"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Sah Mahfuz Omar kini penyokongan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tak perlu keluar PAS untuk sokong HARAPAN - Mahfuz

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata mana-mana ahli PAS termasuk dirinya tidak perlu keluar daripada parti parti Islam itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mahfuz berkata PAS kini dilihat bukan sebuah parti bersama rakyat yang ingin merubah negara kerana hanya mahu bertanding di 40 buah kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Tak keluar parti untuk beri sokongan padu pada HARAPAN sebab HARAPAN sahaja yang tunjuk komitmen untuk perubahan politik dan tidak pada gagasan sejahtera yang diketuai oleh PAS.

“Sebabnya PAS semalam nak sasar 40 kerusi (pada PRU14), jadi PAS tak tunjuk ambil alih, nak ambil kuasa dari BN, ia tak tunjuk komitmen PAS nak ubah masalah kos sara hidup.

“Rakyat terbeban kerana PAS tak sedia ambil kuasa, kita tak kena beri sokongan tanpa keluar parti untuk ambil alih kuasa politik nak selesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita ketika sesi rehat di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar hari ini.

Mahfuz hadir di majlis AMANAH itu bersama tiga lagi pemimpin PAS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) serta ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman.

Mereka sejak akhir-akhir ini dilihat mesra AMANAH dan sering menghadiri program anjuran HARAPAN.

Mengulas lanjut mengenai kehadirannya hari ini, katanya beliau menerima jemputan daripada AMANAH dan kehadirannya bagi menunjukkan sokongan kepada HARAPAN.

“Saya sebagai rakan lama saya berjuang dulu meraikan mereka, memenuhi jemputan tersebut dari salah satu parti pembangkang di negara kita. AMANAH tunjuk komitmen tinggi bersama HARAPAN untuk memastikan kuasa politik dalam negara kita berhadapan PRU depan,” katanya.

Beliau turut menolak bahawa PAS akan mengambil tindakan ke atasnya sekiranya parti Islam itu mengamalkan politik matang.

“Dalam politik matang saya kira PAS tidak akan mengabil tindakan kepada saya. Dalam politik baru kena bina keterbukaan. Mana-mana ahli politik boleh pergi ke majlis politik, tak jadi kesalahan kerana kita kena dokong politik lebih terbuka,” katanya.

Bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ acara tahunan kali kedua itu diadakan di Alor Setar.

Kesemua pemimpin utama HARAPAN turut hadir antaranya Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATUu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir wakil Ikram Malaysia, ABIM, Parti Keadilan Sejahtera dan wakil ahli parlimen Sri Lanka.

Konvensyen disertai seramai 898 perwakilan dari seluruh negara.

-----------------

Bye-bye, Mahfuz bukan lagi calon Pokok Sena – PAS Kedah

PAS Kedah sudah mempunyai calonnya sendiri di kerusi parlimen Pokok Sena dan ia bukanlah Datuk Mahfuz Omar bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata Mahfuz kini dilihat cenderung bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) menyebabkan pihaknya sudah mengisi calon sesuai di Pokok Sena.

“Kalau dia (Mahfuz) dah bersama HARAPAN takkan dia nak jadi calon PAS, tak mungkin. Saya boleh sahkan dia tak ada dalam senarai calon (PAS), untuk PRU depan dia tidak ada, dia boleh cari platform lain.

“Kita ada kepimpinan PAS Pokok Sena yang bersama PAS. Dalam PAS, kita tak menghormati pemimpin atas kapasiti individu, kita patuh dia sebab pemimpin PAS.

“Selepas dia (Mahfuz) isytihar secara zahir atau tidak tinggalkan PAS jadi kita ucap bye bye lah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks PAS, Sarang Semut, Kedah.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kehadiran Mahfuz dan tiga pemimpin PAS pada Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar hari ini.

Muhammad ketika ditanya adakah sebarang tindakan akan diambil terhadap Mahfuz berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada PAS Pusat.

“Bergantung PAS Pusat. Orang macam ni tak perlu tindakan apa-apa. Orang PAS tak rasa apa-apa. Kita tak bincang pun, (Mahfuz) bukan berita lah,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak Mahfuz mesra HARAPAN, bekas Naib Presiden PAS itu tidak lagi mempunyai pengikut.

