"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menyerah kalah dengan oportunis: Tidak sama sekali

AHMAD LUTFI OTHMAN
Mendengar negeri kelahiranku, Kedah, tumbang atau “bungkuih” — Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat dalam PRU14 dikhianati — terasa pilu dan sebak. Termasuk Adun Bersatu kampungku, Bukit Kayu Hitam, memilih langkah pembelotan. Tapi Ahli Parlimennya, Kubang Pasu, juga mewakili Bersatu, tetap istiqamah bersama PH.

Impianku untuk melihat Kedah bebas daripada belenggu Umno, berputik sejak 1990. Pilihan raya tahun itu menyaksikan gandingan Pas dengan serpihan Umno, Semangat 46, satu kerjasama politik yang menginspirasikan.

Saya hadir semasa hari penamaan calon, tokoh kesayangan saya, Almarhum Ustaz Fadzil Noor di Pendang. Sayangnya Presiden Pas terbaik pernah dilahirkan itu kecundang untuk kerusi parlimen, hanya pertahankan Dun. Dan untuk keseluruhan Kedah, prestasi Pas tambah merosot berbanding PRU sebelumnya, 1986.

Teringat kekalahan Pas Kedah dalam PRU2013, selepas mentadbir satu penggal bersama Pakatan Rakyat, tidak terasa “sedalam” ini kepedihannya, mengenangkan ia adalah pilihan rakyat sendiri, dijatuhkan melalui pilihan raya, bukan kudeta. Kali ini cukup berbeda, tumpas di pertengahan jalan akibat permainan elit politik yang rakus dan oportunis. Pandemik Covid-19 dan keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan tidak berjaya memperlahankan perancangan licik mereka.

Begitulah sifat politikus yang sentiasa menghidu setiap peluang untuk berkuasa, tiada kompas moral; undi rakyat bagaikan komoditi berharga diperdagangkan. Begitu juga dengan Pas, sebuah parti Islam, namun imiginasi politiknya tidak berbeda dengan parti-parti lain.

Selepas Johor tumbang, diikuti Putrajaya dan Melaka ikut sama jatuh, saya berjaya mententeramkan diri sendiri.

Semasa episod genting Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri ekoran tindakan nekad Bersatu keluar PH, dituruti rapat babak-babak mendebarkan di Istana Negara, saya mengikutinya penuh emosi. Isteri kerap mengingatkan risiko kesihatan saya — khususnya berkaitan prosedur jantung yang baru sahaja diselesaikan dan menelan ongkos lebih RM100 ribu — yang terdedah dengan pelbagai kemungkinan buruk, jika terlalu tertekan.

Saya cepat sedar, ya … permainan kuasa yang meletihkan itu tidak membabitkan suara rakyat sama sekali. Runtuhnya kerajaan PH tiada hubungan dengan protes rakyat. Gelanggang kuasa hanya ditentukan oleh proses tawar-menawar ahli-ahli parlimen membentuk kerajaan baharu. Apa yang dipilih rakyat dan apa yang diimpikan pengundi, langsung tidak menjadi pertimbangan lagi.

Dan salah seorang aktor penting yang menjatuhkan kerajaan PH adalah ahli parlimen kawasan saya, Ampang; beliau menang besar, majoriti lebih 40,000 undi. Terlintas semasa beratur di tengah terik matahari, tengahari 9 Mei 2018, sebelum masuk pusat mengundi Taman Watan. Saya mengundinya dengan yakin.

Apabila baginda Agong umumkan pemenangnya, Muhyiddin Yassin, memang ada perasaan tidak puas hati, terutama berkaitan mekanisme penjumlahan suara sokongan kepada perdana menteri baharu. Tetapi cepat-cepat dipendamkan, bimbang ditafsirkan sebagai suara derhaka, lagipun ia dijalankan secara berperlembagaan dan Agong menggunakan budi bicara baginda.

Di atas segalanya, ia masih boleh disemak melalui sidang Parlimen yang ketika itu dijangka diadakan selang tidak berapa lama lagi, dalam bulan Mac itu juga, yang kemudiannya diganjak ke Mei.

Tidak terjangkau bahawa fungsi Parlimen akan dicabuli dengan rakus, demi memastikan kerajaan pintu belakang tidak dicabar. Benarlah kata bijakpandai, lulus jarum luluslah kelindan.

Kejatuhan PH Johor sebenarnya lebih mengejutkan. Prosesnya, membabitkan pihak istana, juga jauh lebih sukar untuk dianalisis secara menyeluruh dan adil. Sebenarnya dalam PRU14, kemenangan PH di Johor nampak kukuh dan mantap. Tiang seri Umno robek di selatan tanahair itu.

Manakala keruntuhan kerajaan negeri Melaka sudah dijangka – teori domino mudah mengecewakannya dengan majoriti kerusi yang cukup kecil. Cuma Melaka lebih menyentuh emosi saya; ketua menterinya yang dilihat berprestasi baik itu terasa dekat di hati. Adly Zahari adalah aset berharga buat negeri Tun Perak itu, juga teman lama saya.

Dalam beberapa tulisan sebelum ini, saya meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan yang mengecewakan itu. Terasa penat dan lelah apabila amanah rakyat dikhianati tanpa segan-silu. Begitu mudah sekali gerombolan “politikus celaka” itu memperdagangkan undi rakyat.

Terkedu memikirkan agenda reformasi yang dimulai pentadbiran PH akan terbantut begitu sahaja. Terbayang apa bakal terjadi kepada iklim kebebasan bersuara yang bertambah segar sejak Mei 2018. Apakah pengakhiran kes-kes mahkamah korupsi berprofil tinggi, termasuk membabitkan bekas perdana menteri? Apakah impian selama ini, untuk melihat Malaysia yang lebih adil dan makmur, yang dapat menjadi tempat teduh dan redup buat semua warganya, akan lebur begitu sahaja?

Secara peribadi, peralihan kuasa secara aman, menggantikan regim Perikatan-Barisan Nasional yang bertakhta lebih enam dasawarsa adalah pengalaman manis yang tidak terduga dapat saya kecapi di hujung hayat ini. Tambah tidak terjangkau dek fikiran, pentadbiran baharu ini kemudiannya dirompak di pertengahan jalan, tidak sampai dua tahun berkuasa. Remuk rasa di hati, bagai pinggan kaca terhempas ke lantai batu.

Dengan keuzuran berpanjangan, situasi kesihatan yang sering merosot, kualiti penglihatan terjejas teruk, jasad yang mudah lesu, saya seakan-akan mahu menyerah kalah melihat permainan kuasa yang cukup melelahkan itu.

Lagipun, apalah upaya saya yang serba uzur ini bagi mempengaruhi suasana dan lingkungan? Pena yang semakin kering dakwat ini mungkin terkulai longlai berdepan amukan kuasa sang pemerintah yang mula menampakkan belang dan taringnya. Warisan lampau Umno-BN dengan budaya politik kuno semakin menyerlah di bawah pentadbiran baharu. Umno mendapat tranfusi darah. Rasanya pemuka Umno sendiri terkejut; cepat sekali mereka kembali berpengaruh semula.

Regim yang terbukti menyalahguna kuasa dan rahsia hodoh pemimpinnya terdedah di mahkamah, dengan skala korupsi luar biasa, masih mendapat tempat dalam pemerintahan setelah kalah pilihan raya? Manakala pemimpin yang tercemar teruk, dilumuri najis kleptokrasi masih disanjung rakyat marhaen? Tentu ada banyak persoalan misteri yang “tidak beres” dalam sistem hidup kita.

Soalnya, apakah kita mudah mengalah berdepan realiti baharu ini? Apakah perjuangan yang memakan masa lebih setengah kurun dan telah memakan korban yang ramai ini akan berakhir, hanya kerana langkah pengkhianatan segelintir “politikus celaka” yang tidak pernah puas?

Ya, memang ramai pendekar yang telah tersungkur. Tidak sedikit pahlawan yang keliru dan tersilap memilih regu. Perjuangan ini tidak pernah berakhir, malah liku-liku jalannya kian tajam. Sejarah menyaksikan sang pengkhianat sentiasa berada di mana-mana, siap menunggu peluang.

Agenda pembaharuan memerlukan nafas dan stamina yang panjang. Ia sekadar menanti para aktivisnya keletihan, kelelahan dan dirasuk kecewa yang amat sangat. Memang pedih dan ngilu ditusuk senjata sahabat sendiri. Namun, memilih untuk berundur dan absen daripada jalur utama perjuangan hanya akan membuatkan seteru berpuas hati.

Secara personal, saya pernah terlintas untuk “pencen” daripada menekuni drama politik yang sentiasa riuh dan bingit ini. Biarkan sahaja teman-teman di Putrajaya melunasi janji mereka. Memang banyak yang belum tertunai dan mengecewakan impian rakyat sehingga PH dikhabarkan kalah dalam perang persepsi.

Namun, saya percaya PH masih berada di atas landasan yang betul. Lebih penting, saya tetap bersangka baik dengan teman-teman yang saya kenal dalam kerajaan. Saya sentiasa melihat aspek dan potensi positif meskipun namak banyak juga kelemahan dan kealpaan. Hati kecil saya tetap yakin, dalam PRU15 nanti, insya Allah PH akan menang, meskipun selepas calon Bersatu kalah teruk PRK Tanjong Piai. Tidak terlintas bahawa gerombolan pengkhianat yang “celaka” itu sudah ada pelan luar jangka.

BERSAMBUNG

'Kini PAS anggap Nik Aziz, Fadzil Noor bacul sebab bersama DAP?'


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas kenyataan Naib Presiden PAS Idris Ahmad bahawa orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP sebagai bacul.

Menurut bekas menteri Wilayah Persekutuan itu, kenyataan Idris seolah-olah menganggap pemimpin PAS terdahulu, iaitu Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Almarhum Fadzil Noor, juga bacul kerana menyokong kerjasama dengan DAP untuk berdepan dengan BN.

“Almarhum Nik Aziz dan Almarhum Fadzil Noor dianggap bacul oleh PAS sekarang? Tak sangka akan sesesat ini apabila dipimpin (presiden PAS) Abdul Hadi Awang.

“Almarhum berdua paling kuat menyokong kerjasama dengan DAP menentang kezaliman dan korupsi BN,” ciapnya di Twitter hari ini.



Khalid Samad

@KhalidSamad
Hmmm..

Almarhum TGNA dan Almarhum UFN dianggap bacul oleh PAS sekarang? Tak sangka akan sesesat ini apabila dipimpin Hadi.

Almarhum berdua paling kuat menyokong kerjasama dengan DAP menentang kezaliman dan korupsi BN.

12 tahun Selangor bawah PR/PH bukti kedangkalan Idris. https://twitter.com/mkini_bm/status/1261209979467390976 …

Malaysiakini (BM)

@mkini_bm
PAS jawab Dr M: Melayu bacul sahaja sanggup bersama DAP https://www.malaysiakini.com/news/525834

View image on Twitter
369
6:45 AM - May 16, 2020
Twitter Ads info and privacy
223 people are talking about this
Dalam ciapan sama, Khalid melampirkan laporan berita yang memetik Idris berkata demikian.

Menurut laporan Harakahdaily, Idris menyifatkan orang Melayu yang melawan DAP sebagai berani melawan arus kerana membantah konsep yang dibawa DAP, yang menurutnya mahu merungkai kontrak sosial yang telah disepakati selepas kemerdekaan.

Almarhum Fadzil Noor
“Mereka yang sebenarnya bacul adalah Melayu minoriti yang masih bersekongkol dengan DAP dan mengikut telunjuk parti itu semata untuk kuasa sementara," kata Idris seperti dipetik.

Ia susulan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata beliau malu melihat orang Melayu takut kepada parti tersebut, dan percaya ia boleh menghancurkan mereka jika berada dalam kerajaan.

Bagi Mahathir, banyak peristiwa yang menunjukkan keberanian orang Melayu melawan kuasa-kuasa besar yang tidak mudah ditewaskan, seperti penjajah British.

