"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

HABIS MUHYIDDIN KALI INI…..

Shahbudin Husin
Apa nasib Muhyiddin Yassin dalam usul undi tak percaya 18 Mei nanti?

Bolehkah beliau menang dan kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Atau mungkinkah Muhyiddin bakal menjadi seorang lagi Perdana Menteri, selepas Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak yang berjaya dijatuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad?

Jika usul itu berjaya, adakah Tun Mahathir sekali lagi akan jadi Perdana Menteri atau beliau sekadar mahu mengembalikan kuasa kepada PH dan menyerahkan kepada orang lain untuk menjadi Perdana Menteri?

Demikian antara beberapa persoalan yang kedengaran sejak tersiarnya berita tentang usul undi tak percaya yang dicadangkan oleh Tun Mahathir terhadap Muhyiddin diterima oleh Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Rata-rata orangramai menyambut baik usul tersebut, bukan saja kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan, malah juga untuk mengesahkan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang disebut oleh Hadi Awang, memperolehi jawatan tersebut melalui tebuk atap.

Dengan itu, keputusan Speaker membenarkan usul tersebut seharusnya disanjung tinggi kerana beliau sebenarnya mahu, siapa pun yang duduk di kerusi Perdana Menteri selepas 18 Mei nanti, ada seorang yang tidak diragui langsung kesahihannya.

Begitu pun, ramai yang melihat dengan diterimanya usul Tun Mahathir itu, kedudukan Muhyiddin dianggap semakin genting atau kian berada di hujung tanduk.

Dalam bahasa pasar kaki lima, ertinya….habislah Muhyiddin kali ini!!

Ada beberapa faktor yang tampak meyakinkan bahawa usul ini akan menemui kejayaan dan Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara.

Pertama, usul undi tidak percaya ini walaupun hanya akan ditentukan oleh 222 Ahli Parlimen, tetapi majoriti rakyat yang mengundi PH dalam PRU14 lalu pasti turut sama mengiringinya dengan doa kepada Tuhan agar ia menemui kejayaan.

Mahu tidak mahu, niat murni di sebalik usul ini adalah untuk mengembalikan semula kuasa kepada PH yang sebelum ini kerajaannya telah dirampok di pertengahan jalan.

Doa-doa pengundi yang teraniaya kerana mereka mengundi PH, tetapi PN yang menjadi kerajaan melalui jalan pengkhianatan, adalah doa tanpa hijab yang lebih mungkin diterima serta dimakbulkan Tuhan.

Oleh itu, jangan main-main dengan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin ini!!

Kedua, mengenali rekod Tun Mahathir menjatuhkan orang selama ini, beliau tidak mungkin melakukan sesuatu perkara jika tidak yakin kemenangan mampu dicapainya.

Lihat bagaimana beliau menjatuhkan Tun Abdullah Badawi dan Najib sebelum ini, hanya setelah benar-benar yakin kejayaan boleh dicapainya, barulah jalan itu dipilihnya.

Dalam kes usul undi tidak percaya ini, tidak mustahil Tun Mahathir sebenarnya telah melakukan penelitian dan perancangan rapi serta membuat beberapa urusan seperti melalui panggilan telefon dengan pelbagai pihak dalam tempoh PKP kira-kira 50 hari sebelum ini di mana beliau hanya berkurung di rumahnya saja.

Ketiga, walaupun UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan PN yang tidak berdaftar ini, tetapi mereka sebenarnya ibarat penumpang kelas tiga serta dapat nikmat sipi-sipi saja.

Penumpang kelas pertama ialah geng Bersatu pro Muhyiddin, termasuk bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke dalam parti itu seperti Hamzah Zainuddin, Dr. Latif Ahmad dan lain-lainnya.

Penumpang kelas kedua pula ialah kumpulan Azmin Ali daripada bekas PKR di mana semua 10 Ahli Parlimennya yang khianat telah diberikan jawatan dalam kerajaan.

Dua kelas penumpang inilah yang paling banyak mendapat nikmat jawatan dan kedudukan daripada Muhyiddin, walaupun UMNO merupakan blok terbesar dalam PN dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 39 orang, tidak temasuk dua daripada MCA dan seorang MIC.

UMNO yang biasa menjadi ketua dan berada di gerabak kelas pertama sejak 60 tahun lamanya benar-benar tidak puas hati dengan kedudukan mereka yang dihumban hina ke kelas ketiga sekarang ini.

Lantaran itu, UMNO tidak pernah puas hati dan sentiasa memberi tekanan kepada Muhyiddin kerana lebih mahukan PRU diadakan segera bagi membolehkan mereka bersama Pas dalam MN menjadi kerajaan dan mentadbir negara ini sebagai ketua berkelas pertama semula.

Untuk itu, terdapat kecenderungan yang nyata bahawa UMNO mungkin memberi sokongan secara diam-diam kepada usul Tun Mahathir ini.

Namun, sokongan mereka bukanlah untuk membolehkan PH berkuasa semula, tetapi dengan harapan Muhyiddin akan membubarkan Parlimen jika kalah dalam usul tersebut.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan sejumlah Ahli Parlimen UMNO yang tidak setuju dengan tindakan Muhyiddin terlalu memberi keutamaan kepada Azmin yang dijadikan menteri kanan paling kanan, walaupun ada kes moral yang jijik, turut menyokong usul Tun Mahathir ini dalam pengundian nanti.

Sekarang usaha Muhyiddin mengikat mereka ialah dengan cara memberi jawatan dalam GLC yang jelas semakin aktif dilakukan kebelakangan ini.

Tetapi, jawatan dalam kerajaan dan GLC bukan jaminan yang dapat mengikat Ahli-Ahli Parlimen UMNO kerana kiblat mereka adalah kepada parti, lagi pun PN hanyalah kerajaan sementara yang paling lama pun bertahan sehingga PRU15 saja.

Dengan semua faktor itu, kelebihan jelas tidak banyak memihak kepada Muhyiddin dan harapannya untuk bertahan lebih lama tampak sangat tipis. (ShahbudinHusin 09/05/2020)

Dr Mahathir: Bersatu kini terkontang-kanting, akan kalah teruk PRU15

Pada ulang tahun kedua kemenangan PH pada PRU ke-14, Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan kepada anggota Bersatu untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu ucapan menerusi rakaman video, pengerusi Bersatu itu membangkitkan hubungan antara Umno dan Bersatu, dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan baru-baru ini berkata parti itu tidak pernah menyertai PN dan gabungan itu bukanlah berdaftar seperti BN.

"Di satu pihak kita tak dapat sokongan daripada Umno, di pihak lain (Bersatu) juga tidak mendapat sokongan daripada PH.

"Jadi Bersatu tinggal terkontang-kanting, tak ada daratan, tak tahu di mana.

"Sudah tentu jika ada pilihan raya, tak mungkin Bersatu kekal (sebagai kerajaan) pun," kata bekas perdana menteri itu.

Katanya lagi, besar kemungkinan Bersatu akan kalah teruk dalam PRU akan datang dan harapan orang Melayu untuk melihat Umno digantikan sebuah parti berasaskan Melayu yang lain tidak akan tercapai.

Menurut Mahathir lagi, Umno telah menyatakan komitmennya untuk bertanding di semua kerusi tradisinya pada PRU akan datang, dan itu bermakna kerusi yang ditandingi dan juga dimenangi Bersatu.

"Ahli Bersatu...harus sedar bahawa janji Muhyiddin untuk mengadakan satu gabungan bersama Umno dan PAS tidak wujud," katanya lagi.

Kebimbangan sama disuarakan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir minggu lalu, dan menyifatkan satu-satunya pilihan parti itu adalah untuk kembali kepada PH.

Kerajaan PH yang dipimpin Mahathir tumbang pada akhir Februari lalu apabila Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, membawa keluar parti itu daripada gabungan tersebut.

Beliau bersama sejumlah anggota Parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali kemudian menubuhkan kerajaan PN bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Langkah Muhyiddin itu membawa perpecahan dalam Bersatu apabila Mahathir membantah tindakan itu dan kekal sebagai pembangkang di Dewan Rakyat bersama-sama empat anggota Parlimen lagi.

Dalam pada itu, Mahathir meminta anggota Bersatu melihat kembali sebab mereka menyertai parti itu dan menilai semula kesetiaan mereka.

"Fikirlah dengan mendalam. Ya kita patut setia tetapi jangan setia kepada pemimpin (begitu saja). Pastikan pemimpin itu berjuang untuk bangsa, negara dan agama, baru kita boleh setia kepada mereka.

"Orang yang hanya berjuang untuk dirinya...Walaupun dia pemimpin kita, janganklah kita rosakkan diri kita dengan setia kepadanya," katanya lagi.

Khamis lalu, Marzuki Yahya menyangkal dakwaan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu membuat keputusan untuk meninggalkan PH dalam mesyuarat pada akhir Februari lalu.

Beliau merupakan setiausaha agung parti pada masa itu. Statusnya kini dalam pertikaian apabila Muhyiddin melantik Hamzah Zainuddin ke jawatan itu, yang disifatkan Mahathir sebagai tidak sah.

16 pekerja migran digilis kereta api ketika tidur di landasan

Bernama

Pakaian dan kasut pekerja migran bertaburan di landasan selepas kumpulan buruh itu digillis sebuah kereta api kargo di Maharashtra Jumaat lalu. (Gambar AP)
NEW DELHI: Kira-kira 16 pekerja migran yang tertidur di atas landasan digilis kereta api kargo dalam nahas yang berlaku di Maharashtra, barat India, pada Jumaat.

“Selepas melihat beberapa buruh tidur di atas landasan, pemandu cuba menghentikan kereta api, tetapi gagal,” kata Menteri Hal Ehwal Perkhidmatan Kereta Api India, Piyush Goyal.

Pekerja itu dikatakan dalam perjalanan balik ke tempat asal mereka yang terletak beratus kilometer di Madhya Pradesh dengan berjalan kaki kerana banyak perkhidmatan kereta api penumpang digantung akibat penularan Covid-19.

Mereka tertidur di landasan kerana keletihan, lapor media tempatan.


Mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital di daerah Aurangabad.

5.5k
Shares
facebook sharing buttontwitter sharing buttonwhatsapp sharing buttonsharethis sharing button
Subscribe to our newsletter and get news de

Maszlee membuat undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dengan menolak jawatan pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp

FMT Reporters
PETALING JAYA
: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik memutuskan untuk menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawantankuasa Penasihat Mara Corp.

Maszlee berkata, keputusan dibuat selepas memikirkan negara masih belum bebas dalam usaha menentang wabak Covid-19. Baginya negara perlu bebas dari bencana terlebih dahulu dan kehidupan rakyat kembali stabil.

“Saya lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara bencana Covid-19. Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

“Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana dan kehidupan rakyat kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp bersama 7 individu lain yang dilantik sebagai ahli Majlis Mara berkuatkuasa 15 Mei depan.

