"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Kanak-Kanak Malaysia Maut Tercampak Permainan Berpusing Ini Di Australia (Video)


SYDNEY: Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat mengenai kematian seorang kanak-kanak perempuan rakyat Malaysia yang tercampak ketika menaiki roda berpusing di perjukan Royal Adelaide di sini.

Kanak-kanak berumur lapan tahun itu yang dilaporkan melawat Australia bersama keluarganya tercampak daripada permainan yang dikenali sebagai AirMaxx 360 pada petang Jumaat, demikian menurut kenyataan Polis Austalia Selatan.

Mangsa pada mulanya dirawat oleh pasukan paramedik sebelum dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia di Hospital Adelaide beberapa minit kemudian.

Malinda Dunwoodie berkata, dia berada berhampiran roda berkenaan apabila dia melihat kanak-kanak itu 'terbang di udara'.

"Dia tergantung dengan kaki di luar roda itu cuba untuk menghalang dirinya terjatuh.

"Dia 'terbang' kira-kira 10 hingga 15 meter di udara dan saya mula memecut ke arahnya. Dia kelihatan seperti anak patung terbang di udara.

"Ia begitu mengejutkan. Seperti sebuah filem seram. Saya tidak nampak dia jatuh di tengah-tengah orang ramai tetapi apabila saya berjaya menemuinya, saya tidak melihat matanya bergerak. Semua orang menjerit," kata Dunwoodie kepada akhbar The Advertiser.

Pulak dah!! Haji Hadi mahu Khalid kekal sebagai MB

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mencetuskan rasa tidak senang di kalangan sekutu Pakatan Rakyat apabila didakwa mahu mengekalkan Tan Sri Abdul Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Pandangan itu ternyata merisaukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP apabila PAS secara konsisten mengambil pendirian bertentangan dalam isu krisis kepimpinan di negeri itu.
Nik Nazmi mengingatkan Hadi supaya tidak berterusan mengambil keputusan yang bertentangan dengan PKR dan DAP dalam isu menteri besar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pilihan untuk mengekalkan Khalid dinyatakan oleh Hadi ketika mengadakan pertemuan dengan Pemuda Pakatan Rakyat baru-baru ini.

"Yang agak merisaukan saya adalah dalam perbincangan itu apabila ditanya tentang pandangan Tuan Guru Hadi tentang jalan keluar isu ini, beliau memberi jawapan akhirnya adalah dengan mengekalkan Tan Sri Khalid dan Tuan Guru sendiri akan memantau kelemahan Tan Sri Khalid," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Kebimbangan Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu dilihat mempunyai asas apabila Hadi sebelum ini mengejutkan banyak pihak dengan mempersembahkan tiga calon kepada istana untuk dipilih sebagai menteri besar.

Sehingga kini tiada siapa mengetahui tiga nama yang dikemukakan Hadi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu mengingatkan Hadi supaya tidak berterusan mengambil keputusan yang bertentangan dengan PKR dan DAP dalam isu menteri besar.

"Pilihan itu tentulah bertentangan dengan sokongan majoriti Adun Selangor terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

"Meskipun isu perlantikan menteri besar belum selesai, tetapi Tan Sri Khalid kini hanya bertindak sebagai menteri besar peralihan yang telah diterima Sultan Selangor. Apatah lagi Tan Sri Khalid kini hanyalah Adun bebas tidak berparti," katanya.

Bob Lokman Dan Warong Sarapan Pagi Menu Kelantan'nya (Gambar)

Aba F Noor
Setelah dimaklumkan bahawa dari segi hukum, dia masih boleh berlakon atau seumpamanya dengan menjaga batas-batas syari'at untuk mencari rezeki, abang Bob Lokman masih mahu meninggalkan dunia itu.

Bimbang, kalau-kalau tidak dapat menjaga hubungannya dengan Allah, abang Bob Lokman, sanggup meninggalkan dunia lakonan dan lain-lain yang bersangkutan; yang menjadi sumber pendapatannya selama ini.

Abang Bob Lokman, kini, gigih mengusahakan Warong Menu Sarapan Pagi Selera Kelantan di Kuang yang mula dibuka seawal 6:30 pagi hinggalah ke jam 11 pagi untuk melayani para pelanggannya. BUKA SETIAP HARI, KECUALI JUMAAT.
Masakannya, tidak usahlah diragui. Kita dijanjikan rasa enak dan kepuasan, apabila menikmati hidangan yang disediakannya itu.

Semua dijemput, memberikan sokongan kepada abang Bob Lokman di dalam usahanya mencari rezqi yang halal bagi menyara anak-anaknya yang sebahagian besar, masih kecil.

Warongnya, di tepi jalan sahaja. Jika dari simpang 3 Sungai Plong (dekat Balai Polis), berada di sebelah kanan selepas beberapa kilometer. Jika dari simpang 4 Kuang, berada sebelah kiri, juga selepas beberapa kilometer. Warong abang Bob menumpang di warong cendol; 'ILIN CENDOL HOUSE'.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi abang Bob sendiri di talian; 0192825555.

Semoga Allah memberkati anda semua...

[Mohon share untuk bantu abang Bob Lokman]
Foto Aba F Noor.
Foto Aba F Noor.
Foto Aba F Noor.
Foto Aba F Noor.
Foto Aba F Noor.

Kenapa DAP tak datang di DUN Pengkalan Kubor

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, isu dalaman Pakatan Rakyat dan kemelut yang berlaku di Selangor tidak akan menggugat kempen dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Malah, ketiadaan pemimpin utama termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari penamaan calon pagi ini juga bukan bermakna parti itu kini bermasalah.

"Tak jadi isu. Tak jadi masalah. Presiden akan datang, petang ini. Kami pun sekarang sibuk dengan muktamar yang akan berlangsung di Johor," katanya ringkas.

Katanya, PAS juga tiada masalah dengan tindakan pemimpin DAP yang tidak muncul memberi sokongan kepada calon mereka hari ini.

Mat Sabu berkata, tidak ramai pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada kaum Cina.

Bagaimanapun, katanya, wakil daripada DAP akan hadir semasa tempoh berkempen nanti.

