"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senarai 114 MP yang menyokong Tun Mahathir

Malaysiakini
Perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad malam ini mengeluarkan senarai 114 ahli parlimen yang menyokongnya dan sedia menjelaskan sokongan yang diterimanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8.

"Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

"Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Dalam kenyataan itu juga, Mahathir yang merujuk dirinya sebagai pengerusi Bersatu berkata beliau dan lima ahli parlimen partinya yang lain tidak bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin Yassin.

Lima ahli parlimen itu, kata Mahathir, sudah menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan kepadanya.

Lima ahli parlimen Bersatu yang disenaraikan itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

Sebelum ini, hanya tiga jam selepas menyatakan sokongannya kepada Mahathir, Maszlee dalam kenyataan susulannya mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, kenyataan tentang pelantikan Muhyiddin yang dimuat naik di Facebook itu sudah dipadam.

Selepas pengumuman bahawa Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Eddin Syazlee pula yang dikatakan sedang menuju ke Yayasan Albukhary, tempat pemimpin PH berkumpul, sebaliknya dilihat hadir di kediaman Muhyiddin. Beliau bagaimanapun beredar tidak sampai setengah jam selepas tiba.

Sementara itu, dalam senarai yang dikongsi Mahathir, selain ahli-ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah sedia ada yang memberi sokongan pada Mahathir, senarai itu juga menampilkan beberapa nama ahli parlimen lain.

Antara nama lain yang mencuri tumpuan ialah Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Richard Riot (Serian) yang disenaraikan di bawah PKR.

Selain itu, turut disenaraikan ialah Maximus Ongkili (Kota Marudu) dari Gabungan Bersatu Sabah, calon bebas Baru Bian (Selangau), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Masir Kijat (Sri Aman).

"Kesemua jumlah ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri ke-8 di dalam bentuk akuan berkanun dan juga surat-surat rasmi dari Ketua-Ketua Parti akan saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Senarai penuh 114 ahli parlimen itu adalah seperti di bawah.

Terkini!!! Baru Bian tinggalkan Azmin, sokong Mahathir

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian pula menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Mahathir.

Upacara menandatangani SD itu turut disiarkan secara langsung di Facebook Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fahmi mendakwa PH kini mempunyai 114 sokongan ahli parlimen.

Untuk rekod, Baru Bian sebelum ini merupakan antara 10 pemimpin PKR yang menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Azmin dan kumpulannya sebelum ini dilaporkan menyokong Muhyiddin.

PH kumpul bukti termasuk SD, yakin mampu tunjuk jumlah sokongan majoriti

AKMAL MANAF
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yakin dan percaya Pakatan Harapan (PH) mampu menunjukkan jumlah sokongan majoriti dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pihaknya (PH) akan mengadakan mesyuarat sebentar lagi dan akan mengumpulkan bukti-bukti termasuk akuan bersumpah (SD).

“PH akan bermesyuarat sebentar lagi dan kalau diizinkan, kita akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bukti yang lebih kukuh.

“Tentang bila hendak menghadap Agong itu, kita akan bermesyuarat dahulu. Sampai sekarang pun kita masih mengumpulkan bukti-bukti termasuk SD,” katanya ketika ditemui media, sebentar tadi.

Ditanya tentang jumlah terakhir yang diterima dalam akuan bersumpah, Salahuddin memaklumkan pihaknya menerima kira-kira 111-112.

“Saya rasa kita dapat 111 atau 112, setakat jam 4 petang tadi,” katanya ringkas.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan itu kini berjaya mengumpul kepercayaan yang jauh lebih tinggi daripada jumlah Ahli Parlimennya yang sedia ada.

Sambil melemparkan senyuman lebar, Anwar yang juga presiden PKR yakin bahawa jumlah sokongan yang diperoleh PH kini adalah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata jumlah itu termasuk dengan bilangan Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jauh. ..jauh lebih tinggi. Tun Dr Mahathir tentulah bawa beberapa lagi,” katanya kepada pemberita sebelum beredar meninggalkan lokasi mesyuarat yang dipercayai diadakan bersama-sama Ahli Parlimen PH di sebuah hotel di sini, hari ini.

Petang ini Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat perkenan Yang DIpertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah sebagai Perdana Menteri ke-8, Malaysia.

Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Majoriti Muhyiddin bakal diuji di parlimen

Zikri Kamarulzaman
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan esok selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa pelantikan itu.

Bagaimanapun, jumlah sebenar sokongan Muhyiddin dalam Dewan Rakyat masih menjadi persoalan dan boleh dicabar oleh ahli parlimen pada sidang parlimen seterusnya, iaitu pada 9 Mac ini.

Bekas speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia sebelum ini berkata Peraturan Mesyuarat tidak menggariskan bagaimana usul tidak percaya dapat dilakukan dan dilaksanakan.

Bagaimanapun, keyakinan terhadap perdana menteri boleh diuji dengan meluluskan usul atau rang undang-undang.

Sebagai gabungan baru, langkah pertama yang biasa diambil apabila parlimen bersidang adalah mencadangkan usul untuk menggantikan speaker yang dilantik PH sebelum ini, Mohd Ariff Yusof.

Usul itu mungkin akan dibentangkan selepas Yang di-Pertuan Agong berucap di parlimen pada 9 Mac, atau keesokan harinya.

Sekiranya usul itu dikalahkan, ini bermakna Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti.

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan kemudian menyatakan bahawa apabila seorang perdana menteri kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, dia mesti meletak jawatannya melainkan jika Agong memutuskan untuk membubarkan parlimen.

Bagaimanapun, Muhyiddin boleh menangguhkan perkara itu.

Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong boleh menangguhkan parlimen. Sebagai perdana menteri, Muhyiddin boleh menasihati Agong berbuat demikian.

Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri kelapan

Presiden Bersatu adalah perdana menteri Malaysia kelapan.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentara tadi.

Menantu Hadi doakan kehancuran buat 'perosak negara' termasuk jika ada dari parti sendiri

Malaysiakini
Ketika kemelut perebutan kuasa antara pemimpin dan parti-parti politik belum jelas pengakhirannya, Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, menitipkan doa agar mereka yang mempunyai kepentingan diri dan peribadi dalam isu itu "dihancurkan" Allah SWT.

Dalam satu catatan di Facebook hari ini, menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu pada mulanya berkata, pada ketika ini ada parti yang tidak menamakan perdana menteri daripada kumpulan mereka.

Pihak itu juga, katanya, tidak kelihatan berebut-rebut untuk menduduki jawatan perdana menteri. Tanpa menamakan parti tersebut, Zaharudin dipercayai merujuk kepada PAS.

Menjelaskan pandangannya, Zaharudi memetik ayat ke-21 surat Yasin yang bermaksud: "Ikutlah mereka yang tidak meminta daripada kamu sebarang balasan dan mereka adalah golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT."

"Saya doakan (dengan) sepenuh hati semoga mereka yang berebut kuasa untuk kepentingan diri dan peribadi dihancurkan oleh Allah SWT dalam masa terdekat.

"Mereka yang gila menjadi perdana menteri tanpa mempedulikan nasib rakyat, mereka yang menggerakkan jentera parti mereka, menggerakkan cybertrooper peribadi mereka, menghuru-harakan negara, tanpa mempedulikan saham negara yang jatuh teruk.

"Semoga Allah hancurkan, dedahkan dan hinakan individu-individu ini," katanya.

Doa dalam musafir

Untuk rekod di sebalik kedudukan semasanya hanya sebagai pemimpin peringkat kawasan, Zaharudin sebelum ini menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Beliau menarik perhatian ramai apabila mendedahkan ada antara pemimpin kanan PAS sebagai "kartel dedak" kerana menerima dana tertentu daripada Umno atau orang yang ada kaitan dengan Umno.

Langkah itu mendorong PAS merujuk kes tersebut kepada lembaga disiplin parti.

Kata Zaharudin, doa yang dipanjatkannya hari ini tidak ditujukan terhadap kepada mana-mana individu secara khusus sebaliknya secara umum termasuk jika ada yang sebegitu dalam PAS.

"Doa ini saya panjatkan untuk semua perosak negara dan rakyat, termasuk jika ada individu daripada parti yang saya dukungi sendiri kerana kebenaran itu adalah tanpa sempadan.

"Semoga doa dalam pemusafiran dimakbulkan oleh Allah SWT," katanya tanpa menjelaskan dari mana atau ke mana destinasi perjalanan beliau.

Mahathir, Muhyiddin kini 'berperang' dalam Bersatu

Malaysiakini
Isu pelantikan perdana menteri baru menunjukkan putaran baru apabila calon yang dicadangkan Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyanggah Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan selepas beliau dan rombongannya keluar dari Istana Negara sebentar tadi, Muhyddin berkata, Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Feb lalu.

Justeru, kata bekas timbalan presiden Umno yang kemudian menubuhkan Bersatu itu, jawatan tersebut kini dipangku beliau.

"Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru," katanya.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan ketetapan dibuat Bersatu sebelum ini yang mengumumkan Mahathir bersetuju untuk dilantik semula sebagai pengerusi parti terbabit.

Ia dibuat beberapa jam selepas Mahathir mengumumkan beliau mendapat sokongan ahli parlimen mencukup untuk dicalonkan sebagai perdana menteri kepada Agong pagi tadi.

Bagaimanapun menyusul selepas kenyataan tersebut, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, mengesahkan bahawa Mahathir adalah pengerusi sebenar parti berkenaan.

Kata senator tersebut, menurut perlembagaan Bersatu, seorang pengerusi bertanggungjawab untuk menjadi pemimpin utama bagi menjamin kelancaran perjalanan keseluruhan pentadbiran serta dasar parti, selain memanggil dan mempengerusikan mesyuarat.

"Maka selari dengan prinsip rule of law dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti ialah Pengerusi Bersatu, iaitu Dr Mahathir Mohamad.

"Oleh yang demikian segala tindak-tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Tun (Mahathir) sebagai pengerusi Bersatu," katanya.

Sementara itu seorang sumber memberitahu, sebenarnya Mahathir memang masih berstatus pengerusi parti tersebut kerana peletakan jawatannya sebelum ini tidak diterima Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Kejatuhan Adly kerugian besar kepada orang Melaka, kata Idris Haron

BORHAN AHMAD
Sejenak bersamanya cukup bernilai dan bermakna," kata Ketua Pembangkang DUN Melaka itu.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron hari ini memuji Jahi Adly Zahari sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, berkualiti, tawwaduk dan rendah diri.

“Sejenak bersamanya cukup bernilai dan bermakna, walaupun dari sudut yang berbeza, kejatuhannya satu kerugian buat orang Melaka,” kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka dari Umno itu.

Alhamdulillah, Kerajaan PH Baharu tanpa pengkhianat

MALAYSIADATELINE
Kerajaan Pakatan Harapan Baharu yang bakal dibentuk sehari dua ini bakal bersih dari pengkhianat dan musang berbulu ayam.

Ketika kerajaan PH diserang kiri dan kanan, rupa-rupanya ia dimusnahkan oleh orang dalam sendiri.

Ekonomi negara yang tidak pernah sembuh, kestabilan politik yang tidak pernah ada, semuanya kerana ada musang berbulu ayam.

Kes Adib, LTTE dan sebagai sentiasa menggoncang kerajaan.

Semoga Kerajaan PH Baharu lebih stabil dan dapat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

BORHAN AHMAD
Juga rakyat Malaysia

Dr M kini kata ada sokongan majoriti lepas PH kembali sokong

Malaysiakini
Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri.

"Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.

Perjanjian antara Mahathir dan PH masih tidak jelas memandangkan tidak dapat dipastikan sama ada perdana menteri interim itu bersetuju menubuhkan kembali kerajaan PH yang lama, atau PH akhirnya akan akur dengan rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa berasaskan parti.

