"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


'Lokap polis jijik, kotor macam kandang', lebih teruk dari kandang babi?

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa kesal dengan keadaan lokap polis di negara ini, yang didakwanya kotor lagi menjijikkan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sehingga kini pihaknya menerima lebih 30 aduan mengenai keadaan lokap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Perkara yang banyak diadukan kepada kita iaitu lokap yang amat kotor lagi menjijikkan. Kalau kita lihat daripada apa yang dilaporkan kepada kita maknanya memang tidak layak didiami manusia," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menyifatkan keadaan lokap seperti kandang haiwan, Nadzim bagaimanapun tidak menyalahkan atau menuding jari kepada mana-mana pihak.

Kata Nadzim, perkara tersebut dibawa kepada media kerana terpanggil untuk memperbetulkan keadaan.

"Kita hendak membawa kes ini untuk membetulkan keadaan, kerana malu sebagai sebuah negara Islam, macam mana (tahanan) nak sembahyang terutama mereka yang ditahan ini belum tentunya bersalah," katanya.

Oleh demikian Nadzim mahu pihak berwajib memandang serius perkara itu, malah pihaknya juga bersedia membantu mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah tersebut.

Sukar solat

Berkongsi pengalaman menjijikkan itu ialah pengadu pertama, Yusuf Azmi yang juga merupaka pengarah unit tindakan khas PPIM.

Menurut Yusuf, tempoh empat hari yang dilaluinya begitu sukar apabila terpaksa menahan bau busuk najis dan hancing air kencing hingga membuatkan dirinya berasa loya.

"Kotornya tempat itu cuma ia tidak ada babi tapi baunya amat dasyat daripada kandang babi," kata Yusuf.

Kata Yusuf, keadaan itu menyukarkan tahanan beragama Islam untuk menunaikan solat.

"Tempatnya begitu kotor dan bayangkanlah saya ambil wuduk sambil tutup mata sebab saya tak boleh tengok apa yang ada di bawah (lantai).

"Tempat nak solat itu tak boleh bayangkan kotornya, kencing merata," katanya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi atas dakwaan menceroboh.

Cabar OCPD bermalam di lokap

Ekoran keadaan itu, Yusuf mahu semua Ketua Polis Daerah (OCPD) mengambil maklum lokap di balai masing-masing selain mencabar pihak berkuasa terbabit bermalam di pusat tahanan sementara itu.

"Lokap (yang kotor) mendidik kita lebih jahat, lebih teruk sebab kita terlupa ini negara Islam. Bukanlah kita pembersih sangat tapi Islam kan kena bersih, jadi sekarang ini saya rasa zalim.

"Kita minta semua OCPD tidur semalam di lokap. Ini tanggungjawab OCPD, jadi saya minta semua OCPD terutama OCPD Dang Wangi bau najis di lokap mereka," kata Yusuf.

Pengadu kedua, Ramle Buang turut berkongsi cerita yang sama.

Ramle pernah ditahan berkali-kali di beberapa lokap seperti di Teluk Intan, Perak dan Alor Setar Kedah berkata keadaan pusat tahanan itu begitu menyedihkan.

"Luas lokap itu dalam 8x8 dan lebih 30 orang satu sel. Kencing, berak semua dalam lokap itu. Baunya tuhan saja yang tahu," kata Ramle.

Lokap Israel lebih bersih

Pengadu ketiga, Dr Noorazman Mohd Samsuddin menyifatkan keadaan lokap di Israel lebih bersih berbanding keadaan lokap di negara ini.

"Saya pernah ditahan di penjara Israel, lebih kurang 48 jam. Setelah kami dipukul dan ditembak, ada yang mati dan sebagainya kami masuk penjara.

"Masa kena pukul memang teruklah tapi bila masuk saja penjara, penjaranya tidaklah bagus seperti mana keadaan di luar, tetapi dalamnya bersih.

"Walaupun dalam penjara itu ramai, tapi keadaannya bersih, makanannya disusun rapi walaupun makannya tidak sebagus mana," kata Noorazman.

Menurut Noorazman, beliau tidak berniat menyalahkan mana-mana pihak namun meminta tahanan dilayan sebagai manusia, apatah lagi memandangkan mereka belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Apa yang saya nak tegaskan di sini adalah kebersihan adalah hak semua manusia dan mereka tak boleh nafikan hak kami sebab kami belum tentunya bersalah.

"Kita kena tegas dengan undang-undang tapi kita juga kena tegas dengan kemanusiaan.

"Perkara tentang kebersihan, bagi kita di sini kita kena berperikemanusiaan dengan manusia," tambah Noorazman.
-malaysiakini

2 senario yang mungkin berlaku pada PRU14

FMT Reporters
PETALING JAYA: Satu badan pemikir berkata keputusan pilihan raya umm ke-14 (PRU14) akan ditentukan oleh berapa banyak Parlimen yang Umno tewas akibat daripada perpecahan dalaman yang menyebabkan pembentukan PPBM.

Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berkata di mana Umno berdepan perpecahan yang “besar” – menyebabkan ahli meninggalkan parti – undi Melayu kepada Umno akan menyusut dan kerusi Parlimen Umno akan berkurangan.

Pengarah Eksekutif KPRU Ooi Heng berkata keadaan itu boleh dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1990, apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertelagah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan meninggalkan Umno untuk menubuhkan Semangat 46. Akibatnya, jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi Umno berkurangan 12 kerusi, daripada 83 kerusi pada 1986 kepada 71 kerusi pada 1990.

Keadaan itu sekali lagi dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1999 selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan Parti Keadilan Nasional, yang menyaksikan kerusi 

Parlimen Umno berkurangan 17 kerusi, daripada 89 kerusi pada 1995 kepada 72 kerusi pada 1999.

