"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Orang kepercayaan Azmin bertemu Gerakan bincang jalan keluar?

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA:
Desas-desus Mohamed Azmin Ali akan menyertai Gerakan dilihat berasas, selepas timbulnya maklumat mengenai pertemuan antara seorang pemimpin PKR dan pimpinan Gerakan bulan lepas, beberapa hari selepas pengakuan mengejutkan berkaitan video seks sejenis yang menyasarkan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Berdasarkan perbualan dengan seorang sumber yang dekat dengan pimpinan PKR, FMT kini boleh mengesahkan pemimpin itu, seorang veteran parti yang aktif sejak zaman reformasi, mengadakan perbincangan dengan pimpinan Gerakan mengenai kemungkinan menyertai bekas parti Barisan Nasional itu.

“Perbincangan ini sudah berlangsung selama sebulan,” kata sumber itu.

“Ia rancangan untuk melarikan diri. Mereka menjangkakan keadaan akan bertambah buruk.”

Sumber itu merujuk kepada pertelagahan antara Azmin dan Presiden Anwar Ibrahim selepas beliau mencadangkan timbalannya itu melepaskan jawatan menteri jika terbukti benar dia dalam video seks sejenis yang tular pada awal bulan lepas.

Utusan Malaysia minggu ini melaporkan Azmin mungkin akan meyertai Gerakan, salah satu parti BN yang meninggalkan bekas gabungan pemerintah itu selepas kekalahan bersejarah tahun lepas.

Sumber mengesahkan laporan itu, mengatakan Gerakan tempat yang sesuai untuk Azmin dan rakan-rakan mendarat “jika mereka terpaksa terjun ke tempat yang lebih selamat”.

“Lagipun, perlembagaan Gerakan dari segi keahlian seperti PRK: Ia berbilang kaum dan menyeru layanan yang adil,” katanya kepada FMT.


Ditanya sama ada PPBM dipertimbangkan dalam rancangan keluar itu, sumber berkata parti Melayu itu sebenarnya tidak banyak berbeza dengan PKR dalam hal pertelagahan dalaman.

“Sebaliknya, hakikat bahawa Gerakan tidak menang satu kerusi pun bermakna ia masih tanah yang subur untuk ahli-ahli politik,” tambahnya.

Beliau menambah perbincangan dengan Gerakan itu berkisar tentang bagaimana penyertaan “sekurang-kurangnya 12 ahli Parlimen” dari PKR akan memberi manfaat kepada parti itu.

Gerakan di zaman kegemilangan selepas ditubuhkan pada 1968 pernah memerintah Pulau Pinang dan mendapat sokongan kuat di Perak.

Ia gagal mencipta kejayaan selepas terlepas Pulau Pinang kepada DAP pada 2008, dan pada pilihan raya lepas, gagal memenangi 1 kerusi pun.

Tiada sebab Azmin nak angkat kaki keluar PKR - Shamsul

"Mohamed Azmin Ali tidak akan beralih arah keluar daripada PKR dan akan terus bersama PKR”.

Itu kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas mengenai ura-ura kononnya timbalan presidennya itu akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

“Saya tidak fikir Mohamed Azmin akan bertindak sedemikian kerana berdasarkan pengalaman lama beliau sebagai ahli politik yang bermula sejak zaman Reformasi 1998, tidak mungkin beliau akan mengambil sikap beralih arah daripada parti PKR yang kita asaskan bersama-sama.

"Ketika itu saya memegang jawatan pemuda dan Mohamed Azmin memegang jawatan di peringkat negeri Selangor. Sekali lagi saya yakin tiada sebab untuk beliau angkat kaki daripada PKR," katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari dan Dialog Pengamal Media Bersama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Anwar hari ini bagaimanapun dipetik sebagai berkata tidak tahu-menahu mengenai ura-ura berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan bekas menteri besar Selangor itu dalam masa terdekat ini, Shamsul Iskandar yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya berkata setakat ini tiada, ekoran komitmen tinggi masing-masing dalam kerajaan.

Shamsul Iskandar yang juga timbalan menteri industri utama dalam pada itu menegaskan bahawa semua kepimpinan parti di negeri ini berdiri teguh di belakang Anwar untuk memimpin PKR tanpa sebarang keraguan.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan 21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah yang diketuai naib pengerusinya Khairuddin Ibrahim yang semalam mengumumkan keluar parti, Shamsul Iskandar berkata beliau berharap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Melaka, Halim Bachik dapat mengendalikan masalah itu.