Bagaimanapun, PH dalam satu kenyataan hari menegaskan yang ia akan terus mengotakan janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“PH berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuangkan manifesto PH dalam kerajaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ketika ditanya apakah Mahathir akan mengembalikan kerajaan PH, hanya menjawab “Ya”, tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya pula, berkata beliau tidak pernah mengisytiharkan sokongannya kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan berulang kali, saya menentang apa jua bentuk kerjasama dengan individu yang dikenali sebagai perasuah, dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan PH telah singkirkan dengan begitu susah payahnya.

“Atas dasar prinsip, saya telah sampaikan (pendirian) ini kepada anggota Parlimen Bersatu dalam mesyuarat semalam.

“Saya tidak menandatangani apa-apa akuan bersumpah (SD) bagi menyokong mana-mana individu,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau keluar awal daripada mesyuarat itu bagi memberi ruang anggota parlimen Bersatu berdebat secara bebas bagi memilih siapakah yang dirasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, meskipun saya tak bersedia untuk bekerja dengan mereka yang korup dari Umno, saya boleh menerima mereka secara individu, asalkan mereka terbukti bersih (dari rasuah).

“Mungkin Muhyiddin lebih bersikap tidak kisah dalam pendekatan ini,” katanya.

Sokongan PH kepada Mahathir berlaku di tengah-tengah cubaan Muhyiddin untuk kembali merealisasikan Perikatan Nasional yang pada asalnya digagaskan untuk mengganti kerajaan PH pada Ahad lalu.

Gerakan itu mahu Mahathir menjadi perdana menteri di bawah gabungan baru yang terdiri daripada Bersatu, bekas PKR yang diketuai anggota Parlimen Gombak Azmin Ali, BN, PAS, GPS, dan Warisan.

Gerakan itu terbantut apabila Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Tindakan Mahathir itu turut meruntuhkan kerajaan PH. Pemimpin PH melobi Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi mereka kemudiannya menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setelah mendapat tahu niat Mahathir yang mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti.

BN dan PAS, yang sebelum ini menyokong Mahathir dan percaya beliau akan mengetuai Perikatan Nasional, kemudiannya menuntut agar Parlimen dibubarkan setelah mendapat tahu rancangan Mahathir itu.

Semalam pula, mereka memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas kelihatan ada harapan untuk Perikatan Nasional kembali direalisasikan.

Semalam, Anwar dan Muhyiddin dilihat seperti pesaing utama untuk jawatan perdana menteri. Hari ini, nampaknya, Mahathir kembali mendahului.

Syed Saddiq berontak: Saya takkan kerja dengan perasuah

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memberontak terhadap keputusan partinya Bersatu untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno.

“Saya jadi ahli politik kerana di masa itu, negara saya dihina, dikeji dan dimalukan dengan salah laku dan rasuah di mata dunia.

“Saya percaya rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah negara yang lebih baik. Negara yang bebas rasuah, dihormati dan bermaruah.

“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan golongan perasuah, jauh sekali untuk mendirikan kerajaan bersama dengan mereka,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitter pagi ini.

Meskipun Bersatu mendakwa bahawa semua 36 anggota parlimennya - termasuklah sekumpulan bekas ahli PKR- kini menyokong presiden parti Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru, masih ada perpecahan dilihat dalam parti.


Syed Saddiq

@SyedSaddiq
Ini bukan lagi soal parti atau majoriti.
Ini soal identiti & integriti.

Saya faham pendirian saya tidak akan disenangi oleh segelintir ahli politik. Tetapi ahli politik datang dan pergi. Rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini.

Biar mati bermaruah, jangan hidup dijajah.

Sebahagian anggota parlimen masih menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang bertegas parti itu tidak patut bekerjasama dengan Umno, memandangkan beberapa pemimpinnya kini berdepan perbicaraan kes rasuah yang besar.

Syed Saddiq mengaku pendiriannya itu mungkin tidak disenangi oleh sebahagian pihak, namun tegasnya, dia tidak berganjak.

“Ini bukan lagi soal parti atau majoriti, ini soal identiti dan integriti.

“Saya faham pendirian saya tidak akan disenangi oleh segelintir ahli politik. Tetapi ahli politik datang dan pergi. Rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini.

“Biar mati bermaruah, jangan hidup dijajah,” katanya.

Perpecahan dalam Bersatu

Pada Rabu, Mahathir menggambarkan partinya mungkin akan mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang tidak sepertinya, bersedia menerima Umno.

Mahathir mengadakan pertemuan dengan anggota parlimen Bersatu pagi semalam, tapi dilihat keluar lebih awal.

Hal itu selepas mereka tetap mahu melibatkan parti Umno dalam kerajaan baru yang ingin dibentuk dan Muhyiddin sebagai perdana menteri- itulah rancangan asal “Langkah Sheraton” yang digerakkan Ahad lalu.

Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu turut menyalahkan partinya sendiri atas kejatuhan PH selepas Muhyiddin membuat keputusan membawa Bersatu keluar dari PH dan berpakat dengan bekas anggota Parlimen PKR, BN, PAS, GPS dan Warisan dalam usaha membentuk kerajaan baru.

PH sebelum ini melobi supaya Mahathir tetap dengan kerajaan PH yang lama, tetapi Mahathir mahu menubuhkan kerajaan baru yang tidak berasaskan parti.

Rancangannya itu tidak mendapat sokongan dan menyebabkan anggota parlimen menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata parti itu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam satu Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan blok Azmin dari PKR), yang “dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”.

Bagaimanapun Syed Saddiq tadi menjelaskan dia tidak pernah menandatangani apa-apa sokongan terhadap Muhyiddin.

“Saya tak pernah tandatangan,” katanya.

Ini menjadikan perpecahan dalam Bersatu semakin ketara, selepas perpecahan turut dapat dilihat dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kepemimpinannya semalam.

Naib Ketua Pemuda Bersatu, Aizad Roslan, dalam satu kenyataan menyatakan sayap itu akan terus menyokong keputusan majlis tertinggi parti untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Katanya, mesyuarat semalam yang mengisytiharkan 36 anggota Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, tidak mewakili parti kerana ia diputuskan hanya menerusi mesyuarat anggota Parlimen dan bukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Semalam, ahli MPT Bersatu A Kadir Jasin yang dikenali sebagai penyokong tegar Mahathir, turut mendakwa mesyuarat tersebut tidak disokong oleh MPT.

Perpecahan turut dapat dilihat di peringkat negeri, apabila di Johor contohnya, Bersatu, BN dan PAS, dengan restu Muhyiddin, telah membentuk kerajaan negeri baru, dengan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar.

Berbeza dengan yang berlaku di Kedah, timbalan presiden Bersatu merangkap menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mengekalkan kerjasama dengan PH.

Krisis Perak 2009 mungkin berulang di Johor?

Zikri Kamarulzaman
Dewan Undangan Negeri Johor berkemungkinan menyaksikan situasi sama yang berlaku di Perak lebih daripada sedekad yang lalu.

Kerajaan PH di negeri itu tumbang selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 anggota DUN dan berpuas hati bahawa 28 daripadanya menyokong gabungan baru Bersatu, BN dan PAS.

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad kemudiannya mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru malam ini menggantikan menteri besar dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal.

Pada sidang media selepas mengangkat sumpah, Hasni berkata kerajaan negeri baru dibentuk oleh Sultan mengikut perlembagaan negeri.

"Ini bukan kerajaan pintu belakang," katanya, dengan menekankan bahawa situasi berkenaan berlaku kerana perpecahan PH.

Rakaman sidang media itu diperoleh Malaysiakini.

Pada sidang media itu, Ketua Bersatu Johor Mazlan Bujang yang tiba pagi ini, berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan memberi sokongan kepada Hasni.

Mazlan adalah salah seorang daripada dua Adun yang tidak hadir mengadap Sultan pada Rabu. Seorang lagi Adun yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang berada di Kuala Lumpur untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Adun Pemanis dari PKR Dr Chong Fat Full turut menyokong gabungan baru itu semasa perjumpaan dengan Sultan Johor.

Bagaimanapun, semalam Chong mengisytiharkan bersama PH dan hadir ketika 28 Adun PH berkumpul malam tadi untuk mencabar majoriti gabungan baru.

Namun Hasni berkata pada sidang akhbarnya petang ini bahawa gabungan baru itu akan mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Hasni berkata beliau akan menyampaikan kepada Sultan Ibrahim barisan exco dalam masa seminggu dan ini ia akan mencerminkan komposisi kaum di Johor.

Walaupun BN Johor mempunyai dua wakil India dari MIC, gabungan baru itu tidak mempunyai Adun Cina.

Perlembagaan Johor menyatakan bahawa ahli exco mestilah terdiri daripada Adun.

Ketika dihubungi, Salahuddin, yang merupakan Adun Simpang Jeram, berkata PH boleh mematuhi peraturan dan prosedur di dewan negeri untuk menentukan kumpulan yang mempunyai majoriti.

Penyandang speaker dewan, Suhaizan Kaiat dari Amanah turut menyatakan perkara sama, dengan menambah bahawa menteri besar boleh dicabar dalam sidang DUN.

"Kita akan lihat jika ada keperluan untuk mengadakan sidang khas," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan krisis Perak tahun 2009 berulang, yang menyaksikan kebuntuan dalam dewan undangan negeri sehingga menyebabkan Speaker Pakatan Rakyat ketika itu diheret keluar dewan, beliau menjawab: "Apa pun boleh berlaku."

Suhaizan, yang bukan seorang wakil rakyat, juga berkata sebagai Speaker, dia boleh membuat undian memutuskan sekiranya jumlah sokongan ahli parlimen buntu dengan masing-masing mendapat 28 kerusi.

Sidang DUN dijadual pada 5 Mac, tetapi mengatakan bahawa sekiranya berlaku perubahan kerajaan, ia akan ditangguhkan.

Muhyiddin 'tok dalang' sebenar?

Malaysiakini
ANALISIS l Sejak tercetus krisis politik negara, perhatian tertumpu kepada dua watak - Azmin Ali dan Dr Mahathir Mohamad - yang dilihat sebagai dalang yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin didakwa berperanan penting dalam "Langkah Sheraton" - rancangan untuk menukar PH dengan sebuah kerajaan yang dianggotai bersama Umno dan PAS - dan diterajui oleh Mahathir.

Pada masa yang sama, Mahathir dituduh tidak lagi komited kepada PH dan memungkiri janjinya untuk menyerahkan kuasa pemerintahan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 24 jam lalu menunjukkan bahawa ‘tok dalang’ wayang kulit yang sebenarnya adalah orang lain - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pertama, pertimbangkan bahawa Azmin dan pengikutnya tidak lagi menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dan menyatakan sokongan terbuka kepada Muhyiddin.

Kedua, Mahathir mendedahkan semalam bahawa rancangan sedang diatur untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri sebuah kerajaan yang turut dianggotai oleh semua ahli parlimen Umno.

Sebelum ini, ahli parlimen Bersatu telah memberi sokongan padu kepada Mahathir, yang mahu menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang tidak terikat dengan sebarang parti dengan dirinya sebagai perdana menteri.

Terdapat juga laporan berita yang memetik Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa bahawa semua ahli parlimen Umno dan PAS telah diarahkan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika mereka mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS menafikannya, beberapa ahli parlimen Umno memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah benar.

Muhyiddin sering mencuri tumpuan media sejak krisis politik itu meletus. Bagaimanapun, gerakan taktiknya semakin jelas.

Sementara beberapa menteri besar Bersatu seperti Faizal Azumu (Perak) dan Mukhriz Mahathir (Kedah) memilih untuk meneruskan mandat PH di negeri masing-masing, keadaannya berbeza di negeri asal Muhyiddin di Johor.