Oleh itu, Ooi berkata terdapat 2 senario yang mungkin berlaku pada PRU14.

Dalam senario pertama, Umno akan kehilangan 15 hingga 20 kerusi daripada 88 kerusi yang dimenangi pada PRU13, meninggalkannya dengan jumlah antara 68 hingga 73 kerusi.

Beliau berkata senario itu menganggap setiap “perpecahan besar” dalam Umno akan mengakibatkan perpecahan yang lebih parah berbanding sebelum ini.

“Ini mungkin bererti prestasi Umno pada 1999 berbanding 1995 lebih buruk daripada prestasi 1990 berbanding 1986.

“Oleh itu, keputusan pada PRU14 berbanding PRU13 mungkin akan lebih buruk jika dibandingkan dengan keputusan PRU10 (1999) berbanding PRU9 (1995).”

Dalam senario kedua, bukan sahaja prestasi Umno lebih buruk berbanding sebelum ini, ia juga akan menunjukkan “penyusutan kerusi paling buruk dalam sejarah”, iaitu kehilangan 25 hingga 30 kerusi. Katanya, jika keadaan itu berlaku pada PRU14, Umno akan hanya mempunyai 58 hingga 63 kerusi sahaja.

Ooi berkata senario kedua mengambil kira hakikat dalam kalangan bekas pemimpin parti yang menerajui pembangkang untuk mencabar Umno, pemimpin tertinggi mereka ialah seorang bekas timbalan perdana menteri.

“Kali ini, Dr Mahathir ialah bekas perdana menteri yang pernah memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.

Beliau menambah pilihan raya pada 2008 dan 2013 juga berjaya mengubah lanskap politik, menggugat sistem dominan 1 parti yang sebelum ini dianggap utuh.

“Berdasarkan senario itu, selain dari Umno kehilangan banyak kerusi Parlimen, keputusannya ialah Barisan Nasional pada PRU14 tidak akan mengulangi keadaan yang berlaku pada PRU10 di mana ‘pengundi Melayu menentang tetapi pengundi bukan Melayu tidak menentang’, atau ‘BN selamatkan Umno’,” katanya.

“Dalam pilihan raya 1990 dan 1999, walaupun Umno berdepan perpecahan, sistem dominan 1 parti masih utuh.

“Hari ini, selepas mengalami perubahan lanskap politik dalam pilihan raya 2008 dan 2013, sistem dominan 1 parti sudah goyah. Oleh itu, kali ini keadaan ‘BN selamatkan Umno’ tidak akan berlaku.”

Sementara itu, beliau berkata BN mungkin akan menyaksikan peningkatan undi Cina pada PRU14, tetapi tidak mencukupi. Blok undi penentu ialah masyarakat India.

Beliau berkata pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, tidak harus mengecilkan pengundi India.

Ooi berkata jika pembangkang semata-mata menumpukan 30 kerusi yang empunyai lebih 50% pengundi Cina, BN akan memperoleh undi pengundi India yang lebih besar pada PRU14.

Beliau menambah walaupun BN kehilangan 49% undi orang India pada 2008, ia memperoleh kembali 10% pada 2013.

Menurut peta pilihan raya 2013, terdapat lebih 60 kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 10% pengundi India – 52 kerusi dengan 10%-20% pengundi India dan baki 8 kerusi lagi 21%-30% pengundi India.

“Walaupun pada pilihan raya umum 2013 Pakatan Rakyat hanya mempunyai 10 ahli Parlimen India, 60 kawasan itu yang mempunyai lebih dari 10% pengundi India akan memberi kesan kepada peluang kemenangan calon bukan India di kawasan berkenaan.

“Bagi menghalang situasi ‘BN selamatkan Umno’ daripada berlaku pada PRU14, Pakatan Harapan perlu bekerja lebih keras menangani keperluan masyarakat India, dan mencadangkan dasar yang berkesan.”

Umno Johor terkesan jika tidak mohon maaf kepada TMJ

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata Umno Johor akan terkesan jika individu Umno yang menjadi sasaran teguran Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak memohon maaf diatas perbuatan mereka.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi di Universiti Malaya berkata parti Umno mesti berlapang dada dan tidak menganggap teguran sebagai cubaan menjatuhkan pemimpin Umno tertentu, kerana pandangan TMJ “mengatasi kepentingan politik”.

“Ia lebih bersifat teguran kepada sesetengah pemimpin politik Umno yang cepat melatah,” kata Awang Azman ketika dihubungi FMT.

“Sekiranya pihak dimaksudkan oleh TMJ tidak memberikan perhatian serius dalam apa yang diperkatakan TMJ, dan tidak memohon maaf, ia bukan sahaja boleh memberikan kesan kepada sukan negara, malah kepada pihak Umno Johor, lebih-lebih lagi nama disebut oleh TMJ.”

Awang Azman menambah isu ini sekiranya diperbesar-besarkan pasti tidak baik untuk Umno dan perkembangan sukan negara.\

TMJ hari ini membidas Pemuda Umno kerana menggunakan “cybertroopers” untuk mempersoalkan ketiadaannya sewaktu 2 perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan Malaysia menewaskan Brunei dan Singapura.\

“Kepada Encik Ibdillah, tidak perlulah sibuk-sibuk dengan ‘cybertroopers’ awak untuk menghentam-hentam saya dan menjulang ‘bos’ awak,” tulis TMJ di Facebook hari ini, dipercayai merujuk kepada Ibdillah Ishak, ahli exco Pemuda Umno yang mempengerusikan Biro Media Sosial sayap itu.

