"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

SU Politik Azmin sangkal tuduhan Rafizi

N Faizal Ghazali 
Setiausaha Politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham menyangkal dakwaan Rafizi Ramli bahawa menteri hal ehwal ekonomi itu pernah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak bertanding jawatan presiden pada pemilihan PKR tahun ini.

Berucap dalam program Reformasi 20 tahun di Kota Bharu semalam, Rafizi mendakwa ia bagi memberi laluan kepada Azmin sendiri untuk memimpin parti itu.

Menjawab dakwaan itu, Hilman berkata Azmin sememangnya ke Turki ketika Anwar menjalani pembedahan baru-baru ini tetapi ia atas arahan Anwar sendiri.

"Tiada siapa yang dibenarkan berjumpa Anwar semasa dan selepas pembedahan kecuali ahli keluarga. Selain itu hanya Azmin yang dibenarkan berjumpa.

"Jika Azmin yang beria-ria mahu berjumpa Anwar (untuk memintanya tidak bertanding), tentulah Anwar tak akan izinkan dia untuk menemuinya...Apa yang dikatakan Rafizi itu mustahil," kata Hilman (tiga dari kiri) ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Rafizi mengecam Azmin kerana sanggup berbuat demikian ketika Anwar dalam proses pembedahan.

"Dia pergi ke Tukri untuk jumpa Anwar sendiri. Anwar tengah nak menjalani pembedahan dia boleh pergi jumpa dan kata, Datuk Seri (Anwar) tak payah bertandinglah biar saya jadi presiden parti.

"Kalau cerita ini tak betul saya tidak sebut," katanya dalam program itu yang merupakan sebahagian daripada kempen pemilihan kem "Reformasi 20 tahun" yang diketuainya.

Rafizi berkata beliau mendedahkan cerita itu bagi menjawab tohmahan segelintir pihak termasuk pemimpin PKR terhadap mereka yang mempersoalkan kesetiaan Azmin kepada Anwar.

Selain Rafizi, Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hadi juga menyerang Azmin sebelum ini yang menurutnya terlibat dalam komplot Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Hilman yang juga ADUN Gombak Setia meminta Rafizi tidak lagi menggunakan nama pemimpin dan mengadu-domba dalam kempennya.

"Sebagai calon timbalan presiden beliau patut berdiri atas kaki sendiri dan mengemukakan tawarannya kepada anggota. Tak perlu petik nama pimpinan.

"Ia tak akan menjadikan PKR sebagai parti yang kuat selepas pemilihan nanti," katanya lagi.

Remaja 14 tahun dirogol, dibunuh orang gaji

MEERUT - INDIA. Satu lagi kes rogol dan bunuh menggemparkan dan mencetuskan kemarahan orang ramai di negeri Uttar Pradesh.

Kali ini, seorang gadis berusia 14 tahun diperlakukan secara kejam oleh dua lelaki yang bekerja sebagai orang gaji kepada keluarga mangsa.

Adik lelaki mangsa yang berusia 10 tahun turut diserang dengan pisau dan keadaanya dilaporkan kritikal.

Pada mulanya, polis mengesyaki serangan itu disebabkan rompakan, namun adik mangsa yang terlantar di katil hospital sempat menulis nota bagi menceritakan keadaan sebenar.

Susulan itu, polis menahan seorang tertuduh manakala tertuduh kedua telah melarikan diri.

Jenayah itu berlaku di bandar Hapur pada Rabu ketika dua beradik itu dibawah jagaan tertuduh, dikenal pasti sebagai Ankur dan Sanni.

Ankur telah bekerja dengan keluarga mangsa selama tujuh tahun, manakala Sanni diambil bekerja kira-kira empat tahun lalu.

Ketika kejadian, bapa dan ibu mangsa tiada dirumah kerana berada di luar daerah.

Siasatan polis mendapati, kedua-dua tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa ketika berseorangan, adik lelakinya yang kebetulan berada di tempat kejadian dan menyaksikan serangan itu turut dikelar di leher.

"Panik dengan keadaan itu, kedua-dua tertuduh bertindak menyelerakkan rumah seolah-olah berlaku rompakan.

"Namun, adik lelaki mangsa yang nyawa-nyawa ikan berjaya memberi petunjuk kepada polis sehingga jenayah sebenar terbongkar," kata Ketua Polis Hapur, Superintendan Sankalp Sharma.

Katanya lagi, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa bergelut dengan tertuduh sebelum dibunuh.

Sementara itu, pegawai penyiasat Inspektor Ram Kumar berjanji kepada keluarga mangsa bahawa tertuduh kedua bakal dicekup tidak lama lagi. - Times of India.

PKR kosongkan kerusi untuk Anwar minggu depan

N Faizal Ghazali
Satu kerusi parlimen yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum lalu akan dikosongkan pada minggu depan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

Perkara itu diumumkan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sambil menegaskan bekas timbalan perdana menteri itu akan kembali ke parlimen dalam masa terdekat.

"Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.

"Minggu depan Insya-Allah satu kerusi dikosongkan dan insya-Allah Anwar Ibrahim akan kembali ke parlimen," katanya ketika berceramah di program #Reformasi20Tahun di Kota Bharu, malam tadi.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau tidak kisah dengan segelintir anggota parlimen partinya yang tidak mahu memberi laluan untuk Anwar kembali ke parlimen kerana masih ramai yang sudi.

