"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selamat tahun tikus Dong Zong, ke mana awak hilang?

ZF Zamir

ULASAN |
Hari ini, menjelang Tahun Tikus tiga hari lagi, bunyi-bunyi bising tentang Jawi telah hilang.

Ia hilang sejak Dr Maszlee Malik membuat pengumuman untuk memulangkan semula jawatan menteri pendidikan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 2 Januari yang lalu.

Ke mana Dong Zong menghilang?

Takut lawan Mahathir?

Jiao Zong juga hilang. Siti Kasim serta persatuan Sekat, sebuah persatuan anti-Jawi juga sudah tidak lagi kelihatan. Barangkali sudah ke Burkina Faso semuanya, mungkin.

Menarik untuk diperhatikan, mengapa bunyi-bunyi bising ini semuanya hilang? Desakan demi desakan, forum demi forum, perbincangan meja tertutup, perbincangan meja terbuka, 237 memorandum, 478 surat dan 1001 cara lagi pihak-pihak ini membuat tekanan ketika Dr Maszlee menjadi menteri pendidikan; semuanya poof, hilang ditelan angin malam yang sunyi.

Adakah kerana Dr Mahathir Mohamad telah memangku jawatan tersebut? Adakah kerana mereka tahu mereka tidak mampu melawan seorang Dr Mahathir? Atau apakah sebab sebenarnya mengapa bunyi-bunyi bising yang telah memecahbelahkan masyarakat kita selama beberapa bulan kebelakangan ini – hilang semuanya?

Jawi datang dari BN

Menarik juga untuk diperingatkan bahawa, isu Jawi ini sebenarnya datang dari zaman BN.

Pada tahun 2014, Semakan Semula Kurikulum Sekolah Rendah untuk memperkukuh Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan. Salah satu item yang disemak adalah mengenai pengenalan tulisan khat terhadap Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Semakan semula ini adalah perkara normal untuk setiap lima dan 10 tahun, ketika satu-satu pusingan kurikulum baharu itu telah matang dan telah diuji keberkesanannya. Jadi untuk kurikulum baharu menjelang tahun 2020, semakan semula haruslah bermula pada tahun 2014. Ini adalah kerana semakan semula ini akan melibatkan banyak pihak dan masa yang panjang.

Kronologi semakan semula ini telah pun diterangkan di dalam poster seperti di laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini. Ia merangkumi;

(i) sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pakar pendidikan pada 2014;
(ii) dibentangkan dan diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015; (iii) proses perangkaan KSSR termasuk penyediaan Dokumen Standard Pembelajaran & Pentaksiran (DSKP) pada 2017 dan akhirnya;
(iv) disusuli dengan pelaksanaan pada tahun 2020.

Defisit kepercayaan antara kaum

Jadi semua cakap-cakap yang menyalahkan Dr Maszlee Malik kerana memperkenalkan tulisan Jawi terhadap SJK Cina & Tamil ini adalah salah sama sekali. Kerana Jawi atau isu khat ini datang dari BN. Ia adalah hasil dan produk dari sistem pendidikan yang ditentukan oleh orang pakar, termasuk pakar pendidikan dan pakar kurikulum.

Malangnya saya yakin, Dong Zong, Jiao Zong dan rakan kaki “bakar line” dan kaki perhangat mereka seperti akhbar Sin Chew semuanya tahu perkara ini. Semuanya telah diterangkan di dalam kenyataan media KPM pada 14 Ogos 2019. Kenyataan media tersebut menjelaskan antara lain; i) keputusan kabinet untuk memendekkan pengajaran daripada enam muka surat kepada hanya kepada tiga muka surat serta, ii) diperkenalkan secara pilihan iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dibenarkan membuat keputusan bagi pihak sekolah untuk meneruskan pengajaran ataupun tidak.

Inilah buat pertama kalinya, PIBG diberi kuasa untuk menentukan kurikulum sekolah dalam sejarah Malaysia sejak merdeka. Malangnya ia menunjukkan betapa besar defisit kepercayaan antara kaum di dalam negara ini.