"Saya percaya masalah itu boleh dibawa ke meja rundingan. Tentulah saya kesal dengan pendirian dan keputusan mereka meninggalkan parti.

“Kepemimpinan negeri harus melihat aduan dan hal dibangkitkan selaras dengan sesi pemukiman PKR di Port Dickson (Negeri Sembilan) baru-baru ini, iaitu penyatuan di semua peringkat kepimpinan bagi membolehkan parti bergerak ke depan," katanya.
-Bernama

Polis beritahu rakaman CCTV hotel Sandakan dipadam, kata Farhash

FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini mempertahankan dakwaannya wujud konspirasi atas penahanannya berhubung video seks sejenis yang menyasarkan Azmin Ali kerana penyiasat memberitahunya rakaman CCTV di luar bilik sebuah hotel di Sabah yang didakwa berlaku skandal itu sudah dipadamkan.

Setiausaha politik Anwar Ibrahim itu berkata, ketika direman polis selama 8 hari, beliau ditanya satu siri soalan yang “tiada kaitan dengan video atau penyebaran sebarang bahan haram”.

“Saya di bawah tanggapan yang perintah reman saya untuk membantu siasatan berdasarkan fakta, bukannya mengesahkan beberapa teori konspirasi lemah,” katanya dalam satu kenyataan sehari selepas dibebaskan polis.

“Apabila saya tanya mereka mengenai rakaman CCTV di (Hotel) Four Points, yang akan jelas menunjukkan sama ada 2 individu didakwa memasuki bilik sama, polis kata rakaman itu sudah dipadamkan,” katanya merujuk hotel dinamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mendakwa dirinya dan Azmi mengadakan hubungan seks sejenis itu pada 11 Mei lalu.

FMT cuba menghubungi Hotel Four Points untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu.

Awal bulan ini, satu klip video dikatakan rakaman CCTV dari Hotel Four Points dimuat naik ke YouTube menunjukkan individu menyerupai Azmin, Haziq dan juga Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham melalui kawasan yang kelihatan seperti koridor sebuah hotel.

Ketika itu, Hotel Four Points memberitahu ia tahu mengenai video itu.

Tangkap layar satu rakaman CCTV dikatakan dari Hotel Four Points di Sandakan menunjukkan seorang lelaki menyerupai Haziq Aziz keluar dari lif.
Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Haziq dengan berkata, ia adalah konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Hari ini, Farhash mengulangi dakwaannya mengenai “konspirasi” dengan berkata, penyiasat mengikut “satu set arahan jelas daripada seseorang di atas”.

“Sesetengah perkara yang ditanya sama ada saya tahu mengenai satu gajet hilang (dikatakan digunakan untuk merakamkan video seks itu), nama tempat kebanyakan rakyat Malaysia pernah dengar atau kunjungi, masa dan tarikh kedudukan saya secara rambang, tetapi dirasakan seperti membuang masa kerana mereka tidak perlu 4 hari untuk tanya semua ini.

“Ada hari di mana saya hanya dipanggil untuk berborak dan menghabiskan masa bersama mereka.”

Katanya, beliau diyakinkan penahanannya untuk menimbulkan persepsi umum negatif terhadap Anwar dan beliau dianggap “penampan” yang sesuai.

“Saya marah dengan Azmin dan selepas dibebaskan, saya menyerangnya secara lisan kerana jika kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati undang-undang, kenapa beliau berselindung di sebalik selubung keistimewaan?” soalnya.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha hari ini dilaporkan menggesa tindakan disiplin diambil terhadap Farhash kerana menggunakan label homoseksual terhadap Azmin ketika berucap di depan penyokongnya selepas dibebaskan semalam.

“Itu tuduhan secara terbuka di hadapan khalayak ramai dan media terhadap pemimpin nombor 2 parti. Perbuatan itu patut diambil tindakan disiplin.

“Pemimpin seperti Farhash yang mengetuai sebuah negeri wajar menunjukkan kematangan dan bukannya melepaskan perasaan dan emosi apabila berdepan dengan tekanan,” kata Haniza kepada FMT.