Bekas anggota parlimen Pandan itu berkata, jika pemimpin seperti penyandang Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali enggan memberi laluan ia tidak menjadi masalah.

"Zuraida tak nak bagi (kerusi) tak apa, Azmin tak nak bagi tak apa. Ramai lagi orang lain yang sanggup beri laluan," katanya.

Tambah Rafizi, pihak mempunyai dua kepentingan yang perlu diutamakan dalam agenda PKR iaitu menjadikan Anwar sebagai presiden parti dan anggota parlimen serta perdana menteri kelapan.

"Kami duduk berbincang dengan Anwar, datuk seri jangan ambil mudah. Ingat orang luar dan dalam akan bagi ruang. Tidak cukup jadi ketua umum.

"Kita susun yang pertama pertandingan dan pemilihan kali ini Anwar jadi presiden parti," katanya.

10 makanan seludup pilihan kaki wayang Malaysia

Butterkicap Team
Kaki wayang di Malaysia cukup pandai dalam membuat aksi-aksi ala-ala Ethan Hunt dalam Mission Impossible khususnya, menyeludup makanan luar yang ‘diharamkan’ oleh pihak pawagam kerana bertih jagung dan air berkarbonat tidak cukup untuk menghilangkan gian kunyah semasa menonton filem kegemaran anda.

Jadi, apakah antara makanan seludup pilihan kaki wayang ini? Adakah mereka lebih suka membawa makanan berat seperti nasi lemak mahupun burger atau lebih sukakan makanan ringan seperti keropok? Jawapan pada persoalan anda itu kami senaraikan di bawah:

1. Samosa

Bagi peminat filem Hindi, anda pasti akan berasa sangat lapar sepanjang 3 jam penuh drama, tangisan, lagu dan tarian. Popcorn saiz besar yang anda beli pun rasa tak cukup untuk menghilangkan rasa lapar yang menggigit perut.

Daripada hilang fokus untuk menghayati drama hindi yang sedang ditayangkan di depan anda, gigitlah beberapa ketul samosa ayam atau daging sambil berangan-angan menari keliling pokok dengan kekasih anda.

Ingat, bawa bekas ya untuk serdak-serdak samosa itu. Janganlah buat kerja jahat dan tinggalkan bukti pula!

2. Cekodok

Bagi mereka yang lapar semasa menonton wayang tapi tidak mahu makan sesuatu sehingga menjadi terlalu kenyang, anda pasti memilih untuk menyeludup snek-snek ringan seperti cekodok untuk dijamah sebagai kudapan.

Rasa pisang cekodok yang enak ditambah pula keasyikan mengunyah pasti membuatkan masa berlalu dengan pantas sehingga anda tidak sedar anda sedang menggigit jari anda.

3. Keropok Lekor

Makanan seterusnya yang selalu diseludup oleh kaki wayang ialah snek kegemaran ramai ketika menonton televisyen di rumah. Rasa keropok lekor yang liat-liat rangup ini cukup sesuai untuk anda melepaskan gian menggigit semasa melihat babak cemas atau suspens dalam filem yang ditayangkan.

4. Pisang Goreng

Antara snek seludup terbaik pilihan kaki wayang ialah pisang goreng yang rangup. Pisang goreng merupakan salah satu makanan seludup di pawagam kerana mudah dibawa, tidak berbau dan yang paling penting, boleh disembunyikan dengan mudah di dalam beg teman wanita anda.

Namun begitu, pastikan anda makan pisang goreng dengan mulut tertutup supaya tak mengganggu orang lain yang menonton filem bersama-sama dengan anda. Sudahlah tak beretika, tak senonoh pula itu!

5. Cucur Udang

Seperti cekodok, cucur udang disukai kaki wayang kerana tekstur cucur yang lembut dan panas membuatkan anda terasa seperti menonton wayang di rumah dan bukannya di panggung wayang. Kalau itulah suasana yang anda inginkan ketika keluar menonton filem, muat turun saja filem tersebut di rumah dan makanlah cucur udang anda di sana.

Kenapa? Kalau anda tidak bawa tisu, tangan anda yang berminyak akan meninggalkan kesan yang pasti membuatkan pengguna seterusnya berasa marah dan geram dengan anda.

6. Buah Potong

Jika anda sedang berdiet dan ingin mengurangkan berat badan anda, snek pilihan anda pastilah buah-buahan potong. Hilanglah sedikit rasa dahaga anda dek letusan jus semula jadi buah yang anda kunyah itu.

Kalau dah tahu nak buat kerja jahat, janganlah pula pilih buah-buahan berjus seperti tembikai untuk dimakan. Anda mungkin rasa kenyang, tapi kesan melekit yang anda tinggalkan tidak akan dihargai oleh pencuci mahupun individu yang duduk di tempat anda.

7. Sushi

Bagi golongan pencinta makanan Jepun, anda pasti tidak dapat berhenti makan sushi walau sesaat sekalipun termasuklah ketika menonton wayang. Oleh sebab itulah ada di antara anda yang memilih untuk membawa sushi masuk ke dalam panggung.

Ya, mungkin anda berfikir sushi makanan yang tidak mengotorkan tangan anda mahupun panggung tetapi bau ikan mentah yang datang dari sushi anda itu mungkin mengganggu konsentrasi pengunjung lain yang alah dengan ikan ataupun lapar.