TMJ yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah mengkritik Menteri Kebudayaan dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana tidak menghadiri perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam, Mei lepas.\

Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno, baru-baru ini turut menjadi sasaran TMJ yang menyindir kebolehannya dalam skuad polo negara Sukan SEA.

“Tiada sesiapa yang nak jatuhkan ‘bos’ awak,” kata TMJ kepada Ibdillah dalam catatannya hari ini. “Awak perlu ingat sokongan terbesar parti politik awak datangnya dari negeri Johor.”

Awang Azman bagaimanapun berkata teguran TMJ itu tidak perlu disalahtafsir sebagai ketidakselesaan pihak TMJ dengan Umno.

Ini kerana pihak Istana Johor juga pernah menegur pemimpin politik lain, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bermakna pihak istana Johor cuba bersifat neutral dan objektif,” kata Awang Azman.

“Suara TMJ mewakili suara majoriti rakyat namun mereka hanya mendiamkan diri kerana bimbang dianggap cuba bermusuh dengan parti politik tertentu.”

Bapa 71 tahun dibelasah anak, terima tujuh jahitan (Gambar)

NORJULIANA YAACOB
Mangsa mengalami kecederaan selepas ditumbuk beberapa kali.
YAN - Seorang bapa berusia 71 tahun menerima tujuh jahitan di kening sebelah kanan selepas dipukul anak lelakinya dalam satu kejadiaan di Kampung Belakang Masjid Sungai Limau, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Muhamad Halim Yatim berkata, kejadiaan berlaku pada jam 4.40 petang, ketika anak mangsa yang berusia 38 tahun sedang duduk di pintu belakang rumah.

Menurutnya, ketika itu mangsa mahu keluar rumah melalui pintu berkenaan untuk memberikan makanan kepada ayam dan meminta suspek (anak) supaya mengubah kedudukannya untuk memudahkannya dia keluar.

"Menurut mangsa, anaknya itu, tiba-tiba marah kerana tidak berpuas hati dengan teguran itu lantas bertindak bangun dan menumbuk muka mangsa beberapa kali.

"Mangsa yang sudah tua, tidak berani melawan tindakan anaknya itu, menyebabkan dia mengalami kecederaan di muka dan luka di kening sebelum mangsa ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa kemudiaanya bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berhubung kes terbabit," katanya.

Halim berkata, atas laporan mangsa, pihaknya bertindak menahan suspek di rumahnya dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

"Suspek telah direman di mahkamah Majistret Yan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/18A," katanya.
-sinarharian

Kanak-kanak 10 tahun mangsa rogol lahirkan anak

SEORANG mangsa rogol berusia 10 tahun di India yang sebelum ini memohon kepada Mahkamah Agung untuk menggugurkan kandungannya tetapi ditolak, selamat melahirkan seorang bayi perempuan, kata doktor semalam.

Kanak-kanak perempuan itu yang tidak boleh dinamakan, dirogol beberapa kali oleh bapa saudaranya yang sudah pun ditahan polis.

Bulan lalu, ibu bapa mangsa meminta mahkamah tertinggi negara itu untuk membenarkannya menggugurkan kandungan tetapi permohonan itu ditolak.

Undang-undang India tidak membenarkan kandungan digugurkan selepas 20 minggu kecuali ia mengancam nyawa ibu atau bayi terbabit.


“Mangsa melahirkan bayinya menerusi pembedahan semalam. Kedua-duanya selama dan dalam keadaan baik,” kata Dr Dasari Harish dari bandar Chandigarh di utara India.

“Pembedahan berjalan lancar tanpa komplikasi. Berat bayi 2.2 kilogram dan kini berada di wad ICU neonatal.”

Agensi berita India The Press Trust of India berkata kanak-kanak perempuan itu tidak tahu dia akan melahirkan bayi dan ibu bapanya memutuskan untuk memberikan bayi itu kepada keluarga angkat.

Ibu bapanya memberitahu mangsa yang ada batu di dalam perutnya dan perlu menjalani pembedahan untuk membuangnya.

India merekodkan 20,000 kes serangan seksual terhadap mangsa bawah umur dilaporkan pada 2015, menurut data kerajaan. – AFP, 18 Ogos, 2017.

Sudah terlambat, kami sedia lawan 3 penjuru, PAS beritahu PKR

Mohamad Fadli and Robin Augustin 
PETALING JAYA: PAS berkata adalah sukar menjalinkan semula kerjasama dengan PKR selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin berkata kedua-dua parti itu masih boleh berbincang soal kerusi pada pilihan raya umum (PRU) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) ditentang satu lawan satu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki berkata berdasarkan kajiannya, pengundi Melayu kebanyakannya mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Apa yang dicadangkan itu teramat sukar tetapi tidak mustahil,” katanya, mengulas kenyataan Wan Azizah yang berkata PKR masih boleh bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada PRU walaupun kedua-dua parti menamatkan kerjasama secara rasmi hampir 3 bulan lalu.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan BN. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” kata Wan Azizah kepada FMT Rabu lalu.

Bagi Zuhdi, ia sesuatu yang sukar dicapai.
“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, sebarang rundingan semula dengan PKR akan menyebabkan strategi PAS terpaksa “berpusing 180 darjah”.
“Persiapan jentera kita sudah hampir siap dan sudah hampir 100% dengan sasaran pilihan raya.”

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sementara itu, DAP tidak faham tindakan PKR yang tidak menolak kerjasama dengan PAS sedangkan “tahaluf siyasi” (kerjasama politik) sudah dibatalkan.

“Saya tidak faham setelah hubungan diputuskan tetapi sekali lagi ingin bekerjasama,” katanya.