Farhash melaungkan “Anwar untuk PM” dan “Azmin semburit” ketika mengakhiri ucapannya di depan sekumpulan penyokong di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Menyedihkan 6 penguatkuasa JPJ, SPAD didakwa rasuah adalah orang Islam

Lindungi pemandu lori: 6 penguatkuasa JPJ, SPAD didakwa rasuah
Bernama


31penguat kuasa JPJ dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori, selain membocorkan maklumat operasi JPJ. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN: Lima penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Semua mereka turut berdepan 63 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Lima penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 itu ialah Pemeriksa Kereta Motor, Ahmad Tajuddin Husin, 35; Pembantu Penguat Kuasa, Najib Mohamad Tarmizi, 32; Pembantu Penguat Kuasa, Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41; Pembantu Penguat Kuasa, Hasrol Sani Abu Bakar, 39; dan Pemeriksa Kereta Motor, Muhammad Airil Teo Abdullah, 31.

Turut didakwa ialah bekas ketua pembantu penguat kuasa SPAD, Ahmad Alamin Don, 33 tahun.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Tajuddin berdepan 2 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM800; Najib didakwa atas 4 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM4,000; Ahmad Daniel dituduh atas 36 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM51,050 dan Hasrol Sani berdepan 5 pertuduhan utama dan pilihan rasuah bernilai RM9,100.

Sementara itu, Muhammad Airil Teo didakwa atas 12 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah sebanyak RM6,900 manakala Ahmad Alamin berdepan 4 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM1,750.

Semua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang mengambil masa hampir 2 jam.

Mengikut pertuduhan utama, semua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori milik syarikat terbabit yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam di sini antara Mac 2015 dan Jun 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 dan RM35,000 dengan seorang dan dua penjamin bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM5,000 dan RM25,000 dengan seorang dan 2 penjamin serta memerintahkan pasport semua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Naran Singh mewakili semua penguat kuasa JPJ itu manakala Ahmad Alamin tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Wan Ramli Wan Abdullah turut hadir mendengar prosiding itu.

Pada 28 Mei lepas, 8 penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lepas selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Niat nak buat kejutan tapi teman wanita peluk lelaki lain

FMT Reporters

Bayangkan jika anda merancang sesuatu demi orang tersayang, tiba-tiba anda pula yang mendapat kejutan dimana kekasih anda bersama orang lain dan kelihatan sangat mesra.
Inilah yang terjadi pada sepasang kekasih di China dimana teman wanitanya didapati keluar dengan lelaki lain.

Dilaporkan teman lelakinya sanggup mengembara sejauh 2,400km untuk membuat kejutan dengan memakai kostum patung beruang berwarna coklat untuk berjumpa dengan wanita kesayangannya.

Kejadian ini menjadi viral beberapa hari lalu di laman sosial Twitter rata-rata mengecam tindakan wanita tersebut.

Berdasarkan kenyataan yang tertera dalam laman sosial tersebut, lelaki itu datang menemui teman wanitanya secara rahsia sebagai kejutan.

Bagaimanapun ketika itu, wanita tersebut kelihatan sedang memeluk lengan lelaki yang berada di belakangnya.

Insiden itu diperhati teman lelakinya sendiri, dan apabila teman lelakinya membuka kostum patung di bahagian kepala untuk menunjukkan wajah sebenar, wanita tersebut kelihatan terkejut.

Lelaki terbabit terus menyarungkan kembali kepala patungnya dan beredar dari situ namun wanita itu terus berlari mengejar lelaki terbabit dan memeluknya.

Posting tersebut menerima kecaman lebih 20,000 netizen kerana tindakan wanita itu yang disifatkan tidak setia.

Apa nak jadi Malaysia ni, hakim, pendakwaraya dan polis pun dah tak boleh nak dipercayai

SPRM berkas hakim mahkamah sesyen

Seorang hakim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan pendatang asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam kenyataannya berkata hakim terbabit bertugas di mahkamah sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor.

"Saya mengesahkan bahawa SPRM membuat tangkapan terhadap seorang hakim mahkamah sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor petang tadi," katanya.

Latheefa menambah sejumlah wang turut dirampas dalam tangkapan berkenaan.

Katanya tangkapan tersebut mempunyai kaitan dengan penahanan seorang peguam, seorang timbalan pendakwa raya dan beberapa anggota polis baru-baru ini.

"Siasatan adalah berkenaan penahanan pendatang asing tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar," katanya.

Jumaat lalu The Sun melaporkan SPRM menahan seorang timbalan pendakwa raya, seorang peguam dan enam anggota polis dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang beberapa hari sebelum itu.