Sementara itu, Muhammad ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi PAS untuk PRU ke-14 di Kedah berkata pihaknya akan bertanding di semua 36 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi parlimen.

“PAS berada top form nak rampas Kedah dari BN dan kita akan menghadapi semua kerusi. Kalau HARAPAN nak masuk silakan, kita bertandinglah tiga atau empat penjuru,” katanya yang menambah senarai calon sudah dihantar kepada PAS Pusat.

Ditanya mengenai calon menteri besar Kedah sekiranya PAS memenangi PRU ke-14, beliau berkata:

“PAS Pusat akan tentukan calon menteri besar. Semua orang PAS dan PAS nak orang dia jadi menteri besar. Dalam gabungan Gagasan Sejahtera, bila sampai waktu tu kita akan bincangkan,” katanya.

Perubahan kuasa politik

Mahfuz sebelum ini berkata, HARAPAN menunjukkan komitmen untuk perubahan politik, tidak seperti Gagasan Sejahtera PAS.

Ketika dihubungi untuk merespons kenyataan Muhammad Sanusi, Mahfuz menegaskan beliau tidak akan meninggalkan parti itu.

"Saya nak beri mesej kepada ahli PAS yang mereka tak perlu keluar PAS menyertai parti-parti HARAPAN, tapi yang penting mereka sokong HARAPAN," katanya kepada Malaysiakini.

Mahfuz juga berkata, tidak penting jika dia dicalonkan atau tidak dalam PRU ke-14.

"Matlamat perjuangan saya bukan menjadi calon tetapi memastikan perubahan kuasa politik negara," katanya

Mahfuz dilihat dipinggirkan dalam PAS sejak parti itu berpecah dari pakatan pembangkang pada 2015.

Anggota Parlimen Pokok Sena itu juga tidak dijemput dalam muktamar PAS tahun ini yang diadakan di Kedah.
-malaysiakini

Kehadiran 4 pemimpin Pas hadir Konvensyen AMANAH memperlecehkan kepimpina tertinggi PAS (Gamabar)

ARIF ATAN

Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) pagi ini menyaksikan kehadiran empat pemimpin Pas.

Mereka ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan).

Selain itu, Adun Batu Burok, Dr Syed Azman juga diumumkan hadir dalam konvensyen parti Islam itu.

Mereka ini sejak akhir-akhir ini dilihat mesra AMANAH dan sering menghadiri program anjuran Pakatan Harapan (PH).

Bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ acara tahunan kali kedua itu diadakan di Hotel Royale Signature, Alor Setar.

Kesemua pemimpin utama PH turut hadir antaranya Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir wakil Ikram Malaysia, ABIM, Parti Keadilan Sejahtera dan wakil ahli parlimen Sri Lanka.

Konvensyen disertai seramai 898 perwakilan dari seluruh negara.

‘Semakin jelas kejutan besar akan berlaku PRU14’

ZIKRI ABDULLAH 
Kehadiran besar di program Rapat Umum Selamatkan Malaysia malam ini jelas memberi petanda satu kejutan besar akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata derita rakyat kini tidak lagi mampu ditanggung.

“Dengan semua kesusahan ini mahukan orang Kedah berubah?” soal Nurul disambut gemuruh ribuan yang hadir di dataran Stargate, Alor Setar.

Wajah-wajah ceria dan bersemangat rakyat Kedah yang hadir ke Rapat Umum Selamatkan Malaysia di Dataran Wisma Harapan Baru, Alor Setar malam ini.

Menurutnya, pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo Kwame Sundaram menganggarkan lebih 500 ribu graduan kini menganggur.

“Pekerja asing yang ada izin dan tanpa izin dua tahun lalu diumumkan 6.7 juta.

“Saya anggarkan sekarang sudah mencapai 7 juta,” katanya.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat agar tidak takut dengan politik yang menggunakan jentera kerajaan untuk menindas.

“Jangan lagi takut ugutan kerana sekarang kita dapat sokongan semua.

“Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar, Keadilan, DAP, AMANAH, Bersatu kini bersama kita,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata, sokongan bukan sahaja dari rakyat tetapi juga mereka yang masih berkhidmat dengan kerajaan.

“Kakitangan kerajaan termasuk dari PDRM juga akan bersama kita kali ini.

“Ada yang datang berbisik kepada saya bahawa mereka telah ambil keputusan menyokong Pakatan Harapan ini,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam reformasi daripada ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru selesai melakukan pembedahan kecil di Hospital Sungai Buluh.