Manakala Amanah berkata sebarang rundingan perlu berpegang kepada matlamat menjatuhkan BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata rundingan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak komited dengan matlamat PH.

“Soalnya, adakah PAS mempunyai matlamat sama, dan jaminan bahawa setelah menang, tidak akan khianati PH?” soalnya.
“PAS kena akur dengan keadaan di mana kita sekarang ada 4 parti. Ia tak boleh kata Amanah, PPBM tak boleh bertanding dan semua kerusi untuk PAS.”

PKR mesti taubat nasuha sebelum ajak kerjasama, kata PAS

FMT Reporters
PETALING JAYA: PKR mesti “bertaubat nasuha” dulu sebelum berhasrat menjalin kerjasama dengan PAS, kerana keangkuhan dan fitnah berterusan terhadap parti Islam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Khairuddin Aman Razali hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata partinya masih terbuka kepada kerjasama dengan PAS dalam soal penentuan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama.

PKR, dan gabungannya, Pakatan Harapan berhasrat memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional, namun PAS sebelum ini pernah membayangkan pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi pembangkang.
“Macam mana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk fitnah PAS menerima dedak Umno?” kata Khairuddin kepada FMT.

Beliau berkata PKR menghulurkan kerjasama kerana merasakan kedudukan mereka, khususnya di Selangor, yang ditadbir bersama PAS tergugat.

“Ini hanyalah cubaan PKR menagih simpati PAS,” jawab Khairuddin. “Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat di dunia.”

PAS memiliki 13 kerusi DUN di Selangor, bersama dengan PKR (13), DAP (14) dan Amanah (2) untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berkongsi kawasan Parlimen Ampang dengan Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz dari PAS. Kerusi Parlimen Gombak turut mempunyai seorang Adun PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan di DUN Gombak Setia.

Sementara kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang diduduki Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempunyai seorang Adun PAS, Salleh Man di DUN Permatang Pasir.

“Ahli dan pimpinan PAS tidak sesekali akan dipatuk ular 2 kali dalam hubungan dengan PKR,” kata Khairuddin.

“Mereka menyokong ahli Parlimen PAS melompat ke parti mereka ketika sedang bertahaluf. Mereka berpakat dengan mereka yang mengkhianati PAS ketika bertahaluf. Di mana semangat setiakawan?”

Beliau dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar, yang menyertai PKR pada 11 September 2015. Kemasukan itu menyusuli tindakan keluar parti pemimpin veteran PAS seperti Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Salahuddin Ayub, Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusuf Rawa dan Raja Kamarul Bahrin untuk membentuk Amanah.

PAS, pada Mei tahun ini secara rasmi menamatkan semua hubungan dan kerjasama dengan PKR, apabila majlis syura parti itu memutuskan langkah itu perlu untuk pertahankan agenda Islam parti itu.

Majlis itu menuduh PKR melanggar syarat kerjasama dengan PAS, apabila gagal menyokong agenda Islam parti itu, dan bekerjasama melawan PAS pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Antara Abdul Hadi dan Mahathir, aku tak setuju dengan Hadi"

MALAYSIA DATELINE
Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin mempunyai perbandingan menarik antara dua pemimpin sekarang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan.

Bagi bekas Adun Pas di Perlis itu, kedua-duanya ada kelebihan masing-masing tetapi beliau menegaskan, "Aku tak setuju dengan Abdul Hadi sebab mesra Umno. Dan aku setuju dengan Mahathir sebab lawan Umno. Itu saja."

"Jika Abdul Hadi dipanggil tuan guru, Mahathir dipanggil doktor. Jika Abdul Hadi pernah jadi MB, Mahathir pernah jadi PM," tulisnya dengan bahasa yang santai.

"Jika Abdul Hadi pandai cakap Arab, Mahathir pandai cakap Inggeris. Jika Abdul Hadi pernah mengajar orang di masjid, Mahathir pernah merawat orang di klinik," katanya lagi.

"Jika Abdul Hadi Presiden Pas, Mahathir pernah jadi Presiden Umno. Jika Abdul Hadi ada Khalil, Mahathir ada Mukhriz," katanya.



Dan yang pastinya kata beliau, mereka berdua orang Islam.

"Kedua-duanya pernah buat dosa, dan kedua-duanya pernah buat jasa. Kedua-duanya (dan kita juga) wajib bertaubat drpd dosa," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar tidak taksub kepada sesiapa sama ada Abdul Hadi atau Tun Mahathir kerana kedua-dua individu itu ialah manusia yang ada akal dan juga nafsu.

Namun di penghujung tulisannya, Zolkarnain menegaskan, "Peringatan: Ini cuma draf."

Ia dipercayai menyindir ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor yang menarik balik tulisannya mengenai Akta 164 dengan alasan ia hanya draf selepas menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak.

Budak 12 tahun empat kali dirogol teman lelaki ibu

SEORANG lelaki ditahan dua hari lalu atas dakwaan merogol budak berumur 12 tahun, anak perempuan teman wanitanya, empat kali sejak April lalu.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata perbuatan itu diketahui apabila ibu budak berkenaan menjumpai diari anaknya yang mencatatkan butir-butir kejadian.

Dia kemudian bertanya kepada anaknya mengenai hal tersebut.

“Budak itu memberitahu ibunya dia dirogol empat kami. Kejadian berlaku antara April dan Julai.

“Dia juga memberitahu ibunya yang dia dicabul. Semuanya bermula ketika ibunya meninggalkan anaknya itu dengan teman lelakinya kerana ke China, April lalu,” kata Othman.

Menurut polis, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik, daripada perkahwinan ibunya sebelum ini.

Mereka bertiga tinggal serumah di kediaman wanita itu di Kajang Perdana, Kajang.

