nak jual ke atau nak bangunkan untuk rakyat tak tahu sebab tidak ada perdebatan awam dan terus buat sahaja, kita tak boleh buat apa dah cuma kita doakan apa yang dibuat itu berjayalah," tambahnya.

Operasi penerbangan di pangkalan itu ditutup secara berperingkat sejak 30 November 2011 bagi membolehkan pemaju induk Bandar Malaysia iaitu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memulakan kerja-kerja pembangunan.

Pangkalan udara Sg Besi berkeluasan 198 hektar dan tapak Tun Razak Exchange (TRX) seluas 70 ekar di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur merupakan dua kawasan yang kini dibangunkan oleh 1MDB menerusi syarikat pemaju, TRX City Sdn Bhd.

Dahulunya sebahagian daripada pembangunan dibeli oleh syarikat daripada China menerusi penjualan jualan saham (SSA) namun perjanjian tersebut terbatal dan 100% kawasan dikuasai oleh Kementerian Kewangan.
-malaysiakini 

Gerun juga Nik Amar dengan calon Amanah di DUN Panchor, Hazmi Hassan

PAS Kelantan akui cabaran HARAPAN

PAS Kelantan diingatkan supaya berwaspada dengan gerak kerja dilakukan musuh politik mereka dan tidak memandang mudah cabaran berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Menurut beliau, walaupun menyedari parti lawan khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berada dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak kuat, namun PAS tidak boleh berasa selesa.

"Walaupun kita tahu pengaruh parti AMANAH dan BERSATU ini tidak kuat, tetapi dalam kaedah kita berlawan kita tidak boleh pandang mudah dengan musuh.

"Kita kena sentiasa berasa bimbang dan bersiap-sedia menghadapi musuh walaupun musuh itu kecil," katanya ketika berucap di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS Cawangan Panchor, di Kota Bharu, malam tadi.

Iktibar kisah arnab dan kura-kura

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, musuh PAS itu pada zahirnya lemah, tetapi jika mereka kerana ralit mungkin akan melakukan perhitungan yang silap berisiko untuk tewas.

Jelas beliau, pengajaran dalam cerita warisan dalam kisah perlumbaan arnab dan kura-kura perlu dijadikan iktibar.

"Arnab berlumba dengan kura-kura, dari segi hukum akal kura-kura takkan menang. Sebab dia berjalan lambat, tetapi dalam cerita itu kura-kura boleh menang, menang bukan kerana laju tetapi kerana dia berjalan tak berhenti.

"Arnab pula kalah bukan sebab ia perlahan tapi dia tak fikir kura-kura boleh pintas. Maka dia sambil lewa, makan roti canai dulu, hisap rokok dan akhirnya tertidur.

"Cerita ini tak tahu betul atau tidak, tapi ada pengajaran besar supaya kita tak memandang rendah pada lawan," ujarnya.

Mohd Amar pada PRU lepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Panchor dengan majoriti 5,036 undi menewaskan calon BN Che Rosli Hassan.

Mohd Amar yang dijangka berdepan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, selain calon BN pada PRU ke-14 turut mengakui Hazmi seorang yang kuat bekerja.

"Kita tak boleh rasa sedap sebab lawan kita buat kerja sokmo (selalu). Dia cari dan usaha tempat di mana dia boleh turun.

"Di Panchor, ketika kita rasa selesa mereka dapat buat ceramah di situ ceramah di sini, jumpa dia cari lubang. Cari tapak untuk dia singgah dan turun.

"Maknanya lawan politik kita buat kerja, tak duduk diam, maknanya kita pun kena kerja kuat juga dengan cara kita, perancangan dan strategi yang disusun oleh parti," katanya sambil menegaskan PAS perlu mempertahankan DUN Panchor dan Kelantan.
-malaysiakini