Kenapa warga Bangladesh huni kuarters guru di Klian Intan?

Warga Bangladesh huni kuarters guru di Klian Intan
 MOHD ALI HASHIM
Sepatutnya setiap unit kuarters guru yang dikhaskan untuk staf pendidikan dimanfaatkan bagi memberi kemudahan kepada golongan tersebut.

Namun begitu di Klian Intan, Pengkalan Hulu, Grik, Perak bangunan empat tingkat tersebut telah didiami oleh warga asing Bangladesh sejak sekian lama.

Malah tinjauan yang dibuat juga mendapati pakaian milik warga Bangladesh memenuhi setiap tingkat kediaman tersebut.
Ayob Abdul rahman

Ketua Penerangan, Bersatu Grik Ayob Abdul Rahman berkata, ini sekaligus membuktikan kerajaan hanya pandai membina bangunan sedemikian, sebaliknya tidak mampu untuk digunakan sepenuhnya oleh staf pendidikan.

“Yang menghairankan bagaimana kediaman yang bentuknya seperti sekolah ini tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh staf pendidikan.

“Di mana silapnya sehinggakan ia terbiar begitu sahaja dan merugikan Kementerian Pendidikan yang telah pun mengeluarkan dana yang banyak.

“Perkara ini bukan suatu perkara baru dan telah pun dibangkitkan berkali-kali oleh pimpinan Pakatan Harapan semasa sidang Parlimen sebelum ini,” katanya.
Md Yunus Yusof
Sementara itu penduduk Klian Intan yang ditemui, Md Yunus Yusof berkata, bangunan tersebut kini dipenuhi oleh warga Bangladesh.

“Sepatutnya kerajaan peduli dan mengambil perhatian yang serius mengenai dana yang telah dikeluarkan sejak berpuluh tahun yang lalu.

“Sebaliknya kami penduduk tempatan tidak dapat mendiami rumah tersebut, tetapi warga asing seperti Bangladesh pula yang memenuhi setiap ruang.

“Kerajaan mesti mencari alaternatif untuk memastikan kuarters guru tersebut dapat memberi manfaat kepada staf pendidikan dan juga para guru,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Faizul Bakhari pula berkata, kuarters guru tersebut sekiranya dibaik pulih semula dapat disewakan kepada penduduk tempatan melalui pelbagai cara yang boleh dirangka.
Mohd Faizul Bakhari
“Ramai antara penduduk dalam kawasan ini khususnya golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga amat memerlukan kediaman.

“Sekiranya Kementerian Pendidikan membangunkan semula semua unit-unit kosong tersebut dan disewakan atau dijual kepada penduduk tempatan, sudah pasti ia akan laku bagai pisang goreng.

“Tetapi kementerian tidak mempunyai idea dan semangat untuk membaik pulih bangunan tersebut, sehinggakan ia menyakitkan mata memandang,” tegasnya lagi.

Suami terkejut lihat jururawat lakukan seks dengan mayat isteri

Seorang suami terkejut apabila mendapati seorang jururawat lelaki sedang melakukan seks dengan mayat isterinya ketika dia mahu menatap wajah si isteri untuk kali terakhir di hospital.

Kejadian berkenaan berlaku di Hospital de Clinicas di La Paz, Bolivia. Melihat keadaan itu, si suami telah membelasah jururawat berkenaan yang dikenali sebagai Grover Macuchapi, 27.

“Ia berlaku selepas sejam pesakit meninggal dunia dan telah dihantar ke rumah mayat di hospital itu. Pada masa itu, suaminya menyelesaikan bayaran hospital.

“Tidak lama kemudian selepas semua urusan hospital selesai, si suami ke rumah mayat dan mendapati jururawat lelaki itu sedang melakukan seks dengan mayat isterinya,’’ kata polis.

Manakala si suami ketika ditemubual wartawan berkata dia membelasah jururawat lelaki itu yang ketika itu tidak memakai seluar.

Pada Mei lepas, polis di Argentina telah berdepan dengan kes yang sama di mana seorang lelaki telah memecah masuk ke dalam bilik mayat hospital dan melakukan seks dengan mayat seorang wanita.

Kejadian itu disedari oleh kakitangan hospital apabila melihat suspek menarik keluar mayat yang disimpan di dalam tempat sejuk dan sedang berdiri di sebelah mayat itu sambil seluarnya dilondehkan ke kaki.