“Mungkin sekarang ada Melayu bacul. Tetapi Melayu dahulu berani.

"Dari mana datang bacul ini? Nak dapat perlindungan daripada siapa? Dari Najib? Dari kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?” kata Mahathir.

Untuk rekod, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP sebelum ini, dalam Barisan Alternatif dari 1998 hingga 2001 sebelum DAP menarik diri. Ketika itu, PAS dipimpin Fadzil sebagai presiden dan Nik Aziz sebagai mursyidul am.

Kerjasama yang terputus antara dua parti itu terjalin semula dalam Pakatan Rakyat, dari 2008 hingga 2015, sebelum DAP mengumumkan pakatan itu dibubar. Nik Aziz meninggal dunia pada 2015.

Sejak itu, PAS dilihat berpatah arang dengan DAP, dan kini bekerjasama rapat dengan Umno, yang dahulu menjadi seteru utamanya, melalui Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September tahun lepas.

Menerusi Muafakat Nasional, dua parti itu bersama-sama menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional bersama Bersatu, sejumlah bekas anggota Parlimen PKR diketuai Azmin Ali, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sejumlah parti kecil lain, lewat Februari lalu menerusi 'Langkah Sheraton'.

Soalan kepada ahli-ahli dan pimpinan akar umbi Bersatu, siapa yang untung dan rugi dalam PRU 15 nanti?

DR MASZLEE MALIK
Sebahagian daripada kita dijanjikan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah baik untuk Bersatu demi menghadapi PRU15.

Yang pasti jika Bersatu benar-benar mahu kekal bersama Umno dan Pas dalam PN sewaktu PRU15, Zahid Hamidi tidak akan dicabar oleh Bersatu, Najib Razak akan kekal di Pekan, Azeez akan kekal di Baling, Ku Nan akan kekal di Putrajaya.



Ini kerana Bersatu logiknya hanya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu. Kini dengan PN, Bersatu tidak akan bertanding di kesemua Kawasan yang telah dimenangi oleh Umno dan Pas.

Apakah relevannya lagi bahagian-bahagian Bersatu di kawasan-kawasan tersebut? Apakah nanti PRU15 mereka hanya akan menjadi jentera untuk memenangkan Zahid, Najib, Azeez, dan Ku Nan?

Berdasarkan logik ini jugalah, di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Bersatu akan menjadi paling tidak relevan.

Jika Bersatu tidak akan bertanding di kerusi-kerusi Umno dan Pas, maka bahagian-bahagian Bersatu di ketiga-ketiga negeri tersebut boleh melupakan hasrat untuk menjadi Ahli Parlimen atau Adun di sana.

Mereka hanya mempersiapkan diri untuk menjadi jentera kepada Umno dan Pas tanpa berpeluang menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Jika dipanjangkan perhitungan ini kepada negeri-negeri lain pula, Bersatu tidak akan memerintah mana-mana negeri selepas PRU15, kerana itulah status quo yang ada pada hari ini.

Melainkan mereka sanggup berkorban dengan menfaraidkan kawasan mereka kepada Bersatu. Tetapi adakah Annuar Musa, Zahid Hamidi, Najib Razak, Azeez Rahim, Ku Nan dan tokoh-tokoh lain dalam Umno dan Pas sanggup menyedekahkan kerusi mereka kepada Bersatu?

Bacaan kasar ini sahaja pun sudah boleh kita bayang siapa pemenang dan pihak yang akan mendapat laba paling besar nanti, sudah tentu bukan Bersatu.

Jika ada yang masih ragu-ragu dan masih yakin Bersatu akan terus menjadi parti yang besar dan megah di dalam PN, bolehlah kita rujuk data dan fakta dari PRU lalu.

Pada PRU14 lalu, Bersatu telah bertanding di 52 kerusi.

Kita berjaya menang sebanyak 13 kerusi (termasuk di Parlimen Tg. Piai yang kemudiannya dirampas oleh BN).

Jumlah undi yang dikutip oleh Bersatu di kesemua kerusi yang kita masuk bertanding ialah 718,648.

Jumlah ini bersamaan dengan 28% dari jumlah keseluruhan iaitu 2,573,505 pengundi yang keluar di 52 parlimen tersebut.

Kesimpulannya, semasa ‘menumpang rumah dan bendera PKR’, Bersatu cuma mampu meraih maksima 28% sokongan rakyat.

Perlu diingat, 718,648 undi untuk Bersatu di 52 tempat ini datangnya tentu dari pengundi asas PKR, sebahagian dari Umno , selebihnya dari Amanah dan DAP.

Jika kita tidak bersama PH, bererti kita akan hilang sekurang-kurangnya 80% daripada 718,648 pengundi tadi.

Jika Bersatu bersama Muafakat Nasional, Bersatu hanya akan bergantung kepada kekuatan Umno-Pas, itupun jika benar mereka mahukan Bersatu secara ‘en bloc’, bukan hanya menyokong individu tertentu dalam Bersatu seperti Perdana Menteri sahaja.

Jadi persoalan yang lebih penting untuk kita tanyakan kepada diri kita sendiri, adakah hanya ini yang kita mahu?

Apakah kita hanya berpuas hati dengan 25 kerusi parlimen yang ada (12 asal dimenangi Bersatu dan 13 dari kalangan mereka yang melompat ke Bersatu)? Itupun kalau kita berjaya mencapai persetujuan supaya kerusi ini dikekalkan kepada Bersatu yang pada pengamatan saya, sangatlah mustahil.

Dan apakah ahli-ahli dan Ketua-ketua Bahagian Bersatu hari ini redha dengan kerusi parlimen setakat 25 itu sahaja? Dan menutup peluang kepada mereka untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan Adun yang baharu buat Bersatu?

Apa yang lebih menarik, dengan jawatan-jawatan di kementerian dan juga GLC yang telah difaraidkan kepada Umno, akan menjadi semakin bertenaga dan mengumpulkan dana yang lebih, serta semakin bersedia untuk kembali menjadi kuasa dominan yang memerintah Malaysia selepas PRU15 nanti.

Dan kepada ahli-ahli dan pimpinan akar umbi Bersatu, soalan saya mudah sahaja, apakah ini yang kita mahukan?

Apakah untuk ini kita menubuhkan Bersatu?

Apakah untuk menjadikan Umno kembali berkuasa merupakan tujuan kita semua menyertai parti keramat ini?

Tepuk dada tanyalah selera.

Beliau adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap Ahli MPT Bersatu

Bahagian II dan episod terakhir kisah aneh Muhyiddin Yassin

LIEW CHIN TONG

Di Sheraton Hotel pada awal pagi 10 Mei 2018, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikenali dengan budi pekertinya yang lemah lembut, menarik saya dan Lim Kit Siang ke tepi untuk meminta DAP menyokong calon Bersatu bagi jawatan Menteri Besar Johor. Beliau memerlukan bantuan supaya sumbangan beliau dalam menukar undi negeri tersebut kepada Pakatan Harapan diperakui.

Walaupun DAP telah memenangi bilangan kerusi yang terbesar di Dewan Undangan Negeri, iaitu 14 kerusi, berbanding dengan Amanah (9), Bersatu (8), dan PKR (5), DAP tidak menuntut jawatan Menteri Besar. Kit Siang terbuka untuk berbincang. Selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berbincang dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu, DAP bersetuju untuk menyokong calon Muhyiddin bagi jawatan Menteri Besar.

Pada 11 Mei 2018, DYMM Sultan Johor telah menitahkan sebuah kapal terbang untuk menjemput Muhyiddin dari Kuala Lumpur untuk menghadap baginda. Saya turut serta mengikuti beliau. Itu merupakan kali pertama saya menaiki jet peribadi.

Tiga bulan sebelum itu, pada 8 Februari 2018, saya dan Muhyiddin membuat perjalanan bersama menaiki penerbangan tambang rendah Malindo sejurus selepas mesyuarat Pakatan Harapan Johor. Beliau memberitahu saya bahawa, ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri, satu pesawat kerajaan khas telah ditugaskan untuk perjalanan beliau.

Sebagai salah satu pemimpin pembangkang yang tidak memiliki apa-apa hak istimewa, Muhyiddin berasa senang hati melihat penghargaan rakyat terhadap perjuangan kami. Ketika beliau masih menganggotai Barisan Nasional, beliau tidak pernah mengalami situasi di mana orang ramai menawar diri untuk membayar makanan beliau di kedai kopi ataupun warung sebagai tanda sokongan mereka. Semangat rakyat ketika itu cukup memberangsangkan.

Ketika penerbangan pada May 2018 itu, seorang pegawai Muhyiddin telah memberitahu saya bahawa itulah kali pertama mereka menjejak kaki semula dalam jet peribadi semenjak bos mereka dipecat daripada jawatan TPM pada Julai 2015. Mereka berasa bangga dengan PRU14 kerana kami telah mencipta sejarah ketika itu dengan mengambil tindakan yang betul demi negara, walaupun, secara peribadi, Muhyiddin mengalami kehidupan yang sukar antara 2015 dan 2018.

Pada hari seterusnya, iaitu 12 May 2018, Pakatan Harapan telah memilih Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri, Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan, dan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Pada 13 May 2018 pula, saya berjumpa dengan Muhyiddin di kediamannya; hanya kami berdua sahaja. Beliau berasa murung ketika itu. Beliau ingin meletakkan semua jawatan pada malam sebelumnya kerana kecewa tidak dilantik menjadi Menteri Kewangan oleh Dr. Mahathir. Beliau telah dipujuk untuk terus kekal dengan jawatannya.

Beliau turut memberitahu saya, pada 1995, ketika beliau merupakan Timbalan Presiden UMNO yang meraih bilangan undi terbesar, dan setelah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor selama sembilan tahun, beliau berharap untuk memegang portfolio ekonomi kanan di peringkat kerajaan persekutuan. Akan tetapi, Dr. Mahathir yang merupakan PM ketika itu hanya melantik beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan, suatu jawatan yang paling rendah. Kemudian, beliau diberitahu oleh Anwar untuk bersabar dan menunggu sehingga 1998, memberi bayangan bahawa Muhyiddin akan menjadi pilihannya untuk Timbalan Perdana Menteri.

Dalam renungan beliau pada pagi yang tenang itu, Muhyiddin mengajukan soalan kepada saya, setelah 20 tahun lebih, setelah beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri selama enam tahun (2009-2015), adakah wajar beliau menjadi timbalan kepada Anwar sekiranya berlakunya peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir ke Anwar? Hanya kesepian menyahut persoalan itu.

Muhyiddin telah dikesan dengan penyakiti kanser pada Julai 2018. Saya menziarahi beliau di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Kali pertama saya pergi seorang, kali kedua saya mengikuti Guan Eng. Saya menganggap Muhyiddin sebagai sahabat berusia dan sangat bimbang dengan kesihatan beliau.

Ketika beliau sedang beransur pulih, dalam kebanyakan pertemuan kami, beliau telah mengadu kepada saya tentang keinginannya untuk meletak jawatan. Penyakit tersebut telah mengubah perspektif beliau terhadap kehidupan.

Kebuntuan di Johor

Pada 24 April 2019, setelah Muhyiddin dan Dr. Mahathir bercanggah berkenaan pemilihan Mazlan Bujang sebagai ketua Bersatu di Johor, saya berjumpa dengan Muhyiddin di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri. Sekali lagi, beliau menzahirkan keinginannya untuk meletak jawatan kerana Dr. Mahathir tidak menerima pandangannya walaupun Johor merupakan negeri beliau. Muhyiddin merupakan pengerusi Majlis Pakatan Harapan Johor.

Muhyiddin berasa kecewa tetapi tidak menghalang pelantikan Mazlan. Beliau beritahu kepada saya, menurut perlembagaan Bersatu, selaku presiden beliau mesti berunding dengan dan menerima keputusan pengerusi, iaitu Dr. Mahathir.

Ketika mesyuarat-mesyuarat kami pada bulan-bulan seterusnya, beliau berulang kali menyatakan kekecewaannya terhadap pemilihan Mazlan Bujang oleh Pengerusi Bersatu.