8. Donat

Peminat makanan manis pasti sukakan makanan seludup ini. Donat yang berkrim dan enak tidak rangup sehingga mengganggu orang lain apabila anda menggigit donat yang dibawa tetapi ingat, krim yang ada di atas atau di dalam donat yang anda bawa itu.

Jangan terlalu asyik menonton filem sampai habis krim donat itu tercalit pada orang sebelah dan kerusi anda. Kalau anda membawa donat bergula, ingatlah untuk bawa bekas. Tiada sesiapa yang suka tikus merayap di kaki semasa mereka menonton wayang.

9. Takoyaki

Takoyaki merupakan pilihan seludup kaki wayang yang juga peminat makanan Jepun. Takoyaki yang bersaiz kecil, tidak begitu berminyak dan mudah untuk dimakan dianggap sebagai makanan yang paling bertimbang rasa dan tidak mengganggu sesiapapun.

Namun begitu, bau takoyaki yang kuat mungkin akan membuatkan tembelang anda pecah di pintu masuk dan menyebabkan anda terpaksa menderma takoyaki anda kepada abang tiket.

10. Roti dan pastri

Pilihan terakhir kaki wayang ialah roti dan pastri seperti sandwic untuk dinikmati di dalam panggung. Tak mengapa kalau anda bawa roti kering masuk ke dalam tetapi jika sandwic yang berinti basah seperti telur mayonis yang dipilih, makanlah dengan hati-hati.

Pastikan telur yang anda guna dalam sandwic bukan telur busuk, ya. Jika tidak, ada pengunjung yang akan letakkan sandwic itu di kepala anda nanti.

Itulah antara 10 makanan seludup pilihan kaki wayang di Malaysia. Saya pasti ada banyak lagi makanan yang dibawa masuk oleh kaki wayang ke panggung.

Satu sahaja pesanan saya. Jangan ingat kakitangan panggung tak tahu apa yang anda lakukan. Lebih baik beli sahaja makanan di kaunter panggung daripada menanggung kesedihan menderma makanan anda kepada abang-abang tiket.

Artikel ini diterbitkan dalam butterkicap.com

Bekas orang kuat Jamal, Mejar Razali sertai AMANAH

Faisal Asyraf

Mejar (B) Razali Zakaria, yang pernah bersama kumpulan pelampau Baju Merah pimpinan Datuk Seri Jamal Yunos mengesahkan bahawa dirinya telah menyertai AMANAH dan bakal menerajui cawangan Cheras Baru.

Razali berkata surat untuk membuka cawangan dan senarai nama ahli jawatankuasa telah dikemukakan kepada jawatankuasa pusat bulan lalu.

Bekas Ketua Umnor Bandar Tasik Jaya itu berkata beliau kini menunggu surat kelulusan rasmi serta tarikh daripada jawatankuasa pusat untuk merasmikan cawangan itu.

"Buat masa ini saya telah mendapatkan kira-kira 50 orang (untuk menyertai AMANAH). Ada banyak lagi yang mahu menyertai tetapi saya meminta mereka untuk datang semasa pelancaran," katanya dalam satu mesej teks kepada Malaysiakini.

Razali berkata ini adalah selaras dengan janjinya untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berjanji akan mendapat lebih banyak ahli, khususnya dari Umno dan PAS untuk menyertai AMANAH.

Ditanya sama ada timbul sebarang bantahan ketika beliau merancang untuk menyertai parti itu, Razali berkata tidak ada bantahan tetapi sebaliknya beliau dialu-alukan.

Pada Jun lalu, Razali yang sering bersama Jamal dalam beberapa protes jalanan mengumumkan dirinya meninggalkan Umno pada satu sidang akhbar di Seremban.

Pemandu van tumbuk cermin kereta Wan Azizah

MUHAMMAD AFHAM RAMLI

Kenderaan Wan Azizah yang rosak dipercayai ditumbuk oleh seorang individu di Jalan Tun Razak.
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu van ditahan polis selepas dipercayai melakukan khianat pada kenderaan jenis Toyota Alphard milik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang, semalam di Jalan Tun Razak.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, telah berlaku kemalangan kecil antara Toyota Alphard yang dipandu pemandu peribadi Timbalan Perdana Menteri sendirian dengan sebuah van di simpang keluar sebuah bangunan.

"Akibat itu, pemandu van jenis Toyota Hiace itu tidak berpuas hati dan menurunkan tingkap.

"Pemandu van tersebut telah turun dari kenderaannya lalu terus menumbuk cermin hadapan Toyota Alphard tersebut hingga retak sebelum beredar," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan berjumlah RM3,000.

Susulan itu, laporan telah dibuat dan polis telah menahan pemandu van berusia 42 tahun itu kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi di Jalan Ampang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

NSTP setuju bayar Khalid Samad ganti rugi RM60,000 saman fitnah isu RUU355

MALAYSIA DATELINE 
Kes saman fitnah Khalid Abdul Samad terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Mahfar Ali dan tiga lagi berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (RUU 355) berjaya diselesaikan selepas akhbar berkenaan bersetuju membayar ganti rugi RM60,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Dalam penyelesaian yang direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini Datuk Aliza Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Mahfar Ali dan tiga lagi yang dinamakan sebagai pihak defendan bersetuju membayar jumlah tersebut dalam masa 30 hari.