"Dari PKR ramai yang datang. Di sini orang bukan Melayu tak ramai. Jadi mereka (DAP) tak datang. Mungkin akan datang pada kempen hari yang lain," katanya lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon DUN Pengkalan Kubor di pejabat tanah dan jajahan Tumpat, Kelantan.
-malaysiakini-

Aku kalau baca berita macam ini, geram je dengan orang yang jaga Baitulmal

Keluarga saudara baru menumpang di rumah ibadat bukan Islam
Hj Rozmal
Saya mendapat panggilan telefon dari seorang lelaki saudara baru berasal bukan dari N.Sembilan, kini bekerja dan menetap di Selangor. Ayah dan ibunya pun saudara baru dari negeri luar Semenanjung Malaysia. Ayah dan ibunya mengikut anak lelakinya apabila memeluk Islam.

Tapi kini terpaksa menumpang sementara di rumah ibadat bukan Islam, agama mereka dahulu.

Lelaki tadi yang hanya bekerja biasa cuba mendapatkan rumah sewa, berhampiran tempat dia bekerja.

Tempat ibadat Islam atau masjid di Malaysia ini kebanyakannya tiada rumah atau bilik perlindungan untuk kendalikan kes sebegini.

Kepada mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga saudara baru ini untuk keluar dari rumah ibadat bukan Islam tersebut sila Tel/Whatsapp saya 012-2267406 . Kes berlaku di Selangor.

Di sini bermulanya sebuah cinta. Cinta kerana ALLAH.
Hj Rozmal bin Malakan
Sabtu 13 September 2014, 8.15 pagi

(MESTI TENGOK) 10 Adegan Filem Tamil Ini Tidak Masuk Akal Tetapi Tetap Pecah Panggung!

Tranungkite
Sesiapa yang pernah menonton filem Tamil pasti tahu bahawa ada beberapa adegan aksi lagak ngerinya tidak masuk dek akal langsung. Baiklah, bukan beberapa tetapi banyak adegan di dalam keseluruhan filem.

Namun begitu, ini menunjukkan bahawa penerbit filem Tamil adalah antara manusia yang kreatif kerana mampu berfikir di luar kotak. Selain itu, jika aksi lagak ngeri yang melampau itu boleh menarik perhatian penonton, apa salahnya? Filem pecah panggung, poket pun tebal.

Jom kita saksikan beberapa adegan aksi lagak ngeri yang tak masuk akal!

1. Rupanya hukum fizik tak terpakai dalam filem Tamil.
2. Tapi kaki awak tidak cedera, kenapa perlu merangkak?
3. Lelaki ini handal melontar pisau.
4. … dan juga berkebolehan menghidupkan api dengan jari.
5. Dengan pistol pun boleh ya abang.
6. Alamak, ada halangan! Oh, nasib ada kuda.
7. Kills two men with a bullet.
8. Ini berkemungkinan remake filem The Matrix.
9. Hanya satu tumbukan sahaja diperlukan.
10. Ini paling hebat, hero langsung tak cedera!
Hai… Terhibur! :D - sumber thevocke

Mi Goreng RM1, Sengkuang Calit RM0.30 sen, Tak Percaya Ke?

AFANDY YUSOF
TERUJA… memang Abang Fen cukup teruja you!
Gerai kecil yang dibina di hadapan rumah pada awal Januari 2013 oleh Mimi Abdul Rahim, 48, di Permatang Kebun Sireh, Bukit Mertajam pada mulanya adalah sekadar untuk mengisi masa lapang dan membantu anak saudaranya mendapatkan wang saku.
Gerai yang menjual aneka jenis makanan dan minuman ini mengamit Abang Fen kerana menjadi buah mulut rakan-rakan tentang harganya yang tak sepadan dengan makanan dan minuman yang dihidangkan.
Apa yang Abang Fen nak kongsikan bersama you all bukan sebab si penjual iaitu, Mimi buka gerai makanan di depan rumah tetapi perihal laicikang dan sengkuang calitnya yang istimewa.

Sudahlah sedap, harganya pula murah...memang untung pelanggan yang datang ke sini.

Banyak lagi makanan serta minuman yang dijual dengan harga rendah di gerai milik Mimi.

Walau pun gerai ini hanya dibuka di hadapan rumah namun kepelbagaian makanan serta minuman menarik perhatian Abang Fen.

Paling mengujakan Abang Fen bukan sekadar keenakan rasanya sahaja tetapi harganya yang tak mungkin you all temui di mana-mana tempat.

Laicikang yang dimasukkan bahan seperti buah laici, kacang, buah nipah, biji selasih, cincau, agar-agar, getah anggur dan pelbagai bahan lagi dijual dengan harga RM1.00 semangkuk.

Bukan setakat laicikang dengan harga termurah yang belum pernah Abang Fen temui... ditambahkan lagi keenakkan sengkuang potong yang disapu kuah rojak dan ditabur dengan kacang tumbuk.

Harga setiap keping sengkuag hanya RM0.30 sen sahaja.
Biar betul!! Abang Fen rasa nak pengsan sebab tak percayakan harganya.

You all pun tahukan sikap Abang Fen, kalau ada yang unik saja... mulalah nak ajukan soalan-soalan pada yang empunya gerai.

Soalan pertama Abang Fen mudah jer, macam mana boleh jual makanan semurah ini dan boleh ke dapat untung?

"Ramai pelanggan luar yang ajukan soalan begitu, tapi saya jawab perniagaan ini pada awalnya hanya untuk penduduk kampung terutama kanak-kanak," kata Mimi dengan nada perlahan.

Rupanya bukan Abang Fen seorang yang ajukan soalan sedemikian tetapi dah ramai kerana terkejut.

"Sengkuang calit ini juga saya jual dengan harga 20 sen pada kanak-kanak yang tak cukup wang, malah mi goreng dijual dengan harga RM1.00 pada mereka yang tak cukup duit”, tambah Mimi dengan senyuman.
Abang Fen juga meminta mi bakso versi Malaysia yang dijual di gerai itu dan rasanya sungguh enak dengan bebola daging yang banyak serta potongan daging yang menimbun.

Tidak cukup dengan keistimewaan pada harga, gerai kecil itu turut juga menyediakan perkhidmatan WiFi percuma kepada pelanggan terutama untuk warga kampung Permatang Kebun Sireh yang berkunjung ke gerai Mimi.