Menurut Maszlee, beliau percaya apa sahaja bentuk pelantikan yang dibuat merupakan satu amanah dari rakyat dan manfaatnya harus dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Kepentingn rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi. Perhitungan saya jelas, keputusan yang saya lakukan mesti selari dengan mandat diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya,” katanya.

Maszlee turut menaruh keyakinan terhadap penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Menurutnya, masih banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan dalam usaha memartabatkan ekonomi Bumiputera.

“Saya yakin banyak pembangunan dan kemajuan dicapai sejak penubuhan Mara, dan banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan. Mara berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan Bumiputera.

“Agensi ini perlu berikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga bumiputera kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19.”

Dr Mahathir akui kurang sokongan untuk undi tak percaya

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan berpendapat Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan majoriti ketika mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

DR Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen kerana penyokongnya “dibayar” oleh Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri berkata Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Februari

Maszlee Malik pun ke laut juga?

Maszlee dilantik pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp.

Jawatankuasa itu turut merangkumi wakil rakyat Paya Rumput, Rafiq Naizamohideen.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad.

Mara Corp adalah cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara), yang diterajui oleh Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun.

Keempat-empat mereka adalah ahli politik yang mewakili parti Bersatu.

Abd Latiff sebelum ini menamakan 12 anggota jawatankuasa itu, yang turut merangkumi ahli jawatankuasa pusat PAS Zainal Abidin Kidam dan ahli majlis tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad.

"Pihak kementerian yakin kesemua ahli majlis Mara yang dilantik mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas serta menjiwai semangat perjuangan Mara dalam membangunkan Bumiputera," katanya yang dipetik oleh Astro Awani.

Sementara itu, Latiff juga melantik presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor sebagai pengerusi Giatmara.

'PN tak usul tukar speaker dewan Rakyat, petanda tak ada majoriti'

M Fakhrull Halim

Aktivis politik, Abd Malek Hussin mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencabar jawatan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker Dewan Rakyat, yang dipilih ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat (speaker), Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff kekal jawatan dan tidak dicabar?

“Jika nak ganti, perlu dinamakan calon sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat? Kerajaan PN tak namakan sesiapa menggantinya?

“Petanda awal PN tak bermajoriti di Parlimen,” katanya di Facebooknya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Malek berkata, PN tidak berani untuk membuat usul bagi menggantikan Mohamad Ariff kerana tidak yakin mempunyai majoriti jelas, sedangkan, waktu untuk nama calon speaker dikemukakan telah pun berlalu.

Menurut perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, nama calon speaker hendaklah dicadangkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan, iaitu selewat-lewatnya pada 4 Mei lalu.

Katanya lagi, speaker akan terus dapat memegang jawatannya sehingga Dewan Rakyat dibubarkan, melainkan dia meletakkan jawatan, atau dia dikenakan undi untuk melucutkan jawatannya.

“Kenapa dia (PN) tak mahu tukar speaker yang dipilih semasa PH mengambil alih kerajaan semasa PRU (pilihan raya umum) lalu?

“Setakat ini, undi melucut mestilah dibuat melalui usul. Dia (Mohamad Ariff) tak letak jawatan, dan tidak ada usul dari kerajaan untuk melucutkan dia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, menurut pandangannya, jika pun PN berasakan mereka mempunyai majoriti, ia pasti ramalan angka yang tipis yang masih menjadi kebimbangan buat mereka, lebih-lebih lagi majoriti mereka belum teruji di Parlimen sejak kerajaan ditubuhkan Mac lalu.

“Kalau dia yakinlah dia ada majoriti, saya berpendapat dia akan mengemukakan usul untuk melucutkan speaker, kemudiannya akan mencadangkan pengganti,” katanya yang pernah menjadi orang kuat Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail ketika era reformasi dahulu.

Sebelum ini, dilaporkan PN mahu mencalonkan Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut yang memetik sumber, tiada cadangan untuk Mohamad Ariff buat masa ini.

Terdahulu, semalam dilaporkan beberapa permohonan usul dihantar kepada Mohamad Ariff.

Antaranya bagi memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, serta bagi memulakan undi percaya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir - yang telah ditolak Mohamad Ariff semalam.

Hari ini pula, Mohamad Ariff menerima usul yang dibuat Dr Mahathir, bagi mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, dibuat di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kata Abdul Malek, sekiranya usul bagi menggantikan Mohamad Ariff dibuat oleh PN, maka ia akan menjadi agenda utama persidangan Dewan Rakyat 18 Mei nanti.

Tetapi, sekiranya PN gagal menang dalam pengundian tersebut, katanya, kedudukan PN sebagai kerajaan akan tergugat kerana rakyat akan dapat melihat bahawa gabungan itu tidak mempunyai majoriti yang jelas.

“Saya berpendapat, kerajaan Muyidin akan elak sedaya-upaya sebarang pengundian atas apa-apa urusan pun,” katanya, yang turut berasakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pun tidak akan berjaya diadakan pada sidang yang akan datang.

“Saya tak rasa begitu (undi tidak percaya diteruskan). Tentu kerajaan akan sabotaj usul itu dengan menangguhkan sidang,” katanya lagi.

Alasan speaker tolak usul Shafie mengejutkan - Aziz Bari

Alasan Speaker Dewan Rakyat, Ariff Md Yusof menolak usul Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal dalam memulakan usul undi percaya terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad adalah mengelirukan dan mengejutkan, kata Adun Tebing Tinggi, Dr Aziz Bari.

Mengulas mengenai peruntukan yang dipetik oleh Ariff semasa menolak usul tersebut, Aziz yang juga pakar perundangan berkata, meskipun Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai usul undi percaya, tetapi peruntukan itu secara jelas membenarkan usul itu dibentangkan di Parlimen.

“Bila? Bila-bila masa. Sebenarnya hal ini biasanya difahami di dalam sistem Westminster, bahawa jika kerajaan ditewaskan dalam Parlimen berhubung dasar-dasar utama seperti ketika (pembentangan) belanjawan atau langkah-langkah berkaitan Covid-19, maka ia (pemerintah) mesti meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk melantik perdana menteri dan Parlimen boleh menyaksikan sama ada terdapat sokongan minimum atas pelantikan itu atau tidak.

Semalam, Ariff menolak usul Shafie untuk memulakan usul undi percaya terhadap Mahathir.

Ariff berkata, berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, beliau mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka dalam urusan pelantikan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun menurut Aziz, Seri Paduka merupakan raja berperlembagaan dan istilah “budi bicara” (discretion) yang digunakan dalam Perkara 43 (2)(a) perlu difahami dalam konteks perlembagaan.

Beliau turut menyentuh tentang beberapa peruntukan lain dalam Perkara 43, di mana ia menimbulkan persoalan besar mengenai penolakan speaker berhubung usul Shafie.

“Kita tidak tahu sama ada usul yang dikemukakan oleh ahli parlimen Semporna itu akan berjaya atau sebaliknya. Tetapi alasan menolak usul tersebut yang menjadi isunya sekarang,” katanya.

Dalam notis Shafie, beliau menegaskan bahawa usul itu bukanlah untuk mencanggahi kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri.

Sebaliknya, jelasnya, ia bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Susulan penolakan itu Malaysiakini difahamkan Dr Mahathir telah menghantar satu notis berasingan, kali ini bertujuan membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Skandal RM30 juta kini dihalakan kepada Datuk Dr Noor Hisham dan KSU

MALAYSIA DATELINE

Ketika pelbagai dakwaan dihalakan kepada para pegawai kanan lantikan politik di Kementerian Kesihatan Malaysia, ekoran pecah skandal RM30 juta di kementerian itu, para pegawai kanan kementerian kini yang menjadi mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min kini yang didakwa terlibat secara langsung dalam skandal RM30 juta pembinaan makmal dan pembelian peralatan kesihatan itu.

Seorang petugas media sosial Umno, Hafizi Harris, mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan adalah pihak yang terlibat dalam mengawal teknikal projek manakala KSU menandatangani pesanan itu (LOA).

Sambil meletakkan gambar kedua-duanya bersama surat kelulusan projek yang ditandatangani oleh KSU Datuk Seri Chen itu, Hafizi mendakwa syarikat berkenaan mendapat projek RM30.5 juta.

“KP Kesihatan mengawal teknikal projek, KSU menandatangani LOA. Syarikat dapat projek RM30.5 juta dan lebih hebat dapat ‘advance’ RM15.2 juta.

“Syarikat hartanah bukan bumiputera dapat projek makmal secara rundingan terus. Hebat pegawai era zaman PH.

“Tulah dulu sepatutnya tukar tapi..,” tulis Hafizi dalam facebook beliau yang kini menjadi tular di media sosial.

Ekoran itu, ramai aktivis media sosial yang mengulas dakwaan itu. Antaranya menulis, “Baik punya spin.”

Sebelum ini, lima pegawai kanan Pejabat Menteri Kesihatan didakwa ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ekoran terdedahnya skandal RM30 juta itu.

Namun begitu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan berita berkenaan adalah palsu.

Serangan kepada Datuk Noor Hisham dan Datuk Seri Dr Chen bermula di satu laman web bernama Sabahkini2.

Laman itu mendakwa, KP Kesihatan mengawal teknikal projek, KSU menandatangani LOA. Syarikat dapat projek RM30.5 juta dan lebih hebat dapat ‘advance’ 15.2 juta.

Syarikat hartanah bukan bumiputera dapat projek makmal, kata laman itu.

Sebelum ini, blogger dan aktivis Umno Wilayah Persekutuan, Zaharin Mohd Yassin antara pihak yang awal menulis tentang skandal RM30 juta ini.

“Isu rasuah di Kementerian Kesihatan jika di tutup dengan batu konkrit. Adakah anda fikir bau busuk tidak keluar,” tulis Zaharin pada 4 Mei.

Pada hari yang sama, Zaharin menulis lagi, “Khabar seorang pegawai Menteri kata.. ‘Saya buat utk boss’. Dari segi moral apa yang berlaku kes rasuah di satu Kementerian itu arahan Menteri. Punya bongkak pegawai khas menteri ini.”

Ahli parti Bersatu pening kepala, mana satu nak sokong

'MPT Bersatu tak pernah buat keputusan keluar PH'

KEMASKINI 11.34PM | Penambahan kenyataan Marzuki Yahya berkenaan keputusan mesyuarat MPT Bersatu pada akhir Februari lalu, serta kuasa Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi parti.
Seorang pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) menyangkal dakwaan bahawa keputusan untuk keluar daripada PH memang telah dibuat oleh kepemimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamudin, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memang membincangkan sama ada untuk keluar PH atau tidak, pada 23 Februari lalu.