Menurut laporan tersebut, serbuan dibuat selepas SPRM mendapat maklumat mengenai pakatan beberapa orang membebaskan pendatang asing tanpa izin yang ada dalam tahanan pihak berkuasa.

Serbuan SPRM itu menemui wang tunai bernilai RM17,500 dalam milikan peguam terbabit, dipercayai untuk membayar anggota polis dan timbalan pendakwa raya berkenaan.

Sejumlah RM82,000 lagi ditemui di pejabat timbalan pendakwa raya di mahkamah terbabit.

Pagi tadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan awal itu dan suspek direman selama lima hari sehingga hari ini.

Meski mabuk bercinta, berlaku adillah wahai PAS

Raja Bahrin Shah
Kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa parlimen dibubarkan agar dapat diadakan pilihan raya umum (PRU) amatlah aneh dan tidak bertanggungjawab.

PRU adalah untuk memilih kerajaan persekutuan bagi mentadbir negara, bukannya bagi memuaskan nafsu ahli siasah yang berterusan ghairah berpolitik tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

Dahulu sebelum PRU ke-14, PAS pernah meminta pembangkang agar Najib Razak serta Umno-BN diberi tempoh menyelesaikan masalah negara.

Ketika itu negara sedang dilanda pelbagai skandal kesan pentadbiran BN dan Umno selama lebih 60 tahun.

Kini - apabila giliran kerajaan PH memerintah baru setahun - kenapa PAS tidak sabar-sabar lagi minta PRU diadakan pula?

Kalau memang pun sedang mabuk bercinta dengan Umno, eloklah cuba berlaku sedikit adil kepada PH. Lagi pun Umno sudah berpeluang lebih 60 tahun memerintah.

Berlaku adillah wahai PAS.

Bukankah dahulu PAS juga berkata PRU dan pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan kerap kali merugikan rakyat dan negara?

Tumpu keperluan anak muda

Banyak perbelanjaan dan masalah kewangan negara yang perlu diutamakan serta diselesaikan sekarang. Misalnya, hutang peninggalan Umno-BN, masalah Lembaga Tabung Haji dan Felda, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pelbagai lagi kekangan yang sedang kerajaan selesaikan.

Bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kami sedang menyelesaikan hutang serta liabiliti peninggalan Umno dalam syarikat perumahan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan perumahan penjawat awam bagi golongan B40 terutamanya.

KPKT juga merancang menyiapkan 100,000 unit rumah setahun sebagai kediaman mampu milik bagi golongan B40.

Kami bukan saja sudah menyediakan dasar perumahan khusus untuk rumah mampu milik, malah menyiapkan dana khas untuk mereka yang kurang mampu.

Tidak ketinggalan, disediakan skim pinjaman khas melalui syarikat kewangan sebagai alternatif kepada pinjaman bank yang kadar penolakan pinjaman begitu tinggi.


Gambar fail
Bagi golongan muda pula kami mengadakan skim sewa milik (rent to own) untuk memudahkan pembelian rumah.

Baru-baru ini pula kami mengadakan pengecualian kepada peminjam PTPTN yang disenarai hitam agar anak-anak muda dapat membeli rumah pertama.

Ini hanya sebahagian daripada usaha KPKT dalam tempoh 12 bulan pertama PH memerintah untuk menyelesaikan masalah asas rakyat, iaitu rumah pertama mereka.

Pada masa sama KPKT juga menyelesaikan masalah perumahan anak muda.

Justerus, adakah adil buat rakyat apabila PAS meminta tumpuan dan sumber kewangan negara - yang baru setahun melalui PRU - untuk menghabiskan masa dan dana bagi memenuhi nafsu ahli politik yang tidak habis-habis ingin merebut kuasa?

Pelabur percaya pada kerajaan

Bilakah nasib rakyat akan dibela jika inilah sikap ahli politik yang rakus ingin berkuasa? PRU diadakan lima tahun sekali untuk memberi masa sekurang-kurangnya sewajarnya kepada kerajaan semasa berkerja dan membina negara.

Rakyat penat dengan terlalu banyak politik murahan dan mengabaikan usaha membela nasib mereka.

Tuan Ibrahim adalah wakil rakyat di salah satu kerusi parlimen Kelantan. Ia adalah negeri yang hampir 30 tahun sudah diperintah oleh PAS.