Sistem galakkan jurang peluang

Defisit kepercayaan yang digambarkan oleh Dong Zong terhadap negara ini sebenarnya adalah simptom kepada penyakit lebih besar yang sedang kita semua alami hari ini.

Selama 60 tahun, masyarakat kita dipisah-pisah dan dipecah-perintah gaya British. Sejak dari kecil, anak-anak kita dibahagikan mengikut etnik dan bangsa mereka. Jadi kerangka cara berfikir kita masih terlingkup dalam kepompong pemikiran perkauman.

Masyarakat Cina mempunyai set pemikiran mereka yang tersendiri, masyarakat Melayu juga sama. Begitu juga set-set pemikiran oleh kaum yang lain. Kesannya, penyakit yang sedang kita hadapi hari ini tidak lagi dapat diubati kerana selama berpuluh tahun, tidak pernah wujud kemahuan politik (political will) untuk memberi ubat dan menyembuhkannya.

Sistem yang rancu dan pelbagai ini terbias kepada pembinaan negara bangsa dan masyarakat kita hari ini. Anak-anak bangsa Melayu tidak mengenali anak-anak bangsa Cina, bangsa India dan bangsa lainnya kerana sejak dari kecil mereka tidak didedahkan antara satu sama lain.

Sehingga sampai satu masa, masing-masing hilang kepercayaan terhadap satu sama lain walaupun duduk, makan, berjual beli dan bermasyarakat di atas padang yang sama.

Dua sistem vs satu sistem nasional

Lebih parah untuk penyakit yang sudah 60 tahun tidak diubati ini, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), terdapat segolongan kaum yang merasakan sudah sampai masa untuk mereka meminta lebih dari yang sepatutnya mereka dapatkan pada hari ini.

Golongan ini mahukan kemasukan ke universiti disama-ratakan. Mereka mahu kemasukan ke program matrikulasi dibuka kepada mereka. Mereka menuntut pelbagai jenis tuntutan lagi seolah-olah kerajaan PH memang kerajaan ‘sepenggal’, yang mustahil akan menang pada pilihan raya umum ke-15 nanti.

Sikap rakus, gelojoh, tak sabar dan penting diri ini kemudiannya menimbulkan rasa tidak senang kepada sebahagian besar warga masyarakat yang lain pula. Hukum kausaliti, ‘sebab-akibat’ ini menyebabkan wujudnya tindak balas yang kemudiannya menyebabkan kita pada hari ini berada dalam keadaan sangat tidak selesa.

Hari ini, isu perkauman semakin meruncing dan memuncak.

Ternyata, keupayaan bijak berpersatuan seperti Dong Zong rupa-rupanya digunakan untuk memperpanjang penyakit yang kita telah warisi selama ini.

Jurang peluang, jurang gender & jurang kemahiran

Hampir 20 bulan yang lalu saya pernah menulis data-data yang menakutkan ini. Berdasarkan laporan Unesco, sehingga 2016 seramai 32,563 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tak bersekolah. Seramai 196,159 orang berusia 12 tahun ke atas tak bersekolah. Kadar pendaftaran kasar untuk pendidikan prasekolah pula hanyalah 80.03 peratus saja. Hampir 19.97 peratus anak kecil berusia enam tahun tidak ke tadika atau institusi prasekolah.

Walaupun pendaftaran pendidikan rendah sekitar 98.91 peratus, pendaftaran pendidikan menengah pula jatuh teruk pada kadar 73.8 peratus. Menurut laporan ini juga, hanya sekitar 91.99 peratus anak saja yang berjaya bertahan di sekolah rendah dan meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

Ini bermakna terdapat hampir 26.2 peratus anak sekolah rendah yang tak mendaftar untuk menyambung pengajian di sekolah menengah.