Othman berkata ibu itu selalu meninggalkan anaknya dengan teman lelakinya itu setiap kali dia terpaksa ke luar negara untuk urusan bisnes.

Susulan laporan polis, lelaki berumur 40 tahun itu, seorang pengurus sebuah syarikat swasta, diberkas.

Dia kini direman enam hari untuk membantu siasatan jenayah rogol terbabit.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan maksimum 20 tahun hukuman penjara dan rotan. – 17 Ogos, 2017.

Gambar YDP Pas Permatang Pauh makan bersila bersama Najib

MALAYSIA DATELINE
Omar (dua dari kiri) makan bersila bersama Najib di Politeknik Seberang Prai.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan hadir sama meraikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam program makan bersila sempena Majlis Kenduri Pemimpin Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai, tengahari tadi.

Omar dirakam duduk bersila bersama Najib dan para pemimpin Umno dalam majlis tersebut sebelum juadah dihidangkan.

Najib dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang hari ini.

Beliau tiba di Pangkalan Udara TUDM Butterworth pagi tadi disambut Pengerusi Barisan Nasional negeri, Teng Chang Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Atur cara perdana menteri dimulakan dengan menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan Barisan Nasional dan Umno negeri di sebuah hotel di Seberang Jaya.

Selepas itu, beliau menyertai ribuan hadirin dalam Majlis Kenduri Pemimpin Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai.

Pada sebelah petang, Najib akan menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan 2.0 Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Relau sebelum mengakhiri lawatannya dengan melawat Projek Perumahan Kos Sederhana di Sungai Nibong.
Omar (kanan) dan Idris (tengah) ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Pulau Pinang 17 Julai lalu.
Pas Pulau Pinang 17 Julai lalu menyatakan hasrat untuk bertanding semula di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Hasrat itu dinyatakan Omar ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas Pulau Pinang di Kubang Semang yang dirasmikan naib presiden Pas Idris Ahmad.

Bercakap kepada pemberita, Idris memberitahu Pas masih membuat kajian kerusi-kerusi yang bakal ditandingi parti itu berdasarkan laporan Pas negeri dan kawasan.

“Kami mungkin bertanding 120 atau 140 kerusi di seluruh negara. Di mana kita akan bertanding bergantung pada keputusan kepimpinan tertinggi.

“Kami perlukan laporan dari jawatankuasa negeri yang mengkaji kerusi berkenaan,” kata Idris.

Kerusi Permatang Pauh sebelum PRU 1999 ditandingi Pas. Namun setelah menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang, kerusi parlimen itu ditandingi PKR.

Kerusi parlimen Permatang Pauh kini diwakili presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Guru didakwa kerana peluk, cium murid di tandas

Bernama
PUTRAJAYA: Seorang guru lelaki di sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak hari ini atas pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap murid lelaki berumur 9 tahun,

Guru yang berumur 27 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara memeluk tubuh badan dan mencium murid itu di dalam tandas, di sebuah sekolah di Petaling Jaya, antara jam 12.20 tengah hari hingga 6.30 petang, antara Ogos 2016 hingga 17 Julai 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Farhan Read diiikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia dilarang mendekati dan menganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan menetapkan 25 September untuk sebutan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius melibatkan mangsa berumur 9 tahun.

“Tertuduh adalah guru tempat mangsa bersekolah, jika jaminan dibenarkan dikhuatiri tertuduh akan menganggu saksi pendakwaan terutama mangsa dan ibu bapanya,” katanya.

Farhan pula memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin RM10,000 dan ibu bapa tertuduh bersedia untuk membayar jaminan itu.

“Kami tidak pertikaikan ini merupakan satu kesalahan serius, tetapi tertuduh hanya dituduh dan masih belum didapati bersalah, oleh itu mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan. Jumlah RM10,000 adalah memadai,” katanya.

Beliau berkata tertuduh yang tinggal dengan ibu bapanya menerima gaji RM1,600 sebulan.

Peti besi Isa dibongkar, RM100,000 dirampas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­rampas wang tunai dianggarkan sebanyak RM100,000 selepas menyerbu rumah bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Samad malam tadi.

Menurut sumber, serbuan di Senawang, Negeri Sembilan dibuat bagi meneruskan siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh anak syarikat FGV, Felda Investment Corporation (FIC) di London dan Kuching.

“Wang berkenaan ditemukan dalam sebuah peti besi milik beliau yang kemudiannya dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” sumber itu dipetik sebagai berkata kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Setakat ini, tiga rumah Isa, termasuk di Nilai dan Liggi, Negeri Sembilan dilapor telah diserbu.

SPRM juga menyerbu pejabat barunya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Sebelum ini, FIC dilapor membelanjakan jutaan ringgit pada 2013 hingga 2015 bagi membeli dua buah hotel empat bintang namun pembayaran dipercayai dibuat melebihi harga pasaran.

Isa sedang menjalani perintah reman lima hari setelah ditangkap semalam.
-malaysiakini

Wan Azizah tidak tolak PKR ‘berbaik’ dengan PAS?

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan hubungan.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya kepada FMT, malam tadi.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pembahagian kerusi di antara PKR dan PAS pada PRU akan datang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru.

PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sebaliknya, parti itu mempunyai gabungan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Azmin menjelaskan, kunjungan itu hanyalah suatu lawatan dan tiada perbincangan dilakukan.

Azmin berkata walaupun PAS bukan sebahagian PH, partinya masih sudi membincangkan pilihan kerusi.

Namun Azmin menegaskan sehingga ke hari ini masih tiada perbincangan rasmi dilakukan antara kedua-dua parti.