Pada 2 Syawal (6 Jun 2019), Muhyiddin telah memberitahu saya, beliau sudahpun hampir pulih daripada penyakitnya. Doktor beliau turut menyatakan perkara yang sama ketika majlis rumah terbuka anak lelaki Muhyiddin. Saya cukup lega menerima berita itu.

Imbas ke hadapan, pada bulan Oktober 2019. Percubaan untuk merampas kuasa oleh trio Azmin Ali, Hishammuddin Hussein, dan Hamzah Zainuddin telah menyemarakkan lagi api perkauman bagi pihak Melayu dan bukan Melayu. Usaha tersebut bertujuan mewujudkan satu kerajaan gabungan perpaduan Melayu baharu tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Muhyiddin sangat bimbang akan “perbezaan pandangan antara kita kerana perbezaan ideologi dan kepercayaan kian jelas sekarang’. Daya maju hubungan gabungan Bersatu-DAP sedang dipersoalkan dengan serius dan terdapat banyak tekanan daripada pihak yang agresif dalam Bersatu agar beliau bertindak menentang DAP.

Beliau menganjurkan makan malam kecil-kecilan antara pemimpin tertinggi Bersatu dan DAP pada 29 Oktober 2019 bagi mencari jalan menyelamatkan gabungan parti. Kedua-dua parti bersetuju bahawa naratif melampau Melayu dan bukan Melayu menyebabkan kita menderita di jalan tengah. Kita harus lakukan lebih banyak lagi untuk menyelamatkan gabungan ini.

Mesyuarat tersebut berjaya mengatasi cubaan rampasan kuasa pada Oktober oleh trio Azmin, Hishamuddin dan Hamzah yang menggunakan DAP sebagai momokan. Tetapi kejayaan ini hanyalah untuk sementara.

Imej Pakatan Harapan tidak ditambah baik, terutama sekali apabila dimanipulasi pihak lawan dengan isu perkauman.

Pada malam 16 November 2019, saya berada di bilik gerakan bersama Muhyiddin dan beberapa orang dalamannya untuk menyaksikan siaran langsung keputusan Piihan Raya Kecil Tanjong Piai. Muhyiddin yang kecewa mengatakan “ini lebih buruk daripada tsunami.”

Pergerakan mencurigakan, motif menghairankan

Majlis Presiden Pakatan Harapan khas diadakan pada 23 November 2019 dengan satu agenda untuk membincangkan pembentangan oleh Muhyiddin sebagai ketua Jawatankuasa Kempen Pilihanraya Pakatan.

Beliau menggariskan beberapa cabaran politik yang berikut:

-Isu sentimen perkauman memberi kesan negatif terhadap PH
-Orang Melayu menganggap PH dikuasai DAP
-Orang Cina mengganggap PH dikuasai Bersatu dan Dr Mahathir
-Isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 menyebabkan rakyat beranggapan kerajaan PH tidak stabil
-Kabinet PH dilihat tidak cekap

Cadangan beliau buat Pakatan

-Tangani isu kaum dan agama secara bijaksana dengan mengambil sikap yang lebih moderat dan berhemah
-Kikis imej anti-Melayu DAP ; anti-Cina Bersatu
-Kuatkuasakan tindakan disiplin terhadap ahli parti yang mengkritik sesama sendiri atau mengkritik pimpinan parti anggota yang lain
-Tangani isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 secara bijaksana
-Rombak kabinet supaya kabinet PH dilihat berprestasi tinggi

Muhyiddin mencadangkan agar Pakatan berusaha untuk mencapai tahap penilaian penerimaan 60% dalam jangka masa setahun.

Selepas mesyuarat khas itu dan Parlimen masuk ke sesi rehat, Muhyiddin pun pergi ke luar negara pada akhir tahun bulan Disember dan beberapa hari pada bulan Januari. Dia kembali kelihatan sangat segar dan dalam keadaan sihat.

Mat Sabu bertemu Muhyiddin pada 22 Januari. Pertemuan mereka membuatkan Mat Sabu berasa sangat hairan. Menteri Pertahanan ketika itu memberitahu kepada saya bahawa dia bimbang Muhyiddin mempunyai idea baharu yang bertentangan dengan prinsip asas Pakatan Harapan.

Nampaknya Muhyiddin memikirkan suatu bentuk pemerintahan perpaduan Melayu, dan beliau tidak lagi berminat dengan Anwar untuk menjadi PM berikutnya.

Pada 31 Januari 2020, saya dan Muhyiddin menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina di Grisek, kawasan Pagoh. Selepas itu, saya mengunjungi Muhyiddin di rumahnya untuk berbual panjang pada 5 Februari 2020.

Seperti biasa, beliau peramah dengan saya. Tetapi, saya dapat mengesan terdapat sesuatu perubahan dalam pandangannya. Bagi beliau, jika tiada perubahan dalam Pakatan, maka Bersatu akan kalah teruk untuk pilihan raya akan datang. Saya memberi hujah untuk menyanggah pendapat beliau, mengatakan Bersatu akan dimamah hidup-hidup oleh UMNO dan PAS dalam gabungan penyatuan Melayu. Malah, rakan terbaik Bersatu ialah DAP kerana pertindihan kawasan adalah minima.

Pada hari itu saya pulang dengan suatu perasaan bahawa sesuatu yang aneh telah berlaku, sesuatu telah berubah dalam dirinya tetapi saya percaya beliau masih mempertimbangkan pilihannya.

Saya berpandangan bahawa dalam sosok tubuh itu masih wujud Muhyiddin yang terhormat, individu yang selalu melihat gambaran yang lebih besar dan bersedia untuk beralah dengan Dr Mahathir seperti pada tahun 2017. Saya telah berharap agar Muhyiddin yang berulang kali berfikir untuk berhenti itu tidak tergoda oleh kedudukan duniawi tetapi akan memikirkan legasinya.

Namun, beliau hanyalah manusia. Mungkin, godaan tersebut terlalu hebat sehingga beliau tidak dapat menahannya. Boleh jadi, kekecewaan beliau terhadap Dr. Mahathir, dorongan daripada trio Azmin, Hishammuddin dan Hamzah, dan cita-citanya sendiri untuk menjadi PM akhirnya membuat beliau cenderung ke arah kudeta politik Sheraton pada 23 Februari 2020.

Saya sedih apabila sahabat lama saya yang berusia, Tan Sri Muhyiddin memilih jalan ini. Sikap baiknya ketika perlawanan epik menentang Najib sang kleptokrasi telah memberi laluan kepada gambaran perebutan kuasa tanpa keabsahan. Mungkin Dr. Jekyll telah bertukar menjadi Mr Hyde.

Terdapat beberapa pemimpin dan penyokong gabungan rapuh Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin sekarang kembali dengan taktik jahat lama mereka dengan memomok DAP dalam usaha mereka membakar kebencian antara kaum.

Saya ingin berpesan kepada sahabat lama saya yang berusia ini, Tan Sri Muhyiddin. Saya ahli DAP. Dalam empat tahun, dari tahun 2016 hingga 2020, setiap kali anda meminta pertolongan daripada DAP, kami tidak pernah mengecewakan anda, kami lakukan semua perkara semana mungkin untuk membantu anda. Dengan memainkan sandiwara anti-DAP sebagai justifikasi kewujudan gabungan Perikatan Nasional, ini hanyalah menunjukkan hipokrasi.

Covid-19: Lebih 304,619 nyawa telah terkorban


Petugas kesihatan mengambil sampel daripada penduduk untuk ujian saringan Covid-19, di Wuhan, lokasi pertama virus itu muncul. Wuhan pada masa ini menjalankan ujian kepada semua 11 juta penduduknya. – Gambar AFP, 16 Mei, 2020.

KORONAVIRUS meragut sekurang-kurangnya 304,619 nyawa sejak wabak itu muncul kali pertama di China pada Disember lalu.

Sekurang-kurangnya 4,491,730 kes jangkitan dilaporkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah itu, 1,571,100 dianggap pulih.

Jumlah itu daripada data pihak berkuasa dan maklumat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mungkin hanya sebahagian saja daripada jumlah sebenar jangkitan.

Kebanyakan negara hanya menguji kes paling serius.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 4,981 kematian dan 96,039 kes baharu dilaporkan, dengan kebanyakan kematian dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) iaitu 1,759, Brazil 844 dan Britain 384.

AS juga merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 86,744 daripada 1,429,990 kes. Sekurang-kurangnya 246,414 kes pulih dilaporkan.

Britain melaporkan kematian kedua tertinggi iaitu 33,998 daripada 236,711 kes. Diikuti Itali 31,610 kematian dan 223,885 kes, Perancis 27,529 maut dan 178,870 kes, sementara Sepanyol 27,459 maut dan 230,183 kes jangkitan.

Negara paling tinggi jumlah kematian berbanding populasinya ialah Belgium dengan 77 maut bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Sepanyol 59, Itali 52, Britain 50 dan Perancis 42.

China – tidak termasuk Hong Kong dan Macau – setakat ini merekodkan 4,633 kematian dan 82,933 kes, dengan 78,209 pesakit pulih.

Eropah mencatatkan 164,137 kematian daripada 1,848,598 kes, AS dan Kanada 92,386 kematian dan 1,504,523 kes, Amerika Latin dan Caribbean 25,690 kematian dan 454,107 kes, Asia 11,696 kematian dan 336,428 kes, Timur Tengah 7,983 kematian dan 262,778 kes, Afrika 2,601 kematian daripada 76,941 kes dan Oceania 126 kematian daripada 8,363 kes. – AFP, 16 Mei, 2020.

Serang bantuan oleh Ebit Lew: Netizen serbu FB Nik Amar


Ya Allah tuhanku di celahan bandar ini ujian buat pakcik makcik di Kg Tapang Kota Bharu dah tak boleh bergerak sangat, serta anak dan cucu, tulis Ebit Lew.

MALAYSIA DATELINE

Para netizen menyerbu facebook Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar, apabila beliau berkata, “Kebaikan yang tidak berakal” selepas kecoh lawatan pendakwah Ebit Lew menziarahi orang susah di kawasan Dun beliau, Panchor.

Posting Nik Amar yang diserbu oleh para netizen.

Dalam posting di facebooknya pada 14 Mei, Adun Panchor itu menulis “Kebaikan yang tidak berakal akan mencetuskan fitnah yang berangkai.”

Ekoran itu, lebih 9,700 komen dibuat oleh para netizen pada posting beliau itu yang kebanyakannya mengutuk kenyataan beliau itu.

Posting beliau selepas itu berbunyi “Penduduk Kota Mekah lebih tahu liku-liku denainya” turut mendapat komen yang banyak dari pembaca iaitu lebih 4,400 komen yang kebanyakannya juga memarahi posting beliau itu.

Semalam Ebit Lew memuat naik cerita sedih beliau ketika menziarahi sebuah keluarga di Kampung Tapang, Kota Bharu yang terketak di dalam kawasan Dun Pancor yang diwakili Nik Amar.

“Ya Allah tuhanku di celahan bandar ini ujian buat pakcik makcik di Kg Tapang Kota Bharu dah tak boleh bergerak sangat, serta anak dan cucu.

“Rumah hampir roboh. Bilik air tak rupa bilik air dah roboh. Tumpang tanah orang. 20 tahun duduk sini. Makcik mengengsot ke bilik air. Langsung tak boleh berjalan. Dua-dua uzur sakit. Masing-masing kerja susah. Abang ni dapat duit bantuan JKM RM400 dan persatuan tentera RM300,” tulis Ebit dalam facebook beliau.

Ebit Liew membawa pindah keluarga ini ke rumah baru yang disewakan oleh beliau untuk keluarga ini.

Beliau kemudiannya mencari rumah baru untuk keluarga itu dan memindahkan mereka ke sana dengan urusan sewa rumah itu dibayar oleh beliau hasil sumbangan orang ramai kepadanya.