Semalam, kerajaan PH di Johor tumbang, sebahagiannya kerana tindakan Muhyiddin dan penyokongnya yang memutuskan untuk membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.

Muhyiddin adalah Adun Gambir. Justeru, sudah pasti Muhyiddin mengundi memilih kerajaan baru apabila beliau mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Petang tadi, Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru, menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu.

Sebelum ini, Umno dan PAS, bermati-matian mahu pilihan raya umum diadakan tetapi hari ini memutuskan, untuk menyokong Muhyiddin.

Muhyiddin, 72, mempunyai sejarah dalam percubaan menggulingkan beberapa perdana menteri.

Pada 2008, beliau yang ketika itu adalah naib presiden Umno, bergabung dengan anggota parti mendesak peletakan jawatan Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Pada 2016, Muhyiddin dipecat daripada Umno kerana didakwa terlibat dalam plot untuk menjatuhkan Najib Razak. Setahun sebelum ini, beliau digugurkan dari kabinet. Beliau ketika itu timbalan perdana menteri.

Menurut sumber, Mahathir meninggalkan mesyuarat pagi tadi bersama anggota parlimen Bersatu setelah menjadi jelas bahawa mereka berkeras mahu membentuk perikatan dengan Umno, yang tidak direstuinya.

Adakah bintang Muhyiddin akan menyinar kali ini dan mampukah beliau menjadi perdana menteri Malaysia kelapan dan menempatkan namanya dalam buku sejarah sebagai orang yang menamatkan legasi Mahathir dan Anwar?

Walau bagaimanapun, tidak bijak untuk mengandaikan perjalanan politik Mahathir sudah berakhir. Mereka yang meremehkannya pada masa lalu masing-masing menyaksikan diri mereka akhirnya tersungkur.

Tommy Thomas letak jawatan sebagai AG

Malaysiakini
Peguam Negara (AG) Tommy Thomas telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menurut satu laporan berita.

Dihubungi oleh Malaysiakini untuk pengesahan itu, beliau menjawab: "Ya."

Memetik sumber, The Edge berkata Thomas mahu meletak jawatan ketika Mahathir masih mengetuai negara.

Mahathir melantiknya untuk penggal selama dua tahun pada 4 Jun, 2018. Ia dijadualkan berakhir pada bulan Jun.

The Edge juga melaporkan bahawa adalah tidak jelas apa yang akan berlaku dengan kes-kes ini yang dikendalikan oleh Thomas seperti skandal 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Majlis Presiden PH percaya Anwar dapat sokongan majoriti PM ke-8

AKMAL MANAF
Majlis Presiden Pakatan Harapan percaya calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan Ahli Parlimen berdasarkan proses yang ditentukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

Menurut Majlis Presiden, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu wajar diberi peluang menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli-Ahli Parlimen terhadap beliau.

“Kami (Majlis Presiden) meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam isu ini.

“Kami juga menyambut baik kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini, serta menjunjung kasih terhadap perkenan Baginda untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri,” maklum kenyataan itu.

Dalam sidang media Majlis Presiden pada Rabu lalu, Anwar mengumumkan Ahli Parlimen PH yang terdiri daripada AMANAH, PKR dan DAP telah mencalonkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri Ke-8.

Anwar berkata, keputusan Majlis Presiden pada Selasa juga telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan adalah dirinya.

Istana Negara dalam satu kenyataan sebentar tadi menegaskan Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli bagi membentuk kerajaan baharu.

Hasni angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-18

MALAYSIADATELINE
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene di sini sebentar tadi.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor berusia 61 tahun itu dilantik selepas gabungan BN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada parti Bersatu selepas gabungan baharu itu dibentuk.

.Hasni yang berasal dari Pontian berkelulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam, Universiti Of Missouri, Rolla Amerika Syarikat.

Beliau yang m pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia dan juga Ketua UmnoBahagian Pontian seperti dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.

Muhyiddin 96, Anwar 92

Malaysiakini
Muafakat Nasional petang ini mengubah pendirian dengan mencalonkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

"Ini bermakna seramai 57 ahli parlimen Umno dan PAS memberi sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin," menurut kenyataan itu.

Kepupusan terbaru itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agung hari ini bertitah akan meminta pencalonan perdana menteri selepas tiada pihak mendapat majoriti jelas.

Muafakat Nasional sebelum ini mahu parlimen dibubarkan.

Muhyiddin setakat ini turut memperoleh 36 sokongan - daripada anggota parlimen partinya (termasuk dipercayai kem Azmin Ali).

Dalam perkembangan terkini, MCA dan MIC juga menyatakan sokongan pada Muhyiddin. MCA mempunyai dua anggota parlimen manakala MIC satu kerusi dalam Dewan Rakyat.

Jika PBRS juga menyokongnya, Muhyiddin selamat dengan sokongan 97 anggota parlimen.

Anwar, pesaing terdekat Muhyiddin, kini hanya mendapat sokongan 92 wakil rakyat Pakatan Harapan.

PAS dan Umno sokong Muhyiddin jadi PM

Umno dan PAS yang masing-masing memegang 39 dan 18 kerusi parlimen bersetuju mencalonkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk perkenan Agong.

Terdahulu, kenyataan media Bersatu menyebut bahawa "36 ahli parlimen" mereka menghadiri mesyuarat. Bersatu sebelum ini hanya mempunyai 26 ahli parlimen. 10 ahli parlimen lain dipercayai merupakan kumpulan Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR.

Dengan perkembangan ini, Bersatu, PAS dan Umno kini mempunyai 93 sokongan ahli parlimen. Sekiranya MCA, MIC dan PBRS turut menyokong Muhyiddin, maka beliau mempunyai 97 sokongan ahli parlimen.

PH yang mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mempunyai 92 sokongan ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah.

Undang-undang berkaitan pelantikan PM

MOHAMED HANIPA MAIDIN
ULASAN:
Isu siapakah yang wajar dilantik sebagai PM, selepas YAB Tun meletakkan jawatan dan kini memegang jawatan PM interim , kini hangat dibincangkan. Dan saya pula amat sering ditanya soalan tersebut. Maka saya memilih untuk menulis sedikit pandangan saya.

Secara mudahnya, isu pelantikan seorang Perdana Menteri ( PM ) diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara/Artikel 43 ( 2 ) ( a ) Perlembagaan Persekutuan ( PP ). Sehingga saya menulis artikel ini, PP masih dikira undang-undang tertinggi dalam negara ini. Be that as it may, constitutionally speaking, no body is above the constitution. At least , not yet.

Artikel 43 ( 2 ) ( a ) PP menggariskan , antara lain , dua syarat penting ini, sebelum seseorang ahli Dewan Rakyat itu boleh dilantik sebagai seorang PM di negara ini.

a. Bakal PM itu wajib menjadi Ahli Dewan Rakyat.

b. Dan bakal PM yang hendak dilantik itu hendaklah , mengikut kepercayaan oleh YDPA ( sahaja) bahawa Ahli Dewan Rakyat itu ” is likely” mendapat keyakinan majoriti ahli- ahli Dewan Rakyat ( DR ) .

Artikel 43 ( 2 ) ( a ) PP itu wajib dibaca bersama dengan Artikel 40 ( 2 ) ( a ) PP yang menyatakan antara lain bahawa YDPA ” may act in his discretion” dalam menjalankan beberapa fungsi rasminya yang mana salah satunya adalah dalam isu pelantikan seorang PM.

Prof. Emeritus Dr Sha Faruqi betul bila beliau menyatakan di dalam bukunya ” Our Constitution” bahawa ” this means thar on the issue of appointment of a new premier, the King IS NOT BOUND by the advice or wishes of an ongoing Prime Minister ( lihat m/s 207 )

Ada perbahasan panjang di kalangan para ahli undang-undang mengenai apakah yang dimaksudkan frasa ” is likely to command the confidence of the majority” yang tertulis dalam Artikel 43 ( 2 ) ( a ) PP itu ?

Mereka yang menafsirkan secara literal ( harfiyyah ) peruntukkan tersebut biasanya menafsir frasa tersebut dengan angka secara matematik.

Maknanya , dalam konteks Parlimen Malaysia , PM yang hendak dilantik oleh YDPA tersebut wajib mendapat sekurang-kurangnya 112 undi atau sokongan dari para ahli DR yang sebanyak 222 kesemuanya .

Baru-baru ini apabila YDPA memanggil para Ahli DR dari pelbagai parti untuk memilih siapakah calon yang ingin dipilih sebagai bakal PM , dilaporkan oleh media bahawa YAB Tun mendapat sokongan sebanyak 64 undi, manakala DSAI pula mendapat 92 undi . Dan dilaporkan juga bahawa ada para MP yang memohon dibubarkan Parlimen iaitu sebanyak 62 orang dan 4 orang pula dilaporkan terdiri daripada blok bebas ( maaf angka sebenar tidak diketahui kerana ia berada dalam milik YDPA sahaja ).

Oleh kerana kita sedang membicarakan isu pelantikan PM, maka, bagi saya, yang relevan dalam konteks perenggan 8 di atas adalah sama ada YAB Tun atau YB DSAI yang layak dipilih oleh YDPA sebagai PM ?

Bagi saya, dengan hormat, isu berapa ramai wakik rakyat yang memilih untuk dibubar Parlimen tidak begitu relevan untuk dibincang di sini.

Jika dilihat kepada kedua-dua angka yang dilaporkan oleh media, angka yang diperolehi oleh sama ada YAB Tun ( 64 ) atau YB DSAI ( 92 ), kedua-duanya bukan angka majoriti diukur dari perkiraan matametik .

Media melaporkan bahawa YAB Tun telah menyatakan hal tersebut iaitu tiada siapa yang memiliki suara majoriti, maka dikatakan bahawa wujudnya saranan bahawa perlu diadakan satu sidang khas Dewan Rakyat pada 2/3/2020 ini bagi menentukan siapa calon PM yang memiliki suara majoriti untuk dilantik bakal PM atau ( jika tiada ) perlu diadakan satu pilihan raya mengejut ( a snap election).

Secara sepintas lalu apa yang dilaporkan sebagai kata-kata YAB Tun itu memang ada logiknya.

Malangnya, dengan rasa penuh hormat, kita tidak berbicara isu logika di sini. Sebaliknya, kita sedang berbicara isu peruntukkan Perlembagaan Persekutuan – undang-undang tertinggi negara.

Ya, boleh dihujahkan apa yang dikatakan oleh YAB Tun itu ada logik dan kemunasabahannya, namun apa yang dikatakan itu, maaf, malangnya begitu “asing” ( foreign ) dari pandangan Perlembagaan Persekutuan . Dengan penuh hormat, ianya amat bertentangan sama sekali dengan kaedah atau prosedur yang ditetapkan oleh Perkara 43 ( 2 ) ( a ) PP. Maaf, YAB Tun. Our constitution does not say so.

Jadi bagaimana sekarang ? Di sinilah, saya berpandangan, bahawa jika benar dilaporkan bahawa YB DSAI telah mendapat 92 undi ( meskipun bukan 112 undi ) dan, jika dalam kepercayaan YDPA itu telah dikira telah mendapat keyakinan majoriti, maka DSAI sudah boleh atau layak dilantik sebagai bakal PM. Perlembagaab hanya menetapkan kepercayaan YDPA sahaja.

Bagi saya, keyakinan majoriti bukan diukur dengan pengiraan angka atau nombor semata- mata. Kerana jika begitu tafsirannya ( ikut angka atau nombor) , with due respect, we have unnecessarily restricted the vast discretionary power duly conferred to the YDPA under our apex law.