Menurut Wan Azizah, ruang perbincangan masih terbuka dan terbukti apabila arahan letak jawatan terhadap lantikan politik PKR dalam pentadbiran Kelantan yang dikuasai PAS, diubah setelah perbincangan dilakukan.

“Bila kita berkomunikasi, menteri besar Kelantan sendiri katakan masih perlu untuk kerjasama dengan PKR. Jadi kita okay, kalau mana yang dikekalkan, maka ia diteruskan,” katanya ringkas.

Mayat budak dalam perut buaya

Harare – Penduduk sebuah kampung menemui mayat seorang budak berusia lapan tahun selepas memotong perut seekor buaya.

Kejadian mengejutkan itu dirakam oleh penduduk dengan menggunakan telefon pintar di Kampung Mushumbi Pools di wilayah Mashonaland Tengah, utara Zimbabwe.

Penduduk yang mengesyaki buaya itu membunuh dan memakan budak berkenaan sebelum itu menembak mati reptilia berkenaan.

Apa yang mereka bimbangkan memang benar apabila menemui mayat budak itu selepas memotong perut buaya berkenaan.

Mayat budak itu yang namanya tidak didedahkan dikeluarkan dan dikebumikan dua hari selepas itu.
-kualalumpurpost

Kacak, berbadan sado, bermisai tapi wanita (Akibat steroid) Gambar)

FMT Reporters 

Kisah wanita bertukar jadi lelaki sememangnya bukan asing di luar negara, khususnya di barat.

Perkara ini juga jauh berbeza apabila wanita transgender dilapor berkahwin, mendirikan rumah tangga, melahirkan anak dan sebagainya.

Namun, jarang-jarang kita dengar kisah sama di dalam negara.

Terbaru seorang jurulatih gimnasium dipersoal jantinanya kerana dia yang berwajah dan berbadan sasa kelihatan “lelaki” yang kacak sebenarnya bukan.

Elaine Lye, dari Ipoh, Perak seorang wanita yang memilih untuk menjadi lelaki dengan nama baharunya, El Lye.

Memetik laporan dari Astro Gempak, hidup El Lye berubah selepas dia tampil dengan hasrat mengubah bentuk badannya supaya lebih berotot.

Jadi, dia mengambil steroid yang turut menyebabkan dia yang berusia 36 tahun itu mempunyai bulu wajah.

Ia menyebabkan berat badannya naik sebanyak 20kg daripada asalnya 42kg dan lebih buruk, tindakannya itu juga menyebabkan dia kehilangan teman lelakinya yang bersama dia selama 7 tahun kerana enggan menerima obsessinya.

Dalam laporan yang sama, dia juga akui menggunakan tandas lelaki kerana perwatakannya yang mengelirukan dan sentiasa disalah faham.

“Apabila saya masuk tandas wanita semua akan terkejut hingga panggil pengawal keselamatan.

“Jadi, saya memutuskan untuk masuk ke tandas lelaki sahaja,” tambahnya.

Bagaimanapun El Lye akui dia bukan seorang transgender seperti yang dikatakan semua, khususnya di media sosial.

El Lye mempunyai gimnasium, Muszle Warrior yang dibuka pada 2007 di Ipoh, Perak dan dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang sains sukan.

https://www.instagram.com/el_lye_ipoh/

'Isa Samad dirosakkan kawan sendiri'?

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Isa Samad berdepan masalah dengan undang-undang ketika ini kerana kesilapan rakan-rakan beliau, kata seorang wartawan veteran.

Menurut Subky Latif mereka tidak belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan Isa dulu.

Justeru, katanya, ia sudah menyusahkan lagi Isa serta keluarganya.

Subky yang pernah menjadi pemimpin kanan PAS berkata orang ramai perlu melihat secara luas apakah yang menyebabkan Isa "rosak".

"Jangan tuding Isa saja, tetapi siapa yang merosakkannya? Sistem di sekelilingnya," kata Subky melalui tulisan disiarkan Harakahdaily hari ini.

Isa, 67, kini ditahan reman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kebenaran mengenainya dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Bekas pemimpin kanan Umno itu kini disiasat berhubung pembelian hotel mewah Grand Plaza Kensington di London oleh Felda Investment Corp (FIC) pada 2013.

Kira-kira empat tahun lalu Isa mempertahankan tindakan tersebut.

Kata Isa pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan terbabit.

Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.

Low ketika itu menjawab soalan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke, di Dewan Rakyat, yang bertanya mengenai status siasatan pembelian hotel mewah berkenaan.

Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.

Raja jerung belum kena ambil

Isa ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam.

Untuk rekod, selain menjadi menteri besar selama 22 tahun Isa juga pernah diberi kepercayaan oleh anggota Umno untuk menjadi naib presiden parti itu.

Walaupun begitu 'jodoh' Isa dengan jawatan berkenaan tidak panjang apabila siasatan lembaga disiplin parti mendapati beliau terbabit dalam politik wang pada 2004. Keanggotaan Isa dalam Umno kemudian digantung.

Di sebalik sabitan itu Isa masih diberi pelbagai amanah oleh Umno, termasuk menjadi anggota dewan undangan negeri Bagan Pinang (2009 hingga 2013) serta pengerusi Felda sebelum meletak jawatan baru-baru ini.

Menurut Subky (gambar) mengambil sikap berwaspada kepada orang yang mempunyai rekod moral bukanlah menafikan peluang kedua kepada individu terbabit.

Sebaliknya kata beliau langkah itu dibuat supaya risiko kesilapan sama tidak berulang menjadi lebih kecil.

Jika dibiarkan menjalani hidupnya sebagai orang awam, kata Subky, barangkali Isa tidak terdedah dengan godaan dan fitnah.