Pada petang itu juga, keluarga berkenaan telah dipindahkan ke rumah baru itu.

Inilah dikatakan punca Nik Amar ‘mengamuk’ dalam facebook termasuk marah-marah kepada apa yang dibuat oleh Ebit Lew itu termasuk dengan sindiran “Penduduk Kota Mekah lebih tahu liku-liku denainya”.

“Saya cukup terkejut dan sedih posting Datuk Nik Amar KEBAIKAN YANG TIDAK BERAKAL begitu teruk di hentam natizen,” tulis seorang seorang faceboker dalam facebook beliau.

Antara komen-komen yang dikemukakan oleh netizen adalah “Kami mahu Ustaz Ebit Lew sebagai MB Kelantan Darul Naim.” Ia ditulis oleh Kovin Shawn Gomez.

Iqram Mazian pula menulis “Malulah sikit, orang tu buat baik, anda ni pula ajak orang ramai kutuk orang buat baik, berakal sangat ke? Tak datangkah fitnah.”

Zafran Ali pula menulis, “Kita lambatkan pembangunan…biar padan muka rakyat… Jamban pun tak ada.”

Najmuddin Yusof menulis mengaitkan pembelian kereta Mercedes Benz untuk Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang disahkan oleh Nik Amar sebelum ini, “Kejahatan berakal akan membuatkan berbutir-butir Mercedes.”

Penyokong Azmin yang bukan Melayu disusun sertai Gerakan

MALAYSIA DATELINE

Para penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bukan Melayu disusun agar menyertai Gerakan tidak lama lagi selepas parti itu akan mengisytiharkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber, ia sememangnya perancangan Azmin bagi membolehkan Ahli Parlimen dan penyokong bukan Melayu beliau boleh meninggalkan PKR selepas yang Melayu menyertai Bersatu.

“Yang Melayu sertai Bersatu, manakala yang bukan Melayu kita akan cari jalannya. Gerakan adalah sasaran kita. Tunggulah masanya nanti,” kata seorang Ahli Parlimen PKR yang kini bersama Azmin menyertai Bersatu kepada Malaysia Dateline.

Hari ini, Presiden Gerakan, Dominic Lau dijadualkan akan mengadakan satu sidang media khas.

Dalam sidang media ini, Gerakan dijangka akan membuat pengumuman sokongan parti itu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas sokongan ini dibuat, beberapa Ahli Parlimen PKR yang bukan Melayu dijadualkan akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Gerakan.

Sebelum PRU 14, Gerakan adalah anggota komponen Barisan Nasional (BN).

Namun selepas kalah semua kerusi yang ditandinginya dalam PRU itu, Gerakan bertindak keluar dari BN.

SPRM tolong siasat yang ini ya!


Derma RM1 juta pemaju pada NGO pro Zuraida dipersoal
Isu sumbangan RM1 juta oleh pemaju - yang disenarai hitam sehingga minggu lepas - kepada sebuah NGO yang dinaungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kini menimbulkan persoalan.

Zuraida memuat naik hantaran mengenai sumbangan daripada pemaju berkenaan kepada NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) di akaun Instagram beliau pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, hantaran yang menunjukkan Zuraida menerima replika cek berkenaan telah pun dipadam.

Setakat berita ini ditulis, sama ada Zuraida mahupun pemaju berkenaan masih tidak memberikan maklumbalas kepada Malaysiakini apabila diminta memberikan komen.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama pemaju berkenaan.

Dalam hantaran Instagram yang telah dipadam, Zuraida berkata sumbangan itu dibuat pada 9 Mei kepada PKN untuk tujuan kebajikan, dan bantuan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semakan ke atas laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Selasa lalu, menunjukkan setakat 8 Mei, pemaju berkenaan masih disenarai hitam kerana gagal membayar kompaun.

Bagaimanapun, semakan hari ini mendapatinya dokumen berkenaan telah dikemaskini "pada 15 Mei", di mana syarikat itu tidak lagi berada dalam senarai hitam.

Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dalam satu kenyataan berkata perkara itu membangkitkan isu mengenai konflik kepentingan.

Ini kerana beliau berkata PKN merupakan sebuah NGO yang telah berkempen untuk bekas pemimpin PKR yang kini bersama Perikatan Nasional.

"Sekiranya gambar tersebut benar, kedudukan YB Zuraida sebagai Menteri KPKT menimbulkan persoalan mengenai kepentingan peribadi (conflict of interest) apabila NGO yang mengangkat gerak kerja politik beliau dan kumpulannya menerima sumbangan jutaan ringgit daripada syarikat pemaju hartanah," katanya.

Justeru Akmal yang juga ketua pemuda PKR menggesa Zuraida memberikan penjelasan dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

Mana jantan, Muhyiddin atau Mukhriz

MINDA KANUN

Berita mengenai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohd Ariff Yusof yang telah menerima usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin benar-benar menggemparkan dan memeranjatkan ramai pihak sama ada di pihak pembangkang mahu pun di pihak kerajaan.

Pihak kerajaan menjangka bahawa Speaker tidak akan membenarkan usul sedemikian dibentangkan. Pihak pembangkang pula tidak menduga bahawa Speaker begitu berani untuk membenarkan usul undi tidak percaya itu dibentangkan tatkala ramai pihak kini telah menukar kem politik masing-masing untuk menjaga periuk nasi mereka.

Speaker ini tidak memilih untuk bermain politik murahan walaupun menyedari bahawa Muhyidin kini adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia.

Ucapan tahniah sepatutnya diberikan kepada Speaker yang telah menjalankan tugasnya menurut keluhuran undang-undang dan peraturan mesyuarat yang ditetapkan. Speaker ini tidak memilih untuk bermain politik murahan walaupun menyedari bahawa Muhyidin kini adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia. Boleh sahaja beliau menolak usul undi tidak percaya itu. Tetapi beliau lebih selesa memilih untuk mendaulatkan undang-undang daripada membodek seorang bos.

LAKARAN KARTUNIS ZUNAR TENTANG STATUS PARLIMEN SEKARANG

Sebelum ini pun beliau pernah menolak permintaan Mahathir untuk memanggil sidang khas parlimen sewaktu Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri Interim. Maka, tentu ramai yang tidak menyangka Speaker boleh menerima usul undi tidak percaya Tun Mahathir ini yang tidak mempunyai apa-apa kuasa sekarang.

Sebaik sahaja Speaker mengumumkan bahawa beliau membenarkan usul undi tidak percaya ini lantas tidak semena-mena Datuk Takiyuddin Hasan, Menteri yang bertanggungjawab menyatakan bahawa kerajaan akan membawa tiga usul pada tarikh persidangan pada 18 Mei 2020. Padahal sebelum itu hal ini tidak pernah disebut atau dibangkitkan. Ini menunjukkan betapa pihak kerajaan begitu gentar dengan tindakan yang dibuat oleh Tun Mahathir ini.

Begitu juga, apabila Speaker menerima usul Datuk V.K Liew untuk memanjangkan tempoh persidangan Parlimen dari satu hari kepada lapan hari ianya begitu menggusarkan Muhyiddin sehingga beliau terpaksa menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis untuk memaksa Speaker untuk menamatkan sidang Parlimen sebaik sahaja titah YDPA tamat.

Alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19. Tentu sekali alasan ini sangat remeh memandangkan orang ramai pun sekarang agak bebas untuk berkunjung ke pasaraya. Adakah pasaraya lebih selamat daripada Parlimen?

Pastinya kanak-kanak tadika pun tahu Parlimen lebih selamat dan lebih bebas daripada wabak COVID-19.

Justeru, apakah rasionalnya Parlimen bersidang untuk tempoh yang begitu pendek, tidak sampai pun ke tengahari melainkan semata-mata untuk memastikan jangka hayat jawatan Perdana Menteri itu dapat dipanjangkan.

Apakah tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah satu kerajaan yang tidak stabil dan berada di hujung tanduk? Hanya masa yang akan menentukan hal tersebut. Tetapi sikap yang ditunjukkan oleh PN ini menunjukkan bahawa PN ini sering berasa tidak selamat.

Mereka sedar bahawa kerajaan PN ini bukanlah kerajaan yang mendapat mandat rakyat tetapi ianya adalah hasil daripada pengkhianatan beberapa wakil rakyat terhadap perjuangan parti masing-masing.

Parlimen adalah salah satu daripada institusi penting dalam sesebuah kerajaan. Dalam doktrin pengasingan kuasa, Parlimen sebagai badan legislatif hendaklah bebas daripada pengaruh badan eksekutif dan kehakiman. Parlimen tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya kedua-dua badan itu mencampuri urusan pihak legislatif.

Anehnya, ada suara sumbang yang menyatakan bahawa adalah tidak wajar untuk berpolitik semasa wabak COVID-19 ini belum berakhir termasuk tidak wajar bagi Mahathir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya. Ini hujah yang karut kerana Parlimen adalah tempat rasmi untuk ahli-ahli Parlimen bersuara. Malah, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan pun menyebut secara langsung mengenai peranan usul undi tidak percaya ini dalam menentukan kedudukan seseorang Perdana Menteri.

Soalnya sekarang, adakah Muhyidin berasa beliau boleh selamat daripada usul undi tidak percaya ini. Kita lihat Muhyidin begitu gentar dengan usul undi tidak percaya ini semenjak mula-mula beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8. Pelbagai helah dan dalih dilakukannya untuk mengelakkan Parlimen daripada bersidang.

Sebelum ini sepatutnya sesi persidangan Parlimen yang dijadualkan pada bulan Mac telah pun ditangguhkan ke 18 Mei ini. Kali ini Muhyiddin tidak mampu lagi untuk menangguhkan sidang Parlimen kerana Parlimen akan terbubar dengan sendirinya sekiranya luput tempoh masa 6 bulan dari tarikh terakhir sidang itu dibuat. Untuk rekod sekiranya tiada sidang dibuat sehingga 4 Jun 2020 maka Parlimen akan terbubar secara automatik.

Namun, walau apa pun yang dibuat oleh Muhyidin untuk mengelakkan Parlimen daripada bersidang beliau tetap tidak mungkin selama-lamanya melarikan diri. Ini kerana pasti banyak rang undang-undang perlu dikemukakan untuk dilluluskan termasuklah rang undang-undang perbekalan yang menyentuh mengenai pakej rangsangan COVID-19.

Mungkin kali ini Muhyidin terselamat daripada usul undi tidak percaya tetapi beliau tetap tidak boleh melarikan diri daripada isu itu. Pastinya makin lama ditangguhkan sidang parlimen makin terserlah ketakutan Muhyidin untuk menghadapi usul undi tidak percaya ini.

Sikap Muhyidin ini jauh sekali berbeza dengan sikap yang diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencabar ketua pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya dalam sidang Dun Negeri Kedah.

Sekarang anda lihatlah siapa yang dayus dan siapa yang lebih jantan? Fikir-fikirkanlah!

Kisah Muhyiddin Yassin yang menghairankan (Bahagian I)

LIEW CHIN TONG
Pertemuan pertama

Dalam pesanan teks yang dikirimkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada saya dalam empat tahun kebelakangan ini, dia akan selalu mengantarnya dengan “Bro”. Oleh sebab saya lebih muda daripada beberapa anak-anaknya, saya pula selalu memanggil beliau dengan panggilan hormat “Tan Sri.”

Pengamatan peribadi saya terhadap lelaki yang lemah lembut ini mengingatkan saya kepada kisah Dr Jekyll dan Mr Hyde. Kisah ini cukup aneh tetapi mungkin itu adalah fitrah manusia ketika seseorang itu menghadapi godaan kuasa.

Kali pertama kami bertemu adalah pada 11 April 2016. Saya dan Anthony Loke, mewakili DAP, berbual lama dengan beliau selama dua jam lebih.