Bagi saya, apa yang saya katakan itu adalah selari juga dengan janji YAB Tun yang banyak kali dilafazkan, untuk beliau. bersedia menyerah kuasa PM kepada YB DSAI selari dengan konsensus PH.

Bukankah itu juga boleh ditafsirkan bahawa sejak dari awal lagi YAB Tun begitu yakin dengan kepimpinan YB DSAI untuk menggantikan beliau sebagai PM yang ke-8 insyaAllah.

Itu lah pandangan saya. Mohon maaf jika tersilap.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Sepang dan mengamal undang-undang

Dewan Rakyat tiada notis untuk sidang 2 Mac

Malaysia Dateline
Dewan Rakyat tidak keluarkan sebarang notis untuk sidang Isnin ini.
Dewan Rakyat tidak mengeluarkan sebarang notis untuk mengadakan sidang pada Isnin 2 Mac ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat ini tidak ada sebarang notis dikeluarkan untuk panggil sidang Isnin ini,” kata sumber yang rapat dengan Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Mahathir mengumumkan, keputusan untuk menetapkan kerajaan baru akan ditetapkan oleh sidang parlimen Isnin ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong sebaik sahaja Baginda selesai bertemu dengan semua ahli parlimen.

Sedangkan pada masa yang sama Agong akan bertemu dengan Majlis Raja-raja pagi ini.

Ekoran itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan mempertikaikan tindakan Mahathir mengumumkan keputusan akan dibuat oleh Dewan Rakyat ketika Yang Dipertuan Agong hanya akan bertemu Majlis Raja-raja hari ini.

RAIS YATIM

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mempertikaikan kenyataan Mahathir untuk memutuskan siapa Perdana Menteri melalui Dewan Rakyat.

“Kuasa melantik PM di tangan YD Agong bukan di DRakyat. Patut Agong dah buat keputusan hasil 2 hari temuduga MP,” kata Rais melalui twitternya.

Sehubungan itu, Rais memohon Peguam Negara memberi nasihat yang betul kepada Yang Dipertuan Agong.

“PegNegara tolonglah beri nasihat betul kpd YDPA. Di DR cuma boleh undi percaya atau tak percaya,” kata Rais.

Tun dari kaca mata orang PKR

Wan Ji Wan Hussin

Pada Julai 2015, saya mengumumkan kemasukan ke PKR. Dengan itu, terbatal keahlian PAS saya – parti yang pernah saya duduki semenjak baligh sehingga memegang beberapa jawatan dalam parti di peringkat kawasan, negeri dan pusat.

Sebagai ahli PKR yang baru, saya cuba memahami budaya parti yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim itu.

Saya masuk PKR bukan kerana saya pengagum Anwar Ibrahim. Saya juga bukan pengagum pemikiran Anwar. Malah, ada beberapa idea-idea islam yang dikemukakan oleh Anwar yang saya kurang bersetuju.

Bagaimanapun, saya selalu mendapat kunci baru, apabila saya mendengar ucapan Anwar dalam pertemuan yang melibatkan ilmu. Nama-nama tokoh Islam yang kadangkala beliau sebut, ia baru bagi saya – menjadikan saya mahu mencari bahan bacaan yang berkaitan.

Ceramah politik beliau, saya kurang minat. Ucapan yang berkaitan dengan kebudayaan, sastera dan Islam, menarik minat untuk saya untuk saya ambil perhatian.

Dari sudut pengalaman yang tidak lama itu, saya dapat rasakan sentimen pendukung parti terhadap Dr Mahathir Mohamad. Itu sudah pasti, kerana parti itu sendiri lahir dari perlawanan terhadap Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri keempat.

Namun begitu, suasana politik tidak pernah sekata. Ia sentiasa berubah. Kadangkala perubahan itu berlaku walaupun hanya dalam masa sehari sahaja. Dengan sebab itu, Dr Mahathir yang selama hari ini dianggap musuh, tiba-tiba menjadi teman dan kawan.

Mahathir

Sebelum PRU ke-14, antara perkara yang menjadi wacana politik adalah melakukan mudarat kecil demi mengelak dari berlaku mudarat yang lebih besar.

Ungkapan ini sebenarnya dari kaedah fikah yang terkenal. Antara contoh yang dibuat adalah, makan babi itu haram.

Tetapi, demi menyelamatkan nyawa, yang merupakan mudarat besar, maka memakan babi yang merupakan mudarat kecil itu dibenarkan.

Dalam wacana politik ketika itu, mudarat besar adalah berdirinya kerajaan BN yang dikepalai oleh Najib Razak.

Bermula dengan skandal kewangan negara seperti 1MDB sehingga melibat akta-akta zalim yang membelenggu perundangan negara.

Malah, kerajaan BN ketika itu seakan-akan hilang akal dalam menanggapi isu-isu yang melibatkan negara. Apa lagi ada yang melibatkan nyawa dan kematian.

Mudarat kecil pula adalah penerimaan terhadap Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan. Dalam "ijtihad politik" ketika itu, tidak menerima Dr Mahathir, PH tidak ada nilai tambah dalam usaha menjatuhkan BN.

Apa lagi, ketika itu Anwar dalam penjara.

Dr Mahathir pada awalnya adalah musuh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Namun, sifir politik selalu menyatakan bahawa musuh tidak selamanya musuh, dan kawan tidak selamanya kawan. Maka tidak hairan Dr Mahathir diterima pemimpin PKR, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir sudah mula menyerang Najib. Hishamuddin Rais pun mengulangi teori yang berbunyi: "Musuh kepada musuh adalah kawan."

Ketika itu, saya faham dari teori Tukar Tiub itu, Dr Mahathir tetap musuh. Cuma dalam fasa melawan Najib, Dr Mahathir adalah kawan.

Walaupun semua parti-parti pembangkang sudah sedia mahu menjatuhkan Najib.

Tetapi, pengalaman politik yang begitu lama, Dr Mahathir amat bijak sehingga berjaya menjadikan semua parti-parti pembangkang berganding tangan dengan beliau dalam usaha dan cita-cita yang sama.

Dengan itu, Dr Mahathir berjaya mendapat sokongan Amanah. Pelbagai usaha dilakukan, termasuk ke rumah Mat Sabu untuk menjamu selera. Presiden Amanah itu terkenal dengan kemahiran memasak.

Terhadap DAP pula, Dr Mahathir mula mengaku segala tuduhan beliau terhadap parti itu sebagai tidak benar.

Segala propaganda yang Dr Mahathir cipta terhadap DAP dahulu, beliau akui bahawa itu semua ciptaan beliau dengan tujuan memburukkan imej parti tersebut sahaja.

Terhadap PKR pula, agak sukar dan gusar sedikit. Beliau berusaha mahu berjumpa dengan Anwar yang ketika itu dalam penjara.

Walaupun gagal, tetapi pertemuan yang gambar beliau bersalaman mesra dengan Anwar di mahkamah ternyata membentuk satu persepsi politik.

Walaupun, kelihatan Anwar menerima Dr Mahathir. Tetapi itu tidak bermakna beliau mudah mempengaruhi dua insan - Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden, dan Nurul Izzah Anwar selaku naib presiden.

Kak Wan

Di peringkat awal, Kak Wan (Wan Azizah) boleh dikatakan orang yang susah untuk menerima Dr Mahathir dalam kerjasama politik.

Dalam satu kunjungan Kak Wan ke Kelantan, Ustaz Nik Omar ada bertanya kepada Kak Wan berkenaan sikap beliau terhadap Dr Mahathir?

Ustaz Nik Omar menyatakan bahawa Kak Wan memberi jawapan pendek tetapi mengagumkan.

Kak Wan kata: “Demi Malaysia.”

Ketika konvensyen PH pada Januari 2018 bertempat di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, Dr Mahathir dikatakan tidak ada dalam senarai pemberi ucapan.

Tiba-tiba, Dr Mahathir datang, menyebabkan Kak Wan menghubungi seseorang ustaz hanya semata-mata bertanya pandangan, apakah perlu beliau menyambut Dr Mahathir - dari sudut pandang agama Islam?

Ustaz tersebut menceritakan kepada beliau satu hadis berkaitan pesan Nabi SAW kepada sahabat.

Kata baginda: “Telah datang kepada kamu orang yang mulia dalam sesuatu kaum. Maka muliakan orang mulia tersebut.”

Dengan itu, Kak Wan sambut kehadiran Dr Mahathir.

Tidak mudah Kak Wan untuk menerima Dr Mahathir. Tetapi, demi memastikan negara perlu diselamatkan dari kehancuran yang sedang dilakukan BN ketika itu, Kak Wan berkorban perasaan.

Nurul Izzah

Sebelum PRU, ada beberapa orang pemimpin Bersatu minta bertemu Nurul Izzah. Dalam pertemuan itu, pihak Bersatu berjanji beberapa perkara.

Pertama, menerima agenda reformasi dan perubahan pada sistem negara. Kedua, bebas Anwar (ketika itu dalam penjara). Dan ketiga, Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Mereka minta pemimpin mereka menjadi perdana menteri ketujuh. Walaupun orang yang meminta jawatan PM itu bukan Dr Mahathir, Nurul Izzah tetap tidak memberikan sebarang jawapan terhadap pertemuan tersebut.

Mengenangkan sejarah hitam yang sebegitu lama, Nurul Izzah antara yang sukar untuk menerima kehadiran Dr Mahathir dalam gabungan PH.

Bagaimanapun, beliau hormati keputusan PH yang melibatkan empat parti – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sehingga dalam hal mencalonkan Dr Mahathir sebagai PM ketujuh.

Tidak senang untuk berkorban perasaan. Namun, isu Malaysia bukan soal perasaan, tetapi soal sejauh mana memastikan negara ini perlu diselamatkan.

Beliau akur demi memastikan Malaysia menuju ke arah yang lebih baik.

Azmin Ali

Ketika itu, Azmin Ali masih lagi bersama PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Tidak sedikit pemimpin dan ahli Amanah merasakan mereka seperti dianaktirikan dalam kerajaan Selangor.

Dalam banyak pertemuan bersama rakan-rakan Amanah, keluhan luka itu sering sangat kedengaran.

Ketika perdana menteri keempat bersama PH, Azmin bersama rakan-rakan Kartel beliau masih lagi tidak selesa.

Berbagai-bagai hujah dan persepsi yang dicipta dalam media awam dalam menampilkan sikap tidak setuju dengan penerimaan terhadap Dr Mahathir.

Keadaan itu berubah selepas kemenangan PH. Azmin bersama beberapa rakan Kartel mendapat banyak keuntungan.

Beliau sendiri menjawat jawatan menteri. Zuraida Kamaruddin sebagai pendukung tegar Azmin turut mendapat keuntungan sama.

PH

PH sudah berjaya terbina. PKR, Amanah, DAP dan Bersatu bergabung untuk membentuk kerajaan. Berkhidmat kepada rakyat tidak boleh diabaikan lagi.

Tidak dinafikan, banyak usaha telah dilakukan. Tetapi kadangkala ada beberapa tindakan yang tidak memberi implikasi baik kepada rakyat.

Sudahlah PH gagal menunaikan beberapa janji manifesto yang dianggap penting, kedengaran kenyataan yang memandang sinis terhadap rakyat yang membangkitkan perkara ini seperti perkataan “manifesto bukan kitab suci”.

Semua ini melemahkan semangat pendukung PH yang berjuang untuk memastikan jatuhnya BN dahulu. Keadaan ini tidak wajar berlanjutan, sebaliknya perlu diatasi dengan baik.

Di tengah-tengah kemelut ini, kedengaran isu peralihan kuasa membawa kepada usaha menjatuhkan kerajaan PH dengan mahu menubuhkan kerajaan yang lain.