Menurut statistik kanak-kanak oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula mencatatkan hanya 96.1 peratus saja menamatkan pendidikan rendah dan beralih ke pendidikan menengah 2016 serta hanya 96.4 peratus menamatkan pendidikan menengah rendah dan beralih ke menengah atas 2016.

Ini bermakna hampir 3.9 peratus anak sekolah rendah tercicir dan tidak mendaftar di tingkatan satu serta hampir 3.6 peratus anak tingkatan tiga pula tercicir dan tidak menyambung pendidikan di tingkatan empat.

Anti-Jawi atau antiperpaduan?

Saya fikir begini. Jika kita telah meneliti dan mengenal pasti apakah penyakit yang sedang kita hadapi dan simptom-simptom yang sedang kita rasai; haruslah juga kita mengenal pasti ubat-ubatan yang perlu dipreskripsikan.

Antaranya tentulah, apakah kita benar-benar mahukan dua sistem pendidikan nasional atau sebenarnya kita hanya perlukan satu sistem tunggal sahaja?

Apakah sistem pendidikan kita membina jurang peluang atau memperbaiki jurang sedia ada?

Adakah kita boleh membulatkan tekad politik untuk melaksanakan pemisahan antara pendidikan dan politik?

Semua data-data di atas mungkin tak penting buat Dong Zong dan teman-teman mereka. Yang lebih penting mungkin anti-Jawi, anti-Melayu, anti-Islam atau sebenarnya antiperpaduan.

Ah, kata Puthut EA, penulis Cinta Tak Pernah Tepat Waktu dari seberang;

“Selebihnya, aku berpikir bahwa masyarakat terlalu pengecut. Membiarkan semua kebobrokan ini terjadi dan mereka diam saja. Hanya mencatat di pikiran. Hanya membatin. Marah dalam diam. Akhirnya banyak yang kena penyakit strok, asam lambung, dan sakit gigi.”

ZF ZAMIR adalah mantan setiausaha akhbar kepada menteri pendidikan Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Pemberian ‘bonus’ RM50,000 kepada MB, exco Kelantan tak masuk akal

SITI NUR ZAWANI MISCON
Belum reda isu pembelian Mercedes Benz yang mendapat pelbagai kritikan termasuk kritikan dari AMANAH Kelantan yang menempelak Pas telah melukakan hati rakyat, Exco kerajaan negeri itu kini mula dipersoalkan dengan isu ‘bonus’ RM50,000.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengakui terkejut dengan pemberian khas berkenaan yang didakwanya sebagai tidak munasabah ketika negeri itu sendiri berada dalam kedudukan negeri termiskin dalam negara.

Mahfuz turut mempersoalkan rasional jawapan balas Timbalan Menteri Besar yang mendakwa ‘bonus’ tersebut diberikan berdasarkan pendapatan kerajaan negeri yang tinggi.

“Bagi saya sudah beberapa kali mereka mendapat pemberian yang begitu tinggi iaitu yang terbaru sebanyak RM400 juta. Tahun lalu, mereka sendiri memohon bantuan daripada kerajaan pusat untuk menampung gaji kepada kakitangan awam termasuk membayar gaji mereka.

“Jadi macam mana dikatakan pemberian tersebut berasaskan pendapatan negeri yang tinggi, sedangkan pencapaian pendapatan itu hasilnya daripada pemberian kerajaan pusat?

“Bagi saya bahawa itu satu benda mengarut yang tak masuk akal diberikan kepada exco kerajaan negeri sedangkan kakitangan awam diberikan RM1,000 sebagai satu pemberian khas,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pemberian khas itu dipersoalkan oleh kerana perbezaan ketara antara pegawai dan kakitangan negeri itu yang menerima bayaran tambahan RM500, menjadikan keseluruhan RM1,000 seorang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu turut memberi bayangan kerosakan yang bakal berlaku sekiranya pimpinan parti itu diberikan peluang mentadbir negara dengan jumlah pendapatan negara yang tentunya lebih tinggi daripada pendapatan negeri.