Gerai yang Abang Fen kunjungi ini bukanlah berada di kawasan luar bandar tetapi Permatang Kebun Sireh ini adalah antara perkampungan Melayu yang dikelilingi oleh pembangunan pesat.

Kedudukannya juga hampir dengan kawasan perindustrian, kawasan perumahan mewah dan Bandar Bukit Mertajam yang sedang pesat membangun.

Sebelum pulang, Abang Fen memesan enam bungkus mi bakso dan 10 bungkus laicikang untuk diberikan kepada rakan-rakan.

You All nak tahu apa kata kawan kawan Abang Fen? "Fuh! sedap betul Fen, mana hang dapat makanan dan minuman sedap macam ini, murah pulak tu"?

Abang Fen berasa puas kerana dapat berkongsikan keistimewaan gerai seperti ini kepada pembaca mStar semua.

Kepada pembaca yang inginkan maklumat lanjut mengenai gerai ini bolehlah hubungi Mimi Abdul Rahim ditalian 012 4110561.
-mstar-

Muktamar Pas: Panas dan penting, adakah PAS akan pecah dua?

SHAH ALAM: Pentas Muktamar Pas ke-60 yang bakal membuka tirai pada minggu hadapan dijangka panas dengan beberapa isu berbangkit kebelakangan ini.

Pemerhati politik berpendapat isu jawatan Menteri Besar Selangor dan masa depan Pas dalam PR antara topik perbincangan muktamar yang berlangsung di Johor itu.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, setiap kali muktamar berlangsung, isu hubungan Pas dengan PR tetap akan dibangkitkan.

"Dalam muktamar kali ini, isu ulama profesional akan timbul kembali, kemudian isu Selangor ini...isu wala’ kepada presiden, dan juga isu masa depan Pas dalam PR.

"Tiap-tiap kali muktamar akan timbul isu sama iaitu tentang hubungan dengan PR, isu kepimpinan ulama dengan profesional dan juga isu wala’ itu tadi. Setiap kali itu juga akan ditegaskan bahawa Pas akan bersama PR," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau turut menjangkakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal ‘ditegur’ perwakilan berhubung isu di Selangor namun tetap menghormatinya.

"Walaupun akan berlaku teguran-teguran terhadap presiden, tapi ia tak akan bawa perubahan yang besar kerana kita tahu orang Pas ini walaupun marah-marah tapi sikap hormat pada presiden juga tidak akan melebihi para ulama ini memang dalam DNA orang Pas.

"Tapi kalau nak dikata presiden akan ditegur dalam isu Selangor, saya rasa itu memang dijangka. Sudah tentu muktamar kali ini akan panas tapi panas-panas ia pun tak bawa perubahan apa-apa," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir turut senada menjangkakan isu krisis di Selangor bakal menjadi topik utama di pentas Muktamar Pas nanti.

Malah katanya, pentas muktamar ini akan dijadikan medan untuk pimpinan Pas menjelaskan kepada seluruh perwakilannya berhubung alasan bagi setiap tindakan yang telah diambil.

"Sudah pasti isu Menteri Besar di Selangor ini akan dibincangkan. Saya fikir mereka akan menjelaskan mengapa pendirian itu diambil oleh Pas.

"Pada masa sama untuk menangkis hujah-hujah atau tuduhan yang telah dilemparkan oleh parti komponen PR.

"Dalam usaha bukan saja untuk menjernihkan kedudukan parti tapi juga lontaran kenyataan yang ditujukan kepada Presiden Pas," katanya.

Dalam pada itu beliau menyifatkan pertemuan Pas kali ini begitu penting dalam meyakinkan lagi ahli-ahlinya tentang hala tuju parti itu.

"Setiap muktamar ada isu sendiri. Tidak boleh kita kata pertemuan kali ini paling hangat sebab sebelum ini pun ada isu-isu hangat dibincangkan.

"Tapi boleh dikatakan pertemuan kali ini penting untuk yakinkan lagi kepada ahli Pas tentang hala tuju Pas lebih-lebih lagi wujud gejala pertikaian keputusan dan kenyataan Presiden Pas," katanya.
 -SH  

Siapa Nakhoda Jelmaan Dalam PAS?

BayangDiAir
Pesan TG Mursyidul Am, " PAS hanya ada seorang nakhoda. Tak boleh dua orang atau lebih nak jadi nakhoda. Hanyut kita." Tapi apa yang terjadi? PAS sekarang dah ada 2 nakhoda. Seorang TGHH sebagai nakhoda yang dipilih sebulat suara ( menang tanpa bertanding). Nakhoda yang kedua ialah nakhoda jelmaan.

Tingkah Mat Sabu, Dr. Zul, Dr. Hatta, Hanifa Maiden, Husam Musa dan Mujahid dulu biasalah dalam PAS dengan pandangan yang kritis, tidaklah sampai nampak bercanggah dengan Presiden dan kepimpinan ulama dan tidaklah sampai mengutarakan kritikan secara terbuka sampai seluruh rakyat ( kawan dan lawan) boleh ikuti pendapat, tulisan dan suara mereka. Mereka semua berubah dan PAS kehilangan dua orang pemimpin tertinggi ( Ustaz Nasaruddin dan Dr Hassan Ali) adalah dimainkan peranan oleh nakhoda jelmaan ini.

Agen-agen nakhoda jelmaan ini telah menyucuk jarum sejak beberapa tahun yang lalu. Ustaz Nasaruddin dan Dr Hassan Ali dimomokkan dengan pelbagai tuduhan dan kata nista yang sebenarnya mula dijualedar dari gerai puak-puak pengkhianat ini.Bukankah Ustaz Nasaruddin dan Dr Hassan Ali difitnah sebagai agen UMNO dan yahudi? Pedih bukan? Siapa yang memainkan peranannya? Sudahkah tuan-tuan lupakan? Bukankah nakhoda jelmaan ini menyatakan dengan bangganya kerana jasanyalah Ustaz Nasaruddin dan Dr. Hassan Ali Berjaya disingkirkan.

Masa tu perwakilan tidak pernah mengamalkan sikap berburuk sangka kepada nakhoda jelmaan dan dan agen-agen beliau. Lalu sepertimana kata rakan hamba, besut-pas, berbondong-bondonglah perwakilan memilih nakhoda jelmaan ini , jurutera, peguam dan doktor tertentu untuk membarisi kepimpinan tertinggi PAS.