Eloklah beliau menumpukan masa dan perhatian untuk membaiki nasib rakyat Kelantan yang amat memerlukan pembelaan.

Saranan beliau untuk mengadakan PRU sekarang juga seolah-olah tidak meraikan serta menghormati hak anak muda berumur 18 tahun yang perlu sedikit masa bersedia untuk boleh mengundi.

Usaha kerajaan PH membasmi rasuah, kronisme, salah guna kuasa melalui tadbir urus baik dengan mengamalkan sistem tawaran terbuka dan hak kebebasan bersuara telah membawa peningkatan tinggi pelabuan langsung luar (FDI).

Ia adalah petanda bahawa pelabur asing memberi kepercayaan kepada Malaysia.

Rating pelaburan dari badan antarabangsa juga meningkat dengan pertumbuhan dalaman negara lebih baik dari jangkaan asal Bank Negara.

Reformasi positif, keterbukaan serta ketelusan kerajaan PH mulai menunjukkan hasil yang baik.

Jadi, untuk apa kita harus hentikan kemajuan dan pencapaian baik negara dengan mengadakan PRU sekarang - seperti yang dikehendaki PAS?

Apakah motif sebenar desakan Tuan Ibrahim itu kecuali mahu berpolitik semata-mata tanpa memikir keperluan dan kepentingan rakyat terutama anak muda.

Umno-BN sudah memerintah Malaysia terlalu lama dan meninggalkan beban hutang begitu tinggi selain kerosakan nilai parah secara menyeluruh.

PAS pula memerintah Kelantan hampir 30 tahun. Tetapi negeri itu masih kekal dalam kalangan negeri termiskin dan dengan belenggu masalah penagihan dadah yang begitu tinggi.

Tidak ketinggalan, masalah pembalakan, pelombongan serta pencemaran alam di tahap kritikal serta mendesak untuk selesaikan.

Tempoh sudah diberi - selama 60 tahun untuk Umno di peringkat persekutuan dan 30 tahun untuk PAS di peringkat negeri Kelantan.

Apalah sangat jika dibanding setahun jagung kerajaan baru PH memerintah negara.

Kemahuan PAS itu bukanlah cara politik matang untuk masa hadapan rakyat yang perlu pembelaan terutama dalam sektor keperluan asas seperti perumahan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

Walaupun dalam keadaan mabuk bercinta, apa salahnya PAS dan Umno memberi peluang kepada PH mentadbir negara sehingga penggal yang ada berakhir?

Islam meminta kita berlaku adil dan bersabar dalam semua hal, termasuk hidup bermasyarakat dan berkerajaan.

Gagal jawab hujah, mereka kacau kuliah saya - Wan Ji

Shakira Buang & Faisal Asyraf

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mendakwa kekecohan yang berlaku di sebuah masjid ketika kuliahnya semalam ekoran kritikannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau berkata segelintir anggota parti itu tidak berpuas hati dengan kritikannya sebelum ini justeru cuba menyekat programnya.

"Saya kritik kepimpinan PAS dan mereka tak boleh jawab. Pertama berkenaan kritikan saya terhadap Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh yang kata wajib jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Saya cabar dia debat tetapi dia enggan.

"Kedua melibatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Rasulullah larang isytihar harta. Saya kritik dengan mengatakan ia hadis palsu.

"Oleh sebab itu orang PAS mula serang saya di Facebook. Jadi saya jangka mereka buat demonstrasi sebab tak boleh nak jawab dengan hujah saya, maka mereka kacau majlis saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bertempat di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka semalam, satu kumpulan masuk ke masjid bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.

Bantahan tersebut dianjurkan Gerakan Pembela Ummah negeri itu.

Bagaimanapun kuliah itu - yang bertajuk Islam sebagai agama penyelamat kepada umat - diteruskan selepas sejumlah anggota polis berjaya menyuraikan kumpulan yang membantah.

Hari ini satu surat dengan logo PAS yang mengarahkan pimpinan dan ahli parti negeri itu untuk mengadakan bantahan terhadap program itu, disebarkan di Facebook.

Menurut imej yang dikongsikan, surat bertarikh 6 Julai itu ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka Asri Shaik Abdul Aziz.

'Program diizin mufti Melaka'

Ketika dihubungi, Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek tidak mengesahkan secara jelas surat itu tetapi hanya berkata ia ditandatangani Asri.

"Maaf, itu memang Gerakan (Pembela Ummah) yang buat," katanya ringkas.