Tambahnya lagi, tindakan itu secara tak langsung bukan sahaja telah melukakan hati rakyat, bahkan turut ‘meremuk redamkan’ hati mereka yang masih dibebani dengan kos sara hidup.

“Bagi saya ini satu yang tidak munasabah sedangkan masyarakat yang sepatutnya manfaatkan duit tersebut untuk menjana ekonomi pendapatan rakyat.

“Isu Mercedes telah melukakan hati rakyat dan bagi saya pemberian dengan jumlah besar itu meremuk redamkan lagi hati mereka. Hati rakyat yang tak terubat lagi diparahkan dengan isu seperti ini.

“Ini menggambarkan sikap mereka yang langsung tak memahami denyut nadi rakyat. Saya cuba bayangkan apakah ini gambaran negeri yang bertemakan membangun bersama Islam. Inilah dia politik yang memperdagangkan agama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Hari ini, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melalui laporan Malaysiakini berkata, ia bukanlah bonus sebagaimana yang diperkatakan, namun hanyalah pemberian khas

Beliau turut menafikan wang tersebut berkait dengan peruntukan khas oleh kerajaan Persekutuan berjumlah RM400 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Dr M sudah tetapkan garis masa peralihan kuasa - Guan Eng

Annabelle Lee

Dr Mahathir Mohamad telah menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar di Putrajaya malam ini, beliau berkata majlis presiden PH akan membuat keputusan dan mengumumkan tarikh penyerahan kuasa pada masa yang "sesuai".

"Perdana Menteri telah menetapkan garis masa. Semestinya, majlis presiden PH akan bermesyuarat.

"Saya pasti tarikh akan ditetapkan dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai," katanya.

Majlis presiden PH terdiri daripada pemimpin tertinggi dari Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

MB, exco Kelantan terima 'pemberian khas' RM50,000 seorang

N Faizal Ghazali

Selain pembelian 14 buah Mercedes Benz sebagai kereta rasmi, barisan exco kerajaan Kelantan juga dikatakan menikmati ‘bonus’ berjumlah RM50,000 setiap seorang.

Sumber berkata, pemberian sejumlah dana itu itu diterima minggu kedua bulan ini, bersekali dengan bonus tambahan yang diterima kakitangan kerajaan negeri.

“Adalah tidak wajar kakitangan negeri mendapat bonus RM1,000 sahaja sedangkan pimpinan negeri membabitkan belasan individu menerima sehingga RM50,000.

"Malah pemberian RM50,000 kepada pimpinan tertingi negeri itu tidak diumumkan sebagaimana pengumuman bonus tambahan, namun orang dalam semua tahu dan agak kecewa.

"Mereka (kerajaan negeri) menguar-uarkan konsep berjimat dalam pentadbiran negeri, sedangkan mereka sendiri menerima bonus RM50,000 seorang," katanya yang enggan namanya disiarkan media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Menurut sumber terbabit, dana tersebut diterima pimpinan negeri termasuk menteri besar dan timbalannya serta barisan exco.

Baca 14 Merc lukakan hati rakyat Kelantan - Husam

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah ketika ditemui mengesahkan pimpinan kerajaan negeri menerima dana RM50,000 berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, wang tersebut bukan bonus sebalik sebagai pemberian khas.

"Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam. Ini adalah pemberian khas susulan pencapaian pendapatan kerajaan negeri.

"Malah, duit pemberian khas ini juga tiada kaitan dengan peruntukan khas oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM400 juta sebelum ini.

"Ia melibatkan exco dan menteri besar yang menerima pemberian khas ini. Bukannya selalu, cuma tahun ini paling banyak dan tahun depan mungkin tiada," jelasnya.

Panas!!! Susunan politik baru sedang dibentuk di Putrajaya?

FMT
KUALA LUMPUR: Pengaturan semula lanskap politik Malaysia secara besar-besaran, yang boleh mengangkat PAS ke kuasa persekutuan, mungkin sedang dirancang berikutan kemerosotan sokongan kepada pentadbiran 20 bulan Pakatan Harapan, FMT difahamkan.