Ia sudah pasti menambah kemarahan dari pihak pendokong PH. Apa lagi, usaha menubuhkan kerajaan baru itu melibatkan parti-parti pembangkang.

Saya kira, penubuhan PH bukan sesuatu yang senang. Ia berdiri atas titisan air mata dan pengorbanan perasaan rakyat bawahan sehingga pimpinan atasan.

Demi memastikan negara berjaya dipulihkan, agenda perubahan sistem dan reformasi wajar diangkat semula. Soal kuasa politik, perlu beroreantasikan kepada agenda kebajikan rakyat merentasi anutan agama dan kaum.

PH Johor sanggah 'gabungan baru', dakwa masih majoriti

Malaysiakini
Seramai 28 orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor tampil menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) selepas Istana Johor berkenan mengumumkan gabungan baru mengambil alih kerajaan negeri.

Dalam sidang media di Johor Bahru Grand Paragon Hotel malam ini, pemimpin PH berkata "gabungan baru" yang merangkumi Bersatu, Umno, MCA, MIC dan PAS tidak mempunyai majoriti.

"PH Johor ingin menegaskan bahawa kami ada sokongan 28 Adun - sembilan dari Amanah, 14 dari DAP dan lima dari PKR. Dan semua hadir malam ini.

"Jadi gabungan baru itu tiada mempunyai majoriti untuk tubuh kerajaan negeri," kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Beliau turut menyebutkan kesemua 28 kawasan Dun yang menyokong PH satu per satu dan disambut dengan sorakan dan tepukan.

Semua wakil rakyat PH, termasuk Adun Pemanis Chong Fat Full dari PKR, dilihat mengangkat kertas yang memaparkan kod kerusi Dun mereka.

Terdahulu, Chong dilaporkan menyokong gabungan baru itu, walaupun hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap PH.

Setelah sejam mesyuarat, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PH Johor akan menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secepat mungkin.

“Kami telah bersetuju akan menghadap Tuanku Sultan Ibrahim bahawa kita sudah mempunyai jumlah tertentu (supaya perkara ini) disampaikan kepada Tuanku.

“Itu akan dilakukan seberapa segera,” kata anggota parlimen Ledang itu.

Beliau turut menyatakan bahawa PH Johor bersetuju melantik Aminolhuda sebagai penyelaras PH Johor memandangkan Bersatu telah keluar dari PH.

Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub turut bersama dalam sidang media tersebut.

Salahuddin yang juga merupakan timbalan presiden Amanah menjelaskan ketidakhadiran beliau di Bukit Timbalan sebelum ini adalah disebabkan keperluannya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan nama calon perdana menteri pada Rabu lalu.

“Saya pohon maaf kepada Tuanku atas ketidakhadiran saya kerana saya perlu berada di Istana Negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada PH.

Hari ini, Istana Johor dan Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal mengisytiharkan gabungan baru itu mempunyai majoriti di Dun.

Daripada jumlah 56 kerusi, gabungan baru itu kini memegang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi.

Satu-satunya Adun yang belum mengisytiharkan sokongannya ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa).

Menurut laman Johorkini, Mazlan berkata beliau mengambil sikap berkecuali buat masa ini dan sedang menunggu arahan dari pimpinan pusat.

PH lantik penyelaras krisis Johor

AMNI JAGAT
Pakatan Harapan (PH) Johor dalam sidang media malam tadi melantik Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan sebagai Ketua Penyelaras PH Johor dalam menghadapi krisis politik yang sedang berlaku.

Aminolhuda yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri akan mengetuai pasukan PH untuk mengadap Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi menyatakan hasrat jumlah kerusi yang mencukupi diperolehi mereka.

Hal tersebut dijelaskan oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh ketika sidang media berkenaan di Hotel Paragon Johor Bahru.

Beliau turut menyatakan bahawa PH Johor akan memohon perkenan mengadap Sultan Johor dalam kadar seberapa segera untuk membawa nama-nama Adun yang bersetuju bersama-sama PH di Johor.

Dalam pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa PH Johor turut mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan dengan bilangan 28 ADUN.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu, Mazlan Bujang yang merupakan Adun Puteri Wangsa berkata beliau masih tidak mempunyai pilihan mana-mana kumpulan untuk disokong.

Perkara itu jelas menandakan bahawa gabungan baharu yang dicanang oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal tidak mendapat majoriti iaitu hanya sekadar 27 ADUN sahaja.

PPBM terperangkap dalam jerat sendiri?

Nicholas Chung
PETALING JAYA: PPBM dilihat terperangkap dalam jerat yang diciptanya sendiri, di mana seorang penganalisis politik berkata satu-satunya peluang untuk bertahan adalah kembali bersatu dengan Pakatan Harapan dan seorang lagi berkata ia mungkin pengakhiran politik yang tidak bernilai.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Aziz Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata mereka percaya PPBM kehilangan sokongan rakyat dengan cepat.

Apabila tersiar berita Ahad lalu mengenai plot untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan oleh PPBM, Umno, PAS dan PKR kem Azmin Ali, rakyat secara meluas percaya Dr Mahathir Mohamad adalah salah seorang konspiratornya.

Namun, ia kemudian jelas bahawa beliau tidak terlibat. Katanya, beliau enggan bekerjasama dengan Umno dan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan juga pengerusi PPBM.

Beliau kini memegang jawatan perdana menteri interim.

PPBM tidak bersetuju dengan peletakan jawatan Mahathir dari parti itu dan berkata parti itu mahu beliau kekal sebagai perdana menteri.

Namun parti itu kini nampaknya ditinggalkan tanpa pasangan yang sanggup kecuali PKR dari puak Azmin. Baik PAS mahupun Umno tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan. Kedua-dua parti itu menggesa pilihan raya umum yang baru.

Lebih teruk lagi, sayap Pemuda PPBM yang menyokong Mahathir menolak untuk bekerjasama dengan Umno.

Awang Azman berkata adalah jelas satu-satunya pilihan yang ada untuk parti itu adalah memohon maaf dengan rendah hati dan berusaha bergabung semula dengan PH.

Memetik laporan media, beliau berkata pemimpin tertinggi PPBM nampaknya lebih banyak mendengar pandangan setiausaha politiknya berbanding Mahathir.

Beliau menambah: “Sukar untuk PPBM mendapat sokongan tanpa Mahathir. Masa depannya tergantung pada restunya.

“Walaupun ada pilihan raya umum, sukar untuk menang kerana PKR, Umno dan PAS akan menjadi pesaing utamanya.”

Azmi memberitahu FMT beliau tidak melihat PPBM melepaskan diri daripada kesan negatif sama ada ia menyertai semula PH atau terus bekerja dengan Umno dan PAS.

Beliau juga berkata ada kemungkinan pemimpin PPBM terburu-buru ketika mereka membuat keputusan untuk meninggalkan PH.

“Nampaknya mereka membuat keputusan penting tanpa berfikir panjang,” katanya.

“Kini kenyataan datang dari beberapa pemimpin PPBM yang mengatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana amalan rasuahnya yang lalu.

“Adakah ini bermakna ia baik untuk bekerja dengan PAS kerana PPBM tidak boleh berdiri sendiri dalam iklim politik semasa?”

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengumumkan semalam bahawa ahli Parlimen dari parti itu menamakan Mahathir sebagai perdana menteri semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam juga, Mahathir dalam siaran langsung meminta peluang bagi mencari jalan berhubung kemelut dengan tumbangnya PH, sambil menambah beliau merasakan penyelesaiannya adalah dengan pembentukan kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

Kenapa perlu bersedih di hadapan perompak mandat rakyat?

ARIF ATAN
Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan Pakatan Harapan (PH) terus akan menyelamatkan dan mempertahankan mandat rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya sedang menguruskan pelbagai kemungkinan yang berlaku ekoran pembubaran Kabinet dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin ingatkan alam ketidaktentuan boleh jadi macam-macam tetapi kami sedang menguruskannya.

“Orang bertanya saya: Tidak sedihkah? Saya jawab kenapa perlu bersedih di hadapan perompak mandat rakyat?

“Saya perlu beri jaminan dengan tenang kepada rakyat: ‘Kami bersama mandat rakyat dan rakyat perlu tolak golongan pintu belakang!'” ujarnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, dinamika politik di dunia yang serba tidak ketentuan adalah hakikat yang perlu diurus bukan disalahkan.

“Dari sudut politik, ia belum berakhir kerana kegagalan kudeta hari Ahad (23 Februari) sepatutnya membawa perompak mandat rakyat hari keesokannya sebagai kerajaan kononnya.

“Kami dari PH terlantik atas mandat rakyat. Sepanjang dua tahun tiada henti fitnah dan pembohongan bernuansa kaum dan agama sempit dimainkan.

“Anggota Kabinet lalu mengenali saya melalui sikap dan keputusan pentadbiran yang dibuat. Tiada kompromi pada budaya ketaksuban dan kejumudan dalam pimpinan saya termasuk kipas mengipas,” katanya dipetik Mingguan Amanah.

Apa yang beliau inginkan ialah pelaksanaan gagasan Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang sudah menjadi dasar pentadbiran negara.

“Saya hanya menuntut dasar RLA difahami sebagai ikatan anda dengan kepimpinan saya. Ada yang terkilan dengan keputusan saya tapi ia bukan kerana peribadi. Saya tak pernah ambil hati kepada sesiapa atau niat menyakitkan hati sesiapa.

“Hanya saya terkilan, dasar RLA belum masak sepenuhnya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia. Saya hanya berkecil hati jika sesuatu yang baik tidak dapat saya penuhi,” jelasnya.

Beliau menyifatkan pentadbiran Islam perlu terus kekal dinamik dan progresif kerana hal tersebut adalah tuntutan syariat.

“Saya hanya membekalkan alat pentadbiran semata-mata. Terima kasih sekali lagi kerana bersama menjayakan. Pencapaian tidak boleh dipadam walaupun ada yang tidak menyukainya,” tambah beliau lagi.

28 Adun PH Johor akan bermesyuarat malam ini

AKMAL MANAF
Seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Harapan (PH) Johor akan bermesyuarat pada malam ini.

Mesyuarat itu diadakan susulan perkenan Istana Johor untuk Gabungan Baharu dibentuk bagi mentadbir kerajaan negeri.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan ketika dihubungi Malaysia Dateline mengesahkan mesyuarat tersebut akan diadakan pada jam 8 malam ini.

“Tujuan mesyuarat diadakan pada malam ini adalah untuk membincangkan tentang gerakan seterusnya daripada pihak kami,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang Gabungan Baharu bagi pentadbiran kerajaan negeri yang berada di paling selatan tanah air itu.

Istana Johor menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, Sultan Ibrahim berpuas hati Gabungan Baharu membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Adun berbanding 26 Adun yang memilih PH.

Johor mempunyai 56 kerusi Dun. Daripada jumlah itu, DAP dan Umno masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan Pas (1).

'Tiada siapa ada majoriti, Agong serah kepada Parlimen'

Malaysiakini
Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak ada seorang pun pemimpin yang mempunyai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan, kata Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.

"Dan kerana tidak ada majoriti jelas, (Seri Paduka) kata forum yang sesuai adalah Dewan Rakyat

"Jadi parlimen akan bersidang pada 2 Mac (Isnin depan)... siapa yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri seterusnya.

"Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Mahathir pagi tadi mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menemu bual semua ahli parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap mereka dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Persidangan dengan Raja-raja Melayu dijadualkan esok.

Parlimen pada asalnya dijadualkan bersidang semula pada 9 Mac, tetapi tarikh berkenaan telah dianjakkan lebih awal untuk menyelesaikan kebuntuan politik saat ini.

Mahathir mahu membentuk kerajaan perpaduan yang meletakkan "kepentingan negara di atas garis parti".