Bersama penyelesaian itu, akhbar berkenaan juga bersetuju membuat satu wawancara dengan Menteri Wilayah itu bagi menjelaskan pandangan beliau mengenai isu RUU.

Khalid selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 3 Februari 2017 beliau diwakili Peguam Faiz Fadzil.

Selain Mahfar, pihak plaintif turut menamakan dua wartawan akhbar tersebut, Hazwan Faisal Mohamad dan Rohaniza Idris dan penerbit akhbar itu, The New Straits Times Press (M) Bhd. sebagai defendan pertama hingga keempat.

Pihak plaintif menyatakan, BH pada 27 Mei tahun lalu di muka surat 16 dan 17 telah menyiarkan artikel bertajuk, Selepas 20 tahun terhalang, rang undang-undang Mahkamah Syariah akhirnya dibentang di Parlimen. Kerajaan beri Pas laluan, DAP; Amanah bantah.

Pihak plaintif mendakwa, artikel tersebut mengandungi perkataan fitnah dengan niat jahat Itu seolah-olah menggambarkan beliau pemimpin yang menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hukum hudud, bermusuhan dengan Pas walaupun dalam isu kepentingan umat Islam, menentang pemerkasaan Mahkamah Syariah dan pemimpin yang mengikut telunjuk pemimpin politik bukan Islam.

Khalid sehubungan itu antaranya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf dan perintah injunksi daripada pihak defendan.

Khalid diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili pihak defendan

Tun M sindir MB Johor

Dr M: Jemputlah orang asing kalau nak tinggal di rumah kayu

WAWANCARA | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada menyindir berkata beliau bersetuju dengan Menteri Besar Johor, Osman Sapian untuk membenarkan warga asing membeli kediaman di Forest City, sekiranya mahu rakyat Malaysia tinggal di rumah kayu.

Mahathir berkata orang asing ini juga boleh membangun Johor menjadi sebuah bandar yang lebih moden daripada Singapura.

"Kalau nak supaya seluruh Malaysia diserah kepada orang lain, percayalah negara Malaysia ini akan bangun dengan pesat, dan akan jadi lebih daripada Singapura.

"Kerana orang ini ada duit dan boleh melabur, pandai berniaga boleh buat bangunan yang cantik, tapi kita duduk dalam rumah bebek, rumah kayu bumbung tinggi.

"Kalau kita nak itu, it's okey. I will support MB of Johor. Kalau nak masuk banyak orang-orang lagi dan mereka kaya. Mereka akan bayar cukai lebih banyak daripada kita. Okey, kita kayalah," kata Mahathir kepada Malaysiakini dan Sinar Harian dalam satu wawancara bersama semalam.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Osman bahawa beliau mungkin tidak memahami dasar hartanah negeri itu.

Bulan lalu, Mahathir berkata rumah yang dibina di Forest City tidak boleh dijual kepada orang asing dan kerajaan "tidak akan memberikan visa untuk mereka datang dan tinggal di sini".

Osman mempertahankan projek yang dijalankan syarikat dari China itu dan akan bekerjasama dengan jawatankuasa khas diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk mencapai kata sepakat seperti mengurangkan kuota pemilikan warga asing.

Bagaimanapun Mahathir tetap dengan pendiran untuk tidak tidak membenarkan warga asing menetap di negara ini.

"Saya tak nak orang ini datang sini dan duduk di sini. Kalau dia buat bandar yang begitu besar, tak akan nak duduk lima hari.

"Dia buat bangunan. Dia nak duduk di sini, itu sebab dia nak melabur. Kalau dia buka kedai, tentu ada kedai bukan?

"Takkan kedai buka tujuh hari sahaja lepas itu balik China atau negara dia. Dia nak duduk di sini, kalau dia nak duduk di sini jadi sebahagian daripada negara kita," katanya.
-malaysiakini

SPRM Kelantan akan dakwa calon Ahli Parlimen buat tuntutan palsu RM600,000

MALAYSIA DATELINE

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan dijangka akan mendakwa seorang calon Ahli Parlimen di mahkamah membabitkan kes salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu lebih RM600,000.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff berkata, sebanyak lebih 30 pertuduhan akan dibuat terhadap suspek berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mencadangkan kepada ibu pejabat dengan lebih 30 pertuduhan untuk kes ini yang kita anggap serius dan sensitif. Kes ini masih dalam semakan tetapi apabila ada surat izin mendakwa nanti kita akan buat pertuduhan di mahkamah.

“Saya harap kes ini akan beri pengajaran kepada masyarakat di Kelantan khususnya mengenai salah guna kuasa dan juga kesalahan mengemukakan tuntutan palsu,” pada sidang media semalam, dipetik Kosmo online.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM negeri, Rostam Abu Hassan.

Moh Samsudin, 60, yang bertugas buat kali terakhir hari ini sebelum bersara selepas 36 tahun beliau bertugas bersama SPRM.

Beliau berkata, sepanjang lebih tiga tahun menerajui SPRM negeri, pihaknya telah berjaya membuka 167 kertas penyiasatan awal, membuat 30 tangkapan dan mendakwa 20 tertuduh di mahkamah setakat ini.

Katanya, kesalahan lazim di negeri ini kebanyakannya adalah berkaitan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan tuntutan palsu dan berlaku sama ada di sektor swasta mahupun awam.

“Saya dan para pegawai turun padang memberi kefahaman dari ketua jabatan kepada masyarakat peringkat bawahan supaya pendedahan sampai kepada semua.