Lelaki itu dikatakan berbuat demikian kerana mempunyai fantasi seks yang pelik.
-kualalumpurpost

‘Kucing berkepala manusia’ didakwa ditemukan di Malaysia (Gambar)


Khabar angin mengenai makhluk menyerupai kucing tetapi memiliki kepala manusia yang ditemui di Pahang mendapat liputan di United Kingdom (UK).

Laporan yang diterbitkan oleh The Mirror UK itu menyatakan bahawa khabar angin tersebut disahkan palsu oleh pihak polis.

Rakaman video mengenai makhluk yang berkulit merah jambu itu dilaporkan telah direkod di negeri pantai timur tersebut.

Ia mempunyai kuku tajam pada keempat-empat kaki, dua gigi yang tajam dan rambut hitam tipis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, gambar yang tersebar itu adalah palsu.

Tambahnya: “Semakan mendapati gambar itu telah dimuat turun daripada internet sebelum dikongsikan di laman sosial, mendakwa ia ditemukan di Pahang.”

“Saya harap orang awam akan berhenti menyebarkan berita mengenai penemuan itu.”

Gambar-gambar tersebut dipercayai patung silikon bayi serigala yang dijual secara dalam talian.
-kualalumpurpost

Misteri ucapan Umno di kongres Parti Komunis China

Memandangkan Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) bermula semalam, persoalan sama ada wakil Umno akan berucap atau tidak pada majlis itu masih lagi misteri.

Awal bulan lalu, portal Umno Online memetik setiausaha agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata Malaysia satu-satunya negara dari enam negara di seluruh dunia yang diundang untuk berucap pada kongres tersebut.

Dalam laporan itu, Tengku Adnan berkata undangan itu menunjukkan CPC mengiktiraf pencapaian Umno, sambil beliau juga menyatakan penghargaan dalam hubungan rapat di antara Umno dan CPC.

Bagaimanapun, apabila Malaysiakini menghubungi Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa untuk mengesahkan hal ini, beliau menjawab tidak tahu akan perkara undangan berucap itu.

Manakala Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan wartawan bertanyakan sendiri soalan itu kepada Tengku Adnan.

Malaysiakini telah cuba untuk menghubungi Tengku Adnan melalui khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon, tetapi tidak mendapat maklum balas.

Ahli akademik sains politik Phoon Wing Keong (gambar) yang memerhatikan perkembangan politik China berpandangan bahawa kemungkinan Umno diundang untuk berucap adalah kecil.

Malah menurut Phoon jika Umno memang diundang, perwakilann itu barangkali hanya menjadi pemerhati dan bukannya berucap.

"Saya tidak percaya Umno akan berucap dalam majlis itu. Pada masa lalu, saya tidak pernah melihat ia terjadi, bahawa parti politik luar negara diundang untuk berucap," katanya apabila dihubungi portal berita ini.

Beliau menjelaskan di bawah Parti Komunis China, Jawatankuasa Pusat Jabatan Antarabangsa bertanggungjawab dalam hal ehwal perhubungan awam dengan parti-parti politik.

"Jika jawatankuasa itu mengundang parti-parti politik luar negara untuk menjadi pemerhati dalam majlis tersebut, ia munasabah.

"Ia seperti perhimpunan agung Umno, ia juga mengundang perwakilan CPC dan parti-parti lain sebagai pemerhati, tetapi bukan lah berucap dalam majlis itu," katanya.

Mungkin hanya forum kecil

Beliau mengesyaki kebarangkalian lain yang mungkin terjadi adalah CPC mengundang Umno berucap dalam majlis yang diadakan bersempena dengan kongres nasional parti itu.

"Saya percaya Umno boleh jadi diundang untuk majlis seumpama itu. Suatu forum kecil atau pertemuan yang diatur untuk parti-parti politik luar negara," katanya.

Kongres Nasional CPC ke-19 bermula semalam dan akan berlangsung sehingga 24 Oktober ini dengan jumlah keseluruhan 2,280 perwakilan yang akan memilih jawatankuasa pusat dan jawatankuasa disiplin parti yang baru.

Kongres nasional itu juga telah mengundang 74 orang 'perwakilan khas', kebanyakannya veteran CPC yang telah bersara.