Ditanya mengenai bagaimana ini akan berfungsi, Mahathir berkata sesiapa yang dipilih sebagai perdana menteri boleh melantik kabinet berdasarkan siapa yang mereka mahukan.

"Dia boleh memilih sebarang anggota tanpa ikatan dengan mana-mana parti... (mereka akan berada dalam kabinet) sebagai individu dan tidak dilihat sebagai wakil parti masing-masing," katanya.

Beliau menambah bahawa ahli parlimen Bebas juga boleh dipertimbangkan jika mereka layak.

Mahathir berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin juga telah berbincang dengannya mengenai kemungkinan dirinya menjadi calon perdana menteri.

PH pula sebelum ini menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.

Sebelum ini, Umno dan PAS menarik semula sokongan mereka terhadap Mahathir kerana membantah model kerajaan individu itu. Mereka sebaliknya mahu pilihan raya umum diadakan.

Mahathir tidak lagi terikat dengan perjanjian PH

ARIF JUHANI ABD RAHMAN
Dalam sekelip mata ketenangan pada 23 Februari lalu direnggut. Kumpulan media berkumpul dan melaporkan lima mesyuarat parti politik.

Lima parti tersebut adalah Bersatu, Umno, Pas, segelintir pimpinan PKR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bermesyuarat di Kuala Lumpur.

Seluruh negara dikejutkan dengan cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan dengan kerajaan baharu yang secara umumnya dikenali sebagai Pakatan Nasional.

Episod ini berubah dengan pantas. Banyak plot terbentuk dan rakyat mengikutinya sehingga larut malam.

Babak politik mengejutkan itu diakhiri dengan majlis makan malam di Hotel Sheraton iaitu lokasi sama yang pernah menghimpunkan semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengumumkan kemenangan dan kejayaan membentuk sebuah kerajaan baharu.

Pada malam sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga seperti rutin mingguan menganjurkan majlis Zikir Nurul Anwar di kediamannya di Bukit Segambut.

Di sebalik ketenangan majlis itu, Anwar mengambil kesempatan dengan mengakui berlaku pengkhianatan berlaku dalam PKR dan Bersatu untuk menjatuhkan Pakatan Harapan.

Ini semua berlaku selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan selesai bermesyuarat pada 21 Februari lalu dengan bersetuju untuk menyerahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad keputusan tentang tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim pula yang bersetuju dengan kenyataan itu sekadar mengakui bahawa beliau harus terus bersabar untuk menaiki takhta dan kerusi Perdana Menteri itu.

Tetapi langit tidak selalunya cerah. Seperti jangkaan ramai, Tun Mahathir tidak begitu mudah untuk menyerahkan jawatan tersebut. Tetapi adakah komplot jijik pada hari minggu itu merupakan bikinan karya politik teragung beliau?

Masih ada yang sukar menerima hakikat itu kerana berdasarkan kepada pertemuan pimpinan PH pada pagi 24 Februari lalu dengan Tun Dr Mahathir di kediamannya di Seri Kembangan, respon akhir yang ditunjukkan oleh semua pimpinan adalah menafikan penglibatan Tun Mahathir dalam komplot tersebut.

Malah mereka sepakat bersetuju supaya Tun Mahathir terus memegang jawatan Perdana Menteri tatkala beliau mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meletak jawatan.

Kemudian, Timbalan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengeluarkan kenyataan mengumumkan parti itu keluar dari PH.

Babak tersebut dikejutkan kembali dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Hasil pertemuan Tun Mahathir dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara pada petang 24 Februari akhirnya meletakkan beliau memegang kapasiti baharu sebagai Perdana Menteri interim. Secara mudahnya Perdana Menteri dalam tempoh peralihan.

Tetapi peralihan untuk apa? Untuk tempoh peralihan jawatan atau sebelum Parlimen dibubarkan?

Inilah babak politik paling agung dalam sejarah Malaysia malah di dunia. Seorang Perdana Menteri meletak jawatan untuk menjadi Perdana Menteri.

Lebih ajaib adalah inilah kali pertama Perdana Menteri yang dilantik bukan dari parti politik pemerintah kerana Bersatu sudah keluar dari PH.

Apa yang berlaku sekarang adalah Tun Mahathir tidak lagi terikat dengan perjanjian dengan PH untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim.

Sekarang Mahathir sudah terbuka untuk membentuk sendiri anggota Kabinetnya sendiri. Barangkali inilah peluangnya untuk membentuk sebuah kerajaan yang mempunyai identiti Muslim-Melayu seperti impian parti pembangkang.

Maknanya Pas dan Umno juga berpotensi untuk menjadi anggota Kabinet atau secara mudahnya menjadi menteri dan timbalan menteri.

Tetapi satu persoalan yang sering mencetus dilema, benarkah Mahathir merencanakan agenda sulit seperti ini kerana ramai yang mendakwa bahawa beliau sendiri tidak bersetuju untuk berpisah dengan PH.

Dimaklumkan bahawa beliau menitiskan air mata ketika menceritakan kepada para pimpinan PH tentang kisah sebenar yang berlaku pada 23 Februari lalu. Pada waktu ini, imej Mahathir kelihatan begitu ‘innocent’ dan bersih berbanding Tan Sri Muhyiddin yang pada awalnya dianggap pemimpin demokratik dan terbuka tetapi rosak disebabkan komplot 23 Februari lalu.

Satu ingatan yang perlu dipasak dalam minda kita adalah dalam politik tiada kebetulan. Sekiranya ada kebetulan, maka kebetulan itulah yang direncanakan. Mungkin Mahathir tidak terlibat dalam komplot itu tetapi beliau begitu mahir untuk menjadikan situasi di bawah kawalannya.

Boleh sahaja kita membina hipotesis bahawa Mahathir perlukan mandat yang lebih kuat untuk membentuk kerajaan kerana kecewa dengan prestasi PH. Apatah lagi sentimen orang Melayu-Islam tidak menyebelahi PH.

Pada waktu inilah pentingnya untuk kita meneliti karya agung Niccolo Machiavelli iaitu The Prince atau Sang Putera. Memang kita maklum ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ yang sinonim dengan Machiavelli. Tetapi kita tidak tahu cara untuk mencapai matlamat tersebut?

Hanya Mahathir sahaja yang nampaknya begitu handal dan licik membentuk cara atau kaedah yang beliau inginkan. Cuba teliti ketika ini, siapakah yang tidak menyokong kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri?

Hatta Pas yang merupakan musuh tradisi Tun Mahathir pun tunduk di bawah telapak kakinya.

Machiavelli menyebut bahawa ada pemerintah yang memperoleh mandat kekuasaan dengan tuah dan kecekapannya sendiri. Jika disebabkan tuah, maka dia harus berhati-hati kerana pentadbirannya lebih rapuh dan mudah digugat.

Tetapi bagi pemerintah yang cekap, apa sahaja keadaan boleh dikuasainya dengan segera dan berkesan.

Maka Tun Mahathir adalah pemerintah yang cekap dan mampu mengubah situasi telur di hujung tanduk kepada selautan peluang politik yang boleh mengangkat wibawa dirinya.

* Penulis adalah Pegawai Komunikasi AMANAH.

Surat terbuka buat Dr Mahathir Mohamad

Husam Musa
YAB Tun,

“(Nabi) Muhammad itu tidak lain hanya seorang Rasul. Sebelumnya telah ada Rasul-Rasul yang lain.

Jika sekiranya Baginda meninggal atau dibunuh, adakah kamu semua akan berpaling semula ke belakang (meninggalkan ajarannya)?’ Al Imran: 144.

Firman Allah ini mengingatkan kita bahawa, dalam soal agama sekali pun, Rasul yang diutuskan tidak akan kekal bersama pengikut mereka.

Nabi-nabi lagi dimatikan, tetapi kehidupan beragama berjalan terus. Kitab-kitab sebagai pedoman adalah lebih kekal dan bertahan lebih lama dari kehidupan para Rasul.

Begitu juga lah dengan para pemimpin.

Sekali pun Tun memang seorang pemimpin yang hebat, satu hari Tun akan pergi dan Malaysia perlu meneruskan perjalanan dengan pemimpin yang lain pula.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW dimatikan dalam usia yang relatif masih muda – 63 tahun. Apabila misinya membawa ajaran Allah telah selesai, baginda dipanggil maut.

Tun hidup jauh lebih lama dari Nabi Muhammad SAW. Namun, tidak bermakna Malaysia sentiasa selamanya perlu bergantung kepada Tun.

Jalan kestabilan dan masa depan Malaysia terletak kepada pertukaran kepimpinan.

Oleh itu, menjadi salah satu tugas Tun, meletakkan asas pertukaran kepimpinan negara dalam keadaan teratur dan licin.

Bukan hanya memikirkan Tun mesti memegang kuasa untuk selama-lamanya.

Tun perlu menyediakan pelan peralihan kuasa itu jika benar Tun sayangkan Malaysia dan tidak memikirkan kepentingan Tun sendiri semata-mata.

Bahkan, ini adalah yang paling penting demi kelangsungan kestabilan dan kemajuan negara ini, lebih-lebih lagi dalam usia Tun sekarang.

Tun,

Untuk tujuan memantau kepimpinan baru yang diletakkan demi negara itu, Tun boleh masuk semula ke dalam kabinet sebagai menteri kanan seperti mana langkah Lee Kuan Yew dalam menyusun Singapura selepasnya.

Semasa itu, Tun boleh membetulkan apa yang difikirkan perlu dibetulkan.

Jika ia dilakukan sekarang, Tun boleh hadhir mewakili kerajaan Malaysia dan negara di sidang Apec sebagai pemimpin yang benar-benar ulung, berkorban untuk negara, serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan dan sentimen peribadi.

Tun adalah Pemimpin Agung, bagi pandangan kami – jika berlaku demikian.

Tun,

Mengenai cadangan Tun untuk melantik anggota kabinet merentasi parti-parti dan tidak tertakluk kepada parti menguasai kerajaan, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan.

Maafkan saya untuk menyentuh perkara ini.

Tun tidak pernah membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan mana-mana pihak. Ia hanya muncul secara mendadak selepas Tun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai PM Interim hasil perletakan jawatan oleh Tun sendiri.
Lantaran itu, timbul kebimbangan besar bahawa sistem baru yang dicadangkan oleh Tun ini akan mengubah amalan sistem demokrasi ala Westminster sekarang kepada pemusatan kuasa hanya kepada se orang individu berjawatan perdana menteri. Sistem semak dan imbang tidak lagi boleh berfungsi dengan baik.
Kuasa akan berpusat kepada seorang insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari ini dan esok - kepada siapa kita belum tahu.

Jika beliau melantik pemimpin baik dan jujur, negara beruntung. Jika beliau melantik orang tertentu yang rapat dengannya, atau kitaran semula, atau mempunyai agenda tersembunyi, negara akan menjadi lebih parah.

Pemusatan kuasa kepada seseorang, adalah cenderung menjadi tidak baik. Negara seperti cacat, sentiasa perlukan pemimpin tunggal. Pemimpin tunggal pula akan cenderung berlaku salah kerana kuasa yang terlalu besar itu.

Saya tidak katakan ia sebuah kerajaan diktator dengan makna yang luas, tetapi ia cenderung ke arah itu.

Kabinet akan hanya menjadi rubber stamp pemimpin tunggal itu.

Ada juga yang bertanya, semasa YB Mazlee Malek (bekas menteri pendidikan) mengosongkan jawatannya baru ini, kenapa peluang itu tidak digunakan untuk membuat lantikan seperti konsep yang dikemukakan oleh Tun.
Tun,

Saya harus mengingatkan Tun kepada kemungkinan kemunculan semula ke tapak kuasa, kepimpinan kleptokrat yang telah kita bersama tumbangkan.