Bagaimanapun Ulya mendakwa ketetapan MPT ketika itu adalah untuk memberi masa kepada pengerusi Dr Mahathir Mohamad bagi memutuskan perkara berkenaan.

“Sehingga hari ini, MPT masih belum menetapkan apa-apa hubungan politik secara formal.

“Oleh kerana tiada gabungan politik yang dipersetujui oleh MPT, tidak salah untuk model kerajaan Kedah diguna pakai, iaitu PH bersama Bersatu,” katanya yang juga anggota MPT parti itu, dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin hari ini, yang mendakwa keputusan untuk keluar PH diputuskan MPT dalam mesyuarat 23 Februari lalu.

Radzi berkata mana-mana ahli yang ingkar terhadap dasar dan keputusan parti, termasuk sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti, boleh digugurkan keahliannya.

Dalam pada itu, Ulya mendakwa yang Bersatu tidak pernah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Umno, PAS ataupun Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mendakwa MPT juga hanya bersetuju dengan Mahathir sebagai calon perdana menteri daripada Bersatu.

“Justeru itu, apabila ahli Parlimen Bersatu yang lain menghantar nama kedua, tindakan itu telah melanggar ketetapan MPT.

“Penting untuk maklum MPT tidak pernah mengubah pendirian ini (calon perdana menteri),” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin Bersatu Marzuki Yahya dalam kenyataan berasingan, turut mendakwa perkara sama.

"Dua perkara amat jelas diputuskan dalam mesyuarat terakhir MPT pada 24 Februari, iaitu sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi, dan sebulat suara menamakan beliau sebagai calon tunggal perdana menteri.

"Mesyuarat MPT pada 23 Februari, tiada keputusan rasmi untuk Bersatu keluar daripada PH. Walaupun perkara tersebut dibahaskan tetapi akhirnya keputusan sebulat suara memberi sepenuhnya kepecayaan kepada Dr Mahathir selaku pengerusi untuk membuat keputusan," jelasnya, yang menyangkal kenyataan Radzi.

Beliau juga mendakwa MPT Bersatu tidak pernah bersetuju untuk mengadakan sebarang hubungan dengan Umno dan PAS.

Untuk rekod, Jawatan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu kini dalam pertikaian, susulan pergeseran antara Mahathir dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin memecat Marzuki dan melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu. Bagaimanapun Mahathir berkata pemecatan itu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi peraturan parti.

'Pengerusi ada kuasa'

Marzuki turut menyangkal kenyataan Radzi bahawa Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH dan Warisan bagi pihak Bersatu, yang menurutnya bercanggah dengan pendirian parti itu.

Kenyataan itu berkenaan tuntutan agar sidang Dewan Rakyat yang seterusnya diadakan selama dua minggu, bukan hanya sehari seperti yang ditetapkan pada masa ini.

"Pemimpin utama parti dan kuasa mutlak untuk memimpin Bersat adalah Dr Mahathir selaku pengerusi, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.

"Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti bahawa tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti," katanya lagi.

Berkenaan kenyataan Radzi bahawa ahli yang ingkar dengan keputusan parti boleh terlucut keahlian, Marzuki berkata Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu tidak terpakai dalam isu itu.

"Persoalan saya kepada Radzi, siapa yang langgar keputusan MPT?...Sebagai ketua penerangan yang ada dalam mesyuarat MPT, beliau seharusnya berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat, bukan membelakanginya," katanya lagi.

Pati – sasaran kebencian yang tersasar

Pati – sasaran kebencian yang tersasar
S Arutchelvan

Pendatang tanpa izin (Pati) dengan erti yang lain adalah pendatang haram. Bahasa yang lebih lembut adalah “pekerja tanpa dokumen”. Seminggu dua ini media massa penuh dengan rasa kebencian terhadap pekerja migran dan pelarian. Beberapa insiden menyemarakkan dan mencetuskan kebencian ini.

Satu adalah bot masyarakat Rohingya yang dihalang dari memasuki kawasan perairan Malaysia dan kedua adalah insiden di Pasar Borong Selayang. Kedua-dua insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi negatif di kalangan netizen.

Pelbagai cerita dan troll mula membanjiri dan menular di media sosial. Kebanyakan mengutuk kehadiran pelarian dan pekerja migran ini yang dipaparkan sebagai kurang ajar dan sudah melampau.

Golongan NGO dan aktivis yang bersimpati dengan mereka terus dikejam dengan bahasa kesat dan lucah. Satu lagi prakata yang sering digunakan adalah, “Jika anda suka, simpanlah mereka di rumah anda”. Penahanan Pati di Selangor Mansion juga mencetuskan satu debat sama ada langkah kerajaan menahan mereka itu betul atau salah.

Antara yang menentang pekerja migran ini boleh digolong kepada beberapa golongan. Golongan yang paling ekstrem adalah mereka yang tidak boleh menerima semua orang dari luar – baik pelarian, pekerja berdokumen dan tanpa dokumen.

Terdapat juga satu golongan yang lebih ekstrem dari posisi ini. Mereka sehingga hari ini melihat etnik Cina dan India pendatang walaupun sebahagian besar dilahirkan di Malaysia dan mempunyai kewarganegaraan. Kemudian ada pula satu pihak yang boleh menerima pekerja migran asalkan mereka sah dan berdokumen.

Kad pelarian UNHCR
Maka golongan yang paling tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat adalah mereka yang dikenali sebagai Pati iaitu dikategorikan sebagai yang datang tanpa izin. Golongan pelarian juga kadangkala digolongkan sebagai Pati kerana mereka juga tiada dokumen sah. Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 namun pelarian dilindungi bawah naungan UNHCR di Malaysia.

Tulisan ini akan memfokus kepada isu Pati iaitu golongan yang paling terkutuk antara semua golongan yang saya utarakan di atas. Berhujah untuk membela mereka adalah satu usaha yang sukar dan sia-sia kata kawan-kawan saya kerana mereka memiliki label-label yang lain seperti pendatang tanpa Izin, seludup masuk, penceroboh, penjenayah, haram, parasit dan lain-lain.

Statistik yang menggerunkan

Dalam satu kajian yang dibuat oleh ILO - Pertubuhan Buruh Antarabangsa - mengenai persepsi masyarakat tentang pekerja Asing di Jepun, Malaysia, Singapura dan Indonesia; didapati masyarakat Malaysia mempunyai persepsi yang amat buruk tentang pekerja asing.

Laporan tersebut menyatakan bahawa 73 peratus rakyat Malaysia berpendangan bahawa pekerja asing tidak harus diberi layanan yang sama seperti pekerja Malaysia dan perlu ada polisi diskriminasi manakala 60 peratus berpendapat jika ada isu penindasan terhadap pekerja asing, maka pihak yang patut disalahkan adalah pekerja asing itu sendiri.

Mengikut persatuan majikan dalam satu kenyataan pada 19 April 2020 terdapat lebih kurang 3.3 juta Pati berbanding dengan 2.2 juta pekerja berdokumen. Anggaran mereka adalah untuk setiap seorang pekerja berdokumen, ada 1.5 kali pekerja tanpa dokumen atau Pati. Mengikut Jabatan Perangkaan pula sejak Mei 31 2019 ada 2,059,382 pekerja berdokumen dari 13 negara yang bekerja dalam enam sektor. Namun banyak pihak lain memberikan angka Pati dalam anggaran lima juta orang.

Mengikut satu rencana yang ditulis oleh Murray Hunter berjudul Malaysia’s massive foreign worker dependency (pergantungan keterlaluan terhadap pekerja asing) yang ditulis pada November 2019, terdapat sebanyak 2.27 juta pekerja asing berdokumen bekerja dan ditambah dengan 2.5 hingga 3.37 juta pekerja asing tanpa dokumen. Jumlah tenaga buruh pekerja asing adalah antara 31 hingga 30 peratus jumlah keseluruhan guna tenaga Malaysia iaitu 15.3 juta. Kebanyakan pekerja asing termasuk Pati bekerja dalam kerja-kerja 3D – sukar, bahaya dan kotor.

Statistik ini amat mencemaskan. Ini bermakna satu pertiga pekerja Malaysia adalah pekerja asing. Yang mengeruhkan adalah jumlah Pati melebihi pekerja sah. Bagaimana ini boleh berlaku? Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai pentadbiran dan kawalan sempadan yang jelas, bagaimanakah ini boleh berlaku? Biasanya di kebanyakan negara yang mempunyai pentadbiran yang baik maka pekerja berdokumen mestinya jauh lebih tinggi berbanding dengan pekerja tanpa dokumen.

Hanya sebuah kerajaan anarki sahaja boleh mempunyai angka seperti ini. Penguat kuasa biasa berhujah mengenai lorong-lorong tikus. Adakah lorong-lorong tikus ini wujud di sempadan atau lorong ini wujud di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigeresan di Putrajaya dan lain-lain tempat.

Covid, Masjid India dan Pati

Pada Hari Buruh tahun ini, Jabatan Imigresen bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan satu operasi besar-besar dan telah menahan 586 Pati, mengikut Menteri Kanan Ismail Sabri mereka semuanya sudah disaring dan dibuat ujian tiga kali dan didapati Covid negatif. Maka mereka ditahan dan dimasukkan di depoh.

Ramai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), NGO dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendirian bahawa ini adalah langkah tidak bijak dan pusingan U kerana sebelum ini disyor bahawa semua pekerja migran termasuk Pati tidak akan ditangkap jika mereka datang untuk membuat ujian Covid.

Operasi bersama polis dan imigresen di Kuala Lumpur baru-baru ini
Dengan tindakan kerajaan ini, sudah pastinya golongan Pati yang lain dalam bilangan jutaan tidak akan datang untuk ujian atau rawatan apabila mereka mempunyai gejala-gejala penyakit covid. Tindakan mereka tidak datang bererti mereka boleh secara aktif menyebarkan virus ini dan bukan sahaja membahayakan kesihatan mereka malah akan mengakibatkan kesihatan masyarakat di luar sana terdedah kepada Covid 19.

Di Singapura yang mempunyai kawalan ketat dan tidak mempunyai masalah Pati seperti Malaysia hari ini sendiri mendapati kes Covid yang mendadak tinggi kerana tersebar di kalangan pekerja Migran. Sekarang bayangkan dengan Malaysia, yang majoriti pekerja asing berstatus Pati tidak akan datang untuk ujian dan mereka pun tidak akan percaya lagi dengan kerajaan.

Maka walaupun ramai rakyat yang mengalu-alukan tindakan kerajaan menangkap golongan Pati ini tetapi mereka gagal melihat implikasi yang lebih besar dan kemudaratan yang bakal boleh menimpa.

Terlalu banyak Pati – salah siapa?

Siapakah harus dipersalahkan apabila terlalu ramai Pati? Adakah kita salahkan Pati itu kerana mereka curi-curi masuk atau kita kena mempersalahkan penguatkuasaan, pihak imigresen dan polis yang membenarkan sempadan kita diceroboh dan dibolosi.