Selain perwakilan yang dipilih dan wakil khas, pada masa lalu CPC juga mengundang bukan anggota CPC ke majlis tersebut, seperti saintis ulung dan ahli akademik ternama serta ahli perniagaan patriotik, menurut China News Service, agensi berita milik negara China.
-malaysiakini

Video Skandal KP SPRM, gambar-gambar dan dokumen yang tersiar di Youtube



Themalaysianinsight
DUA rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dan seorang wanita berkahwin berpegangan tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali muncul, walaupun beliau menafikannya dan dakwaan kempen memburuk-burukkannya oleh pihak pembangkang atau sindiket perjudian.

Rakaman berdurasi 1 minit 40 saat yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube semalam dengan pautan ke blog yang mengandungi catatan dengan dakwaan pemimpin atasan Umno cuba melindungi hubungan sulit ketua SPRM itu.

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang kelihatan seperti Dzulkifli berpegangan tangan dengan seorang wanita keluar dari sebuah hotel di Bali. Video itu kemudian diulang dalam gerakan perlahan. Satu lagi klip video menunjukkan pasangan itu di sebuah restoran.

Video itu juga menunjukkan bilik di mana Dzulkifli didakwa tinggal di Bali pada Julai lalu dan klip pembantunya membawa bagasi.

Klip video sebelum ini menunjukkan tiket penerbangan, dokumen pendaftaran hotel dan gambar lain pasangan itu di Bali serta bagasi yang dibawa keluar dari sebuah hotel.

Dzulkifli akhirnya menjawab mengenai khabar angin tentang dakwaan skandalnya pada Selasa lalu, yang menghubung dakwaan itu kepada "serangan kotor dan menjijikkan" oleh individu tidak dinamakan.

Bagaimanapun, ketua SPRM itu tidak mengesahkan atau menafikan perkara yang didakwa dengan wanita berkenaan, yang dikatakan adalah pengurus undang-undang di firma berkaitan kerajaan. Dia dan suaminya bercerai bulan lalu dan menafikan perkara itu.

Laman YouTube yang mengandungi klip video kini dipautkan ke blog dengan catatan mengenai dakwaan hubungan sulit itu.

Satu daripada posting menuduh pemimpin atasan Umno bertanggungjawab bagi menyembunyikan kes rasuahnya sendiri.

Satu posting juga mengandungi tuduhan kempen oleh pemimpin Umno dengan ketua SPRM terhadap pemimpin Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal, mendakwa beberapa orang yang ditangkap dalam kejadian baru-baru ini ditahan di bilik hotel dan dipaksa mengaku melakukan aktiviti rasuah.

Satu lagi posting mendakwa seorang lagi pemimpin Umno memberikan rasuah RM10 juta untuk menjatuhkan Shafie.

Polis semalam berkata mereka sedang menyiasat semua video yang dimuat naik.

Laporan polis terhadap klip video pertama dibuat oleh seorang eksekutif jualan minggu lepas.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.

Mereka yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

"Beri kami masa untuk menyiasat perkara ini, bukan mudah bagi kami untuk mengesan (siapa yang bertanggungjawab), tetapi kami berusaha keras untuk mengetahui siapa orang itu," katanya.

Khalid Samad tuntut CEO Iksim mohon maaf, pampasan RM1 juta

Khairil Ashraf

SHAH ALAM: Khalid Abdul Samad berkata pihaknya mengeluarkan notis tuntutan 7 hari kepada Datuk Prof Mahamad Naser Disa, dengan mendakwa Mahamad menuduh beliau menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Khalid berkata tuduhan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) itu sebagai fitnah. Naser dikatakan membuat tuduhan itu dalam pembentangan kertas kerja di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam pada 28 September lalu.

Khalid menuntut Naser membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar perdana dan membayar pampasan RM1 juta atau berdepan tindakan undang-undang.

“Saya nak bagi tahu dia, kalau dia mengharapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama dia untuk hadapi saman daripada saya atau dia mengharapkan exco agama (Datuk Ahmad Yunus Hairi) untuk bela dia berdasarkan surat Jais hantar, saya minta maaf dia tak akan dapat perlindungan daripada Jais.

“Saya juga yakin tidak juga daripada exco agama (Selangor). Saya nasihatkan dia, tak payah bawa ke mahkamah, terima surat yang kita beri ini.