Kini mereka sudah berasa gagah dalam kepimpinan PAS. Apabila Datuk Harun Taib dan Ustaz Abu Bakar Chik sudah pulang ke rahmatullah, puak-puak nakhoda jelmaan ini semakin berani dan suara mereka dah jadi majority oleh kelantangan mulut mereka. Sebab itulah dalam isu MB Selangor ini, apabila pendapat telah berbelah bagi sama banyak akhirnya TGHH menggunakan kuasa Presiden yang ada pada beliau. Terpengong-pengong dan terbengong jadinya puak nakhoda jelmaan ini. Dalam terpengong dan terbengong itulah mereka sekali lagi menyerang TGHH.

Lebih menarik apabila TGHH menjelaskan segala-galanya di “Majlis Penerangan Isu Semasa di Rusila” ( sebenarnya masih ada buah keras yang TGHH simpan kut-kut puak nakhoda jelmaan dan para panglima PKR cuba bangun menjawab), masing-masing sunyi, terkedu dan tekup batu-batan. (Aku dah tahu lama, perangai TGHH ni bengkeng sebenarnya. Tetapi akhlak ulama yang berjiwa besar sanggup sampai tahap Aziz Bari memperlekehkannya secara berdepan).

Kita tengok sekiranya nakhoda jelmaan dan puak-puaknya SERTA PKR/DAP terus buat onar. Sedarkah tuan-tuan TGHH telah beri isyarat dengan berkata “Saya rasa semakin muda dan bersemangat sekarang” . Ada berani terus langgar Presiden kami?Memetik kata Naib Ketua Dewan Ulama, Dr Mahfodz Mohamad, “ sila keluar secara terhormat”. Atau tunggu sahaja hari kiamat menunggu pengkhianat jamaah pada muktamar akan datang. Namun aku lebih berharap mereka insaf dan bermaaf-maafan. Kalau ini berlaku, mereka juga berjiwa besar seperti Tuan Guru Presiden. Peristiwa ini sukar dilihat. Kalau ini terjadi, bahagianya hati seluruh pendokong perjuangan ini.

Siapa nakhoda jelmaan ini? Saya yakin tuan-tuan yang peka dengan perkembangan politik semasa telah maklum kerana wajahnya sering melatari maya sekarang.
---------------------------------------------------------------------------------
PKR dan DAP berani menyerang Presiden kita hanyalah kerana adanya keretakan pada bahtera kita. Adakah PKR dan DAP berani kalau semua solid di belakang Presiden?

Husam Musa digesa letak jawatan dan jangan jadi anai-anai oleh Ketua Pemuda PAS Sekijang

Pergolakan dalam PAS berkaitan krisis jawatan menteri besar Selangor berterusan apabila seorang ketua Pemuda PAS hari ini membidas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang didakwanya tidak sehaluan dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Pemuda PAS Sekijang, Shazni Munir Ithnin (kanan) mendakwa bahawa umummengetahui bahawa Husam dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Pusat PAS tidak bersetuju dengan keputusan Hadi untuk meletakkan lebih daripada satu nama sebagai calon menteri besar Selangor

Oleh itu, beliau menggesa Husam agar tidak berkias-kias dalam membangkang keputusan presiden PAS itu.

"Husam perlu menyatakan protes terhadap keputusan tersebut secara terbuka," kata Shazni yang juga eksekutif komunikas menteri besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

"Ahli-ahli sudah sedia maklum pendirian presiden, dan tidak kurang yang menyokong," katanya sambil mendakwa hanya Husam dan rakan-rakannya masih berlapik-lapik kononnya ingin menjaga survival politik.
Menurut Shazni, budaya demikian tidak sihat kerana ia ibarat "anai-anai yang makan senyap-senyap".

Katanya, jika Husam merasakan presiden sudah tidak layak memimpin parti, maka beliau seharusnya mengusulkan undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Tetapi jika Husam merasakan sokongannya tidak cukup, tegas Shazni LAGI, maka Husam dan rakan-rakannya perlu meletakkan jawatan sebagai isyarat menegakkan pendirian mereka yang dirasakan betul.

Menurutnya, jika Husam masih tetap tidak bersetuju, beliau hanya ada dua pilihan - melakukan usul undi tidak percaya atau meletak jawatan.

"Jika kedua-dua ini pun Husam dan rakan-rakan tidak lakukan, sebaliknya terus bersikap seperti anai-anai yang ‘makan senyap-senyap’, lebih baik beliau bersetuju sahaja dengan presiden parti," tegasnya lagi.
Sementara itu, Husam dalam tulisan terbaru di laman Facebook miliknya petang ini sekadar menukilkan satu puisi berkaitan pesanan seorang "abang".

Bagaimana pun, tidak dapat dipastikan sama ada sajak itu adalah satu maklum balas langsung atau pun tidak kepada kenyataan Shazni.

Di antara rangkap-rangkap sajak itu adalah pesanan berhubung keikhlasan perjuangan dan perpaduan.

Beliau turut memetik satu ayat dari Surah al-Anfaal yang menyeru pada ketaatan pada Allah dan Rasul.

"Janganlah kita berpecah, Janganlah ditempuh jalan perpecahan, Nanti hilang kekuatan kita.

"Selain itu bersifat mukminahlah anda semua, Anda akan memimpin perubahan," katanya dalam tulisan itu.
-malaysiakini-

Kisah di sebalik tabir KTM

SHIRZAD LIFEBOAT  

CERITA kerugian MAS kini sudah menjadi cerita ‘koman’ dan basi. Tanpa suntikan modal tunai oleh kerajaan dan tanpa tindakan pasukan penyelamat bernama Khazanah Nasional, MAS sudah boleh dianggap lingkup.

Namun tulisan kali ini tidak bersifat analatik terhadap MAS tetapi menjurus kepada pengurusan dasar pengangkutan awam massa negara di bawah kerajaan Umno-BN sejak Merdeka.

Dan disebabkan banyak sudah diperkatakan tentang MAS baik dalam akhbar ini atau di media lain termasuk media kerajaan sendiri yang sedikit sebanyak melahirkan kesangsian dan ketidakyakinan terhadap sama ada pengurusan MAS atau cara syarikat penerbangan nasional itu diurus, maka kita ketepikan sahaja hal itu untuk seketika.