Sementara itu, Asri ketika dihubungi berkata pihaknya sedang meneliti punca sebenar kekecohan semalam dan akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kejadian itu.

"Nanti kita akan keluarkan kenyataan rasmi. Kami tengah dapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ji mendakwa beliau sendiri melihat beberapa individu yang menyertai bantahan itu memakai pakaian berlogo PAS dan juga Umno.

Mengulas lanjut, beliau berkata program itu telah lama dirancang bersama Adun Durian Tunggal, Mohd Sofi Ab Wahab dengan kerjasama kariah masjid, serta mendapat keizinan Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil.

"Saya beranggapan tindakan itu hanya mahu menakut-nakutkan saya, tindakan nak ugut saya supaya saya tak teruskan kerja-kerja dakwah ini. Saya akan terus mengkritik perkara melibatkan agama, PAS, yang pada pandangan saya tidak tepat.

"Adun dan pihak masjid juga maklumkan bahawa mereka akan buat laporan polis berhubung kekecohan semalam," katanya lagi.

Wan Ji sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selepas menjalani hukuman itu selama tiga hari, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadapnya sementara menunggu keputusan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Kecoh dalam masjid ketika kuliah Wan Ji

Ceramah pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin di Melaka malam ini tergendala sebentar apabila satu kumpulan membantah program itu.

Kejadian berlaku di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, dan bantahan dianjurkan Gerakan Pembela Ummah negeri itu.

Menurut siaran langsung di Facebook, kumpulan itu masuk ke dalam masjid untuk mendesak ceramah dihentikan namun kira-kira belasan polis berkawal dengan membuat barisan untuk menghalang mereka ke bahagian depan.

"Ini rumah Allah... Kalau nak dengar, tak apa tapi kalau nak buat masalah, saya tak benarkan," kata seorang anggota polis.

Seorang lagi anggota polis pula berkata pihak lain juga boleh mengadakan program ceramah kerana "semua ada hak".

Selepas kira-kira sepuluh minit, kumpulan tersebut kelihatan akur dan mula keluar dari masjid.

Wan Ji kemudian meneruskan ceramahnya. Beberapa polis kekal berkawal dalam masjid, sementara para pembantah berada di perkarangan sebelum beredar.

Terdahulu, sebelum ketibaan Wan Ji, beberapa puluh orang berkumpul di luar masjid untuk membantah program itu.

120 pemimpin PKR teguh di belakang Anwar

Selepas berkumpul dan bermukim di kawasan peranginan Port Dickson selama tiga hari sejak Jumaat lalu, kepemimpinan PKR menyatakan sokongan penuh mereka kepada Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.

Dalam resolusi yang dikeluarkan hari ini, mereka memberikan keyakinan kepada Anwar untuk memacu dan memimpin PKR supaya menjadi tunggak kepada PH.

Kata resolusi itu, langkah tersebut selaras dengan semua peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan parti berkenaan.

"Kami dengan ini memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, untuk memacu dan memimpin PKR menjadi tunggak PH, selaras dengan semua peruntukan sebagaimana terkandung di dalam perlembagaan parti," kata resolusi berkenaan.

Ia ditandatangani semua 120 pemimpin parti yang menghadiri pemukiman tersebut.

Difahamkan, jumlah sebenar yang sepatutnya hadir ialah seramai 140 orang.

Resolusi tersebut dikeluarkan pada hari terakhir pemukiman berkenaan dan diadakan ketika pertembungan di antara dua kumpulan berbeza memuncak - sebelum kemudian dikendurkan Anwar semalam.

Antara pemimpin kanan yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang dikaitkan dengan isu video hubungan asmara sejenis didakwa membabitkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Baca Menteri enggan tandatangan kenyataan dukung Anwar

Menurut resolusi berkenaan pemukiman tersebut dihadiri semua pimpinan PKR dari seluruh negara, termasuk anggota anggota Majlis Pimpinan Pusat, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta anggota dewan undangan negeri.

Kata kenyataan berkenaan, perbincangan dijalankan secara jujur dan terbuka sebelum resolusi bersama dicapai.

"Program ini menjadi platform pimpinan bermuhasabah, menggilap kembali idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti, menilai kembali rekod perkhidmatan selama setahun sebagai kerajaan persekutuan dan bagaimana PH mampu bergerak ke depan.