“Runding dengan saya daripada nak hadapi mahkamah dan dimalukan dalam mahkamah kerana tuduhan dia buat dalam masjid jelas satu pembohongan atau fitnah,” katanya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata tuduhan itu boleh dianggap fitnah kerana RUU355 belum dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata dakwaan seperti itu antara strategi yang digunakan Umno dan BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

“Tujuan untuk burukkan Pakatan Harapan atau parti anggota kononnya kita anti Islam,” kata Khalid.

“Dia bawa isu RUU355 sedangkan kita tengok RUU355 PAS pun tak nak bawa. Yang tunda perbahasan pun PAS kerana nak bertanding 130 kerusi lepas tu nak undi orang bukan Melayu.

“Ini corak politik yang tidak amanah dan tidak telus,” katanya.

Lelaki ugut bunuh ibu bapa bekas teman wanita dipenjara

Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang duda anak satu mengugut membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya kerana menghalangnya bertemu wanita itu membawa padah apabila dipenjara 6 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas S.Munesh Kumar, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap R. Malathi, 55, dengan mengeluarkan kata-kata “hari ini rumah kamu akan ada mayat dan saya akan bunuh suami awak,” di rumah mangsa di Taman Mulia, Ampang pada 4.00 petang 18 April lepas.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Mei lepas.

Penjual kereta itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh mahu berjumpa dengan bekas teman wanitanya sebaik mengetahui wanita itu yang belajar di sebuah universiti di Medan, Indonesia dalam jurusan pergigian telah pulang bercuti di Malaysia.

Namun keluarga bekas teman wanitanya itu tidak membenarkan tertuduh berjumpa dengan anak mereka lalu tertuduh pergi ke rumah wanita itu serta mengugut untuk membunuh ibu dan bapanya.

Ketika rayuan tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon maaf kepada mahkamah dan merayu hukuman penjara minimum dengan alasan anak guamnya menyesal, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman penjara setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh yang melakukan kesalahan serius kerana membuat ugutan yang boleh mendatangkan kematian.

Wanita separuh bogel maut ketika bergayut di tingkap kereta (Gambar)


Seorang wanita tidak berbaju maut apabila bertindak bergayut di luar tingkap kereta yang sedang bergerak ketika sedang menikmati percutian di Republik Dominika.

Dalam kejadian itu, separuh badan Natalia Borodina, 35, yang berada di luar tingkap kereta yang dipandu seorang lagi rakannya telah merempuh papan tanda jalan raya.

Dia dikejarkan ke hospital, namun kecederaannya terlalu parah dan disahkan meninggal dunia.

Bekas suaminya, Alexandr Palagushkin, 37, kini berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya, Ermak, dengan bantuan bapanya.

Palagushkin dan Boris, 58, yang bekerja di bawah Vladimir Putin sedang berjuang untuk menjaga Ermak kerana tidak mahu dia dihantar ke rumah anak yatim Rusia.

Ketika Borodina terbunuh, anaknya sedang dijaga oleh kakaknya di bandar Voronezh, Rusia.

Palagushkin kemudian bergegas ke sana untuk bertemu dengan Ermak.

Polis menahan rakan Borodina yang berusia 32 tahun, Ivanna Boirachuk, dari Ukraine, kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol tetapi kemudian dibebaskan.

Boirachuk menggunakan telefon bimbitnya untuk merakamkan aksi Borodina yang dilihat mengeluarkan badannya ke luar tingkap, meletakkan jarinya di mulut sambil ketawa riang.

Beberapa saat kemudian, dia terlanggar papan tanda jalan raya.

Salah seorang rakan mangsa, Elena Korolyova, memberi penghormatan selepas tragedi tersebut.

Dia berkata: “Dia sanggup buat apa saja untuk bantu keluarganya yang miskin. Tiada siapa yang bekerja, hanya dia seorang. Dia mahu berikan yang terbaik, dia mengharapkan masa depan yang lebih baik.

“Sesiapa saja boleh buat silap, mengapa kita harus menilai dirinya dengan hanya satu video? Adakah kita semua sempurna?” -dailystarUK
-kualalumpurpost

Video Dato' Husam jawab isu PANAS!!! AMANAH Kelantan 'dihalau' dari Wisma Tok Guru?


Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mendapat berita mengejutkan apabila menerima notis supaya mengosongkan Wisma Tok Guru di Salor yang menjadi pejabat naib presiden parti itu, Datuk Husam Musa.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan itu.

Selain menempatkan pejabat Husam Wisma Tok Guru yang terletak di Jalan Pendek, Salor itu juga menjadi markas AMANAH Kelantan hasil usaha Husam.

Untuk rekod Husam ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.
Menurut sumber, bangunan dua tingkat itu didirikan di atas tanah milik balu kepada bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim.

Sebagai rekod, Ahmad Rosli ialah bekas setiausaha Umno Kelantan dan pernah bergiat bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Semangat 46.

Beliau meninggal dunia pada 27 Julai lalu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu termasuk reaksi daripada Husam.

Bagaimanapun, seorang pemimpin AMANAH Kelantan yang rapat dengan Husam mendakwa perkara itu adalah sahih.

"Tetapi saya tidak ada maklumat terperinci, mungkin Husam akan jawab sendiri nanti," katanya yang enggan namanya disebut.

Wisma Tok Guru asalnya menempatkan Pejabat ADUN Salor dan dinamakan semula tahun lalu sempena memperingati nama bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini, isu tanah berkenaan ditimbulkan oleh PAS Kelantan melalui ADUN Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa tapak berkenaan milik kerajaan.

Beliau mempertikaikan tindakan Husam yang terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS.

"Saya dah semak tanah itu hak kerajaan. Nak keluar PAS, keluarlah. Nak ambil pejabat PAS kenapa?" soalnya yang petik dalam satu video ceramah di YouTube.


Bagaimanapun, video itu juga memaparkan penjelasan daripada Ahmad Rosli.

Menurut Ahmad Rosli, tanah tersebut dibeli daripada pemilik asal dan dinamakan untuk isterinya Haripah Dollah.

"Saya beri kelulusan (kebenaran) kepada Husam sebagai pejuang rakyat, berjuang itu dan ini untuk gunakan tanah ini.

"Saya tidak pernah mewakafkan (tanah berkenaan) kepada PAS," katanya dipetik sebagai berkata.
-malaysiakini

Zamihan dilindungi ‘godfather’

Free Malaysia Today
Khairil Ashraf
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad hari ini mendakwa Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin dilindungi oleh seorang individu yang berpengaruh.

Pemimpin Amanah itu menambah individu itu kini cuba mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk merayu bagi pihak Zamihan kerana kenyataan mengkritik Sultan Johor baru-baru ini.

“Ustaz Zamihan ada dia punya ‘god father’ dia. Ini bukan baru. Dia selamba sahaja kata orang itu, ini kafir tapi tak ada tindakan yang diambil.

“Sampai sekarang ini hentam sultan pun boleh,” katanya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu itu, sekadar menjawab: “Itu wartawan perlu menyiasatnya”.

Dalam satu video yang tular baru-baru ini, Zamihan mengkritik Sultan Johor kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi layan diri di Muar menghentikan dasar “mesra Muslim” dan menganggap orang bukan Islam tidak bersih.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya dalam kuliah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, pada 8 Oktober.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan, termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” kata Zamihan, yang juga pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JKM) di Kementerian Dalam Negeri.

Sultan Johor dalam kenyataan keras menyifatkan Zamihan “tin kosong” dan angkuh. Raja-raja Melayu mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” sebagai tindakan keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

Susulan kenyataan Sabtu lepas, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memohon menghadap Sultan Ibrahim, selepas Sultan Johor melarang Jabatan Agama Islan Negeri Johor berurusan dengan Jakim.

Sementara itu, Khalid turut menyentuh isu ceramah Pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib, Shahul Hamid, yang mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam dan juga memberikan ucapan hari jadi.

Menurutnya Khalid, ceramah terbabit menggambarkan corak pemikiran yang melampau.

“Inilah corak pemikiran ekstrem. Ekstremisme ini tak semestinya pengganas. Ekstrem ini dia nak buat lebih apa yang Islam tuntut,” katanya.

Khalid berkata, ceramah seperti itu juga melihatkan Islam sebagai punca kepada pecah belah dan kebencian.

“Sedangkan Islam tak ajar benda itu. Dalil tak ada. Ini atas dasar prejudis, kebencian, rasis dan fasis punya pemikiran,” katanya.