Atau patutkah kita salahkan pihak majikan yang ambil mereka untuk bekerja. Kita sering melihat rakyat Malaysia begitu teruja apabila melihat Pati ditahan tetapi kita jarang melihat pihak Berkuasa yang membenarkan mereka ceroboh masuk ditahan mahupun pihak majikan yang ambil mereka bekerja ditahan atau dipenjarakan?

Maka antara tiga golongan yang mempunyai kaitan langsung dengan masalah Pati iaitu agensi kerajaan, majikan dan Pati – pihak yang selalu menjadi mangsa dan selalu kita kutuk adalah golongan yang paling miskin dan paling kurang berkuasa antara tiga pihak ini.

Salah agensi dan agensi perdagangkan manusia?

Ramai orang marahkan Pati tetapi tahukah anda ramai juga yang menjadi Pati adalah golongan yang telah ditipu oleh agensi-agensi mereka atau mereka menjadi mangsa sindiket memperdagangkan manusia, Ramai juga antara Pati yang pada awalnya adalah pekerja berdokumen tetapi dokumen-dokumen mereka telah dipaksukan, ditipu dan diseleweng.

Mengikut kenyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Right to Redress, mereka mengatakan 90 peratus Pati adalah mereka yang telah ditipu padahal sebenarnya mereka masuk secara sah dengan dokumen. Ramai yang ditipu setelah sampai kesini dan yang terpedaya dari awal lagi.

Ramai diantara Pati ini sudah membayar wang yang banyak untuk masuk ke dalam negara maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk bekerja secara haram daripada balik ke negara asal, di mana penghutang, ikan jerung dan lain-lain menanti. Mereka juga sering akan memberikan rasuah untuk mengelak diri ditahan.

Ramai dari agensi-agensi yang menipu ini mempunyai hubungan rapat dengan dengan pihak berkuasa tempatan dan ia sememangnya satu perniagaan yang lumayan dan berbaloi.

Tempat penyembunyian pendatang haram di Wang Kelian
Malaysia juga untuk dua tahun berturut-turut telah disenaraikan dibawah senarai tahap kedua (tier two) dalam senarai Jabatan Negara Amerika Syarikat. Ini adalah satu petunjuk bahawa Malaysia gagal menangani perdagangan manusia dan terlibat dalam isu pekerja paksa dan perhambaan moden.

Siapa yang sudah lupa akan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak bukit di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 2015. Laporan Suhakam merumuskan sindiket pemerdagangan manusia melakukan jenayah kemanusiaan di Malaysia dan Thailand ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dari 2012 hingga 2015.

Salahkah majikan yang mengupah?

Majikan pun memang mengakui masalah birokrasi dan lain-lain sekatan, maka mereka juga mengambil pekerja Pati. Bagi majikan, Pati ini bagus dan kurangkan kos mereka. Mereka tak payah bayar levi, tak perlu bayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak perlu bayar gaji minimum.

Pekerja ini pun tidak boleh buat aduan di Jabatan Tenaga kerja atau buat aduan polis kerana status mereka adalah haram. Ada juga kes majikan memeras semua tenaga Pati dan apabila pekerja ini mula menuntut hak yang lebih hak, maka mereka akan dibuang kerja secara tidak sah. Ada majikan yang pada masa-masa ini memberi umpan kepada polis untuk menangkap pekerja mereka yang tidak lagi perlukan.

Sekali lagi, reaksi rakyat adalah marah pada Pati tetapi tidak marah kepada majikan yang langgar undang-undang dan ambil mereka bekerja. Berapa banyak majikan yang pernah ditahan dan didakwa kerana kesalahan ini?

Perang dingin KSM dan KDN?

Untuk sekian lama ada satu perang dingin dari segi siapakah antara Kementerian Sumber Manusia(KSM) dan KDN yang patut mengurus pekerja asing di negara kita?

Ramai kumpulan termasuk majikan, kesatuan sekerja dan NGO yang merasakan bahawa pihak yang sepatutnya menguruskan hal-ehwal pekerja migran adalah KSM kerana mereka mempunyai kaitan terus dengan jumlah pekerja yang diperlukan, jumlah penggangguran dan sektor mana yang memerlukan pekerja.

Walaupun semua pihak merasakan pihak KSM yang patut kendalikan ini namun demikian KDN langsung tidak mahu membenarkan ini. Pada bulan Ogos 2018, kabinet telah membentuk satu jawatankuasa khas diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamuddin Yunus untuk mencadangkan kepada kerajaan pendekatan holistik berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

Namun walaupun jawatankuasa itu telah mengadakan sesi bertemu rakyat dan telah meneliti lebih 100 petisyen, namun laporan tersebut tidak dijadikan dokumen awam dan kemungkinan telah di OSA-kan (diletakkan bawah status sulit Akta Rahsia Rasmi).

Apakah yang dirahsiakan? Pekerja asing adalah satu perniagaan yang mega dan lumayan. Terdapat pelbagai kes rasuah termasuk kes Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan pengambilan pekerja dari Bangladesh. Maka KDN tidak akan sekali-kali melepaskan lubuk emas ini kepada KSM.

Sasaran kebencian yang tersasar

Hari ini rakyat Malaysia benci dengan Pati. Keadaan krisis ekonomi dan Covid menyebabkan kemarahan itu sudah kemuncak. Satu penyelesaian yang munasabah dan berkekalan nampaknya tidak kelihatan. Ini adalah kerana kita hanya menggunakan hujah dan sentimen emosi untuk menghalau Pati dan pada masa yang sama tidak mahu meneliti isu-isu struktural yang lebih serius.

Isu monopoli, isu rasuah dan salah guna kuasa berleluasa. Namun rakyat Malaysia dipaksa oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk memesong pandangan kita kepada Pati sebagai pendatang haram padahal isu-isu yang lebih besar seperti isu rasuah dipinggirkan dan diremehkan.

PSM dan NGO hak migran sudah lama membuat persidangan meja bulat. Sudah lama memberikan pandangan dan penyelesaian yang menyeluruh. Pandangan ini malah disokong oleh pihak kesatuan sekerja, persatuan majikan, para akademik dan pihak berkepentingan yang lain namun tidak ada kewibawaan politik untuk menyelesaikan isu ini.

Sehingga hari ini tidak ada satu polisi dan dasar kebangsaan yang menyeluruh mengenai keperluan guna tenaga dan undang-undang yang selari dengannya. Regulasi pendatang asing, Pati sering ditukar standard operasi piawai (SOP) sehingga ia menjadi lawak jenaka kepada kebanyakan pihak yang berurusan dengan jabatan imigresen.

Lain kali bila kita bersorak apabila Pati ditahan, jangan lupa, kita tidak menyelesaikan masalah pokok. Kita hanya bermain-main dengan ranting-ranting. Esok lusa mereka kembali lagi.

S ARUTCHELVAN ialah timbalan pengerusi PSM

Dr M hantar notis usul tak percaya terhadap PM dan Shafie Afdal hantar notis percaya terhadap Dr Mahathir

B Nantha Kumar

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad telah menghantar notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Surat kepada speaker telah dihantar. Usul berkenaan telah difailkan oleh (anggota parlimen) Langkawi," kata sumber yang boleh dipercayai kepada Malaysiakini.

Jelasnya, ini berbeza dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) Eddin Syazlee Shith bahawa Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima sebarang usul berkenaan.

"Ini timbalan menteri bercakap dalam perkara yang dia tidak tahu.

"Dia komen perkara yang dalam ruang lingkup kuasa speaker. Sepatutnya speaker yang beri ulasan jika perkara menyentuh usul sebab suatu usul itu perlu diserahkan kepada speaker," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, anggota parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan dan kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.

Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, anggota parlimen masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.

Malaysiakini telah menghubungi sekretariat PH untuk mendapatkan ulasan.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai usul tersebut, sumber itu yang merupakan seorang pemimpin kanan dalam PH berkata adalah menjadi tanggungjawab Muhyiddin untuk membuktikan beliau mendapat majoriti mudah di parlimen.

Katanya, usul berkenaan dimasukkan di bawah aturan 26(1) dan dibaca bersekali dengan 27(3) Peraturan Mesyuarat.

"Sesuatu usul di bawah aturan 26(1) tidak boleh ditolak oleh speaker.

"Namun, pada hari tersebut jika kerajaan PN memasukkan usul dari pihak kerajaan maka peraturan mesyuarat menyebut bahawa usul kerajaan hendaklah didahulukan.

"Dalam kata lain kerajaan PN boleh "frustrate" usul pembangkang hanya dengan memasukkan urusan kerajaan. Usul pembangkang itu akan kekal dalam 'order paper' tapi tidak berpeluang untuk dibahas dan diundi," katanya lagi.

Sidang parlimen yang akan datang hanya akan diadakan sehari iaitu pada 18 Mei bagi membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Bagaimanapun, pembangkang menggesa sidang itu diadakan selama dua minggu memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dilonggarkan.

Parlimen tempat uji sokongan terhadap Muhyiddin

Sambil mengakui PH mengambl maklum dan amat prihatin mengenai masalah dihadapi rakyat akibat Covid-19, sumber menegaskan usul terhadap Muhyiddin perlu dilakukan bagi membuktikan tahap sokongan terhadapnya.

"Ia adalah tentang keseimbangan antara legitimasi sebuah kerajaan dengan tanggungjawab bersama membantu rakyat dalam menghadapi krisis Covid-19.

"Penting untuk membuktikan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti setelah pada Februari, Yang Dipertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ) melantik beliau sebagai perdana menteri yang pada kepercayaan baginda bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

"Parlimen adalah tempat untuk menguji sokongan itu. Ini soal legitimasi sesebuah kerajaan dan parlimen adalah saluran yang sah," katanya.

Sementara itu, PH juga telah menghantar cadangan nama ketua pembangkang kepada Yang Dipertua Mohamad Ariff Md Yusoff.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan siapakah calon PH sebagai ketua pembangkang.

"Pembangkang juga akan bersedia mencadangkan nama pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika kerajaan masih memperuntukkannya kepada ahli parlimen pembangkang," jelasnya..

Selain itu, PH juga akan berbincang mengenai susunan tempat duduk parlimen, katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tempat duduk anggota parlimen akan disusun semula untuk memastikan penjarakan sosial semasa dewan bersidang.

Timbalan Speaker Mohd RashidHasson dipetik sebagai berkata, pengerusi baru PAC akan dilantik bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya Dr Noraini Ahmad.

Shafie Apdal hantar notis undi percaya Dr M
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah menghantar usul untuk memulakan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen.

Langkah itu bagi membuktikan MP Langkawi terbabit masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, yang merupakan syarat untuk seseorang menjadi perdana menteri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Yusof mengesahkan menerima notis usul tersebut yang bertarikh 1 Mei.