“Saya sudah lebih 36 tahun berkhidmat, bagi saya usaha mencegah rasuah adalah sama dengan mencegah kemungkaran dan ia adalah satu ibadah yang wajib,” katanya.

Anwar dedah ‘bukti’ Najib bayar RM9.5 juta kepada Shafee

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan satu afidavit mendakwa 2 cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan Anwar Ibrahim terhadap pensabitan liwat pada 2015.

Siti Rahayu Mohd Mumazaini, 34, berkata cek itu didepositkan ke akaun bank CIMB milik Shafee pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

“Maklumat ini diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah perintah bawah Seksyen 44(1) AMLA dikeluarkan untuk membekukan akaun Shafee di CIMB,” kata Siti Rahayu, merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Afidavit itu dikeluarkan Anwar hari ini, dilampirkan bersama salinan penyata bank akaun Shafee dan gambar fotokopi 2 cek daripada Najib.

“Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi kita untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita,” kata Anwar ketika mengeluarkan afidavit itu.

Anwar tahun lepas memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwat, mengatakan dia tidak diberi perbicaraan yang adil, dan mengatakan ada bayaran sehingga RM9.5 juta yang didakwa daripada Najib.

Mahkaah Tinggi pada November tahun lepas membatalkan tuntutan itu, mengatakan Anwar tidak menunjukkan bukti yang menyokong dakwaannya.

Anwar berkata afidavit oleh Siti Rahayu ini membuktikan dakwaannya tentang pembayaran kepada Shafee itu.

“Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam. Salah guna kuasa seperti ini tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada pertanggungjawapan,” katanya.

Anwar diberi pengampunan diraja sebelu dibebebaskan dari penjara selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya Mei lalu.

Shafee sebelum ini menepis dakwaan tentang beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebagai “mengarut”.

“Saya tidak pernah dibayar RM9.5 juta untuk mendakwa kes Anwar,” katanya.

Anwar dalam tuntutannya tahun lepas berhujah keputusan terdahulu oleh Mahkamah Rayuan pada 2014, yang mendapati beliau bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, dilakukan secara tidak berperlembagaan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, dan menghantar Anwar ke penjara untuk menjalani hukuman 5 tahun.

Anwar hari ini berkata Shafee tidak patut dibenarkan mengetuai pasukan pendakwaan terhadapnya.

“Pelantikan seorang pendakwaraya bukanlah amalan biasa bagi peguam negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut.

“Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap saya yang berlaku di dalam kehadiran Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi,” tambahnya.

Siapa budak ini?

Imej seorang budak dirakam sewaktu kemalangan maut di Kilometer 21, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, kelmarin
GUA MUSANG - Kemalangan maut yang berlaku kelmarin, di Kilometer 21, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, berdekatan Gua Sejuk, turut terselit imej misteri.

Ketika bomba berusaha mengeluarkan mangsa, Mohd Salimi Mohd Razali, 34, yang tersepit dalam kenderaan, foto seorang budak dirakam dalam kenderaan terbabit.

Dalam foto berkenaan, imej budak berambut pendek itu dilihat pada cermin sisi kenderaan dengan jelas.
-sinarharian

Jho Low cuba hubungi saya, kata Daim

Bernama
KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin hari ini mendedahkan jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah cuba untuk menghubunginya beberapa kali bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).


Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata Jho Low pernah menelefonnya termasuk sebelum beliau ke China pada Julai lepas.



“Bila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nak hantar saya ke China, Jho Low ada berhubung, dia nak bercakap dengan saya tetapi saya tak mahu, dia ada telefon tetapi saya suruh beliau bercakap dengan wakil saya.



Dia (Jho Low) kata dia boleh tolong (dalam hal berkaitan 1MDB), (tetapi) sebelum ini saya dah kata dalam sidang media pertama bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), jika dia tak salah baliklah, malam itu pun dia telefon saya,” katanya dalam temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 malam tadi.



Rancangan yang bersiaran selama sejam itu dikendalikan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai moderator.



Daim berkata sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB sanggup menjadi saksi untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.



“Sekarang belum habis kita siasat ni, tiap-tiap hari kita dapat bukti baru yang mengejutkan. Jho Low terlibat (untuk) kait dengan Abu Dhabi, kait dengan (Arab) Saudi, Amerika , Australia, Hong Kong, Singapura, Switzerland.



“Satu dunia tahu, CNN, BBC, media China tahu, Afrika pun tahu. Tetapi sini dalam Parlimen pun tak boleh cakap, tiada ketelusan, apa guna nak tipu nanti tahu juga, nak tutup dengan harapan kalau depa (Barisan Nasional) menang (pilihan raya umum ke-14) dapat tutup,” katanya.



Menjawab soalan sama ada beliau berkonspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa sesetengah pihak, Daim berkata: “Saya dah tua, tak ada parti pun… Umno buang saya, kita tak terlibat dengan parti orang, orang tak tahu bahawa saya dengan Anwar dah berkawan lama.”



Daim melahirkan keyakinan bahawa Anwar akan mengambil alih tampuk pemerintahan seperti yang dirancang.



“Beliau (Anwar) ada kekuatan tersendiri… golongan yang tidak berpuas hati ini hanya mencari modal seperti mencipta cerita konon wujudnya konspirasi dan mencari pengaruh menggunakan isu tersebut (kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Anwar),” katanya.