"Risiko (melakukan kesalahan lagi) sentiasa ada. Anjing yang tidak makan tahi, tapi apabila jumpa tahi, ia hidu juga.

"Pengalaman hodoh pertama seseorang barangkali berlaku atas kelamahannya, tetapi apabila berulang kelemahan itu, ia bukan lagi kelemahan dia saja (tetapi) orang yang mendedahkannya kepada godaan dan fitnah itu lebih berhak disalahkan," katanya. 

Subky juga berkata penahanan Isa menunjukkan SPRM kini semakin berani berdepan dengan 'jerung' berbanding 'ikan bilis'.

Jerung-jerung itu pula, katanya, ada banyak jenis dan sebahagiannya berstatus sudah direman.

"Jerung pun ada rajanya. Dan rajanya pun banyak. Raja jerung saja yang belum diambil SPRM," katanya.
-malaysiakini

Inikah persemadian akhir MH370, yang sebenar?

Inikah persemadian akhir MH370, yang sebenar?       
Kehilangan MH370 terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

LOKASI persemadian pesawat MH370 yang hilang sejak 1,258 hari yang lalu dipercayai sudah dikenal pasti selepas penemuan bukti-bukti baru berdasarkan semakan ke atas imej-imej satelit yang sebelum ini tidak diperiksa, lapor media.

Kesemua bukti terbaru itu didedahkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari. Ia secara khusus memperkecilkan zon carian pesawat misteri itu kepada satu kawasan seluas tidak sampai 5,000 kilometer persegi.

The Daily Telegraph melaporkan GeoScience Australia, sebuah agensi kerajaan negara itu, menyemak empat imej satelit yang diambil beberapa minggu selepas pesawat berkenaan hilang di kawasan yang pada tahun lalu dipercayai tempat persemadian akhirnya.

Semakan itu mengenal pasti 12 imej objek yang bukan semulajadi serta 28 objek yang kelihatan seperti buatan manusia.

Imej-imej tersebut dirakamkan oleh satelit tentera Perancis pada Mac 2014 tetapi diketepikan pihak berkuasa pada ketika itu, lapor portal berita tersebut.

Pencarian sebelum ini dibuat berdasarkan jangkaan bagaimana bangkai pesawat itu hanyut di lautan

Simulasi bagaimana objek hanyut di lautan yang dikeluarkan pada tahun lalu mengenal pasti kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di luar kawasan carian asal.

Laporan hari ini, kata portal berita itu, menggabungkan model hanyutan itu dengan imej-imej satelit yang diketepikan sebelum ini dan membolehkan kawasan carian itu dikecilkan lagi kepada hanya 5,000 kilometer persegi. – 16, Ogos, 2017.

Murid tahun enam jadi mangsa cabul ustaz

NORHASPIDA YATIM
KUALA TERENGGANU - Seorang murid tahun enam mendakwa menjadi mangsa cabul seorang ‘ustaz’ di sekolahnya dan kejadian itu dikatakan berlaku sejak Februari lalu.

Perkara itu terbongkar setelah ibu mangsa diberitahu rakan anaknya itu selepas berkunjung ke rumahnya di daerah ini.

Menurut sumber, ibu mangsa diberitahu rakan anaknya bahawa mangsa diraba di bahagian dada, punggung, kemaluan selain turut dicium oleh lelaki berusia 59 tahun itu.

“Rakan mangsa juga memberitahu bahawa ustaz berkenaan ada memasukkan tangannya di dalam kain mangsa dan telah memegang kemaluannya serta menyuruh mangsa memegang kemaluannya.

“Wanita itu kemudiannya bertanya kepada anaknya dan mangsa memberitahu betul. Mangsa merupakan seorang yang bermasalah dalam pembelajaran,” katanya.

Ibu mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu kerana mengesyaki anaknya itu menjadi mangsa cabul dan membawanya menjalankan pemeriksaan di hospital.

Bertindak daripada laporan itu, pihak polis menahan seorang lelaki di kediamannya di sebuah kampung di sini (Gong Tok Nasek), jam 2 petang, kelmarin dan suspek direman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

PKR mahu tawan Kedah, Johari jadi calon MB

PKR mahu tawan Kedah, Johari jadi calon MB
Ceramah Invoke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai isu semasa negara dan meraih undi berlangsung secara aktif, bermula di Pekan Kota Sarang Semut, Kedah hujung minggu lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.

SETIAP musibah ada hikmahnya, dan di sebalik keengganan PAS untuk menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), muncul peluang untuk parti lain menggantikan parti Islam itu, terutamanya di Kedah.

Ketiadaan PAS dalam PH kini membuka pintu kepada PKR atau Bersatu “menegakkan hak mereka” untuk menerajui negeri jelapang padi itu.

“PKR mahu menakluk Kedah dan mengetuai kerajaan negeri seterusnya,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul kepada The Malaysian Insight selepas ceramah Invoke di Pekan Kota Sarang Semut hujung minggu lepas.

“Kami mahu bertanding sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Johari.

Sebelum ini, PKR terpaksa membuka jalan kepada rakan pakatan yang lebih kuat untuk menerajui Kedah.

Tetapi dengan tiadanya PAS dalam PH atau Pakatan Rakyat, ada lompang dan peluang untuk PKR menguasai Kedah, katanya lagi.

Bersatu, sebuah lagi parti dalam PH, yang diterajui anak jati Kedah dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengintai peluang di Kedah.

Satu-satunya wakil rakyat Bersatu di Kedah, bekas menteri besar negeri itu yang meletakkan jawatan pada 2015 dan kini merupakan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir yang memegang kerusi DUN Ayer Hitam, memberitahu The Malaysian Insight dalam satu temubual sebelum ini yang partinya itu “berminat” dengan Kedah.