Shafie yang juga MP Semporna berkata di dalam notis itu, bahawa beliau tidak berniat bercanggah dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, tetapi sebaliknya langkah itu bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selanjutnya, dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa melantik seorang perdana menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh rakyat jelata dan juga sebagai sembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong/Istana Negara," kata notis itu yang dilihat Malaysiakini.

Ketika dihubungi tengah hari tadi, Mohamed Ariff turut mengesahkan menerima notis berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Katanya, setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

“Tunggu kenyataan penuh oleh setiausaha Dewan Rakyat esok,” katanya melalui satu pesanan teks.

Malaysiakini sudah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas daripada Shafie.

Umno tolak sertai PN secara rasmi

Haspaizi Zain

Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi, menurut sumber dalam parti itu.

Sumber itu berkata, keputusan itu dicapai sebulat suarat dalam mesyuarat MT pada Isnin lalu bagi menjaga kedudukan dan kepentingan parti itu.

"MT sebulat suara tolak, kita tak mahu jadi parti kecil. kalau banyak parti dalam PN, Umno tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.

"Sebelum mesyuarat MT, parti melalui mesyuarat biro politik juga sudah menolak cadangan ini.

"Kemudian mesyuarat pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri juga menolaknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Umno, serta rakan komponen BN iaitu MCA dan MIC, memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS pada akhir tahun lalu.

Menerusi Muafakat Nasional, BN dan PAS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri kepada gabungan Perikatan Nasional.

Susulan pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan negeri yang dikuasai PH juga tumbang selepas krisis politik Februari lalu, yang berlangsung kira-kira seminggu.

Akhir bulan lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukanlah satu gabungan yang berdaftar secara rasmi dan Umno tidak pernah menyertainya.

"Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH," katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi.

'Platform rasmi cerita lain'

Dalam pada itu Anggota Majis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan untuk mendaftar PN dan Umno sebagai ahli sekutunya perlu diteliti sebaik mungkin.

Pada masa sama, katanya, sokongan Umno terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku perdana menteri tidak perlu diragui.

"Ia perlu dilihat dengan serius apa kebaikan yang Umno dapat dan juga keburukannya. Tapi ini bukan bermakna Umno tak sokong PN, kalau tak sokong kita tak berada dalam kerajaan.

"Umno boleh bagi keyakinan bahawa kita sokong PN dan perdana menteri, untuk (PN) jadi platform rasmi itu cerita lain," katanya lagi.

Menerusi PN, Umno berjaya mentadbir kembali negeri yang dimenangi PH pada PRU lalu, iaitu di Melaka (sebelum ini ketua menteri daripada Amanah) dan Johor (sebelum ini menteri besar daripada Bersatu).

Di Perak pula, Bersatu kekal memimpin kerajaan Perak meskipun Umno menguasai lebih banyak kerusi di DUN.

Tun M, Armada sepakat kerjasama PH, tolak Umno

SITI NUR ZAWANI MISCON
Armada Bersatu Malaysia berpendirian untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Dalam satu kenyataanya hari ini, Armada memaklumkan, keputusan dicapai berdasarkan undian yang dibuat semasa perjumpaan dan dipersetujui lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.

“Armada menyokong penuh pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.

“Armada berpendirian untuk mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang diberi pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Keputusan tersebut diumumkan selepas satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan isu masa hadapan dan kelangsungan parti yang dihadiri Exco Armada, ketua-ketua Armada Negeri dan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir.

Armada berkata, Bersatu telah pun bersama Pakatan Harapan dari seawal perjuangan menyelamatkan negara.

Terdahulu, AMANAH menyambut baik tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu kembali bersama PH.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pelbagai krisis dialami negara pada masa ini memerlukan keteguhan gabungan PH serta berdepan dengan Perikatan Nasional (PN).

“Keutuhan gabungan bersama Pakatan Harapan merupakan tunjang dan kekuatan dalam menghadapi segala krisis yang melanda negara dan pada masa yang sama berhadapan kerajaan pintu belakang PN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

145 pekerja binaan larikan diri selepas ujian Covid-19

Minderjeet Kaur

Lebih 100 pekerja asing menyembunyikan diri selepas menjalani ujian saringan Covid-19.
PETALING JAYA: Sekumpulan pekerja asing menghilangkan diri selepas ujian saringan dilakukan ke atas mereka yang menjadi kontak kepada pekerja dijangkiti Covid-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy di ibu negara.

Sumber berkata, 145 pekerja melarikan diri dari tapak pembinaan itu.

“Mereka melarikan diri selepas pasukan perubatan melakukan ujian saringan dan ketika polis dalam perjalanan untuk mengepung kawasan itu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa mempunyai butiran mereka yang diambil ketika ujian saringan dan keputusannya mungkin diketahui hari ini.

Beliau memberitahu FMT, satu laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu dan 11 pekerja berjaya ditahan.

FMT cuba menghubungi polis mengenai kes itu.

Sementara itu, pihak bertanggungjawab berhubung keadaan itu dijangka mengadakan pertemuan hari ini.

Terdapat kira-kira 400 pekerja di tapak pembinaan Pavilion Embassy yang dikenakan perintah kawalan pergerakan disasarkan semalam. Kebanyakannya ialah warga asing.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara berkata 28 pekerja asing yang disahkan positif Covid-19 dihantar ke hospital dan selebihnya menjalani kuarantin ketat di sebuah hotel.

7 pendatang asing dilapor lari dari pusat kuarantin Covid-19

Tujuh individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes Covid-19 dilapor melarikan diri dari pusat kuarantin di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Menurut sumber The Star, individu berkenaan yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh tinggal di sekitar Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru.

Dilaporkan mereka melarikan diri pada awal pagi Isnin. Kehilangan mereka disedari pada kira-kira jam 10.00 pagi oleh doktor yang membuat rondaan.

Menurut laporan, mereka sepatutnya dikuarantin sehingga 7 Mei.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim telah merujuk perkara itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma), yang menyelia pusat kuarantin berkenaan.

Bulan lalu, pegawai kesihatan menjalankan ujian saringan di flat PKNS di Kampung Baru, berikutan kematian akibat wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ia kemudian dilaporkan bahawa seramai 23 penduduk didapati positif.

Sementara itu, Menara City One, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Masjid India diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama beberapa minggu berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, perintah itu ditarik balik pada 3 Mei.

Kawasan-kawasan ini mempunyai jumlah pekerja asing yang tinggi.

Sebelum PKPD ditamatkan, kerajaan menahan beratus-ratus pendatang tanpa izin (pati) di kawasan berkenaan.

Kumpulan hak asasi manusia berkata tindakan itu boleh menyebabkan Pati menyembunyikan diri dan sekali gus menjejaskan usaha membendung jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yakob berkata kesemua 586 Pati yang ditahan dalam serbuan berkenaan telah menjalani ujian saringan dan didapati negatif Covid-19.

Justeru beliau berkata, pengkritik operasi penahanan Pati perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana ujian yang dibuat menghalang penularan Covid-19.

colek dilarang jual di Kelantan

MALAYSIA DATELINE
Paling lewat membuat keputusan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kelantan akhirnya memutuskan untuk melaksanakan polisi itu bermula esok.

Keputusan kerajaan negeri Pas tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 di Kota Bharu hari ini.

“Kita putuskan akan melaksanakan PKPB bermula esok. Pada dasarnya, keseluruhan item yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat kita akan laksanakan dan terima.

“Semoga hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pemulihan sektor ekonomi rakyat berlaku,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagaimanapun, terdapat sedikit perubahan kesesuaian masa yang akan dilaksanakan di Kelantan setelah 36 item ekonomi dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, mesyuarat juga memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti perniagaan colek pada waktu malam di negeri itu yang lazimnya meriah setiap kali Ramadan.

“Sektor makanan beroperasi bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang. Insya-ALLAH selepas Ramadan ini ada SOP (prosedur standard operasi) lain,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan masjid-masjid dibuka bagi solat berjemaah.

“Setakat ini masjid hanya empat orang dibenarkan sebagaimana digariskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kecuali terdapat perubahan daripada Maik,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, hanya empat negeri muktamad menerima sepenuhnya PKPB yang bermula semalam iaitu Terengganu, Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Lima negeri lagi menolak PKPB sekali gus tidak membuka semula sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Kesemua negeri terbabit memutuskan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei.

Sementara itu, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan bersetuju melaksanakan PKPB tetapi dengan pengubahsuaian tertentu antaranya pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.

Ekoran itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganggap keingkaran negeri terbabit mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pihak industri.

PH terbuka terima Bersatu semula, kata Anwar

Shakira Buang

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika Bersatu berhasrat untuk menyertai gabungan itu semula.

Bagaimanapun, Anwar mengingatkan Bersatu perlu patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH.

“Itu keputusan yang harus dibuat Bersatu. Ada dua Bersatu sekarang, keputusan harus dibuat sebagai satu parti dan PH mengambil sikap terbuka.

"Tapi harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori dalam PH, termasuk sistem menolak sistem korup dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan yang lalu,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Mukhriz kelmarin yang menggesa Bersatu untuk bersama Pakatan Harapan sekali lagi.

Mukhriz dalam kenyataannya sebelum ini berkata peluang terbaik Bersatu adalah bersama PH kerana parti itu perlu bersaing merebut sokongan pengundi Melayu, sama seperti Umno dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Menteri Pulau Pinang anggap Azmin 'pemalas'

PP beri penjelasan pelaksanaan PKPB, anggap Azmin 'pemalas'
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mendakwa Putrajaya mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tanpa memberikan masa yang cukup kepada kerajaan negeri bagi membuat persiapan.

Kata Chow Putrajaya telah mengadakan mesyuarat bersama 13 ketua menteri negeri pada 28 April lalu dan diberi penerangan berkenaan PKPB serta status ekonomi negara.

Ekoran itu, menurut Chow, pemimpin kerajaan negeri meminta sedikit masa untuk menyusun strategi membuka semula ekonomi dan meneliti garis panduan bagi industri tertentu.

Garis panduan tersebut, katanya, patut diberikan kepada kerajaan negeri pada 30 April namun Chow mendakwa perkara itu tidak berlaku.

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada kerajaan negeri (termasuk Pulau Pinang) yang membantah pelaksanaan PKPB pada mesyuarat tersebut.

“Tetapi kami hanya minta supaya diberikan masa untuk menyusun strategi pelaksanaannya,” kata Chow dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Muhyddin Yassin mengumumkan untuk membuka semula sektor ekonomi semasa menyampaikan ucapan sempena Hari Buruh pada 1 Mei lalu.

Garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) mengenanya kemudian dikeluarkan dua hari kemudian.

Bagaimanapun, banyak kerajaan negeri tidak bersetuju atau menangguhkan pelaksanaan berkenaan atas alasan beberapa peraturan perlu diteliti terlebih dulu.