Panggilan telefon 9 Mei: Anwar dedah Najib terkedu

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan lebih banyak butiran mengenai perbualan telefon dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam kejatuhan BN dan Umno daripada kekuasaan selama enam dekad.

Ketika wawancara bersama ThaiPBS, Anwar berkata Najib dalam perbualannya secara berterusan bertanyakan mengenai apa yang difahamkan sebagai percubaan bekas presiden Umno itu mengatur langkah mengekalkan BN sebagai parti pemerintah.

Bagaimanapun, Najib akhirnya terkedu apabila Anwar berkata Najib perlu mengemukakan permintaannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang bakal menjadi perdana menteri pada ketika itu.

"Beliau (Najib) berterusan berkata - terdapat kemungkinan untuk mengatur sesuatu kerana kami (BN) tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

"Akhirnya, saya kata, kamu perlu sedar, secara teknikalnya saya di dalam penjara... Ini akan jadi panggilan terakhir kamu kepada saya, selepas ini, kamu perlu berurusan dengan Mahathir.

"Kemudian beliau menjadi terkedu seketika," kata Anwar, petik ThaiPBS.

Perbincangan datang kemudian

Apabila wartawan Suthichai Yoon bertanyakan jika beliau sepenuhnya menutup pintu rundingan mengenai kemungkinan kerjasama dengan BN, Anwar berkata mesej beliau kepada Najib adalah beliau perlu mengaku kalah terlebih dahulu dan perbincangan, jika ada itu boleh dibuat kemudian.

"Najib ada membayangkan beliau sedia untuk berbincang dan berunding tetapi saya tidak layan. Mandat kami cukup jelas, kami menang dengan majoriti yang jelas. (Saya katakan kepadanya) hal ini (perbincangan) akan datang kemudian.

"Jika kamu mahu, kamu boleh berbincang dengan Mahathir, beliau terdiam... tak terkata apa-apa," kata Anwar.

Bagaimanapun, Anwar berkata walaupun beliau menasihatkan Najib untuk mengaku kalah, namun bekas presiden Umno itu menunda pengumumannya sehingga keesokan harinya.

"Beliau enggan (mengaku kalah) sehinggalah keesokan harinya sekitar jam 11 pagi dan malah masih cuba berkeras.

"Sebenarnya ini kerana kesombongannya yang menyebabkan tindak balas sebegini," katanya.

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei selepas menerima pengampunan diraja.

Beliau dipenjarakan atas kesalahan seks luar tabii dan mendakwa pertuduhannya bermotifkan politik.

Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa beberapa tahun lagi.
-malaysiakini

Gigolo, pelacur, LGBT layak terima zakat di Selangor

Beberapa golongan, antaranya pelacur, gigolo serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini layak menerima zakat di Selangor.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 “bersandarkan kebajikan dan kasih sayang dalam lslam supaya golongan berkenaan tidak terpinggir dan berasa seolah-olah didiskriminasi”.

Ia dimasukkan dalam kategori asnaf al riqab Selangor serta yang berkaitan dengannya, lapor Berita Harian.

“Katanya, antara senarai penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al Riqab ialah golongan terbelenggu gaya hidup songsang, termasuk pelacur, lesbian, mak nyah, gay, homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboi dan bersekedudukan dengan orang bukan lslam,: menurut laporan itu.

Tamyes bagaimanapun menyifatkan LGBT sebagai penyakit mental serta amat membimbangkan kerana melawan fitrah.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata beliau percaya pihak zakat Selangor bertindak demikian bukan atas sebab keterlibatan dengan LGBT.

Sebaliknya, kata beliau, ia untuk membebaskan mereka dari belenggu LGBT dan “cengkaman dosa” yang lain.

“Sebab itulah diletakkan di bawah al-riqab yang asalnya pembebasan diri dari perhambaan,” katanya.

Setiausaha politik Mat Sabu antara 23 angkat sumpah jawatan


Bernama
PUTRAJAYA: Seramai 23 setiausaha politik kepada menteri Kabinet mengangkat sumpah simpan rahsia di depan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.


Majlis ringkas yang diadakan di Perdana Perdana Putra turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Antara yang mengangkat sumpah ialah 3 setiausaha politik kepada perdana menteri iaitu Muhammad Zahid Md Arip, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat dan Abu Bakar Yahya.

Turut serta ialah setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri, Romli Ishak, Datuk Mohd Nardin Awang (Menteri Dalam Negeri), Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee (Menteri Kewangan), Mohd Azhar Che Mat Dali (Menteri Pertahanan) dan Mohd Nizam Morad (Menteri Pendidikan).

Bekas pengacara program Ruang Bicara di Bernama News Channel, Datuk Dahlan Maamor turut mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik Menteri Pengangkutan.

Turut mengangkat sumpah ialah Cheang Chee Khing (Menteri Sumber Manusia), Ahmad Sabki Yusof (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Menteri Kesihatan), Mohd Aizad Roslan (Menteri Belia dan Sukan), Mejar (Bersara) Mohamad Rahim Osman (Menteri Pembangunan Usahawan), Saiful Izham Ramli (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Zakaria Abdul Hamid (Menteri Kerja Raya) dan Mohd Nazri Noh (Menteri Luar).