Dari langit biru kita turun ke bumi – meredah kota dan pekan, tepian tasik dan dataran, kampung dan penempatan SERTA tanah datar dan sawah terbentang – sebagaimana dialami oleh sesiapa yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api KTM.

Tidak seperti MAS, sejarah perkhidmatan kereta api bermula lama sebelum Merdeka. Buku teks sejarah memberitahu kita perkhidmatan kereta api pertama dibuka ialah pada 1885 di antara Taiping dan Kuala Sepetang (ketika itu dikenali sebagai Port Weld).

Tidak pasti sama ada kementerian bertanggungjawab ke atas sejarah berhasrat menjadikan relik mana-mana bangunan stesen kereta api Port Weld sebagai monumen nasional walaupun ia adalah mercu tanda kepada perkhidmatan kereta api negara ini.

Namun apa yang pasti pekan Kuala Sepetang hanyalah sebuah pekan perkampungan nelayan Melayu, justeru kewujudan mereka barangkali dianggap tidak begitu penting.

Mungkin ada pihak mahu bertelagah justifikasi mengekalkan nostalgia pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Demikianpun, suka atau tidak kita terpaksa akur kepada hakikat banyak peninggalan pentadbiran Inggeris yang menjadi permulaan kepada pelbagai perkhidmatan di negara ini termasuk perkhidmatan awam sendiri.

Dan suka atau tidak kita juga terpaksa akur betapa perkhidmatan keretapi di Malaysia ini adalah warisan dari pentadbiran Inggeris. Bezanya Inggeris menamakannya sempena nama bangsa Melayu iaitu Keretapi Tanah Melayu. Tapi selepas itu entah macam mana ada orang Umno-BN dalam kerajaan yang menukarkannya kepada KTM sahaja.

Bercakap tentang sejarah peninggalan Inggeris dalam bentuk perkhidmatan kereta api di negara yang pernah dijajah mereka, rata-rata ia membawa cerita keuntungan dan kejayaan tidak kira sama ada perkhidmatan berkenaan masih dimiliki oleh kerajaan mahupun telah diswastakan.

Di India misalnya, perkhidmatan kereta api yang dimulakan oleh pentadbiran Inggeris di negara itu pada 1853 kini berkembang menjadi perkhidmatan kereta api ke-4 terbesar di dunia merangkumi lebih daripada 64,000 kilometer landasan dan mengangkut lebih 7 bilion penumpang.

Di Afrika Selatan perkhidmatan kereta api dimulakan pada 1860. Kini perkhidmatan The Blue Line dari Cape Town – Johannesburg dan lain destinasi sepanjang 1,600 kilometer menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini dan dianggap sebagai kereta api termewah di dunia.

Bagaimana pula dengan Malaysia setelah mengharungi 129 tahun sejarah? Sepatutnya dengan jumlah keseluruhan landasan hanya kurang daripada 1,700 kilometer SERTA dibantu oleh ‘so-called’ tokoh korporat Melayu (kebanyakannya mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin Umno) yang kehandalan mereka bercakap tentang pengurusan perniagaan dianggap boleh mengalahkan orang seperti Donald Trump atau Bill Gates serta diperkuatkan lagi dengan iklan Kementerian Pelancongan tentang betapa keindahan di Malaysia bertaraf syurga, maka tidak logik sekiranya perkhidmatan kereta api negara kini dikenali sebagai KTM mencatatkan kerugian demi kerugian dalam penyata kewangan mereka tahun demi tahun – sama ada ketika ia dimilik oleh kerajaan mahupun kini telah diswastakan.

Begitupun oleh kerana perihal apa yang berlaku di KTM tidak mendapat liputan atau disembunyikan daripada didedahkan di media milik BN, maka ramai tidak tahu keadaan sebenar. Lagipun KTM tidak disenaraikan dalam Bursa Malaysia justeru, selain daripada destinasi dan tambang, hal lain terlalu jarang diketahui umum.

Nampaknya, walaupun ceritanya tidak se ‘koman ‘ cerita MAS, KTM sebenarnya sedang tenat. Pada 3 September lalu, dua orang daripada pemimpin kesatuan sekerja Railwaymen’s Union of Malaya (RUM), Abdul Razak Md Hassan dan R Subramaniam telah dibuang kerja dan 110 orang pekerja KTM lagi sedang menunggu giliran mereka untuk dipecat ekoran penglibatan mereka dalam piket pada 9 Mei lalu walaupun tindakan tersebut menyalahi Seksyan 4 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang antara lain menyebut pengurusan tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal kesatuan sekerja.

Lagipun apa yang dituntut mereka ialah agar semua peralatan termasuk landasan kereta api diperbaiki atau diganti bagi menjamin keselamatan penumpang dan pekerja operasi perkhidmatan KTM dan bukannya soal kenaikan gaji dan lain-lain habuan.

Menurut Razak, tindakan membuang kerja itu tidak mustahil menyangkut kepada tokoh korporat Melayu A-Z Syed Mokhtar Al-Bukhary, tuan punya KTM ketika ini.

Jika benar, maka tidak pasti apakah matlamat di sebalik tindakan itu. Mungkin ia sebagai langkah mengurangkan kos operasi sebagaimana langkah Khazanah Nasional mahu menamatkan 20,000 pekerja MAS menerusi pelan pemulihan baru mereka. Pada hemat pengurusan/pemilik KTM, penglibatan sesetengah pekerja berpiket pada 9 Mei lalu adalah alasan terbaik membuang mereka.

Tentu sekali, sebagaimana dinyatakan Abdul Razak dan Subramaniam serta mungkin ramai yang lain akan mengambil tindakan undang-undang. Sementara kes tersebut didengar di mahkamah, umum menjadi lebih maklum keadaan KTM yang sebenarnya iaitu ia merupakan sebuah lagi kisah kegagalan klasik skim kerajaan yang diterajui oleh para kroni Umno-BN.

Lima Jam Tangan Zahd Hamidi Berharga RM1.5 juta? (Gambar)

Tranungkite
Surat terbuka: Datuk Zahid benarkah nilai 5 jam tangan kamu sahaja mencecah RM1.5j ?
4 September 2014

YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Menteri Dalam Negeri.