Pulau Pinang misalnya memilih untuk hanya membuka semula sektor ekonomi pada 8 Mei bagi memberi masa kepada kerajaan negeri dan sektor perniagaan benar-benar bersedia.

Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang dan Kedah juga tidak mula membuka sektor ekonomi masing-masing semalam. Beberapa negeri hanya akan membuat keputusan untuk berbuat demikian pada minggu ini.

Chow berkata Muhyddin “terlalu bersemangat” untuk membuka sektor ekonomi, manakala beliau menggelarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali sebagai "pemalas” kerana gagal berunding dengan negeri.

“Justeru, tidak pernah berlaku sebelum ini banyak negeri, sama ada dari Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan berbeza daripada apa yang diharapkan oleh Azmin.

“Saya ingin bertanya kepada menteri kanan berkenaan, apa yang beliau harapkan apabila - sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab - begitu malas untuk melibatkan semua kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan PKPB ini,” kata Chow.

Muhyiddin lebih baik berundur sebelum dihumban keluar

TAMRIN TUN GHAFAR

Bagi menghormati bulan Ramadhan ini saya telah bertekad untuk tidak membuat sebarang komen seperti yang lazim dilakukan.

Namun, dengan beberapa peristiwa dan kenyataan politik beberapa hari ini, tidak dapat tidak atau suka tidak suka saya terpanggil juga untuk memberi ulasan.

Walaupun ramai yang bersetuju namun tidak dapat dinafikan ada juga segelintir ‘pengampu-pengampu’ yang tidak senang dengan pandangan dan kritikan saya sama ada secara terang-terangan mahu pun secara sinis.

Kita perlu menegur dan bercakap benar jika mahu melihat negara kita terus maju, malah lebih maju dari negara lain yang sudah maju.

Perkara ini tidak mustahil; jika kita masih ingat kehebatan negara kita pada awal 1990 di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, negara kita disanjung tinggi sehingga digelar ‘The Asian Tiger’ oleh dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan George Soros yang pernah mengkritik Dr. Mahathir ketika Asian Financial Crisis akhirnya memuji kehebatan dan kecekapan beliau menangani situasi tersebut dengan baik dan berkesan.

Begitu juga walaupun tidak disenangi oleh sembilan Raja-Raja Melayu, namun Dr. Mahathir memilih menyelamatkan negara dan rakyat dari terus ‘dibuli’ dan dalam masa yang sama berjaya menyelamatkan institusi Raja Berpelembagaan semasa krisis Perlembagaan dahulu.

Malangnya, masih ada di kalangan mereka yang marah dan menggangap Dr. Mahathir seorang ‘pembelot’.

Dr. Mahathir bukanlah maksum seperti Abdul Hadi Awang, beliau juga tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, walaupun sudah menjangkau usia 93 tahun ketika itu namun parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu pada masa itu terpaksa memujuk Tun bagi mengepalai mereka bagi menumbangkan Umno-BN.

Lantaran keengganan kerajaan Najib Razak membenarkan penggunan nama dan simbol PH ketika itu, akhirnya mereka semua bersetuju meminjam nama dan simbol PKR.

Situasi sama ini hampir menjadi kenyataan apabila Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz pernah membenarkan DAP (yang kini dianggap oleh Hadi sebagai anti Melayu dan Islam) bertanding atas nama dan simbol Pas.

Tun telah dipilih sebagai Pengerusi Bersatu dan Muhyiddin pula sebagai Presidennya.

Mengikut Perlembagaan Bersatu, Pengerusi mempunyai kuasa yang lebih dari Presiden; sebagai contoh Presiden mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Pengerusi bagi segala apa yang hendak dilakukan, ini termasuk dalam pelantikan Setiausaha Agung parti.

Langkah Sheraton telah mengubah corak amalan politik negara apabila Muhyiddin sanggup melupakan perjanjian persefahaman antara empat parti gabungan PH yang mana beliau sendiri menandatanganinya.

Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan Umno, Pas dan disokong pula oleh GPS Sarawak dan 10 bekas Ahli Parlimen PKR pimpinan Azmin Ali bagi menubuhkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Bagi mendapatkan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin selaku Pengerusi Bersatu Johor sanggup dengan mudah menyerahkan kerajaan Johor dari Bersatu kepada Umno.

Di Johor, wakil-wakil rakyat dari Bersatu sudah tidak lagi dihormati oleh Umno.

Rakyat Johor mula terasa telah DIPERALAT dan DITIPU oleh Muhyiddin dek kerana gilakan jawatan Perdana Menteri.

Mereka masih terbayang bagaimana benci dan janji Muhyiddin bahawa apa pun jadi tidak akan bersama Umno lagi; jika di Jepun terutama di zaman samurai dahulu demi menjaga maruah…, faham sajalah.

Jika Dewan Negeri Johor dibubarkan dan diadakan pilihan raya semula, Bersatu yang kini ada 11 kerusi Dewan Negeri akan hanya dapat tidak lebih empat kerusi sahaja.

Pada rakyat Johor khususnya mereka terlalu bosan dari terus dipermain-mainkan dan ditipu seolah-olah undi mereka pada Bersatu tidak dihormati.

Apa faedah menyokong Bersatu jika Muhyiddin yang kini sudah dapat apa yang diidamkan selama ini, maka beliau sendiri tidak pedulikan perasaan pengundi di sana.

Walaupun tidak boleh bertahan lama atas sebab tekanan politik dan barah tali perut sehingga ada yang menggelarkan beliau sebagai Perdana Menteri setengah hari (beliau perlu balik ke rumah setiap hari dan berehat selepas mengambil ubat-ubatan), namun yang penting bagi Muhyiddin ia terukir dalam sejarah negara bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri walaupun tidak sampai setahun.

Inilah sikap mementingkan diri daripada menghormati suara dan kehendak rakyat yang telah menolak Umno dan Pas.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu: “Yang menang jadi pembangkang, yang kalah jadi kerajaan.”

Dalam politik tidak ada kawan dan lawan yang kekal – dulu Muhyiddin dan Azmin adalah ‘orang kepercayaan’ Tun Mahathir tapi demi kepentingan diri masing-masing, kedua-dua mereka sanggup menikam Tun dari belakang.

Lupakah kita peristiwa Muhyiddin ‘menikam’ Abdullah Badawi dan lupakah kita bagaimana Azmin ‘menikam’ Anwar serta Wan Azizah ekoran ‘Langkah Kajang’?

Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak ubah seperti nyawa di hujung pedang.

Ekoran kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, beberapa hari lalu, sudah ada laporan-laporan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang ingin kepastian apakah PN pernah didaftarkan seperti Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, bila pula Azmin Ali dan sembilan Ahli Parlimen PKR mengisi Borang Keahlian Bersatu dan diluluskan pula oleh parti yang mana Tun bukan sahaja sebagai Pengerusi, bahkan telah diumumkan menang tanpa bertanding bagi penggal akan datang sedangkan Muhyiddin sebagai Presiden pula menghadapi tentangan?

Bagi menentukan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya itu tidak tergugat, beliau sanggup menjadi pak turut – kini tidak ubah seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) – siapa saja orang politik yang berjawatan tidak kira sama ada di Pusat mahu pun Negeri membuat ugutan, maka bagi menutup mulut, mereka akan diberi jawatan dalam Syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Muhyiddin selaku Pengerusi Bersatu Johor kini tidak mampu berbuat apa-apa terhadap Umno yang terang-terangan membuli Bersatu di peringkat negeri Johor walaupun Bersatu mempunyai 11 Kerusi Dewan Undangan Negeri dan majoriti Kerajaan PN hanya satu kerusi sahaja.

Difahamkan Kerajaan negeri Perak juga sedang bergolak di mana hampir kesemua Ketua-Ketua Bahagian Umno tidak senang dengan Menteri Besar mereka yang kebetulan pula penyokong kuat Muhyiddin.

Jika ini berlaku, Bersatu yang hanya mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, termasuk tiga yang melompat, pasti akan tumbang.

Que sera sera – apa nak jadi, jadilah yang maha penting bagi Muhyiddin ialah jawatan Perdana Menteri saja.

Apakah benar RM250 bilion bagi menangani masalah yang dihadapi Makcik Kiah seperti yang pernah diumumkan dan disambut dengan titisan air mata gembira benar-benar mencapai sasaran atau satu lagi gula-gula yang dicampakan ke atas tanah untuk kutipan Makcik Kiah?

Rakyat tidak sabar menunggu bagi melihat sejauh mana kerajaan PN ini boleh bertahan.

Muhyiddin ada dua pilihan:

i. Bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri, tangguhkan lagi sidang Parlimen ATAU,

ii. Pilih jalan mana yang sesuai untuk keluar sebelum dihumban – pintu depan, belakang, tingkap atau bak kata Abdul Hadi, Duta Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri, ‘melalui’ tebuk atap’.

Bagi tujuan meraih simpati dan sokongan dan dalam masa yang sama menyalahkan Tun kerana meletak jawatan, nasihat ikhlas saya Hentikan drama atau mainan politik kononnya beliau tidak berminat hendak jadi Perdana Menteri.

‘YA Allah masukkan aku dari pintu yang benar dan keluarkan aku juga dari pintu yang benar’ – Amin!

Ingkar PKP: Rakyat biasa ramai kena penjara, Anak Zahid Hamidi kena denda RM800 je


Anak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dikenakan hukuman denda sebanyak RM800 selepas didapati bersalah melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 20 April lalu.

Suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff turut dikenakan denda sama atas kesalahan itu.

Keputusan itu dibuat Majistret Shah Wirah Abdul Halim selepas Nurulhidayah dan Saiful Nizam mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Pasangan itu didakwa melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut kertas pertuduhan yang dibaca, Nurulhidayah dan suami didakwa melakukan kesalahan itu pada jam sembilan pagi 20 April apabila bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Oleh itu mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurashikin Mokhtar memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan denda maksimum RM1,000.

Peguam mereka, Ahmad Zaidi Zainal pula berhujah bahawa pertemuan itu dibuat atas jemputan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad.

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh.

Nurulhidayah ketika diserbu wartawan selepas prosiding hanya mengucapkan terima kasih dan melambai kepada wartawan.

Majistret tidak membenarkan media masuk ke kamar perbicaraan ketika prosiding berlangsung.

Pada 20 April lalu, beliau memuat naik gambar pertemuan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad di Instagram, yang mengundang kriitikan kerana didakwa melanggar PKP.