Susunan baru itu, menjajarkan kumpulan-kumpulan politik yang bersepakat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung, akan mempunyai kesan buruk bagi DAP dan Anwar Ibrahim.

“Mahathir menunjukkan percaturan politik yang mantap bagi menggagalkan pertelingkahan dalaman PH dan persepsi buruk masyarakat terhadap kerajaannya,” kata sumber yang arif dengan rancangan-rancangan licik di Putrajaya kepada FMT.

Perkembangan ini disebalik jangkaan bahawa akan ada menteri dan timbalan menteri melepaskan jawatan secara sukarela, susulan peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendirikan pada 2 Jan.

Seorang pemberi maklumat yang bercakap dengan FMT menamakan seorang lagi menteri dari parti Mahathir, PPBM akan mengumumkan peletakan jawatan.

Dipercayai menteri itu mengetuai salah satu daripada 3 kementerian yang pada penilaian Mahathir menunjukkan prestasi yang lemah.

Pimpinan parti secara peribadi bercakap tentang kebarangkalian rombakan Kabinet selepas Tahun Baru Cina, khabar angin yang menyebabkan kerisauan dalam kalangan menteri.

Tetapi seorang ahli Parlimen pemerintah memberitahu FMT bahawa kekalahan Warisan pada pilihan raya kecil Kimanis pada Sabtu akan mendorong perdana menteri mempercepat penyusunan semula Kabinet.

Sebarang rombakan Kabinet akan menjadi yang pertama di era pasca-BN.

“Ramai menteri bekerja hingga lewat malam pada minggu-minggu terakhir 2019 bersama pereka grafik masing-masing untuk menyediakan laporan kementerian yang indah-indah, menyenaraikan pencapaian masing-masing sejak memegang jawatan pada 2018,” kata wakil rakyat itu.

“Menteri-menteri tiada pilihan selain menulis mereka sudah melakukan yang terbaik dengan harapan Mahathir tidak akan menyingkir mereka.”

Susunan baru?

Namun perhatian tertumpu kepada kemungkinan kebangkitan semula PAS, terutama kebarangkalian parti Islam itu diberi peranan dalam kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam 4 dekad, menurut sumber.

Penjajaran PPBM dan PAS oleh Mahathir mungkin akan memunahkan harapan DAP untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan PH, tetapi pasti akan menghalang cita-cita Anwar, presiden PKR yang mahu menjadi perdana menteri.

PAS pernah menjadi sekutu penting bagi Anwar, dan sokongan parti Islam itu membolehkan beliau mengharungi masa-masa yang genting selepas pertikaiannya dengan Mahathir pada 1998.

Susunan baru Mahathir-PAS itu akan menarik sebahagian sokongan orang Melayu-Islam yang beliau perlukan untuk menuntut tampuk pemerintahan.

“Impian itu kini semakin sukar dicapai,” kata sumber FMT.

PAS meninggalkan kerajaan perpaduan Barisan Nasional pada 1977, dan selama beberapa dekad menjana sokongan secara bijak di nusa teras Melayu ketika ia menjadi mangsa kepada dasar-dasar Mahathir di awal-awal pemerintahannya.

Bagaimanapun, parti Islam itu mengisytiharkan sokongan padu kepada Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan PH, berikrar akan menyokongnya kekal di jawatan itu sepenuh penggal (2018-2023) menghadapi suatu persefahaman di mana Anwar akan mengambil alih sebelum pilihan raya umum akan datang.

Kebangkitan semula parti itu sebagai kuasa di peringkat persekutuan akan menjadi pukulan mati buat DAP, pengkritik terkuat dasar-dasar Islam parti itu ketika bersekutu dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun berpisah, Mohamad Sabu dan Hadi Awang berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan pada dunia Islam. (Gambar Bernama)
Konflik antara pendirian sekular DAP dan dasar-dasar Islam Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015, dan kemunculan Parti Amanah Negara, ditubuhkan oleh kumpulan serpihan golongan “progresif” dalam PAS, diketuai Mohamad Sabu, yang dilihat bersekutu dengan DAP.