Bersatu dijangka merancakkan kempennya untuk menakluk Kedah berasaskan populariti Mukhriz dalam kalangan orang muda negeri itu sebelum dia dipaksa berundur selepas tidak lagi sehaluan dengan Umno.

Pada masa yang sama, PKR mahu menaikkan Johari Abdul sebagai calon menteri besar pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya akan bertanding di DUN Gurun. Dan iya, PKR merancang meletakkan saya untuk mengetuai kerajaan negeri sekiranya kami menang paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Johari.

Tetapi bukankah PKR dan Bersatu merupakan rakan kongsi dalam pakatan pembangkang yang sama, dan bagaimana mungkin kedua-duanya mengintai peluang yang sama di Kedah?

Johari berkata PKR tahu niat Bersatu dan rundingan mengenai pembahagian kerusi sudah bermula dan masih lagi berlangsung.
Mukhriz Mahathir dikatakan menerima sokongan kuat daripada kelompok orang muda di Kedah seterusnya mencerahkan peluangnya mengetuai kerajaan negeri sekiranya pembangkang menang di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.
Mukhriz Mahathir dikatakan menerima sokongan kuat daripada kelompok orang muda di Kedah seterusnya mencerahkan peluangnya mengetuai kerajaan negeri sekiranya pembangkang menang di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

Menyentuh sama ada parti itu boleh menang di negeri utara itu tanpa PAS, Johari berkata rakyat Kedah tidak lagi takut akan perubahan selepas 2008 dan dijangka menyokong PH walaupun dengan ketiadaan PAS.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN. Pada PRU 2013, PKR menang empat kerusi daripada 10 kawasan yang ditandinginya, sementara PAS pula menang di sembilan kerusi daripada 24 perwakilan yang ditandingi.

Dominasi PAS berkurangan kepada lapan DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor Phahrolrazi Zawawi meninggalkan parti Islam itu dan menyertai parti serpihan, Amanah.

Nasib sama juga menimpa Barisan Nasional (BN) apabila 12 kerusi negerinya berkurangan selepas Mukhriz dipecat dari Umno tahun lepas.

Pada 2008, Pakatan Rakyat menang 22 kerusi DUN Kedah, 16 kerusi dimenangi melalui PAS. PKR menyumbang lima kerusi dan DAP menang satu kerusi. Tetapi jumlah ini berkurangan selepas Adun Bakar Arang, Ran Wei Shu (PKR) meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas pada 2010.

Rakyat mahukan pembangunan

Ketiadaan PAS dalam PH di Kedah merupakan rahmat kepada pembangkang kerana pengundi melihat tidak banyak pembangunan berlaku sepanjang parti Islam itu mentadbir negeri antara 2008 hingga 2013, kata Saiful Izham Ramli yang menyelia pilihan raya di Kedah untuk PKR sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013.

“Pentadbiran PAS sepanjang 2008-2013 tidak berapa berkesan,” katanya berlapik.

“Mereka tidak banyak merancang untuk pembangunan negeri selama 5 tahun memerintah. Jadi apabila BN bertanding pada 2013 dan meletakkan Mukhriz sebagai calon MB, kita kalah,” tambahnya.

Kali ini, PKR lebih yakin dengan rakan kerjasama barunya, Bersatu dan Amanah yang mampu mengimbangi jumlah undi walaupun PAS tiada, kata Saiful.

“Kecenderungan kepada pembangkang masih kuat di sini. Lebih-lebih lagi sekarang, apabila Dr Mahathir mengetuai pembangkang dan mereka lebih yakin pembangunan akan bertambah baik sekiranya pembangkang diberikan sekali lagi peluang di Kedah,” katanya.
Invoke Malaysia, institut pemikir PKR kini merancakkan kempen jelajahnya di Kedah, diketuai Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.
Invoke Malaysia, institut pemikir PKR kini merancakkan kempen jelajahnya di Kedah, diketuai Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.

Sementara itu, institut pemikir PKR, Invoke Malaysia meneruskan kempennya di Kedah dengan pelbagai acara dilangsungkan pada hujung minggu.

Di depan barisan lot kedai mengadap jalan utama di Pekan Kota Sarang Semut, pemimpin tempatan PH diketuai Johari, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail berucap di hadapan lebih 400 penduduk tempatan.

Walaupun hujan lebat, hadirin dari pelbagai latar belakang terus setia mendengar Rafizi yang juga teraju Invoke mengecam BN dalam pelbagai isu daripada soal pembayaran lewat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada IPIC sehinggalah kepada isu kenaikan kos sara hidup kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Hamzah Ahmad, 62, yang dahulunya penyokong PAS berkata dia berpuas hati dengan penjelasan Rafizi tentang mengapa PH kini bekerjasama dengan Dr Mahathir dan bagaimana DAP tidak akan menghakis penguasaan orang Melayu dalam politik.

“Selain isu 1MDB, kos sara hidup juga menekan kami sekarang,” katanya lagi.

“Ikan kembung dulu tiga, lima ringgit sekilo tahun lepas, sekarang jadi 15, 18 ringgit tetapi gaji masih sama,” kata Hamzah yang memandu dari Pendang untuk mendengar ceramah itu.

Pada Sabtu, Invoke menganjurkan acara sarapan bersama rakyat di Gurun diikuti dengan ceramah “minum petang” di pasar Kulim yang menarik khalayak sekitar 500 orang.

Pada sebelah malam pula, Invoke mengadakan dua acara serentak, pertama acara mengutip derma dengan menjual 50 meja di Sungai Petani dan acara kedua, majlis ceramah di Pantai Merdeka. – 15 Ogos, 2017.
-malaysianinsight