Polis kemudian memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Nurulhidayah dan Saiful Nizam dan mereka disiasat menigikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan - atas perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang mengancam nyawa - dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 - kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

Kemalangan maut akibat pemandu mabuk: Kamarul ‘disekolahkan’ peguam

MALAYSIA DATELINE

Kamarul ‘disekolahkan’ peguam.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff dilihat terus dihujani kritikan berhubung pendiriannya yang menyalahkan DAP dalam insiden kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

Beliau menganggap Anthony Loke dari DAP ketika menjadi Menteri Pengangkutan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah gagal menyiapkan draf pindaan tiga seksyen dalam Akta JPJ iaitu Seksyen-Seksyen 41, 44 dan 45.

Kamarul mendakwa tidaklah sampai perlu memakan masa yang lama jika Anthony betul-betul buat kerja.

Kritikan paling mendapat perhatian ramai adalah daripada peguam, Liyana Marzuki yang pernah 10 tahun berkhidmat di Pejabat Peguam Negara (AGC) selama 10 tahun.

Menurut Liyana, Anthony sekurang-kurangnya berusaha untuk membuat pindaan dalam tempoh kurang dua tahun.

“Ada RUU sebagai contoh, Akta Persaingan sampai 15 tahun baru dibentangkan di Parlimen,” hujahnya.

Dalam masa sama, bekas pegawai khas menteri itu berkata, kes pemandu mabuk bukan hanya berlaku ketika pentadbiran PH sahaja.

“Nak tanya kes pemandu mabuk ini zaman PH sajakah? Zaman BN dulu tiadakah? Pasti ada juga. Mengapa tiada pindaan dibuat masa itu?” bidasnya.

Sehubungan itu, Liyana yang kecewa dengan pandangan Kamarul sebagai pemegang PhD dalam sains politik merumuskan agama dan kaum diguna hanya untuk menakutkan rakyat.

Liyana turut menasihatkan agar Kamarul tidak bersikap partisan dalam meneliti sesuatu isu.

“Kena adil. Bentuk pemikiran rakyat berpandukan fakta dan kebenaran,” tegas Liyana.

Kamarul kemudiannya dalam reaksi beliau mengakui pendapat Liyana itu menyebabkannya dicerca beramai-ramai kerana telah ‘disekolahkan’.

“Saya sendiri bukannya jahil mengenai aspek pindaan undang-undang ini kerana pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Menteri Undang-Undang, malah kenal baik dengan bukan setakat pegawai AGC tetapi dengan Peguam Negara sendiri.

“Seorang mantan Peguam Negara malah mengesahkan kepada saya semalam bahawa draf pindaan akta boleh disiapkan dalam masa secepat dua minggu sahaja, cuma yang lambat adalah menunggu sidang Parlimen berlangsung sahaja,” katanya hari ini.

Terdahulu Kamarul menegaskan bahawa sememangnya DAP bersalah sehingga banyak sekali insiden kemalangan maut membabitkan pemandu yang dipercayai mabuk berlaku sejak dua tahun lalu, termasuk insiden membabitkan Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Safwan, 31, meninggal dunia kira-kira jam 2.11 pagi, 3 Mei lalu selepas dirempuh, dihempap dan diseret oleh Toyota Hilux yang dipandu oleh Kalaichelvan A/L Kanniappan, 44, yang dipercayai mabuk.

“Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas gerak kerja bagi mengatasi masalah kemalangan maut membabitkan pemandu yang dipercayai mabuk ini dari bulan Mei 2018 ke bulan Februari 2020 adalah pemimpin DAP, Anthony Loke.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke jelas gagal menangani masalah pemandu mabuk ini di sebalik janji berdegar-degar beliau untuk berbuat demikian pada peringkat awal beliau memegang jawatan ini, khususnya setelah berlakunya beberapa kemalangan maut.

“Bila empat rakyat Malaysia maut dilanggar pemandu mabuk di Tawau, Sabah, Anthony Loke pun segera berjanji pada 11 Julai 2018 bahawa Kementerian Pengangkutan akan memperketatkan undang-undang sedia ada bagi menangani kes-kes pemandu mabuk.

“Begitupun, tiada apa-apa berlaku hinggalah lima lagi rakyat Malaysia maut dilanggar pemandu mabuk di Lorong Menora, Perak, di mana beliau berjanji lagi pada 9 Oktober 2018 untuk mengharamkan pemandu yang menyebabkan kemalangan maut dari memandu seumur hidup,” jelasnya.

Kamarul selanjutnya berkata, tiada apa-apa juga berlaku pada 2018 dan 2019 manakala kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk terus berlaku sehinggalah Anthony membawa isu tersebut ke mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu.

“Tetapi yang dibawa oleh Anthony Loke ke mesyuarat Kabinet ini bukanlah draf cadangan pindaan akta tetapi Hasrat untuk meminda akta sahaja yang mendorong mesyuarat ini memberi persetujuan secara prinsip kepada beliau untuk membuat kajian ke atasnya.

“Tatkala Kerajaan PH hendak terkubur, Anthony Loke mengumumkan pada 13 Februari 2020 bahawa beliau masih pada peringkat mahu mengkaji kerangka dan amalan undang-undang yang digunapakai oleh negara-negara lain dalam mengatasi masalah pemandu mabuk,” tambah Kamarul lagi.

Ustaz Ismail Kamus sudah 10 hari di ICU HKL

ARIF ATAN

Antara buku tulisan perunding motivasi dan pendakwah bebas, Datuk Ismail Kamus.

Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Ismail Kamus difahamkan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 26 April lalu.

Mesej anaknya, Ustaz Firdaus yang tular sejak malam tadi memberitahu tekanan darah rendah dan jantung bekas Adun Gombak Setia (1999 hingga 2004) itu juga dalam keadaan lemah.

“Sekarang pun saya bersama-sama ayahanda di HKL. Mohon doakan ayahanda saya sihat seperti sediakala.

“Mudah-mudahan dimaqbulkan sempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” katanya.

Ustaz Ismail, 72, yang merupakan pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei tahun lalu.

Berita palsu juga tersebar tahun lepas kononnya bekas pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam itu meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, gambar Ustaz Ismail yang terlantar itu telah disalah guna pihak tidak bertangggungjawab.

Pada ketika itu, beliau seperti disahkan Pengerusi Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia Ustaz Abdul Manaf sedang berehat selepas bateri dimasukkan ke dalam jantung.

Covid-19: 250,000 terkorban di seluruh dunia

AFP

Doktor merawat pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Moscow. Rusia mencatatkan lebih 10,000 kes baru pada Ahad lalu, hampir sekali ganda daripada kes baru yang dilaporkan seminggu lalu dan ini kali pertama kes harian mencatatkan 5 angka. (Gambar AP)
PARIS: Jumlah kematian Covid-19 di seluruh dunia meningkat kepada 250,000 orang, dengan lebih 85% daripadanya direkodkan di Eropah dan Amerika Syarikat, menurut pengiraan AFP berdasarkan statistik rasmi.

Setakat 2230 GMT pada Isnin, AS mencatatkan 68,689 kematian, paling banyak berbanding negara lain, manakala Eropah ialah benua yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 dengan 145,023 kematian.

Sejak koronavirus dikesan di China pada Disember tahun lalu, lebih 3.5 juta orang dijangkiti virus itu dan menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.

Selepas AS, angka korban kedua tertinggi direkodkan di Itali (29,079), United Kingdom (28,734), Sepanyol (25,428) dan Perancis (25,201).

Lebih 1.5 juta orang disahkan positif koronavirus di Eropah, tetapi kebanyakan negara hanya menjalani ujian saringan ke atas kes paling serius.

Pengiraan itu, yang menggunakan data dikumpul AFP daripada pihak berkuasa nasional dan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara umumnya dianggap hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada jumlah sebenar individu dijangkiti Covid-19.

PKPB: Peringatan Azmin Ali mengundang kecaman orang ramai

ARIF ATAN

Peringatan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berhubung keengganan kebanyakan negeri melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mengundang kritikan orang ramai.

Rata-rata berpendapat ruang perlu diberikan kepada kerajaan negeri untuk menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang penularan Covid-19 di luar kawalan.

Ada juga yang menganggap Azmin perlu sabar memandangkan pengumuman Perdana Menteri berkenaan PKPB hanya dibuat pada 1 Mei lalu iaitu cuti umum.

Sehubungan itu, persiapan dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan berkaitan perlu dipastikan berada pada tahap terbaik terlebih dahulu.

Tidak kurang menyindir mengaitkan Azmin sebagai “pangarah filem pintu belakang” gagal untuk memahami prosedur yang perlu dilalui di peringkat akar umbi.

Terdahulu, Azmin mengingatkan kerajaan negeri bahawa pihak industri mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang jika sektor ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Kata bekas pemimpin PKR itu, kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomi tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan Pusat.

“Lebih-lebih lagi memandangkan dasar kerajaan persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

“Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Lima negeri menolak pelaksanaan PKPB yang mula dikuatkuasa semalam iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan dengan hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

Kerajaan negeri Selangor pula memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Lain pula halnya di Kelantan apabila hanya pada lusa akan memperhalusi garis panduan PKPB secara lebih mendalam pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri.

Terhegeh-hegeh bos Jakel minta maaf selepas menghina orang Melayu

Bos Jakel mohon maaf selepas adik nafi hina ‘orang Melayu kita’
Faiz Zainudin


Mohamed Faroz Mohamed Jakel berharap orang ramai dapat maafkan adiknya, Muzaffar kerana beliau tidak ada niat untuk merendah atau menghina orang Melayu. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas kenyataan adiknya yang dikatakan menghina orang Melayu.

Adiknya, Muzaffar didakwa menghina orang Melayu ketika menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai prosedur operasi standard Jakel kembali beroperasi hari ini susulan pengumuman Putrajaya pada Jumaat lalu.

Ramai yang marah dan mempertikaikan tindakan Jakel menyambung semula operasi, selepas catatan Muzaffar “Kesian aku dengan orang Melayu. SOP tu bahasa Melayu pun tak pandai baca” di Instagram Stories pada 1 Mei lalu.

Faroz dalam satu klip video di Facebook Jakel berkata, beliau kecewa dan terkesan dengan tindakan tidak sensitif adiknya kerana orang Melayu ialah penyokong terbesar perniagaannya selama ini.

“Saya mewakili seluruh ahli keluarga dan rangkaian perniagaan Jakel memohon maaf kepada rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang tersinggung dengan kenyataan adik saya.

“Memang (Muzaffar) tidak ada niat untuk merendah atau menghina orang Melayu kita. Jakel berjaya dan naik menjadi sebuah gedung terkenal dengan sokongan 100% orang Melayu kita juga.

“Jadi, masakan saya menghina orang Melayu dan tidak tergamak dan tidak terfikir oleh akal fikiran manusia untuk menghina pelanggan kami, yang mana pelanggan kami yang memberi kami rezeki dengan izin Allah, takkanlah kita nak hina orang kita.

“Jadi, saya harap masyarakat dapat maafkan keluarga saya dan pekerja saya,” katanya sambil meminta orang ramai terus menyokong syarikat tekstilnya.