Surat ini tidak ada kena mengena dengan tindakan angkuh YB. Datuk Seri mutaakhir ini yang bertindak dalam kes angka hasutan mahupun bertindak terhadap Pasukan Peronda Sukarela bawah Kerajaan Pulau Pinang sebaik sahaja sukarelawan tersebut selesai menyelia bantu dan menyertai Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri.

Pada 29 Ogos (Jumaat) lalu jam 1.13 ptg ketika Jalan Tun Razak sangat sesak kedengaran siren polis mengasak semua ketepi kerana ada Menteri yang menggunakan Velfire hitam dengan no daftar KDN 38 hendak lalu. Ketika itu jalan terlalu sesak tidak membenarkan kenderaan ke kiri atau ke kanan termasuk ke depan. Namun konvoi menteri tersebut angkuh ingin lalu segera sehingga pengawal peribadinya yang bermotorsikal berkuasa besar menendang dan memukul beberapa buah kenderaan termasuk kenderaan yang saya naiki. Namun sesungguhnya surat terbuka ini bukan juga berkenaan hal tersebut.

Saya difahamkan oleh teman - teman bahawa YB Datuk Seri punya koleksi kereta mewah dan cukup minat dengan motor berkuasa besar. Namun itu hanya saya dengar dan tidak tahu kesahihanya. Surat terbuka ini adalah kerana saya tertarik dengan penampilan kemas dan bergaya YB Datuk Seri khususnya koleksi jam tangan mewah bergaya yang hampir setiap kali muncul dikhalayak jam tangan berbeza digayakan.

Di teliti 5 koleksi gambar yang diperolehi 4 dari media tempatan dan 1 dari media negara jiran memperlihatkan jam mewah yang sangat bergaya. Oleh kerana minat saya cuba kenal pasti jenis jam tersebut dan dikenal pasti harganya


Setelah diteliti gambar dan jam tangan yang digunakan dikenal pasti tiap gambar tersebut YB Dr. memperagakan jam tangan mewah.
1) IWC PERPETUAL CALENDER Retail Price: USD $41,100
2) RICHARD MILLE RM011 LE MANS ROSE GOLD Retail Price: USD $120,000
3) RICHARD MILLE RM011 ASIA BOUTIQUE EXCLUSIVE Retail Price: USD$109,000
4) RICHARD MILLE RM028 DIVER ROSE GOLD Retail Price: USD$145,000
5) RICHARD MILLE RM033 EXTRA THIN Retail Price: USD$80,000

Harap YB Dr. tak tersinggung dengan surat terbuka ini. Saya mengumpulkan gambar dan menyelidik koleksi jam tangan YB Dr. kerana minat saya dan terpegun dengan koleksi jam mewah YB Dr. Harapnya saya tidak disiasat dibawah akta hasutan atau dikepung oleh gangster di stesen minyak seperti Amir Bazli Abdullah hanya kerana surat terbuka ini.

Hanya ingin bertanya benarkah benarkah model jam yang saya cuba padankan dengan yang YB Datuk Seri Dr. gayakan. Saya andaikan tak mungkin seorang Menteri menyokong usaha pemalsuan barangan dengan memakai barang tiruan. Maka jika benar modelnya maka jumlah koleksi 5 jam tangan tersebut mencecah RM1.5 juta nilainya.

Persoalanya ialah banyak wang YB Datuk Seri Dr. ya? Itu baru 5 jam tangan dan banyak lagi gambar YB Dr. muncul dengan jam tangan berbeza, saya yakin pasti ada puluhan lagi koleksi jam tangan mewah dalam koleksi, maka berapa nilai semua jam tangan sahaja? Bagaimana dibeli atau siapa yang hadiahkan? atas urusan apa hadiah jam mewah sebegitu harganya?

Ketika rakyat berkira wang syiling untuk membeli barang, adakah wajar YB Datuk Seri Dr. memiliki dan memperagakan koleksi jam tangan mewah? Itu baru jam belum diteliti lagi yang lain.

Adakah rakyat sahaja harus ubah cara hidup dan dihimpit kesusahan sedangkan pak Menteri dan keluarga terus memperagakan kemewahan.

Jika benar maka teringatlah saya dengan cerita bagaimana YB Datuk Seri menjadi panglima kepada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika awal pemecatanya dan selepas didera di dalam ISA, YB Datuk Seri telah kendur dan berpatah balik ke pangkuan Umno. Mujurtidak tahan tekanan dan berpatah balik jika tidak pasti koleksi mewah ini terlepas untuk saya nikmati diperagakan YB Datuk Seri.

Amat mengharapkan respon positif dari YB Datuk Seri atas pertanyaan saya dalam surat ini dimana saya juga merupakan peminat jam, cuma seperti marhaen biasa kami cuma ada minat tetapi hanya dapat menikmatinya dengan melihat digayakan ditangan Menteri seperti YB Datuk Seri dan keluarga
Sekian.

che'GuBard

PAS janganlah berpecah... - SELENA TAY

SELENA TAY
RAKAN-RAKAN penulis daripada masyarakat Cina telah memberitahu bahawa mereka akan menolak PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebab mereka berpendapat bahawa PAS tidak mempunyai pendirian yang teguh.

Mereka juga berpendapat bahawa pendirian PAS dalam isu kemelut Menteri Besar Selangor terlalu banyak berbolak-balik terutamanya dalam penetapan tarikh mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang telah ditunda dari 10 Ogos ke 13 Ogos dan akhirnya ditetapkan pada 17 Ogos dan ini amat merunsingkan dan mengelirukan penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat.

Penulis sempat mewawancara 20 pengundi di Selangor dan semua mereka menyatakan rasa kecewa atas tingkah-laku PAS dalam krisis ini.
Seorang daripada pengundi tersebut, seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chong telah berkata bahawa beliau kini sudah ketinggalan dari segi pemantauan berita mengenai pendirian PAS yang kerap berubah-ubah seperti cuaca.

Semua 20 pengundi itu berasa hairan mengapa masalah KeADILan dengan Menteri Besar daripada parti yang sama boleh memecahbelahkan PAS yang tiada kena-mengena dengan isu itu.