Muhyiddin, yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai 2015 kerana mempersoalkan penglibatan Najib Razak dengan skandal 1MDB, ketika itu dipantau dan diekori oleh Cawangan Khas. Bagi mengelakkan diri daripada menarik perhatian, pegawainya telah menyewa sebuah bilik hotel di Petaling Jaya. Saya dan Anthony masuk terlebih dahulu diikuti oleh Muhyiddin 10 minit kemudian. Apabila perjumpaan berakhir, beliau pergi dahulu. Kami pergi 10 minit kemudian.

Pada 25 Julai 2016, Muhyiddin bertemu dengan Kit Siang, juga di sebuah hotel, di Kuala Lumpur. Saya dan Anthony turut serta. Kami melalui proses yang sama. Kami masuk dulu, kemudian Muhyiddin masuk.

Hari ini, saya sangat berharap Muhyiddin tidak akan menggunakan Cawangan Khas untuk memantau pemimpin Pakatan Harapan sepertimana beliau sendiri menjadi mangsa ketika beliau tidak berada di tampuk kuasa.

Sebagai konteks, pertama sekali, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir telah dipecat daripada UMNO pada 24 Jun 2016. Kedua, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan dua pertemuan strategi yang melibatkan semua pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin masyarakat sivil pada 28 Jun 2016 dan 14 Julai 2016 untuk membuka jalan kepada penubuhan parti baharu.

Dalam pertemuan dengan Kit Siang itu , Muhyiddin memberitahu bahawa parti baharunya akan bertanding untuk 15 kerusi parlimen, sebaliknya dalam komunikasi kami dengan pihak Dr Mahathir, kami diberitahu Tun sedang berusaha untuk bertanding 40 kerusi.

Selepas pertemuan itu, Kit Siang berpandanganbahawa angka Dr Mahathir lebih realistik (akhirnya Bersatu bertanding 51 kerusi) kerana seseorang tidak sepatutnya membentuk parti nasional hanya untuk bertanding 15 kerusi.

Muhyiddin kurang bercita-cita tinggi pada masa itu kerana dia berpendapat partinya masih perlu bekerjasama dengan PAS, sedangkan Dr Mahathir telah menolak parti Islamis yang beliau anggap tidak lain hanyalah rakan subahat Najib.

Ketika pertemuan itu, Muhyiddin juga meminta Kit Siang untuk membantu parti baharunya untuk memerangi Najib bersama-sama, dan veteran DAP itu berjanji akan menyokong beliau sepenuhnya.

Pada 13 Disember 2016, Muhyiddin mengetuai kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ataupun Bersatu yang baharu ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Pakatan Harapan.

Usaha ini adalah percubaan rasmi pertama untuk menyelaraskan Bersatu dengan Pakatan walaupun ketika itu Muhyiddin masih memikirkan untuk membentuk “Barisan Rakyat” sebagai platform baharu untuk bekerjasama dengan PAS dan parti-parti Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Mahathir sudah menjelaskan pendiriannya lebih awal lagi. Pada 12 November 2016, dalam ucapannya kepada Konvensyen Pakatan Harapan, mantan Perdana Menteri itu sudah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai Pakatan. Mahathir telah pun mendahului masa, manakala, Muhyiddin dan Mukhriz akhirnya menolak PAS hanya pada Februari 2017.

Siapa bakal PM

Selepas upacara MOU itu, di sebuah bilik persendirian di Ibu Pejabat PKR, seorang pemimpin NGO penting secara terbuka mengatakan di hadapan Muhyiddin dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail bahawa Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya individu itu mencadangkan Muhyiddin sebagai PM dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai timbalannya. Mesyuarat itu tidak berakhir dengan baik.

Individu daripada NGO tersebut adalah orang sama yang menemui saya untuk makan tengah hari pada bulan April 2015 untuk meyakinkan saya bahawa Azmin harus menjadi calon PM Pakatan. Perkara ini berlaku hanya dua bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 10 Februari 2015.

Pada 9 dan 10 Januari 2017, akhbar Sinchew menerbitkan wawancara eksklusif dua bahagian dengan Muhyiddin. Penerbitan wawancara tersebut jelas membawa agenda untuk menyemai rasa sangsi dalam kalangan pengundi Cina terhadap pemimpin Bersatu. Sinchew memaparkan keraguan Muhyiddin mengenai pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC), secara langsung menanam perasan tidak puas hati terhadap beliau dalam kalangan rakan-rakan Cinanya.

Saya dan Muhyiddin terus berhubung. Beliau menjemput saya untuk sarapan pagi di sebuah restoran kegemarannya berdekatan dengan rumahnya pada 24 Januari 2017. Pertemuan ini merupakan kali pertama saya bersemuka dengan beliau secara perseorangan.

Kami berbual selama tiga jam. Muhyiddin memberitahu saya bahawa beliau mahu memahami DAP dengan lebih mendalam, “memandangkan kita sekarang perlu bekerjasama”. Salah satu topik yang tidak dapat dielakkan adalah berkenaan jawatan perdana menteri

Atas permintaan Muhyiddin, Kit Siang berjumpa dengan beliau pada 7 Februari 2017. Muhyiddin meminta sokongan DAP supaya menyokong pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri. Kit Siang menjelaskan kepada beliau bahawa perkara ini perlu dibincangkan dengan Anwar kerana pendirian DAP pada masa itu adalah untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Beberapa bulan selepas itu, idea pasukan kepimpinan Muhyiddin – Azmin masih dicanangkan selepas Pakatan menerima Bersatu sebagai komponen parti secara rasmi. Mesyuarat pertama Majlis Presiden dengan kehadiran pemimpin Bersatu telah diadakan pada 27 Mac 2017 di tingkat 14, parlimen Malaysia.

Pada April 2017, idea untuk memilih Mahathir sebagai perdana menteri telah dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat persendirian. Namun, meletakkan Mahathir semula sebagai Perdana Menteri adalah idea yang masih sukar diterima orang dalam sekeliling Anwar. Walaupun kem Muhyiddin menentang idea tersebut pada awalnya, tetapi populariti Mahathir sebagai PM kian meningkat diperingkat akar umbi.

Tidak lama selepas itu, Muhyiddin bagi pihak Bersatu menyokong Mahathir sebagai calon PM. Saya menghormati beliau kerana dapat melihat gambaran luas dan mengenepikan cita-cita peribadi beliau. Tindakan beliau yang cukup dihormati.

Pakatan mengambil masa beberapa bulan untuk memutuskan Mahathir sebagai pengerusi. Rundingan tersebut hampir gagal, tetapi diselamatkan oleh Nurul Izzah Anwar yang bertemu dengan keluarga Mahathir di London semasa Hari Raya.

Pada jam 12.30 malam, 14 Julai 2017, Pakatan menamakan Mahathir sebagai pengerusi, Anwar sebagai Ketua Umum dan Wan Azizah sebagai Presiden.

Fraksi Azmin keluar, bimbang kerana persetujuan yang telah dicapai untuk memilih kerjasama Mahatihr – Anwar akan menagguhkan perancangan Azmin untuk menjadi PM. Tetapi, Muhyiddin menyokong keputusan tersebut tanpa memperdulikan ‘amukan’ Azmin.

Isu tersebut tidak selesai di sini. Kegelisahan Azmin kekal berterusan. Azmin terus mendokong kombinasi Muhyiddin-Azmin sebagai PM-TPM, tetap Muhyiddin tidak terlibat dengan percaturan ini.

Terdapat pertengkaran hangat antara ahli-ahli Pakatan Harapan yang lain dengan Azmin dan sekutunya di pemukiman Pakatan pada 1 hingga 2 Disember 2017, di Putrajaya. Dalam kalangan empat parti (Amanah, Bersatu, DAP dan PKR), tiga setengah parti bersetuju mengumumkan Dr. Mahathir sebagai PMi ke-7 dan Anwar sebagai PM ke-8, dengan tentangan kuat daripada fraksi Azmin.

Perunding daripada setiap parti berlumba dengan masa untuk menyelesaikan rundingan pada 6 Januari 2018 bagi mengumumkan pencalonan Mahathir dan Anwar Ibrahim, dan pencalonan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri, di konvensyen Pakatan pada 7 Januari 2018.

Sekali lagi, Muhyiddin membuktikan bahawa dia seorang yang budiman dengan menyokong persetujuan tersebut meskipun Azmin dan sekutunya meneruskan bantahan keputusan konvensyen.

Selain pencalonan untuk jawatan tertinggi, rundingan untuk kerusi Parlimen di kawasan Semenanjung Malaysia turut diumumkan di konvensyen tersebut. Perundingan ini merupakan pencapaian kali pertama dalam sejarah.

Percaturan Johor

Muhyiddin, Salahuddin Ayub (Amanah), Nurul Izzah (PKR), Anthony Loke (DAP), dan pemimpin Pakatan Harapan Johor telah berjaya menyelesaikan rundingan kerusi Johor pada 18 Januari 2018, negeri pertama yang berjaya melakukannya.

Muhyiddin meminta saya dan Anthony untuk mendapatkan persetujuan DAP untuk kekal bertanding di 14 kerusi demi kepentingan gabungan parti, dan kami pun bersetuju dengan permintaan tersebut. Pada asalnya, DAP mahu bertanding di 16 kerusi negeri; Johor pada ketika itu masih merupakan kubu kuat BN. Sejak itu, Johor merupakan negeri barisan hadapan yang akan memenangkan Pakatan di peringkat nasional; Pakatan telah memenangi 18 kerusi parlimen (lebih tiga kali ganda berbanding 5 kerusi pada 2013) dan 36 kerusi negeri (dua kali ganda berbanding 18 kerusi pada pilihan raya 2013).

Sebagai pengerusi DAP Johor, saya bekerja rapat dengan Muhyiddin. Beliau memutuskan untuk kekal bertanding di Pagoh dan tidak berpindah ke ‘kerusi yang lebih selamat’, satu anjakan keyakinan untuk penyokong Pakatan Harapan. Pada PRU14, pilihan kerusi Muhyiddin, Mukhirz dan Tun Mahathir memberi satu isyarat kuat buat semua pengundi bahawa mereka sedang berjuang berhabis-habisan.

Setelah melihat perangkaan, saya dan pegawai Muhyuddin yakin akan kemenangan Muhyuddin di Pagoh. Kawasan parlimen Pagoh mempunyai 64 peratus pengundi Melayu dan 36 peratus pengundi kaum lain. Saya memilih untuk bertanding di kerusi yang penuh cabaran, Ayer Hitam, untuk menekankan bahawa perjuangan ini soal “hidup atau mati”. Kami yakin Muhyiddin akan menang dengan skonongan pengundi bukan Melayu dan 40 peratus pengundi Melayu. Akhirnya, beliau memperoleh 55.21 peratus undi, kemenangan bergaya buat Pakatan Harapan di kawasan separuh bandar.

Pada malam pilihan raya, saya bergerak dari Yong Peng di Johor ke Sheraton Hotel, Petaling Jaya, dan tiba pada tengah malam. Muhyiddin menenangkan saya atas kekalahan di Ayer Hitam. Pada malam yang penuh bersejarah, saya dapat rasakan keikhlasan yang disampaikan beliau.

'Dr M suruh tepuk dada, pilih selera' kepada Adun

N Faizal Ghazali

Selepas kira-kira sejam bertemu Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, anggota Dewan Undangan Negeri (AdKuahun) Kuah Mohd Firdaus Ahmad menjelaskan menerima pelbagai pandangan dan nasihat daripada pertemuan itu.

Bagaimanapun katanya, paling ditekankan oleh bekas perdana menteri itu adalah supaya beliau meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

"Pertemuan saya dengan Tun berlangsung selama sejam, dan apa yang penting beliau sampaikan amanat supaya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan Dr Mahathir berkenaan keputusan sama ada beliau akan menyokong PN Kedah, Mohd Firdaus berkata, Dr Mahathir berpesan supaya 'tepuk dada, pilih selera'.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Mohd Firdaus ‘mengadap’ Dr Mahathir petang tadi, dua hari selepas mengaku menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baru.

Malah beliau berkata, belum menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD), walaupun PAS semalam mendakwa 23 SD sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

PAS Kedah mendakwa mempunyai sokongan 23 Adun, termasuk dua Adun PKR yang keluar parti dan empat Adun Bersatu yang mendukung kepimpinan Presiden parti Muhyiddin Yassin.