Sebab kenapa Himpunan anti kleptokrasi dianggap berjaya - Salahuddin Ayub

Himpunan anti kleptokrasi berjaya tarik kehadiran Melayu
ARIF ATAN 
Himpunan anti kleptokrasi berjaya tarik kehadiran Melayu
 
Salahuddin Ayub ketika diwawancara Ahmad Lutfi Othman di Wisma Amanah.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub menyifatkan himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, Sabtu lalu sebagai berjaya menarik kehadiran orang Melayu sekaligus mengimbangi komposisi penyertaan rakyat berbilang kaum.

Menurutnya, situasi tersebut berbeza dengan siri himpunan sebelum ini sehingga dimanipulasi pihak Umno-BN kononnya didominasi kaum Cina.

Beliau berpendapat paling penting adalah trend sokongan Melayu yang membawa petanda positif ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

“Memanglah himpunan lepas kalau dibandingkan Bersih tidak mencapai sasaran kehadiran. Itu tidak mengapa.

“Tapi apa yang saya gembira pada hari itu, kita melihat majoriti yang menyertai himpunan adalah Melayu. Sebelum ini, sukar untuk kita lihat,” ujarnya ketika diwawancara Malaysia Dateline di Wisma AMANAH, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan pihak tertentu kononnya himpunan anjuran Pakatan Harapan itu gagal jika dibandingkan dengan program Fastaqim 2.0 pada 29 dan 30 September lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, peserta Hapuskan Kleptokrasi mewakili setiap segmen dalam masyarakat majmuk di negara ini berbeza dengan perhimpunan anjuran Pas di Kuala Nerus, Terengganu itu.

“Himpunan kita itu pun menggambarkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan bukanlah kecil impaknya sehingga ditohmah tidak mendapat sambutan.

“Apa yang penting kita berjaya meyakinkan masyarakat Melayu untuk keluar berhimpun menjadikan peserta program yang berlangsung sepanjang tujuh jam itu terdiri daripada semua kaum serta merentas wilayah sehingga Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap mana-mana perhimpunan bukan satu ukuran mutlak yang turut mencerminkan kejayaan pada pilihan raya.

“Pengalaman dalam Pas dulu, kitalah paling berjaya daripada segi menarik kehadiran orang ramai tetapi bila keputusan pilihan raya, Pas kalah,” tegas bekas Naib Presiden Pas itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, paling penting adalah tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bukannya hanyut dalam hal remeh-temeh yang tidak membantu Pakatan Harapan dalam menentang rejim Umno-BN.

Mahathir

Hal tersebut, jelasnya, termasuk terus bersikap mengungkit tindakan Tun Mahathir sepanjang menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Sikap Tun Mahathir sudah jelas mahu menumbangkan Umno-BN. Kita pun bukanlah naif sangat untuk menilai mereka yang hendak bersama kita.

“Mahathir datang kepada Pakatan Harapan sebab katanya Naib itu jahat. Najib ini amalkan kleptokrasi, merompak, menyamun mencuri duit rakyat dan hal itu benar bukan fitnah.

“Kita pun tahu dan baca segala dokumen berkaitan. Dia (Mahathir) nak jatuhkan Umno-BN. Itu jugalah perjuangan kita selama ini. Dia sudah mahu bersama kita,” ujarnya.

Ditanya tentang reaksi pihak tertentu yang masih tidak dapat menerima kehadiran Mahathir dalam Pakatan Harapan, Salahuddin berpendapat sikap tersebut tidak berjiwa besar dan berpandangan jauh.

“Keputusan politik perlu dibuat pada waktu yang tepat dengan berani mengambil risiko. Tidaklah bijak kalau kita enggan terima seseorang yang sudah meninggalkan parti lamanya dan mahu bersama kita.

“Terlalu bodoh juga untuk kita mempersoalkan segala dosanya yang lepas. Kita ada pengalaman (bekerjasama) dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (selepas keluar Umno).

“Adakah Pas ketika itu mengungkit-ungkit minta supaya mereka minta maaf di depan khalayak atau senaraikan dosa-dosa mereka?

“Itu bukan budaya Islam sebagaimana Nabi pun boleh menerima Abu Suffiyan. Tindakan yang terus mengungkit sikap Mahathir adalah tidak Islamik bagi saya,” tambahnya lagi.

Turut serta dalam wawancara selama hampir dua jam itu kolumnis Malaysia Dateline, Ahmad Lutfi Othman.