Selain itu, Alice Choo Foong Thye mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik Menteri Industri Utama, Ee Chin Li (Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan lklim), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)), Martin Tomy @ Tommy (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang)), Pritchard Arthur Gumbaris (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Abdul Kusen Hussen @ Mujahirin O K K PG Hussen (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Makan sarapan ini untuk kurangkan berat badan

FMT Reporters
Topik mengenai berat badan sensitif dan penyelesaian untuknya sentiasa dicari-cari. Terdapat pelbagai kaedah dan cara yang dikongsi di laman-laman sosial untuk menurunkan berat badan dan salah satu daripadanya ialah menerusi pengambilan sarapan pagi yang sihat.



Ramai yang tidak sedar kepentingan sarapan pagi dalam usaha mengurangkan berat badan, dan ramai yang memilih untuk berlapar walaupun sarapan yang betul adalah kaedah yang paling mudah untuk mengurangkan berat badan.




Mengisi makanan yang betul boleh membendung keinginan makan berlebihan dan membuat anda berasa kenyang untuk tempoh masa tertentu.




Berikut adalah 14 jenis makanan sarapan pagi sihat yang boleh membantu anda menurunkan berat badan.




1. Telur




Tahukah anda, telur yang kaya dengan protein dan vitamin serta mineral yang penting, seperti selenium dan riboflavin, adalah penyumbang tenaga yang sempurna untuk memulakan pagi anda. Kandungan protein yang tinggi mengurangkan selera makan dan memberi rangsangan yang serius terhadap berat badan.

Satu kajian melibatkan 30 wanita obes menunjukkan pengambilan telur untuk sarapan pagi mengurangkan pengambilan makan tengah hari berbanding bersarapan bagel.



2. Germa gandum




Germa gandum adalah komponen kernel gandum yang kaya dengan vitamin dan mineral, termasuk mangan, tiamin dan selenium serta serat.

Kajian menunjukkan pengambilan serat dari bijirin memberi manfaat kepada penurunan berat badan di mana ia berkesan dalam mengurangkan nafsu makan serta membantu menstabilkan gula darah selepas makan.



3. Pisang




Mempunyai kandungan serat yang tinggi tetapi rendah kalori, pisang adalah alternatif yang hebat dan sarapan yang memuaskan pada waktu pagi. Sebiji pisang sederhana sudah memenuhi sehingga 12% daripada keperluan serat harian.

Serat membantu melambatkan proses kelaparan sekaligus membendung keinginan makan. Secara umum, pisang memberi rasa kenyang yang berpanjangan.



4. Dadih




Berkrim, lazat dan memuaskan, dadih adalah makanan yang paling sesuai untuk diet penurunan berat badan.

Dadih menyediakan sebahagian besar protein, menjadikannya makanan sarapan pagi yang paling ideal untuk menurunkan berat badan. Satu kajian melibatkan 20 wanita mendapati kandungan protein tinggi dalam dadih menurunkan tahap kelaparan dan mengurangkan pengambilan makanan sebanyak 100 kalori berbanding dengan makanan ringan tidak sihat yang lain seperti coklat dan keropok.



5. Kopi




Sesetengah kajian mendapati secawan kopi membawa manfaat berat badan yang besar.

Ini kerana kandungan kafein dalam kopi boleh membantu penurunan berat badan dengan meningkatkan metabolisme dan pembakaran lemak. Walaupun kopi bukanlah sarapan yang seimbang ia boleh dipadankan dengan makanan kegemaran anda yang lain. Bagaimanapun elak gula atau krimer dan susu jika tujuan anda untuk mengurangkan berat.



6. Teh hijau




Kandungan dalam teh hijau sama seperti pil diet atau suplemen membakar lemak. Umum tahu kemampuan teh hijau yang meningkatkan metabolisme dan kapasiti membakar lemak, jadi eloklah mulakan hari anda dengan teh hijau supaya usaha mengurangkan berat badan anda lebih mudah. Contohnya, satu kajian kecil melibatkan 10 orang dewasa mendapati ekstrak teh hijau melonjakkan metabolisme dan peningkatan pembakaran kalori dalam tempoh 24 jam sebanyak 4%. Malah sebatian tertentu dalam teh hijau meningkatkan jumlah kalori yang dibakar setiap hari sebanyak 106 kalori.




7. Benih Chia




Benih chia adalah salah satu ‘super food’ dan suplemen sarapan yang sangat baik. Selain tinggi serat, sifatnya menyerap air untuk membentuk gel, yang mana kemudian mengembang di dalam perut membuatkan anda rasa kenyang lebih lama. Ia juga kaya dengan protein dan memperlambatkan pengosongan perut, mengurangkan kadar ghrelin, hormon yang bertanggungjawab untuk merangsang kelaparan.




8. Oat




Bijirin oat adalah pilihan sarapan yang sihat dan lazat, terutama sekali bagi merek yang ingin menurunkan berat badan.Oat merupakan makanan rendah kalori dan tinggi serat dan protein. Kedua-dua nutrien itu memberi kesan kepada selera dan kawalan berat badan. Oat juga merupakan sumber terbaik beta-glucan, sejenis serat yang yang memberi impak ke atas fungsi imun kesihatan jantung. Penyelidikan juga menunjukkan beta-glucan mengimbangi tahap gula darah dan menghalang nafsu selera makan.

PAS kongsi pentas kempen MCA untuk Balakong

Liow Sze Xian
Sejarah tercipta malam tadi selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat penampilan di majlis MCA untuk menyokong calon mereka Tan Chee Teong.