“Sepatutnya PAS janganlah berpecah-belah. Isu Menteri Besar Selangor bukannya masalah PAS. Selain itu, PAS yang sudah kata tidak mahu jawatan Menteri Besar tibatiba mengemukakan nama daripada PAS untuk jawatan tersebut walhal sepatutnya mengemukakan tiga nama daripada parti KeADILan sahaja,” sambung pemandu teksi itu lagi dalam nada suara yang menunjukkan kehairanan beliau.

Punca Masalah Dan Pemecatan Khalid adalah kerana ‘Kegilaan’ Azmin Melobi Jawatan MB - Chegubard

Chegubard vs Azmin
Kuala Lumpur: Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa kegilaan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ‘melobi’ jawatan Menteri Besar Selangor punca kepada masalah itu kini semakin bercelaru dan PKR tidak dihormati rakan sekutunya.

Dalam penulisan di blog dan Facebooknya hari ini, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard turut menyifatkan tindakan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu menyebabkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat keahliannya oleh PKR.

“Lobi Azmin yang nak jadi MB akhirnya membawa kepada episod pemecatan Khalid Ibrahim dan fasa lantikan baru dari Istana. PKR yang diperlihatkan tidak ‘solid’ kepimpinannya sudah tentu akan dipermainkan atau tidak dihormati bukan saja oleh musuh dan Istana, malah sahabat sendiri,” katanya.

Beliau berkata, situasi ini berlaku disebabkan tindakan pemimpin kanan PKR itu yang kononnya menyokong satu nama dipersembahkan kepada Istana, namun pada masa sama menghantar ‘pasukan’ untuk melobi dirinya. - SUara TV

Cara Brunei 'Mengajar' Cina

Helen Ang

Negara jiran kita Brunei tidak menerima sebahagian penduduknya yang berketurunan Cina sebagai warga. Orang Cina ini hanya diberikan taraf pemastautin tetap (PR)


Sungguhpun golongan orang Cina ini sudah generasi kedua atau ketiga lahir di Brunei, mereka masih lagi PR sahaja (bermakna tidak memegang paspot Brunei).

Brunei agak luarbiasa. Ia mempunyai sistem pemerintahan beraja di mana Sultan Brunei adalah Muslim dan Brunei ialah sebuah negara Islam yang agama rasminya Islam. Akan tetapi taburan penduduk Muslimnya sekadar 51.9 peratus sahaja, mengikut anggaran oleh Pew Research Center pada tahun 2008.

Hampir separuh (kira-kira 48 peratus) daripada penduduk di Brunei bukan Muslim kerana mereka kaum minoriti yang berstatus ‘stateless people’.

Kebanyakan penduduk bukan warga di Brunei adalah etnik Cina yang tidak mempunyai hak-hak penuh dan faedah yang dinikmati seorang warga biasa. – laporan tahun 2012 oleh badan hak asasi Freedom House

Penduduk bukan warga (stateless people) tidak dibenarkan untuk memiliki tanah di Brunei. Mereka tidak mendapat rawatan kesihatan yang dibiayai penuh oleh kesultanan kaya-raya itu. Mereka tidak layak mendapat pendidikan percuma tahap pengajian tinggi. – laporan amalan hak asasi oleh Jabatan Negeri Amerika Syarikat (24 Mei 2012).

Brunei adalah sebuah negara kecil yang jumlah penduduknya pun kecil, iaitu 390,000 orang: Melayu (67%), Cina (15%), pribumi (6%) and Lain-lain (12%).

Jumlah stateless people 21,000 orang (5.4%) dan seperti yang disebut tadi, kebanyakan mereka Cina. Kewarganegaraan tidak diberikan secara automatik.

Sesiapa yang ingin memohon untuk menjadi warga Brunei dikehendaki lulus ujian yang mana calon tersebut wajib menunjukkan bahawa dia memahami budaya dan bahasa Melayu.

Jus sanguinis

Kewarganegaraan Brunei ditentukan melalui prinsip jus sanguinis (mengikut kerakyatan ibubapa). Istilah tersebut adalah bahasa Latin dan bermaksud “right of blood” atau hak keturunan.

Talian ‘darah’ amat mustahak bagi banyak negara bangsa.

In Brunei, seorang menjadi warga mengikut operasi undang-undang sekiranya dia Melayu — merangkumi Belait, Bisaya, Dusun, Kedayan, Murut dan Melayu Tutong (sumber sini).

Pada lumrahnya, manusia mementingkan etnik.

Ambil contoh United Kingdom yang terdiri daripada Ireland Utara, Scotland, England dan Wales.

Orang British menggelar diri mereka orang Irish, orang Scot, orang English dan orang Welsh, lebih kurang macam orang Malaysia menggelar diri kita Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Kita di Malaysia berlainan agama dan berbeza warna kulit.

Orang asal Irish, Scot, English dan Welsh sama agama (Kristian) dan sama warna kulit (putih). Namun mereka masih lagi nekad untuk membeza-bezakan diri mereka.

Seorang Irish, misalan kata, enggan dikenali sebagai orang English.

Dua tahun kelak, Scotland akan mengadakan referendum untuk menentukan sama ada orang Scot mahu keluar daripada UK dan seterusnya negeri tersebut menjadi sebuah republik berdikari.

Perkembangan ini membayangkan betapa kuatnya jatidiri orang Scot, yang lebih Scot daripada British. Untuk sekian lama, gerila IRA telah berperang saudara berhasrat akan pemisahan Ireland Utara daripada Great Britain – pulau besar terdiri England, Scotland dan Wales – supaya boleh bergabung semula dengan Ireland kerana jati diri mereka ialah sebagai orang Irish.

Di serata dunia, pengenalan diri mengikut etnik adalah begitu mendalam. Contohnya orang Kurd mahu menubuhkan sebuah negara Kurdistan khusus untuk etnik mereka. Jadi kepada Cina Malaysia ataupun DAP khususnya, jangan 'macekeyo' kononnya memfitnah MALAYSIA ni tak adil dalam urusan kaum. Tanya kepada NEGARA ASAL KETURUNAN kamu sendiri, adakah mereka cukup adil dengan kaum-kaum minoriti di negara kaum asal kamu?
.....