Firdaus pada Selasa memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan tiga lagi Adun Bersatu menyokong pembentukan kerajaan baru selepas PH dikatakan hilang majoriti kerana “mengikut arus dan arahan daripada parti”.

Sebelum ini, dua lagi Adun Bersatu - Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan, Juhari Bulat (Ayer Hangat) mengaku menyokong PN.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat terletak dalam kerusi parlimen Langkawi yang dimenangi Mahathir.

Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) turut dikaitkan dengan peralihan sokongan itu tetapi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkannya.

Sekiranya mendapat sokongan penuh keempat-empat Adun Bersatu itu, PN Kedah mempunyai kekuatan dengan 23 kerusi berbanding PH hanya mempunyai 13 kerusi.

Sementara itu ditanya apakah keputusannya selepas pertemuan dengan Dr Mahathir, Mohd Firdaus memberi gambaran beliau akan meneruskan sokongan kepada PN.

"Tun juga pesan supaya berjuang untuk parti, dan bukan untuk diri sendiri

"Saya pilih selera. Insya-Allah kalau itu yang menyelerakan," katanya ketika ditanya sama ada akan menandatangani SD tersebut atau tidak.

‘Kerajaan tebuk atap asyik toleh ke belakang takut ditikam Si Kitol’

ARIF ATAN
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada dalam fasa saling mencurigai susulan tiadanya persidangan Dewan Rakyat selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Mei ini.

Ahli Parlimen Shah Alam tersebut berkata, kemampuan kerajaan PN yang digelar ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ itu untuk berfungsi menimbulkan persoalan.

“Inilah nasib kerajaan tangkap muat. Terdiri dari pengkhianat dan penyamun. Dah disogok pun tidak boleh percaya.

“Bagaimana kerajaan pintu belakang, tebuk atap, tangkap muat boleh berfungsi? Asyik menoleh ke belakang takut ditikam Si Kitol. Ramai pula Si Kitol bersama sekapal,” bidasnya dalam Twitter hari ini.

Si Kitol ialah pembelot yang disebut dalam naskhah klasik Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang mengkhianati Kesultanan Melayu Melaka sehingga jatuh ke tangan Portugis.

Mengulas lanjut, Khalid berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak boleh dipercayai.

“Walaupun telah disogok jawatan Kabinet, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau Duta bertaraf Menteri ke sana, ke sini.

“Tetap tidak boleh percaya! Pengkhianat sekapal. Saling mengenali,” tambah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Mahkamah lepas Riza Aziz dengan syarat pulangkan jutaan ringgit

Keputusan mahkamah hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) penerbit filem Hollywood Riza Aziz bergantung kepada pematuhannya terhadap persetujuan yang dicapai bersama pendakwaan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan degan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, sekiranya Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Hal ini dimaklumkan pada salinan kenyataan yang dibacakan oleh Ketua DPP Gopal Sri Ram ketika beliau memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini mengenai persetujuan dicapai antara tertuduh dan pihak pendakwaan.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dibacakan di mahkamah oleh Sri Ram, yang mengesahkannya ketika dihubungi oleh Malaysiakini selepas prosiding hari ini.

"Sejak pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, dia telah mengemukakan beberapa representasi menerusi peguam belanya kepada pihak-pihak relevan. Representasi berkenaan telah dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkenaan dan keputusan telah dibuat seperti berikut.

“Satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini. Tertuduh sepanjang proses ini telah menerima representasi perundangan yang mencukupi dan kompeten.

"Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnya memohon Mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh.

"Sekiranya terdapat pelaksanaan yang memuaskan bagi memenuhi perjanjian ini, maka langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang."

Periksa bukti dengan teliti

Dalam satu kenyataan, firma guaman yang mewakili Riza berkata: “Kami selama ini menyatakan bahawa Riza tidak bersalah. Kami sangat berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM kerana memeriksa bukti tersebut dengan teliti.

"Riza dengan senang hati memenuhi kewajipannya kepada pihak berkuasa dan berharap dapat melanjutkan babak seterusnya di dalam hidupnya."

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, anak tiri Najib Razak yang juga pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram.

Dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 menerusi transaksi daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Switzerland ke akaun nombor 123248291 City National Bank, Los Angeles, milik Red Granite Productions Inc.

Wang itu didakwa diseleweng daripada dana 1MDB antara 12 April dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California.

Bagi pertuduhan kedua, Riza dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun sama pada 10 Sept 2012, dan 10 Okt 2012, di premis sama.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan AS$133 juta dan AS$60 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun nombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited, di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun nombor 6C02250A di BSI Bank Limited, Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012, dan 23 Okt 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Riza, anak Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

MUHYIDDIN TAKUT, SAH TIADA SOKONGAN MAJORITI?

Shahbudin Husin
Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan Sidang Parlimen pada 18 Mei ini hanya untuk istiadat pembukaan dan Titah Diraja oleh Yang Dipertuan Agong saja.

Tiada sama sekali sidang Parlimen selepas Titah Diraja selesai dilangsungkan.

Sebelum ini, selepas Titah Diraja, Parlimen dijadualkan akan bersidang selama sehari yang antara lain untuk pembentangan rang undang-undang dan menyelesaikan usul-usul kerajaan.

Tetapi, minggu lalu Mohamad Ariff turut menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad.

Turut diterima ialah usul daripada Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi yang memohon Sidang Parlimen selama sehari itu dilanjutkan kepada lapan hari.

Mohamad Ariff memaklumkan perubahan terbaru ini selepas menerima surat daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat yang menegaskan Sidang Parlimen 18 Mei ini dipendekkan berikutan ancaman wabak Covid-19 masih lagi belum reda.

Sebenarnya apakah sebab Muhyiddin berbuat demikian, sedangkan baru semalam beliau mendapat jaminan sokongan secara en-bloc daripada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi?

Adakah beliau tidak percaya dengan sokongan 43 Ahli Parlimen BN sebagaimana diumumkan Zahid Hamidi itu?

Atau benarkah ancaman Covid-19 masih lagi berbahaya?

Jawapan yang tepat tidak lain ialah kerana Muhyiddin masih belum mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk berlawan dengan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Tun Mahathir terhadapnya.

Jika sudah ada sokongan yang cukup, tidak ada sebab beliau perlu membatalkan sessi Parlimen di saat-saat akhir, sebaliknya hanya membenarkan acara pembukaan dan Titah Diraja saja.

Ini bermakna Sidang Parlimen seterusnya ialah pada bulan Julai dan bererti usul tidak percaya terhadapnya juga dapat ditangguhkan selama dua bulan lagi.

Dalam tempoh dua bulan ini, pasti saja macam-macam usaha boleh dilakukan oleh Muhyiddin untuk mencukupkan sokongan kepadanya.

Dalam erti kata lain, Muhyiddin sebetulnya takut kehilangan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Walaupun tidak boleh ke mana-mana, tidak boleh ke saja ke sini dan tiada rumah terbuka akan diadakannya, setidak-tidaknya Muhyiddin mahu juga merasai nikmat menyambut Hari Raya sebagai seorang Perdana Menteri.

Sebaliknya, kalau Sidang Parlimen diteruskan pada 18 Mei nanti dan beliau kalah dalam usul undi percaya itu, Hari Raya tahun ini tentu akan disambutnya dengan muram sebagai seorang yang baru kalah dalam perang. (ShahbudinHusin 13/05/2020)

Apa punya lawak ni, dewan rakyat tidak bersidang hanya titah diraja sahaja

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Kerajaan meminda urusan majlis mesyuarat Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama sehari pada 18 Mei, menetapkan tiada sidang selepas titah diraja istiadat pembukaan penggal Parlimen oleh Agong pada 10 pagi hari itu.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau menerima surat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, memaklumkan keputusan itu disebabkan penularan wabak Covid-19 “masih belum reda sepenuhnya”.

“Pindaan ini selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ariff berkata setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan notis baru kepada semua ahli Dewan Rakyat.

Mukhriz 2 kali kecundang, 4 kali ditinggalkan

FMT
KUALA LUMPUR:
Kejatuhan Mukhriz Mahathir yang pasti akan berlaku tidak lama lagi susulan pembelotan semalam digambarkan sebagai “penghinaan politik yang terakhir” bagi anak kepada bekas perdana menteri itu.

Ahli parti teringat, ramai secara gurauan dalam perbualan yang dilihat FMT, bagaimana menteri besar Kedah itu memberi nasihat tentang kemahiran untuk bertahan kepada pimpinan PPBM Johor susulan perubahan politik di negeri selatan itu selepas tumbangnya Pakatan Harapan.

“Ada apa-apa boleh saya perjelaskan mengenai keadaan politik semasa?” kata Mukhriz kepada pemimpin PPBM Johor 2 minggu lepas.

“Kalau boleh saya terangkan bagaimana PPBM Kedah masih boleh bertahan setakat ini. Seperti di Parlimen, jumlah kerusi menentukan pihak mana yang tubuh kerajaan negeri.

“Maka walaupun saya tidak menyokong Perikatan Nasional (yang sebenarnya tidak wujud pun), PPBM masih boleh menganggotai kerajaan kerana kesepakatan bersama Pakatan Harapan masih utuh. Dan PH juga setuju saya kekal sebagai menteri besar,” katanya dalam kumpulan perbualan dengan pemimpin partinya di Johor.

Dalam satu lagi nasihat kepada pimpinan Johor, Mukhriz mendakwa Perikatan Nasional, gabungan yang merampas kuasa daripada PH pada Mac, berulang kali cuba memujuk “Adun-adun kami untuk lompat ke sana”.

“Tapi setakat ini usaha itu tak berhasil. Sampai bila? Belum tentu,” tambahnya.

Seorang orang dalaman parti berkata mesej Mukhriz itu membantu kumpulan yang bersepakat dengan Muhyiddin Yassin, presiden PPBM yang dicabar Mukhriz pada pemilihan parti akan datang.

“Ia boleh menunjukkan seorang watak utama dalam kumpulan pro-PH dalam PPBM mengalami penghinaan di tangan sekutu sendiri,” kata ahli PPBM itu, yang dekat dengan kumpulan dalaman kepimpinan parti Melayu itu di Kedah, kepada FMT.

Pemerintahan Mukhriz selama 2 tahun ditamatkan oleh pengumuman daripada 2 Adun PKR yang mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Salah seorang bekas pegawainya menggambarkan perkembangan itu sebagai “deja vu” dalam kerjaya politiknya yang bermula dengan Umno sedekad lalu.

“Dua kali jawatan MB beliau tergugat, ia ada kaitan dengan pendirian bapanya mengenai kepimpinan pusat,” kata bekas pegawai itu kepada FMT.

“Bukan sahaja beliau hilang kuasa 2 kali kerananya, beliau juga banyak kali diabaikan sekutunya.”

Empat tahun lalu, Mukhriz sebagai menteri besar Kedah bawah pemerintahan Umno hilang keyakinan ahli partinya, selepas bapanya, Dr Mahathir Mohamad semakin menekan perdana menteri ketika itu, Najib Razak supaya berundur kerana hal 1MDB.

Tiga minggu selepas kejatuhan Mukhriz, Mahathir tinggalkan Umno.

Ini kali kedua Mukhriz mendapati dirinya ditekan supaya meletak jawatan.

Anak Mahathir itu tidak popular, walaupun dalam kalangan sekutunya dalam PH yang menjadikan bapanya sebagai tarikan untuk memenangi pilihan raya 2018.

Bagi menekankan perkara itu, pengkritik Mukhriz mengedarkan surat oleh Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul mencalonkan Adun PAS, Muhamad Sanusi Md Nor untuk jawatan menteri besar selepas perubahan kuasa persekutuan pada Mac.