Tetapi kesan daripada susunan baru itu tidak akan beri impak besar pada Amanah, kata pemerhati politik. Kedua-dua parti itu berkongsi “DNA”, dan pemimpin mereka, Mat Sabu dan Hadi, “saling bersetuju dalam banyak isu Islam dan cuma tidak sependapat dalam isu politik dalam negara,” kata pemerhati.

Rundingan sulit

Menteri Besar Terengganu, Samsuri Mokhtar.
Spekulasi mengenai susunan baru itu dicetuskan oleh pertemuan antara Hadi dan bekas pembantunya, Ahmad Samsuri Mokhtar, kini menteri besar Terengganu.

Pada minggu yang sama, laman Facebook Hadi memuatnaik gambar-gambar memaparkan pertemuan beliau dan delegasi pimpinan kanan PAS dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada 8 Jan.

Seorang penyokong setia perdana menteri juga mengatur pertemuan Hadi dengan Mahathir, FMT difahamkan.

Hadi dipercayai berada di Kuala Lumpur selama beberapa minggu untuk perbincangan dengan pemimpin-pemimpin partinya, serta mengurangkan kebimbangan Umno – rakan kongsi baru PAS – mengenai perbincangannya dengan Mahathir.

Pemimpin PAS bergambar dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 8 Jan 2020. (Gambar Facebook)
“Beliau hanya pulang ke Terengganu untuk kuliah mingguan di Rusila,” kata seorang sumber, merujuk kepada kuliah dhuha yang disampaikan Hadi di Marang.

Kumpulan dalaman Hadi dan Samsuri kunci mulut apabila dimaklumkan FMT ada butiran perbincangan Hadi dengan Mahathir.

Setiausaha politik Samsuri, Muhyiddin Abd Rashid, enggan mengulas. “Anda perlu tanya Dr Sam sendiri,” katanya.

Yang lain-lain kata mereka tidak sedar ada sebarang langkah, atau “belum lagi”, menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Beliau melihat pakatan antara PAS dan Mahathir secara positif.

“Tak jadi masalah kalau ia memanfaatkan rakyat dan negara. Tetapi setakat ini, perbincangan tertutup itu tiada kaitan dengan sebarang pakatan politik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata PAS sentiasa terbuka dalam sokongannya kepada Mahathir untuk kekal berkuasa sepenuh penggal.

“Itulah pendirian presiden kami dari hari pertama,” katanya. “Dalam apa jua keadaan, parti kami dan presiden akan menyokong perdana menteri semasa, sehingga jika ada undi tidak percaya, kita akan sokong Mahathir sehingga penggal tamat.”

Seteru lama bertemu

Pakatan antara PAS dan Mahathir akan dianggap bersejarah sepertimana beliau bergabung dengan sekutu lama, Lim Kit Siang dari DAP, untuk menubuhkan Pakatan Harapan pada 2017.

Mahathir menjadi sasaran PAS kerana menentang cita-cita negara Islam parti itu. Mahathir selalu mengkritik Hadi sebelum ini.

Mahathir juga ada sejarah menekan pimpinan parti itu.

Apabila Hadi menjadi menteri besar Terengganu selepas PAS menang di negeri itu pada pilihan raya 1999, Mahathir dengan segera menyekat royalti minyak persekutuan, talian hayat untuk kerajaan negeri. Sebaliknya, “bayaran ehsan” pula dibuat, dibayar menerusi ketua-ketua jawatankuasa kampung berkaitan Umno.

Mereka saling bermusuhan dan menjelang pilihan raya umum 2018, Hadi menepis pelawaan Mahathir untuk berdamai dengan PAS.