"Kami bertekad memperkukuhkan PKR sebagai parti tunggak nasional pelbagai kaum berdasarkan prinsip perlembagaan dan memastikan manifesto PH terlaksana," kata resolusi itu.

Padah mandi pakai kanta lekap mata jadi buta

FMT Reporters
Malang tak berbau, itulah yang berlaku terhadap seorang lelaki di England.
Gara-gara tidak mengamalkan penggunaan kanta lekap dengan baik mata sebelah kanannya menjadi buta.

Menurut laporan Metro News, Nick Humpreys yang berusia 29 tahun telah buta sebelah mata kerana terkena jangkitan Acanthamoeba keratitis iaitu sejenis jangkitan parasit di dalam kornea.

Jangkitan ini berlaku kerana dia tidak menanggalkan kanta lekap setiap kali mandi.

Sehingga kini dia telah menjalani 2 pembedahan dan kini sedang menunggu untuk melakukan proses pemindahan kornea.

Humpreys yang telah menggunakan kanta lekap sejak 2013 memberitahu tidak tahu akan bahaya memakai kanta lekap ketika mandi.

Padahnya dia yang berusaha untuk memperbaiki tahap penglihatannya terutama ketika bersukan bertukar menjadi buta.

Jejaka malang yang mempunyai rabun dekat ini memilih untuk memakai kanta lekap kerana dia tak suka menggayakan cermin mata.

“Selepas mendapat jangkitan segala aktviti menjadi terbatut. Sebelum ini saya mengunjungi gimnasium setiap hari dan bermain bola tiga kali seminggu.

“Kini saya hanya mampu duduk di rumah sahaja selama enam bulan kebelakangan ini serta rasa macam tak bersemangat nak meneruskan hidup,” jelasnya.

Nick mula menyedari ada yang tak kena dengan matanya selepas perasan terdapar kesan calar pada matanya.

Pada mulanya dia tak mengesyaki apa-apa sehinggalah ia mula serius.

Risau dengan kondisi tersebut dia segera mendapatkan nasihat serta pemeriksaan doktor yang kemudian mendapati dia positif Acanthamoeba keratitis.

Jangkitan ini disebabkan oleh mikroskopik organisma dikenali sebagai Acantamoeba yang boleh didapati di dalam air.

Enam bulan selepas mendapat rawatan doktor akhirnya membuat keputusan untuk melakukan “corneal cross linking”.

Prosedur tersebut dilakukan untuk membersihkan jangkitan.

Bagaimanapun matanya sukar diselamatkan dan telah menjadi buta.

Apa itu ITU Acanthamoeba Keratitis

Acanthamoeba merupakan sejenis mikroskopik organisma yang hanya memiliki satu sel.

Kearatitis pula bermaksud keradangan yang berlaku dalam kornea.

Mikroorganisme ini biasanya ditemui di dalam tanah dan juga air.

Ia boleh didapati di dalam air paip, kolam renang dan juga air laut.

Pak belang dan katil hotel

Al-Abror Mohd Yusuf
Ada kemungkinan dua ekor pak belang yang muncul tiba-tiba di mukim Besol, Bukit Besi di Dungun, beberapa hari lalu itu sekadar mahu bergurau.

Sukar menerima seekor haiwan liar yang sebegitu tidak mencederakan sesiapa.

Ketika suatu masa dulu kita banyak mendengar kisah penoreh getah atau pekebun yang maut diterkam pak belang, di Besol haiwan yang menggerunkan itu sekadar menjilat-jilat penduduk kampung.

Kemudian ia pun berjalan melilau ke sana-sini untuk kemudian salah seekor daripadanya ditangkap mudah.

Berbanding jangkaan kebanyakan orang, harimau itu rasanya bukanlah terdesak mencari tempat untuk tinggal selepas habitatnya diperkosa oleh kerakusan manusia.

Kemungkinan dia kebosanan di dalam hutan, justeru dia mencari sedikit hiburan di kawasan petempatan manusia. Menunjukkan perasaan gemuruhnya, maka haiwan itu tidak datang bersendirian.

Ia datang berteman. Ia muncul berdua.

Sejarah menyatakan Dungun ialah daerah paling maju di Terengganu suatu ketika dulu.

Penemuan bijih besi membawa kawasan itu dikenali ramai, termasuk di luar negara.

Maknanya, Dungun ialah sejarah.

Pak belang itu pula muncul ketika ramai orang - walaupun punya lah melugai - dipaksa membuang masa memikirkan tentang siapa yang berasmaradana di atas katil dalam bilik hotel di Sandakan itu.