“Tetapi apa yang lebih menjejaskan adalah apa yang presiden PKR ketika itu buat selepas kemenangan PH di Kedah pada 2018,” kata sumber itu, menunjukkan kepada FMT surat daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Sultan Kedah 2 hari selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Dalam surat itu, Wan Azizah menamakan Johari sebagai pilihan PKR untuk jawatan menteri besar, mendakwa partinya menang 18 daripada 36 kerusi.

“Walaupun ramai orang termasuk calon PPBM tiada pilihan kecuali menggunakan lambang PKR untuk pilihan raya,” kata sumber itu.

“Ternyata Mukhriz tidak pernah jadi pilihan pertama setiap kali ada peluang untuk beliau berkuasa di Kedah.

“Beliau ditinggalkan Umno pada 2016, ditolak PKR 2 kali pada 2018 dan 2020, dan sekarang hilang sokongan Adun.”

Namun, sehingga 2 minggu lepas, Mukhriz masih memberikan tip untuk bertahan kepada rakan-rakannya dalam PPBM.

“Saya ingin mencadangkan PPBM Johor kembali kepada PH secara ‘total’. Majoriti PPBM-PH akan lebih besar dari apa yang Umno-PPBM punyai sekarang ini,” katanya dalam mesej lewat malam kepada pemimpin parti negeri itu.

“PPBM kembali memegang jawatan MB Johor. Gunakan tempoh sebelum pilihan raya umum ke-15 untuk kukuhkan kedudukan kita di kampung-kampung dan bandar. Ramaikan ahli berkualiti.

“Jentera mesti terlatih dan bersemangat. Mesti bersikap ‘hemoi’,” katanya, menggunakan istilah loghat utara yang bermaksud tebal muka.

Melayu hancur kerana pilih penyangak sebagai pemimpin, bukan dihancurkan DAP

MALAYSIA DATELINE

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, DAP tidak mungkin menghancurkan orang Melayu tetapi orang Melayu akan hancur apabila mereka memilih penyangak sebagai pemimpin.

Kata beliau, rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka.

Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan menghancurkan orang Melayu jika ia berada dalam Kerajaan Malaysia.

“Ya. Saya mengaku orang Melayu mempunyai banyak kelemahan. Mereka tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Kita dapati ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah.

“Dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.

“Tetapi benarkah orang Melayu begitu lemah sehingga sebuah parti politik boleh hancurkan mereka?” tulis beliau dalam blognya Chedet hari ini.

Kata Tun Mahathir, dahulu negara ini dijajah oleh British, tetapi negara sebesar India pun dijajah oleh British juga.

“Kita (negeri-negeri Melayu) tidak ditawan oleh British, walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis dan kemudian Belanda.

“Kita jemput British untuk nasihat kita dalam bidang pentadbiran. Tetapi seperti di lain-lain tempat, British ambil alih pentadbiran seolah-olah kita sudah jadi jajahan takluk mereka,” katanya.

Jelas beliau, selepas Perang Dunia II, British kembali ke Malaya dan merancang untuk benar-benar menjadikan negeri-negeri Melayu milik mereka.

Mereka kata beliau, mencadang menubuhkan Malayan Union yang ditadbir secara langsung dari Whitehall London dan Raja-raja Melayu akan hanya menjadi pentadbir agama Islam dan adat istiadat Melayu.

“MacMichael paksa Raja-Raja Melayu serah negeri-negeri mereka kepada British.

“Tidak ada rundingan dengan orang Melayu sama sekali. Tetapi kita tahu, orang Melayu bangun dan menentang Malayan Union.

“Ringkasnya British, suatu kuasa dunia yang baru menang perang terpaksa tunduk kepada orang Melayu, terpaksa batal Malayan Union hanya dua tahun selepas diisytihar,” katanya.

Katanya lagi, tidak mudah bagi British untuk merampas negeri Melayu seperti mereka merampas Palestin untuk diberi kepada Yahudi.

Percubaan untuk merampas negeri Melayu, untuk sebenarnya menghancurkan bangsa Melayu gagal waktu itu kerana orang Melayu menentang, katanya.

“Mungkin sekarang ada Melayu bacul. Tetapi Melayu dahulu berani. Susulan kepada penolakan Malayan Union, Melayu tuntut kemerdekaan. Pemuda Melayu tuntut kemerdekaan pada 1957. British bersetuju kemerdekaan diberi pada 1959.

“Melayu tolak dan tetapkan kemerdekaan pada 1957. Dan 1957 menjadi tarikh kemerdekaan. Banyak syarat yang cuba dikenakan tetapi Melayu tolak.

“Apabila British terbang pesawat Concorde tanpa izin dari Malaysia, Kerajaan pimpinan Melayu perkenal dasar “Buy British Last”.
“Kita beli Syarikat Guthrie milik British dalam satu “Dawn Raid” yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia.

“Semua syarikat penjajah dibeli oleh Malaysia kerana diarah oleh pemimpin Melayu,” tambah beliau,

Beliau selanjutnya berkata, biasanya setiap pemimpin baharu negara-negara kecil di dunia, apabila dilantik akan minta untuk pergi mengadap Presiden Amerika, tetapi Malaysia tidak.

Jelasnya, Perdana Menteri Malaysia yang menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, hanya pergi Amerika Syarikat (US) tiga tahun selepas dilantik walaupun duta Amerika Syarikat cuba mendapat temujanji sesudah sahaja Perdana Menteri baru Malaysia mengambil alih.

“Pemimpin Melayu Malaysia sering menegur kuasa-kuasa besar apabila mereka melaku kezaliman ke atas negara yang lemah. Suara pemimpin Melayulah yang lantang menegur selewengan kuasa besar kepada Israel.

“Percubaan dibuat oleh penyangak matawang untuk Kerajaan pimpinan Melayu Malaysia mengemis bantuan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank. Badan-badan ini menawar pinjaman jika Malaysia letak ekonomi Malaysia dibawah mereka.

“Kita tolak. Kita cipta cara kita sendiri untuk mengatasi masalah keturunan nilai Ringgit. Maka pakar-pakar kewangan dunia pun berkata kita akan muflis – bankrap. Tetapi tidak.

“Kita pulih semula dengan cepat walaupun pemimpin Malaysia ini orang Melayu, jentera pentadbiran Melayu.

Beliau berkata, orang Melayu boleh hancur apabila mereka membenarkan penyangak jadi pemimpin kerana pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan menghancurkan orang Melayu.

“Kita tubuh sebuah Parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya; berjaya kalahkan British, capai kemerdekaan, bangun negara sehingga menjadi Harimau Asia.

“Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 May 2018, parti ini kalah.

“Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin. Saya tak payah ulang apa yang pemimpin penyangak ini buat. Dari sebuah negara yang dihormati, negara ini menjadi kleptokrasi – negara yang diperintah oleh pencuri.

“Maka hancurlah parti ini kerana ahlinya sedia disogok dan tidak lagi utama perjuangan orang Melayu,” tambah beliau.

Katanya, disebabkan kekalahan parti itu, orang Melayu dimomokkan sehingga ada yang begitu takut kepada DAP.

Ujarnya, Orang Melayu dan pemerintahan Melayu yang berani melawan British, kuasa-kuasa besar IMF dan Bank Dunia sekarang takut kepada DAP, takut dihancur oleh DAP, takut kepada Guan Eng.

“Orang Melayu takut kepada Guan Eng.

“Dari mana datang bacul ini. Nak dapat perlindungan dari siapa? Dari Najib? Dari Kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?

“Ada yang kata, walaupun penjenayah, dia Melayu. Semasa dia memimpin dia lindung Melayukah? Dia kalah kerana melindung Melayukah?

“Tepuk dada, tanya selera. Boleh main golf dengan Trump adalah bukti kekuatan untuk lindung Melayukah?

“Pemuda Melayu dahulu lawan dengan British. Tak takut. Pemuda yang sokong Najib ini mencari perlindungan dari Najib. Sudah jadi baculkah?

“Saya malu. Amat malu,” kata beliau.

Rakyat ‘terduduk’ banyak janji PN indah khabar dari rupa

ARIF ATAN
Banyak janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya bagi membantu rakyat yang mengalami kesusahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terlaksana seperti diharapkan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, ramai ‘terduduk’ apabila permohonan mereka untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ditolak hanya kerana mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bila selesai PKP ini dapat dilihat janji-janji PN indah khabar dari rupa. Ramai yang terduduk. Antara rungutan mereka apabila permohonan BPN ditolak sebab daftar SSM.

“Ada pengundi di kawasan saya seorang peniaga tetapi tidak keluar menjual cendol (kerana PKP) apabila dijanjikan bahawa kerajaan akan membela rakyat.

“Inilah yang menimbulkan kesangsian rakyat terhadap janji-janji PN,” tegasnya dalam forum secara langsung menerusi Facebook Johorkini tengah hari tadi.

Beliau yang juga Ketua AMK berkata, masalah sama turut dihadapi pihak majikan berhubung peruntukan program subsidi gaji yang diumumkan pada 27 Mac lalu.

“Majikan-majikan yang memohon untuk pekerja, permohonan terhenti pertengahan jalan. Kerajaan jawab permohonan bantuan subsidi gaji terhenti sebab bajet habis.

“Bagaimana kamu urus kewangan negara?” soal Akmal.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan perlu duduk berbincang secara menyeluruh bersama pembangkang.

“PM umum itu, ini. Dari segi mana nak dapat dana? Sebab itu perlu ada persetujuan bersama. Ada perkara yang perlukan kita berbincang secara mendalam dan tuntas melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“PH sedar hal ini bukan sahaja isu ekonomi tetapi nyawa rakyat untuk tempoh enam atau mungkin setahun akan datang,” tambahnya lagi dalam forum bertajuk “Persidangan DUN Johor: Kerajaan Perikatan Nasional bagai telur di hujung tanduk?” itu.

Panel yang turut serta dalam forum dimoderatorkan Koordinator Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid itu adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad yang juga ADUN Kota Iskandar dan ADUN Paloh, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali merangkap Ketua DAPSY Johor.

PKR akan saman 2 Adun Kedah RM10 juta kerana keluar parti

Predeep Nambiar
ALOR SETAR:
PKR Kedah berkata ia akan menyaman 2 Adun yang keluar parti RM10 juta setiap seorang kerana “mengkhianati” parti dan pengundi.

Pengerusi PKR negeri Johari Abdul berkata Adun Sidam Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas Azman Nasarudin telah berikrar untuk tidak keluar parti sebelum pilihan raya dan sedar tentang implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Saman akan dikemukakan dan mereka hendaklah bersedia berdepan akibat perbuatan mereka.

“Mereka menjadi Adun selama 2 penggal atas sokongan rakyat yang memilih mereka bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana lambing yang dibawa, iaitu lambang PKR.

“Saya percaya rakyat di Lunas dan Sidam berasa marah atas keputusan mereka keluar parti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dua Adun itu mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas terdahulu hari ini dengan berkata, ia berikutan perbezaan dengan kepimpinan PKR pusat dan presiden parti Anwar Ibrahim.

Johari berkata, dengan keluar PKR dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Azman dan Ling turut memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, sekali gus “meninggalkan PKR serta perjuangannya membela rakyat selama 22 tahun.”

MUHYIDDIN LEBIH BAHAYA DARIPADA NAJIB

Shahbudin Husin
Trend mengikat Ahli-Ahli Parlimen dengan menawarkan mereka jawatan lumayan menerajui GLC untuk menjamin sokongan dalam usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen sebagaimana dilakukan secara berleluasa sekarang oleh Muhyiddin Yassin adalah sesuatu yang merbahaya dan tidak beretika.

Meskipun melantik Ahli-Ahli Parlimen menerajui GLC bukan sesuatu yang salah, tetapi melantik semua Ahli Parlimen penyokong kerajaan dengan kedudukan dalam GLC tanpa mengambil kira kelayakan dan kebolehan serta pengalaman mereka, adalah jelas amalan yang salah.

Selama ini, kalau pun tidak semua, tetapi majoriti Ahli Parlimen yang dilantik menerajui GLC adalah berdasarkan kebolehan, kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang pengurusan, kewangan, perniagaan dan sebagainya.