KP FELDA lawat kelab Glasgow bersama seorang individu yang dikehendaki Interpol curi perhatian

Ketua Pengarah FELDA Datuk Faizoull Ahmad mencuri perhatian ramai apabila dilaporkan melawat sebuah kelab bola di Scotland semalam bersama seorang individu yang dilaporkan dikehendaki polis antarabangsa, Interpol.

Foto yang disiarkan oleh Tabloid Scotland, Daily Record yang dikatakan gambar Faizoull melawat kelab bola Glasgow Rangers bersama Rafat Rivzi susulan spekulasi bahawa pegawai tertinggi Felda itu dilapor antara individu yang berminat membeli kelab yang berdepan kemerosotan prestasinya.

Bagaimanapun, laporan BBC memetik seorang jurucakap kelab itu sebagai menafikan bahawa Faizoull mahu membeli kelab itu tetapi mengesahkan kehadiran Rafat, tanpa pengetahun mereka, bersama delagasi Malaysia ke kelab itu.

Rivzi, seorang warganegara UK keturunan Pakistan, pada 2010 disabitkan kesalahan kerana didakwa terlibat dalam kes penipuan bernilai ratusan juta USD tanpa kehadirannya di mahkamah di Jakarta dan dihukum 15 tahun penjara.

Ini dilaporkan berkaitan peranannya dalam kejatuhan Bank Century Indonesia, tetapi republik itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan UK.

Berdasarkan senarai individu yang dikehendaki Interpol, yang boleh diakses secara atas talian, Rafat dikehendaki kerana "rasuah, penggubahan wang dan jenayah perbankan".

Kelibat Faizoull dan Rafat yang dirakam lensa Daily Record dilapor mencetuskan kegusaran di kalangan peminat Glasgow Rangers.
-malaysiakini-

Jururawat dirogol dalam ambulans

MERSING: Seorang jururawat berdepan detik hitam selepas mendakwa dirogol di dalam ambulans oleh seorang pemandu di belakang asrama hospital di daerah ini, 4 September lalu.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi itu, mangsa berusia 31 tahun mendakwa semasa mengemas barang untuk dibawa turun dari ambulans, dia yang keletihan terlelap seketika di dalam kenderaan terbabit.

Sebelum itu, dia dan suspek SERTA seorang lagi pembantu baharu sahaja sampai dari sebuah hospital di Johor Bahru.

Bagaimanapun, sebaik sahaja sedar, mangsa mendapati ambulans sudah berada di belakang asrama hospital dan pintu kenderaan itu berkunci.

Bimbang keselamatan dirinya, mangsa cuba mencari sesuatu untuk membuka pintu ambulans terbabit, namun keadaan gelap menyukarkan usahanya.

Tanpa disedari oleh mangsa, pemandu terbabit yang berseorangan didakwa berada di dalam ambulans itu terus memperkosa dan merogolnya, walaupun dia bergelut untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Zulkepli Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Repot telah diterima dan kita sedang siasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu telah kita tangkap untuk siasatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Difahamkan lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu itu direman selama tujuh hari bermula semalam. 
-sinarharian-

Ayu Raudhah serik dipukul

Ayu Raudhah serik dipukul
Ayu Raudhah serik dipukul
KECOH seketika dunia hiburan tempatan apabila suami kepada pelakon cantik Ayu Raudhah, mula menghalang aktres itu berlakon.

Ia berikutan babak antara Ayu Raudhah dan Iqram Dinzly dalam filem terbaru mereka Lagenda Budak Setan 3: Kasyah yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Mengulas mengenai perkara itu, Ayu memberitahu, dia agak terkejut dengan respons peminat berkenaan perkara itu.

"Sebenarnya tiada apa-apa pun, Zaquan sendiri tidak menujukan kata-kata tersebut kepada sesiapa pun.

"Cuma apabila melihat saya diperlakukan sedemikian di dalam lakonan, dia tidak dapat menerimanya, itu sahaja," jelasnya.

Bagaimanapun, Ayu mengakui suaminya ada meminta agar dia lebih berhati-hati menerima sebarang tawaran lakonan selepas ini.

"Kalau adegan biasa dia tidak kisah, tetapi kalau sehingga menyebabkan lebam dan luka, dia kata tidak perlu menerimanya.

"Katanya, untuk kebaikan saya sendiri juga. Lagipun kalau saya tidak selesa dengan lakonan tersebut dan menimbulkan perbalahan dengan suami juga tidak baik," ujarnya.

Bagi pelakon Gemersik Kalbu ini, dia bagaimanapun tidak mahu isu tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan seperjuangannya. Sementelah Iqram telah meminta maaf sejak menjalani penggambaran itu lagi.

"Biasalah berlakon memang kena buat betul-betul, saya sendiri masih trauma dengan aksi pukul-memukul ini.

"Iyalah, beberapa kali babak tersebut dirakamkan semula kerana kurang berhasil, tetapi saya tetap berpuas hati kerana kesannya sungguh mengagumkan," katanya.

Selain itu, Ayu turut mendedahkan babak itu membuatkan anak sulungnya menangis menyaksikan ibunya diperlakukan sedemikian.

Memang dia trauma - Iqram Dinzly

Sementara itu, pelakon Iqram Dinzly, berharap perkara itu tidak berpanjangan lagi. Jelas Iqram, sebagai suami, Zaquan mempunyai hak berasa kurang senang melihat babak Ayu dipukul.

“Saya harap dia faham ia sekadar lakonan semata-mata dan saya memohon maaf sekiranya dia terasa hati dan marah apabila melihat adegan tersebut,” katanya.

Tambah pelakon berusia 33 tahun ini, dia faham mengapa pemain bola sepak itu memuat naik status yang meluahkan perasaannya di laman sosial Twitter miliknya berkenaan perkara itu. Malah turut membalas komen Zaquan dengan menyatakan ia hanyalah lakonan semata-mata.

“Ketika berlakon babak akhir, saya benar-benar menjiwai watak manakala Ayu pula masih trauma dan menangis. Tetapi selepas babak itu selesai, saya segera meminta maaf kepadanya,” katanya.

Menerusi filem arahan Sharad Sharan itu, Iqram memainkan peranan sebagai Shan yang terlalu menyayangi isterinya, Zahirah (Ayu).

Shan sering memukul isterinya apabila melihat mana-mana lelaki mendekatinya.
-sinarharian-