Beliau berkata, isu itu pada mulanya hampir reda, tetapi seorang pengguna Facebook bernama Nor Lizah memuat naik catatan menghina orang Melayu menyebabkan keadaan bertambah teruk.

Katanya, individu terbabit tiada kena-mengena dengan keluarganya mahupun perniagaan Jakel.

“Perkara telah berlalu, segala kekhilafan ini berlaku mungkin salah faham. Tapi telah ditambah tokok oleh posting-posting yang tidak berapa tepat dan sebagainya. Contohnya posting Nor Lizah yang mana beliau mengutuk, menghina, memaki hamun orang Melayu kita.

“Saya dan keluarga langsung tidak mengenali individu itu jauh sekali menyokong kenyataannya.”

Difahamkan, pemilik akaun Nor Lizah membuat laporan polis mendakwa beliau tidak menulis catatan itu, sebaliknya akaun Facebooknya digodam.

Sementara itu, Muzaffar turut memohon maaf atas kenyataannya.

Katanya, beliau hanya pekerja Jakel dan kenyataan itu ialah pandangan peribadi yang bukan mewakili syarikat abangnya.

“Salam semua maafkan saya. Saya hanya insan biasa. Saya sekali lagi memohon maaf di atas kekhilafan dan keterlanjuran yang dikatakan dalam Instagram Stories posting.

“Apa yang saya ingin nyatakan adalah kesalahan saya kerana saya secara tak sengaja menggunakan ayat yang tidak sepatutnya digunakan.”

Dua Adun PKR antara 348 ahli yang dipecat

Dua wakil rakyat PKR adalah antara 348 ahli yang dipecat oleh majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu berikutan syor daripada lembaga disiplin.

"Seramai 348 anggota dipecat.

“Ini termasuk beberapa pimpinan seperti Muhammad Jailani Khamis, See Chee How, Vernon Albert Kedit, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Syarul Ema Rena Abu Samah," kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan di Facebook.

Muhammad Jailani adalah Adun Rembia manakala See pula adalah Adun Batu Lintang.

Menurut Fahmi, parti itu turut menggantung keanggotaan 285 ahlinya berdasarkan keputusan yang dicapai semasa mesyuarat pada 21 Mac dan 26 April.

Fahmi berkata, mereka termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; bekas timbalan ketua AMK, Dr Afif Bahardin: Anggota Majlis Pimpinan Pusat, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid.

“Dari jumlah ini satu melibatkan pimpinan iaitu (Naib Presiden PKR) Chua Tian Chang (Tian Chua).

“Ini sesuai dengan fasal 41.6 perlembagaan parti. Lembaga disiplin sedang meneliti setiap aduan dan bukti-bukti terhadap mereka dan akan mengesyorkan tindakan selanjutnya kepada MPP,” katanya.

PKR memulakan siasatan terhadap mereka yang diketahui bersekutu dengan bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali setelah beliau mendalangi "Langkah Sheraton" pada akhir Februari, yang menyebabkan kerajaan gabungan Pakatan Harapan tumbang.

Azmin kemudiannya bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu yang bergabung dengan Umno dan PAS untuk membentuk Perikatan Nasional, yang mengambil alih teraju kepemimpinan negara.

Tindakan itu disebut sebagai "Langkah Sheraton" kerana puak Azmin bertemu dengan ahli parlimen Umno dan PAS di hotel berkenaan pada malam 23 Februari, yang menjadi mangkin rantaian peristiwa yang mengakibatkan perubahan pemerintahan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, nama-nama mereka yang dipecat atau digantung akan dimuatnaik dalam laman web parti hari ini.

“Dalam mengendalikan setiap kes disiplin PKR berpandukan kepada perlembagaan parti dan menghormati prinsip keadilan sejagat.

“PKR akan terus menjalankan proses membaikpulih parti selepas episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat.

“PKR percaya selepas ini parti akan bertambah kukuh dalam usaha melaksana agenda Reformasi demi rakyat Malaysia,” katanya.

PKPB ditolak: Khaled Nordin salahkan Azmin gagal bincang dengan kerajaan negeri

ARIF ATAN
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Bekas Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018 itu berkata, persetujuan dengan kerajaan negeri berhubung strategi pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) penting bagi mengelak penolakan selepas diumumkan.

“Satu masalah nyata ialah kegagalan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua Kerajaan Negeri sebelum keputusan tersebut diumumkan.

“Adalah sangat penting untuk keputusan sepenting ini dibawa ke perbincangan dengan semua Kerajaan Negeri untuk mendapatkan persetujuan semua.

“Namun, ia jelas tidak dilaksanakan,” kata Khaled yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam akaun Intagram beliau hari ini.

Ekoran itu, beliau menyifatkan kegagalan Azmin itu menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan,” jelas bekas Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Khaled berpendapat strategi pelaksanaan PKPB adalah tidak kemas dan inklusif walaupun keputusan Kerajaan Pusat diyakini telah mendapatkan nasihat saintifik terbaik serta berpandukan data yang meyakinkan.

Pada 28 April lalu, Azmin mengumumkan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Selanjutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 1 Mei lalu mengumumkan kelongggaran PKP kepada PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula mulai hari ini.

Walau bagaimananapun, tujuh negeri sehingga semalam tidak melaksanakan atau mengambil pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) seperti di Selangor.

Keputusan kerajaan-kerajaan negeri itu berkaitan dengan kebimbangan penularan kembali wabak Covid-19.

Mengulas lanjut keengganan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPB itu, Khaled menyifatkan reaksi tersebut sebagai di luar jangkaan.

“Negeri-negeri tersebut mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sektor perniagaan dan perdagangan beroperasi seperti yang disarankan kerana tiadanya ‘a soft landing exit strategy’,” katanya.

Kewibawaan PN

Khaled dalam masa sama menyifatkan penolakan kebanyakan kerajaan negeri terhadap PKPB lebih memberi kesan terhadap kewibawaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

“Apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PN,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Kabinet PN mesti mengambil teladan daripada insiden tersebut memandangkan naratif baru dalam sistem federalisme negara telah muncul.

“Hubungan Kerajaan Pusat dengan Negeri-Negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘normal baru’.

“Zaman di mana semua kebitaraan (hanya satu-satunya) adalah pada Kerajaan Pusat telah berakhir,” tambah Khaled lagi.

Mengapa slogan Negara Islam tidak lagi kedengaran?

DR ZULQARNAIN LUKMAN
Semasa mencari buku di rak terserempak dengan sebuah buku lama bertajuk “Negara Islam Antara Realiti Dan Cabaran (2004), Dewan Ulama Pas Pusat. Oleh kerana bidang perlembagaan ini adalah bidang kajian di UIA dahulu maka secara automatik tangan mengambil buku ini dan membelek isi kandungannya.

Antara yang pernah menjadi polemik dahulu adalah Malaysia ini negara Islam atau negara umat Islam atau negara sekular. Apakah pula isi kandungan negara Islam?

“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di dalam bukunya “Sistem Pemerintahan Negara Islam”, meletakkan prinsip yang utama dalam sesebuah Negara Islam ialah hanya hukum Allah yang ditegakkan, syura, keadilan, kebenaran (al-haq), kebebasan dan persamaan” (hlm 20).

“Perlu diketahui bahawa syirik yang menjadi dosa paling besar dan sangat dimurkai itu bukan sahaja menyembah berhala, tetapi juga memuja manusia, malaikat, jin dan makhluk-makhluk lain yang seperti menyembah, memuji dan memuja Tuhan, menerima dan memakai hukum dan undang-undang ciptaan manusia mengangkatnya setaraf atau ideologi ciptaan manusia dan berjuang untuk menegakkannya.” (hlm 22)

“Tasawwur Negara Islam menurut Pas ialah negara yang menghayati tuntutan Islam yang sebenar…Antara gambaran negara Islam …3.1.6 – Dengan perlaksanaan Hukum Allah SWT, termasuk hukum hudud,..” (hlm 56)

“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, negara hendaklah mengucap dua kalimah syahadah melalui peruntukan perlembagaan dengan cara memasukkan peruntukan khusus bahawa undang-undang tertinggi dalam negara ialah Undang-Undang Islam. Oleh kerana Malaysia tidak meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi negara membuktikan ianya bukan sebuah negara Islam.” (hlm 69)

Ulasan:

Satu ketika dahulu ramai pihak yang begitu taksub dengan slogan Negara Islam. Kini slogan tersebut sudah tidak kedengaran malah hendak disebut pun sekarang sudah jadi segan dan kesipuan. Kalaulah negara Islam itu akidah, sama seperti mengucap dua kalimat syahadat maka wajiblah menyebut perkataan ‘negara Islam’ itu setiap hari. Tambahan lagi, kalau ikutkan tafsiran di atas maka Malaysia bukanlah Negara Islam dan umat Islam sama sekali tidak boleh bersekongkol menjadi menteri bagi sebuah negara bukan Islam, apatah lagi ianya dianggap sebagai syirik sama seperti menyembah berhala.

Bukankah undang-undang sekarang ini sama seperti undang-undang dahulu? Bukankah perlembagaan sekarang ini sama seperti perlembagaan tahun 1957 yang didrafkan oleh Lord Reid? Bukankah perlembagaan Malaysia tidak pernah disyahadahkan? [Konsep negara kena bersyahadah juga konsep yang aneh kerana negara tidak ada taklif untuk ke syurga atau ke neraka.]

Kesimpulan, beberapa petikan di atas menunjukkan konsep negara Islam yang dibawa itu tidak cerap ke bumi. Ianya hanya indah ditulis, dibahas, diseminarkan dan dioles untuk berceramah. Buktinya, ramai yang mendokong konsep negara Islam seperti dalam buku di atas itu kini telah menjadi menteri dan timbalan menteri. Jika ianya berdosa sama seperti syirik menyembah berhala maka tentu sekali mereka tidak sanggup untuk sama-sama dalam mengekalkan ‘perlembagaan penjajah’ seperti sekarang.

Justeru, kesilapan pemahaman terhadap “Negara Islam” perlu diperbetulkan kerana jika ianya tidak diperbetulkan boleh menyebabkan ramai orang terpesong daripada makna sebenar pemerintahan Islam dan bagaimanakah sepatutnya seorang Muslim itu berfungsi dalam sesebuah negara sebagai pemimpin. Secara praktiknya, politik itu anjal dan Islam tidak pernah meletakkan apa-apa model yang Islamik sama ada sistem khalifah, monarki atau demokrasi. Sesuatu negara tidak perlu dijenamakan sebagai negara Islam atau negara bukan Islam.

Dalam hal ini memadailah kita menggunapakai standard bagi orang yang menjadi pemimpin seperti yang ditetapkan dalam Surah Al-Hajj: 41 “Iaitu mereka yang jika kami berikan mereka kekuasaan di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebajikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”