Di era PH, lebih ramai golongan profesional dilantik menerajui GLC berbanding pemimpin politik, bahkan pemimpin politik yang dilantik lebih didahulukan faktor kelayakan dan kebolehannya sebagai syarat utama.

Tetapi, kerana takut kalah dalam usul undi tidak percaya pada 18 Mei ini, Muhyiddin telah melakukan “lantikan borong” iaitu asal saja mereka Ahli Parlimen penyokong kerajaan, maka pasti ada jawatan menerajui GLC akan diperuntukkan.

Ahli-Ahli Parlimen yang sedar lantikan mereka itu semata-mata untuk menyokong kedudukan Perdana Menteri, bukan kerana kebolehan, kelayakan dan pengalaman, selain berkebarangkalian tinggi tidak akan mempedulikan prestasi dan kemajuan GLC yang diterajui, malah lebih mungkin menyalahgunakannya untuk kepentingan politik peribadi masing-masing.

Amalan itu seterusnya akan mendedahkan GLC terbabit kepada campurtangan politik, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan tanpa sebarang tindakan atau teguran oleh Perdana Menteri.

Juga GLC-GLC terbabit akan terdedah sebagai tempat mengukuhkan kedudukan politik Ahli-Ahli Parlimen berkenaan dengan bercambahnya amalan kronisme dalam meraih kontrak-kontrak yang diperuntukkan.

Mereka tahu, selagi mereka menyokong Muhyiddin yang kedudukannya tidak stabil itu, selagi itulah keududukan mereka dalam GLC tidak berani diusik.

Akhirnya semua GLC akan terdedah kepada kerugian sedangkan GLC diwujudkan untuk membantu kerajaan menambah kedudukan kewangan negara melalui keuntungan dan cukai tahunan.

Amalan ini juga jelas lebih bahaya daripada pendekatan “cash is king” yang diamal dan dibudayakan oleh Najib Razak sebelum ini.

Jika Najib hanya gemar melakukan pemberian wang tunai untuk mendapatkan sokongan, tindakan Muhyiddin membeli sokongan dengan mempertaruhkan jawatan menerajui GLC demi kepentingannya politiknya lebih melibatkan kerugian yang besar kepada kewangan negara.

Akibatnya, keuntungan lumayan yang dinikmati oleh GLC selama ini tidak lagi berlaku dan seterusnya akan mengancam kedudukan kewangan negara.

Adalah tidak mustahil, lebih banyak GLC akan rugi berbanding untung selepas ini, tidak terkecuali mungkin ada yang menanggung hutang lebih tinggi berbanding beban 1MDB.

Sebab itulah Muhyiddin dengan amalannya yang merbahaya ini tidak boleh diberi masa yang lebih lama mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

Titik noktah mesti diberikan kepadanya pada 18 Mei akan datang ini, sebelum lebih banyak kerugian dan kemusnahan kepada negara terus berlaku. (ShahbudinHusin 11/05/2020)

PAS umum cukup majoriti, dakwa 4 Adun Bersatu tak sokong Mukhriz

PAS Kedah mengumumkan Perikatan Nasional mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.

Dalam sidang media sebentar tadi, Pengarah Pilihan Raya PAS Muhamad Sanusi Md Nor berkata bahawa seramai 19 Adun di Kedah bersetuju untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau turut mendakwa bahawa sebanyak 23 Adun termasuk empat daripada Bersatu telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz Mahathir.

"23 Ahli DUN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku menteri besar Kedah.

“Yang saya sebutkan tadi ialah 15 (Adun) daripada PAS, dua daripada BN dan dua bekas ahli PKR yang telah keluar parti tengah hari tadi dan empat Adun Bersatu.

"Dengan kehilangan kepercayaan, maka kerajaan PH Kedah telah jatuh dan hilang keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri Kedah berkuat kuasa serta-merta.

"Justeru itu, atas kesepakatan bersama 19 daripada 23 Adun yang hadir pada hari ini bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah yang baru atas nama kerajaan PN," katanya kepada pemberita.

Malaysiakini difahamkan Sanusi dicalonkan PAS Kedah sebagai menteri besar.

Kedah jatuh: Siapa suruh cabar Azmin, kata MP penyokong Azmin

MALAYSIA DATELINE
Kerajaan Kedah dikatakan bakal jatuh ekoran tindak balas Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan tidak akan mematuhi keputusan kerajaan Pusat mengenai pembukaan semula industri.

“Siapa suruh dia cabar Azmin,” kata seorang ahli parlimen yang merupakan penyokong Azmin kepada Malaysia Dateline tiga hari sebelum dua Adun PKR mengumumkan sokongan mereka kepada kerajaan PN.

Menurut sumber itu, Azmin sangat rasa tercabar apabila Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah membantah keputusan kerajaan Pusat membuka lebih banyak aktiviti ekonomi ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hari ini, dua Adun PKR dari Kedah yang merupakan penyokong Azmin, Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) membuat sidang media serentak memaklumkan mereka keluar PKR dan menyokong pihak yang bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ekoran itu, kerajaan PH Kedah pimpinan Mukhriz dijangka akan tumbang dan Pas dijangka akan mendapat jawatan sebagai menteri besar.

Pas memiliki kerusi paling banyak iaitu 15 dan Umno (2) iaitu 17 Adun.

Di pihak Pakatan Harapan pula, PKR (7), Bersatu (6), Parti Amanah Negara (4), dan DAP (2) iaitu 19 Adun.

Jika dua Adun PKR menyertai PN, maka PH akan tinggal 17 Adun sahaja manakala PN 19.

Pada 2 Mei lepas, Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri akan memperhalusi syarat dan garis panduan PKPB yang diumumkan Kerajaan Persekutuan pada 1 Mei.

Katanya, pelaksanaan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteliti bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri ini.

“Kerajaan negeri bertekad untuk mempertahankan status Kedah sebagai Zon Hijau selepas tiada lagi kes aktif Covid-19 dikesan di semua daerah.

“Oleh yang demikian, pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas Covid-19) pada 5 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan Muhyiddin jadi penyebab Bersatu bakal lenyap

ARIF ATAN

Bersatu bakal lenyap disebabkan tindakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari lalu membawa keluar parti itu dari Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, penubuhan parti berlogokan bunga raya itu awalnya menolak parti Melayu yang kleptokrat.

Sebaliknya, keputusan Bersatu keluar dari PH dan mewujudkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ibarat sudah bersama pihak yang telah melakukan jenayah kewangan.

“PPBM (Bersatu) akan hilang atas sebab tindakan Muhyiddin. Justifikasi wujudnya PPBM ialah inginkan parti Melayu yang menolak kleptokrat.

“Sekarang berpeluk dengan kleptokrat!,” bidas Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Khalid juga menegaskan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Pengerusi Bersatu kerana langkah pengkhianat Azmin Ali dan Muhyiddin.

“Yang lain sudah terima Tun kekal PM. Itu yang Tun sebut tiada sebab keluar PH. Rumah menjadi kosong kerana PPBM lari keluar PH tanpa Tun,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Kedah pula jatuh? 'Sidang media khas' tengah hari ini


Dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dijangka membuat pengumuman yang bakal memberi kesan kepada kedudukan kerajaan negeri pimpinan Mukhriz Mahathir.

Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) pagi ini mengeluarkan undangan ke “sidang media khas” pada jam 12 tangah hari ini.

Seorang pegawai Ling memberitahu Malaysiakini bahawa acara tersebut adalah tentang “kedudukan” mereka dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) Kedah turut mengeluarkan satu jemputan “sidang media khas”, dijadualkan berlangsung jam 3 petang ini.

Jemputan media itu memperincikan bahawa acara tersebut bakal diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya membuat kenyataan bahawa perubahan kerajaan negeri Kedah “sudah tidak dapat dielakkan lagi” dan mendakwa PH tempang di Kedah dan hilang majoriti.

Malah, Yahaya turut menyatakan bahawa Kedah bersedia untuk menerajui pentadbiran Kedah.

Pas memperdagang Islam apabila persoal akidah, berbohong dan memfitnah

ARIF ATAN

Pendekatan politik Pas dilihat bukannya perjuangan demi Islam seperti yang dicanangkan sebaliknya memperdagang Islam.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat pelbagai perkembangan semasa menyaksikan Pas berdiam diri tidak seperti ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Jika Pas mahu berpolitik sehingga sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja pun, nak tulis surat dalam bahasa apa kepada sesiapa pun, itu hak Pas dan terpulang kepada Pas.

“Cuma apabila Pas mendakwa kerja buatnya demi Islam, dicanang di sina-sini sampai sanggup mempersoalkan aqidah orang Islam lain dan berbohong serta memfitnah, ini bukan lagi demi Islam.

“Ini namanya memperdagang Islam,” tegas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu dalam akaun Facebook miliknya.

Untuk rekod, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam surat berbahasa Arab bertarikh 22 Mac lalu mengaitkan kerajaan PH dengan gerakan Zionis, Freemason dan liberalisme serta mendakwa AMANAH bersifat Islam liberal.

“Presiden Pas menulis surat kepada pemimpin gerakan Islam di Timur tengah menyebut kelompok itu sekular, kelompok ini liberal dan memfitnah Anwar Ibrahim. Memfitnah demi Islam?” bidas Ustaz Zolkharnain.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Pas berkempen untuk MCA dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada November tahun lalu walaupun MCA secara terbuka menolak hudud yang disebut oleh Pas sebagai nyawa.

“Demi Islam juga? Sehingga kini Pas diam apabila ketua MCA menyebut, pemandu mabuk naiklah Grab.

“Semasa belum berada dalam kerajaan, Pas begitu lantang menyerang PH dengan isu ini. Ini pun demi Islam juga?” soalnya.

Menurutnya, Pas juga sekarang sudah tidak bersuara tentang Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 selain berkerjasama dengan Umno yang pernah dikafirkan melalui Amanat Haji Hadi pada 1981.

“Pas berhimpun di Padang Merbok untuk tuntut pindaan RUU 355. Kini sudah senyap bahkan tidak disebut langsung seperti diratib sebelum ini. Hal ini pun demi Islam?

“Kini Pas gigih sekali bersama Umno, parti yang dikafirkan oleh Pas suatu masa dulu. Setelah Umno tumbang, Pas beri nyawa kembali. Demi Islam semua ini?” tempelaknya.

Turut dikritik Ustaz Zolkharnain ialah tindakan Pas mengkafirkan sesama umat Islam atau takfiri serta bersekongkol dengan dalang kudeta politik yang dinamakan sebagai “Langkah Sheraton” sekali gus meranapkan kerajaan PH pada Februaru lalu.

“Pemimpin Pas jiratkan pemimpin PH. Ada yang dipukul, dimaki dan dikafirkan padahal semua pemimpin PH tadi adalah Muslim. Kafirkan orang Islam pun demi Islam?

“Pas merestui bahkan terlibat dengan Langkah Sheraton untuk jatuhkan kerajaan sah PH melalui pintu belakang dan tebuk atap. Sokong kleptokrat sebegitu pun demi Islam?” hujahnya lagi.

Terdapat sejumlah pemimpin Pas di pelbagai peringkat sebelum partinya menjadi komponen kerajaan tebuk atap PN memang dikenali menggunakan bahasa kasar di media sosial dalam menyerang PH.

‘Menjiratkan’ pemimpin PH misalnya merujuk pada ‘fatwa’ Yang Dipertua Pas Padang Serai, Kedah, Shaharuddin Ibrahim terhadap pihak yang dianggapnya tidak menyokong RUU355 yang dibawa Presiden partinya.

“Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan (sokong usul Abdul Hadi). Kalau Kak Wan tak angkat tangan, boleh menyebabkan jatuh iman.

“Kalaulah ditakdirkan lepas angkat tangan itu (Kak Wan) mati, kami tanam jirat,” katanya yang merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Shaharuddin sebelum itu dalam ceramahnya pada Jun 2016 pula pernah menuduh kerajaan Pulau Pinang melarang azan dikumandangkan di negeri itu.