Tun lah, secara fakta dan sentimental, menjadi salah satu factor terpenting dalam kejayaan rakyat negara ini memerdekakan Malaysia dari cengkaman amalan kleptokrat terdahsyat dalam PRU lalu.

Tanpa Tun, ia tidak terhasil.

Jangan pula kerana kesilapan langkah Tun di akhir usia, mereka kembali berkuasa. Baik melalui penyusunan politik yang Tun lakukan sekarang, mahu pun dalam PRU yang akan datang kerana ketiadaan susunan parti-parti yang sama perjuangan dengan Tun dalam memerangi kleptokrat ini.

Umno dengan bilangan ahli parlimennya yang besar, boleh sahaja menelan parti Bersatu jika ia diberi ruang.

Sementara PAS, adalah rakan kumpulan kleptokrat sejak asal.

Ruang berkerajaan kepada PAS akhirnya akan menyebelahi kleptokrat.

Dalam hal ini, saya menyeru Tun mengembalikkan Bersatu ke dalam PH.

PH, saya lihat, masih terbuka.

Bila dimaklumkan Tun telah meletakkan jawatan kerana ditekan oleh pemimpin Bersatu sendiri dalam mesyuarat Bersatu pada 21 Feb lalu, kami semua menitiskan air mata.

Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) menangis di depan Tun. Sama seperti Mat Sabu (Mohamed Sabu). Lim Guan Eng menggeletar. Tun telah saksikan sendiri.

Ini semua tanda cinta kami kepada Tun atas nama kestabilan negara Malaysia.

Kami masih akan memberi ruang kepada Tun dan pasukan. Bahkan, saya tidak ragu-ragu untuk secara terbuka membuat cadangan kepada pimpinan PH untuk melantik YAB Mukriz sebagai calon timbalan perdana menteri di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan itu, kerajaan negeri Kedah dan negeri-negeri yang lain akan dapat diselamatkan.

Satu kemaslahatan yang lebih luas, yang Tun perlu timbangkan.

Tun,

Peristiwa-peristiwa misteri berlaku hampir serentak pada Ahad, 21 Februari lepas.

Kesemuanya menuju kepada gangguan susunan pemerintahan negara.

Esoknya, pasaran saham, sebagai salah satu petanda kesan Gerakan Sheraton, jatuh teruk.

Ekonomi negara dan nasib sebahagian rakyat menjadi pertaruhan.

Tun mesti bertindak ke atas pensabotaj ini. Tun mesti menjauhkan diri dari mereka sebagai tanda Tun tidak merestui tindakan mereka.

Jangan pula Tun dilihat sebagai dalang di sebalik tindakan mereka.

Memang benar Tun telah menyatakan sebab Tun meletakkan jawatan sebagai PM adalah kerana menolak agenda Gerakan Sheraton secara keseluruhan, termasuk dari parti Tun sendiri – tetapi atas nama kepentingan negara, itu belum cukup.

Sesuatu tindakan yang tegas ke atas mereka adalah diperlukan.

Apa lagi untuk Tun memasukkan mereka semula dalam kerajaan atas apa jua nama.

Ia akan menjadikan prinsip rakyat Malaysia yang seharusnya menolak sebarang bentuk pengkhianatan akan dipermainkan.

Ia mendidik rakyat kita menjadi tidak berprinsip dan ini buruk untuk negara dalam jangka panjang.

Pengkhiantan adalah pengkhianatan.

Tun – you should be above all this things.

Akhir kata, kemelut ini perlu ditamatkan cepat demi negara.

HUSAM MUSA merupakan naib presiden Amanah.

PH tumbang di Johor

Malaysiakini
Gabungan baru akan menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan di Johor, kata setiausaha sulit sultan Johor Jaba Mohd Noah.

Katanya, keputusan itu diambil selepas sultan Johor berpuas hati gabungan itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Katanya, 28 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) memilih gabungan baru manakala 26 lagi memilih Pakatan Harapan.

“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum sususan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru dilantik,” katanya.

Sebelum ini, komposisi Dewan Undangan Negeri Johor ialah seperti berikut:

Umno - 17
MIC - 2
PAS - 1
Bersatu - 8

PKR - 5
DAP - 14
Amanah - 9

Ahli Parlimen PH jelaskan mengapa tak dapat terima k'jaan baru Dr M

Malaysiakini
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming hari ini menjelaskan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menerima hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti kerana ia bertentangan dengan manifesto pilihan raya umum 14.

Menurutnya, memandangkan sebelum ini perdana menteri sementara itu telah menolak untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, maka tindakan mereka mencalonkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim merupakan satu-satuya pilihan yang ada.

“Kami berterima kasih kepada @chedetofficial (Mahathir) kerana tidak bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama Umno dan PAS atas dasar pendirian. Sebab inilah kami memintanya untuk menubuhkan satu kerajaan PH yang baru.

“Tetapi apabila beliau memaklumkan kepada pemimpin PH yang beliau mahu menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti (government of individuals not of parties), ia jelas ia merupakan cadangan yang tidak dapat dilaksanakan.

“Kerajaan baru ini tidak seperti manifesto PRU14 dan ia menentang mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU14,” ciapnya di Twitter hari ini.

Semalam, PH mengesahkan mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri berdasarkan keputusan yang dicapai sebulat suara, selepas Mahathir tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Ong yang pernah menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri juga berkata, ahli parlimen Langkawi itu juga boleh memilih sesiapa sahaja yang beliau inginkan dalam kabinetnya nanti termasuk Azmin Ali, katanya sambil menyifatkan bekas timbalan presiden PKR tersebut sebagai dalang utama keruntuhan kerajaan PH.

“Ia tidak boleh diterima kepada PH dan kepada ramai di kalangan penyokong dan pengundi (PH) juga,” tulisnya.

Kerajaan PH sepatutnya dipertahankan

Sementara itu, ahli parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof pula berpendapat kerajaan PH sepatutnya dipetahankan dan bukannya digantikan dengan sistem kerajaan perpaduan.

“Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi.

“Mungkin apa yang Dr Mahathir sebut bahawa Kerajaan Perpaduan banyak cabarannya memang betul tetapi menafikan usaha reform selama hampir dua tahun ini atas alasan politiking adalah keterlaluan.

“Orang lain buat onar tiba-tiba PH sebagai kerajaan reform pula dikatakan gagal?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini juga berkata konsep kerajaan perpaduan oleh Mahathir masih kabur dan berpendirian kewujudan kerajaan PH disebabkan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Dr Mahathir menjadikan kuasa perdana menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai kabinet.

“Ini adalah ironinya kehadiran PH adalah untuk mereformasikan instituisi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya,” katanya.

Apa AMANAH dapat selepas ini?

DR MUHAIMIN SULAM
Umum mengetahui bahawa AMANAH dan DAP yang menyuarakan keperluan Tun Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri (PM) dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Idea ini mendapat tentangan daripada Bersatu dan Azmin. Anwar yang berada dalam mesyuarat tersebut tentulah perlu bersikap neutral.

AMANAH sendiri tentu berasa selesa berada di bawah kepimpinan Tun yang sangat menghargai nilai yang ada pada AMANAH. Bahkan, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang mesra dipanggil Bang Mat sebelum ini berulang kali menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Tun untuk menjadi PM. Pendirian Bang Mat sangat jelas.

Ingat lagi semasa Bang Mat mencampak mikrofon sejurus habis berceramah? Sebenarnya Bang Mat marah kerana perjuangan PH ketika itu cuba dikhianati oleh segelintir pemimpin PH khususnya daripada PKR. Bang Mat jenis orang yang berterus-terang.

Menjelang PRU-14 lalu, AMANAH sekali lagi menyelamatkan kemelut politik dalaman PH dalam pembahagian kerusi. Saya masa itu, kecewa. Haji Asmuni dan Haji Aminolhuda yang memimpin AMANAH Perak dan Johor protes.

Saya pun protes. Kami buat keputusan tidak hadir konvensyen parti. Kami kehilangan banyak kerusi untuk dikorbankan demi PH.

Walaupun Tun puji melambung pengorbanan AMANAH, masa itu kami sakit hati. Takkan AMANAH hanya dapat pujian sahaja? Masa itu, kami kecewa. Kami lagi kecewa, bila pilihanraya umum, Bersatu tercari-cari calon untuk bertanding. Entah siapa-siapa yang dicalonkan ketika itu. Sabar sahaja.

Apabila PH menang PRU dan membentuk Kabinet, Tun bagi ‘cash’ terus pada AMANAH. Seramai sembilan daripada sebelas Ahli Parlimen AMANAH jadi Memteri dan Timbalan Menteri. Selama tempoh perkhidmatan mereka, nyata keupayaan mereka terbukti hebat. Adapun beberapa kelemahan yang ada, itu normal.

Jika AMANAH bersikap ‘play safe’, mendiamkan diri tentang tempoh peralihan itu, nescaya kerajaan PH kekal. Bang Mat terus kekal menjadi Menteri. AMANAH bersetia pada perjanjian. Bukan bersetia pada jawatan. Akibat pendirian itu, berkocak dalaman PH.

Di akhir mesyuarat Majlis Presiden PH bersetuju untuk Tun sendiri menetapkan tarikh peralihan. Rupa-rupanya ia tidak berhenti setakat itu. Azmin dan Muhyidin merasakan bahawa itu adalah ancaman politik.

Kiranya Anwar jadi PM, ada jaminan untuk AMANAH memperolehi kedudukan yang ada semasa Tun jadi PM? Tiada jaminan. Ini kerana sandaran perjuangan pimpinan AMANAH bukan jawatan. Sayangnya, sikap AMANAH yang begini telah dimanipulasi pihak lain.

AMANAH perlu ubah pendekatan. Perlu lebih ‘real politician’. Jangan salahkan Umno dan Pas yang menangguk di air keruh. Ini ibarat pepatah baru, ‘Sudahlah tak dapat masuk pintu belakang, rumah terbakar.’

Jika tidak diubah pendekatan, AMANAH hanya dapat mencipta sejarah sebagai parti politik yang berintegriti, tak terkejarkan jawatan, sedia berkorban dan buat puisi. AMANAH telah buat keputusan untuk Tun teruskan kepimpinannya.

* Penulis adalah Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Naib Pengerusi AMANAH Perak.

PH calonkan Anwar sebagai PM lepas Dr M tak setuju pengerusikan mesyuarat

Malaysiakini
Pakatan Harapan (PH) hari ini mengesahkan mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Menurut kenyataan hari ini, keputusan itu dicapai sebulat suara semalam selepas Dr Mahathir, yang kini merupakan perdana menteri sementara tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH yang juga diadakan semalam.

Kenyataan PH itu hadir kira-kira sejam selepas Dr Mahathir Mohamad mendedahkan punca beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Hari ini ahli-ahli parlimen PH daripada PKR, DAP dan Amanah telah mencalonkan Anwar sebagai calon perdana menteri bagi kerajaan PH," kata kenyataan itu.

Rais dedah butiran rundingan Umno dan PAS

Malaysiakini
Umno dan PAS tidak menuntut supaya DAP dikecualikan daripada kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, kata ketua biro strategi dan dasar Bersatu Rais Hussin.

Dalam temu bual dengan Astro Awani malam semalam, Rais berkata hanya ada dua syarat yang dikemukakan.

Beliau berkata syarat pertama ialah Umno dan PAS mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran secara en bloc atau keseluruhan.

Syarat kedua ialah mereka mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan pada kadar segera.

"Mereka mempersalahkan DAP untuk segala-galanya. Bagi saya, semua orang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita akan meningkatkan kekuatan dan mengatasi kelemahan yang ada.