Ini berlaku walaupun sejarah panjang MCA menolak cita-cita PAS untuk menjadikan Malaysia sebuah negara teokratik.

Takiyuddin muncul di pentas MCA di kawasan kejiranan Melayu di Taman Tun Perak, di mana beliau bercakap tentang keperluan untuk semakan dan imbangan.

"Negara kita telah menghadapi tsunami politik, dan membawa perubahan kerajaan, dari peringkat persekutuan ke negeri-negeri. Kami menukarnya dari BN kepaa Pakatan Harapan.

"Ramai berpendapat Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan yang baik, kerajaan yang boleh dipercayai dan kerajaan yang membawa harapan. Tetapi, ia sebenarnya kerajaan yang tidak mempunyai harapan dan menghancurkan harapan rakyat," kata Takiyuddin kepada hadirin.

Oleh itu, beliau menekankan konsep "semak dan imbang" yang dipromosikan oleh MCA, dan menggesa rakyat, bukan sahaja ahli dan penyokong PAS, tetapi semua rakyat dari Balakong untuk menyokong Chee Teong.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Takiyuddin berkata PAS menyokong MCA untuk pilihan raya kecil Balakong dalam semangat perpaduan pembangkang, yang disokong oleh presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata PAS telah mendedikasikan sumbernya untuk membantu calonnya untuk pilihan raya kecil Seri Setia dan hanya dapat membantu MCA sekarang.

Takiyuddin kelihatan berbual dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Senator Ti Lian Ker - kedua-duanya adalah pengkritik vokal terhadap PAS vokal di masa lalu - sebelum dan selepas acara itu.

Apabila ditemui kemudian, timbalan presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Takiyuddin muncul di acara itu tanpa diundang.

PKR pilih 3 kerusi Parlimen untuk Anwar tandingi

Bernama
MELAKA: Kawasan Parlimen yang akan ditandingi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan bulan ini, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, berkata setakat ini 3 kerusi Parlimen disenarai pendek untuk ditandingi Anwar, namun beliau enggan mendedahkan kawasan itu.

“Bulan ini umum jika tiada apa-apa, kawasan mana itu tunggu bila umum nanti,” katanya ketika ditemui Bernama selepas taklimat pemilihan PKR Melaka 2018 di Ayer Keroh, hari ini.


Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang dan membayangkan akan membuat penampilan semula di Parlimen pada bulan depan.

Saifuddin berkata, ahli PKR diminta memberi sokongan penuh kepada Anwar, setelah pengumuman kawasan Parlimen itu dilakukan dan bersatu sebagai sebuah jentera kukuh demi kemenangan parti itu.

“Anwar perlu sokongan dan dokongan yang kuat, terutama daripada anggota parti untuk menang, seterusnya jadi perdana menteri.

“Bagaimana hendak serah jawatan perdana menteri (kepada Anwar), sekiranya partinya kucar-kacir dan tidak bersatu. Justeru, kita perlu bersama menyokong Anwar.”

DBKL lubuk rasuah?

Klikis persepsi lubuk rasuah terhadap DBKL, azam Khalid Samad
MALAYSIA DATELINE

Khalid meminta kontraktor DBKL hentikan amalan memberikan rasuah untuk mendapatkan projek.

Menteri Wilayah Khalid Samad berazam untuk mengikis imej dan persepsi buruk terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lubuk rasuah.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak kesemua kontraktor yang mendapat projek dari DBKL agar membantu beliau bagi mengikis persepsi itu.

“Imej DBKL ini adalah sebuah badan yang kaya dan juga lubuk rasuah. Saya berazam untuk mengikis imej ini dan mengajak tuan puan semua agar membantu saya.

“Jangan beri rasuah dan jangan lagi membayar mana-mana pihak kerana mendapat kontrak dari DBKL.

“Kontrak tuan puan dengan DBKL bukan dengan mana-mana ketua bahagian Umno,” kata Khalid kepada lebih 300 kontraktor kepada DBKL dalam pertemuan beliau dengan mereka di Institut Latihan DBKL dekat Bandar Tun Razak hari ini.

Menurut Khalid, apabila rasuah diberikan kepada pihak-pihak tertentu bererti sebahagian wang telah dibelanjakan dan mengurangkan pendapatan kontraktor.

Ini bermakna, kualiti projek yang sepatutnya dilaksanakan akan berkurang dan ini merugikan rakyat yang membayar cukai kepada DBKL, katanya.

Dalam pertemuan itu, Khalid memberikan amaran, mana-mana pihak yang memberi dan menerima rasuah akan dikenakan tindakan.

Beliau juga memberitahu, kontraktor tidak boleh lagi menyerahkan kontraknya kepada pihak lain atau sub kontraktor kerana amalan ini tidak betul.

“Kontrak kita anugerahkan kepada pihak yang layak. Apabila tidak mampu dan layak maka berlakulah pemindahan atau jual kontrak kepada pihak lain.

“Jadi jangan pindah atau jual kontrak yang tuan puan terima selepas ini, jika buat juga kita akan batalkan.

“Melalui pentadbiran baru ini, tidak ada rasuah dan tidak ada sub kontraktor dan tuan-tuan juga perlu kenali dan raikan wakil rakyat yang sah dan dipilih oleh rakyat di kawasan tuan puan,” kata Khalid.