“Kesediaan Mahathir untuk bertemu Hadi bila masa beliau menghubunginya di Putrajaya merupakan bab baru dalam hubungan mereka,” kata seseorang yang pernah bekerja rapat dengan pemimpin PAS itu.

Dari segi politik, pemulihan hubungan antara 2 pemimpin itu boleh difahami, katanya lagi.

“Mereka berdua tahu apa yang mereka saling boleh tawarkan.”

Bagi Mahathir, ia mengakui kawalan PAS ke atas blok undi Melayu yang strategik di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung.

Parti itu menang 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN pada 2018, meskipun menolak PH di kemuncak populariti gabungan itu.

Parti itu juga merampas Terengganu dari BN, disamping bertahan di Kelantan, dan meraih sokongan di Kedah dan Pahang.

Mencongak kerusi

Walaupun Mahathir mengetuai PH, PKR dan DAP yang mengawal sebahagian besar 129 kerusi gabungan itu di Parlimen.

PPBM hanya ada 26 kerusi, manakala PKR ada 50 kerusi dan DAP 42, dan Amanah 11. Sebanyak 10 lagi kerusi milik sekutu PH di Sabah: Warisan (9) dan Upko (1).

Dengan 18 kerusi PAS, pakatan Mahathir dan PAS akan ada 44 kerusi, atau 55 jika Amanah bersama mereka.

Ini belum mengambil kira penyokong-penyokong Mahathir yang terpendam dalam blok pembangkang lain, iaitu BN (41 termasuk 38 daripada Umno), dan Gabungan Parti Sarawak (18).

Laporan tambahan oleh Minderjeet Kaur, Robin Augustin dan Raja Faiz Zainuddin.

Saifuddin Nasution nasihatkan Zuraida supaya tenang

Faisal Asyraf

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menasihatkan Zuraida Kamaruddin supaya tenang dan “tumpu” dalam menjawab pertuduhan dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin parti itu kepadanya baru-baru ini.

“Kepada YB Zuraida, saya syorkan pada beliau untuk tumpu jawab butiran pertuduhan (dalam surat tunjuk sebab) yang telah dihantar kepada beliau oleh lembaga disiplin.

“Semoleknya tak payah ada prasangaka lain. Langkah paling wajar, bila nanti ditetapkan masanya, beliau tambil beri penjelasan...

“Tak payah rasa ada pengaruh sana, ada pengaruh sini. Fokus pada pertuduhan, katanya kepada wartawan ketika di temui di Kuala Lumpur, hari ini.

Saifuddin diminta mengulas kenyataan ahli parlimen Ampang itu yang menyebut kemungkinan pengaruh kepimpinan parti terhadap keputusan terhadapnya.

Semalam, naib presiden PKR itu berkata beliau akan menjawap surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida juga memberi bayangan bahawa surat tunjuk sebab itu ada kaitan dengan ucapan berapi yang dibuatnya pada majlis makan malam di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tahun lalu.

Majlis itu mengumpulkan kira-kira 2,000 penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata jika penjelasan Zuraida adalah munasabah, jawatankuasa tatatertib akan menilai dan membuat cadangan kepada majlis kepimpinan pusat.

“Berikan tumpuan sepenuhnya jawap tuduhan itu, kalau penjelasan dianggap munasabah, ia akan dinilai jawatankuasa disiplin, dan mereka akan angkat syor pada MPP (Majlis Pimpinan Pusat PKR) dan MPP akan muktamadkan keputusannya.

“YB diberi masa untuk jawab segala pertuduhan. Saya syorkan beliau tenang dalam menghadapi keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada Azmin juga akan menerima surat tunjuk sebab yang sama, Saifuddin berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Saya tak ada maklumat, yang saya sebut pada beliau dua hari lepas, yang mana dilaporkan oleh (pengerusi lembaga disiplin PKR) Ahmad Kassim.

“Sebagai setiausaha agung, saya minta diberitahu kepada media apa yang dibentangkan,” katanya.