Berapa peratus yang ada

Tidak cukup dengan itu, kita juga dipaksa oleh keadaan untuk menambah serabut fikiran bagi memikirkan siapa dalang di sebalik video jijik berkenaan.

Jika itu belum memadai, lihat pula fakta ini: Tahap kemungkinan untuk video itu tulen adalah tinggi, namun tidak dapat dipastikan peratusannya.

Pada masa sama pihak berkuasa tidak dapat mengaitkan individu yang dirakam itu dengan sesiapa pun yang dikaitkan dengan skandal tersebut.

Sekali lagi, tidak dinyatakan berapa peratuskah kemungkinan untuk watak dalam rakaman itu boleh disamakan dengan sesiapa saja individu yang dikaitkan dengannya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pihak CyberSecurity gagal mengesahkan identiti pelakunya setahap 100 peratus.

Kata kuncinya ialah, bukan 100 peratus. Justeru, berapa peratus?

Adakah analisis mengenai ketulenan video berkenaan mencapai tahap 100 peratus?

Malaysia sebenarnya berhak berbangga kerana memiliki pasukan polis yang berdedikasi serta menguasai kemahiran tinggi dalam segenap bidang.

Berapa banyak kes yang rumit dan serius mampu ditangani dengan jayanya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maka, sama halnya dengan video yang menyebabkan rasa mahu muntah itu.

Kita yakin PDRM memiliki kemampuan merungkai misteri yang ada di sebaliknya.

Pada masa sama, kita pula sibuk menuding jari ke sana sini bagi memuaskan hati masing-masing.

Desakan naluri ingin tahu sering dikalahkan oleh emosi yang terburu-buru mahu membuat kesimpulan.

Itu belum lagi kita mengambil kira pelbagai teori konspirasi yang tumbuh segar di sana sini, sama ada disengajakan dengan acuan khusus atau sebaliknya.

Rimau, ringgit dan sen

Kerana itu saya katakan, ada kemungkinan kemunculan pak belang di Dungun itu sekadar satu gurauan dari alam. Ia mahu menyapa kita supaya menoleh seketika ke belakang dan belajar dari sejarah.

Kita semakin terbenam dalam kekalutan. Seolah-olah kerakusan yang sedia ada tidak memadai untuk membawa negara ini tenggelam dalam nasib malang berpanjangan.

"Ini bila tular ni, pemburu harimau meleleh air liur sebab geram. Berbelas ribu harga seekor ni," kata rakan yang juga pencinta alam sekitar, Ubi Marchino.

Dia memang dekat dengan hutan. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan tumbuh-tumbuhan dan alam.

Maka dia faham benar potensi ringgit dan sen yang ada pada tubuh harimau di Bukit Besi itu.

Dalam keadaan akal manusia semakin dikuasai nafsu seperti sekarang, hampir semua objek yang dipandang oleh mata akan segera ditafsir dengan makna laba.

Sama juga dengan katil dan cadar yang menjadi saksi dalam rakaman video di bilik hotel di Sandakan itu. Semuanya adalah tentang apa yang boleh membawa rugi, dan apa yang boleh membawa laba.

Hentikan lelucon mengaitkan harimau dengan "hari-hari mau" itu. Ia jenaka yang sangat hambar sekarang. Malah kedudukan semasa kita hampir-hampir saja tidak boleh lagi berjenaka sembarangan.

Apa yang diperlukan semua orang ialah "hari-hari mahu" nasib rakyat diberi perhatian. Dibela (baca dengan huruf 'e' taling) nasibnya, bukan dibela (dengan huruf 'e' pepet pula) dengan habuan wang ringgit.

Para politikus pula, hentikan bercakaran demi menggapai pangkat dan kuasa. Rakyat sudah muak dengan kegelojohan sebegitu. Ingat - di luar lingkaran kamu, ada banyak pihak sedang memperelok topeng masing-masing sambil mengatur langkah menyusun bidak-bidak catur.

Ruang dan peluang ada di depan mereka. Bodoh benarlah jika mereka enggan mengambil kesempatan. Itu pun sejenis kegelojohan yang memualkan juga.

Dan rakyat sekarang - pada bila-bila masa - boleh bertukar menjadi 'harimau' ganas yang menunggu masa untuk menerkam.

AL-ABROR MOHD YUSUF