"Mereka kata DAP adalah alasan mengapa mereka tidak dapat menerima kerajaan perpaduan, tetapi rundingan itu bukan begitu. Rundingan itu sangat jelas.

"Pertama, en bloc, kedua, segera, fikirkanlah, mengapa mesti segera? Bukan dua atau tiga bulan kemudian? Kami fikir ini ada kaitan dengan kes mahkamah yang sedang dijalankan," kata Rais.

Petang semalam, Umno dan PAS mengadakan sidang akhbar bersama untuk mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan atas dua sebab.

Pertama, mereka tidak mahu berada dalam kerajaan perpaduan dengan DAP dan kedua, mereka mahu semua ahli parlimen dari parti masing-masing diterima dalam kerajaan perpaduan dan bukannya hanya beberapa pemimpin yang terpilih.

Oleh kerana rundingan tidak menjadi, Umno dan PAS berkata mereka menarik balik sokongan mereka kepada Mahathir sebagai ketua kerajaan perpaduan.

PH isytihar sokong Anwar sebagai PM?

Malaysiakini
Wujud tanda-tanda bahawa semua anggota parlimen PH mengisytiharkan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, dalam pertemuan mereka dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada PH menukar keputusan awal untuk menyokong Mahathir, atau persetujuan telah dicapai dengan perdana menteri interim itu.

Bercakap dengan Malaysiakini, seorang pemimpin kanan PKR yang enggan namanya didedahkan berkata parti itu menyokong penuh Anwar.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula membayangkan partinya juga membuat pengisytiharan serupa dengan Agong.

"Tun (Mahathir) letak jawatan, dijadikan perdana menteri interim. Beri peluang kepada Anwar untuk buktikan beliau ada sokongan untuk menjadi perdana menteri kelapan.

"Ini jawatan yang tak boleh diwariskan atau diserah begitu saja, mesti dapat sokongan majoriti anggota parlimen. Harap Bersatu tunaikan janji - Tun perdana menteri ketujuh, Anwar kelapan." katanya di Twitter.

Semalam Khalid berkata PH telah mencapai konsensus, maka DAP juga mungkin membuat keputusan yang sama.

Sementara itu, sumber DAP memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu "menyokong penubuhan sebuah kerajaan PH".

Jumlah kerusi Parlimen yang dipegang PKR, DAP dan Amanah adalah 92, kurang 20 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa sasaran 120 kerusi itu tidak terlalu sukar untuk dicapai Anwar.

Bekas sekutu mereka Bersatu, yang mempunyai 25 anggota Parlimen (tidak termasuk Mahathir) dan 11 bekas anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin, telah berkata mereka akan menyokong Mahathir.

GPS dengan 18 anggota parlimen turut menyokong Mahathir. Pendirian Warisan masih belum jelas tetapi presidennya Shafie Apdal sebelum ini menyebut partinya menyokong Mahathir dalam krisis politik yang berlaku.

Sumber Bersatu membayangkan ada usaha untuk mencapai persetujuan yang Mahathir akan kekal sebagai perdana menteri sehingga November, dengan Anwar menjadi timbalannya.

Apabila Anwar menggantikannya, anak Mahathir iaitu Mukhriz akan mengambil kedudukan nombor dua.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada persetujuan itu telah dicapai.

Seorang sumber PH membayangkan gabungan itu terbuka untuk Mahathir menjadi perdana menteri sehingga November tetapi tiada maklumat berkenaan sama ada bekas pengerusi Bersatu itu telah mencapai sebarang persetujuan dengan Anwar, sejak percubaan menjatuhkan kerajaan PH pada Ahad lalu.

Azmin perlu disiasat

N Faizal Ghazali
'Langkah Sheraton' yang didakwa didalangan oleh bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali perlu diambil tindakan undang-undang kerana melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang negara, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Menurutnya, tindakan sekumpulan ahli parlimen yang didalangi Azmin itu melanggar prinsip demokrasi berparlimen dengan cubaan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah.

"Saya percaya di sebalik 'langkah Sheraton' didalangi Azmin dan kumpulannya seperti mana disebut oleh pimpinan PH, seperti mana kita tahu ia satu langkah untuk meruntuhkan kerajaan PH yang sah, yang melalui proses demokrasi melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

"Langkah mereka ini adalah satu langkah yang dibuat tanpa berasaskan undang-undang, ia boleh boleh disiasat mengikut Seksyen 124 (b) dan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan (penal kod).

"Ini kerana tidak ada asas undang-undang untuk mereka melakukan perkara itu. Kerana pertukaran kerajaan itu hanya boleh dilakukan dengan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan.

"Antaranya seperti melalui pilihan raya, undi tidak percaya di parlimen atau perdana menteri memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan. Tetapi apa yang dilakukan olrh Azmin itu tidak ada satu pun asas yang bertepatan dengan undang-undang," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu perjumpaan oleh sekumpulan ahli parlimen diadakan di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Ahad lalu, yang didakwa sebagai satu komplot untuk mewujudkan kerajaan melalui 'pintu belakang' bersama parti-parti tertentu.

Ia disusuli dengan pemecatan keahlian PKR melibatkan 11 anggota parlimen parti itu termasuk Azmin dan bekas naib presiden, Zuradai Kamaruddin.

Sementara itu Mohd Fitri berkata, langkah yang dilakukan kumpulan Azmin dengan mengumpul sokongan untuk meruntuhkan kerajaan yang sah melalui pintu belakang itu melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"Melalui peruntukan undang-undang yang ada, Azmin boleh dituduh di mahkamah sama ada secara individu atau berkumpulan. Ia bergantung kepada proses siasatan.

"Justeru saya percaya satu siasatan perlu dibuat terhadap mereka dan laporan polis perlu dibuat.

"Perkara ini perlu diambil tindakan serius supaya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik lain supaya tidak berulang di masa akan datang," jelasnya yang juga seorang peguam.

PH capai persetujuan pilih calon PM, kembali bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kata pemimpin AMANAH

MALAYSIADATELINE
Pakatan Harapan mencapai persetujuan dalam pertemuan malam ini sebelum baki ahli Parlimen mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Media dipetik melaporkan kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH mengelak media dan bergegas meninggalkan ibu pejabat PKR selepas pertemuan itu selesai.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berkata, PH sudah mencapai kata sepakat, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

“Kami sudah membuat keputusan dan akan mengumumkannya esok. Kami sudah capai konsensus.” ujarnya seperti dipetik laporan FMT malam ini

Mengenai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri, Salahuddin berkata, ia akan didedahkan esok.

Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad pula memberitahu, walaupun angka yang diperolehi ketika ini tidak mencecah dua pertiga namun ia cukup untuk bekas Kerajaan Persekutuan itu membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Tidak, kita tidak bincang mengenai PRU. Kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pihak media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH seperti dipetik Malaysiagazette malam ini.

Khalid menjelaskan PH telah membincangkan banyak isu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Umum PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disifatkannya sebagai keputusan yang positif.

Bagaimanapun, beliau berkata PH tidak membincangkan tentang calon Perdana Menteri yang akan menerajui kerajaan baharu pakatan itu.

Mengulas sama ada mesyuarat itu membincangkan status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khalid berkata, soalan itu perlu ditanya kepada parti tersebut.

Petang tadi, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemui sebahagian daripada 222 ahli Parlimen sebelum memutuskan calon perdana menteri baru.

Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen menemui Agong hari ini dan baki 132 lagi esok, dengan temu bual ringkas kira-kira 2 hingga 3 minit itu bagi setiap ahli Parlimen itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara.

Di laporkan juga satu kenyataan rasmi hasil mesyuarat Mjalis Presiden PH akan dikeluarkan dalam waktu terdekat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika media menemui beliau selepas tiba dikediamannya malam tadi.

Dr M cadang 'kerajaan perpaduan' kepada ketua parti politik utama

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad mencadangkan untuk menerjui "kerajaan perpaduan" dan telah menjemput ahli parlimen dari pelbagai parti politik untuk turut serta, kata beberapa sumber politik yang dipetik Reuters.

Desas-desus itu timbul selepas peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Mahathir dikatakan mencadangkan idea itu kepada ketua parti politik utama yang ditemuinya hari ini, termasuk dari BN dan PH, kata laporan itu memetik sumber.

"Dengan ketiadaan calon lain, nampaknya Mahathir bersedia untuk membentuk kerajaan," kata salah satu sumber yang dipetik Reuters.

"Tidak akan ada entiti politik. Mungkin menjadi kerajaan tanpa parti-parti politik," kata sumber itu lagi.

Sumber lain yang dipetik berkata, "Rancangan sekarang adalah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan".

Sumber tidak mahu dikenali kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media. Sementara Pejabat Mahathir yang dihubungi Reiters, tidak memberikan komen segera.

Muhyidin PM, bukan Tun Dr Mahathir?

Malaysia Dateline
Muhyidin disusun agar menjadi Perdana Menteri, kata Ilham Centre dalam wawancara dengan Astro Awani.

Gerakan yang dibuat oleh Presiden PPBM dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai bertujuan untuk meletakkan Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azmin pula dipercayai dicadangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Pengarah Penyelidikan Ilham Centre, Dr Mohamad Yusri Ibrahim dalam temubual dengan Astro Awani, pihaknya mendapat maklumat nama Muhyidin antara yang dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri.

Muhyidin dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan PPBM telah keluar dari Pakatan Harapan.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Tun Mahathir kecewa dengan sikap PPBM itu.

“Sebab itu Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM,” kata Khalid.

Muhyidin adalah Timbalan Perdana Menteri kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum dipecat oleh Datuk Seri Najib Razak.

Dr M rayu pimpinan Bersatu tak paksanya mungkir janji - Kadir Jasin

Malaysiakini
Tokoh veteran A Kadir Jasin berkata Dr Mahathir Mohamad merayu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu agar tidak memaksanya melanggar janji berhubung peralihan kuasa.

Jelas Kadir, kejadian itu berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang membincangkan masa depan Bersatu dalam PH, yang berlangsung Ahad lalu.

"Pada mesyuarat itu, Mahathir menjelaskan mandat yang diberikan Majlis Presiden PH pada mesyuarat 21 Feb.

"Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Apec pada Nov)," katanya dalam tulisan di blognya hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu bersetuju untuk menyerahkan kepada Mahathir sendiri berhubung tarikh peralihan kuasa.

Mahathir sebelum ini berulang kali menegaskan akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas Sidang Apec.

Bagaimanapun, dalam perkembangan yang berlaku sejak Ahad lalu, yang dilihat sebagai usaha penjajaran kuasa politik, ia menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir itu hadir tidak lama selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Bersatu keluar PH, selain 11 ahli parlimen yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengambil langkah sama.

Sementara itu, dalam tulisannya, Kadir berkata kunjungan "yang tidak dirancang" oleh pemimpin Bersatu pagi ini di kediaman Mahathir adalah bagi merayu beliau menarik balik peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

"Tapi daripada apa yang dapat dilihat, beliau (Mahathir) tidak melihat rayuan mereka sebagai perkara yang penting.

"Memang sewajarnya begitu. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang memerlukan perhatiannya.

"Ini termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama," katanya.

Tambah Kadir yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, dengan berjumpa dengan parti-parti politik utama, Mahathir akan lebih faham tentang maksud sokongan yang diberikan kepadanya bagi menyusun langkah seterusnya.

"Sebagai contoh, adakah mereka menyokong beliau (Mahathir_ kerana mereka benar-benar mahu melihatnya menerajui negara atau kerana mereka tidak mahu musuh politik mereka menang sokongan popular untuk menjadi perdana menteri?

"Jika mereka benar-benar sokong beliau dan tidak ada pencabar lain, beliau boleh membentuk kerajaan baru," katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.